Translate

Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

Wednesday, October 21, 2026

Liga Super: JDT gah tewaskan TFC 3-0

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan di persada liga manakala skuad Sang Penyu terus tercicir ke tangga kesembilan.

Pada mulanya, tuan rumah bukan sahaja ampuh menyerap serangan JDT malah hampir mendahului menerusi pemain tengah, Ahmad Haziq Kutty Alba pada minit kesembilan.

Dua percubaaan pemain pertahanan JDT, Oscar Aribas masing-masing pada minit 16 dan 18 pula tersasar.

Begitupun, kerja keras barisan serangan skuad Harimau Selatan akhirnya berhasil memecah kebuntuan menerusi jaringan pemain naturalisasi, Bergson da Silva pada ke-25.

Pintu gawang skuad Sang Penyu sekali lagi bocor menerusi jaringan Aribas yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Suhaimi Husin pada minit ke-41.

Mohd. Suhaimi tewas lagi buat kali ketiga selepas gagal menahan rembatan pemain gantian JDT, Zahetabar Shahab pada minit ke-86.

Terdahulu, TFC kempunan untuk merapatkan kedudukan apabila tendangan penalti yang diambil Ahmad Haziq berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-64. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, September 9, 2026

Langkah TFC, Nafuzi sempurna

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain puas apabila kemunculan semulanya bersama skuad Sang Penyu berakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC pada aksi sulung Liga Super kelmarin.

Beliau berkata, tiga mata penuh di hadapan penyokong tegar amat penting dan ia menjadi petanda positif bagi TFC untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

“Terima kasih kepada pemainpemain yang dari awal menunjukkan komitmen yang amat tinggi. Begitu juga penyokong yang hadir menunjukkan sokongan padu kepada pasukan yang baru dibina. Kemenangan ini hadiah buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan. 

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut, TFC mudah menjinakkan Melaka 3-0 hasil dua jaringan penyerang, Gervane Kastaneer pada minit ke-11 dan 80 serta pemain tengah, Victor Ruiz Abril (m-45). 

Nafuzi juga memuji aksi berpasukan anak buahnya yang membantu Kastaneer selaku penyerang utama meledak dua gol pada perlawanan tersebut, tetapi menggesa para pemain terus fokus dan bekerja keras membaiki kelemahan serta mengukuhkan keserasian bersama. 

“Kemenangan ini amat menggembirakan, namun kita masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Apatah lagi selepas ini, kita akan menghadapi Selangor. Apapun pemain-pemain saya kini berada dalam motivasi tertinggi,” katanya. 

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, pemain naturalisasi, Romel Morales tidak diturunkan pada aksi tersebut ekoran masih belum cergas 100 peratus setelah pulih daripada kecederaan baru-baru ini.

Monday, August 24, 2026

Liga Super: Sang Penyu mudah tewaskan Melaka FC

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) yang kembali diterajui pengendali, Mohd. Nafuzi Zain membuka aksi pertama Liga Super dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan Melaka FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi penyerang import, Gervane Kastaneer di hadapan 6,550 penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Pemain skuad Piala Dunia Curacao itu bijak memanfaat hantaran pemain tengah import, Victor Ruiz Abril dengan meledak ke kiri gawang yang menewaskan penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Giliran Abril pula menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-45 bagi membolehkan skuad Sang Penyu melebarkan kedudukan kepada 2-0.

Gawang Melaka yang dijaga bekas penjaga gol Harimau Malaya berkenaan terus bocor buat kali ketiga hasil ledakan Kastaneer yang menerima hantaran pemain gantian, Jordan Mintah pada minit ke-80.

Kastaneer hampir meledak hatrik namun jaringan ketiganya pada minit ke-90 dibatalkan kerana offsaid.

Skuad Sang Kancil cuba melawan namun percubaan pemain pertahanan import, Argzim Redzovic dan penyerang, Jafri Firdaus Chew masing-masing minit ke-18 dan 35 tidak menepati sasaran.

Pemain gantian, Ruventhiran hampir memberikan gol saguhati buat Melaka namun percubaaannya terkena palang biarpun penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim sudah tersalah langkah meninggalkan posisinya.

Kemenangan tersebut membolehkan TFC berada di tangga ketiga berkongsi tiga mata dengan pendahulu dan tempat kedua iaitu Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT). – KOSMO! ONLINE

Friday, June 12, 2026

TFC buru bekalan selesa di Melaka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) memburu kemenangan besar dalam aksi pertama menentang Melaka FC pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam ini.

