Translate

Saturday, April 23, 2016

Tiada kelab berani beri saya tawaran – Neuer

MUNICH – Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer yang baru me­lanjutkan kontrak selama lima tahun dengan The Bavarians mendakwa ke­lab-kelab lain sering beranggapan sukar untuk membuatkannya mening­galkan Allianz Arena.

Menurutnya, kelab-kelab lain sering teragak-agak untuk memancingnya meninggalkan juara bertahan Bundes­liga itu kerana percaya tawaran tersebut akan ditolak mentah-mentah.

Pada Rabu lalu, Bayern Munich membuat pengumuman tentang kon­trak Neuer telah diperbaharui, se­te­rusnya menyaksikan penjaga gol skuad kebangsaan Jerman yang menjuarai Piala Dunia 2014 itu bakal kekal di Allianz Arena sehingga 2021.

Ujar Neuer, sebelum ini beliau sebenarnya berhasrat untuk bertukar angin bagi beraksi dengan kelab di luar negara sehingga timbul spekulasi yang mengaitkannya dengan Man­ches­ter City.

Namun, penjaga gol utama Jerman itu memaklumkan, tiada sebarang ta­waran diterima kerana kelab-kelab ter­babit bimbang tawaran mereka akan ditolak.

“Saya rasa kebanyakan kelab tidak berani untuk menawarkan kontrak kepada saya kerana takut ditolak. Begitupun saya secara jelas mahu terus beraksi dengan Bayern.

“Saya amat selesa dengan kelab ini, kami juga mempunyai persekitaran hebat dan sentiasa berjuang untuk menjulang piala sebanyak mungkin. Oleh itu, bukan lah sukar untuk saya memutuskan untuk terus kekal di sini,” katanya.

Sepanjang menyertai Ba­yern daripada Schalke pada 2011, Neuer telah memenangi tiga kejuaraan Bundesliga dan Liga Juara-Juara pada 2012-2013. – Agensi

Friday, April 22, 2016

LvG cabar pemain sendiri

MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Louis van Gaal (LvG) berkata, kelabnya perlu memenangi kesemua empat baki perlawanan sebagai syarat untuk menamatkan saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini di kelompok empat pasukan teratas.

Kemenangan bergaya 2-0 ke atas Crystal Palace awal pagi semalam telah meningkatkan tekanan terhadap Arsenal dan Manchester City dalam perebutan tempat keempat liga.

Gol sendiri Damien Delaney pada awal permainan dan jaringan permain pertahanan, Matteo Darmian telah mengurangkan jurang de­ngan Arsenal yang berada di tangga keempat kepada hanya satu mata.

Pada masa sama, kelab yang mendapat jolokan The Red De­vils tersebut cuma ketinggalan dua mata di belakang Machester City yang berada di tangga ketiga.

“Kami sentiasa memberi tekanan kepada kedua-dua kelab terbabit sepanjang musim ini dan ia sema­kin memuncak menjelang penghujung musim ini. Saya amat gembira, masih ada empat perlawanan lagi dan kami perlu menang kesemua­nya, barulah kami mempunyai peluang (tangga keempat teratas),” ujar LvG ketika ditanya sama ada kelab kendaliannya telah memberi tekanan kepada Arsenal dan Manchester City.

Pada perlawanan tersebut, Uni­ted dilihat berjaya menguasai perlawanan selain mencipta 10 percubaan tepat ke pintu gol sehingga memaksa penjaga gol Crystal Pa­lace, Julian Speroni sibuk mempertahankan gawangnya.

Sebelum ini, kelab kendalian LvG itu sering dikritik sepanjang musim ini kerana bermain secara konservatif dengan rentak yang perlahan, namun pengurus kelahiran Belanda itu bertegas anak-anak buahnya telah bermain secara menyerang bagi setiap perlawanan.

“Saya sentiasa menerapkan strategi menyerang. Pada musim ini, kami telah bermain secara menyerang dalam setiap perlawanan tetapi mungkin sekali-­ sekala ia berada dalam rentak yang perlahan.

“Kebanyakan pasukan lawan kami juga bertahan dengan baik. Bukan mudah untuk me­ngucar-ngacirkan mereka tetapi pada perlawanan ini, kami telah berjaya,” katanya. – Agensi

Ranieri hanya sasar 10 terbaik

LEICESTER – Pe­ngendali Leicester City, Claudio Ranieri mene­gaska, beliau sekadar menyasarkan ke­dudukan pertengahan liga pada musim biarpun kelabnya kini sudah begitu hampir merangkul gela­ran Liga Perdana England (EPL) musim ini.

Ketika saingan liga berbaki empat perlawanan, kelab yang terkenal dengan jolokan The Foxes itu telah berjaya mengejutkan semua pemerhati dan peminat bola sepak dunia apabila muncul sebagai pendahulu liga de­ngan kelebihan lima mata berban­ding pasukan di tempat kedua Tottenham Hotspur.

Peningkatan mendadak di bawah kendalian Ranieri yang menggantikan Nigel Pearson pada Julai tahun lalu amat luar biasa kerana pada musim lalu, Leicester sekadar bergelut di zon penyingkiran.

Begitupun, Ranieri yang juga bekas pengendali Chelsea mengakui dia tidak boleh mengharapkan The Foxes akan terus menjadi salah sebuah kelab yang mampu mencabar kejuaraan liga pada musim hadapan biarpun dinobatkan juara EPL musim ini sekalipun.

“Kita perlu sedar pencapaian tahun ini luar biasa. Sewaktu saya tiba dan melihat barisan pemain, saya sedar kami boleh melakukan sesuatu yang baik.

“Sebagai kelab kerdil yang tidak pernah diberi sebarang harapan, kami telah membuktikan tiada apa yang mustahil,” ujarnya sebagai dipetik oleh AS.

Ranieri berkata, pencapaian Leicester itu merupakan contoh terbaik bahawa setiap kelab yang beraksi dalam EPL boleh mencapai kemenangan dengan cara yang berbeza selagi mereka mempercayai kemampuan sendiri dan berjuang untuk mencapai­nya.

