Translate

Saturday, May 31, 2025

63 pasangan program Buai LPPKN berjaya hamil

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Inferteliti (Buai) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mula menunjukkan hasilnya apabila 63 wanita yang menyertainya berjaya hamil.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, setakat ini, program yang dilancarkan pada bulan Februari lalu tersebut telah berjaya menarik penyertaan 370 pasangan yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

“Setakat ini 17 peratus daripada pasangan menyertainya telah disahkan hamil.

“Program Buai merupakan inisiatif LPPKN bagi membantu pasangan mendapatkan zuriat menerusi rawatan permanian beradas (IUI) secara percuma,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Ibu peringkat Terengganu di sini hari ini.

Rosmonaliza berkata, peruntukan RM6 juta disediakan melibatkan sasaran 1,300 pasangan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, syarat kelayakan untuk menyertai program Buai ialah pendapatan pasangan maksimum RM10,000 sebulan, suami isteri yang sah dan pasangan wanita berusia 36 tahun ke bawah.

“Rawatan IUI tersebut dilakukan di cawangan Klinik Subfertiliti LPPKN yang terhadap di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Setiap sesi rawatan IUI pasangan peserta menelan belanja antara RM1,000 dan RM2,000,” katanya.

Rosmonaliza menyarankan mana-mana pasangan yang masih belum mendapat apa-apa tanda kehamilan selepas enam bulan berumah tangga agar membuat permohonan. – KOSMO! ONLINE

Thursday, May 29, 2025

Emas tetap laku biarpun harga mahal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan ROHANA MOHD. NAWI

KUALA TERENGGANU – Lonjakan harga emas ke paras ter­tinggi sehingga mencecah RM515 segram semalam menyaksikan ramai peniaga mula menukar strategik jualan dengan menawarkan harga ‘berpatutan’ kepada pelanggan bagi setiap pembe­lian barang kemas. 

Menurut mereka, harga semasa emas ketika ini banyak dipengaruhi oleh tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan ia lebih tinggi berban­ding harga RM450 segram yang dicatat pada bulan Ramadan lalu.

 Seorang pengusaha kedai emas di Pasar Besar Kedai Pa­yang di sini, Zakaria Yusoff berkata, kenaikan tersebut…

Wednesday, May 28, 2025

JPJ ‘perangi’ kenderaan perdagangan pandu laju mulai bulan depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ‘memerangi’ kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang memandu melebihi had laju ditetapkan mulai bulan depan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, memandu melebihi had laju ditetapkan iaitu maksimum 80 kilometer sejam (km/j) di jalan persekutuan dan negeri serta 90 km/j di lebuh raya dikenalpasti antara punca utama peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan termasuk pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kenderaan perdagangan berkapasiti 7.5 tan ke atas yang didapati kerap mencetuskan kemalangan sejak akhir-akhir ini.

“Kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan semakin meningkat, salah satu faktornya ialah melebihi had laju ditetapkan.

“Ia merisaukan JPJ. Saya akan umum garis panduan baharu penguatkuasaan bagi menangani isu kenderaan perdagangan terlibat kemalangan ini pada bulan Mei depan,” katanya di sini malam tadi.

Beliau ditemui sewaktu menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat JPJ Terengganu.

Aedy Fadly berkata, perincian garis panduan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang melanggar had laju itu dalam penelitian JPJ bersama semua pemegang taruh termasuk Kementerian Pengangkutan.

Kosmo! Online semalam melaporkan kira-kira 20 buah kenderaan mengalami kerosakan akibat dirempuh sebuah lori di susur keluar berdekatan Plaza Tol Serenia, Dengkil, Selangor. – KOSMO! ONLINE


Teroka sumber baharu, kurangkan kebergantungan minyak, gas – Sultan Mizan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri agar meneroka sumber baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas yang semakn terhad.

Baginda bertitah, minyak dan gas telah menyumbang sebahagian besar pendapatan Terengganu dan kebergantungan berterusan terhadap sumber itu boleh memberi risiko terhadap kestabilan ekonomi negeri.

-Advertisement-

“Wajar bagi kerajaan negeri untuk meneroka dan membangunkan sumber-sumber baharu yang lestari.

“Selaras dengan perubahan global yang beralih kepada tenaga lebih bersih dan mampan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.

Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri Terengganu telah merangka Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Terengganu (NIT) sebagai perancangan jangka panjang menjana pendapatan baharu negeri ini.

