Translate

Sunday, July 31, 2022

‘Tak lama lagi boleh dapat rumah’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Khabar gembira buat 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama, Marang dekat sini apabila impian mereka untuk mendiami rumah berkenaan bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Alias Razak berkata, kerja-kerja pembinaan bagi menyiapkan projek yang terbengkalai sejak empat tahun lalu akan dimulakan semula selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Kerajaan negeri Terengganu telah menyenarai pendek calon kontraktor berminat bagi memulihkan projek berkenaan.

“Rundingan sedang dilakukan sebelum kontraktor terpilih dimuktamadkan. Kerja-kerja pembinaan akan bersambung semula akhir tahun ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Alias menjelaskan, kerajaan negeri Terengganu tidak pernah lepas tangan berhubung isu perumahan di Taman Sri Purnama, Marang.

Beliau memberitahu, syarikat pemaju asal tidak dapat meneruskan projek perumahan terbabit kerana menghadapi masalah kewangan kronik.

“Pada mulanya kita berun­ding dengan pemaju asal, memang tidak dapat teruskan kerana syarikat itu menghadapi masalah pembiayaan bank.

“Perbincangan ­penyelesaian mereka dengan pihak bank juga buntu. Mujur ada beberapa kontraktor penyelamat lain sudi membantu,” katanya.

Kosmo! pada 10 April lalu melaporkan seramai 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama merayu campur tangan kerajaan negeri Terengganu bagi menyelesaikan isu perumahan mereka.

Saturday, July 30, 2022

Rumah bot Tasik Kenyir makin diminati

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bakal diperkasa dengan penarafan penggredan Premis Penginapan Pelancong (PPP) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd. Zamri Mat Zain berkata, pelaksanaan penggredan PPP itu bakal menjadi pemangkin buat pe­ngusaha rumah bot berkenaan menawarkan perkhidmatan dan fasiliti terbaik kepada pengunjung.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diambil sejajar dengan perkembangan trend semasa yang menunjukkan semakin ramai pelancong gemar menginap di tempat berkonsepkan ‘hotel inovatif’ seperti rumah bot.

“Sambutan terhadap per­khidmatan rumah bot Tasik Kenyir meningkat setiap tahun.
“Ia dibuktikan dengan keha­diran 277,969 pelancong ke Tasik Kenyir pada tahun lalu walau pun sewaktu penularan pandemik Covid-19,” katanya selepas menutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PPP Hotel Inovatif di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, inisiatif PPP tersebut akan menjadi pe­nanda aras yang akan memberi lebih keyakinan kepada pelancong terhadap perkhidmatan rumah bot Tasik Kenyir.

Tambah beliau, ia secara tidak langsung memberi panduan berguna kepada golongan itu bagi membuat pilihan berdasarkan penggredan terbabit.

“Penggredan PPP ditawarkan MOTAC secara percuma terhadap pengusaha rumah bot berminat.

“Walaupun tidak diwajibkan, pengusaha pelancongan yang menyertai inisiatif itu berpeluang menikmati pelbagai insentif disediakan kerajaan seperti pengecualian cukai dan bantuan kewangan,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992, kriteria utama bagi penggredan PPP ialah premis pelancongan yang mempunyai 10 bilik atau lebih 50 katil.

Beliau berkata, berdasarkan permit dikeluarkan Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Terengganu, sebanyak 100 pengusaha rumah bot beroperasi Tasik Kenyir.

“Dianggarkan 70 peratus daripada rumah bot itu menetapi kriteria untuk menyertai inisiatif PPP,” katanya.

Friday, July 29, 2022

FAMA sasar JTDLKM raih jualan RM10.5 juta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang sedang berlangsung sehingga akhir tahun ini disasar meraih nilai jualan sebanyak RM10.5 juta.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, penganjuran JTDLKM bertujuan untuk memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga lebih berpatutan kepada pengguna.

Beliau berkata, semua usahawan yang terlibat dalam program khas berkenaan merupakan pengeluar hasil pertanian itu sendiri.

“Ia selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan konsep Jihad Memerangi Orang Tengah.

“Pengguna pula mendapat penjimatan antara lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran produk agromakanan tersebut,” katanya selepas meninjau perjalanan JTDLKM peringkat Marang di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, FAMA menyasar untuk menganjurkan 840 kali JTDLKM melibatkan 8,400 usahawan di 70 lokasi terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini, 267 program JTDLKM telah berjaya dianjurkan dengan nilai jualan terkumpul RM3.1 juta bermula 1 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Penggunaan katil hospital Terengganu cecah 90 peratus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Wad di semua enam hospital awam di Terengganu mengalami kesesakan pada masa ini dengan penggunaan katil sudah mencecah 90 peratus.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kekosongan katil di kesemua hospital tersebut hanya tinggal kira-kira 173 daripada 1,733 buah yang disediakan.

“Begitu pun, hanya lima peratus pesakit yang dimasukkan ke hosital disebabkan penyakit influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

“Kes Covid-19 pula cuma satu peratus, selebihnya bagi rawatan penyakit-penyakit biasa (tidak berjangkit),” katanya selepas merasmikan program Projek Tanaman Bandar di Hospital Setiu di sini hari ini.

Kasemani berkata, biar pun kadar jangkitan ILI dan URTI agak meningkat pada masa ini ekoran perubahan cuaca namun kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital di negeri ini tidak menunjukkan peningkatan ketara.

Begitu pun, beliau memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengambil langkah awal sekiranya kadar kemasukan pesakit ke wad hospital terus meruncing.

“Ia termasuk menyediakan katil tambahan bagi menampung kemungkinan kemasukan lebih ramai pesakit pada masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Ketengah hasil 4,000 tan pengeluaran makanan setahun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) tampil membantu kerajaan menyokong strategi jaminan keselamatan makanan negara dengan penghasilan 4,000 tan pengeluaran setahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ladang ayam pedaging yang diusahakan syarikat peneraju diusahakan usahawan Ketengah mampu menghasilkan 790,000 ekor ayam setahun.

“Pengeluaran ayam dari ladang berkenaan telah menyumbang 4.64 peratus daripada keperluan ayam pedaging Terengganu.

“Ketengah berhasrat untuk meningkatkan lagi pengeluaran ayam pedaging kepada 1.03 juta ekor setahun menerusi penambahan reban di Kampung Chemuak, Kampung Durian Mentangau dan Seri Bandi tidak lama lagi,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, Ketengah juga mengeluarkan 33.4 tan daging lembu, 5.25 tan kerbau dan 0.45 tan kambing setahun.

Tambah beliau, bagi perancangan jangka panjang memantapkan lagi strategi pengeluaran makanan, Ketengah akan mewujudkan ladang rumput napier seluas kira-kira 11.24 hektar sebagai makanan ternakan.

“Ketengah juga merancang membangunkan padang ragut ternakan kerbau seluas 154.58 hektar yang dijangka boleh beroperasi menjelang hujung tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Laluan Mat Kilau jadi produk pelancongan Terengganu


Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berhasrat untuk menampilkan Laluan Mat Kilau yang sebahagiannya terletak di antara Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun di sini sebagai produk pelanco­ngan berasaskan sejarah dan alam semula jadi. 

Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, laluan tersebut masih terdapat beberapa tinggalan sejarah jejak perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau sewaktu menentang penjajahan Inggeris pada lewat abad ke-19. 

Beliau berkata, laluan berkenaan sehingga Tembeling, Jerantut, Pahang sepanjang lebih 120 kilometer mencabar dan amat sesuai…

Polis Terengganu buka kertas siasatan kes tipu pakej haji

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penipuan pakej haji yang menyebabkan ramai bakal jemaah terkandas baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zamri Mahmud berkata, kertas siasatan itu dibuka berikutan aduan daripada seorang mangsa berusia 62 tahun.

“Dia telah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu.

“Sebelum ini, pengadu mendakwa telah membayar RM38,000 ke dalam akaun bank agensi pelancongan yang menguruskan pakej mengerjakan haji berkenaan,” katanya di sini hari ini.

M. Zambri berkata, pembayaran tersebut berupa RM3,000 dalam transaksi pertama pada 2 Jun lalu sebelum baki RM35,000 dilunaskan tidak lama kemudian.

Tambah beliau, pemilik agensi pelancongan tersebut didakwa telah gagal menempah tiket penerbangan dengan memberi pelbagai alasan sehingga menyebabkan pengadu terkandas di KLIA pada Khamis lalu.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Tangkapan keatas suspek akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan di kontinjen lain yang turut terlibat selesai,” – KOSMO! ONLINE

Thursday, July 28, 2022

Nelayan Vietnam berenang, minta tolong di pelantar minyak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Petugas Pelantar Lawit A gempar dengan kehadiran seorang lelaki warga Vietnam yang berenang menghampiri pelantar minyak itu pada kelmarin.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai nelayan itu bertindak berenang ke pelantar minyak terbabit terletak kira-kira 73 batu nautika dari perairan Terengganu tersebut bagi meminta pertolongan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, nelayan Vietnam itu dipercayai telah nekad terjun dari botnya sebelum meminta pertolongan dengan petugas Pelantar Lawit A.

“Motif lelaki berkenaan melarikan diri dari bot masih belum diketahui. Dia telah segera diselamatkan oleh petugas pelantar minyak berkenaan.

“Mereka kemudiannya memberi rawatan awal dan makanan kepada nelayan Vietnam itu,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Saufi berkata, penemuan lelaki warga asing yang terjatuh di tengah laut tersebut telah dimaklumkan kepada Maritim Malaysia (APMM) tidak lama kemudian.

ambah beliau, kapal peronda APMM telah mengambil nelayan Vietnam untuk dibawa ke Jeti Duyong Marina di sini semalam. – KOSMO! ONLINE

11 bangkai lembu dijumpai di tepi sungai

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kegirangan seorang lelaki untuk mengisi masa lapang dengan memancing terbantut apabila terserempak dengan 11 bangkai lembu di tepi sungai berhampiran Kampung Sungai Lekar di sini pada Sabtu lalu.

Tambah dikesalkan Wan Mohd. Faizul Wan Jaafar, 35, bangkai haiwan ternakan itu yang sudah mereput  masih berada di lokasi itu dipercayai kawasan pembuangan sampah haram sewaktu melakukan tinjauan semula hari ini.

Dia yang menetap di Kampung Sungai Ikan di sini memberitahu telah menjumpai 11 bangkai lembu itu sewaktu hendak memancing bersama empat lagi rakannya di tepi sungai itu pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.

“Kami percaya lembu tersebut telah mati di kawasan lain sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah haram terbabit pada minggu lalu.

“Kebanyakan bangkai lembu terbabit memiliki tag khas pada bahagian telinga dipercayai dipasang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Faizul berkata, walaupun tidak pasti punca kematian lembu-lembu itu namun perbuatan membuangnya begitu sahaja tanpa perlupusan mengikut prosedur ditetapkan disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Dia berkata, tambah merisaukannya, bangkai lembu yang terbiar tersebut kini sudah mula mereput dan berulat.

“Jika terus dibiarkan ia bukan sahaja mengeluarkan bau kurang menyenangkan malah dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk kampung berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Guru KAFA hempas murid dibebaskan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang ditahan pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan mencederakan anak muridnya sehingga patah kaki kanan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, keterangan guru lelaki tersebut telah diambil sepanjang tiga hari tempoh reman terbabit.

“Kita berpuas hati dengan keterangan dan bahan bukti yang dikumpul bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan berhubung kes terbabit akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan seorang ibu menuntut pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan suspek hingga patah kaki pada 6 Julai lalu.

Murid tahun tiga itu didakwa dihempas ke atas kerusi oleh guru lelaki tersebut sewaktu sesi pengajaran KAFA di sebuah sekolah di daerah Marang.

Insiden itu didakwa memberi kesan trauma kepada mangsa sebelum ibu bapanya membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.

Berikutan laporan tersebut, suspek berusia 37 tahun kemudiannya ditahan polis pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Guru KAFA didakwa cederakan murid direman tiga hari

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) ditahan reman selama tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan dakwaan dia mencederakan anak muridnya hingga patah kaki pada minggu lalu.

Perintah reman tersebut dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Rabiatul Adawiyyah Che Khalid di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, suspek yang berusia 35 tahun disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang murid lelaki tahun tiga mendakwa kaki kanannya patah akibat dihempas oleh seorang guru KAFA di sebuah sekolah di Marang pada 6 Julai lalu.

Ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kecederaan dialami kaki kanan anaknya sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada pukul 5 petang.

Mangsa berusia sembilan tahun kemudiannya telah dibawa ke klinik swasta berhampiran bagi pemeriksaan sebelum kaki kanannya disahkan patah.

Mangsa mendakwa ia disebabkan perbuatan guru KAFA terbabit telah menghempasnya ke atas kerusi kerana berang dengan perlakuannya di dalam kelas sebelum itu.

Laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Ibu mahu pembelaan anak cedera dihempas atas kerusi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang murid tahun tiga mengalami kecederaan patah kaki kanan dipercayai akibat dihempas seorang guru ketika mengikuti Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di daerah ini minggu lalu. 

Kejadian yang menimpa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun tersebut dikatakan berlaku di dalam bilik darjah pada 6 Julai lalu. 

Kejadian itu disedari oleh ibu mangsa berusia 36 tahun selepas kanak-kanak tersebut mengadu kaki kanannya cedera selepas pulang dari sekolah pada pukul 5 petang.

 “Semasa mengambilnya pulang dari sekolah…

Guru KAFA didakwa hempas murid sampai patah kaki

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang murid lelaki tahun tiga mendakwa kaki kanannya patah akibat dihempas oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di daerah ini pada minggu lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu pengajaran KAFA di dalam bilik darjah berkenaan pada 6 Julai lalu.

Sumber berkata, ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kecederaan dialami kaki kanan anaknya sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, mangsa berusia sembilan tahun kemudiannya telah dibawa ke klinik swasta berhampiran bagi pemeriksaan.

“Pemeriksaan kemudiannya mengesahkan kaki kanan kanak-kanak terbabit telah patah. Mangsa mendakwa ia disebabkan perbuatan guru KAFA terbabit telah menghempasnya ke atas kerusi.

“Tindakan tersebut didakwa dilakukan kerana guru KAFA itu berang dengan perlakuan kanak-kanak lelaki terbabit di dalam kelas sebelum itu,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut telah dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris mengesahkan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, July 27, 2022

KPDNHEP laku audit kesan dalang seludup minyak masak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Audit menyeluruh dan terperinci terhadap pemain industri minyak masak bersubsidi di semua peringkat sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar penyeludupan barang kawalan tersebut di negara jiran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ha Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pengauditan tersebut melibatkan pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak subsidi disyaki.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna (KPDNHEP) telah mengenalpasti jenama-jenama minyak masak bersubsidi tempatan yang dijual secara haram di sempadan negara jiran.

“Kita sedang menyiasat semua pemain industri terdiri daripada pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit bagi jenama terlibat.

“Siasatan dilakukan dengan mengaudit rekod pergerakan stok daripada kesemua rantaian itu bagi mengenal pasti pihak mana yang melakukan kebocoran tersebut,” katanya selepas menghadiri Perjumpaan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu setakat ini, KPDNHEP telah mengesan 70 kes kesalahan berkait minyak masak melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM85,717 sejak awal bulan ini.

Kosmo! 11 Jun lalu melaporkan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa memberitahu berdasarkan siasatan, kesemua bekalan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk ke sempadan Thailand dipercayai datang terus dari kilang. – KOSMO! ONLINE

Maut sesak nafas akibat tercekik tulang daging korban

 

BESUT – Seorang lelaki meninggal dunia kerana sesak nafas dipercayai akibat tercekik cebisan tulang daging korban di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jertih di sini semalam.

Mangsa, Wan Azlan Wan Ishak, 28, yang dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital itu pada pukul 5.50 petang.

Kakaknya, Wan Suria Wan Ishak, 32, berkata, arwah adiknya, Wan Azlan telah memanaskan singgang daging korban di dapur pada pukul 5.15 petang.

“Sewaktu adik (Wan Azlan) sedang makan (singgang daging), dia tiba-tiba meronta-ronta meminta pertolongan dan mengadu sesak nafas.

“Saya cuba membantu tetapi tidak berjaya sebelum dia tidak sedarkan diri tidak lama kemudian,” katanya di sini hari ini.


Wan Suria berkata, adiknya, Wan Azlan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.50 petang.

“Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Landak, Jertih di sini pada pukul 12 tengah malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Hukuman penjara 14 bulan suri rumah curi milo ditangguh

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – “Terima kasih kepada pihak yang banyak menolong saya.”

Itu ucapan suri rumah, Suhaini Mohd., 43, selepas hukuman penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri dua paket minuman Malt jenama Milo dan dua kes penyalahgunaan dadah ditangguhkan mahkamah hari ini.

Terdahulu, peguam mewakilinya, Datuk Naran Singh berjaya dalam permohonan penanguhan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan hukuman penjara 14 bulan yang disabitkan Mahkamah Majistret Marang pada 5 Julai lalu diketepikan berikutan kecacatan dalam eksibit dikemukakan dalam prosiding.

Beliau kemudiannya memerintahkan Suhaini dituduh semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Marang pada pukul 4 petang tadi.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Marang, Suhaini membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Tertuduh didakwa mencuri dua paket minuman malt jenama Milo di sebuah pasar raya di daerah ini pada pukul 11.20 pagi pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Majistret Engku Nurul Ain membenarkan Suhaini yang juga ibu kepada empat anak dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 6 September depan.

Kosmo! 6 Julai lalu melaporkan Engku Nurul Ain memerintahkan Suhaini dihukum penjara 14 bulan atas kesalahan mencuri minuman malt jenama Milo di sebuah pasar raya di sini pada 5 Jun lalu.

Sebelum ini suri rumah yang juga penagih dadah memiliki tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada tahun 2019 dan 2021.

Kes tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai termasuk usahawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin yang mengemukakan permohonan rayuan penangguhan rayuan menerusi Naran pada 8 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Duda disyaki menghina agama Islam ditahan polis

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang duda yang juga penagih dadah ditahan polis hari ini kerana disyaki mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam.

Lelaki berusia 59 tahun terbabit diberkas di rumahnya di Kampung Laut di sini pada pukul 2 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, penahanan tersebut berikutan laporan berhubung penyebaran audio memaki hamun agama Islam yang tular di aplikasi WhatsApp sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, laporan itu dilakukan individu yang mengecam suara suspek di Balai Polis Chendering di sini malam tadi.

“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan suspek pada tahun lalu namun telah disebarkan semula pihak tertentu baru-baru ini.

