Translate

Friday, December 30, 2011

Ajal dihempap penyangkut besi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR – Seorang pekerja sebuah kedai perabot maut selepas kepalanya pecah dihempap penyangkut besi lif di sebuah kedai perabot tiga tingkat di Jalan Raja Chulan di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohd. Abdillah Khairudin, 27, sedang melakukan kerja-kerja membawa perabot yang belum dipasang naik ke tingkat tiga dari aras bawah kedai perabot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, semasa mangsa berada di dalam lif berkenaan bersama perabot tersebut, lif itu secara tiba-tiba terjatuh ke bawah.

“Penyangkut besi lif seberat 10 kilogram tersebut juga terjatuh lalu menghempap kepala Mohd. Abdillah hingga menyebabkan kepalanya pecah dan dia mati di tempat kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kejadian itu disedari oleh majikan mangsa sebelum ia kemudian melaporkan kepada polis.

Abdul Gaffar memberitahu, mayat mangsa yang cedera parah di kepala kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

"Polis percaya kejadian itu berkaitan dengan bebanan berat kerana lif itu semasa kejadian dipenuhi barang perabot sehingga menyebabkan rantai lif putus.

"Ekoran itu, penyangkut besi lif berkenaan yang jatuh menghempap kepala mangsa," kata beliau yang menglklafikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Tuesday, December 27, 2011

Lelaki magnet kembali beraksi

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Setelah lebih setahun menyepi, Tan Kok Thai, 72, warga emas yang memiliki kuasa magnet sehingga dapat melekatkan pelbagai objek di badannya sejak tahun 2002 kini kembali.

Dia yang berasal dari Gunung Rapat di sini mendakwa mempunyai keistimewaan terbaharu apabila kulit tubuhnya tidak lut apabila dilumur dengan serpihan kaca tajam.

“Dahulu, saya pernah dicabar seorang lelaki dari India agar mempelbagaikan kemahiran selain hanya melekatkan pelbagai objek pada badan.

“Baru-baru ini, saya cuba melumurkan badan dengan serpihan kaca tajam dan nyata ia langsung tidak melukakan kulit saya,” katanya ketika mengunjungi pejabat Kosmo! di sini semalam.

Serentak dengan itu, katanya, dia membuat keputusan untuk menarik balik hasratnya untuk bersara seperti mana yang dibuatnya pada Julai tahun lalu demi untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kenangan mengadakan persembahan amal membantu mengutip derma bagi pertubuhan anak yatim dan miskin sentiasa mengusik perasaan saya.

“Sekarang saya bersedia mempamerkan keistimewaan saya semula bagi membantu golongan memerlukan selagi hayat masih ada,” katanya.

Wednesday, December 21, 2011

SKM sasar perolehan RM24 bilion


 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasar untuk meningkatkan perolehan koperasi di negara ini kepada RM24 bilion pada tahun depan.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md. Yusof Samsudin berkata, unjuran tersebut merupakan kenaikan enam peratus daripada perolehan yang dijana koperasi pada tahun ini iaitu kira-kira RM21 bilion.

"Berdasarkan penilaian Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), pusingan modal atau perolehan merupakan elemen penting yang dinilai bagi menentukan kejayaan sesebuah koperasi.

"Sehubungan itu, agenda meningkatkan perolehan semua koperasi di negara ini menjadi indeks prestasi utama (KPI) SKM mulai tahun depan," katanya selepas merasmikan bangunan baharu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) Perak di Bandar Meru Raya di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Perhubungan Angkasa Perak, Radzi Jaafar.

Oleh itu, Md. Yusuf berkata, SKM akan memberi tumpuan kepada 8,873 koperasi yang masih memperolehi pusingan modal berskala kecil dan sederhana iaitu di bawah RM5 juta setahun.

“Ia merangkumi peratusan besar iaitu 98.6 peratus daripada 9,000 koperasi yang wujud di negara ini. SKM akan bantu koperasi terbabit untuk meningkatkan perolehan masing-masing.

“Koperasi berkenaan juga dinasihat menceburi industri peladangan, hartanah dan pemprosesan yang mampu menjana keuntungan besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Md. Yusuf berharap peningkatan perolehan itu bakal menaikkan lagi standard koperasi tempatan di mata dunia seterusnya tersenarai antara 300 koperasi terbaik dunia.

Katanya, setakat ini, cuma Bank Rakyat telah tersenarai dalam laporan Global 300 dikeluarkan ICA sebagai koperasi ke-245 terbaik dunia.

Sunday, December 18, 2011

Return 2 Green perluas produksi produk mesra alam

IPOH - Syarikat pembuatan produk pembungkusan biodegradasi tempatan,  Return  2  Green  Sdn. Bhd. ( Return  2  Green ) akan membangunkan sebanyak 18 buah kilang di seluruh negeri Perak pada tahun depan.

Naib Pengerusinya, Datin Rahmah Kassim berkata, dua daripada 18 lokasi kilang itu telah dikenal pasti iaitu Kawasan Perindustrian Pelabuhan Lumut dan Taman Teknologi Tinggi Perak, Khatan, Chemor di sini.

"Dua kilang terbabit dijangka akan beroperasi pada suku pertama tahun 2012, sementara baki 16 akan dibangun secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun tersebut.

"Kos pelaburan bagi setiap kilang akan menelan belanja sebanyak RM6 juta dan mampu menghasilkan purata sejuta produk pembungkusan biodegradasi seperti pinggan dan cawan kertas sehari," katanya selepas menandatangani perjanjian berhubungan pembangunan 18 kilang itu dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Samsudin Hashim di sini semalam.

Rahmah berkata, produk biodegradasi yang dihasilkan  Return  2  Green  bersifat mesra alam, mudah terurai kerana dihasilkan daripada sisa pertanian semula jadi seperti sekam padi, hampas tebu dan serat batang pisang.

Menurut beliau, bagi pengeluaran kilang yang bakal dibina di Perak, pihaknya bercadang untuk mendapatkan bahan mentah bagi penghasilan produk pembungkusan mudah terurai terbabit dari beberapa kawasan pertanian di seluruh negeri Perak.

"Setakat ini, kami telah mengenal pasti untuk mendapatkan sekam padi daripada kawasan jelapang padi di Kerian, sementara serat batang pisang dari Lawin, Gerik," katanya.

Dua juta rakyat mohon BR1M

IPOH – Sebanyak dua juta orang sudah mengemukakan permohonan masing-masing untuk mendapatkan wang sekali bayar RM500 menerusi program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dalam tempoh enam hari sejak ia dibuka pada 10 Disember lalu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kesemua permohonan itu sedang diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menentukan kelayakan mereka.

Katanya, jumlah pemohon seramai dua juta orang itu membentuk 61.5 peratus daripada 5.2 juta isi rumah yang layak menerima manfaat BR1M.

“Saya yakin proses melibatkan 5.2 juta permohonan itu dapat disempurnakan dalam tempoh sebulan sehingga 10 Januari depan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada pembentangan Bajet 2012, Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali bayar RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah bagi meringan beban rakyat berpendapatan rendah.

Bayaran akan dibuat mulai 16 Januari depan manakala tempoh pendaftaran akan bermula 10 Disember lalu hingga 10 Januari depan.

Ahmad Husni berkata, pemohon juga boleh menggunakan borang BR1M yang difotostat daripada borang asal selagi formatnya tidak diubah.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima pertanyaan berikutan kekeliruan orang ramai berhubung penggunaan borang permohonan BR1M yang difotostat bagi tujuan mendapatkan bantuan itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, orang ramai tidak perlu panik dan menasihatkan mereka supaya mendapatkan borang tersebut yang diedarkan melalui agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan.

Ahmad Husni berkata, bagi memudahkan lagi proses permohonan, borang BR1M akan diiklankan di akhbar-akhbar utama esok selain boleh didapati melalui laman web Kementerian Kewangan.

Katanya, mereka yang berdaftar dengan program e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan mendapat pemberian RM500 itu.

Bagaimanapun, Ahmad Husni menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati agar tidak terperdaya dengan pengedaran borang permohonan palsu yang telah ditokok tambah seperti meminta nombor akaun bank.

Thursday, December 15, 2011

Cinta air tangan Ana, Riz

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TEMPOH lapan bulan sudah memadai buat heroin filem Mantra, Ana Dahlia dan Chef Riz mengenal hati budi masing-masing seterusnya menyimpul mati.

Perjalanan cinta singkat Ana Dahlia dengan juri program realiti pencarian tukang masak selebriti, Masterchef Malaysia itu bernoktah sudah pada Ahad lalu.

Dengan sekali lafaz, pemilik nama Diyana Mastura Jaafar, 28, tersebut sah menjadi suri kepada Chef Riz, 29, atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 12.25 tengah hari.

Pasangan berkenaan dinikahkan Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping, Perak.

“Keputusan untuk mengahwini Ana Dahlia sebenarnya telah diputuskan pada minggu pertama perkenalan kami lagi,” jelas Chef Riz yang ditemui Kosmo! pada majlis persandingan mereka di Dewan Banquet Menara Kamalbina, Taiping pada sebelah malam.

Rombongan pengantin lelaki yang segak dan anggun berbusana biru firus diketuai bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 53.

Beberapa rakan artis seperti Farhan AF, Adam Corrie Lee, Wan Sharmila dan Zarynn Min turut memeriahkan majlis resepsi yang bermula pukul 8.30 malam itu.

Cukur muka dengan krim 

Mengakui perkenalan dirinya dan isteri hasil inisiatif adik perempuannya, Serina, Chef Riz tidak pernah melupakan detik-detik awal perkenalan mereka.

Ujarnya, adik perempuannya yang menemui jodoh kira-kira dua tahun lalu itu adalah individu yang rajin menjadi pencari jodoh ‘tanpa gaji’ buat dirinya.

“Serina sering memperkenalkan kawan-kawan perempuannya yang masih bujang kepada saya namun semuanya tidak menjadi.

“Sehingga pada suatu hari dia menunjukkan sekeping foto saya kepada kawan baiknya, Ana Dahlia,” beritahunya.

Namun jelas Chef Riz: “Foto itu gagal menarik minat Ana Dahlia yang menyifatkan wajah Chef Riz terlalu ‘jambu’.”

Serina yang tidak putus asa kemudiannya menunjukkan pula foto terbaharu abangnya itu yang kebetulan ketika itu berjambang dan berkumis.

Penampilan maskulin itu juga gagal menarik perhatian bekas peserta program realiti Pilih Kasih yang membuat persepsi Chef Riz kelihatan sebagai seorang yang garang dan perengus pula.

Begitupun setelah dipaksa Serina, Ana Dahlia pergi juga ke restoran On The Table milik chef muda itu di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur beberapa hari kemudian.

“Kali pertama menatap wajah Ana Dahlia semasa dia mahu melangkah masuk restoran, saya terkesima dengan keayuannya.

“Cepat-cepat saya berlari ke dapur dan secara spontan menyapu krim masakan di muka lalu mencukur misai dan jambang dengan pantas sebelum bertemunya,” beritahu Chef Riz sambil tergelak mengingatkan momen yang menggelikan hati itu.

Pertemuan kedua

Ana Dahlia yang anggun di sebelah suaminya dengan berbusana gaun ungu rekaan Fendi dari butik Syarakim menyampuk, detik itu kemudian membawa kepada pertemuan kedua di restoran sama selepas itu.

“Sebenarnya, hati saya masih berbelah bahagi lagi pada masa itu tapi mengenangkan kesungguhan Serina, saya pergi juga.

“Sampai di restoran, Chef Riz menghidangkan saya beberapa hidangan istmewanya dengan memberi layanan kelas satu. Di situ baru timbul keserasian,” katanya.

Jelasnya, akibat terlalu rancak bersembang di meja makan, mereka tidak perasan temu janji kedua itu berlarutan selama 10 jam dan sedar-sedar sudah dinihari.

Chef Riz yang mewarisi kemahiran kulinari daripada bapanya juga bersyukur hasrat untuk mengahwini wanita yang mahir memasak termakbul jua.

“Rakan-rakan sering mengusik sebagai tukang masak, saya pasti bertemu jodoh yang isteri yang kekok beraksi di dapur.

“Alhamdulillah telahan mereka itu terbukti salah. Bagi saya segah mana pun saya di dapur, air tangan isteri tetap menjadi pilihan semasa di rumah,” katanya yang turut mengimpikan salah seorang daripada zuriatnya bakal mengikut jejak langkah menjadi chef.

Mengakui air tangan Ana Dahlia menyelerakan, Chef Riz mengiktiraf kecekapan isterinya itu di dapur setaraf peserta Masterchef.

Menurutnya, secara purata, wanita yang kini bertakhta di hatinya itu mampu memasak empat jenis menu yang lazat dalam jangka masa sejam sahaja.

“Sehingga kini masih terkenang-kenang kesedapan masakan rendang ayam, kangkung goreng belacan, sambal tumis petai dan ayam goreng berempah yang merupakan menu pertama dimasaknya untuk saya,” katanya.

Tuesday, December 13, 2011

Padah halang kekasih ke KL

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH – Kemarahan 1,200 pengguna kereta api yang terkandas dari Tapah Road ke Tanjung Malim ekoran panggilan bom palsu sedikit reda apabila seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam.

Jurujual sebuah syarikat jualan langsung, N. Navindran, 25, dari Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan dekat sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat panggilan palsu tersebut kepada polis melalui telefon bimbitnya pada pukul 1.45 pagi, 1 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, Navindran telah mendakwa kewujudan bom di sepanjang 76 kilometer laluan kereta api itu menerusi panggilan telefon kepada seorang anggota polis yang bertugas di Pejabat Pegawai Bertugas Ibu Pejabat Polis (IPD) Tapah.

Namun selepas pemeriksaan teliti di 21 buah jambatan di situ dan perkhidmatan kereta api terjejas lebih 10 jam, maklumat yang diberikan anak pengusaha restoran di Teluk Intan itu didapati palsu.

Difahamkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) rugi lebih RM500,000 berikutan kejadian itu.

Sehubungan itu, Navindran dituduh membuat ugutan jenayah yang bertujuan untuk menyebabkan kematian, kecederaan dan kegentaran orang ramai mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan dia boleh dipenjara tujuh tahun dan denda. Tertuduh diwakili peguam bela, V. Santhiran.

Majistret Fairuz Adiba Ismail membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dan menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan siasatan polis terhadap kes tersebut hampir terungkai dengan tertangkapnya seorang lelaki yang disyaki berbuat demikian semata-mata hendak menghalang kekasihnya pergi ke Kuala Lumpur.

Suspek berbuat demikian untuk menghalang kekasihnya yang juga bekerja di situ untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur dengan menaiki Tren Elektrik (ETS).

Difahamkan, dia cemburu kerana bimbang jika kekasihnya terpaut hati terhadap seorang rakan sekerja mereka yang turut mengikuti kursus itu

SPNB perkenal rumah mesra alam

IPOH - Semua Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang akan dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mulai tahun depan berciri reka bentuk baharu yang mesra alam.

Pengarah Urusan SPNB, Prof. Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, pembinaan rumah terbabit bakal menggunakan komponen mesra alam yang mampu menyerap haba sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

"Reka bentuk baharu itu menjadikan rumah dibina di bawah skim RMR kurang hangat semasa cuaca panas terik. Ia akan mengurangkan penggunaan kipas angin dan penghawa dingin sekali gus menggurangkan penggunaaan tenaga elektrik.

"Selain itu, sebuah sistem yang mampu menadah air hujan untuk kegunaan isi rumah seperti tandas akan turut dipasang," katanya kepada pemberita semelas majlis penyerahan kunci rumah baharu kepada pasangan suami isteri, Suparman Wadiman, 76, dan Aziah Endut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail di Kampung Tersusun Sri Klebang di sini semalam.

Pembinaan rumah baharu di bwwah RMR itu sebagai ganti kepada rumah warga emas berkenaan yang terbakar pada Oktober lalu selepas hanya empat bulan diduduki.

Kamarul Rashdan memberitahu, prototaip reka bentun baharu berkenaan dijangka siap tidak lama lagi dan bakal dipertonton kepada awam pada akhir bulan ini.

"Individu yang terlibat dalam pembinaan rumah di bawah skim RMR selepas ini juga diberi kebebasan memilih antara salah satu reka bentuk berkenaan berdasarkan latar belakang keluarga, sosial dan lokasi masing-masing," katanya.

Kamarul Rashdan berkata, reka bentuk rumah baharu itu lebih luas dengan berkeluasan 93 meter persegi berbanding 80 meter persegi sebelum ini dan harga ditawarkan cuma RM65,000.

Monday, December 12, 2011

Murid OKU terima anugerah cemerlang

IPOH - Seorang murid daripada golongan orang kelainan  upaya (OKU) tidak menyangka menerima hadiah istimewa  berikutan kecemerlangannya dalam keputusan Ujian Pen capaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Kejayaan Chong Wen Rui, 12, yang menghidap sejenis penyakit  saraf sejak kecil menerima Anugerah Kecemerlangan Is timewa selepas memperoleh 6A 2B dalam peperiksaan itu.

Tambah manis, dia yang juga menjalani rawatan Per satuan Pemulihan Sultan Azlan Shah (PPSAS), Bercham di  sini sejak berusia setahun setengah menerima anugerah itu  daripada Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Wen Rui berkata, anugerah dan peluang bertemu dengan  Tuanku Zara telah meningkatkan azamnya untuk lebih  berusaha bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang pada  masa depan.

“Sebenarnya saya masih tidak berpuas hati dengan ke putusan UPSR kerana tidak memperoleh semua ‘A’ ber ikutan hanya mendapat ‘B’ dalam subjek Sains dan Bahasa  Cina (Penulisan,” katanya ketika ditemui selepas  menerima anugerah tersebut di sini baru-baru ini.