Beliau berkata, anak-anak buahnya secara bersama telah be­kerja keras untuk merea­li­­sa­sikan impian tersebut. – Agensi

Thursday, April 21, 2016

‘Van Gaal tidak mampu ganti tempat Ferguson’

MUNICH – Javier Hernandez menyifatkan Louis van Gaal sebagai pengurus hebat untuk Manchester United, namun masih tidak cukup hebat untuk me­ngisi ‘kekosongan’ ditinggalkan bekas pengendali pasukan itu, Alex Ferguson.
Bekas penyerang United yang dijual kepada Bayern Leverku­sen itu secara jelas memberi amaran bahawa The Red Devils tidak mungkin dapat mencari pengganti Ferguson untuk tempoh 100 tahun lagi.
“Van Gaal adalah pengurus yang baik dan jujur. Beliau ada cara tersendiri seperti kebanyakan pengurus lain tetapi United tidak mungkin mampu mencari pengganti Alex Ferguson dalam tempoh 50 hingga 100 tahun lagi. Pengurus legenda dari Scotland itu sangat unik dan istimewa.
“Pengurus dari Belanda itu (van Gaal) pula bukannya tidak boleh mengulangi kejayaan itu, hanya masa dan keputusan yang boleh menentukan sama ada beliau mampu atau tidak,” ujar Hernandez yang pernah di­pinjamkan kepada Real Madrid pada musim lalu.
Keputusan van Gaal melepaskan Hernandez kepada Le­verkusen pada awal musim ini telah dikritik hebat terutama ketika United sekadar mencetak 40 gol menerusi 33 perlawanan Liga Perdana.
Kritikan tersebut tercetus hebat kerana Hernandez yang popular dengan panggilan ‘Chicharito’ dilihat konsisten menampilkan prestasi terbaik selepas meledak 16 gol menerusi 25 perlawanan Bundesliga sejurus disingkirkan United.
“Beliau (van Gaal) berte­rus terang memberitahu saya me­ngenai kesukaran untuk menyenaraikan saya dalam kesebelasan utama (Manchester United). Saya menghargai sikapnya yang berterus terang sejak awal lagi.
“Sewaktu saya diminta me­ninggalkan kelab, van Gaal memberitahu, peluang untuk saya beraksi jadi tipis kerana dia memilih Wayne Rooney sebagai penyerang utama. Saya hanya bermain jika Rooney cedera,” katanya. – Agensi

Spurs hampiri impian juara

LONDON – Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino semakin menghampiri impian untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana England (EPL) selepas menang selesa 4-0 ke atas Stoke City kelmarin.

Harry Kane dan Dele Alli masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu Spurs memperoleh kemenangan di Stadium Britannia, sekali gus merapatkan jurang dengan skuad pendahulu, Leicester City.

Ketika ini, Spurs dan Leicester mencatat perbezaan lima mata dan masih perlu mengharungi baki empat perlawanan sebelum menamatkan saingan EPL musim ini.

“Ia merupakan perlawanan yang hebat dan saya amat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan. Perjuangan perlu diteruskan dengan matlamat kami untuk memberi saingan dan tekanan kepada Leicester. Persembahan dan keputusan yang diperoleh dalam perlawanan ini amat mengagumkan.

“Saya amat berpuas hati. Stoke memerlukan kemenangan, namun kami telah menunjukkan personaliti dan karakter sebenar. Mungkin ini merupakan antara prestasi terbaik pasukan yang patut dibanggakan kerana kami mampu menyerap tekanan,” kata pe­ngendali Tottenham itu.

Pochettino berkata, beliau kagum ke­rana mempunyai barisan pemain yang sentiasa dahagakan kemenangan serta semangat juang yang jitu.

“Pemain-pemain saya berhak menerima pujian dan penghargaan terhadap aksi yang telah mereka pamerkan pada musim ini,” katanya.

Tottenham yang me­rupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam saingan EPL setakat ini bakal menghadapi West Brom pada Isnin depan. – Agensi

Wednesday, April 20, 2016

Tottenham boleh pintas Leicester

STOKE – Selepas menyaksikan pasukannya dibelasah 0-4, pengendali Stoke City, Mark Hughes percaya Tottenham Hotspur mampu memintas Leicester City, sekali gus me­raih kejuaraan EPL musim ini.

Pada aksi kelmarin, Harry Kane dan Dele Alli masing-ma­sing meledakkan dua gol ketika membantu Spurs mencatat kemenangan selesa ke atas Stoke di Stadium Britannia.

Sehubungan itu, Hughes me­ngakui berasa sangat kagum menyaksikan prestasi Spurs yang kini hanya dipisahkan lima mata berbanding Leicester selaku skuad peneraju kedudukan saingan liga musim ini.

“Saya amat kagum dengan Tottenham. Semasa kami menentang mereka pada awal musim ini, prestasi mereka tidaklah sebaik ini. Anda pasti tidak berani bertaruh atas Tottenham yang mampu memintas kedudukan Leicester berdasarkan tahap prestasi mereka pada ketika ini,” kata Hughes.

Hughes secara berterus terang turut mengakui Stoke tidak mampu menewaskan Totthenham meskipun telah mencuba sehabis daya untuk memberi cabaran sengit.

“Kami berjaya bertahan tetapi terlalu sukar untuk kekal bermain secara teknikal sebagai satu pasukan. Kami perlu bangkit kerana bakal menentang Manchester City, ia pasti sukar,” katanya.

Stoke kini berada di tangga kesembilan liga dengan me­ngumpul 47 mata dan bakal menentang Manchester City, Sunderland, Crystal Palace dan West Ham menjelang baki empat perlawanan terakhir.  – Agensi

Marchionne lahir kebimbangan prestasi Ferrari

SHANGHAI, China – Ketua pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene berkata, pengerusinya, Sergio Marchionne tidak gembira dengan pres­tasi pasukannya pada perlumbaan Grand Prix (GP) China.
Pada perlumbaan Ahad lalu, dua pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel yang masing-masing bermula di petak ketiga dan keempat telah bergesel sesama sendiri di awal perlumbaan.
Ketinggalan 53 mata dengan pasukan Mercedes, Ferrari setakat ini juga telah gagal untuk me­mintas pasukan lawan yang mendapat jolokan Silver Arrows sama ada pada sesi latihan mahupun perlumbaan sebenar pada tiga GP yang telah berlangsung musim ini.
Ia merupakan perkara yang pa­ling dibimbangkan oleh Marchionne.
“Beliau memahami perlumbaan F1 dan sudah pastilah tidak berpuas hati seperti apa yang saya sendiri rasai. Begitupun beliau telah me­nyaksikan perlumbaan itu dan dalam keadaan tertentu, apa yang boleh dilakukan?
“Kita boleh menyatakan banyak perkara tetapi tiada apa yang boleh dilakukan terhadap pasukan mahupun jentera. Perkara telah berlaku dan kita harus menerimanya.
“Memang beliau tidak gembira, saya pun tertanya-tanya adakah beliau seorang presiden (pasukan) sejati sekiranya berasa gembira dengan keputusan yang kami peroleh ketika ini,” kata Arrivabene.
Vettle menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Raikkonen sekadar berpuas hati di kedudukan kelima pada perlumbaan tersebut yang terus menyaksikan Nico Rosberg meraih kemenangan ketiga berturut-turut setakat musim ini. – Agensi

Tuesday, April 19, 2016

Euro ganggu tumpuan pemain Chelsea – Hiddink

LONDON – Pengurus sementara Chelsea, Guus Hid­­dink (gambar) me­nga­kui beberapa bintang kelab tersebut sudah mula mengambil mudah sai­ngan Liga Perdana England berikutan tumpuan mereka mula beralih pada kejohanan Euro yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Juara bertahan itu me­ngalami dua kekalahan berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Manchester City, Sabtu lalu.

