Translate

Sunday, July 31, 2016

Pusat Rujukan KPWKM dibuka di UTC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan pusat rujukan sehenti untuk kemudahan masyarakat di semua Pusat Tranformasi Bandar (UTC) yang terdapat di seluruh negara.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pusat rujukan sehenti itu menyediakan semua perkhidmatan yang disediakan agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
"Konsepnya sama seperti Kompleks Penyayang di Sri Aman, Sarawak yang menghimpunkan semua agensi kementerian ini di bawah satu premis.
"Ia memudahkan golongan sasaran seperti orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas untuk berurusan dengan kami tanpa kekangan waktu pejabat," katanya selepas merasmikan pra-pelancaran Pusat Rujukan KPWKM di UTC Terengganu, Paya Bunga Square di sini hari ini. - K! ONLINE

Terengganu tewas lagi

KUALA NERUS - Terengganu terus dirundung malang apabila dibenam Negeri Sembilan 1-2 pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Biarpun mendahului 1-0 menerusi penyerang import, Bogdan Milic pada pada minit ke-22 namun skuad Penyu ternyata gagal meneruskan momentum pada babak kedua.
Keputusan pengadil perlawanan, Zukkifli Ahmad menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat pada minit ke-70 bagaikan membunuh semangat tuan rumah.
Penyerang import Negeri Sembilan, Goran Jerkovic mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sekali gus menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Amierul Hakimi pada minit ke-72.
Terdahulu keputusan sepakan penalti itu dibuat selepas tangan pemain pertahanan tuan rumah, Vincent Bikana didapati terpegang bola di dalam kawasan penalti.
Gol kemenangan Negeri Sembilan pula muncul menerusi tandukan seorang lagi penyerang Negeri Sembilan, Muhd. Afiq Azmi yang berjaya menerjah jaring pada empat minit kemudian. - K! ONLINE

MPP disaran pengaruh pelajar IPT hindar IS

KUALA NERUS - Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terutama yang beragama Islam diminta agar memainkan peranan proaktif untuk memberi penerangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tentang ancaman pergerakan militan, Islamic State (IS).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai rakan sebaya, penjelasan yang diberikan MPP terbabit lebih berkesan untuk menyakinkan pelajar IPT terbabit agar tidak terpengaruh mahupun bersimpati dengan perjuangan IS.
"Kita tidak mahu pengaruh IS ini menular di kampus-kampus IPT di negara ini. Mereka (pelajar IPT) harus sedar secara jelas bahawa budaya keganasan yang dianjurkan IS bukanlah ciri-ciri Islam sebenarnya.
"Islam yang tulen mementingkan kasih sayang, keharmonian, kedamaian dan tolenransi sesama insan sama ada seagama mahupun bukan," katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Institusi Pengajian Tinggi peringkat kebangsaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini malam tadi. - K! ONLINE

Tarikan baharu Taman Tamadun Islam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taman tema bercirikan Islam, Taman Tamadun Islam (TTI) memperkenalkan tarikan terbaharu iaitu persembahan cahaya dan bunyi bertemakan  ‘Cahaya Ketamadunan’ yang bakal dibuka kepada pengunjung pada waktu malam bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kesemua 23 monumen berupa replika masjid terkenal di seluruh dunia yang terdapat di Taman Monumen, TTI telah dihiasi dengan lampu berwarna-warni.

Beliau berkata, sambil menikmati keindahan lampu-lampu, pengunjung yang akan menaiki kereta buggy akan turut mendengar informasi berhubung sejarah dan latar belakang setiap monumen terbabit. 

“Tayangan video juga akan dipersembahkan di tiga daripada monumen berkenaan iaitu Kubah As-Sakhrah Palestin, Masjidil Haram Mekah dan Masjid Suleyman, Turki.