“Begitu pun, tiada laporan dibuat pada tahun lalu. Kita mengesyaki ia disebarkan semula rentetan beberapa kes menghina agama Islam yang tular baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, dua lelaki masing-masing di Puchong, Selangor dan Kuala Krai, Kelantan telah ditahan setelah video mereka menghina agama Islam dan Nabi Muhammad tersebar di Facebook. – KOSMO! ONLINE

Aidiladha tetap meriah biarpun harga barang naik

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, ABDUL RAZAK IDRIS dan MOHD AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Umat Islam tetap meraikan Hari Raya Aidiladha tahun ini dalam suasana meriah dengan melaksanakan ibadah korban biarpun berdepan tekanan inflasi tinggi ekoran kenaikan harga barang ketika ini.

Selain wang simpanan, ada yang sanggup menggunakan sebahagian duit penge­luaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seba­nyak RM10,000 untuk menyertai ibadah korban yang turut mengalami kenaikan harga ternakan. 

Di George Town, Pulau Pinang, Mohd. Farook Hassan Ali, 53, berkata, dia sudah berniat untuk menyertai ibadah korban buat pertama kali tahun…

KPDNHEP tahan enam peniaga aksesori, minyak wangi tiruan

 



Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Terengganu berjaya merampas 105 aksesori dan 1,232 minyak wangi disyaki tiruan semalam.

Serbuan di tiga premis perniagaan di bandar raya ini dan Marang pada pukul 12 tengah hari itu disertai oleh 12 pegawai KPDNHEP negeri dengan bantuan wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharudin Mohd. Kia berkata, sebanyak 105 barangan berupa beg tangan, dompet dan selipar dipercayai berjenama tiruan dirampas.

“Turut dirampas 1,232 minyak wangi disyaki menggunakan cap dagangan secara salah. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM27,612,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, seramai enam lelaki berusia dalam lingkungan 20-an disyaki dalang perjualan barangan tiruan ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, July 26, 2022

Lori terbalik, kayu balak bertaburan di jalan raya

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sebuah lori terbalik menyebabkan muatan kayu balak dibawanya bertaburan di atas jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Ajil di sini hari ini.

Kemalangan pada pukul 4.30 petang itu turut menyebabkan tumpahan minyak hitam dan diesel di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan untuk menghantar kayu balak tersebut ke sebuah kilang kayu di Wakaf Tapai, Marang.

“Dia mengambil muatan kayu balak itu dari Kampung Kua Ajil di sini sebelum ke Jerangau bagi menjalani pemeriksaan balak.

“Selesai pemeriksaan, lori tersebut kemudiannya meneruskan perjalanan ke kilang di Wakaf Tapai,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan persimpangan lampu isyarat, lori tersebut tiba-tiba kawalan sewaktu sedang membelok ke kanan ke arah Wakaf Tapai.

Jelas beliau, impaknya lori berkenaan terbalik sebelum muatan kayu balaknya bertaburan dan merentangi jalan raya.

“Pemandu lori terselamat tanpa sebarang kecederaan. Tumpahan minyak diesel dan hitam kemudiannya telah dibersihkan dengan bantuan bomba.

” Timbunan kayu balak juga telah dialihkan sepenuhnya oleh pengurusan kilang kayu terbabit pasa pukul 6.30 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Pas guna logo PN pada PRU-15

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, secara dasarnya, parti itu bersetuju menggunakan logo baharu yang bakal diperkenal PN tidak lama lagi.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu logo terbabit akan dibincangkan dengan parti-parti gabungan PN seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lama lagi.

“Kita akan bincang (logo baharu PN) dalam mesyuarat terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu logo baharu gabungan politik berkenaan akan diperkenalkan bagi digunakan pada PRU-15.

Beliau berkata, ia susulan cadangan mengubahsuai logo sedia ada yang berwarna biru pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi memberitahu rundingan pembahagian kerusi bagi PRU-15 melibatkan parti-parti dalam PN masih berlangsung.

Beliau berkata, persediaan menghadapi PRU-15 telah dibuat walau pun tarikh pembubaran Parlimen masih belum diketahui. – KOSMO! ONLINE

Harga barang tidak adil dengan gaji kami – Cuepacs

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kongres Kesatuan Pekerja-Ptekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) merayu kerajaan agar segera mempertimbangkan tuntutan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada bulan lalu.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, tuntutan utama iaitu gaji minimum RM1,800 dan dua kali kenaikan gaji tahunan (KGT) adalah penting buat penjawat awam untuk menangani kenaikan kos sara hidup mendadak pada masa ini.

Beliau berkata, kuasa beli penjawat awam khususnya 650,000 orang dalam kategori kumpulan pelaksana semakin mengecil setelah 10 tahun tidak menerima sebarang kenaikan gaji sedangkan harga barang s0emakin meningkat.

“Jabatan Perangkaan mengeluarkan statistik perbelanjaan bulanan biasa akan bertambah RM115 pada bulan ini. Harga barang (kini) amat tidak adil dengan gaji kami.

“Sehubungan itu, kami berharap pertimbangan kerajaan. Jika tidak dapat semua (sembilan tuntutan) sekurang-kurangnya jangan tinggal langsung satu dua perkara yang munasabah ditunaikan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Terengganu di sini hari ini.

Adnan berkata, pertimbangan kerajaan tersebut terutama melibatkan gaji minimum dan KGT pasti dapat melegakan penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana gred 54 ke bawah untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Tambah beliau, penjawat awam telah membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi memastikan kelancaran sistem penyampaian kepada rakyat walaupun berhadapan dengan situasi politik tidak menentu dan penularan Covid-19.

“Sistem penyampaian tidak pernah berhenti walaupun kerajaan berubah dua kali dan Perdana Menteri bertukar tiga kali. Tiada satu pun jabatan (kerajaan) ditutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Perlu undang-undang lebih tegas bendung penghinaan agama

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Peruntukan undang-undang yang lebih tegas perlu digubal bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, undang-undang sedia ada masih belum cukup tegas bagi membendung kes berkaitan celaan terhadap agama berkenaan.

“Islam perlu diperkasa dan isu melibatkan penghinaan terhadap agama dan Rasul (Nabi Muhammad) harus dipantau.

“Kita akan ambil tanggungjawab dan pantau (isu hina agama) dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini

Abdul Hadi berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang melakukan penghinaan terhadap agama Islam terbabit.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ia sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang penghantar makanan dari Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana menghina agama Islam.

Selain itu, dua lelaki yang turut disyaki menghina agama turut ditahan polis masing-masing di Kuala Krai, Kelantan dan Kuala Terengganu pada Selasa dan kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Semua pusat perubatan awam Terengganu bakal jadi hospital hijau

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berhasrat menjadikan semua enam hospital awam di negeri ini sebagai hospital hijau menerusi projek Tanaman Bandar.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, menerusi inisiatif terbabit, tanah-tanah kosong berpotensi di semua hospital terbabit akan dimanfaatkan dengan tanaman sayur-sayuran.

Beliau berkata, projek Tanaman Bandar kerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri tersebut menumpukan tanaman sayuran cepat tuai seperti sawi, kontan seperti cili, terung dan kacang bendi serta cendawan tiram.

“Projek perintis bermula di Hospital Setiu di sini yang dipantau Pejabat Pertanian daerah sejak November tahun lalu.

“Ia dilaksanakan secara hidroponik dan tanpa penggunaan racun perosak,” katanya selepas merasmikan Projek Tanaman Bandar di Hospital Setiu di sini hari ini.

Kasemani berkata, pendekatan hospital hijau itu bukan sahaja menyahut saranan kerajaan malah aktiviti riadah kepada kakitangan hospital yang bukan menyihatkan malah meredakan tekanan bekerja.

Tambah beliau, hasil pertanian projek berkenaan kemudiannya untuk kegunaan kakitangan hospital terbabit.

“Kita berhasrat memperluaskan projek Tanaman Bandar ini di seluruh hospital di Terengganu berikutan kejayaan di Hospital Setiu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.