Ia merupakan kekalahan ke-16 Chelsea dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Pa­sukan itu kini terpe­rosok ke tangga ke-10 liga dengan masih memerlukan enam mata lagi untuk menyamai pencapaian terburuk mereka sepanjang beraksi dalam kempen Liga Perdana England ia­itu 50 mata.
Hiddink percaya de­ngan saingan liga bakal berakhir­ tidak lama lagi dan tiada sasaran realis­tik untuk digapai, bebe­rapa pemainnya mula ber­main secara selamat bagi me­nge­lakkan kecede­raan sebagai persediaan aksi Euro di Perancis.

“Sebahagian (dakwaan) benar tetapi saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana mempunyai pe­­mikiran seperti itu. Beberapa pemain mungkin berfikir demikian tetapi saya tidak boleh membaca fikiran mereka. Mungkin mereka sedang memikirkan Euro.

“Apabila tiada apa-apa lagi untuk dipertaruhkan, sudah pasti ada segelintir pemain kekurangan sema­ngat untuk bermain ber­sungguh-sungguh,” ujar pe­ngendali kelahiran Belanda itu.

Begitupun, Chelsea ma­sih boleh memainkan pe­ranan penting dalam pere­butan takhta liga pada musim ini dengan bakal menentang Tottenham Spurs dan pendahulu liga, Leicester City di ge­langgang sendiri. – Agensi

Sivarasa didakwa muat naik imej palsu muka hadapan Time babit PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa (gambar) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memuat naik imej palsu muka hadapan majalah Time membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook miliknya pada bulan lalu.
Sivarasa, 60, yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar manakala peguam bela N. Surendran mewakili Sivarasa.

Berdasarkan pertuduhan, Sivarasa didakwa atas dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui akaun Facebook menggunakan nama Sivarasa Rasia secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan ke­dua-dua kesalahan itu pada pukul 7.41 petang 22 Mac 2016 dan pukul 4.59 pagi, 23 Mac 2016.

Kedua-dua pautan itu didakwa telah dibaca dua pengadu di Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini antara pukul 9.20 dan pukul 9.30 pagi, 23 Mac lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.

Amernudin membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 27 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Monday, April 18, 2016

‘Tuhan Harun’ terima deposit haram dipenjara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’, Harun Mat Saat, 50, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menerima deposit berjumlah RM35 juta secara haram pada 10 tahun lalu.

 Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan.

 Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua tahun bagi pertuduhan pertama dan masing-masing tiga tahun, empat tahun dan enam tahun untuk pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.

 Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berkenaan berjalan serentak mulai semalam yang bermakna Harun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun sahaja.

 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Shukri Ahmad Mansor manakala peguam bela, Hermesmediaputra Ibrahim pula mewakili Harun.

 Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, Harun didakwa membantu Business Time Dina Sdn. Bhd., Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd. dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn. Bhd. menerima deposit berjumlah RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah.

 Dia didakwa melakukan ke­salahan tersebut di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan di sini dari 13 September 2006 hingga 8 April 2008.

 Harun didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Dia hadir ke mahkamah de­ngan berkerusi roda ekoran lumpuh dan tidak boleh bercakap serta penglihatan terjejas setelah diserang angin ahmar pada November 2013.

 Harun yang turut menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abd. Malek pada 10 November 2013 bersama lima pengikut ajarannya kini ditahan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang setelah Mahkamah Majistret Kuantan tidak dibenarkan ke­semua tertuduh diikat jamin pada 16 Februari 2013.

 Kes berhubung pertuduhan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

 Tertuduh juga berhadapan dengan satu pertuduhan menyebarkan ajaran sesat dan 10 pertuduhan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai Tuhan masing-masing di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan.

Sunday, April 17, 2016

Vivian diperintah bela diri atas tuduhan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan Vivian Lee May Ling, 26, yang merupakan bekas teman wanita blogger kontroversi, Alvin Tan Jye Yee untuk membela diri atas pertuduhan mempersenda umat Islam pada bulan Ramadan tiga tahun lalu.

Hakim Abdul Rashid Daud memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berjaya membuktikan kes prima facie.
Begitupun, Abdul Rashid melepas dan membebaskan Vivian Lee yang diwakili peguam bela, Choong Joo Tian daripada satu lagi pertuduhan mempamerkan gambar lucah setelah pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti munasabah yang dapat menyabitkan tertuduh dengan kes terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, May Ling dan bekas teman lelakinya, Alvin Tan, 27, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan mengha­sut dalam laman sosial Facebook Alvin dan Vi­vian - Alvivi satu kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!) yang mengandungi logo halal.

Kesalahan berkenaan dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini pada pukul 10.48 malam antara 11 dan 12 Julai lalu.

Vivian Lee dan Alvin Tan juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di laman web di alamat sama pada 6 dan 7 Julai 2013.

Vivian Lee menghadapi pertuduhan itu berseorangan selepas Alvin Tan bertindak melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat pada September 2014.

Saturday, April 16, 2016

Rayuan Awie kaji tuduhan ditolak

KUALA LUMPUR – Permohonan representasi (rayuan) yang dikemukakan penyanyi rock dan pelakon, Awie  untuk mengkaji semula pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun pada dua tahun lalu telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memaklumkan keputusan tersebut kepada peguam bela Awie, Hazman Harun di hadapan Majistret Husna Dzulkifly di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Sehubungan itu, Husna memerintahkan agar tarikh perbicaraan kes berkenaan dikekalkan pada 10 dan 11 Mei ini.

Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman (gambar), 48, tidak hadir pada prosiding tersebut dengan kebenaran mahkamah kerana sedang menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 di Thailand.