Chef Riz kini suami Ana Dahlia

 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Dengan sekali lafaz, juri rancangan realiti pencarian tukang masak selebriti, Masterchef, Chef Riz, 29, atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri sah menjadi suami kepada pelakon, Ana Dahlia, 28, semalam
.
Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering di sini pada pukul 12.25 tengah hari.

Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar menerima wang hantaran RM20,000 dan mas kahwin RM1,001 serta sebentuk cincin.

Dia yang pernah membintangi filem genre seram Mantra menerima 13 dulang hantaran daripada suaminya dan membalas 15 dulang hantaran bagi pihak pengantin perempuan.

Turut hadir bapa Chef Riz iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, ibunya, Norhayati Ayob dan adik dia yang juga pelakon, Serina serta suami, Salahuddin Ghafar Abdullah.

Chef Riz dan Ana Dahlia yang berpakaian sedondon rona putih rekaan Fendi dari butik Syarakim bersyukur hasrat mereka untuk disatukan setelah hampir setahun bercinta termakbul.

Pasangan merpati dua sejoli itu kemudiannya diraikan dalam majlis persandingan di Dewan Banquet Menara Kamalbina di sini pada pukul 8.30 malam tadi.

Sunday, December 11, 2011

Semua yang layak akan dapat RM500

 IPOH – Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini berjumlah RM2.6 bilion dengan tujuan memastikan kesemua isi rumah yang layak akan menerima manfaat yang dijanjikan menerusi Bajet 2012.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dana RM2.6 bilion itu adalah untuk disalurkan kepada 5.2 juta isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

“Walaupun pangkalan data kerajaan menunjukkan 5.2 juta atau 79.5 peratus isi rumah negara ini sahaja yang layak, kita mungkin tambah (peruntukan) jika perangkaan sebenar menunjukkan jumlah penerima manfaat adalah lebih ramai,” katanya kepada pemberita di Dewan 1Malaysia Chemor dekat sini semalam.

Ahmad Husni memberitahu, setiap permohonan akan diperiksa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum kelulusan diberi untuk bayaran pada pertengahan bulan depan.
Beliau juga yakin tidak akan berlaku ketirisan pemberian  BR1M kepada golongan tidak layak apatah lagi individu yang  didapati memberi maklumat palsu boleh dikenakan tindakan  undang-undang iaitu hukuman penjara maksimum tiga ta hun dan denda mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan jika  sabit kesalahan.

Sementara itu dalam satu majlis pengedaran borang BR1M di Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam, Ahmad Hunsi menjelaskna, Kementerian Kewangan belum menetapkan bentuk tindakan undang-undang jika ada penipuan dalam pengisytiharan pendapatan pemohon.

"Individu yang tidak ada slip gaji juga layak memohon berdasarkan 'penggisytiharan sendiri' pendapatan mereka tetapi pendaftaran hendaklah dibuat secara jujur.

"Kita akan semak. Kalau ia tidak betul dan mereka telah menerima bantuan RM500, kita akan mengambil tindakan," katanya.

Maklumat lanjut boleh layari laman web http://www.treasury.gov.my atau hubungi talian 1-800-222-500.

Saturday, December 10, 2011

Kargo Indonesia cuba seludup ikan yu

IPOH - Cubaan sebuah kapal kargo Indonesia untuk menyeludup sirip ikan yu dan sarang burung walit ke negara ini berjaya digagalkan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Kapal kargo  Indomas   II  itu ditahan selepas dipintas sepasukan anggota APMM yang sedang meronda di perairan Selat Dinding, Lumut pada pukul 2.15 petang.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Ang Cheng Hwa berkata, semasa ditahan kapal kargo yang turut membawa hasil perikanan itu dipercayai mahu berlabuh di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh, Sitiawan.

"Pemeriksaan APMM mendapati kapal itu turut membawa seguni sirip ikan yu dan sarang burung walit yang disimpan di tempat tersembunyi dipercayai mahu diseludup ke negara ini.

"Sehubungan itu semua tujuh anak kapal terbabit yang merupakan warga Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Thursday, December 8, 2011

Lelaki dituduh tipu surat wasiat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pengusaha ladang limau bali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memalsukan surat wasiat bagi membolot harta pusaka mendiang bapanya yang bernilai jutaan ringgit.

Wong Chee Seong, 53, yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik dituduh melakukan perbuatan itu pada 2005.

Berikutan wasiat yang didakwa Chee Seong dibuat sebelum bapanya meninggal dunia mencetuskan pertikaian keluarga dan menyebabkan kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini dua tahun lalu.

Salah seorang adik tertuduh pada bulan lalu membuat laporan polis selepas mengesyaki sesuatu mencurigakan berhubung surat wasiat peninggalan bapa mereka.

Siasatan polis kemudian membawa kepada penemuan bukti penipuan dalam penulisan surat wasiat terbabit menyebabkan Chee Seong ditahan di rumahnya di Kampung Baru Ampang Baru kelmarin.

Dalam pertuduhan pertama, Chee Seong didakwa memalsukan dokumen berupa wasiat bagi membolehkan wang simpanan mendiang bapanya berjumlah RM83,018.61 yang disimpan dalam akaun tetap di sebuah bank di Jalan Yang Kalsom di sini dipindah milik kepadanya pada 13 September 2005.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminda wasiat berkenaan di sebuah pejabat peguam di Jalan Tun Sambathan di sini bagi memiliki tiga lot tanah mendiang bapanya di Ulu Kinta dekat sini pada hari sama.

Dalam kedua-dua pertuduhan, Chee Seong yang turut mengusahakan kolam ikan dan ternakan ayam di sekitar Tambun dan Ulu Kinta dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Jika sabit kesalahan, Chee Seong yang diwakili peguam bela, M. Kulasegaran boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Bagaimanapun, Chee Seong yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan itu diterjemahkan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Julie Leck Abdullah membenarkan Chee Seong dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM16,000 dan seorang penjamin serta memutuskan sebutan semula kes terbabit pada 9 Januari depan.

Beberapa sanak saudara termasuk sebahagian daripada adik-beradik tertuduh turut kelihatan untuk menghadiri sebutan kes tersebut.

Wednesday, December 7, 2011

As-Siddiq tarik pelesit rempit ubah sahsiah

IPOH - Kelab Permotoran Pro Rider (KPPR) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan As-Siddiq mampu menangani masalah pelesit rempit jika taraf hidup golongan itu ditingkatkan.

Pengerusi As-Siddiq, Habidi Zain berkata, melalui KPPR, pihaknya akan memastikan sahsiah golongan ini akan berubah kepada positif secara beransur-ansur.

"Objektif penubuhan KPPR adalah untuk menggalakkan golongan itu berlumba motosikal secara sihat di samping membantu mereka meningkatkan taraf pendidikan dan kerjaya.''

"Ahli kelab berpeluang belajar bidang kemahiran yang diminati secara sambilan atau sepenuh masa di Kolej Seri Manjung (KSM) dan kami menyediakan litar khas untuk mereka berlumba pada hujung minggu," katanya selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Pecutan Pro Rider di Seri Iskandar di sini semalam.

Habidi berkata, ahli KPPR akan memulakan kursus kemahiran seperti permotoran, automobil, maritim dan cari gali gas dan minyak di KSM mulai sesi pengajian Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif KSM berkata, pihaknya juga telah mencari majikan dalam industri maritim, cari gali gas dan minyak serta automobil untuk menaja pengajian ahli KPPR di KSM.

"Saya percaya jika taraf hidup mereka ditingkatkan dan pada masa sama hobi mereka berlumba di hala ke jalan betul, sahsiah mereka akan berubah kepada positif.

"Setakat ini, KPPR telah mengumpulkan hampir 3,000 pelesit rempit dari seluruh Perak sejak ia ditubuhkan pada September lalu. insya-Allah kelab ini akan dikembangkan di seluruh negara pada masa terdekat," katanya.

Pertubuhan As-Siddiq merupakan sebuah organisasi kebajikan yang memainkan peranan aktif dalam membantu golongan memerlukan di sekitar Perak sejak enam tahun lalu.

Tuesday, December 6, 2011

Tiga penculik jutawan terima balasan


IPOH – Tiga penculik warga asing yang mati ditembak polis di sebuah ladang kelapa sawit Sabtu lalu merupakan penjenayah tegar di mana mereka telah melakukan empat kes penculikan di sekitar Kedah melibatkan wang tebusan berjumlah jutaan ringgit sejak awal tahun ini.

Suspek-suspek bersenjatakan pistol berusia di antara 25 dan 30 tahun tersebut dikatakan telah menculik dua mangsa di Kuala Muda dan masing-masing seorang di Kubang Pasu dan Kota Setar.


Difahamkan, suspek amat berbahaya kerana sanggup mendera kesemua mangsa sebelum dibebaskan sebaik mendapat wang tebusan. Wang tebusan ditetapkan mengikut tahap kekayaan keluarga mangsa.

Polis gagal menjejaki suspek sebelum ini kerana kes itu hanya dilaporkan selepas wang tebusan berpindah tangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek ditumpaskan oleh satu pasukan khas yang dianggotai polis Kedah, Perak dan Bukit Aman sebaik menerima laporan mengatakan anak seorang ahli perniagaan berusia 23 tahun dari Sungai Petani diculik pada 28 November lalu.

Katanya, abang mangsa yang menetap di Bukit Selambau, Sungai Petani telah memaklumkan kejadian itu sebaik dia menerima panggilan daripada penculik yang memintanya menyerahkan RM500,000 untuk membebaskan adiknya dalam bahasa Tamil.

"Polis yang membuat siasatan kemudian menemui tempat suspek menyembunyikan mangsa dan penjenayah telah ditumpaskan dalam kejadian berbalas tembak itu.

"Mangsa yang cedera ringan dan lebam di beberapa anggota badan akibat didera penjenayah kini dirawat di Hospital Sungai Siput," katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan polis menembak mati tiga penculik warga asing dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Siput dekat sini pada pukul 7 malam Sabtu lalu.

Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM500,000 itu mula menyerang dan enggan menyerah diri.

Menurut Mohd. Shukri, selain menembak mati penjenayah, polis turut merampas sepucuk pistol Revolver, empat bilah parang dan empat telefon bimbit milik suspek.

Beliau memberitahu siasatan polis juga mendapati ketiga-tiga penjenayah terbabit mengenali mangsa dan pernah bekerja sebagai pekerja kontrak dengan bapa mangsa yang menceburi industri hartanah dan pembinaan.

Cemburu punca 1,200 terkandas

 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Siasatan polis terhadap kes panggilan bom palsu hingga menyusahkan 1,200 pengguna kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim Khamis lalu hampir terungkai dengan tertangkapnya seorang lelaki yang disyaki berbuat demikian semata-mata hendak menghalang kekasihnya pergi ke Kuala Lumpur.


Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 petang di Teluk Intan Sabtu lalu selepas polis mengenal pasti identitinya. Suspek yang merupakan jurujual di sebuah syarikat jualan langsung membuat panggilan dengan telefon bimbit.

Suspek berbuat demikian untuk menghalang kekasihnya yang juga bekerja di situ untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur. Difahamkan, dia cemburu kerana bimbang jika kekasihnya terpaut hati terhadap seorang rakan sekerja mereka yang turut mengikuti kursus itu.

Pasangan itu juga dikatakan sering bergaduh tetapi berbaik semula selepas keadaan reda.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati suspek tiada niat lain selain hendak menghalang niat kekasihnya yang berusia 25 tahun mengikuti kursus di ibu negara pada hari kejadian.

"Suspek yang tidak sedap hati dan berang dengan kedegilan kekasihnya itu bertindak nekad dengan membuat panggilan palsu bagi menghalang perjalanan kekasihnya yang menggunakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Kuala Lumpur pada pagi 1 Disember lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, perbuatan tidak bertanggungjawab suspek bukan sahaja menyebabkan perjalanan kekasihnya tersangkut di Tapah Road malah turut menyusahkan lebih 1,200 penumpang lain.

Menurut Mohd. Shukri, suspek kini direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah. Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda.

"Saya harap kes ini menjadi pengajaran agar tiada sesiapa lagi sewenang-wenangnya membuat panggilan palsu untuk kepentingan diri atau menyelesaikan masalah peribadi," tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut mengesahkan penemuan sekeping tikar yang dilipat bersama beberapa botol plastik kosong yang diletupkan berhampiran sebuah jambatan di landasan kereta api di Kilometer 259.25 berhampiran Slim River pada hari berkenaan tiada kaitan dengan suspek.

Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terjejas teruk dan tergendala lebih 10 jam selepas menerima panggilan yang mengatakan terdapat bom di sepanjang 76 kilometer laluan kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim.

Polis kemudian terpaksa membuat pemeriksaan teliti di 21 buah jambatan di sepanjang laluan kereta api tersebut tetapi tiada sebarang bom ditemui.

Penumpang yang terkandas kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki 11 buah bas yang disediakan KTMB.

Monday, December 5, 2011

Tiga penculik anak ahli perniagaan mati ditembak

IPOH - Tindakan tiga lelaki warga asing yang menculik anak seorang ahli perniagaan untuk meminta wang RM500,000 memakan diri apabila kesemuanya mati dalam kejadian berbalas tembak di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Siput dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 7 malam itu berlaku apabila polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas suspek mula menyerang dan enggan menyerah diri sebaik diserbu.

Sumber berkata, sebelum kejadian, suspek telah mengarahkan seorang ahli perniagaan supaya menyerahkan wang RM500,000 jika mahu anak lelakinya yang diculik dibebaskan.

"Ahli perniagaan itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis sebelum pergi ke ladang tersebut dengan membawa wang tembusan itu.

"Sepasukan polis yang bersembunyi telah bertindak menyerbu ketiga-tiga suspek selepas anak mangsa dilepaskan dan wang tebusan bertukar tangan," katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, suspek yang enggan menyerah diri kemudian telah menyerang dengan menggunakan sejenis senjata menyebabkan polis tiada pilihan selain melepaskan tembakan.

Menurut beliau, dua daripada suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi terkorban ketika dirawat di Hospital Sungai Siput.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan difahamkan akan mengadakan sidang akhbar mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak pada hari ini.

Saturday, December 3, 2011

Beg kertas bongkar rahsia bayi baru lahir dibuang

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH  - Seorang pekerja kontrak Tenaga Nasional Berhad ( TNB ) terkejut menjumpai satu  mayat   bayi  yang hampir reput ketika melakukan kerja-kerja pembersihan berhampiran sebuah kotak fius syarikat utiliti itu di Jalan Datuk Seri Ahmad Said, Greentown di sini semalam.

Jamil Mohd. Barin, 19, berkata, dia menemui  mayat   bayi  malang itu di dalam sebuah beg kertas berwarna biru sewaktu sedang memotong rumput di kawasan tersebut pada pukul 9.40 pagi.

"Sewaktu hendak mengalihkan longgokan sampah di bahagian tepi kotak fius  TNB  bagi memudahkan kerja-kerja pemotongan rumput, saya ternampak satu beg kertas.

"Di dalam beg kertas itu saya lihat seperti ada sehelai seluar pendek warna biru dan baju kemeja tapi apabila dipegang beg itu agak berat," kata Jamil kepada Kosmo! ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Menurut Jamil, dia yang curiga memeriksa beg kertas itu sebelum terkejut ternampak kepala  bayi  yang hampir reput sebelum terus menghubungi penyelianya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah  Ipoh , Asisten Komisoner Azisman Alias yang dihubungi berkata, pemeriksaan awal polis mendapati  bayi  itu telah mati sejak tiga hari lalu berdasarkan keadaan fizikalnya yang hampir reput.

Beliau berkata,  bayi  malang yang masih belum dikenal pasti jantina berkenaan disyaki dibuang di kawasan terbabit sejurus dilahirkan.

" Mayat   bayi  itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di  Ipoh  untuk dibedah siasat," katanya.

Anai-anai dalam perkahwinan

 SESUATU yang unik dan sudah tentu barangan hantaran paling berharga daripada Zahiril buat Shera adalah hantaran yang merupakan senaskhah buku petua kerukunan  perkahwinan  berjudul  Anai-Anai  Dalam  Perkahwinan  yang ditulis sendiri oleh ibu Zahiril Adzim, Zailan Yussof, 54.

Zailan yang merupakan seorang kaunselor  perkahwinan  memberitahu, buku yang sarat dengan tip panduan dan pengukuhan hubungan suami isteri d dedikasi khas untuk Shera yang merupakan menantu keduanya.

"Saya memilih untuk menghadiahkan naskhah pertama buku tulisan saya yang baru diterbitkan tiga minggu lalu sebagai hantaran kepada menantu baru saya ini.

 Selain nasihat secara lisan dan contoh teladan baik, saya harap kandungan buku tersebut dapat dimanfaatkan mereka (Zahiril Adzim dan Shera) sebagai pedoman sepanjang melayari kehidupan rumah tangga," ujar Zailan.

Tambahnya, ilham menghasilkan karya  Anai-Anai  Dalam  Perkahwinan  timbul daripada pengalaman diri sendiri dan pelanggan yang pernah mendapatkan khidmatnya sebagai kaunselor  perkahwinan  sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya lagi, elemen seperti komunikasi dua hala dan menghabiskan masa bersama yang berkualiti kerap menjadi ' anai-anai ' yang membawa keruntuhan rumah tangga sekiranya di pandang remeh-temeh oleh pasangan suami isteri.

Dalam pada itu, Zailan berpendapat Shera merupakan seorang wanita yang bijak, mempunyai matlamat hidup yang positif dan bukan seorang yang meninggi diri.

"Saya yakin menantu baru saya ini mampu menjadi isteri yang bertanggungjawab kepada anak lelaki saya dan menantu yang disenangi keluarga kami," jelasnya.

Thursday, November 24, 2011

Sahsiah Shera pikat Zahiril

 AIR MATA yang bercucuran di pipinya menjadi simbol betapa pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini di TV3, Shera Aiyob cukup terharu dan bersyukur kerana akhirnya dia selamat dan sempurna bergelar isteri pelakon Zahiril Adzim atau nama penuhnya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar.