“Persembahan cahaya dan bunyi yang memakan masa kira-kira sejam setengah itu diakhiri dengan persembahan air pancut bermuzik,” katanya selepas menyaksikan previu persembahan cahaya dan bunyi terbabit di TTI di sini kelmarin.

Turut hadir Pemangku Pengurus Besar TTI Management Sdn. Bhd., Khalizan Mahmud.
Mohd. Jidin berkata, persembahan cahaya dan bunyi tersebut bakal berjalan dalam dua sesi pada setiap malam iaitu pada pukul 8.45 malam hingga 10.15 malam dan 10.30 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut beliau, sepanjang tempoh promosi selama tiga bulan, kadar bayaran kemasukan yang dicadangkan ialah RM30 seorang.

“Setiap sesi, bilangan pengunjung dihadkan kepada 80 pengunjung sahaja. Tiket kemasukan yang boleh didapati secara tempahan menerusi talian 09-6278888 atau menerusi laman web, www.tti.com.my,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Jidin berharap pakej baharu TTI yang menelan belanja RM7.6 juta tersebut dapat meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017.

Saturday, July 30, 2016

Persembahan cahaya dan bunyi tarikan baru TTI


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Taman tema bercirikan Islam, Taman Tamadun Islam (TTI) memperkenalkan tarikan terbaharu iaitu persembahan cahaya dan bunyi bertemakan 'Cahaya Ketamadunan' yang bakal dibuka kepada pengunjung pada waktu malam bermula 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kesemua 23 monumen berupa replika masjid terkenal di seluruh dunia yang terdapat di Taman Monumen, TTI telah dihiasi dengan lampu berwarna-warni.
Beliau berkata, sambil menikmati keindahan lampu-lampu, pengunjung yang akan menaiki kereta buggy akan turut mendengar informasi berhubung sejarah dan latar belakang setiap monumen terbabit.
"Tayang video juga akan dipersembahkan di tiga daripada monumen berkenaan iaitu Kubah As-Sakhrah Palestin, Masjidil Haram Mekah dan Masjid Suleyman, Turki.
"Persembahan cahaya dan bunyi yang memakan masa kira-kira sejam setengah itu diakhiri dengan persembahan air pancut bermuzik," katanya selepas menyaksikan previu persembahan cahaya dan bunyi terbabit di TTI di sini. - K! ONLINE

Friday, July 29, 2016

Tiga gadis bersaudara mati lemas

SETIU – Keseronokan empat gadis bersaudara termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi beriadah bertukar menjadi tragedi apabila tiga daripada mereka mati lemas di Air Terjun Cakah, Ulu Seladang, Permaisuri dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, Asiah Zakirah Abd. Rahman, 23, maut di lokasi kejadian manakala dua sepupunya, Fatin Atirah Ahmad Sabri, 20, dan Asma Saari meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini beberapa jam kemudian.
Adik Asma, Maisarah, 19, pula terselamat dan sedang dirawat di hospital sama dan keadaanya kini dilaporkan stabil.
Fatin Atirah merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor manakala Asma pula pelajar jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir sedang bercuti semester.

Ketua Polis Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa yang menetap di Machang, Kelantan telah datang berkelah di kawasan air terjun berkenaan mulai pukul 9 pagi.
Beliau berkata, keempat-empat mangsa gagal melawan arus yang tiba-tiba deras sewaktu sedang asyik mandi-manda di kawasan air terjun terbabit.

"Jeritan salah seorang mangsa meminta pertolongan telah mengejutkan orang ramai yang turut berkelah di kawasan tersebut.

"Hanya Maisarah sempat diselamatkan sementara tiga yang lain tenggelam ke dalam ketinggian hampir tiga meter ke dalam kawasan air terjun berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Elias berkata, mayat Asiah Zakirah yang menetap di Kampung Tok Bok, Machang, Kelantan dijumpai di dasar air terjun berkenaan beberapa minit kemudian yang orang ramai.