 Pemangku jurulatih TFC. Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan malam ini penting sebagai bekalan selesa buat skuad kendaliannya untuk menghadapi dalam aksi timbal halik digelanggang sendiri pada 29 November depan. 

"Kami mahu meneruskan momentum kemenangan yang diraih dalam aksi terakhir Liga Supermenentang Penang FC sebelum minggu rehat antarabangsa pada dua minggu lalu. 

"Sepanjang tempoh itu, kami tetap berlatih mempertajamkan serangan dan memperkemaskanbenteng pertahanan biarpun tanpa tujih permain yang mempunyai tugasan dengan skuad kebangsaan masing-masing katanya. 

Badrul Afzan juga berharap tujuh pemain tersebut termasukdua import iaitu Manuel Ott dan Nelson Bonilla membawa semangat aksi antarabangsa masing-masing dalam perlawanan menentang Melaka FC kelak. 

Beliau mengakui hampir semua anak buahnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan kecuali Bonilla yang masih kurang cegas dan pertahanan kebangsaan, Azam Azmi Mura cedera ringan pada bahagian lutut. 

Begitupun saya telah mengingatkan anak buah agar tidak memandang mudah cabaran Melaka FC.

 Walaupun beraksi dalam Liga A1, Melaka FC tetap skuad baik yang turut dibarisi beberapa pemain pengalaman dalam Liga Super," katanya.

Friday, June 5, 2026

TFC mahu terus gempur Melaka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) berzam terus menggempur gawang Melaka FC pada aksi kedua pusingan pertama Piala Malaysia di laman sendiri malam ini biarpun sudah membawa bekalan selesa tiga gol.

 Pemangku Jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata, anak buah diingatkan agar tidak me mandang mпTERENGGANI dah dan terus fokus biarpun sebelah kaki skuad Sang Penyu boleh dikata kan sudah melangkah ke suku akhir. 

"Selagi wisel penamat 90 minit pada aksi esok (malam ni) ditlupkan, apa-apa boleh terjadi. Saya minta pemain-pemain terus fokus bermain bersungguh-sungguh untuk memburu kemenangan mutlak di gelanggang sendiri," katanуа. 

TFC bakal menanti kunjungan Melaka FC yang beraksi dalam Liga Al setelah mencatat kemenangan 4-1 pada aksi pertama pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat pada 23 November lalu.

 Badrul Afzan berkata, anak anak buahnya turut menjalani latihan sebagal persediaan sekiranya mereka terpaksa bermain dalam keadaan cuaca hujan memandangkan Terengganu kini dilanda Monsun Timur Laut (MTL) dengan cuaca yang tidak menentu.

 Beliau berkata, aksi lebih berhati-hati dituntut kerana sebarang kesilapan mudah akan menyebabkan mereka dihukum dalam permainan di padang basah. 

"Apa pun saya lega semua pemain saya bebas daripada masalah kecederaan mahupun penggantungan (perlawanan). Mungkin ada sedikit pertukaran dalam kesebelasan utama," jelasnya.

Saturday, May 16, 2026

TFC tanggung malang keciciran mata

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) terus ditimpa badi keciciran mata dalam empat perlawanan berturut-turut selepas ditumpaskan 1-3 Imigresen FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. 

Pengendali interim TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, tambah parah, aksi tersebut juga menyaksikan gawang skuad kendaliannya bolos menerusi sepakan penalti dalam t i g a perlawanan berturut-turut. 

“Gol kedua Imigresen (menerusi sepakan penalti) jelas memusnahkan kami dengan motivasi pemain-pemain saya mula dilihat luntur. Kita sekali lagi hilang fokus biarpun sebenarnya mendahului dengan jaringan awal,” katanya. 

Imigresen mencipta kejutan menewaskan TFC 3-1 di hadapan penyokong lawan menerusi jaringan sendiri Diego Luiz Landis pada minit ke-18 dan ledakana dua gol penyerang import, Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32 dan 48.  

Tuan rumah pula hanya memperolehi gol sagu hati menerusi jaringan kapten pasukan, Careca pada minit keenam. 

Tengku Hazman berkata, ketiadaan pemain import, Ehson Panjshanbe akibat penggantungan jelas merencatkan jentera tengah TFC pada perlawanan tersebut terutama pada babak pertama. 

