Translate

Tuesday, November 14, 2023

Rakyat boleh kritik Kerajaan Terengganu

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Buat pertama kali dalam sejarah politik negara, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 32 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin. 

 Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, Barisan Nasional (BN) memperoleh 10 kerusi, namun PRN kali ini, parti itu tidak memenangi satu pun kerusi daripada 27 calon bertanding.

 Begitupun, Pas memberi jaminan peranan semak dan imbang tetap akan berlaku walaupun kerajaan negeri tanpa pembangkang dalam tempoh penggal ini. 

 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan memainkan peranan menasihati Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 “Kita akan menggalakkan budaya nasihat termasuk daripada rakyat sendiri boleh mengkritik kerajaan. “Suka dimaklumkan bahawa dalam Islam ini walaupun tidak ada pembangkang, ahli-ahli dewan (DUN) boleh mengkritik dan memberi teguran,” katanya di Rusila, di sini semalam. 

 PN yang dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencipta sejarah menyapu bersih semua 32 DUN Terengganu pada PRN. 

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PN berjaya menunjukkan prestasi baik dengan menambah kerusi DUN di tiga negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

 “PN juga bukan saja berjaya mengekalkan Kelantan dan Kedah, malah kejayaan diberikan rakyat dengan kemenangan besar kali ini. 

“Walaupun kita gagal menawan tiga lagi negeri, apa yang membanggakan kita apabila ada pertambahan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya. 

Tambahnya, kejayaan besar PN tersebut hasil sokongan ramai rakyat terutama dalam kalangan pengundi muda.

No comments:

Post a Comment