Menurut beliau, Fatin Atirah dan Asma dijumpai dalam keadaan lemah tidak jauh dari lokasi mayat Asiah Zakirah ditemui dan mereka dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Surau, Pulau Chondong, Machang, Kelantan disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan terbabit pada pukul 5 petang.

"Jenazah ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.


Pencuri pisang parah dibelasah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Gara-gara mencuri pisang, seorang penganggur cedera parah dibelasah seorang pekerja kebun di Felda Tenang, Jerteh dekat sini pada Isnin lalu.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, suspek yang mengalami kecederaan pada kaki, telinga dan muka hanya dijumpai sehari kemudian dalam keadaan terbaring di tebing Sungai Besut berhampiran kebun pisang ber­kenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sebelum kejadian, seorang pekerja kebun terserempak dengan suspek berusia 31 tahun sedang menebang salah satu pokok pisang di kebun berkenaan.
“Pekerja kebun itu yang mengesyaki suspek mencuri pisang telah bertindak menghampiri dan memarahinya.

“Namun, tiba-tiba suspek yang berasal dari Felcra Keruak, Jerteh dekat sini bertindak nekad melibas parang dipegangnya lalu mengenai kepala lelaki berusia 42 tahun tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Zamri berkata, berlaku pergelutan antara mereka sebelum pekerja tersebut meninggalkan kebun ber­kenaan lalu membuat laporan kejadian di Pondok Polis Felda Tenang di sini.

“Berdasarkan laporan, sepasukan polis menyerbu ke rumah suspek di Felcra Keruak pada pukul 2.30 pagi Selasa lalu, namun premis itu didapati tidak berpenghuni.

“Pemilik kebun pisang kemudiannya memaklumkan kepada polis tentang penemuan suspek yang dalam keadaan lemah terbaring di tebing sungai berhampiran kebunnya kira-kira 13 jam kemudian,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, suspek yang cedera parah itu dipercayai akibat bergaduh dengan pekerja kebun berkenaan telah dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan.

Industri perikanan Terengganu semakin lesu

SEWAKTU penulis mula berhijrah ke bumi Terengganu kira-kira tiga bulan lalu, sesuatu yang mengejutkan apabila mendapati harga hasil laut terutama ikan di negeri ini lebih mahal berbanding di Lembah Klang.

Sebagai contoh, ikan tenggiri yang biasa didapati dengan harga RM28 sekilogram di Pasar Borong Selangor, dijual pada harga RM33 bagi kuantiti sama di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu.

Ikan-ikan lain seperti sela­yang, kembung, cencaru, selar dan tongkol pula setara harganya dengan di Lembah Klang.

Pada mulanya, sukar mempercayai hakikat itu kerana Terengganu yang mempunyai jajaran pantai panjang sejauh 240 kilometer secara tradisinya terkenal dengan sektor perikanan yang gemilang apatah lagi ia memiliki hampir 8,000 nelayan tempatan yang mencari rezeki di sepanjang jajaran pantai tersebut dari Besut hingga Kemaman.

Setelah diselidiki, rupa-rupa­nya, boleh dikatakan kegemilangan industri perikanan yang dibanggakan tersebut semakin pudar apabila hasil laut yang didaratkan di jeti nelayan di seluruh Terengganu semakin menge­cil dari tahun ke tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohammad berkata, sepanjang tahun lalu, hanya 51,000 tan metrik hasil laut berjaya didaratkan oleh nelayan tempatan.

Menurut beliau, ia merupakan penurunan hampir 65 peratus berbanding 84,000 metrik tan pada tahun 2009 dan antara faktor kemerosotan itu ialah hasil laut di perairan Terengganu dikatakan semakin berkurangan.

“Tambah menyuramkan lagi industri perikanan tempatan, kebanyakan pusat pendaratan hasil laut di negeri ini pula terutama di Kuala Besut, Setiu dan Chendering pula semakin cetek hingga menyukarkan nelayan.