Menurutnya, beliau terpaksa memasukkan Akhyar Rashid yang baru pulih daripada kecederaan pada separuh masa kedua bagi ‘menghidupkan’ semula jentera tengah skuad Sang Penyu. 

Kekalahan itu menyebabkan TFC yang berada di tangga kelima cuma dibezakan dua mata dengan Imigresen dengan berbaki satu perlawanan.

Saturday, May 9, 2026

Liga Super: Terengganu FC ‘diberkas’ Imigresen di laman sendiri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) dimalukan Imigresen FC apabila tumpas 1-3 di hadapan penyokong sendiri dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kekalahan kedua berturut-turut tersebut menyaksikan kedudukan skuad Sang Penyu di tempat kelima kini mula goyah hanya dibezakan dua mata dengan Imigresen FC yang berada di tangga keenam.

Tuan rumah pada mulanya mendahului 1-0 menerusi jaringan kapten pasukan, Raianderson da Costa Morais pada minit keenam.

Keceriaan TFC tidak kekal lama apabila pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil kesilapan pertahanan import, Diego Luiz Landis yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-18.

Skuad Sang Penyu berpeluang kembali mendahulu menerusi serangan balas namun percubaan penyerang import, Yann Mabella pada minit ke-25 tidak menemui sasaran.

Imigresen FC kemudiannya memperolehi tendangan penalti yang disempurnakan penyerang import, Eduardo Jose Vegas pada minit ke-32.

Vegas terus garang meledak gol kedua peribadi dan ketiga buat pasukan pelawat pada minit ke-48. – KOSMO! ONLINE


Friday, April 10, 2026

TFC hampir terjerat akibat ghairah menyerang

 

TERENGGANU FC (TFC) menghela nafas lega berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-2 biarpun hampir diperangkap dengan kebangkitan Negeri Sembilan pada awal babak pertama suku akhir kedua Piala Malaysia kelmarin. 

Pengendali skuad Sang Penyu, Badrul Afzan Razali mengakui skuad kendaliannya agak cemas apabila skuad Jang mencipta kejutan mendahului 2-0 sekaligus menyamakan agregat 2-2 dalam tempoh 34 minit permainan awal. 

“Kami sebenarnya mengawal permainan sepanjang separuh masa pertama, tetapi leka menyebabkan Negeri Sembilan boleh menjaringkan gol. 

“Pemain-pemain terlalu ghairah untuk menyerang dan menjaringkan gol (awal) sehingga lupa di bahagian belakang,” katanya. 

Dalam aksi terbabit, skuad Sang Penyu berjaya menewaskan skuad Jang 4-2 sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 6-2. 

Dalam perkembangan sama, Badrul Afzan mengakui penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim telah melakukan beberapa kesilapan mudah dalam aksi tersebut sehingga dihukum oleh pemain pasukan lawan.

Thursday, April 9, 2026

TFC ikrar gempur gawang NSFC

BEKALAN dua gol yang diperoleh di tempat lawan tidak akan membuatkan Terengganu FC (TFC) selesa sebaliknya sedia bermati-matian memburu kemenangan mutlak terhadap Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di laman sendiri malam ini. 

Pengendali skuad Sang Penyu, Badrul Afzan Razali berkata, jentera serangan yang bakal dikemudi Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla telah diperkemaskan bagi terus menggempur gawang skuad Rusa bagi mendapatkan kemenangan mutlak. 

“Cuma saya risaukan kita berkemungkinan bermain dalam keadaan hujan lebat memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini ekoran musim tengkujuh.

 “Gol mungkin sukar dihasilkan dalam keadaan padang basah karana kami pernah melaluinya ketika menentang Melaka FC (pada pusingan pertama Piala Malaysia) tempoh hari,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam. 

Sewaktu aksi pertama suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada minggu lalu, TFC berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Bonilla. 

Sehubungan itu, Badrul Afzan menjelaskan benteng terakhir TFC juga telah dipersiapkan agar gawang skuad tersebut tidak mudah dibolosi pada aksi terbabit kelak.

 Jelas bekas pemain tengah Terengganu itu, tugas menjaga gawang skuad Sang Penyu kini digalas Rahadiazli Rahalim dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin setelah seorang lagi penjaga gol, Suhaimi Husin bakal terlepas baki musim ini akibat kecederaan lutut.

Tuesday, March 31, 2026

TFC dilanda masalah kecederaan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali meluahkan kebimbangan tentang kecergasan anak-anak buahnya menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Beliau berkata, sebahagian besar pemain-pemainnya dalam keadaan keletihan setelah melalui dua aksi berintensiti tinggi dalam tempoh seminggu ini.

“Kami menghadapi JDT di separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat minggu lalu sebelum menentang PMS Makassar dalam saingan Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) kelmarin (pada Rabu lalu).

“Rehat cuma 72 jam untuk membuat persiapan sebelum bertemu semula JDT dalam aksi Liga Super malam esok (malam ini),” katanya semalam.

Begitupun, Badrul Afzan merasakan kekangan itu tidak akan dijadikan alasan buat skuad Sang Penyu untuk ‘membuang’ aksi tersebut dengan bermain sambil lewa.

Bekas pemain tengah Terengganu itu berkata, perlawanan berkenaan penting bagi TFC kekal di kedudukan empat teratas Liga Super.

“Saya akan melakukan sedikit rombakan bagi memberi ‘kesegaran’ kepada pasukan.

“Ia turut mengambil kira dua lagi aksi penting iaitu separuh akhir kedua Piala Malaysia dan perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ACC berlangsung minggu depan yang tidak kurang pentingnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jaminan TFC tidak akan memberi laluan mudah buat JDT membawa pulang tiga mata biarpun tewas 0-4 dengan lawan sama dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu.

“Kedua-duanya (Piala Malaysia dan Liga Super) adalah saingan yang berbeza. Lagipun kami telah mendapat ‘tonik’ setelah menewaskan PSM Makassar pada aksi Piala ACC,” katanya.

TSG azam kuasai ranking pertama Asia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

PASUKAN berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) menyasar untuk mempertahankan kedudukan nombor satu Asia pada tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, pasukannya juga berhasrat untuk terus memperbaiki ranking dunia yang kini menyaksikan mereka berada di tangga ke-30. 

“Kami tahu ia tugas sukar terutama mempertahankan kedudukan No. 1 Asia dan Benua. “Cabaran hebat pasti diterima terutama dari Jepun dan Thailand yang dilihat telah diperkuat dengan pelumba baharu bertaraf dunia,” katanya. 

Ujarnya, TSG telah membawa masuk empat pelumba import baharu bagi menghadapi cabaran berkenaan iaitu Adne Willemjan Van Engelen dari Belanda, Vadin Denisovich Pronskiy (Kazakhstan), Mathias Bjorn Bregnhoj (Denmark) dan Stefan Jaco De Bod (Afrika Selatan). 

“Kita turut mengekalkan Metkel Eyob (Eritrea), Anatolii Budiak (Ukraine) dan Aiman Cahyadi (Indonesia). 

Pelumba tempatan, Muhammad Haizam Mohd Sabri dibawa masuk bagi menggantikan Irwandie Lakasek,” katanya. 

Tambah beliau, pelumba-pelumba tempatan lain ialah Amirull Fakhruddin Mazuki (kapten) serta Harrif Salleh, Wan Abdul Rahman Hamdan, Nur Aiman Zariff, Zuladri Amin Zulkurnain, Shahmir Aiman Abd. Halim, Kee Zhe Yie, Nur Aiman Rosli dan Haizam Mohd Shabri. 

Dalam masa sama, Izmuddin berkata, TSG berazam mengekalkan kecemerlangan tahun lalu apabila mengekalkan takhta nombor satu Asia selama enam tahun berturut-turut sejak 2019.

 “Kami juga nombor satu untuk benua selama tiga tahun berturut-turut mengenepikan 178 pasukan lain.

 “Selain itu, pelumba TSG turut meraih 53 podium daripada 39 perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) disertai musim lalu,” katanya.

Monday, March 30, 2026

Kelekaan 20 minit terakhir musnahkan harapan TFC

 

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC terpaksa membayar harga mahal akibat kelekaan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan apabila dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin. 

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengakui peluang skuad Sang Penyu untuk mengulangi pencapaian musim lalu melangkah ke pentas final semakin pudar ekoran kekalahan teruk tersebut. 

"Pemain saya telah bermain baik dan mengikut perancangan dalam tempoh 70 minit permainan, begitupun dihukum disebabkan kehilangan fokus dalam 20 minit seterusnya. 

"Kita dibolosi tiga gol mudah dalam tempoh tersebut akibat kelekaan sebahagian pemain dalam mengawal lawan seperti diarahkan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini kelmarin. 

Dalam aksi tersebut, juara bertahan, JDT mudah menewaskan TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva. 

Badrul Afzan berkata, kegagalan anak buahnya memanfaatkan beberapa peluang terhidang juga kerugian buat skuad kendaliannya. 

Beliau berkata, bukan mudah memperolehi peluang apabila bertemu JDT yang merupakan skuad berkualiti tinggi. 

"Melawan JDT, kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan perlu menjaringkan gol setiap peluang diperolehi. 

"Sayangnya beberapa peluang terhidang tidak dimanfaatkan terutama hantaran kemas (Nelson) Bonilla yang gagal disempurnakan (Manuel) Ott," katanya. 

Penyudah tumpul kecewakan TFC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menganggap kekalahan 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin sebagai sesuatu yang tidak adil buat barisan pemainnya. 

Berdasarkan apa yang dipamerkan pemainnya sepanjang perlawanan, Badrul Afzan merasakan skuad Sang Penyu berhak untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata, namun sekali lagi dikecewakan oleh sentuhan penyudah tumpul. 

“Pemain sudah berikan segala-galanya ada perlawanan ini. Saya setuju ( jika keputusan seri) kerana kita sasarkan satu mata dan pastinya kami sangat kecewa kerana tidak mampu merealisasikannya. 

“Kami tidak boleh lakukan perkara seperti ini (gagal menyudahkan peluang) ketika menentang JDT. Tetapi sekarang kami kena terus pandang ke depan dan lihat semula apa kesilapan yang telah kami lakukan,” katanya. 

Bintang import JDT, Juan Muniz muncul wira Harimau Selatan yang kini hanya memerlukan dua kemenangan lagi daripada baki enam perlawanan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut sejak 2014. 

“Walaupun kalah, saya tetap puji pemain dan saya berpuas hati dengan tahap disiplin mereka sepanjang perlawanan. 

“Kita pun boleh tengok pemain mengikut arahan dan pelan yang kita buat tetapi keputusan tidak memihak pasukan,” tambah Badrul Afzan.

PSM Makassar pulang hampa, tewas menerusi sepakan penalti

 

PSM MAKASSAR FC akur gagal mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) lebih awal setelah tewas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. 

Kekalahan itu turut merisikokan kelab Indonesia berkenaan tersingkir awal apabila kedudukannya sebagai pendahulu Kumpulan A kini dipintas BG Pathum United dan TFC. 

Pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares berkata, skuad kendaliannya kurang bernasib baik apabila tewas menerusi sepakan penalti disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-62.

 “Seperti pasukan lawan (TFC), kita juga mempunyai peluang keemasan tetapi bezanya tidak dimanfaatkan. 

“Lawan pula menang dengan sepakan penalti. Kita kena terima hakikat tewas, itulah bola sepak,” katanya. 

Tavares memberitahu, beliau terpaksa menurunkan ramai pemain muda untuk menentang TFC ekoran kecederaan ramai tonggak utama termasuk ayam tambatan mereka, Yuran Fernandes. 

Beliau berkata, kekurangan pengalaman bermain di pentas tertinggi jelas menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap mereka sehingga terpaksa tunduk dengan TFC. 

“Mereka masih muda dan ghairah bermain tetapi kurang pengalaman untuk menyerap tekanan bermain di aksi Piala ACC ini. 

“Begitu pun, pemain-pemain saya telah melakukan yang terbaik, saya berpuas hati dengan prestasi mereka, bukan keputusan malam ini (kelmarin),” katanya.

 Tavares berkata, mereka tiada pilihan lain selain menewaskan Dong A Thant Hoa FC pada aksi terakhir, 5 Februari depan.

 Katanya, PSM Makassar tiada kelebihan kerana beraksi di stadium berkecuali di Bali ekoran ketiadaan gelanggang rasmi sejak dua musim lalu. 

“Thant Hoa dari Vietnam juga pasukan yang sukar dan berjaya mengikat TFC dan BG Pathum sebelum ini,” katanya.

Sunday, March 29, 2026

JDT selangkah ke pentas final

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BIARPUN berjaya membawa bekalan selesa empat gol, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui aksi dengan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin bukanlah sesuatu yang mudah.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, skuad Sang Penyu telah memberi tentangan sengit dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya.

“Aksi dengan TFC sukar, mereka rajin melakukan tekanan dan melakukan gerakan kemas (ke kubu JDT).

“Serangan balas (TFC) amat berbahaya, tetapi dapat ditangkis barisan pertahanan kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.

Dalam aksi tersebut, JDT yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia berjaya membenam TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva.

Begitupun skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk meledak tiga lagi gol sebagai bekalan selesa dibawa pada separuh akhir kedua di laman sendiri pada 1 Februari depan.

Dalam perkembangan sama, Bidoglio berpuas hati komitmen diberikan anak buahnya yang membawa kepada kejayaan mereka menjinakkan TFC di hadapan penyokong tegar tuan rumah.

Beliau berkata, skuad kendaliannya mempamerkan persembahan membanggakan dengan cuba menguasai bola dalam tempo permainan pantas.

Begitupun Bidoglio mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dan memandang mudah pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada awal bulan depan.

Peluang makin cerah layak separuh akhir

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) berjaya mencapai misi menewaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 pada aksi keempat Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC). Kemenangan itu melonjakkan TFC ke tangga kedua kumpulan sekali gus menghidupkan harapan ke separuh akhir. 

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, penalti disempurnakan kapten pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-62 memberi kelegaan buat skuad kendaliannya. 

“Tempo permainan pemainpemain agak perlahan pada malam ini (kelmarin) terutama pada separuh masa pertama. 

“Kita juga menunjukkan kelemahan ketara dalam penyudahan apabila lapan percubaan ke pintu gol lawan gagal disempurnakan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. 

Badrul Afzan tidak menyalahkan anak-anak buahnya yang jelas agak keletihan berikutan jadual padat sejak akhir-akhir ini. TFC baru lima hari berhempas pulas menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat minggu lalu.

 “Mereka telah menunjukkan semangat juang tinggi apabila berjaya memberikan tekanan terhadap PSM Makassar pada separuh masa kedua,” katanya. 

TFC dan PSM Makassar kini berkongsi tujuh mata, namun skuad Sang Penyu memiliki kelebihan perbezaan gol dengan pendahulu Kumpulan A kini diambil alih BG Pathum United.

Terengganu galas misi hidup mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) tiada pilihan selain menyempurnakan misi wajib menang terhadap PSM Makassar FC pada aksi keempat Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini. 

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendaliannya perlu mengutip tiga mata bagi menghidupkan semula harapan mara ke separuh akhir. 

“Wajib menang, kalau tidak sudah boleh lupakan impian melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan ini.

“Penting untuk menjaringkan gol awal bagi membunuh rentak permainan pasukan lawan sekali gus memenangi perlawanan,” katanya pada sidang akhbar semalam. 

Badrul Afzan berkata, skuad Sang Penyu akan kembali diperkuatkan dengan kapten, Safawi Rasid dan pemain pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad. 

Beliau berkata, mereka juga harus melupakan kekecewaan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Sabtu lalu untuk bangkit dalam aksi malam ini.

 “Kami telah berlatih untuk membaiki kesilapan dilakukan pada separuh akhir Piala Malaysia terutama melibatkan situasi bola mati. 

“Kelemahan tersebut perlu diatasi dan tidak diulangi dalam aksi malam esok kerana PSM Makassar juga memiliki kelebihan sama dalam situasi bola mati,” katanya. 

Bintang import TFC, Manuel Ott berkata, dia dan rakan sepasukan mahu melupakan kekalahan dengan JDT pada separuh akhir pertama Piala Malaysia. 

Pemain tengah Filipina itu mahu membuka ‘buku baharu’ dan menembus kehampaan dengan menewaskan PSM Makassar bagi menceriakan semula peminat tegar TFC. 

Skuad Sang Penyu kini berada di tangga keempat kumpulan A dengan empat mata sementara PSM Makassar dari Indonesia gah menerajui carta menerusi tujuh mata.

Friday, February 27, 2026

Status Akhyar semakin semarakkan semangat TFC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMAIN sayap, Akhyar Rashid yang kini sah berstatus pemain tetap bakal menambah tonik buat Terengganu FC (TFC) untuk menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala Malaysia  di laman sendiri malam ini.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali  berkata, kehadiran Akhyar yang disahkan boleh beraksi pada perlawanan penting tersebut memberi lebih pilihan kepadanya untuk menambah variasi kesebelasan utamanya terhadapan juara bertahan Piala Malaysia tersebut.

"Kita mungkin tidak dapat menurunkan penyerang import, Ismaheel Akinade yang mengalami kecederaan buku lali. Peman tersebut berkemungkinan besar akan direhatkan keran tidak mahu mengambil risiko," katanya.

Sebelum ini Akhyar dan Safawi Rashid yang merupakan pemain pinjaman tidak dapat diturunkan untuk beraksi menentang kelab asal, JDT termasuk aksi separuh akhir Piala Malaysia berdasarkan kontrak dimenterai di awal musim.

Namun, Akhyar telah menandatangani kontrak sebagai pemain tetap TFC selama dua musim kelmarin setelah mendapat pelepasan JDT dan perkenan pemiliknya, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Badrul Afzan mengingatkan skuad kendaliannya agar fokus dengan misi untuk memburu bekalan selesa untuk dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada bulan depan.

Monday, February 23, 2026

TFC terdesak jinakkan Sri Pahang demi penamat terbaik

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) menyasar misi membawa pulang tiga mata penuh dengan menewaskan, Sri Pahang FC pada aksi di Stadium Temerloh malam ini.

 Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendaliannya tiada pilihan lain selain menang untuk mencerahkan semula harapan mencapai misi merebut kedudukan ketiga musim ini. 

“Kita sudah kehilangan mata berharga berikutan keputusan mengecewakan dalam dua aksi terdahulu iaitu tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC dan seri 2-2 berdepan Kuching City FC.

 “Saya sedar bukan tugas mudah untuk menjinakkan Sri Pahang di gelanggang mereka, tetapi apa pun terjadi kita kena menang juga,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

 Badrul Afzan berkata, skuad Sang Penyu yang ketinggalan enam mata di belakang Sabah tidak boleh keciciran banyak mata lagi dalam baki lima aksi Liga Super ini. 

Beliau berkata, kerapuhan barisan pertahanan yang menjadi ‘duri dalam daging’ dalam aksi menentang KL City dan Kuching City sebelum ini telah cuba dibaiki sepanjang tempoh latihan sejak Sabtu lalu.

 “Kita juga berlatih menajamkan lagi barisan serangan agar tidak terlepas terlalu banyak peluang keemasan.

 “Skuad saya akan kembali diperkuat oleh pemain tengah import, Nurillo Tukhtasinov yang digantung pada perlawanan lalu,” katanya. 

Begitupun Badrul Afzan memberitahu, skuad Sang Penyu kehilangan pula khidmat penyerang, Engku Nur Syakir Engku Yacob yang cedera.

Saturday, February 21, 2026

TFC sasar kelompok tiga teratas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) mahu kembali fokus dalam saingan Liga Super dengan menyasar membawa pulang tiga mata dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. 

P e n g e n d a l i  TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan tersebut amat penting bagi terus mengukuhkan kedudukan skuad Sang Penyu yang kini berada di tangga keempat liga. 

Beliau berkata, misi menewaskan skuad Jang itu juga ibarat menebus kekecewaan tersingkir dalam saingan Kejuaraan Piala ASEAN (ACC) dan Piala Malaysia baru-baru ini. 

“Kami mahu fokus dalam baki lapan perlawanan Liga Super bermula dengan Negeri Sembilan malam esok (ini) untuk mencapai misi mengakhiri kempen musim ini di tempat ketiga teratas.

 “Ia penting untuk kami kembali layak ke pentas Asia yang telah dinikmati pada musim ini dan musim lalu,” katanya. 

Badrul Afzan berkata, bagi mencapai misi tersebut, anak buahnya perlu mengatasi isu mudah hilang fokus pada lewat perlawanan yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada skuad Sang Penyu dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini. 

Beliau berkata, kekalahan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia dan BG Pathum United pada aksi terakhir Kumpula A ACC pada Sabtu lalu jelas disebabkan kelekaan pada saat-saat akhir.

 Badrul Afzan berkata, sedikit rombakan akan dilakukan dengan mengambil kira masalah kecergasan dan kecederaan pemain dalam aksi dengan skuad Jang nanti. 

Beliau berkata, apa yang penting skuad kendaliannya terus fokus dan mengurangkan kesilapan bagi menewaskan Negeri Sembilan di tempat lawan seperti dilakukan pada aksi suku akhir Piala Malaysia sebelum ini.