Translate

Monday, February 28, 2011

Tempoh jelaskan saman tidak dilanjut - Hishammuddin

IPOH - Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh menjelaskan saman trafik tertunggak yang akan berakhir hari ini ekoran kelonggaran selama enam bulan sejak Ogos lalu yang diberi kepada pesalah lalu-lintas sebelum ini sudah memadai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu telah dibawa oleh Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha ke Kabinet.

"Tetapi oleh kerana kita sudah bagi enam bulan kepada mereka yang melakukan kesalahan untuk menjelaskan saman, saya rasa Kabinet tidak akan membenarkan ia ditangguhkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas harapan segelintir pesalah trafik agar kerajaan melanjutkan tempoh menjelaskan saman tertunggak sebelum 1 Mac ini.

Begitupun, Hishammuddin menjelaskan orang ramai yang menerima saman ekor ketika kenderaan mereka dipandu individu lain masih boleh mengemukakan rayuan biarpun selepas tamat tempoh ditetapkan.

"Kalau kereta mereka disaman sewaktu dipinjam orang lain dan mempunyai bukti, rayuan boleh dibuat walaupun selepas 28 Februari (hari ini)," katanya.

Sementara itu, kaunter pejabat pos yang dibuka khas semalam semata-mata bagi memudahkan pesalah trafik membayar saman trafik sebelum 28 Februari ini digunakan sepenuhnya oleh orang ramai untuk menjelaskan saman masing-masing.

Tinjauan di ibu negara mendapati, hampir semua pejabat pos seperti bangunan Daya Bumi, Pudu dan Desa Pandan dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang untuk melangsai saman mereka sejak pukul 8 pagi.

Menurut beberapa petugas di pejabat pos terbabit, jumlah pesalah trafik yang datang sejak beberapa hari lalu mencatatkan angka konsisten iaitu antara 200 hingga 300 orang sehari.

Orang ramai menyerby balai polis dan pejabat pos di seluruh negara ekoran amaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyenaraihitamkan dan mengaktifkan mata demerit terhadap mana-mana pesalah trafik yang gagal melunaskan saman mereka mulai 1 Mac ini.

Sunday, February 27, 2011

Jabatan Kardiologi dibuka di HRPB akhir tahun ini

IPOH - Pesakit jantung di Perak tidak perlu lagi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjutan berikutan penubuhan Jabatan Kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pada masa ini, HRPB mempunyai ke mampuan terbatas dalam bidang kardiologi sehingga penduduk Perak terpaksa mendapatkan rawatan lanjutan di HKL dan HPP selain di hospital-hospital swasta berham piran dengan kos yang lebih tinggi.

"Selain penubuhan jabatan tersebut, dua lagi jabatan iaitu Jabatan Materniti dan Pediatrik akan turut dinaik taraf menerusi peruntukan kira-kira RM300 juta daripada kerajaan Pusat.

“Usaha ini bertujuan agar HRPB akan dapat menawarkan per khidmatan yang lebih baik bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini,” katanya selepas merasmikan program naik taraf perkhidmatan pengimejan dan van pengantara HRPB di sini semalam.

Turut hadir Exco Kesihatan ,Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri,Datuk Mah Hang Soon dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher.

Zambry berkata, HRPB juga kini dilengkapi kemudahan ra diologi tercanggih dengan pembelian beberapa peralatan pengimejan tercanggih bernilai lebih RM14 juta.

Thursday, February 24, 2011

Empat pengarah didakwa ubah wang haram RM500 juta

IPOH - Empat pengarah syarikat perdagangan emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 327 tuduhan mengambil, mengguna dan memindahkan wang haram melibatkan transaksi mencecah setengah bilion ringgit di sini semalam.

Chang Kuei Geh, 57, Chong Yuk Ming, 49, Ho Chee Cheong, 41, dan Goon Koon Lee, 48 yang merupakan pengarah Bestino Golden Houses Sdn. Bhd. ( Bestino Golden Houses) didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Semua tertuduh menghadapi 322 tuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram 2001 dan lima tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Mereka yang diwakili peguam N. Rajivan mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan fakta kes, mereka sebagai pengarah Bestino Golden Houses yang beroperasi di sebuah premis di Jalan Sultan Yusoff di sini menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah seperti ditetapkan di bawah Sub-Seksyen 6 (4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan tersebut bersalahan dengan Seksyen 25 (1) akta terbabit yang dibaca bersama Seksyen 106 (1) akta sama yang membolehkan mereka masing-masing dijatuhi hukuman denda sehingga RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain pertuduhan individu, Kuei Geh, Yuk Ming, Chee Cheong dan Koon Lee juga didakwa dalam satu lagi pertuduhan sama selaku pengarah bersama syarikat terbabit.

Kuei Geh juga menghadapi 114 tuduhan, Yuk Ming (52), Chee Cheong (54) dan Koon Lee berdepan dengan 102 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM156.2 juta.

Sehubungan itu semua aset keempat-empat tertuduh seperti rumah, kereta mewah, akaun simpanan persendirian dan syarikat bernilai lebih RM23 juta dibekukan oleh Bank Negara.

Bestino Golden Houses dipercayai mengambil deposit orang awam secara haram untuk menjalankan perdagangan emas di luar negara.

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM1.5 juta. Kes disebut semula 11 April depan.

Jururawat jawab dakwaan suami

IPOH - Seorang jururawat menafikan tuduhan yang dibuat suaminya mengatakan dia seorang yang panas baran hingga sanggup melibas pisau dan mengurung lelaki itu selama setengah jam di dalam rumah sendiri Jumaat lalu.

Bagaimanapun, wanita yang dikenali sebagai Hanum , 24, itu enggan memberitahu kejadian sebenar dan mendakwa cerita yang dibuat suaminya, Ahmad Kushairi Abdul Rahim, 31, sengaja diada-adakan.

"Hanya saya dan dia tahu kisah sebenar. Biarlah apa yang dia nak kata, Allah tahu.

"Saya mohon tidak diganggu kerana mahu tenangkan diri. Namun saya janji akan tampil bersihkan nama (daripada dakwaan suami) beberapa hari lagi," katanya ketika dihubungi semalam sebelum memutuskan talian.

Semalam Kosmo! melaporkan, Ahmad Kushairi, seorang juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mendakwa dia diserang isterinya sehingga menyebabkan lengannya cedera dilibas pisau sebelum dikurung selama setengah jam di Taman Pinji Ria, Pengkalan di sini.

Lelaki itu menuduh isterinya terlalu cemburu dan sering menaruh syak wasangka terhadap dirinya dan dia sering dimaki hamun dan disepak terajang sejak menikah pada Mac tahun lalu.

Sementara itu Kosmo! difahamkan Hanum telah diberi cuti oleh majikannya selama seminggu sehingga Ahad ini untuk menenangkan diri di lokasi rahsia.

Seorang jururawat yang ditemui tidak percaya Hanum melakukan perbuatan tersebut kerana fizikal wanita itu lebih kecil berbanding suaminya.

"Dia pernah datang kerja dengan kesan lebam pada lengannya.

Namun, dia tidak pernah cerita apa puncanya," kata beliau.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memberitahu, kes itu masih disiasat dan polis belum membuat sebarang tangkapan.

80 pelajar keracunan selepas makan malam

IPOH - Hidangan makan malam dipercayai punca 80 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini mengalami keracunan kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Mohd. Raudhi Mohd. Isa berkata, pelajar terbabit mengalami muntah dan cirit-birit selepas menjamu selera di dewan makan asrama sekolah berkenaan.

Katanya, seramai 11 orang daripada pelajar tersebut dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada awal pagi semalam.

"Bagaimanapun mereka dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan. Saya difahamkan pegawai Jabatan Kesihatan Perak telah melakukan siasatan terhadap pengurusan dewan makan asrama itu.

"Kita sedang menunggu laporan siasatan terbabit termasuk menu yang dihidangkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Raudhi berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut memandangkan ia melibatkan kebajikan dan kesihatan pelajar sekolah.

Sikap kejam pencuri beras

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis.

Ia berlaku selepas treler yang dipandunya merempuh sebuah lori muatan pasir di lorong kecemasan.

Beg sandang miliknya yang mengandungi telefon bimbit turut dicuri.

"Bayangkan dalam keadaan sakit, saya lihat mereka begitu rakus mengaut dan mencuri beras di depan mata saya.

Hati saya bertambah sakit apabila rayuan saya meminta mereka menutup luka pada badan saya yang dihurung lalat tidak diendahkan.

"Saya harap mereka yang terlibat insaf dan fikirkanlah soal halal haram. Saya begitu kecewa lebih-lebih lagi rakan saya meninggal dunia akibat keengganan mereka menghulurkan bantuan," ceritanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan pengguna lebuh raya seakan-akan berpesta memungut beratus-ratus kilogram beras yang tumpah dari sebuah treler yang berlanggar dengan sebuah lori muatan pasir pada pukul 9.15 pagi.

Ekoran itu, kelindan treler, Hanafi mati manakala pemandu treler, Ahmad Rozlin cedera parah. Pasir yang dibawa lori yang dilanggar turut tumpah tetapi pemandunya tidak cedera.

Menurut Ahmad Rozlin , dia diselamatkan oleh anggota penyelamat yang sampai sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dengan ambulans kira-kira sejam kemudian.

Dia kemudian dipindahkan ke HRPB malam kelmarin.Mengimbau semula kejadian itu, Ahmad Rozlin memberitahu, sebelum kejadian dia sedang memandu perlahan di lorong kecemasan sebelum sebuah lori pasir meluru masuk ke laluan yang sama.

"Saya terus merempuhnya kerana lori yang berada di lorong kiri itu memintas saya dengan mengejut sebelum memperlahankan kenderaannya. Dia berbuat demikian setelah mengetahui ada sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan di hadapan," ceritanya lagi.

Ujar Ahmad Rozlin, ekoran itu, Hanafi terperosok manakala dia terhumban ke hadapan melalui cermin treler.

Thursday, February 17, 2011

MB Perak dengar masalah rakyat

TURUN PADANG. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turun padang bagi mendengar masalah rakyat menerusi program Klinik Dr. Zambry peringkat daerah Larut, Matang dan Selama di Dataran Kamunting, Taiping baru-baru ini.

Dalam tempoh dua jam, beliau melayan lebih 100 penduduk setempat yang mengutarakan pelbagai aduan dan permohonan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Perak.

Zambry berkata, program di setiap daerah itu merupakan kesinambungan daripada program Hari Bertemu Pelanggan Menteri Besar Perak yang diadakan pada setiap Selasa di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

"Selain memudahkan rakyat di luar Ipoh untuk membuat aduan kepada kerajaan negeri, program turun padang ke daerah-daerah memudahkan lagi proses pengagihan bantuan dan penyelesaian masalah setempat," katanya.

Wednesday, February 16, 2011

Senarai Penerima Anugerah Maulidur Rasul 1432 Hijrah

Perak
------
Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Perak - pasangan Ibrahim Mohd. Tahir dan Paridah Jaafar
Anugerah Tokoh Pendakwah - Shah Kirit Kakulal Govindji (Ketua Pegawai Dakwah Yayasan Pertubuhan Informasi dan Perkhidmatan Islam)
Anugerah Tokoh Guru Agama Rakyat - Hamizah Mat Zaain (Guru Besar Sekolah Agama Rakyat Islahiah, Taman Jati, Ipoh)
Anugerah Pegawai Penguatkuasa Agama - Ishak Bakar (bekas Pegawai Waran I, Tentera Laut Diraja Malaysia)

Usah runtuhkan perpaduan

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah setiap rakyat Malaysia harus mengikis sikap curiga-mencurigai antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk perpaduan di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat.

Baginda bertitah, sentimen perkauman yang sempit mesti dibanteras sebelum ia membarah dalam masyarakat.

"Bersama-samalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman.

"Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan yang sementara," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432 Hijrah bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini semalam.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Masnor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana sambutan Maulidur Rasul memberi makna tersendiri kepada seluruh umat Islam dan membuktikan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan seterusnya menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah bagi menegakan Islam.

Sementara itu di Johor Bahru, lebih 5,000 umat Islam memeriahkan sambutan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

Sambutan disertai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibn Almarhum Sultan Iskandar dan isteri, Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tengku Mahkota Johor, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim serta Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Di Kuantan, Sultan Ahmad Shah mengingatkan rakyat agar menghargai keamanan dan mengekalkan hubungan persaudaraan tanpa mengira batas agama dan warna kulit.

"Setiap anggota masyarakat perlulah menghargai keadaan aman di negara ini tanpa perlu ada prasangka semasa kita," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta pemimpin di negara ini mengambil iktibar daripada peristiwsa demonstrasi yang menjatuhkan kerajaan Tunisia dan Mesir baru-baru ini.

"Golongan muda mendambakan pemerintahan yang bersih daripada rasuah, tidak salah guna kuasa dan amanah," titah baginda ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di perkarangan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini.

Di Seremban, lebih 8,000 peserta daripada 99 kontijen yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan swasta menyertai perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Perarakan di ketuai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tuesday, February 15, 2011

Kapal lama TLDM dinaik taraf

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Dua kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu Kapal Diraja (KD) Kasturi dan KD Lekir yang sudah berusia hampir 30 tahun akan dinaik taraf menerusi Program Pemanjangan Hayat Kapal (SLEP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat pembinaan dan penyelenggaraan kapal maritim tempatan,Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek terbabit.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan kemampuan KD Kasturi dan KD Lekir agar seiring dengan teknologi dan persenjataan semasa.

"Projek SLEP yang menelan belanja RM695 juta adalah sebahagian usaha kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding membeli kapal perang baru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat perkembangan program SLEP melibatkan KD Kasturi dan KD Lekir di Wisma Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn. Bhd., Pangkalan TLDM di sini semalam.

Turut mendengar taklimat yang disampaikan Ketua Pro jek SLEP, Komander Ir. Mohamad Sayuti Abdul Halim itu ialah Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Eksekutif BNS, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor.

Ahmad Zahid berkata, menerusi projek SLEP, jangka hayat kedua-dua kapal itu bukan sahaja dapat dipanjangkan sehingga 15 tahun lagi malah perbelanjaan ketenteraan dapat dijimatkan sehingga 75 peratus.

Menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf KD Kasturi yang menggunakan 99.5 peratus tenaga tempatan dijangka siap sepenuhnya Oktober 2012 manakala KD Lekir pula bakal bermula pada Ogos depan.

Jelas beliau, KD Kasturi dan KD Lekir yang masing-masing seberat hampir 1,500 tan dan bersenjatakan misil Exocet MM38 mampu menempatkan sebuah helikopter bersaiz sederhana.

Dua kapal berkenaan mula digunakan TLDM sejak tahun 1983.

Tambun tak mahu berburu lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Pengalaman diserang harimau ketika asyik menyumpit seekor tupai Sabtu lalu menyebabkan Tambun Gedui, 60, mengalami trauma teruk sehingga dia berhasrat untuk tidak lagi pergi berburu ke hutan selepas ini.

Ekoran kejadian itu, warga emas Orang Asli itu yang mengalami kecederaan teruk akibat serangan si belang itu kini nekad untuk beralih angin daripada berburu kepada aktiviti menangkap ikan di Tasik Temenggor, Gerik sebagai mata pencarian terbarunya.

“Tak mahu masuk hutan lagi, takut. Setiap kali saya memejamkan mata, cengkaman gigi dan kuku harimau masih terasa dan sakitnya amat bisa.

“Tanam pisang dan ubi dimakan oleh gajah. Mahu sumpit tupai, dibaham harimau pula. Mungkin lepas ini saya tangkap ikan pula,” luahnya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

"Tanam pisang dan ubi dimakan gajah. Mahu sumpit tupai, dibaham harimau pula. Mungkin lepas ini saya tangkap ikan pula," luahnya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Tambun yang semakin pulih daripada kecederaan sejak dirawat di hospital terbabit kelmarin ditemani dua anak lelakinya, Bolla, 30-an dan Helmi, 19.

Bapa kepada empat anak tersebut memberitahu, beliau menyumpit tupai untuk memenuhi permintaan salah seorang cucunya yang teringin untuk menjamah daging haiwan terbabit.

Dalam pada itu, Bolla mendakwa, kejadian bapanya diserang harimau tersebut menyebabkan penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Tiang gusar untuk memasuki hutan.

"Ramai yang masih tak berani masuk hutan kerana bimbang turut diserang. Kami anggap bapa bernasib baik dan kuat walaupun sudah tua kerana mampu melawan harimau yang panjangnya hampir satu setengah meter," kata Bolla.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Mohd. Shariff berkata, satu pasukan telah dihantar ke perkampung Orang Asli terbabit untuk mengumpul maklumat mengenai harimau yang menyerang Tambun semalam.

"Selain mengumpul sampel bulu harimau yang mungkin tertinggal di lokasi serangan untuk dianalisis, kami turut cuba menjejak haiwan terbabit.

"Pemantauan berkala dan tindakan menghalau harimau berkenaan jauh ke dalam Hutan Belum mungkin diambil bagi memastikan haiwan itu tidak mengganggu kehidupan penduduk Orang Asli di perkampungan itu," katanya.

Info Harimau Belang (Malayan Tiger)

- merujuk kepada subspesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia.

- Panjang seekor harimau belang dewasa boleh mencapai antara 1.5 dan 1.9 meter manakala beratnya antara 25 dan 160 kilogram. Boleh hidup melebihi 20 tahun.

- Selain Taman Negara, Pahang, ia paling kerap ditemui di Taman Royal Belum, Gerik.

- Selalu berkeliaran di kawasan yang tidak jauh daripada punca air kerana sumber makanannya banyak tertumpu di kawasan tersebut seperti babi hutan, kijang, ayam hutan dan rusa.

- Berdasarkan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, harimau belang diklasifikasikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya.

- Populasinya kian mengecil kerana kehilangan 95 peratus daripada habitatnya di Asia selain menjadi buruan kerana dianggap perosak, ancaman kepada manusia selain bernilai tinggi di pasaran gelap.

Sumber : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

Terselamat dibaham harimau

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com

IPOH – Tindakan nekad seorang wanita Orang Asli memukul dengan senduk kayu kepala seekor harimau belang yang menyerang suaminya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut daripada dibaham si belang di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Gerik.

Dalam kejadian pukul 8 pagi kelmarin itu, Han Besou, 50-an, berada di dapur rumahnya dan mendengar jeritan suaminya, Tambun Gedui, 60, yang berada kira-kira 10 meter dari situ.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Han terus berlari ke arah suaminya dan terkejut melihat seekor harimau menggomol suaminya.

“Han terus memukul kepala harimau dengan senduk kayu yang dibawanya berkali-kali menyebabkan harimau tersebut berhenti menyerang lalu melarikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi.

Ekoran kejadian itu, katanya, Tambun yang ketika itu memakai baju T dan seluar pendek cedera parah di bahagian kepala, leher, belakang badan dan lutut.

Jelasnya, isteri mangsa memaklumkan kejadian itu kepada Tok Batin kampung yang kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk bantuan.

"Mangsa dibawa menggunakan bot merentasi Tasik Temenggor dan tiba di Hospital Gerik pada pukul 10 malam.

"Disebabkan kecederaan akibat gigitan harimau agak dalam, mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pagi ini (semalam)," katanya.

Tambun ketika ditemui di HRPB berkata, ketika kejadian dia keluar menyumpit tupai dan tidak menyedari langsung ada harimau di kawasan itu.

"Tiba-tiba sahaja harimau berkenaan menerkam saya dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh.

"Saya lawan dengan menumbuk mukanya dan harimau berkenaan bertindak ganas mencakar dan menggigit lalu saya menjerit memanggil Han yang datang memukul kepala harimau berkali-kali dengan senduk kayu sebelum ia lari ke dalam hutan," katanya.

Turut melawat mangsa ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengarah Perhilitan Perak, Shabrina Mohd. Shariff.

Sementara itu, Shabrina berkata, kejadian tesebut merupakan kes pertama harimau menyerang manusia di kampung berkenaan sejak ia dibuka pada 2003.

Katanya, Tambun dipercayai diserang harimau belang dewasa seberat 90 kilogram manakala jantina haiwan itu dan motif serangan sedang disiasat.

Jelasnya, kawsan kejadian merupakan sebahagian daripada Taman Negeri Royal Belum yang mempunyai habitat haiwan liar termasuk harimau.


Saturday, February 12, 2011

Pengeluar produk madu terbesar

Flora Bee labur RM38.6 juta untuk projek di Kamunting, 200 usahawan kontrak dicari

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Kamunting bakal menjadi pusat pengeluaran produk berasaskan madu terbesar negara dengan pembukaan pusat penternakan lebah madu oleh Flora Bee Hive Enterprise Sdn. Bhd. ( Flora Bee ) pada akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Operasi Flora Bee , Kamaruddin Deo Abdullah berkata, projek usaha sama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu akan memfokuskan kepada pengeluaran produk Royal Jelly.

"Projek ini melibatkan pelaburan berjumlah RM38.6 juta yang mana NCIA akan membiayai RM2 juta manakala selebihnya oleh Flora Bee yang melibatkan pembukaan pusat latihan ternak lebah madu dan sebuah kilang pemprosesan hasil madu di Kamunting.

"Ia akan dijalankan secara konsep ladang kontrak dan 200 petani kontrak dari sekitar daerah utara Perak sedang dikenal pasti untuk menjadi perintis projek tersebut," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak di Dataran Kamunting dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Kamaruddin menjelaskan, projek itu disasar mengeluarkan sekurang-kurangnya 500 metrik tan produk Royal Jelly menjelang lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai usahawan perintis yang terpilih untuk projek berkenaan, beliau berkata, Flora Bee yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam ternakan lebah madu secara komersial di negara Thailand, China, Vietnam dan Kemboja itu akan menyediakan latihan, lokasi dan teknologi industri terbabit kepada peserta yang terpilih.

Menurutnya, setiap penternak kontrak lebah madu akan turut mendapat khidmat nasihat secara terus daripada pakar dari Thailand dan China bagi menjamin penghasilan Royal Jelly yang bermutu tinggi dan pengeluarannya di optimumkan.

"Peralatan dan baka lebah madu yang bernilai RM56,000 akan dibekalkan Flora Bee dengan pemberian subsidi daripada syarikat sebanyak RM26,500.

"Baki modal RM30,000 akan diperoleh daripada pembiayaan mikro kredit Agrobank yang turut diuruskan syarikat," katanya sambil menambah peserta yang menyertai projek ini dijangka memiliki pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Kamaruddin Deo berkata, semua hasil Royal Jelly keluaran penternak kontrak lebah madu terbabit akan dibeli syarikat mengikut harga pasaran dan ia bakal diedarkan untuk pasaran domestik dan luar negara.



3,000 meriahkan sambutan Tahun Baru Cina

MERIAH. Lebih 3,000 penduduk pelbagai kaum memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh baru-baru ini.

Mereka tidak melepas peluang beramah mesra dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun yang turut berangkat menghadiri majlis tersebut.

Tetamu teruja menyaksikan persembahan artis antarabangsa kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Taiwan dan Hong Kong iaitu Gary Chaw.

Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan tarian naga, tarian singa, tarian 1Malaysia, pertunjukan silap mata dan wushu.

Wednesday, February 9, 2011

Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak meriah

MUHIBAH. Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP) mengadakan sambutan Tahun Baru Cina di Hotel Impiana, Ipoh baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Pengerusi DPCP, Tan Sri Chong Chin Shoong itu dimeriahkan lebih 500 pemimpin dan usahawan kaum Cina seluruh negeri Perak.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Zambry berkata, aktiviti kunjung-mengunjung pada setiap kali menyambut perayaan tanpa mengira kaum akan dapat meningkatkan hubungan mesra pelbagai kaum.

Tuesday, February 8, 2011

RM40 juta bangun semula Bazar Yau Tet Sin di Ipoh

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bazar Yau Tet Sin atau lebih dikenali sebagai Bazar Bulat suatu masa dahulu pernah menjadi ikon bandar raya ini.

Namun selepas strukturnya dirobohkan lebih 11 tahun lalu, ia semakin dilupakan. Namun usaha membinanya semula diharap dapat mengembalikan kegemilangannya.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk membangunkan semula bazar tersebut di tapak asalnya seluas kira-kira 0.31 hektar di Jalan Theater di sini.

Presiden PCCCI, Datuk Lim Kok Cheong berkata, pembinaan semula Bazar Bulat yang dianggarkan bernilai hampir RM40 juta akan menyerupai bentuk asalnya iaitu berbentuk segi lapan.

Beliau berkata, nostalgia Bazar Bulat yang pernah menjadi kompleks perniagaan dan kebudayaan tersohor bandar raya ini perlu dihidupkan bagi menyemarakkan kembali aktiviti ekonomi di sekitar Pekan Baru.

“Deretan kedai yang terdapat di Pekan Baru khususnya Jalan Theater, Jalan Mustafa Al-Bakri dan Jalan Raja Ekram yang terletak dengan tapak bekas Bazar Bulat mempunyai tarikan tersendiri.

“Namun kawasan tersebut yang meriah pada masa lalu kurang dikunjungi pada masa kini kerana masalah tertentu terutamanya tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima geran hak milik tanah tapak bazar tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon di sini semalam.

Turut menyaksikan penyerahan geran tersebut yang diadakan serentak dengan majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PCCCI ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sehubungan itu, Kok Cheong berkata, reka bentuk bangunan baru Bazar Bulat akan menilik berat penyediaan tempat letak kereta bertingkat yang mampu menempatkan 500 kenderaan dalam satu-satu masa.

Selain itu, beliau menjelaskan, kompleks tersebut juga akan dilengkapi dengan kemudahan hotel bajet selain mebngekalkan ciri-ciri asal Bazar Bulat yang merupakan pusat menjual kebanyakan produk dan makanan popular keluaran tempatan.

“Penyediaan kemudahan tersebut bertujuan untuk memudahkan pengunjung bukan sahaja membeli-belah di Bazar Bulat tetapi kedai-kedai lain yang turut terdapat di sekitar kawasan tersebut," katanya.

20 anak yatim gembira dapat naik kapal terbang

TERUJA. Seramai 20 anak yatim dari Bait Al-Amin, Parit, Perak gembira apabila dapat menaiki kapal terbang buat pertama kali sempena pelancaran perkhidmatan penerbangan terbaru, laluan Ipoh-Johor baru-baru ini.

Mereka sebahagian daripada 72 penumpang yang menerima jemputan daripada syarikat pengurusan penerbangan tempatan, Infinity Travel & Services (ITS) untuk menyertai penerbangan sulung kemudahan itu dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Ketua Pegawai Eksekutif ITS, Norliza Mustapa berkata, pesawat carter ATR 72 yang disewa daripada Berjaya Air Sdn. Bhd. selamat tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI), Senai, Johor kira-kira sejam 20 minit kemudian.

"Anak-anak yatim terbabit kemudiannya diraikan dengan sambutan meriah oleh petugas LTASI selain dibawa melawat persekitaran lapangan terbang terbabit," katanya.

Saturday, February 5, 2011

Badan berkecai gilis

IPOH - Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian besar tubuhnya berkecai digilis beberapa kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 269.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.05 malam itu menyebabkan Mohd. Ridzuani Abdul Wahab, 25, dari Bukut Mertajam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian selepas terjatuh di lorong kiri apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan lain.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rozi Rejab berkata, tubuh mangsa kemudian digilis beberapa kenderaan. Bagaimanapun, kesemua kenderaan itu kemudian meneruskan perjalanan.

"Seorang anggota tentera, Irwan Fahmi Mat Ariff cedera ringan akibat terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya setelah terlanggar cebisan mayat mangsa," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Muhammad Adhwa' Jamali, 23, dan P. Steve Jemeriah, 26, maut apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Mahameru dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 1 semalam.

Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning, kedua-dua kemalangan itu berlaku selang 15 minit.

Katanya, Muhamamad Adhwa' maut pada pukul 5 pagi apabila motosikalnya terlanggar belakang sebuah bas ketika membelok di susur Jalan Syed Putra di Jalan Mahameru. Steve Jemeriah pula mati selepas motosikalnya motosikalnya merempuh pembahagi jalan.