 “Kerajaan negeri amat berharap bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memperbanyakkan lagi tukun tiruan dan menambak muara sungai yang melibatkan kos besar sebagai inisiatif mengatasi masalah itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Berbanding perairan Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang mewah dengan hasil laut sehingga dikhabarkan nelayan mampu membawa pulang sehingga 40 tan ikan pelaling hanya pada satu malam, benarkah isu pemuliharaan dan pengkayaan sumber laut begitu meruncing di perairan Terengganu?

Sekiranya itulah puncanya, persoalan timbul atas sebab apa pula nelayan asing gemar memasuki perairan negeri ini sehingga ke Kemaman secara haram?

Berdasarkan statistik, sepanjang enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 39 bot nelayan asing berjaya ditahan agensi penguatkuasaan, Maritim Malaysia (APMM) kerana menangkap ikan secara tidak sah di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, kes pencerobohan itu bukanlah isu baharu dan kebanyakan dilakukan oleh nelayan Vietnam.

Di sebalik kekangan jarak, masa dan aset untuk memantau samu­dera Laut China Selatan yang luas, APMM harus dipuji kerana semakin banyak bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan agensi penguatkuasaan maritim negara itu sejak akhir-akhir ini.

“Sebanyak 1,376 pemeriksaan telah dilakukan oleh 12 aset APMM yang terdiri daripada lima kapal maritim dan tujuh bot maritim di sekitar perairan Terengganu sejak Januari lalu,” kata Zainolabidin.

 Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan pula mengakui, impak pencerobohan nelayan asing tidak harus dipandang enteng kerana dianggarkan 700,000 tan metrik ikan tidak didaratkan di pusat pengumpulan tempatan, sebaliknya diseludup masuk ke negara asal nelayan ­asing terbabit pada setiap tahun.

Beliau berkata, apa yang mengecewakan, sebahagian kes pencerobohan itu sebenarnya didalangi sendiri oleh segelintir nelayan laut dalam tempatan de­ngan mengamalkan ‘alibaba’ terhadap lesen dan bot mereka.
“Kebanyakan kes pencerobohan tersebut dilaporkan di perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.

“Ia punca utama sektor perikanan laut dalam negara tidak dapat berkembang biarpun sudah diterokai sejak 30 tahun lalu. Jabatan Perikanan terpaksa bertindak tegas dengan membatal dan mengantung lebih 400 lesen nelayan C2,” katanya.

Perbuatan tidak bertanggungjawab demi keuntungan jangka pendek dan ketamakan diri itu amat dikesalkan kerana bukan sahaja menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit setahun malah rakyat sebagai pengguna turut merasai bebannya.

Thursday, July 28, 2016

RISDA cadang daun ketum dieskport

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengemukakan cadangan pelik dan kontroversi apabila memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum untuk dieksport ke luar negara.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (gambar kecil) berkata, cada­ngan itu timbul selepas agensi terbabit menerima beberapa permohonan daripada beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah bagi membekalkan daun ketum untuk tujuan menghasilkan ubat-ubatan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan syarikat farmasi itu yang disokong kajian terperinci beberapa buah universiti termasuk Universiti Sains Malaysia, daun ketum secara saintifiknya mempunyai nilai perubatan tinggi terutama untuk menstabilkan darah pada musim sejuk.

“Daun ketum mempunyai nilai perubatan tinggi tapi masih wujud tanggapan negatif tentang tumbuhan herba berkenaan di Malaysia.

“Jadi, apa salahnya kerajaan membenarkan pokok ditanam untuk tujuan eksport sahaja bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang kampung,” katanya pada sidang akhbar selepas meras­mikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik anjuran RISDA Terengganu di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak di sini semalam.

Hadir sama Pengarah RISDA Terengganu, Mohd. Hussin Yusoff.
Zahidi berkata, bagi meyakinkan Kementerian Kesihatan berhubung khasiat dan manfaat daun ketum itu, RISDA bersedia untuk menyerahkan salinan dokumen dan laporan oleh syarikat farmasi tersebut tidak lama lagi.

Menurut beliau, cadangan penanaman pokok ketum bagi tujuan pengeksportan daunnya itu bertujuan membantu golongan pekebun kecil menambah pendapatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi getah semata-mata.

“Sekiranya cadangan ini diterima, RISDA menjangkakan golongan pekebun kecil dapat menikmati pendapatan berganda sekali gus tidak perlu lagi terlalu berharap kepada getah yang kini tidak menentu harganya di pasaran dunia,” katanya.

Setakat ini, kesalahan penya­lahguna air daun ketum boleh didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun dan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Wednesday, July 27, 2016

20,000 tetamu hadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri

MERIAH. Hampir 20,000 tetamu memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Marang di Dewan Sivik Binjai Rendah, Marang, Terengganu baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang berkata, majlis itu bertujuan meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama penduduk selain mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, pihaknya menyediakan lebih 50 hidangan seperti lemang, nasi minyak, ketupat palas, laksa, sate, rojak betik dan roti canai sebagai juadah kepada pengunjung.

Tuesday, July 26, 2016

RISDA cadang pekebun kecil tanam ketum

KUALA NERUS - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memohon kerajaan agar membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan golongan tersebut.
Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu timbul selepas agensi terbabit menerima beberapa permohonan daripada beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah bagi membekalkan daun ketum untuk tujuan menghasilkan ubat-ubatan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan syarikat farmasi terbabit yang disokong kajian terperinci beberapa universiti, daun ketum secara saintifiknya mempunyai nilai perubatan tinggi terutama menghasilkan ubat untuk menstabilkan darah pada musim sejuk.
"Daun ketum mempunyai nilai perubatan tinggi tapi masih wujud tanggapan negatif tentang tumbuhan herba berkenaan di Malaysia.
"Jadi apa salahnya kerajaan membenarkan pokok ditanam untuk tujuan eksport sahaja bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang kampung," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik anjuran RISDA Terengganu di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak di sini hari ini. - K! ONLINE

45 nelayan Vietnam dicekup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan warga asing dan 45 awak-awak warga Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara dalam operasi khas yang dilaksanakan sejak Sabtu lalu.

Dalam operasi yang berakhir pukul 4.10 petang kelmarin, kesemua bot nelayan asing yang ditahan itu menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai nelayan laut dalam tempatan atau kelas C2.

Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Zai­nolabidin Jusoh berkata, pihaknya menyita keempat-empat bot nelayan Vietnam itu bersama minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Hasil tangkapan yang kebanyakannya dijadikan produk sotong kering bernilai RM35,000 turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Markas Ma­ritim Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.

Zainolabidin berkata, kesemua 45 awak-awak warga Vietnam itu yang berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, nelayan warga asing itu menceroboh perairan negara ini dengan menya­mar sebagai nelayan tempatan kelas C2 dengan mempamerkan lesen dan dokumen pengenalan palsu pada bot nelayan masing-masing,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, APMM telah merampas 880 bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, nelayan warga Vietnam didapati pa­ling banyak melakukan pencerobohan tersebut untuk menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.

880 bot nelayan asing ceroboh perairan negara dirampas

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) telah merampas 880 bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara sejak awal tahun ini.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, nelayan Vietnam didapati paling banyak melakukan pencerobohan tersebut untuk menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.

“Setakat ini, sebanyak 464 bot nelayan Vietnam telah berjaya dirampas diikuti Indonesia (297) dan selebihnya Thailand.

“Kebanyakan bot nelayan asing yang dirampas itu telah dilucutkan hak dan dijadikan tukun tiruan setelah kes terbabit selesai di mahkamah,” katanya pada sesi dialog bersama nelayan Terengganu di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering di sini semalam.

Beliau merupakan salah seorang ahli panel yang menyertai sesi dialog terbabit yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ahmad Puzi berkata, selain pemantauan berkala di seluruh perairan negara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kebanyakan maklumat pencerobohan  itu dilaporkan oleh kumpulan Sahabat Maritim.

Menurut beliau, sebanyak 50 aset meliputi kapal, bot dan helikopter milik APMM digerakkan pada setiap hari bagi tujuan penguatkuasaan.

“Namun apa yang dikesalkan, siasatan APMM mendapati ada segelintir bot nelayan asing yang ditahan itu sebenarnya milik nelayan tempatan yang telah ‘diali babakan’.

“Oleh itu, saya menyeru persatuan nelayan tempatan agar turut sama turun padang bersama APMM menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan yang turut menjadi ahli panel sesi dialog tersebut  pula memberitahu, setiap tahun dianggarkan 700,000 tan hasil laut dari perairan negara di seludup ke negara asing akibat pencerobohan berkenaan.

Monday, July 25, 2016

Empat bot dirampas, 45 nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam dan 45 awak-awak warga negara berkenaan yang disyaki menceroboh perairan negara dalam operasi khas bermula kelmarin.
Dalam operasi yang berakhir pukul 4.10 petang semalam, kesemua bot nelayan asing yang ditahan berkenaan menggunakan modus operandi sama iaitu menyamar sebagai bot nelayan laut dalam tempatan atau kelas C2.
Pengarah Maritim Daerah Kuala Terengganu, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, pihaknya bertindak menyita keempat-empat bot nelayan Vietnam itu bersama minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM1 juta.
"Manakala hasil tangkapan mereka yang kebanyakannya merupakan produk sotong kering berjumlah RM35,000 turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Wajib pakai alat penyisih penyu

KUALA TERENGGANU – Penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) akan menjadi syarat lesen bagi nelayan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT) bermula November ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, penggunaan TED yang direka khas oleh penyelidik Jabatan Perikanan itu bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan dan menyelamatkan spesies penyu serta mamalia daripada terperangkap di dalam pukat.

“Melalui hasil kajian penggunaan TED oleh 21 nelayan tempatan di Kemaman sejak Januari lalu, didapati kaedah ini mampu meningkatkan pendapatan nelayan antara tiga hingga lima peratus dan hasil tangkapan juga tidak bercampur dengan sampah dan kotoran.

“Penggunaan TED ini juga dapat menyelamatkan penyu dan spesies marin daripada terperangkap di dalam pukat, ia dapat mengurangkan kadar kematian penyu khususnya di Pantai Timur,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Penceramah meninggal dunia ketika sampaikan kuliah mingguan

DUNGUN – Seorang penceramah agama tidak sempat menyampaikan kuliah­ Maghrib mingguannya di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Kuala Dungun di sini kelmarin setelah me­ninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Mohd. Ramli Ahmad, 66, hanya sempat menyebut kalimah Allah sebanyak tiga kali sebelum tersandar kaku di kerusinya.

Imam Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Mohd. Faiz Azmi Abd. Kadir berkata, sebelum kejadian, Allahyarham Mohd. Ramli sempat memberitahu para jemaah bahawa beliau akan menyampaikan kuliah bertajuk  Kebesaran Allah.

“Beliau kemudian membacakan surah Al-Fatihah tetapi butiran tidak berapa jelas sebelum tiba-tiba kelihatan tidak bermaya dan tersandar di atas kerusi.
“Ia membuatkan jemaah masjid yang mendengar kuliah agamanya bertindak membaringkan Mohd. Ramli sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk me­minta bantuan,” katanya kepada Kos­mo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Faiz Azmi berkata, beliau dan jemaah masjid yang lain terkejut apabila pegawai perubatan Hospital Dungun mengesahkan Mohd. Ramli telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, laporan bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Dungun mengesahkan punca kematian Mohd. Ramli disebabkan kegagalan jantung mengepam darah ke seluruh badan.