Pada 15 Februari lalu, Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

'Tuhan Harun' ambil deposit haram RM35 juta dipenjara enam tahun

KUALA LUMPUR - Harun Mat Saat, 50, yang merupakan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun' dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan mengumpul deposit berjumlah RM35 juta secara haram pada 10 tahun lalu.
Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, Harun didakwa membantu Business Time Dina Sdn. Bhd., Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn. Bhd. menerima deposit RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja
Chulan di sini dari 13 September 2006 hingga 8 April 2008.
Harun didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Friday, April 15, 2016

Sivarasa hadapi dua pertuduhan muat naik pautan palsu

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memuat naik imej muka hadapan majalah Time membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebenarnya palsu di laman Facebook miliknya pada bulan lalu.
Sivarasa, 60, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, Sivarasa didakwa atas dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui akaun Facebook 'Sivarasa Rasiah' di pautan https://www.facebook.com/sivarasa.rasiah.malaysia/photos/a.925405224197216.1073741828.924853734252365/1054024181335319/?type=3" secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Sivarasa didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 7.41 petang 22 Mac 2016 dan 4.59 pagi, 23 Mac 2016.
Kedua-dua pautan itu didakwa dibaca di Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini antara 9.20 dan 9.30 pagi 23 Mac lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pembantu pasar borong dan kenalan dipenjara tiga tahun

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu pasar borong dan kenalan perempuannya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan merompak dan mencederakan seorang wanita pada akhir tahun lalu.
Hakim Azman Mustafa memerintahkan demikian selepas M. Nagarajan, 50, dan K. A. Nagaswary, 49, yang merupakan seorang pekerja am membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau turut memutuskan agar Nagarajan juga dikenakan hukuman dua sebatan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mencederakan S. Thanaletchumy, 54, di bahagian tangan dengan bersenjatakan parang semasa melakukan rompakan di rumah mangsa di 42, Jalan Antoi 3, Kepong Baru di sini pada pukul 5.30 petang, 23 Disember 2015.
Nagarajan dan Nagawary didakwa Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Vivian diarah membela diri

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan Vivian Lee May Ling yang merupakan bekas teman wanita blogger kontroversi, Alvin Tan untuk membela diri atas pertuduhan mempersenda umat Islam pada bulan Ramadan tiga tahun lalu.
Hakim Abdul Rashid Daud memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan pertuduhan, May Ling dan bekas teman lelakinya, Alvin Tan Jye Yee, 27, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut dalam laman sosial Facebook Alvin dan Vivian - Alvivi satu kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!) yang mengandungi logo halal.
Pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.48 malam antara 11 dan 12 Julai lalu di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini.
Dakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Thursday, April 14, 2016

Permohonan representasi Awie ditolak

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini dimaklumkan permohonan representasi (rayuan) yang dikemukakan penyanyi rock dan pelakon, Awie berhubung kes mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun pada dua tahun lalu telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, Majistret Husna Dzulkifly menetapkan kes itu diteruskan dengan perbicaraan yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 10 Mei depan.
Pada 15 Februari lalu, Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 48, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.
Dia didakwa mengikut Sekyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Kevin sesak nafas ditekup guni plastik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA LUMPUR – Kombinasi kepala ditekup dengan guni plastik dan tekanan pada dada kemungkinan menjadi punca Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais mengalami kesukaran bernafas sehingga menyebabkan kematiannya.
Saksi Pendakwaan ke-11, Dr. Nurliza Abdullah yang merupakan Pakar Perunding Forensik Hospital Kuala Lumpur berkata, hasil bedah siasat itu disimpulkan berdasarkan keadaan mulut Kevin yang telah bertukar menjadi biru kegelapan serta kesan kecederaan pada bahagian belakang dan sisi dada kanan mangsa.
“Keadaan sedemikian lebih bersesuaian dengan situasi ditekup dengan guni plastik yang meliputi bahagian kepala dan diketatkan pada bahagian muka mengakibatkan gangguan kekurangan oksigen menyebabkan si mati tidak boleh bernafas.
“Tekanan atau mampatan serentak pada bahagian dada pula telah menghalang sangkar (rusuk) dada daripada melakukan aktiviti pernafasan,” katanya sebagai menjawab pemeriksaan balas peguam bela, Datuk N. Sivananthan yang mewakili tertuduh pertama, Dr. R. Kunaseegaran.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada hari kelima perbicaraan kes pembunuhan Kevin.
 Mengikut pertuduhan, Kunaseegaran yang merupakan seorang doktor tentera berpangkat Kolonel didakwa bersubahat membunuh Kevin yang semasa kejadian dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini menuju ke pejabatnya di Putrajaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2014.

Tertuduh pertama itu didakwa melakukan ke­salahan tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 akta sama. Enam lagi tertuduh iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Diniswaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 23; S. Nimalan, 23; dan S. Ravi Chandaran, 45 didakwa membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan-pertuduhan terbabit yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan. 

 Nurliza berkata, hasil siasatan juga mendapati, kematian Kevin berpunca daripada faktor bukan semula jadi iaitu bukan kerana penyakit atau sebab-sebab lain seperti ditikam dengan senjata tajam, ditembak, dibakar, pendarahan dalaman dan tulang badan patah. 

Menjawab soalan Sivananthan tentang hasil bedah siasatan yang hanya mengatakan kelemasan udara merupakan kemungkinan tinggi kematian Kevin, Nurliza menjawab, ketiadaan keputusan tegas dibuat disebabkan sebahagian tanda-tanda kematian mangsa sukar dikesan kerana keadaan mayat sudah mereput dan mengalami proses pembusukan ketika proses bedah siasat dibuat.

Begitupun, beliau menegaskan, kelemasan udara merupakan kemungkinan perubatan paling realistik berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada anggota badan mangsa.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menolak cadangan Sivananthan yang mengandaikan punca kematian Kevin disebabkan oleh kegagalan jantung kerana kebiasaannya serangan penyakit itu menyebabkan saluran darah tersumbat bukannya kesukaran bernafas.

Perbicaraan bersambung semula hari ini.

Tuesday, April 12, 2016

Penjaga sel direman laku kelucahan terhadap suspek remaja

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis lelaki yang bertugas sebagai penjaga sel Lokap Berpusat Jinjang di sini ditahan bagi membantu siasatan dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang suspek remaja pada Ahad lalu.
Difahamkan mangsa merupakan salah seorang suspek remaja yang ditahan bagi membantu siasatan pengaduhan melibatkan pelajar empat sekolah di Setiawangsa di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, siasatan awal mendapati anggota polis berpangkat koperal itu telah mengarahkan tiga suspek remaja berkenaan termasuk mangsa membersihkan sel mereka.
"Dia kemudiannya telah menyuruh tiga remaja keluar dari sel terbabit seorang demi seorang sebelum melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap salah seorang daripada mereka.
"Suspek yang berusia 27 tahun direman sehingga 15 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen377(c) Kanun Keseksaan,"katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Wad Onkologi Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini hari ini. - K! ONLINE

Pesuruhjaya Sumpah didakwa tidak patuhi prosedur mahkamah

KUALA LUMPUR - Seorang Pesuruhjaya Sumpah Mahkamah Kuala Lumpur di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan tidak mengesahkan identiti dan butiran peribadi penghantar surat yang mengemukakan petisyen kepadanya pada dua tahun lalu.
Mohd. Zawawi Hamdi @ Abdul Manap, 56, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Faizal Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Zawawi didakwa tidak mematuhi kaedah-kaedah pesuruhjaya sumpah dengan tidak menentukankan identiti dan butiran peribadi Izwan Hamimi Abdul Wazir, 29, yang membawa afividit oleh pempetisyen bagi menyokong petisyen kes penceraian Koh Mei Ling, 43, untuk diikrar di hadapannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini antara 8 pagi dan 1.11 petang pada 31 Disember lalu.
Mohd. Zawawi didakwa mengikut Seksyen 13(2)(a) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

DNA dua tertuduh pada baju-T

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Dua profil asid deoksiribonukleik (DNA) dijumpai pada sehelai baju-T berwarna hitam yang merupakan salah satu bahan bukti dikemukakan dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bi­cara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais sepadan de­ngan sampel darah milik dua daripada tujuh tertuduh.
Mereka ialah tertuduh keenam dan ketujuh iaitu S. Nimalan, 23 dan S. Ravi Chandaran, 45.
Saksi pendakwaan ke­sembilan, Nor Aidora Saedon, 43, yang berkhid­mat sebagai Ahli Kimia di Seksyen Forensik DNA, Bahagian Forensik Jabatan Kimia berkata, satu lagi profil DNA yang ditemui bercampur pada baju T terbabit pula sepadan dengan sampel tulang milik mayat yang ditemui tertanam di dalam tong dram bersimen di USJ1, Subang Jaya, Selangor pada 16 September 2015.
“Dua DNA yang sepadan dengan Nimalan dan Ravi Chandaran ditemui pada bahagian ketiak kanan dan kiri baju-T terbabit manakala DNA yang sepadan de­ngan sampel tulang pula dijumpai di bahagian hadapan pakaian terbabit.
“DNA pada sampel tulang yang dilabel sebagai unknown (tidak diketahui) itu sebelum ini telah dikenal pasti sebagai adik-beradik kandung kepada David Ramesh Morais dan Richard Morais (yang merupakan adik ketiga dan keempat Kevin),” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi kete­rangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada hari ketiga perbi­caraan kes tujuh lelaki termasuk Nimalan dan Ravi Chandaran yang dituduh membunuh Kevin.

Mengikut pertuduhan, Nimalan dan Ravi Chandaran bersama empat tertuduh lain iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Diniswaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23 dan M. Vishwanath, 23, didakwa membunuh Kevin yang semasa kejadian dalam perjalanan dari Jalan Dutamas di sini menuju ke pejabatnya di Putrajaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Seorang lagi tertuduh iaitu Dr. R. Kunaseegaran yang merupakan seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel pula didakwa bersubahat membunuh mangsa di tempat dan waktu sama. 

Tertuduh pertama itu didakwa melakukan ke­salahan tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 akta sama yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Nor Aidora yang menggunakan teknik kikisan untuk mendapatkan tiga DNA terbabit berkata, selain menerusi pemakaian baju-T terbabit, kemungkinan yang boleh menjadi punca pencampuran tiga profil gen itu pada pakaian tersebut ialah menerusi sentuhan fizikal, batuk, bersin dan ludah.

Monday, April 11, 2016

Isteri Ezany diisytihar nusyuz

PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan pelakon Ezany Nizariff untuk mengisytiharkan isterinya, Lizda Nuryanti Abidin sebagai nusyuz (derhaka).
Hakim Syarie Mohd. Azlan Mohd. Azhar menetapkan demikian mendengar keterangan bersumpah Ezany dan seorang saksi plaintif yang memaklumkan defendan telah melarikan diri dari rumah kelamin dan berhubungan dengan lelaki lain.
"Permohonan nusyuz yang dikemukakan plaintif (Ezany) dibenarkan mengikut Seksyen 60(1)(b)(1)(i) Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003.
"Defendan (Lizda Nuryanti) tidak berhak mendapat nafkah sehingga dia kembali taat kepada plaintif (Ezany)," katanya ketika membacakan penghakimannya di Subang Bestari di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, April 8, 2016

Mayat dalam tong ada hubungan keluarga dengan dua adik Kevin

KUALA LUMPUR – Mayat yang ditemui tertanam di dalam tong dram bersimen di USJ1, Su­bang Jaya, Selangor mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua adik Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Ra­yuan Jabatan Peguam Negara, Datuk An­thony Kevin Morais yang dilaporkan hilang pada 4 September 2015.

Keputusan itu dicapai berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada sampel tisu, rambut dan tulang mayat berkenaan.
Saksi pendakwaan kesembilan, Nor Ai­dora Saedon, 43, yang berkhidmat sebagai Ahli Kimia di Seksyen Forensik DNA, Bahagian Forensik Jabatan Kimia memberitahu, tiga sampel yang dilabel sebagai ‘unknown’ (tidak diketahui) ter­babit sepadan de­ngan sampel darah milik David Ramesh Morais dan Richard Morais iaitu adik ketiga dan keempat Kevin yang telah diberi kepada polis untuk tujuan pengecaman identiti.

“Berdasarkan profil DNA-DNA yang dipadankan itu, kebarangkalian pemilik sampel ‘unknown’ merupakan adik-beradik kandung dengan penderma-penderma sampel darah (Ramesh dan Richard) adalah 99.99 peratus.

“DNA merupakan gen yang unik (berbeza bagi setiap individu) dan ia boleh diturunkan oleh ibu bapa,” katanya menjawab soalan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada hari kedua perbicaraan kes tujuh lelaki termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel yang dituduh membunuh Kevin.

Mengikut pertuduhan, bekas doktor tentera tersebut, Dr. R. Kunaseegaran, 53, didakwa bersubahat membunuh Kevin yang semasa kejadian dalam perjalanan dari Jalan Dutamas di sini menuju ke pejabatnya di Putrajaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2014.

Tertuduh pertama itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Enam tertuduh lain iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Diniswaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath,23; S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45, turut didakwa membunuh mangsa di tempat dan waktu sama.

Nor Aidora berkata, analisis juga mendapati, sampel-sampel yang dilabel sebagai ‘unknown’ tersebut juga sepadan dengan DNA ditemui pada dua berus gigi, sikat dan tuala mandi yang diambil dari rumah Kevin.

Sementara itu, sebahagian orang awam yang mendengar prosiding tersebut dan Wan Shaharuddin kamar serta Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa terpaksa memakai topeng mulut dan hidung apabila tidak selesa dengan bau busuk yang memenuhi ruang kamar mahkamah itu ketika Nor Aidora membuka 31 sampul mengandungi barang-barang bukti seperti sampel batu, seluar jeans, tali leher, baju kemeja le­ngan panjang, tali pinggang, baju-T hitam dan sarung kaki yang sebahagiannya mengandungi kesan darah kering bagi tujuan pengecaman dan pelabelan.

Azman yang menyedari perkara itu kemudian mengarahkan agar plastik mengandungi guni yang dipercayai digunakan untuk menyumbat Kevin selepas diculik dibuka di luar mahkamah sambil disaksikan oleh ketujuh-tujuh tertuduh.

Perbicaraan bersambung hari ini.

INFO Kes Pembunuhan Anthony Kevin Morais

 4 September 2015 - Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dilaporkan hilang dengan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja

5 September 2015 - Polis membuka kertas siasatan berhubung kehilangan Kevin dengan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang

6 September 2015 - Sebuah kereta yang nombor casisnya dikikis ditemui terbakar di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak

8 September 2015 - Polis merakam percakapan beberapa individu termasuk adik  Kevin iaitu Datuk Richard sebelum menafikan dakwaan mangsa diculik

9 September 2015 - Polis mengesahkan Kevin menjadi mangsa culik sekumpulan individu selepas melihat rakaman CCTV dari rumah mangsa menuju ke tempat kerjanya di Putrajaya

 15 September 2015 - Polis menahan tujuh suspek di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang dipercayai terlibat dalam kes
penculikan mangsa

16 September 2015 - Salah seorang suspek membawa polis ke lokasi mayat  Kevin dibuang di Jalan Subang 3, Subang Jaya sebelum mayatnya ditemui disimen di dalam sebuah tong dram

28 September 2015 - Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh Kevin manakala dua lagi termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat kolonel, Dr. R. Kunaseegaran didakwa bersuhabat melakukan jenayah itu

17 Februari 2016 - Seorang daripada lapan tertuduh, A. Murugan, 44, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas mengaku salah melupuskan nombor casis kenderaan mangsa

Thursday, April 7, 2016

Adik Kevin naik angin dengan soalan peguam tertuduh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bi­cara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais semalam tegang seketika apabila saksi pertama pendakwaan naik angin dengan soalan-soalan berunsur provokasi yang diajukan barisan peguam bela yang mewakili tujuh tertuduh.
Datuk Richard Morais yang juga adik bongsu Kevin kelihatan tidak berpuas hati apabila ditanya oleh peguam bela, M. Mahoharan yang mewakili tertuduh ketiga, R. Dinishwaran, 23, tentang dakwaan sama ada dia pernah menjadi saksi kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan penglibatan abang sulungnya dalam kes pendakwaan penyelewengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid.
“Tidak, saya tidak terlibat (sebagai saksi kes bunuh Hussein). Saya hanya tahu kes-kes lain itu menerusi pembacaan akhbar.

“Kenapa tanya soalan-soalan yang tidak kena-mengena de­ngan kes (pembunuhan Kevin)?” balas Richard ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada hari pertama perbicaraan kes tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera berpangkat Kolonel, Dr. R. Kunaseegaran yang didakwa membunuh Kevin di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Sebelum itu, seorang lagi peguam bela, N. Sivanathan yang mewakili Kunaseegaran turut berta­nya kepada Richard sama ada dia mengetahui Kevin turut terlibat dalam penyiasatan isu 1Malaysia Developmemt Bhd. (1MDB).

Jawapan balas Richard terhadap soalan-soalan terbabit dan luahan marahnya terhadap tertuduh pertama, Kunaseegaran, yang berada di kandang pesalah hampir menyebabkan dia dan barisan peguam bela tertuduh bertikam lidah.

Ketegangan itu memaksa Azman yang mendengar kes tersebut masuk campur dengan menenangkan kedua-dua pihak.

“Peguam bela harus faham saksi pendakwaan merupakan adik kepada si mati (Kevin) dan emosinya lebih sedikit.

“Dia juga tidak biasa dengan prosiding mahkamah, jadi terima sahaja apa keterangannya.

“Saksi pendakwaan pula (Richard), awak hanya berkata ‘Ya’ sekiranya bersetuju dengan soalan peguam bela atau ‘Tidak’ jika sebaliknya,” kata Azman.

Kevin hilang selepas bertengkar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui tertanam di dalam tong dram bersimen dimaklumkan telah bertengkar de­ngan tertuduh pertama, Dr. R. Kunaseegaran, 53, di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, dua hari sebelum Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara itu dilaporkan hilang pada 4 September 2015.
Saksi pertama pendakwaan iaitu adik Kevin, Datuk Richard Morais memberitahu, informasi berhubung pertengkaran tersebut dimaklumkan oleh polis yang menyiasat kes pembunuhan abang sulungnya itu.
Begitupun, anak bongsu daripada empat beradik tersebut mengakui dia difahamkan pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) di Kompleks Mahkamah Shah Alam tidak menemui rakaman pertengkaran yang didakwa berlaku pada 2 September 2015.
“Bagaimanapun, saya memberi kepercayaan penuh kepada penyiasatan Polis Diraja Malaysia (walaupun dimaklumkan tiada bukti CCTV berhubung insiden pertengkaran terbabit ditemui), ” kata Richard ketika menjawab pemeriksaan balas peguam bela, N. Sivanathan yang mewakili Kunaseegaran.
Richard memberi kete­rangan demikian di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini semalam pada hari pertama perbicaraan kes tujuh lelaki termasuk Kunaseegaran yang didakwa membunuh Kevin.
Kunaseegaran me­rupakan seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel.
Mengikut pertuduhan, Kunaseegaran didakwa bersubahat membunuh Kevin yang semasa kejadian dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini menuju ke alamat No. 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, Selangor antara pukul 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.
Tertuduh pertama itu didakwa me­lakukan kesalahan tersebut mengikut Sek­syen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.
Enam tertuduh lain iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Dinishwaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 23; S. Nimalan, 23 dan S. Ravi Chandaran, 45, turut didakwa membunuh mangsa di tempat dan waktu sama. 
Selain Kunaseegaran yang diwakili Sivanathan, peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran manakala lima tertuduh lain diwakili peguam V. Rajehgopal.
Terdahulu ketika menjawab soalan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa, Richard membe­ritahu, dia membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini pada 5 September 2015 selepas dimaklumkan oleh sepupunya yang bernama Priya mengenai kehilangan abangnya itu.
“Sebelum itu, Priya yang tinggal di Johor Bahru, Johor dihubungi oleh seorang rakan abang saya, Darvin, memberitahu mengenai kehilangan Kevin,” katanya.
Richard yang merupakan seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berkata, mayat Kevin, 55, yang ditemui bersimen di dalam sebuah tong dram berada dalam keadaan mereput ketika pertama kali ditatapnya di Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur pada 16 September 2015.
Tambahnya, identiti mayat itu hanya disahkan sebagai milik abang sulungnya menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas empat hari dia memberi sampel darah pada 18 September tahun lalu.


