Translate

Wednesday, May 26, 2010

Puteri UMNO Perak anjur pertandingan futsal

BERIADAH. Pergerakan Puteri UMNO Perak menganjurkan pertandingan Futsal Puteri melibatkan lebih 200 remaja perempuan di Sport Planet, Menglembu, Ipoh, Perak kelmarin.

Kejohanan julung-julung kali yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir itu membariskan 17 pasukan futsal wanita dari seluruh Perak.

Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata, pertandingan futsal berkenaan adalah sebahagian daripada Liga Sukan Puteri Perak yang dilancarkan sempena Hari Belia Negara pada 15 Mei lalu.

Beliau berkata, selain futsal, Liga Sukan Puteri Perak yang bertemakan 'Cergas Cerdas Bersama Puteri' itu turut mempertandingkan sukan bola jaring dan boling.

Saturday, May 22, 2010

Produk Wenzhou, China di Ipoh



IPOH - Perak bakal menjadi pusat perdagangan produk Wenzhou, China dengan pembukaan sebuah pusat pameran di bandar raya ini pada bulan depan.

Exco Kanan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, melalui pembinaan pusat pameran yang bernilai kira-kira RM1 juta itu, ia akan menjadi platform pemasaran barangan dari China ke pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah.

``Dengan adanya pusat pameran tetap ini, usahawan tempatan dan luar negara boleh mendapatkan produk dari Wenzhou di sini tanpa perlu pergi ke bandar raya perdagangan tersebut.

“Pusat pameran yang seluas 2,000 meter persegi itu dijangka dilancarkan pada 26 Jun depan serentak dengan perasmian Ekspo Antarabangsa Barangan Konsumer Malaysia di Stadium Indera mulia di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Malaysia-Wenzhou Trade City Group, Charlie Zhang.

Wenzhou merupakan salah sebuah zon perkembangan ekonomi dan teknologi yang diwujudkan kerajaan China sejak 1992 serta terkenal sebagai pengeluar utama dalam bidang peralatan elektrik, ubat-ubatan, bahan pembinaan dan tekstil.

Sebelum ini Zhang terlibat dalam pembangunan Dubai China Town di Emeriah Arab Bersatu seluas 800 hektar yang menelan belanja kira-kira RM150.4 juta.

Hamidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri,
Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak berkata, tiga lokasi di bandar raya ini telah dikenal pasti sebagai tapak pusat pameran tetap tersebut, bagaimanapun ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Hamidah menjelaskan, Ekspo Antarabangsa Barangan Konsumer Malaysia yang berlangsung empat hari sehingga 27 Jun depan bakal disertai 160 syarikat dari Wenzhou.

Menurutnya, dijangkakan lebih daripada 6,000 usahawan termasuk dari Thailand, Indonesia dan negara Timur Tengah dijangka mengunjungi ekspo berkenaan.

Tuesday, May 18, 2010

Jaringan Elektrik Digital bermula di Perak

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Perak bakal menjadi negeri pertama di negara ini
mengaplikasikan perkhidmatan Jaringan Elektrik Digital (DPL) iaitu penyediaan jalur lebar menerusi wayar elektrik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, menerusi teknologi DPL, transmisi data jalur lebar yang disalurkan menerusi wayar elektrik sedia ada.

“Baru-baru ini kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat swasta untuk menawarkan perkhidmatan DPL sebagai salah satu alternatif pemasangan kemudahan jalur lebar kepada penduduk Perak.

“Kerajaan negeri sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada kerajaan persekutuan. Projek tersebut akan dilancarkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Jalur Lebar dan Radiasi Pemancar Telekomunikasi di sini semalam.

Seminar sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia itu turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Jailani Johari.

Menurut Zambry, pengenalan DPL merupakan antara inisiatif kerajaan negeri Perak bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di negeri tersebut.

Beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 isi rumah di Perak ialah 24.4 peratus.

“Kita menyasarkan kadar itu dapat melonjak sehingga 41.6 peratus pada akhir tahun ini iaitu menghampiri sasaran nasional yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 50 peratus,” katanya.