Pemilik nama sebenar Nur Syahira Aiyob itu turut berkongsi emosi tersebut bersama ibunya, Nor Asmah Mohd. Ali, 50, yang turut menyaksikan anak sulungnya itu anggun duduk di pelamin rekaan Zaha Wedding Planner.

Mengenakan busana putih suci rekaan Hatta Dolmat, Zahiril, 27, dan Shera, 25, tidak dapat menyembunyi keterujaan bergelar suami isteri.

Pasangan pengantin yang sama padan itu selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak Ahad lalu, sejurus ketibaan rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan kesemuanya sepakat menyarung kostum berwarna merah hati tiba di kediaman pengantin perempuan.

Majlis akad nikah disempurnakan dengan pasangan dinikahkan oleh bapa Shera, Aiyob Shaharuddin, 53, dengan sekali lafaz sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani pada pukul 10.10 pagi.

Pada majlis perkahwinan itu, Shera menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan 13 dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.
Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah telefon pintar BlackBerry, al-Quran, set pewangi badan, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan. Barangan hantaran yang diterima pengantin perempuan pula termasuklah sepasang kasut, seunit i-Pad 2, seutas rantai mutiara, beg tangan, alat solek, coklat dan al-Quran digital.

Tegas tetapi manja

Usai menyarung cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tak lekang mengukir senyum secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang bertakhta di sanubarinya itu.

"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak berpura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walaupun dalam apa keadaan sekalipun.
"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tuturnya.

Mula berkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal awal tahun lalu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, ternyata sahsiah Shera yang berdikari, tegas tetapi manja benar-benar memikat hati Zahiril Adzim.

"Shera seorang yang manja tetapi dalam masa yang sama dia tegas dan berdikari, inilah antara ciri-ciri yang membuatkan hati saya sangat terpaut kepada Shera," luah Zahiril.

Dalam pada itu bagi Shera pula, Zahiril Adzim pada matanya adalah seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui keluarga kedua-dua pihak dan dibekati Illahi.

"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa manis di mata saya. Paling membuatkan saya 'cair' kepadanya ialah sifat romantisnya. Malah, menurut Shera sikap suaminya yang juga berbakat dalam bidang penulisan terserlah dalam karya buku pertamanya yang berjudul, Bogel Menuju Tuhan.

"Puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya, Bogel Menuju Tuhan, begitulah juga dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya ketika bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.

11 orang anak 

Diusik dengan bilangan anak diidamkan, Shera yang pernah membintangi filem genre seram Karak menegaskan dia tidak merancang dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan.

"Bagi saya, kalau satu pasukan bola sepak (11 orang) tak jadi hal, jika Allah kurnia seorang zuriat pun saya sudah bersyukur," seloroh Shera.

Zahiril yang mengukir senyum di samping Shera memberitahu ekoran jadual karier yang agak padat, mereka belum memikirkan destinasi bulan madu.

"Rasanya tak perlu tergesa-gesa berbulan madu, Allahamdulillah yang penting iaitu upacara akad nikah sudah selesai. Bila mempunyai cuti panjang, barulah kami berbulan madu," katanya.

Menyentuh soal karier, pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem ke-23 pada tahun 2003 menerusi filem Kami The Movie itu menegaskan tidak pernah menghalang penglibatan Shera dalam industri hiburan biarpun sudah bergelar isteri.
 Tambahnya, disebabkan dia dan Shera sama-sama pelakon, dia menyedari berlakon bukan sekadar lubuk mencari rezeki tetapi lebih kepada ruang untuk mencari kepuasan diri bagi pencinta seni.

"Saya beritahu Shera, kalau dia perlu berlakon sebagai pasangan kekasih dengan pelakon lelaki lain, hayati watak itu betul-betul. Tapi setakat di set penggambaran sahajalah, selepas itu Shera tetap hak saya," pesannya ringkas tetapi penuh makna.

Sementara itu tiga jam usai majlis akad nikah pasangan mempelai itu bernikah, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.

Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris bermotifkan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan hampir 3,000 tetamu termasuk rakan artis yang hadir menyerikan majlis persandingan antaranya Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.

Dalam pada itu, majlis resepsi pengantin lelaki pula akan berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor pada 27 November ini.


Wednesday, November 23, 2011

Kisdar dinaik taraf kolej universiti September 2012

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam diberitahu  Kolej  Islam Darul Ridzuan ( Kisdar ) bakal dinaik taraf menjadi  kolej   universiti  pada September tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, jawatankuasa teknikal yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Wan Zahir Wan Nordin telah menghantar dokumen menaik taraf  Kisdar  kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 Oktober lalu.

"Secara prinsipnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, permohonan  Kisdar  untuk menjadi  kolej   universiti  akan diluluskan selewat-lewatnya Mac 2012.

"Oleh itu,  Kisdar  dijangka memulakan operasi sebagai  kolej   universiti  mulai sesi kemasukan pelajar 2012/13 pada September tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Bukit Chandan) pada persidangan Dewan di sini semalam.

Mohammad Zahir berkata, sebagai persediaan pengurusan  Kisdar  telah mengambil beberapa inisiatif seperti menjalin kerjasama dengan  Universiti  Utara Malaysia.

Menurut beliau,  Kisdar  yang diterajui Rektornya, Prof. Madya Dr. Jamil Hashim kini mempunyai 300 kakitangan termasuk 99 pensyarah tempatan dan antarabangsa.

Perut jururawat terburai digilis treler

IPOH – Seorang suami tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang membonceng motosikal yang ditungganginya untuk dihantar bekerja di sebuah klinik di sini maut digilis sebuah treler di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.

Dalam tragedi menyayat hati pada pukul 8.50 pagi itu, Liew Suet Foong, 50, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian perut sebelah kiri badannya terburai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram di sini dari rumah mereka di Silibin di sini.

"Sewaktu membelok masuk ke Jalan Raja Musa Aziz dari Jalan Tun Abdul Razak di sini apabila lampu isyarat hijau, motosikal ditunggangi pasangan itu bergesel dengan salah satu tayar treler tersebut.

"Suet Foong terjatuh dari motosikal sebelum badannya digilis treler berkenaan dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, suami mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, manakala mayat Suet Foong dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Seng Yee yang tidak dapat menahan sedih, menangis sehingga terpaksa ditenteramkan oleh orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu.

Pemandu treler terbabit yang berusia 46 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan

Keluarga tragedi Kuala Dipang terima ex-gratia



 IPOH - Bapa kepada tiga pelajar yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di Kampar dua tahun lalu menerima pembayaran ex-gratia daripada kerajaan semalam.


K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan yang merupakan bapa kepada mendiang Devatharshi, 11; DiVyashree, 12; dan Dina Deve, 11, menerima ex-gratia yang tidak dinyatakan jumlah sebagai penyelesaian tuntutan saman yang dikemukakan mereka pada 20 November 2009.

Peguam ketiga-tiga plantif, A. Sivanesan memberitahu, kata sepakat itu dipersetujui Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim menerusi keputusan penghakiman yang dibuat di dalam kamar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Cubaan untuk menemu bual keluarga mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka bergegas keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi sejurus penghakiman diputuskan.

Sebelum ini, ketiga-tiga plaintif telah memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan berhubung kematian tiga murid sekolah rendah itu di Mahkamah Tinggi.

Defendan yang disaman ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai PPD Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia  Kuala   Dipang .

Pihak lain yang turut disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Dalam tragedi 26 Oktober 2009, Devatharshi, Divyashree, dan Dina Deve terkorban setelah jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh sewaktu mereka menyertai Perkhemahan 1Malaysia.

Perkhemahan selama empat hari itu disertai 298 murid tahun empat hingga enam dari sekolah seluruh daerah Kampar.

Tuesday, November 22, 2011

Perak asing akaun kutipan haram

IPOH - Kerajaan negeri Perak buat julung kalinya mengambil inisiatif mengasingkan akaun hasil yang tidak menetapi prinsip syariah  mulai tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry Abd. Kadir (BN - Pangkor) memberitahu satu akaun  khusus akan dibuka bagi tujuan kemasukan hasil tersebut yang dianggarkan sebanyak RM16 juta.

Katanya, antara hasil yang tidak menetapi prinsip syariah itu ialah cukai,  lesen dan bayaran pendaftaran kelab malam, lumba kuda,  snuker, permit hiburan dan tiket pawagam.

“Selain itu, keuntungan yang diterima melalui pembiayaan  pinjaman dan pelaburan secara konvensional turut di masukkan ke dalam akaun khusus berkenaan,” katanya ketika membentangkan Bajet  2012 di Bangunan Perak  Darul Ridzuan di sini semalam.

Beliau menjelaskan akaun khusus berkenaan tetap menjadi sebahagian daripada Akaun Hasil Disatukan dan bakal digunakan untuk tujuan membiayai projek pembangunan.

Zambry turut mengumumkan penjawat awam daripada Kumpulan Sokongan yang bakal bersara mulai tahun depan akan menerima skim pemberian khas dalam bentuk sijil Amanah Saham Wawasan daripada kerajaan negeri Perak berjumlah RM3,000 seorang.

Monday, November 21, 2011

Lima suspek kes campak mayat ditahan

IPOH - Polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh dua lelaki  Pakistan  yang ditemui mati di dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter di bawah jambatan di Kilometer 8.9 Jalan  Gerik -Kupang 17 Oktober lalu berikutan tertangkapnya lima lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, kelima-lima lelaki berusia 30-an dan terdiri daripada tiga tempatan dan dua rakyat asing itu ditahan di Kulim, Kedah, minggu lalu.
Sehubungan itu, polis kini ingin mengesan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu iaitu Shahid@Shahim (rakyat Bangladesh), 40-an, yang beralamat terakhir di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah; Mohamad Shukri Shake Husin, 28, alamat terakhir di No, 1005 Lorong Anggsana 28, Taman Keladi, Sungai Petani; dan Najili Pakker Mohamad @ Zali, 38, alamat akhir di 26A Jalan 2 Taman Cengal Jaya, Sungai Petani.
Kesemua suspek yang merupakan ejen pencari pekerja asing. Suspek dikatakan telah membunuh dan memukul mangsa di tempat lain sebelum dicampak ke dalam gaung tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah  Gerik  di talian 05-7912222 untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati motif kejadian itu berpunca daripada balas dendam.

Kosmo! 18 Oktober lalu melaporkan ketiga-tiga mangsa warga  Pakistan  itu ditemui pada pukul 12 tengah hari oleh orang awam yang sedang mencari sayur pucuk paku di bawah jambatan itu, kira-kira 190 kilometer dari sini.

Mayat dua lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri hampir busuk manakala seorang lagi lelaki dikenali Amjad Rehman cedera parah di badan dan kepala.

Saturday, November 19, 2011

Singa lahir 5 anak di Zoo Taiping

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 TAIPING – Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baharu dengan kelahiran lima ekor anak singa Afrika dan seekor anak gajah baru-baru ini.

Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, empat ekor anak singa jantan dan seekor anak singa betina itu dilahirkan pada 26 Oktober lalu.

“Kelima-lima anak singa Afrika itu adalah baka daripada induk singa betina, Nyanga, 5, yang dilahirkan di Zoo Taiping dan Safari Malam pada 3 September 2006.

“Nyanga merupakan singa kedua yang berjaya dilahirkan di zoo ini dan merupakan singa tempatan pertama berjaya membiak di zoo ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kelvin berkata, semasa dilahirkan keempat-empat anak  singa  terbabit yang masih belum mempunyai nama seberat antara lima hingga enam kilogram (kg).

Beliau memberitahu, kelahiran lima anak  singa  Afrika itu merupakan kali keempat buat  zoo  berkenaan setelah seekor anak  singa  jantan pada 2005, Nyanga (2006) dan dua ekor  singa  jantan serta dua ekor  singa  betina pada Oktober tahun lalu.

"Setakat ini berat semua anak  singa  Afrika berkenaan yang kini sudah berusia tiga minggu telah meningkat sehingga satu kilogram dan masih di kuarantin bersama ibunya," katanya.

Kelvin berkata, kelahiran lima anak  singa  tersebut menjadikan  Zoo   Taiping  dan Safari Malam kini mempunyai 16 ekor  singa , semuanya daripada spesies  singa  Afrika.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan kelahiran seekor anak gajah dari spesies Gajah Malaysia seberat 60kg pada 30 Oktober lalu.

"Anak gajah itu diberi nama Mas kerana dilahirkan semasa sambutan Jubli Emas  Zoo   Taiping  dan Safari Malam baru-baru ini.

"Mas dilahirkan gajah betina, Matang yang berusia lapan tahun yang bersenyawa dengan Setia, 22, satu-satunya gajah induk jantan yang menghuni  zoo  ini," katanya.

Friday, November 18, 2011

Bakal samseng tak tahu ada upacara angkat sumpah

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kebanyakan anggota Genki Seven Malaysia (Ge  nerasi Kini Tujuh Malaysia) terutama pelajar sekolah yang   ditahan  di sebuah resort di Teluk Batik, Lumut Sabtu lalu   mendakwa menyertai perhimpunan haram pertubuhan tersebut tanpa mengetahui wujudnya upacara angkat sumpah kesetiaan ala kongsi gelap.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata,  kebanyakan mereka menerima jemputan daripada penganjur Genki Seven Malaysia menerusi laman rangkaian sosial, Facebook.

“Selain dari Perak, sebahagian daripada 180 individu   termasuk 39 pelajar sekolah yang ditahan itu datang dari Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang; Kulim, Kedah; Terengganu dan Pulau Pinang.

“Biarpun berselindung di sebalik program hari keluarga, risikan polis mengesyaki sesuatu tidak kena di sebalik perhimpunan tersebut termasuk beberapa elemen berkait rapat dengan kongsi gelap,” katanya dalam sidang akhbar di   Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri memberitahu siasatan awal polis juga mendapati Genki Seven Malaysia merupakan pertubuhan haram yang tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Malah menurut beliau, penganjur perhimpunan tersebut iaitu seorang lelaki berusia 40-an juga tidak pernah memohon permit polis.

“Semasa serbuan pada Sabtu lalu, polis turut merampas sijil pelantikan dan sijil angkat sumpah ahli Genki Seven Malaysia dan wang tunai RM2,053.

“Sebenarnya polis sudah lama memantau kegiatan Genki Seven Malaysia. Sebelum ini mereka pernah menganjurkan perhimpunan hampir serupa dengan kehadiran 107 ahli di Tapah pada bulan lalu," kata beliau.

Katanya, seramai 33 pelajar tingkatan lima yang dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka  menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ber  mula Isnin lalu akan dipanggil semula untuk memberi   keterangan selepas peperiksaan mereka tamat.

Kosmo! 14 November lalu melaporkan sekumpulan 180   individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka   sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi   menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, ahli yang   bernaung di bawaah Genki Seven Malaysia termasuk tujuh   wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam   sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Thursday, November 17, 2011

68 pasangan kahwin serentak


 JODOH. Seramai 68 pasangan bukan Islam mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh istimewa 11 November 2011 (11.11.11) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Ipoh baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Perak itu disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata, pasangan pengantin terbabit merupakan sebahagian daripada 723 mempelai bukan Islam yang melangsung perkahwinan sempena tarikh istimewa terbabit di seluruh negara.

Wednesday, November 16, 2011

Mara Perak bimbing 50 usahawan muda

 IPOH - Karnival Usahawan Muda Perak berjaya mencapai objektifnya untuk mencari usahawan-usahawan baharu khususnya daripada golongan belia untuk dibimbing agar lebih berjaya dalam bidang perniagaan industri kecil dan sederhana.

Pengarah MARA Perak, Rusnah Yusoff berkata, sempena karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga semalam, seramai 100 belia dari seluruh negeri ini telah mendaftar untuk program kempen Pencarian Usahawan Muda Perak.

Menurutnya, selepas pemilihan dibuat, sebanyak 50 peserta telah berjaya dipilih dan ia dibuat berdasarkan kepada kecenderungan, potensi dan kesungguhan mereka yang benar-benar layak menyertai program berkenaan.

“Calon yang terpilih akan menghadiri kursus untuk Program Usahawan Muda MARA selama 10 hari merangkumi bimbingan berhubungan penyediaan kertas kerja, perakaunan, pengurusan, jaringan niaga dan aspek pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Karnival Usahawan Muda Perak yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syamsul Baharin Ahmad Shibi di Bazar D’Mara di sini semalam.

Jelas Rusnah, pihaknya juga akan menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM250,000 kepada mana-mana calon usahawan tersebut yang berpotensi.

Terang beliau, lima syarikat yang terdiri daripada Intergrated Electrical & Electronic Sdn. Bhd. (IEE), Akademi Iyanis Green Beauty, Dpor Rue Sdn. Bhd dan Celcom Axiata Berhad telah dipilih sebagai mentor kepada usahawan muda tersebut.

Tuesday, November 15, 2011

FAMA import cili imbangi harga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan @kosmo.com.my

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk  cili   merah  dari Vietnam, China dan Indonesia untuk mengimbangi kenaikan harga hasil pertanian itu sejak sebulan lalu.

Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak berkata, kenaikan harga  cili merah sehingga 30 peratus berkait rapat dengan kekurangan pengeluaran petani tempatan akibat masalah cuaca.

"Faktor hujan menyebabkan pengeluaran  cili   merah tempatan merosot. Biasanya sebelum ini kita tampung dengan mengimport hasil pertanian itu dari Thailand tetapi pengeluaran di negara itu pula menurun pada masa ini akibat banjir.

"Sehubungan itu, FAMA mencari alternatif lain mengimport  cili   merah  dari negara lain seperti Vietnam, China dan Indonesia," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli hasil pertanian ladang kontrak jagung dengan Suria Security Services Sdn. Bhd. di Pengkalan Pegoh di sini semalam.

Ahmad mengulas mengenai harga cili merah  yang terus meningkat sejak sebulan lalu dengan dijual sehingga RM12 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini.

Pasangan suami isteri antara tiga maut kemalangan

KUALA KANGSAR - Tiga orang termasuk sepasanga suami isteri maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kuala Kangsar - Manong dekat sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 10.30 pagi itu, Hasan Basri Hitam Saidin, 57, dan isterinya Siti Ainon Sahing, 45, maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan kereta Proton Saga.

Turut terbunuh ialah penumpang kereta Proton Saga, Salmah Din, 55.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Muhamad berkata, Hasan dan Salmah mati di tempat kejadian manakala Siti Ainon meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada pukul 12.54 tengah hari semalam.

Menurut beliau, anak saudara Salmah, Mohd. Kheran Mohamad Mokhtar, 18, yang memandu kereta Proton Saga cedera di mata.

Abdul Gaffar memberitahu, semasa kemalangan Mohd. Kherani dan Salmah dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulai Ketior, Manong dekat sini dari Kuala Kangsar.

"Tetapi apabila melalui satu sekolah di situ kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggangi Hasan dan Siti Ainon," kata beliau.

Akibat pertembungan itu kereta tersebut terbalik manakala pasangan suami isteri yang berasal dari Ulu Kenas dekat sini tercampak ke dalam semak.

Mayat ketiga-tiga mangsa yang cedera parah pada beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

MBI lawat Majlis Perbandaran Songkhla

 MUHIBAH. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Songkhla, Thailand baru-baru ini.

Delegasi MBI yang diketuai Timbalan Setiausaha Bandar raya (Teknikal), Azizuddin Alias disambut oleh Datuk Bandar Songkhla, Peera Tantisaenee.

Azizuddin berkata, lawatan ke Songkhla bertujuan mengkaji konsep riadah Walking Street Songkhla sebelum diaplikasikan di Ipoh dan dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancongan terbaharu di Perak pada tahun hadapan.

Monday, November 14, 2011

180 bakal gengster Melayu dicekup

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 LUMUT – Sekumpulan 180 individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap di sebuah resort di Teluk Batik di sini kelmarin.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, semua ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama Genki Seven Malaysia (Generasi Kini Tujuh Malaysia) termasuk tujuh wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu melakukan serbuan di resort tersebut.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka sedang membaca ikrar dipercayai berkaitan dengan kegiatan ala kongsi gelap.

“Kumpulan berkenaan dipercayai mendaftar masuk ke resort itu pada petang semalam (kelmarin) dengan berselindung di sebalik program hari keluarga,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, ikrar yang dibacakan oleh kumpulan itu adalah ikrar sumpah untuk taat setia kepada ketua kumpulan dan akan saling melindungi ahli-ahlinya.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah 39 pelajar termasuk 33 orang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Turut ditahan tiga kakitangan yang bekerja dengan agensi kerajaan. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak.

Genki Seven Malaysia yang hampir keseluruhannya dianggotai orang Melayu dipercayai baru ditubuhkan pada 2006 dan didakwa berpusat di Ipoh.

Kumpulan itu kini memperluaskan sayapnya dengan membuka cawangan di Taiping. Genki Seven Malaysia juga sedang mencari ahli-ahlinya dalam kalangan orang muda dan mereka yang masih bersekolah.

“Siasatan polis mendapati perhimpunan haram yang dipercayai menjurus aktiviti kongsi gelap itu didalangi seorang kakitangan agensi kerajaan yang bekerja di Ipoh.

"Kebanyakan suspek terutamanya remaja yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan," kata beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, selepas proses dokumentasi selesai semua yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Sementara itu, sumber dalaman resort itu yang enggan dikenali mendakwa, pihak pengurusan tidak mengetahui perhimpunan membabitkan 180 individu itu merupakan peserta daripada pertubuhan haram.

"Mereka membuat tempahan untuk mengadakan program hari keluarga sebuah pertubuhan belia selama dua hari bermula semalam (kelmarin).

"Serbuan yang dilakukan pihak polis mengejutkan pengurusan resort ini namun kami sedia memberi kerjasama kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sunday, November 13, 2011

Lima mangsa masih di hospital

 IPOH - Lima mangsa yang cedera parah akibat nahas bas membawa rombongan pelajar sekolah yang dirempih sebuah treler di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang kelmarin kini berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supri tendan Md. Tahir Kasim berkata, tiga daripada mereka sedang dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) sementara dua lagi di Hospital Slim River (HSR).

"Rosilawati Mat Rifin, 40, Abdul Rahman Danial Abdul  Ghani, 15 dan Idzni Haikal Khairul Shah, 5, dirawat di HTI  sementara Mohammad Sariffuddin dan Mohd. Azim yang kedua-duanya berusia 15 tahun di HSR.

"Mohd. Faizal Anuar, 15, dab Azriah Hani Ahmad, 31, dibenarkan keluar dari HSR masing-masing pada pukul 10 pagi dan 11.30 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Md. Tahir memberitahu, kedua-dua pemandu bas dan treler yang ditahan kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam setelah keterangan mereka dirakam.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel air kencing dan darah kedua-dua pemand bas dan treler terbabit untuk dianalisis bagi kegunaan ujian dadah dan alkohol.

"Berdasarkan semakan polis, pemandu treler terbabit mempunyai beberapa tunggakan kompaun kesalahan trafik sementara pemandu beas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lalu," katanya.

Saturday, November 12, 2011

Pusat budaya dan warisan


Walking Street Songkhla merupakan ilham  Datuk Bandar Songkhla, Peera Tantisaenee sendiri. Idea  itu dikemukakan Peera sebagai salah satu manifestonya  ketika menghadapi pilihanraya Majlis Perbandaran Song khla pada September 2009.

Peera memberitahu, Walking Street Songkhla dibentuk  untuk menjadi pusat memperkenal budaya dan warisan tempatan.

Identiti Songkhla sebagai kaya kebudayaan dan sejarah  sesuai dengan tarafnya sebagai kota yang sudah berumur  lebih 1,000 tahun diekspoitasi untuk merancakkan industri  pelancongan wilayah terbabit.

Selain menarik pengunjung luar, aktiviti Walking Street  Songkhla juga disesuaikan dengan selera generasi muda  khususnya ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di tiga  IPT yang terdapat di bandar tersebut.
“Sebelum ini biarpun bertaraf ibu negeri, Songkhla jauh  ketinggalan dari segi kehadiran pelancong berbanding Hat  Yai yang terletak di selatan.

“Mereka biasanya akan segera meninggalkan Songkhla  untuk ke Hat Yai yang terletak kira-kira 10 km dari sini
selepas bersantai di Pantai Samila dan bergambar dengan  Patung Emas Duyung,” jelas Peera.

Namun senario itu berubah selepas kewujudan Walking  Street Songkhla yang mula dibuka selepas enam bulan beliau  menjadi Datuk Bandar.

Selepas setahun setengah beroperasi, Walking Street  Songkhla berjaya menarik kehadiran hampir 10,000 pengunjung dengan jualansebanyak menjangkau 500,000 Bath (RM50,000) sehari.

“Kejayaan projek ini membuat ramai peniaga tempatan  memohon untuk menjadi sebahagian daripada warga Wal king Street Songkhla namun terpaksa dibataskan kepada  390 sahaja bagi memudahkan pemantauan dan pentad biran.
“Bagi menjaga standard, SMC menetapkan penjaja yang  gagal hadir berniaga dua kali berturut-berturut akan di singkirkan secara serta-merta dan diganti dengan peniaga  lain yang berada d dalam senarai menunggu,” beritahu  Peera.

Sejurus dilantik Datuk Bandar, Peera terus menjemput  beberapa agensi seperti Lembaga Perlancongan Thailand,  persatuan penjaja dan agensi pelancongan untuk merangka  konsep Walking Street.

Pegawai Majlis Perbandaran Songkhla turut melawat  beberapa pasar lambak di Pulau Pinang. Konsep pasar  lambak di Pulau Mutiara itu diguna pakai sebelum di sesuaikan dengan persekitaran dan budaya tempatan.

Kemeriahan Walking Street Songkhla

Dibanjiri pengunjung pada hujung minggu

SUASANA Jalan Chana, Songkhla, Thailand yang agak lenggang pada hari bekerja bertukar wajah setiap Jumaat dan Sabtu.

Seawal pukul 4 petang, jalan sepanjang dua kilometer (km) itu dikunjungi ribuan manusia yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.

Sejak dibuka pada bulan April tahun lalu, lazimnya semakin ramai yang membanjiri Walking Street Songkhla atau dalam bahasa Thailand dikenali sebagai Tae Rak selepas matahari mula terbenam sekitar pukul 6 petang.

Dipisahkan dengan persimpangan Jalan Wichianchom, satu km sebelah kiri Jalan Chana dipenuhi deretan gerai makanan. Variasi makanan tradisional dan moden yang berwarna-warni dan mampu membuat tunas rasa terliur untuk menjamahnya.

Boleh dikatakan hampir semua makanan warisan Selatan Thailand yang didiami masyarakat majmuk, Thai, Melayu Siam dan Cina boleh didapati di Walking Street Songkhla.

Biarpun mempunyai hampir 195 gerai, semua penjaja menjual sajian yang berbeza pada harga yang berpatutan.

Namun tidak semua makanan yang dijual boleh dimakan oleh penganut yang beragama Islam kerana status halalnya agak diragui. Seorang rakyat Malaysia yang sudah tujuh bulan menetap di Songkhla, Mohd. Khairul Nizam memberi tip dalam pencarian makanan halal.

Ujar kakitangan Pejabat Konsulat General Malaysia di Songkhla itu, setiap gerai penjaja Muslim di seluruh wilayah tersebut mempunyai kain pemidang yang menunjukkan lambang bulan dan bintang.
 "Selain perwatakan dan pemakaian peniaga yang menutup aurat seperti mengenakan tudung kepala, sebahagian gerai Muslim juga mempamerkan sijil pengesahan halal yang dikeluar Majlis Agama Islam Songkhla," beritahunya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Delegasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diketuai Timbalan Setiausaha Bandaraya (Teknikal), Azizuddin Alias melakukan kunjung hormat ke Majlis Perbandaran Songkhla (SMC) bagi mengkaji Walking Street Songkhla.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim sebelum ini bercadang untuk mengadaptasi konsep Walking Street Songkhla sebagai tarikan pelancongan terbaharu bandar raya yang pernah terkenal dengan perlombongan bijih timah pada tahun depan sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Di penghujung Jalan Chana, terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diubah suai menjadi bar mini. Diletakkan berhampiran replika pintu gerbang Tembok Kota Purba Songkhla, sebahagian pengunjung gemar menjamu selera di dalam bar mini itu kerana keunikannya.

Tarikan

Sebanyak 194 gerai makanan lain dengan saiz dua meter persegi mengamalkan konsep beli dan bawa pulang.

Begitupun, ia tidak menyebabkan pengunjung terus beredar dari Walking Street Songkhla selepas membeli makanan kerana lokasi berkenaan mempunyai banyak tarikan lain.

Di sebelah kanan Jalan Chana pula terdapat 195 gerai menjual barangan antik, cenderamata dan kraftangan buatan tangan masyarakat setempat Songkhla.

Bahagian kedua Walking Street Songkhla yang berkonsepkan gabungan pasar lambak dan pasar larut malam itu membolehkan pengunjung membeli pakaian, aksesori lelaki dan wanita serta kasut pada harga yang lebih rendah di pasaran.
 Terdapat juga ruang permainan santai ala pesta ria yang menjadi tarikan kanak-kanak dan remaja berhibur sambil mengharap untuk mendapat beberapa hadiah seperti patung beruang dan minuman dalam tin.

Selain itu, budaya penghibur jalanan subur di kawasan tersebut. Beberapa pengunjung Walking Street Songkhla terpaku melihat seorang kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun menggesek biola.

Di satu sudut lain, sekumpulan remaja lelaki belasan tahun berjaya memikat orang ramai dengan persembahan wayang kulit atau Nang Talung dalam bahasa Thai biarpun cuma berbekalkan set yang ringkas.

Seorang pelajar Politeknik Wachira pula cara tersendiri mengatasi perasaan gemuruh dengan meniup seruling di khalayak ramai.

Beberapa kumpulan indie memperkenalkan lagu-lagu ciptaan terbaharu mereka untuk santapan telinga pengunjung Walking Street Songkhla.

Sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Rajamangala Songkhla pula mengambil inisiatif membuat kerja amal mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di Bangkok.

Mereka tidak sekadar menghulur tabung derma tetapi turut membuat persembahan tarian yang menghiburkan bagi menarik perhatian orang ramai.

"Kebanyakan penghibur jalanan ini terdiri daripada remaja terutama pelajar beberapa institusi pengajian tinggi yang terdapat di Songkhla.

"Bagi mereka, motivasi utama bukan wang tapi bakat seni yang ditonjolkan dihargai," jelas Penasihat Datuk Bandar Songkhla, Kartipas Ruangsong.

Biarpun terletak di jalan yang agak sibuk, kehadiran beberapa penguatkuasa SMC membantu melancarkan aliran trafik dan memudahkan pengangkutan awam seperti teksi yang dikenali sebagai tuk-tuk menurunkan penumpang.

Warisan
 Kemudahan tempat letak kereta juga mencukupi menambahkan keselesaan orang ramai mengunjungi lokasi terbabit.

Kartipas berkata, Walking Street Songkhla adalah pusat yang menyatukan elemen budaya, warisan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan hiburan masyarakat wilayah tersebut
.
"Sambil membeli-belah dan menjamah makanan, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian di pentas khas yang disediakan di tengah-tengah kawasan ini.

"Jika bernasib baik, mereka juga boleh menonton filem popular yang ditayangkan pada layar gergasi. Walking Street Songkhla juga memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar universiti setempat menonjolkan penyelidikan mereka di sini," ujarnya.

Di Jalan Chana terdapat tiga lokasi bersejarah. Tiga tarikan sejarah itu ialah Rumah Kelahiran Perdana Menteri Thailand ke-16, Jeneral Prem Tinsulanonda yang menerajui negara Gajah Putih itu dari tahun 1980 hingga 1988.

Galeri yang banyak menyimpan barangan peribadi dan pengkisahan riwayat hidup negarawan Thailand yang kini berumur 91 tahun itu dibuka sehingga pukul 10 malam.

Tuesday, November 8, 2011

Pengunjung Gua Tempurung wajib pakai topi keselamatan

GOPENG - Pemakaian topi keledar keselamatan akan diwajibkan kepada semua pengunjung yang ingin menerokai Gua Tempurung mulai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangu nan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak,  Datuk Hamidah Osman berkata, cadangan itu bertujuan  meningkatkan tahap keselamatan pengunjung selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Sebelum ini hanya pengunjung pakej Top of the World and  Short River Adventure dan Grand Tour sahaja diwajibkan  memakai topi keledar keselamatan.

“Namun mulai tahun depan sempena Tahun Melawat  Perak (TMP), kerajaan negeri Perak arahkan pengendali Gua  Tempurung APT Consortium wajibkan peraturan tersebut  kepada semua pengunjung selaras standard antarabangsa,”  katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Gua Tem purung di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak,  Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Pengarah APT Consortium,  Norzita Rabaai.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan lebih  ramai pemandu pelancong yang mahir berbahasa Inggeris  dilantik bagi meningkatkan kehadiran pelancong asing.

“Berdasarkan maklum balas, biarpun Gua Tempurung  menerima lebih 70,000 pengunjung pada tahun lalu namun  cuma 15 peratus sahaja pelancong asing.

“Walaupun keunikan gua batu kapur ini mampu menarik pelancong asing namun sambutan kurang memberangsakangkan mungkin berpunca daripada masalah komunikasi,” katanya.

Gua Tempurung merupakan gua batu kapur yang terkenal dengan  beribu bentuk stalakmit dan stalaktit yang membentuk  pelbagai ukiran batu unik dan menakjubkan.


Empat jenis ekspedisi ditawarkan kepada pengunjung  iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top of the World  (tempat kering), Top of the World and Short River Adven ture (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah)  dengan kadar bayaran sekitar RM6 hingga RM22 bagi  dewasa dan RM2.50 hingga RM11 bagi kanak-kanak.

Sunday, November 6, 2011

KPDNKK rampas bebola kristal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tindakan seorang pengedar cuba menyembunyikan stok bebola kristal daripada pengetahuan pihak berkuasa gagal apabila gudangnya diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Chemor di sini kelmarin.


Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, pasukan penguat kuasa KPNKK negeri yang diketuai Ketua Unit Operasinya, Akram Karim Mohamad Arip berjaya merampas 2,000 papan bebola kristal yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Rosli Ahmad berkata, pemilik syarikat pengedar berkenaan yang berusia 62 tahun dan 10 orang pekerjanya berada dalam gudang itu ketika diserbu.

"Biarpun pada mulanya lelaki itu tidak mengaku kewujudan stok bebola kristal dalam gudangnya namun hasil pemeriksaan menjumpai barangan terlarang itu di celah-celah timbunan stok permainan kanak-kanak dan makanan ringan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Rosli memberitahu, pemilik syarikat pengedar itu akhirnya mengaku mengambil stok bebola kristal itu dari China untuk diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, stok bebola kristal yang sudah dipek itu disorok sementara sebelum dipasarkan semula kepada pemborong dan peniaga pokok hiasan apabila isu pengharamannya reda.

"Setiap papan yang mempunyai 24 peket bebola kristal itu dijual RM4.80 secara borong," ujarnya.

Tambahnya, pengedar produk itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan operasi membanteras kegiatan menjual bebola kristal yang sudah diharamkan sejak Ogos lalu.

Ia berikutan insiden seorang kanak-kanak, Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia satu tahun tujuh bulan dari Kuantan terpaksa dibedah pada 1 November lalu selepas bebola kristal yang ditelannya membesar sehingga sebesar bola ping pong dalam usus.

Ifti Ilya Farhana dipercayai menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya, Kuantan pada 26 Oktober lalu.