Tuesday, April 5, 2016

Saman RM500,000 terhadap Zizan Raja Lawak ditolak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam mengetepikan saman RM500,000 yang difailkan bekas pengurus peribadi Zizan Razak terhadap pelawak dan pengacara itu berhubung dakwaan pelanggaran kontrak Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame) yang merupakan syarikat pengurusan artis itu dua tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin memutuskan demikian selepas mendapati Marina Juki, 32, selaku plaintif tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung isu tersebut terhadap Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Ab. Bakar, 32.
“Tuntutan plaintif (Marina) adalah berdasarkan perjanjian antara Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame) dengan defendan (Zizan). Mahkamah mendapati terma dan syarat antara Wire Fame dan defendan masing-ma­sing melibatkan satu pihak.
“Tidak mungkin (perjanjian itu) menjadi asas kepada plaintif secara individu untuk memfailkan saman. Tuntutan (Marina) ditolak dengan kos,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Zizan dan Marina tidak hadir pada prosiding keputusan tuntutan saman itu dan mereka diwakili peguam masing-masing iaitu Rishwant Singh dan Wan Nurliyana Abd. Rahman.
Dalam prosiding sama, Rosbiahanin turut menolak tuntutan balas Zizan yang mendakwa Marina telah melakukan pe­nyalahgunaan proses mahkamah sewaktu memfailkan saman tersebut pada 6 November 2014.
“Mahkamah tidak nampak sebarang penyalahgunaan proses mahkamah telah berlaku. Oleh itu, tuntutan balas defendan ditolak dengan kos,” jelas beliau.
Kosmo! pada 15 November 2014 melaporkan, Marina telah memfailkan saman menuntut ganti rugi RM500,000 dan faedah lain sebanyak lima peratus setahun terhadap Zizan setelah mendakwa mengalami kerugian berikutan keputusan pelawak yang popular dengan filem Cicakman 3, Hantu Boceng, Mael Lambong dan Hantu Kapcai itu berpindah ke syarikat pengurusan Astro Talent pada bulan Mei 2014.
Zizan mula dikenali selepas muncul naib juara Raja Lawak musim pertama. Selebriti itu didakwa telah melanggar kontrak pengurusan artis de­ngan Wire Fame yang sepatutnya berakhir pada 2 Mei 2015.
Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Februari 2015 pula telah menolak satu lagi saman RM500,000 yang difailkan oleh Marina terhadap Zizan yang juga rakan kongsi Wire Fame berhubung pembekuan akaun bank syarikat itu.
Hakim Datuk John Louis O’Hara yang membuat keputusan itu mendapati plaintif yang memfailkan saman terbabit pada 30 September 2014 gagal membuktikan dia telah mengalami keaiban berikutan tindakan Zizan dan defendan pertama iaitu Maybank Islamic Berhad membekukan akaun syarikat ber­kenaan.

Dua sahabat didakwa rompak lelaki Bangladesh

KUALA LUMPUR - Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang buruh binaan warga Bangladesh pada Jumaat lalu.
Mohamad Yasri Azimi, 26, yang merupakan seorang penjaga tempat letak kereta dan seorang penganggur, N. Thanjev Kumar, 28, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Balqis Aini Mohd. Ali.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Yasri dan Thanjev Kumar didakwa melakukan rompakan ke atas Md. Ohawker, 30, di tepi Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada pukul 9.30 malam, 1 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Monday, April 4, 2016

Saman RM500,000 bekas pengurus peribadi Zizan ditolak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM500,000 yang telah dikemukakan bekas rakan kongsi dan pengurus peribadi Zizan Razak, Marina Juki terhadap pelakon dan pelawak popular itu pada dua tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin memutuskan demikian selepas mendapati Marina, 32, secara individu tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zizan, 32.
"Tuntutan plaintif (Marina) adalah berdasarkan perjanjian antara Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame) dengan defendan (Zizan).
"Terma dan syarat antara Wire Fame dan defendan masing-masing melibatkan satu pihak dan tidak mungkin jadi asas plaintif secara individu untuk memfailkan saman," katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.
Rosbiahanin turut menolak dengan kos tuntutan balas Zizan yang mendakwa Marina telah melakukan penyalahgunaan proses mahkamah sewaktu memfailkan saman dakwaan pelanggaran kontrak itu pada 6 November 2014. - K! ONLINE

Sunday, April 3, 2016

JKNS anjur program komuniti dan kesihatan

KESEDARAN. Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) telah menganjurkan program Komuniti dan Kesihatan di Kompleks Komuniti Desa Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ketua Perkhidmatan Dietetik dan Sajian JKNS, Basmawati Baharom berkata, penganjuran program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama generasi muda tentang kepentingan amalan pemakanan sihat dan pengekalan berat badan yang ideal.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli.

Dua ‘ibu ayam’ didakwa heret empat wanita asing melacur

KUALA LUMPUR – Dua wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen ber­asingan di sini semalam atas empat pertuduhan melacurkan perempuan warga asing pada perte­ngahan bulan ini.

Shen Nanfang yang merupakan warga negara China membuat penga­kuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin manakala Vera, 32, dari Indonesia juga memohon untuk dibicarakan atas empat pertuduhan sama yang telah dibacakan di hadapan Hakim Sohaini Alias.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam. Nanfang yang mempu­nyai suami warga tempatan pula diwakili peguam bela, Vincent Chu makanala Vera tidak mempunyai peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan, mereka masing-masing didakwa memperdagangkan Soot, 26, dari Myanmar; Miss Duong Prasan, 21 (Thailand) dan Hanny, 25, serta Elisa, 20, dari Indonesia untuk tujuan eksploitasi seks di 6-2A Blok 3, Jalan Metro Perdana Timur 2, Taman Usahawan Kepong di sini pada pukul 2.15 pagi, 13 Mac lalu.

Nanfang dan Vera didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kes disebut semula 13 April depan.

Saturday, April 2, 2016

Duda ragut pelajar Iran dipenjara tiga tahun

KUALA LUMPUR - Seorang duda dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan meragut seorang pelajar warga Iran pada Rabu lalu.
Hakim Balqis Aini Mohd. Ali memerintahkan demikian selepas Rahimi Wahdanur Dafi yang juga seorang penganggur membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Rahimi didakwa melakukan rompak berkumpul bersama seorang lelaki lain yang masih bebas dengan mengambil dompet mengandungi wang tunai RM350 dan dokumen pengenalan diri milik Nariman Ayoubi, 22, di hadapan Hotel Maya, Jalan Ampang di sini pada pukul 2 pagi, 30 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

INFO Kronologi kes mutaah Shahnaz

9 Mac 2011 - Shahnaz memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta dan harta sepencarian sebanyak RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

10 Mac 2011 - Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan penceraian antara dan Shahnaz secara talak rajie.

10 Mac 2016 - Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar RM30 juta sebagai mutaah kepada Shahnaz.

14 Mac 2016 - Mahmud Abu Bekir memfailkan rayuan penangguhan pelaksanaan perintah mutaah di Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan.

Kronologi skandal penyelewengan dana KBS

19 Mac 2016 - Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki membuat sidang akhbar mendedahkan kehidupan mewah seorang Setiausaha Bahagian kementerian memiliki kereta mewah, unit amanah bernilai jutaan ringgit dan kerap berkunjung ke luar negara bersama keluarga menaiki penerbangan kelas pertama yang kosnya kira-kira RM80,000 seorang.
Beliau mendedahkan seramai sembilan individu termasuk Setiausaha Bahagian Kementerian berkenaan sudah diberkas setelah disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

21 Mac 2016 - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan pegawai kementerian­nya disiasat SPRM berhubung isu penyelewengan dana kerajaan.

24 Mac 2016 - Seorang pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan KBS ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

25 Mac 2016 - Dua kontraktor syarikat penganjuran acara disambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

30 Mac 2016 - Seorang pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan KBS dibebaskan daripada tahanan reman.

Friday, April 1, 2016

Pegawai KBS dituduh tipu RM38.4j

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 32 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu berjumlah RM38.4 juta sejak empat tahun lalu.
Otman Arsahd, 57, yang menetap di Taman Bukit Impiana, Country Heights, Kajang, Selangor membuat pe­ngakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasrudddin manakala tertuduh diwakili tiga orang peguam bela iaitu Datuk Iszam Kamail Ismail, Mohd. Farid Abdul Aziz dan Farhan Read.
Dia didakwa mengemukakan 17 dokumen palsu kepada Pengarah Bahagian Kewangan Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub iaitu surat pembayaran melalui akaun KBS melibatkan amaun keseluruhan berjumlah RM36.3 juta.
Bayaran tersebut dibuat kepada tiga syarikat iaitu Enconic Corporation Sdn. Bhd., GPO Essence Sdn. Bhd. dan Gapa Jitu Sdn. Bhd. untuk projek kementerian itu yang sebenarnya tidak wujud.
Otman juga menghadapi 15 pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai pegawai kanan KBS dengan mengarahkan Ketua Pengarah MSN membuat pembayaran kepada syarikat Dial Ex Sdn. Bhd. untuk program futsal dan sampingan Formula 1 anjuran KBS melibatkan transaksi RM2.16 juta.
Dua anak tertuduh, Arif ­Azuan dan Arif Azmin mempunyai kepentingan dalam Dial Ex.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.
Otman yang didakwa mengikut Seksyen 18(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 23 (1) akta sama berdepan dengan hukuman penjara keseluruhan sehingga 640 tahun atau denda maksimum RM192 juta jika sabit kesalahan.
Ini kerana kedua-dua sek­syen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, kebiasaannya pesalah akan menjalani hukuman penjara secara se­rentak.
Amir menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, tetapi ia dibantah Mohd. Farid yang memberitahu anak guamnya cuma mempunyai kemampuan sebanyak RM100,000.
“Semua akaun bank milik tertuduh telah dibekukan dan satu-satunya cara untuk mendapatkan wang jaminan adalah meminta bantuan ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Allaudeen membenarkan Otman dibebaskan dengan wang jaminan RM250,000 bersama geran tanah seluas 1.09 hektar dengan dua penjamin.
Tertuduh juga perlu menye­rahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Otman yang memakai baju-T berwarna kelabu dan seluar jean biru membayar wang jaminan itu.
Allaudeen juga menetapkan sebutan semula kes pada 21 April depan.
Kosmo! pada 20 Mac lalu melaporkan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki mendedahkan seorang Setiausaha Bahagian sebuah kementerian ditahan bersama lapan kontraktor syarikat penganjuran acara selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Pengurus Besar anak syarikat TNB didakwa terima rasuah

KUALA LUMPUR – Pengurus Besar (Projek dan Servis) Malaysia Transformer Manufacturing Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 14 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.021 juta termasuk sebuah kereta BMW 5 Series pada dua tahun lalu.

Dr. Shahanom Uthman, 52, yang kini telah digantung tugas daripada jawatan dalam syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sohaini Alias.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Shahanom didakwa menerima rasuah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM1.88 juta daripada dua pengurusan kanan Bina Mekar Sdn. Bhd. (Bina Mekar), Ahsan Sabri Pang Abdullah dan Te Boon Chun sebagai upah untuk memberi diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses kepada syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta lima lokasi sekitar bandar raya ini iaitu Starhill Gallery, Jalan Bukit Bintang; Restoran Stadium Negara, Persiaran Lidcol off Jalan Yap Kwan Seng; Restoran ZK Al-Azmi Garden, Bandar Baru Sentul; Bina Mekar, Persiaran 65C off Jalan Pahang Barat dan KL Festival City, Jalan Ibu Kota, Setapak dari 5 Disember 2013 hingga 18 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen Akta 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adhha Abu Bakar menawarkan wang jaminan seba­nyak RM300,000 berdasarkan keseriusan dan jumlah pertuduhan yang banyak namun dibantah peguam bela tertuduh, Fahmi Abd. Moin yang memberitahu anak guam­nya cuma mampu membayar RM30,000 sahaja.

“Tertuduh telah digantung tugas oleh TNB sejak kes tersebut disiasat pada 14 Januari 2015. Selain itu, dua akaun simpanan dan semasa milik tertuduh telah dibekukan manakala geran-geran tanah di Hulu Langat dan kereta-kereta miliknya dan anak-anak telah disita SPRM untuk membantu siasatan,” katanya.

Sohaini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin selain pasport perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan.