Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita mengakui terlewat memohon kad pengenalan atau MyKad anak bongsunya yang genap 12 tahun pada Mac lalu kerana terlupa.
Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Kamariah, 42, dia hanya tersedar perkara itu kira-kira tiga bulan kemudian.
“Saya mula teringat anak bongsu belum memohon MyKad sewaktu melalui kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu secara kebetulan pada Jun lalu.
“Saya dan suami mungkin terlepas pandang kerana ulang tahun kelahiran anak jatuh pada bulan Ramadan. Kebetulan ketika itu suami bekerja di luar kawasan,” katanya kepada Kosmo!.
Kamariah memberitahu, kelewatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana rumahnya hanya terletak tidak sampai tiga kilometer dari Kaunter JPN, UTC Kuala Terengganu.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Nasir Mat Sam, 47, yang menetap di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus mengakui dia berasa risau memandangkan anak lelakinya bakal menyambut ulang tahun yang ke-12 pada bulan depan.
“Seperti semua tahu, musim tengkujuh sudah bermula jadi kami yang menetap di pulau ini biasanya tidak dapat keluar menaiki bot kerana keadaan laut yang bergelora.
“Pejabat JPN terdekat pula sama ada di Permaisuri, Setiu atau Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu,” katanya.
Mohd. Nasir memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan dan merancang akan membawa anaknya memohon MyKad di pejabat JPN paling awal pada Mac tahun depan selepas Monsun Timur Laut berakhir.
No comments:
Post a Comment