Lelaki mati ditembak pembunuh upahan

IPOH - Seorang pengedar telur mati terkena tembakan di dahi ketika menikmati makan tengah malam di sebuah restoran di Taman Syabas, Bercham di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam, Choong Gee Kong, 52, mati di tempat kejadian selepas ditembak oleh lelaki yang dipercayai pembunuh upahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, ketika kejadian mangsa dari Taman Ipoh Timur sedang menikmati makan tengah malam di sebuah meja makan yang diletakkan di kaki lima restoran terbabit.

“Ketika sedang makan, muncul seorang lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dan berjaket menunggang motosikal.

“Tanpa memperkenalkan diri, lelaki tersebut terus melepaskan tembakan ke arah Gee Kong yang tepat mengenai dahi mangsa,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, suspek kemudian meninggalkan tempat kejadian.

Presiden Meru Bikers maut kemalangan

IPOH - Biarpun pening kepala, demi minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi, Mohd. Helmy Jaafar, 39, meng gagahkan diri jua menyertai konvoi beramai-ramai ke Cameron Highlands dari Meru, Selangor semalam.

Namun keputusannya itu tragedi apabila beliau yang juga Presiden Meru Bikers terbunuh setelah motosikal Yamaha Fazer FZ1N ditunggangi terbabas ketika melalui selekoh tajam di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, Mohd. Helmy yang merupakan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ang kasapuri, Kuala Lumpur gagal mengawal motosikalnya apabila melintasi selekoh tajam berpasir berhampiran simpang masuk pusat perkelahan Lubuk Timah di sini.

Sahabat karibnya, Shaharuddin Sulaiman, 29, berkata, sejurus terbabas, mangsa dan motosikal melambung tinggi sebelum terhumban ke dalam parit yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata, Mohd. Helmy dari Meru Indah, Meru yang cedera parah di kepala dan kecederaan di beberapa bahagian badan meninggal dunia serta-merta.

“Pagi tadi (semalam) semasa kami bersarapan di Hentian Sungai Buluh, Mohd. Helmey mengadu pening kepala. Walaupun ada dikalangan kami nasihat agar dia tarik diri daripada konvoi ini tapi arwah tidak memberi sebarang reaksi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Konvoi bermotosikal besar dari Sungai Buluh, Selangor ke Cameron Highlands itu disertai 14 penunggang termasuk Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Hanafiah Nasir.

Histeria lepas nampak hantu

Sesi persekolahan terpaksa ditutup lebih awal

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BIDOR - Kelibat yang didakwa hantu serta kanak-kanak berkepala besar dikatakan punca sekumpulan 40 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani diserang histeria semalam.

Ada antara pelajar itu yang kebanyakannya menuntut di tingkatan dua hingga lima bertindak agresif, menangis, melolong, memaki hamun dan melawan semasa cuba ditenangkan oleh pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Menurut sumber, sekolah itu sudah dilanda kejadian histeria hampir setiap hari sejak dua bulan lalu.

Namun semalam, gangguan yang berlaku dari pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi itu telah memaksa pengurusan sekolah menamatkan sesi persekolahan lebih awal iaitu pada kira-kira 12 tengah hari.

“Biasanya pelajar yang menjadi mangsa tiba-tiba sahaja berubah, meracau, menjerit-jerit dan berubah menjadi agresif serta meluru berlari tak tentu arah.

“Masalah itu menyebabkan ramai guru terpaksa sentiasa dalam keadaan bersedia dan memberi bantuan hampir seluruh waktu persekolahan," katanya di sini semalam.

Untuk meredakan masalah, pihak sekolah telah mengadakan beberapa program kerohanian seperti bacaan ayat suci al-Quran di surau sekolah.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Feena, 16, berkata, gangguan histeria itu bermula selepas beberapa pelajar yang menyertai Kem Kepimpinan di kawasan sekolah mendakwa melibat kelibat makhluk halus pada akhir Mac lalu.

“Ramai yang diserang histeria mendakwa melihat kelibat pontianak dan kanak-kanak berkepala besar,” katanya.

Rakannya pula hanya mahu dikenali sebagai Adlina, 16, memberitahu setakat ini empat pengamal perubatan tradisional telah dipanggil untuk membantu menghentikan gangguan ter sebut.

Namun katanya, keadaan tidak banyak berubah apabila serangan histeria itu berlaurtan sehingga kini.

“Pada Rabu lepas sekurang-kurang 10 pelajar perempuan diserang histeria ketika membaca surah Yassin beramai-ramai di surau sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan tersebut dan telah melaksanakan beberapa pelan susulan.

"Apa yang berlaku di sekolah itu adalah kes berulang yang bermula beberapa bulan lalu.

"Kita telah berusaha untuk mengurangkan gangguan tersebut menerusi program kerohanian," katanya ketika dihubungi semalam.

Wartawan Kosmo! yang membuat tinjauan di tempat kejadian mendengar sendiri jeritan beberapa pelajar perempuan diserang histeria semalam.

Ada mangsa bertindak agresif sebelum lemah sehingga terpaksa dipapah oleh beberapa guru.

20 GRO cuba sembunyi ditahan

SITIAWAN - Tindakan 20 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing menyorok di celah tangki air gagal menyelamatkan mereka daripada dicekup dalam satu serbuan di sebuah pusat karaoke di sini kelmarin.

Daripada jumlah itu, seramai 17 GRO warga Vietnam dan bakinya warga China ditahan pada pukul 8 malam ketika sedang asyik melayan pelanggan yang melakukan aksi ghairah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan yang diketuai Asisten Supritendan Mohamad Sani Mat Ali itu turut memeriksa 14 pelanggan yang sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.

"Semasa serbuan dijalankan, semua GRO berusia antara 19 hingga 43 tahun tersebut cuba melarikan diri hingga ada yang bertindak memanjat tangga sempit di belakang premis untuk ke bahagian bumbung sebelum cuba menyembunyikan diri di celah tangki air yang terdapat di situ," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bagaimanapun tambahnya, kecekapan polis mengepung kawasan berkenaan dapat menggagalkan cubaan kesemua GRO tersebut sehingga berjaya ditahan.

Menurut Mohd. Dzuraidi, selain GRO, polis turut menahan seorang pengusaha pusat hiburan karaoke berusia 65 tahun atas kesalahan menggaji warga asing.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959.

Asaari meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru

IPOH - Bekas pemimpin dan pengasas pertubuhan Al-Arqam, Asaari Muhammad, 73, meninggal dunia akibat jangkitan pa ru-paru di Hospital Pakar Ipoh di sini pada kira-kira 2.10 petang semalam.

Seorang pengikutnya, Marzuki Hussain, 57, berkata, Asaari yang dikenali sebagai Abuya oleh pengikutnya dimasukkan di hospital itu pada Selasa lalu setelah mengadu tidak sihat sehari selepas tiba di bandar raya ini.

Beliau berkata, Asaari yang juga Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn. Bhd. (Global Ikhwan) baru pulang dari Bangkok, Thailand sebelum melakukan lawatan kerja di utara tanah air bagi memantau perkembangan syarikat berkenaan.

“Sebelum ke Ipoh, Abuya (Asaari) dan pengurusan kanan Global Ikhwan berada di Kedah. Sehari selepas sampai di sini, Abuya mengadu sakit dan dimasukkan ke hospital.

“Abuya menghembuskan nafas terakhir di sisi beberapa keluarga terdekat termasuk isteri-isterinya,” katanya ketika ditemui di Rumah Tetamu Global Ikhwan, Jalan Raja Dihilir di sini semalam.

Marzuki berkata, jenazah Asaari telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan sejurus disembahyangkan di rumah tetamu tersebut pada kira-kira 5 petang.

Beliau berkata, jenazah bekas pemimpin Al-Arqam dike bumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pilin pada malam semalam.

Asaari menubuhkan Al-Arqam yang berpegang pada ajaran Aurad Muhammadiah pada 1968 di Kampung Datuk Keramat sebelum bertapak di Sungai Penchala, Petaling Jaya.

Al-Arqam kemudiannya diharam kerajaan pada 1994 setelah fatwa Majlis Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Ogos tahun sama memutuskan ajaran dan fahaman pertubuhan tersebut ber tentangan dengan akidah dan syariat Islam sekali gus me ngakibatkan syirik.

Berikutan itu Ashaari ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Dia kemudiannya telah membuat pengakuan terbuka me ngenai penyelewengan Al-Arqam dan dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan, Sabah sebelum dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

SMT Kuala Kangsar johan sukan Teknik zon Perak

JUARA. Sekolah Menengah Teknik (SMT) Kuala Kangsar muncul juara Kejohanan Sukan Antara Sekolah Teknik Zon Perak kali-13 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Kontinjen sekolah tersebut mengungguli dua daripada tujuh acara iaitu ragbi dan bola lisut dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

Kejohanan berkenaan turut melibatkan sembilan sekolah teknik seluruh Perak iaitu SMT Lebuh Cator, Ipoh, SMT Gerik, SMT Taiping, SMT Jalan Brash, Ipoh, SMT Seri Manjung, SMT Kerian, SMT Teluk Intan, SMT Seri Iskandar dan SMT Slim River.

Tujuh acara dipertandingkan iaitu melibatkan lima acara sukan iaitu bola sepak, bola jaring, ragbi, sepak takraw dan bola lisut manakala dua acara lain ialah bahas dan reka cipta.

Friday, May 7, 2010

Pemaju degil, penduduk ditimpa sengsara

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KAMPAR - Kedegilan pemaju meneruskan kegiatan pemotongan lereng bukit bagi penanaman semula kelapa sawit biar pun ditegah pihak berkuasa menyebabkan penduduk Taman Seri Kampar di sini terus sengsara sejak dua bulan lalu.

Terbaru, banjir lumpur sekali lagi berlaku kelmarin apabila sebahagian taman perumahan itu dipenuhi lumpur setinggi kira-kira 0.3 meter sehingga menyebabkan kira-kira 70 keluarga mengalami kerugian besar apabila kenderaan dan perkakas rumah rosak.

Seorang penduduk, Mohd. Haris Muhd, 46, kecewa dengan sikap pihak berkuasa terutama Majlis Daerah Kampar (MDK) berhubung masalah tersebut.

Haris mendakwa MDK tidak melakukan pemantauan selepas telah mengeluarkan arahan agar kerja-kerja pemotongan bukit itu dihentikan pada Februari lalu.

“Kerja-kerja pemotongan bukit tetap dijalankan walaupun tidak sekerap dulu. Aduan telah dibuat tetapi pihak berkuasa lambat bertindak," katanya.

Jirannya, S. Visnathan, 49, mendakwa, dia terdengar bunyi kuat dari arah bukit di hadapan rumahnya kira-kira lima minit selepas hujan mula turun pada pukul 8.45 malam.

“Tidak lama kemudian arus deras masuk ke dalam rumah membawa lumpur, pasir, batu kecil dan tunggul kayu.

"Ia kejadian paling buruk berbanding Februari lalu yang cuma melibatkan 36 buah rumah sahaja,” katanya.

R. Muthalagi, 39, pula berkata, banjir lumpur juga menyebabkan peralatan elektrik seperti te levisyen, mesin basuh dan peti sejuk rosak.

“Semuanya baru dibeli bagi menggantikan peralatan elektrik lama yang rosak dalam kejadian banjir lumpur dua bulan lalu,” katanya.

Kosmo! 10 Februari lalu melaporkan kerisauan penduduk Taman Seri Kampar di sini kemungkinan dilanda banjir lumpur ekoran kegiatan memotong lereng bukit bagi penanaman se mula kelapa sawit sejak Disember tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.

Pengarah Bomba Perak bersara

JASA DIKENANG. Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak mengadakan majlis bagi meraikan persaraan Pengarahnya, Mohd. Din Rajad di Balai Bomba dan Penyelamat Perak di Ipoh baru-baru ini.

Beliau yang menyertai badan beruniform itu sejak 1985 dan pernah menerajui tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka dan Perak telah bersara wajib mulai 1 Mei lalu.

Mohd. Din berkata, berikutan persaraan beliau, jawatan tersebut dipangku oleh Timbalannya, Zuraidah Latif.

"Antara pengalaman berharga sepanjang dua tahun berada di Perak ini ialah melakukan misi menyelamat dan mencari mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang yang mengorbankan tiga nyawa pada Oktober tahun lalu," katanya.

Monday, May 3, 2010

Indera Kayangan, Red Fire mara