Baginda bertitah, antara sektor yang diberi tumpuan adalah pelancongan serta sumber galian lain seperti silika, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) dan bausit.

Sultan Mizan juga menitahkan kerajaan negeri Terengganu agar mengeratkan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah, ia bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan seterusnya menjamin kesejahteraan masyaraka dan memacu pertumbuhan ekonomi Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Bukan nak raih undi PRK DUN Ayer Kuning – Ahmad Samsuri

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyangkal dakwaan kononnya memperbesarkan isu beliau diletakkan di bawah pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) bagi meraih undi Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.

Sebaliknya Naib Presiden Pas itu menegaskan sukar menerima tindakan menahannya dalam tempoh hampir setengah jam di hadapan depan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 dan 7 April lalu.

-Advertisement-

“Kenapa tahan saya sebelum PRK (DUN Ayer Kuning)? Saya hanya dimaklumkan (berada di bawah pengawasan TCO)
ketika ditahan pada hari berkenaan.

“Mana pula perkara biasa (dikenakan TCO), saya perlu mendapat clearance daripada Special Branch (Cawangan Khas). Adakah orang-orang (kenamaan) lain dikenakan TCO berdepan benda sama?,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak mengetahui telah dimasukkan di dalam pengawasan TCO sebelum ini kerana sering menggunakan laluan kenamaan lapangan terbang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, beliau hanya menggunakan laluan awam sewaktu berada di KKIA memandangkan kunjungan di Sabah pada hari tersebut hanya bersifat peribadi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri juga bercadang untuk melakukan lawatan ke Singapura bagi menguji jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan beliau tiada berada dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana bukan seorang penjenayah.

“Saya akan test (uji) dahulu, mungkin saya akan pergi Singapura, tengok saya kena TCO ke tidak?,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Tiada yang tinggal, semua sudah jadi abu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ke­gembiraan sebuah keluarga untuk meraikan perkahwinan anak mereka pada 2 Mei ini sedikit terganggu apabila ke­semua persiapan majlis itu musnah selepas rumah mereka terbakar di Kampung Tualang, Manir di sini kelmarin.

 Kebakaran pada pukul 12.45 tengah hari itu bukan sahaja menyebabkan Rohana Omar, 51, dan ahli keluarganya tinggal sehelai sepinggang, malah suaminya, Mohd. Azmi Mat Zin, 60, turut melecur di kepala. 

“Malam sebelum kejadian kami ada mengadakan kenduri untuk berbincang tentang persiapan majlis perkhawinan anak perempuan kami…

Komisyen kerja sampingan tak dapat, simpanan RM48,530 lesap

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang eksekutif jualan bukan sahaja tidak mendapat komisyen dijanjikan malah kerugian RM48,530 akibat diperdaya sindiket pekerjaan tidak wujud pada minggu lalu.

Lelaki berusia 52 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 7.35 malam, semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa tertarik apabila melihat tawaran kerja sampingan tersebut di laman Facebook.

“Iklan itu menawarkan komisyen menarik dengan syarat perlu membuat tempahan bilik dengan tujuan menaikkan rating (penilaian) hotel terlibat.

“Mangsa yang tertarik dengan menekan pautan diberikan sebelum mula membuat tempahan bilik hotel terbabit untuk mendapat komisyen dijanjikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, eksekutif jualan tersebut dijanjikan wang tempahan bilik hotel bersama komisyan akan diserahkan kepada dalam tempoh 10 minit selepas transaksi dilakukan.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya, lelaki itu menerima komisyen dijanjikan namun tidak lama dia dikenakan ‘penalti’ kononnya kerana lambat melakukan tugasan diberikan.

“Dia mula menyedari tertipu apabila komisyen dijanjikan masih tidak dibayar walaupun ‘penalti’ telah dibayar. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, May 27, 2025

Santuari Kelip-Kelip terbesar di Kampung Yak Yah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Terengganu memiliki tarikan pelancongan terbaharu dengan pembukaan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini yang merupakan antara kawasan pemuliharaan semulajadi terbesar populasi serangga terancam terbabit di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek santuari menelan belanja RM5.3 juta terbabit yang dimulakan pada tahun 2019 telah siap sepenuhnya baru-baru ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah dilengkapi kemudahan jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam.

“Kawasan sekitar tebing Sungai Chukai di Kampung Yak-Yak sepanjang kira-kira lima kilometer ini dihuni kelip-kelip spesies Pteroptyx tener yang unik kerana koloninya berupaya berkelip secara serentak.

“Langkah membina santuari ini diambil bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan tetapi memulihara populasi koloni kelip-kelip di kawasan ini yang didapati telah menurun pada beberapa tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini malam tadi.

Aiman Athirah berkata, kajian pakar entomologi pada tahun 2018 mendapati kawasan santuari terbabit hanya mempunyai 176 koloni kelip-kelip sebelum merosot kepada 104 koloni pada tiga tahun kemudian.

Beliau berkata, pendekatan pemuliharaan di kawasan digazetkan santuari berkenaan dengan menanam 2,000 pokok berembang, nipah (500) dan bakau (200) telah berjaya memulihkan semula koloni serangga terbabit.

“Kini populasi kelip-kelip di Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah telah meningkat kira-kira 45 peratus dengan 279 koloni.

“Kawasan ini sudah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung sebagai produk eko-pelancongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rugi RM64,500 ditipu tender palsu pasang langsir PPD Besut

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat hiasan dalaman kerugian RM64,500 apabila terperdaya dengan tender pemasangan langsir dan aksesori Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut yang sebenarnya tidak wujud.

Pengurus kanan syarikat itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.51 tengah hari semalam.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa telah dihubungi oleh seorang individu mendakwa pegawai Bahagian Urus Tender, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur menerusi aplikasi WhatsApp pada 17 Mac lalu.

“Mangsa telah ditawarkan projek menyediakan dan memasang langsir dan aksesori di PPD Besut mengikut nilaian yang ditentukan sendiri oleh syarikatnya.

“Suspek juga menetapkan pembekalan kain bagi penyediaan langsir terbabit perlu dari sebuah syarikat ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, wanita berusia 42 tahun terbabit kemudiannya menghubungi individu kononnya wakil syarikal pembekal sebelum membuat pembayaran menerusi dua transaksi di akaun bank diarahkan.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua urusan dokumen pembekalan langsir terbabit juga dilakukan hanya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa akhirnya menyedari syarikat tertipu apabila mendapati sebenarnya tender pemasangan langsir dan aksesori di PPD Besut berkenaan sebenarnya palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Koperasi turut sama tarik pelancong TMM 2026

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Koperasi berteraskan pelancongan di seluruh negara disaran memanfaatkan program Jom Jelajah Koperasi (Jejak) yang bertujuan membantu mereka membuat persediaan sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar berkata, program Jejak tersebut telah menyediakan dana keseluruhan RM2 juta bagi membantu koperasi terlibat menarik pelancong menginap di bilik resort dan inap desa diusahakan mereka.

“Kita menyasarkan 160 koperasi berteraskan pelancongan menerima manfaat daripada peruntukan disediakan menerusi program Jejak ini.

“Setakat ini, di Terengganu sahaja, 22 koperasi terlibat sudah diluluskan permohonan mereka melibatkan kelulusan RM198,000,” katanya pada majlis Tautan Mahabbah Koperasi Terengganu, di sini hari ini.

Rusli berkata, program Jejak membolehkan setiap koperasi berteraskan pelancongan tempatan layak memohon insentif RM12,500 sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, insentif itu merangkumi RM2,500 bagi tujuan promosi manakala selebihnya galakan jualan.

“Insentif itu membolehkan koperasi terlibat menawarkan bilik penginapan diusahakan mereka pada harga diskaun sehingga 20 peratus sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.

“Ia bertujuan menjadikan resort dan inap desa koperasi tersebut antara pilihan utama pelancong sewaktu penganjuran TMM 2026 kelak,” katanya.

Rusli berkata, SKM percaya insentif program Jejak ini dapat memberi kesan pengganda bagi merangsang semula perniagaan koperasi berteraskan pelancongan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Remaja maut, motosikal rempuh pikap membelok

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah trak pikap jenis Ford Everest yang tiba-tiba membelok di Jalan Kampung Atas Tol di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.28 pagi itu, mangsa, Farid Rizuan Mohamad Hanapiah, 16, meninggal dunia akibat parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, Farid Rizuan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dikatakan gagal mengelak lalu merempuh trak pikap Ford Everest.

“Pikap dari arah bertentangan dipandu pesara guru berusia 71 tahun itu dikatakan tiba-tiba membelok ke simpang kiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azli berkata, pegawai perubatan mengesahkan kematian Farid Rizuan yang menunggang motosikal abang iparnya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Santan makin mahal, kini cecah RM20 sekilo

Oleh MOHD AZLI ADLAN, NOOR HASLIZA NUSI, NABILA NATASHA YUSMADIE, ARINA MOHD. NOOR dan ROSLIZA MOHAMED

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan kelapa tempatan dan kenaikan harga kelapa import menjadi antara punca kenaikan harga santan segar sehingga RM20 sekilogram di kebanyakan negeri di seluruh negara. 

Tinjauan Kosmo! di Pasar Raja Bot, Chow Kit di sini, kelmarin mendapati, santan segar kini dijual pada harga RM18 sekilogram berbanding RM15 sekilogram pada akhir tahun lalu. 

Beberapa peniaga memaklumkan bekalan kelapa kini ba­nyak diperoleh dari Indonesia memandangkan stok kelapa tempatan sukar didapati. 

Seorang peniaga santan, Liew Yoke Chin, 45, berkata, harga…

Simpanan RM30,200 lesap tertipu tawaran pekerjaan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Simpanan RM30,200 seorang pekerja sambilan lebur apabila wanita itu diperdaya dengan tawaran pekerjaan yang tidak wujud.

Mangsa berusia 39 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 11.25 pagi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita itu menerima panggilan daripada suspek mengaku kononnya wakil sebuah platform e-dagang pada pukul 5.50 petang, 4 April lalu.

“Suspek mendakwa kononnya mahu menghantar hadiah penghargaan berupa lampu solar kepada mangsa.

“Dia kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp yang kononnya menawarkan ganjaran penghargaan RM8 jika wanita itu memberi maklum balas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pekerja sambilan terbabit juga ditawarkan ganjaran tambahan sekiranya melakukan tugasan di dalam sebuah aplikasi diberikan.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya, wanita itu menerima komisyen dijanji namun akhirnya mangsa dikenakan ‘penalti’ kononnya kerana lewat menyelesaikan tugasan.

“Mangsa akur membayar ‘penalti’ berkenaan yang berjumlah keseluruhan RM30,200 menggunakan simpanannya.

“Wanita tersebut akhirnya menyedari tertipu apabila tetap tidak mendapat semula ‘pulangan’ dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Monday, May 26, 2025

AADK fokus kurangkan penagih dadah Terengganu, Kelantan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu dan Kelantan diberi fokus Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha pemulihan dadah bagi mencapai sasaran ditetapkan iaitu 400 kes dadah bagi setiap 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dua negeri Pantai Timur itu antara dua negeri yang mempunyai kadar penagihan tertinggi mengikut populasi penduduk di negara ini.

Beliau berkata, kedudukan Terengganu dan Kelantan yang berhampiran dengan sempadan negeri jiran dan kaedah pengedaran kini mengikut jalan laut antara punca kes penagihan dadah tinggi di dua negeri itu.

“Terengganu misalnya walaupun berlaku sedikit penurunan (bilangan penagih dadah) berbanding tahun 2023 tetapi masih antara tertinggi di negara ini.

“Isu dadah harus dijadikan masalah bersama, bukan isu politik atau sengaja diadakan. Matlamat kita meletakkan dadah sebagai musuh nombor satu.

“Kita harus memberi tumpuan bersungguh-sungguh, tanggungjawab tidak boleh diletakkan semata-mata kepada AADK tetapi harus dijadikan masalah bersama semua pihak,” katanya pada program Ramah Mesra bersama Klien AADK di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, selain penguatkuasaan, usaha pemulihan melibatkan keluarga penagih atau klien sedang giat dilakukan bagi menangani isu penagihan dadah terbabit.

Beliau berkata, ia disebabkan kajian AADK menunjukkan kadar kejayaan pemulihan lebih tinggi dalam kalangan klien yang menerima sokongan daripada masyarakat terutama ahli keluarga sendiri. – KOSMO! ONLINE

Harumanis tak dapat, simpanan lebih RM67,000 hilang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara wanita untuk membeli buah mangga harumanis bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanannya berjumlah RM67,573.63 lesap dikebas sindiket penipuan.

Mangsa berusia 61 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini berhubung kejadian itu pada pukul 11.27 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa membeli harumanis di Facebook pada pukul 9 pagi kelmarin.

“Mangsa diberikan kod pembelian oleh ‘peniaga’ kononnya untuk tujuan pengesahan.

“Dia (mangsa) kemudian diminta menghantar semula kod itu kepada suspek selepas membuat pengesahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mangsa berasa cemas apabila menyedari wang simpanannya di dalam bank hilang secara tiba-tiba pada pukul 10 pagi semalam.

Tambahnya, mangsa yang kehilangan wang simpanan berjumlah RM67,573.63 segera menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Takut kena marah barang kemas hilang, isteri buat laporan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



BESUT – Gara-gara takut dimarahi suami kerana barang kemasnya yang dipinjamkan kepada rakan tidak dipulangkan, seorang suri rumah sanggup membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa samun.

Helah wanita berusia 30-an itu berbongkar apabila siasatan polis terhadap laporan yang dibuat pada pukul 3.39 petang semalam itu mendapati ia sebenarnya tidak pernah berlaku.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azammudin Ahmad @ Abu berkata, pada mulanya, suri rumah terbabit mendakwa disamun dua suspek bermotosikal di Kampung Hutan Nangka, Jerteh di sini.

“Sewaktu membuat laporan polis, wanita itu mendakwa kononnya dia telah ditahan dua suspek bersenjatakan pisau sebelum merampas barangan kemasnya.

“Dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan mendakwa kononnya kerugian RM7,000 akibat kes samun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azamuddin berkata, siasatan polis kemudiannya mendapati aduan suri rumah tersebut sebenarnya palsu.

Beliau berkata, wanita berkenaan tidak pernah disamun tetapi sebenarnya membuat laporan polis kerana takut dimarahi suaminya.

“Dia takut dimarahi suaminya kerana barangan kemas yang dipinjam tidak dipulangkan. Rakan yang meminjam pula gagal dihubungi sehingga kini.

“Kami kesal dengan perbuatan wanita itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Takut kena denda hilang MyKad, disiasat buat laporan palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut didenda kerana kehilangan MyKad buat kali ketiga, seorang buruh tergamak membuat laporan polis palsu kononnya disamun pada kelmarin.

Helah lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Rusila, Marang itu terbongkar apabila siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.04 petang, Isnin lalu sebenarnya palsu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, bekas banduan yang baru dibebaskan atas kesalahan penyalahgunaan dadah tersebut mendakwa kononnya dia telah disamun di Kuala Ibai di sini pada pukul 10.30 pagi, Isnin lalu.

“Dia mendakwa kononnya disamun oleh seorang lelaki berpakaian hitam dan memakai topi keledar penuh yang menunggang motosikal Honda EX5.

“Dakwanya, lelaki itu pada mulanya meminta pertolongan membaiki motosikal yang rosak sebelum tiba-tiba memukul mulut dan belakang badannya dengan topi keledar lalu melarikan beg silangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Azli berkata, siasatan lanjut kemudiannya mendapati aduan lelaki itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Beliau berkata, sebenarnya beg silang mengandungi barangan peribadi buruh terbabit termasuk MyKad telah tercicir sewaktu dia terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di Kampung Gong Rok Nasik di sini pada pukul 1 pagi, kelmarin.

“Buruh itu risau dikenakan denda tinggi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad buat kali ketiga telah membuat laporan palsu kononnya disamun setelah dicadangkan salah seorang rakannya,” katanya. – KOSMO! ONLNE

‘Kami tak mampu beli kaki palsu ayah’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang suri rumah memohon bantuan kaki palsu untuk bapanya kerana alat sokongan lama tidak boleh digunakan lagi kerana terlalu uzur.

Farah Aida Razali, 35, berkata, kaki palsu lama bapanya, Razali Junoh, 67, telah beberapa kali dibaiki dan perlu diganti baharu namun dia tidak mampu untuk membeli alat sokongan tersebut.

“Ketiadaan kaki palsu tersebut menyebabkan ayah yang sukar bernafas dan perlu dibantu untuk bergerak terutama untuk ke tandas.

“Saya tidak mampu membeli kaki palsu baharu berharga RM4,700 kerana hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai anggota sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya semalam.

Menurutnya, bapanya yang menderita penyakit paru-paru kronik kini bergantung kepada bantuan mesin oksigen.

“Kakinya terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat dipatuk seekor ular tedung di kawasan kebun kami pada tahun 2010,” ujarnya.

Farah Aida berkata, selain bapa, dia turut menjaga ibunya, Yahni Mohd. Noor, 66, yang menghidap penyakit jantung, manakala adiknya, Muhammad Faruq pula merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang menderita gout kronik.

“Ayah dan adik menerima bantuan keseluruhan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi untuk membiayai kos perubatan mereka,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Razali bernombor 1140041000016355 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Farah Aida di talian 019-906 64674.

Boleh mansuh pencen tetapi faedah jangan kurang – Cuepacs

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akur sekiranya skim pencen terpaksa dimansuhkan asalkan pembaharuan bakal diperkenalkan kelak tidak menggugat faedah sedang dinikmati penjawat awam kini.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menaruh keyakinan skim baharu yang sedang dirangka kerajaan itu bersesuaian dengan kumpulan kerja generasi baharu perkhidmatan awam.

“Kita (Cuepacs) telah dimaklumkan sejak 20 Jun 2023 lagi (bahawa) Jawatankuasa Kabinet memutuskan tiada lagi skim pencen.

“Cuepacs tiada masalah jika kerajaan ingin mencadangkan skim menggantikan pencen tetapi hendaklah berlandaskan prinsip faedah diterima kelak tidak kurang daripada diterima hari ini,” katanya pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di sini hari ini.

Adnan mengakui pada mulanya, Cuepacs menolak cadangan penggantian skim pencen, tetapi akhirnya memahami rasional cadangan kerajaan tersebut selepas dibentangkan kedudukan kewangan negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merayu pertimbangan kerajaan agar membatalkan hasrat menyerap 18,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kini berstatus kontrak untuk perkhidmatan kepada skim pekerjaan jangka pendek (MyStep).

“Tawaran penukaran kepada skim MyStep ini ibarat ‘turun darjat’ kerana faedah perkhidmatannya jauh lebih rendah berbanding status kontrak untuk perkhidmatan sedang dinikmati.

“PPH ini sudah banyak membantu KPDN sejak 18 tahun lalu. Kerajaan dirayu beri pertimbangan ihsan sekurang-kurangnya menaikkan mereka untuk status kontrak dalam perkhidmatan yang lebih menjamin kebajikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, May 25, 2025

Daripada buat komen jelik, baik penjawat awam tingkat produktiviti

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal sikap segelintir penjawat awam yang mengeluarkan komen jelik termasuk terhadap kerajaan di media sosial.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak profesional dan tidak menyelesaikan isu pokok, malah dikhuatiri boleh menjejaskan imej sektor perkhidmatan awam keseluruhannya.

“Majikan kami (penjawat awam) adalah kerajaan yang sentiasa mendengar keluh-kesah dan memberi ruang terbuka (terhadap) pandangan penjawat awam. Sebahagian permintaan kita sudahpun dipenuhi.

“Cuepacs tiada tolak ansur dengan komen-komen jelik (penjawat awam) kepada majikan sendiri (kerajaan) malah menyokong sebarang tindakan disiplin oleh ketua perkhidmatan,” katanya pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 21 April lalu untuk menyiasat dua anggotanya yang disyaki membuat hantaran komen jelik di media sosial baru-baru ini.

Sehubungan itu, Adnan menyeru semua penjawat awam bersikap profesional dengan setia kepada majikan iaitu kerajaan tanpa mengira pegangan dan fahaman politik masing-masing.

“Sebaiknya tumpulah kepada kerja masing-masing dengan mengukuhkan produktiviti dan integriti supaya memberi pulangan terbaik kepada rakyat, kerajaan dan negara setimpal dengan kenaikan gaji (baru-baru ini).

“Komen jelik (di media sosial) tidak membantu kira sebaliknya boleh memberi imej tidak baik kepada perkhidmatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

SPM: 532 calon peroleh semua A di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Seramai 532 calon Terengganu memperolehi semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan sebentar tadi.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Terengganu, Rosli Chik berkata, ia peningkatan 68 calon berbanding 464 orang pada tahun lalu.

“Calon SPM negeri ini yang memperolehi semua A+ juga meningkat kepada 11 orang berbanding lapan orang pada tahun lalu.

“Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat kepada 4.31 yang juga mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 4.49,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM peringkat Terengganu di sini hari ini.

Rosli berkata, seramai 11,087 daripada 18,913 calon iaitu 66.41 peratus lulus bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata, pencapaian itu lebih baik berbanding 64.03 peratus yang dicapai pada tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, 96.67 peratus iaitu 16,139 calon yang menduduki SPM layak menerima sijil SPM.

“Begitupun, seramai 279 calon atau 1.67 peratus tidak hadir pada peperiksaan SPM 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE