Translate

Saturday, March 31, 2012

Info Acara Karnival Sukan Parlimen Lenggong

Larian 1 Malaysia

Senam 1 Malaysia

Liga bola sepak

Liga bola jaring

Liga sepak takraw

Badminton

Sukan memanjat dinding

Liga paintball

Perlumbaan motosikal

Lumba basikal jelajah Lenggong

Sukaneka

Tarik tali

Program sampingan

Gerai pameran agensi kerajaan dan Majlis Pembangunan Koperasi Parlimen Lenggong
pemeriksaan dan rawatan kesihatan percuma.

Persembahan dikir barat dari Juara Dikir Barat RTM, Titian Pustaka
Forum Perdana Ehwal Islam.

Persembahan lawak jenaka dan nyanyian daripada Mr. Os dan Amir Ukays.

Persembahan silat dan tomoi

Friday, March 30, 2012

AmBank beramal di rumah anak yatim

 BERAMAL. Kumpulan AmBank bergotong-royong membersih dan mengecat rumah anak-anak yatim, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Aitam (Busarah), Temoh, Tapah baru-baru ini.

Pengarah Wilayah Utara Kumpulan AmBank, Ong Gaik Leng berkata, sebanyak 30 kakitangan Ambank dari seluruh Perak menyertai aktiviti tanggungjawab sosial korporat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya turut membeli kipas angin baharu selain membaiki panel tingkap rumah kebajikan yang dihuni 50 anak yatim yang majoritinya terdiri daripada orang kelainan upaya.

"Kami juga menyumbang wang tunai RM24,000 serta barangan keperluan lain seperti makanan, tuala, cadar, permaidani dan bahan pencuci kepada rumah anak-anak yatim itu," katanya.

Karnival Sukan Parlimen Lenggong bermula esok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Karnival Sukan Parlimen Lenggong bakal berlangsung di Padang Majlis Daerah Lenggong (MDL) bermula esok hingga Ahad ini bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah (gambar) berkata, pelbagai acara berasaskan sukan dan rekreasi disediakan sepanjang karnival tersebut yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau, program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong bertemakan Sihat Untuk Rakyat itu turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan selain gerai pameran dan jualan.

“Kita menjemput orang ramai khususnya dari Hulu Perak agar tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan karnival yang antara lain akan mempertandingkan 12 jenis acara berasaskan sukan dan rekreasi.

“Acara tersebut seperti Larian 1Malaysia, Senam 1Malaysia, bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton, silat, sukaneka dan pertandingan tarik tali.

“Semua acara terbabit akan melibatkan segenap kelompok masyarakat daripada kanak-kanak hingga warga emas di seluruh kawasan Parlimen Lenggong,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. Lenggong terletak kira-kira 110 kilometer dari Ipoh.

Shamsul Anuar berkata, pengunjung karnival berkenaan juga berpeluang mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma di ruang pameran yang disediakan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia.

Selain itu, beliau memberitahu pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh diperoleh pada harga berpatutan di gerai pameran Majlis Pembangunan Koperasi Parlimen Lenggong.

 Selain itu, beliau memberitahu pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh diperoleh dengan harga berpatutan di gerai pameran Majlis Pembangunan Koperasi Parlimen Lenggong.

“Pengunjung pasti terhibur dengan persembahan tomoi, silat dan dikir barat serta penampilan dua artis iaitu Mr. Os dan Amir Ukays.

“Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi beberapa hadiah menarik seperti motosikal, basikal dan barangan elektrik menerusi cabutan bertuah,” katanya.

Karnival Sukan Parlimen Lenggong akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir pada pukul 10 pagi, Sabtu ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai karnival itu sila hubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong di talian 05-7679055.

Friday, March 23, 2012

‘Mahu jumpa Khairul sebelum ajal’

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH – Seorang ibu merayu campur tangan Wisma Putra bagi membolehkan dia melawat anak lelakinya yang kini meringkuk di penjara Taiwan setelah menjadi mangsa keldai dadah sejak enam tahun lalu.

Halijah Abdul Rashid, 54, berkata, anak keduanya, Khairul Azuan Abu Hasan, 32, (gambar kecil) kini ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan setelah didapati bersalah memiliki 1.536 kilogram dadah jenis heroin pada 2008.

Katanya, mereka sekeluarga hanya mengetahui Khairul Azuan dipenjara di Taiwan setelah dihubungi anaknya itu pada Aidilfitri 2007, kira-kira setahun selepas menghilang diri tanpa sebarang berita.

“Sejak itu dia tidak putus mengirim surat setiap tiga bulan selain dibenarkan menghubungi keluarga dua kali setahun iaitu pada sambutan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

“Begitupun, selepas enam tahun berlalu, hati saya sebagai ibu begitu meronta mahu bertemunya untuk melepaskan rindu walaupun tidak dibenarkan pihak berkuasa Taiwan,” rayunya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Sindu, Kampung Kepayang dekat sini semalam.

 Dia sekeluarga dikunjungi Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin.

Halijah yang merupakan seorang pekerja am berkata, dia diberitahu pihak berkuasa negara terbabit tidak membenarkan sebarang lawatan terhadap Khairul Azuan memandangkan kesalahan yang disabitkan terhadapnya terlalu berat.

Menurut Halijah lagi, anak kedua daripada empat beradik itu telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Kai Shek, Taiwan pada 14 Jun 2006 dipercayai selepas diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dua tahun kemudian.

"Dia pernah memberitahu telah diperangkap sindiket dadah, namun reda dan menganggap hukuman penjara seumur hidup tersebut sebagai ketentuan Allah dan memohon kami sekeluarga turut tabah.

"Saya amat berharap dapat bertemunya sebelum ajal menjemput saya dan suami (Abu Hasan Puteh, 57,) memandangkan kami tidak tahu bila anak saya itu akan dibebaskan," katanya.

Sebelum ditahan, Khairul Azuan merupakan jurukimpal dan kali terakhir dia berhubung dengan keluarga melalui kiriman surat pada 7 Februari lalu.

Dia yang telah bercerai sebelum kejadian ditahan di Taiwan itu mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun yang kini di bawah jagaan bekas isterinya.

Thursday, March 22, 2012

Wajah-wajah ceria pelajar cemerlang SPM 2011

PELAJAR cemerlang Sekolah Tuanku Abdul Rahman bersorak gembira selepas diumumkan sebagai sekolah terbaik SPM 2011 negeri Perak di Ipoh semalam.

Wednesday, March 21, 2012

Wanita bunuh suami lumpuh didakwa

 TELUK INTAN - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh suaminya yang lumpuh dan cubaan membunuh diri.

 Chiang   Mooi   Chai , 71, dituduh menyebabkan kematian suaminya, Koo Ching Kiong, 74, di rumah mereka di Eastern Garden di sini antara pukul 6 pagi dan 8.15 pagi 11 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa cuba mencederakan diri bagi tujuan membunuh diri pada waktu dan tarikh yang sama.

Ching Kiong ditemui mati dengan kesan kecederaan di leher akibat ditikam di atas katil sebuah bilik pada pukul 8.45 pagi sementara  Mooi   Chai  ditemui terbaring di sisi suaminya dengan kesan cedera di leher dan perut.

Bagi pertuduhan pertama,  Mooi   Chai  didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sementara bagi pertuduhan kedua didakwa di bawah Seksyen 309 akta sama kerana cuba membunuh diri yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 Mooi   Chai  pada mulanya mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan menyebabkan persidangan tertangguh selama 30 minit.

Majistret Mohd. Hizan Ali mengarahkan  Mooi   Chai  menjalani ujian kesihatan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ipoh bagi memastikan tertuduh layak dibicarakan dan menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes.

PPDNKK Perak lancar Penguatkuasaan Bestari


PEMUDAH CARA. Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak melancarkan program Penguatkuasaan Bestari di Greentown Mall, Ipoh baru-baru ini.

Pengarah PPDNKK Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, menerusi program terbabit, seorang pegawai agensinya akan ditempatkan di setiap pusat beli-belah dan pasar raya di seluruh negeri tersebut.

Katanya, pegawai berkenaan tidak akan sekadar melakukan tugas penguatkuasaan tetapi turut membimbing peniaga berkaitan peraturan dan perundangan.

Minyak masak 18 tan disita

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 KAMPAR - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak merampas sebuah lori tangki yang membawa muatan 18 tan minyak masak bersubsidi secara haram di sebuah kilang memproses makanan ayam di Mambang Di Awan dekat sini semalam.

Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, lori tangki yang diekori dari sebuah kilang di Kamunting, Taiping itu ditahan sebaik sahaja memasuki pekarangan kilang memproses makanan ayam terbabit pada pukul 3 pagi.

"Lori tangki yang penuh dengan muatan minyak masak disyaki bersubsidi tersebut disita selepas pemilik kilang terbabit gagal mengemukakan surat kuasa membawa minyak berkenaan.

