KUALA LUMPUR - Enam menteri dan sembilan timbalan menteri yang baharu dilantik dalam rombakan Kabinet semalam menerima surat cara perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada Datuk Hamzah Zainuddin yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Seri Mahadzir Khalid (Menteri Pendidikan).
Turut menerima surat cara perlantikan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Sembilan timbalan menteri baharu yang turut menerima surat cara perlantikan ialah Datuk Mohd. Johari Baharom, Datuk Mas Ermieyanti, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Chong Sin Woon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Masir Kuyat dan Datuk Johari Abdul Ghani.
Kesemua mereka turut mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Tuanku Abdul Halim.
Majlis mengangkat sumpah itu disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogan Kadazandusun Murut (UPKO), Datuk Wifred Madius Tangau yang sepatutnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagaimanapun tidak hadir dalam majlis berkenaan kerana sedang berada di luar negara. - KOSMO!