"Nilai rampasan dianggarkan RM85,500 dan pemandu lori tangki yang berusia dalam lingkungan 50-an ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Mambang Di Awam III dekat sini semalam.

Mohd. Hilmi berkata, kejayaan serbuan tersebut berikutan risikan selama sebulan yang mendapati sebuah kilang penapis minyak masak di Kamunting sering membekalkan minyak masak kepada kilang memproses makanan ayam berkenaan secara tidak sah.

 Menurut beliau, urus niaga itu tidak dibenarkan kerana pengurusan kilang memproses makanan ayam itu tidak pernah memohon kebenaran memiliki minyak masak yang merupakan barangan kawalan.

"Kes disiasat  di  bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa.

"Sabit kesalahan hukuman denda RM250,000 boleh dikenakan kepada pengurusan syarikat terlibat manakala pemandu lori terbabit boleh dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau hukuman penjara tiga tahun," katanya.

Tauke arowana hadapi 21 kes penipuan tanah


TAIPING - Seorang pengusaha ternakan ikan arowana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 21 tuduhan memalsukan dokumen tukar milik tanah seluas 29.16 hektar di Semanggol dekat sini pada 2005.

Ahmad Don, 58, yang merupakan Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Bukit Merah, Bagan Serai dituduh menggunakan Surat Kuasa Wakil palsu bagi menjual 36 lot tanah terbabit yang dianggarkan bernilai RM396,000 kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan pemilik sebenar.

Berdasarkan fakta kes, 36 lot tanah itu adalah milik 21 penduduk Kampung Selamat, Semanggol yang dikatakan hendak diusahakan sebagai ladang kelapa sawit menerusi projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Ahmad yang bertindak sebagai broker tanah telah menjual semua tanah terbabit kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan penduduk.

Tertuduh dari Simpang Empat, Semanggol didakwa menggunakan Surat Wakil Kuasa palsu bagi membolehkan Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Parit Buntar memberi kelulusan permohonan pindah milik tanah berkenaan.

Dia yang mempunyai 12 anak daripada empat isteri dituduh melakukan kesalahan itu dari 28 April 2005 hingga 4 Jun tahun sama.

 Setiap lot tanah terlibat berukuran 0.81 hektar dan dijual pada harga RM11,000 mengikut nilai semasa tahun berkenaan.

Ahmad  yang berbaju kotak merah kelihatan tenang dan hanya menggelengkan kepala tanda tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan pada setiap kali 21 pertuduhan itu dibacakan.

Dia dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam, P. Ravee manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Ahmad  Sazili Abdul Khairi.

Hakim Azuar Che Yusof membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tuesday, March 20, 2012

Rayuan BR1M dilanjut sehingga akhir bulan Mac

IPOH - Para pemohon yang gagal mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih boleh membuat  rayuan  untuk mendapatkan bantuan berkenaan apabila tempoh permohonannya dilanjutkan selewat-lewatnya sehingga akhir bulan ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, lanjutan tersebut bagi membolehkan semakan terus dilakukan bagi memastikan semua rakyat yang layak tidak terlepas daripada menerima bantuan terbabit walaupun tempoh  rayuan  berkenaan sebenarnya tamat pada 15 Mac lalu.

"Berasaskan semakan sebelum ini, 90 peratus daripada permohonan yang tidak berjaya disebabkan masalah teknikal iaitu salah mengisi borang.

"Jadi apabila mereka membuat  rayuan , kesilapan itu telah diperbetulkan dan kelulusan diberi. Oleh itu tak perlu tunggu lama untuk merayu, isi borang, hantar dan akan diproses segera," katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Perpustakaan Desa Chemor dekat sini semalam.

Ahmad Husni berkata, walaupun kerajaan masih belum menetapkan tarikh akhir permohonan  rayuan  BR1M terbabit, beliau berharap majoritinya akan dihantar selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi melancarkan proses semakan permohonan memandangkan agensi terlibat iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal sibuk dengan urusan pengutipan cukai mulai April ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad  Husni  memberitahu, sejak pertengahan Februari lalu, LHDN menerima hampir 300,000 permohonan  rayuan daripada individu yang gagal menerima BRIM yang bernilai RM500 itu.

Katanya, proses semakan untuk 100,000 daripada permohonan tersebut telah selesai sementara bakinya dijangka dilunaskan dalam masa terdekat.

"90 peratus daripada 100,000 permohonan  rayuan  terbabit telah diluluskan kerana majoritinya ditolak hanya kerana masalah teknikal iaitu kesalahan mengisi borang," katanya.

Katanya lagi, pemohon yang layak untuk menerima bantuan tersebut boleh mendapatkan borang dengan mengunjungi mana-mana pejabat LHDN yang berhampiran.

Mereka juga boleh berbuat demikian dengan memuat turun borang di laman web Kementerian Kewangan menerusi www.treasury.gov.my.

Sunday, March 18, 2012

Tuntutan amah tidak munasabah

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut dengan sikap pihak berkuasa Indonesia yang tidak menghormati keputusan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pengambilan amah republik itu yang dipersetujui sebelum ini.

Malah beliau menganggap tuntutan agar pembantu rumah Indonesia hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan sebagai tidak munasabah langsung.

Menurutnya, semua syarat dan isu berbangkit telah dibincangkan secara mendalam dalam pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada November lalu dan ia sepatutnya dihormati.

"Kedua-dua menteri (Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia) telah berpuas hati dengan persefahaman yang telah dicapai pada masa itu.

"Tiada apa-apa yang dibangkitkan pada waktu itu, jadi saya pun rasa hairan setelah MoU ditandatangani, macam-macam perkara pula dibangkitkan," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Wan Hwa 2, Menglembu di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman yang mengatakan pembantu rumah Indonesia hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.

Ia diikuti kenyataan bahawa majikan juga perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka.

Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa cuti mingguan, bererti majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan kepada gaji bulanan.

Najib bagaimanapun memberi jaminan kerajaan akan cuba menyelesaikan isu tersebut dan pada masa sama berharap pihak Indonesia kembali kepada semangat perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Lelaki sawan kecewa Perkeso tolak pampasan

IPOH - Bagai jatuh ditimpa tangga.

Sudah hilang upaya bekerja, empat kali tuntutan pampasan yang dibuatnya ditolak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Yaw Kok Wah, 40, mendakwa, dia sering menghidap sawan dan lemah di bahagian kiri badan kesan daripada pembedahan tumor otak yang dijalankan pada Januari 2010 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Jelasnya, ekoran itu, pakar perubatan HRPB, mengesahkan dia tidak boleh melakukan sebarang kerja berat.

"Sejak itu, saya kehilangan pekerjaan sebagai jurujual kereta dengan pendapatan purata RM1,500 sebulan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini semalam.

Turut hadir Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd. Rawi Abdullah.

Kok Wah yang menetap di Taman Ipoh di sini mendakwa, dia kini bergantung hidup kepada pendapatan isterinya, Leong Sai Kuen, 41, sebanyak RM400 sebulan sebagai operator pengeluaran kilang membuat pakaian di sini.

"Saya amat memerlukan pampasan tersebut untuk  mengurangkan beban isteri yang menyara keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Perkeso Perak, Mohammad Ramli Ahmad Dahlan menjelaskan permohonan Kok Wah terpaksa ditolak setelah Jemaah Doktor Rayuan yang dilantik pihaknya memutuskan lelaki itu tidak mengidap keilatan yang membolehkannya menerima pampasan.

Sementara itu, Mohd. Rawi berjanji membawa kes itu untuk pertimbangan Kementerian Sumber Manusia.

Saturday, March 17, 2012

Ditemui lemas dalam empangan

IPOH - Selepas sepuluh hari gagal dikesan, pihak berkuasa akhirnya menemui mayat seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dari bot di Empangan Sultan Azlan Shah, Hulu Kinta dekat sini semalam.

Mayat Jisfri Zainon, 45, ditemui terdampar di tebing empangan tersebut pada pukul 8.50 pagi.

Ketua Operasi Pejabat Bomba dan Penyelamat Ipoh, Zulkifli Mohamad berkata, mayat Jisfri dinaikkan dengan bantuan anggota pasukan Komando VAT 69 Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta.

“Keadaan fizikal mayat mangsa yang masih dalam keadaan elok ketika di temui kira-kira 200 meter dari lokasi dia terjatuh.

Pada 8 Mac lalu, Kosmo! melaporkan Jistri hilang selepas terjatuh semasa sedang memasang alat penapis air di empangan sedalam 90 meter itu bersama tiga rakannya pada pukul 10.50 pagi.

Jenazah Jistri dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan dekat sini selepas Solat Jumaat semalam.

Menteri Malaysia nafi dakwaan Jakarta

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menafikan kenyataan Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia bahawa pembantu rumah dari republik itu yang bakal dikirim ke Malaysia hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak berasas,  Subramaniam berkata, ia juga tidak selari dengan keputusan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicapai Pasukan Petugas Bersama (JTF)  Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan  dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia pada Disember lalu.

“Saya ingin tegaskan setiap keputusan MoU itu masih kekal,” katanya selepas merasmikan majlis  Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan  Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja,  Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia,  Reyna Usman yang mengatakan pembantu rumah Indonesia  yang akan dikirim ke Malaysia hanya akan melakukan satu  tugas khusus dengan gaji minimum RM700 sebulan.

Reyna memberitahu, JTF mencapai kesepakatan terhadap  empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia  iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan  pengemas rumah.

Subramaniam menjelaskan walaupun mesyuarat JTF ada  mempersetujui empat pengkhususan itu, ia tidak bermaksud semua amah Indonesia yang bakal dihantar  tergolong dalam kategori terbabit.

“Ada juga amah Indonesia kategori biasa yang boleh  lakukan semua tugas di rumah selain mereka yang memiliki kepakaran dalam tugas khusus.

“Kita mohon begitu kerana ada banyak permintaan amah  yang mempunyai kepakaran khususnya menjaga orang tua,”  jelasnya.

Thursday, March 15, 2012

Keadaan banjir tidak berubah di daerah Kerian

IPOH - Banjir di daerah Hilir Perak semakin pulih daripada banjir manakala keadaan di daerah Kerian pula tidak banyak berubah apabila seramai 88 penduduk dari lima perkampungan berhampiran masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, Bagan Serai.

Jurucakap bilik gerakan banjir Kerian berkata, lima kampung yang terjejas ialah Kampung Batu 40, Kampung Air Hitam, Kampung Parit Abu Hassan Ban, Kampung Permatang Pasir dan Kampung Jalan Keretapi.

“Hujan lebat selama empat jam semalam (kelmarin) menyebabkan kebanyakan rumah penduduk terbabit ditenggelami bah sedalam 1.5 meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, sebahagian besar 600 penduduk Hilir Perak yang dipindahkan sebelum ini sudah pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan banjir semakin beransur pulih semalam.

Punca sebenar kematian diketahui seminggu lagi

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), R. Vinoth, 18, disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu akibat jangkitan kuman pada organ tubuh.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon menegaskan jangkitan kuman itu tidak semestinya disebabkan virus kencing tikus.

“Memang doktor pakar yang melakukan bedah siasat kedua mengesahkan kematian mangsa disebabkan jangkitan tubuh dalam badan.

“Namun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan ia disebabkan virus Leptospirosis (kencing tikus),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Hang Soon berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jangkitan kuman yang meragut nyawa Vinoth disebabkan virus lain.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan semua pihak bersabar menunggu laporan lengkap bedah siasat kematian bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu yang disasar siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi.

“Punca kematian sebenar akan diketuai setelah laporan lengkap bedah siasatan terbabit yang merangkumi analisis ujian makmal dan serologi lengkap sepenuhnya,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan bapa Vinoth, S. Raman, 47, kesal dengan pengurusan Hospital Sungai Siput (HSS) kerana enggan memberi penjelasan sebenar mengenai kematian anaknya yang merupakan pelatih PLKN di Kem Terlok, Sungai Siput pada Isnin lalu.

Sementara itu, jasad Vinoth telah selamat disemadikan di Simpang Lima, Klang, Selangor kira-kira 4 petang semalam.

100 gerai pameran di karnival RTC Gopeng

GOPENG - Orang ramai dijemput untuk memeriahkan Karnival Florikultur dan Herba yang bakal diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini selama tiga hari mulai Jumaat ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Basri Jasmo berkata, karnival tersebut menyediakan 100 gerai pameran yang menjual pelbagai produk tanaman bunga-bungaan dan herba pelbagai spesies.

“Tumpuan diberikan kepada tanaman orkid yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan peminat florikultur tempatan.

“Seramai lebih 20 pengusaha dari sekitar Perak dan Lembah Klang akan mempamerkan pelbagai jenis orkid bermutu tinggi bagi jualan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di RTC Gopeng di sini semalam.

Basri memberitahu, peminat orkid berkenaan turut berpeluang mempelajari teknik penjagaan terbaru tanaman berkenaan secara percuma menerusi Klinik Orkid kelolaan  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan beberapa organisasi swasta.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti lain seperti pertunjukan wayang pacak, jualan buah-buahan segar dan pertandingan futsal turut diatur sepanjang karnival berkenaan.

“Penganjuran Karnival Florikultur dan Herba merupakan salah satu daripada 10 program berskala besar yang diatur RTC Gopeng sepanjang tahun ini bersempena Tahun Melawat Perak 2012,” katanya.

Wednesday, March 14, 2012

Sambutan Jubli Emas Masjid Ibnu Salam

 UKHWAH. Seramai 400 penduduk menghadiri majlis sambutan Jubli Emas sempena sambutan 50 tahun penubuhan Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh, Ipoh baru-baru ini.

Sambutan penuh kesyukuran itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan diatur sempena majlis sambutan tersebut yang turut dihadiri Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Seri Abdullah Che Wan.

Jamil Khir berharap Masjid Ibnu Salam terus diimarahkan oleh penduduk setempat terutama generasi muda selain menjadikan sirah Rasulullah s.a.w yang penuh dengan pengajaran sebagai dijadikan panduan melayari kehidupan.

Anggota Rela bantu tangkap haiwan berkeliaran


IPOH - Kerajaan negeri Perak akan meminta anggota Ikatan Relawan Rakyat ( Rela ) membantu operasi bersepadu menangkap  lembu  dan kerbau yang berkeliaran di jalan raya sekitar negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr.  Mah   Hang   Soon  (gambar) berkata, insentif bakal diberi kepada anggota  Rela  yang terlibat dalam operasi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Masalah  lembu  dan kerbau berkeliaran sehingga menyebabkan banyak kemalangan jalan raya terutama pada awal pagi dan malam sudah lama berlarutan.

"Kita kesal kerana sikap tidak bertanggungjawab pemilik yang sengaja melepaskan haiwan ternakan mereka menyusahkan orang ramai," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di sini semalam.

Katanya, tumpuan akan diberikan di sekitar Batu Gajah, Lahad, Menglembu, Buntong, Pusing, Tronoh dan Siputeh.

Ujarnya, setiap pemilik akan didenda sebanyak RM2,000 bagi setiap haiwan yang ditangkap pihak berkuasa berbanding RM250 sebelum ini.

Monday, March 12, 2012

Tragedi bercuti dua keluarga


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PARIT BUNTAR - Hasrat dua keluarga untuk pergi bercuti berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut, seorang parah manakala sembilan lagi cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 181.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Alor Pongsu dekat sini semalam.

Kemalangan pukul 7.10 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki tujuh sekeluarga yang berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon, dirempuh oleh MPV jenis Toyota Alphard yang dinaiki enam sekeluarga.

Ekoran itu, Tang Ah Tee, 65, dan cucunya, Tan Tei Yee, 13, yang menaiki Estima maut di tempat kejadian manakala Wan Azizah Husin, 62, yang menaiki Alphard parah.

Mereka yang cedera pula ialah pemandu Estima, Tan Bee Liang, 39; penumpang, Tan Pok Teck, 32; Tan Yoke Meng, 31; Tan Poh Siong, 36, dan Tan Bee Ling, 39.

Turut cedera, pemandu Alphard, Mohsen Amdan, 34, isterinya, Wan Fatahiyyah Reamli, 32, dan tiga anak mereka, Nurisha Tasha Wafa, 7, Nur Basira Wafa, 5 dan Mohd. Ivan Mizari, setahun.


Difahamkan, keluarga Bee Liang dari Pontian, Johor dalam perjalanan untuk bercuti di sebuah destinasi pelancongan di utara tanah air sementara keluarga Mohsen hendak ke Taman Selasih, Kulim, Kedah dari Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila Bee Liang bertindak memberhentikan kenderaannya di laluan kecemasan untuk membuat panggilan menggunakan telefon bimbit.

Katanya, Mohsen yang tidak menyedari tindakan Bee Liang gagal mengelak lalu merempuh belakang Estima tersebut.

"Ah Tee dan Tei Yee yang berada di dalam tempat duduk belakang Estima mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Wan Azizah pula parah," katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, rempuhan itu menyebabkan bahagian depan Alphard dan belakang Estima remuk.

Menurut Mat Fauzi, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar di sini dan kedua-dua mangsa yang telah meninggal dunia akan dibedah siasat hari ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.

Sementara itu, mangsa yang terselamat enggan ditemu bual kerana masih trauma dengan tragedi terbabit.

Friday, March 9, 2012

Tiga anggota Geng Samuel diberkas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sindiket samun bersenjata melibatkan Geng Samuel yang bermaharajalela di sekitar bandar raya Ipoh, Gopeng, Kampar dan Batu Gajah sejak akhir tahun lalu berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.

Geng yang dianggotai lima lelaki berusia 21 hingga 30 tahun itu amat ganas dan dipercayai melakukan sekurang-kurangnya 15 kes samun bersenjata dan 12 kes curi kenderaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, modus operandi mereka adalah melakukan jenayah berkenaan pada awal pagi dan menakutkan mangsa dengan mengugut akan dicederakan dengan senjata tajam seperti parang, tukul besi dan kuku kambing.

“Hasil siasatan, Geng Samuel turut aktif melakukan jenayah pemerasan dan pengedaran dadah sejak Disember 2011.

“Pasukan khas yang ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah berjaya memberkas seorang anggota sindiket di Menglembu pada pukul 12 malam Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, suspek kedua yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau pula ditahan di kawasan sama pada pukul 1.30 pagi keesokan harinya.

Begitupun, beliau memberitahu, tangkapan dua anggota itu tidak membuatkan Geng Samuel serik malah menyamun tiga mangsa sekitar pukul 6 hingga 6.30 pagi kelmarin.

 "Selepas menyamun mangsa pertama dengan melarikan motosikal Honda EX5 dan wang tunai RM50, anggota Geng Samuel menyamun dua mangsa lain yang sedang melakukan aktiviti keagamaan di sebuah kuil di Buntong.

"Mangsa kedua ini kerugian kira-kira RM55,000 selepas wang tunai dan barangan kemas dilarikan sementara mangsa terakhir disamun wang tunai RM30,000 dan melarikan sebuah kereta Proton Putra," katanya.

Katanya, anggota ketiga Geng Samuel berjaya diberkas tidak lama selepas tiga siri samun berkenaan namun dua lagi anggota termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai D. Samuel, 28, terlepas.

Menurut beliau, siasatan lanjut berjaya menemui sebahagian barangan yang disamun seperti rantai leher, loket emas, sebuah motosikal, tiga buah kereta, pemain cakera video digital, tiga telefon bimbit, kad kredit, kad ATM dan 12 gugus kunci kereta.

"Empat bilah parang, kapak, tukul besi, kuku kambing, nombor plat kenderaan palsu, jaket pengawal keselamatan dan cukai jalan palsu turut dirampas.

"Ketiga-tiga suspek yang terlibat di dalam satu hingga 10 kes jenayah lampau telah direman sehingga Isnin depan," katanya.

Tambahnya, selain Samuel, seorang lagi lelaki yang sedang diburu ialah R. Hari Harah, 21, dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menyamun berkumpulan tanpa senjata api.

Thursday, March 8, 2012

D. Som Sak kini Ketua Polis Daerah Tapah

 BERTUGAS.Timbalan Ketua Polis Perak Tengah, Suprintendan D. Som Sak secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tapah pada majlis serah terima tugas di Tapah, Perak baru-baru ini.

Beliau mengisi kekosongan ditinggalkan Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad yang kini dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Kuching mulai awal tahun ini.

Majlis serah terima tugas antara Som Sak dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Abdullah.

Som Sak, 51, yang berketurunan Siam berjanji akan menggunakan pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang kepolisan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di daerah itu dan mahu kerjasama daripada penduduk.

Wednesday, March 7, 2012

Individu berjasa dapat penghargaan PSAS

 IKTIRAF. Seramai sepuluh individu menerima penghargaan sempena sambutan ulang tahun ke-10 Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di Behrang, Perak baru-baru ini.

Pengarah PSAS, Mohamad Amin Hamat berkata, semua individu tersebut diraikan kerana mereka telah memberi sumbangan besar dalam memajukan politeknik itu sejak mula ditubuhkan pada awal tahun 2002.

Katanya, antara penerima ialah bekas pengarah pertama PSAS, Kamaruddin Hamzah, Pengerusi Persatuan Penduduk Behrang 2020, Kamarul Beharim Lasa dan Penghulu Mukim Slim River, Mohamed Rashid Mohamed Hasan.

Kesemua mereka menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Saturday, March 3, 2012

Bukan perbuatan khianat – TNB

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR – Kebakaran pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor yang menyebabkan sebahagian besar Bandar Baru Bangi dan Putrajaya bergelap selama hampir sejam malam kelmarin bukan disebabkan perbuatan khianat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati gangguan teknikal menjadi punca kejadian berkenaan.

“Beberapa komponen dalam pencawang elektrik tersebut telah meletup sehingga menyebabkan sebahagian pencawang terbakar.

“Bagaimanapun, ia berjaya diatasi dan bekalan elektrik dipulihkan di kawasan terlibat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh kurang sejam,” katanya selepas merasmikan projek Baiti Jannati TNB peringkat Perak di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan sebahagian besar kawasan di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya bergelap kira-kira sejam apabila pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi terbakar pukul 9.20 malam.

Gangguan tersebut turut melibatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, di Putrajaya.

 Che Khalib memberitahu, kerugian ekoran kejadian itu belum diketahui dan pencawang tersebut sedang dibaik pulih dengan beberapa komponen yang rosak akan diganti.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mahadir Mohd. Noh ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan awal, tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, pihak forensik bomba masih belum dapat memasuki tempat kejadian kerana ia masih diselubungi asap dan pemeriksaan hanya dijalankan di luar kawasan pencawang.

"Sisa kebakaran masih ada dan ia menyebabkan kerja-kerja memadamkan api mengambil masa yang agak lama," katanya.

Thursday, March 1, 2012

Kelab motor anjur program amal

 BERAMAL. Seramai 70 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menganggotai Kelab E-Tiraf Bikers Ipoh menyertai program Ziarah Masjid di sekitar Batu Gajah, Perak baru-baru ini.

Penyelaras program, Rohizat Umar berkata, program berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAIMP), Datuk Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

"Kami berkonvoi dari Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh dan menziarahi tiga buah masjid di Batu Gajah iaitu Masjid Ar Rahmaniah, Masjid Al-Falahiah dan Masjid Imaniah.

"Selain menjalankan program keagamaan dan bergotong-royong membersihkan persekitaran masjid, ahli kelab turut membantu MAIAIMP mengagihkan zakat berupa wang tunai dan beras kepada fakir miskin," katanya.

Trauma diculik hampir dua jam

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Sebuah keluarga hidup dalam keadaan tidak keruan apabila bukan sahaja bapa mereka trauma selepas diculik hampir dua jam oleh sekumpulan lelaki pada Jumaat lalu, malah mendakwa hidup mereka kini ibarat pelarian kerana terpaksa meninggalkan rumah yang kerap diintip penjenayah.

Wakil keluarga itu, S. Nagaraja, 25, mendakwa, kejadian itu disyaki berkait rapat dengan sebuah firma guaman yang tidak berpuas hati kerana masih belum menerima upah selepas dia berjaya mendapatkan pampasan insurans sebanyak RM300,000 pada Oktober tahun lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, pekerja sebuah restoran itu memberitahu, bapanya, A. Subramaniam, 52, telah diculik ketika hendak ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan perindustrian Lahat dekat sini pada pukul 3.30 petang.

Katanya, sekumpulan enam lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam kemudian telah membawa bapanya ke sebuah premis berhampiran Pasar Pinji Mewah dekat sini sebelum salah seorang suspek menghubunginya menggunakan telefon bimbit Subramaniam.

“Penculik itu menuntut wang RM210,000 termasuk upah mereka sebanyak RM50,000. Jika tidak mereka ugut mahu bunuh dan bakar bapa saya.

“Cemas dengan ugutan itu, saya kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai dekat sini sebelum bapa dapat dibebaskan selepas diculik hampir dua jam,” ceritanya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak di sini semalam.

 Tambahnya, dia mengesyaki lelaki-lelaki tersebut telah diupah untuk menuntut RM160,000 bagi pihak firma guaman yang pernah dilantik untuk menuntut pampasan akibat kemalangan yang dialaminya pada 2007.

"Saya bukan tidak mahu bayar tetapi jumlah RM160,000 yang dia minta tidak munasabah. Lagipun, saya telah menamatkan perkhidmatanya dan melantik peguam baharu beberapa bulan sebelum kes selesai," dakwanya.

Ujar Nagaraja, mereka sekeluarga kini bimbang kerana ternampak penjenayah masih berlegar-legar di sekitar kawasan rumah mereka di Taman Desa Pelancongan, Lahat dekat sini malam kelmarin.

"Kami sekeluarga termasuk dua adik perempuan saya terpaksa meninggalkan rumah buat sementara kerana bimbangkan keselamatan kami diancam," dakwanya yang kini tempang kaki kanan ekoran kemalangan.

Sementara itu, pengerusi biro berkenaan, Datuk Lee Kon Yin meminta supaya polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin sekali gus menjamin keselamatan keluarga Nagaraja.