“Jenazah Allahyarham Mohd. Ramli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya di sini pada pukul 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Sunday, July 24, 2016

APMM rampas 880 bot nelayan asing

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) telah merampas 880 bot nelayan asing yang didapati menceroboh perairan negara sejak awal tahun ini.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, nelayan Vietnam didapati paling banyak melakukan pencerobohan tersebut untuk menangkap hasil laut secara haram di perairan negara ini.
"Setakat ini, sebanyak 464 bot nelayan Vietnam telah berjaya dirampas diikuti Indonesia (297) dan selebihnya Thailand.
"Kebanyakan bot-bot nelayan asing yang dirampas itu telah dilucutkan hak dan dijadikan tukun tiruan setelah kes terbabit selesai di mahkamah," katanya pada sesi dialog bersama nelayan Terengganu di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering di sini hari ini.
Beliau merupakan salah seorang seorang panel yang menyertai sesi dialog terbabit yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - K! ONLINE

Pengurusan banjir jadi contoh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Keberkesanan sistem pengurusan banjir Kemaman menerima pengiktirafan antarabangsa apabila mendapat kedudukan lima teratas dalam ka­tegori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat pada Sidang Kemun­cak Dunia Masyarakat Bermaklumat yang diadakan di Geneva, Switzerland, Mei lalu.
Sistem ini dibangunkan semasa menghadapi banjir di Kemaman dua tahun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa merangka pelan awal untuk menghadapi bencana tersebut.
Ia turut melibatkan si­mulasi menghadapi banjir secara bersepadu melibatkan semua agensi selain pengurusan bantuan semasa dan selepas banjir.
Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan ini juga membuktikan keberkesanan program Komuniti Pintar Kemaman.
“Lebih menarik lagi apabila sistem ini turut menarik perhatian pe­nyiar antarabangsa History Channel apabila menerbitkan dokumentari khusus mengenainya yang akan disiarkan sempena sam­butan Hari Kemerdekaan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hari Komuniti Pintar anjuran SKMM di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi SKMM, Datuk Seri Halim Shafie.
Komuniti Pintar Kemaman yang dilancarkan pertengahan tahun lalu merupakan inisiatif Shabery sewaktu menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia. 
Sementara itu, Halim berkata, projek Komuniti Pintar Kemaman kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya iaitu penghayatan dan penggunaan.
Beliau berkata, antara kemudahan yang telah disediakan ialah pembinaan 13 menara komunikasi bagi memperluaskan liputan komunikasi dan pembukaan 12 Pusat Internet 1Malaysia di Kemaman.

Friday, July 22, 2016

Ibu tunggal dakwa kemaluan dilumur cili api oleh 4 jiran

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal mendakwa dikasari empat jiran sekampungnya termasuk kemaluannya dilumur cili api di Kampung Gong Tengah, Setiu pada Ahad lalu.

Dalam kejadian pada 9 malam itu, wanita berusia 52 tahun itu turut mendakwa dicederakan dengan hos getah oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, mangsa sebelum itu dituduh menjalin hubungan sulit dengan suami salah seorang suspek.

“Mangsa mendakwa diserang wanita itu, dua anak lelaki dan seorang menantu perempuan di rumahnya di Kampung Gong Tengah termasuk dilibas dengan hos getah.

“Ibu tunggal itu turut ditendang sebelum dipaksa memasuki kereta salah seorang daripada suspek,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, di dalam kereta itu, mangsa mendakwa dicabul apabila kemaluannya dilumur dengan cili api.

Tambahnya, mangsa kemudian ditinggalkan di Kampung Banggol yang terletak kira-kira 25 kilometer dari rumahnya.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

“Keempat-empat suspek yang berusia antara 25 hingga 52 tahun telah ditahan semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) untuk membantu siasatan,” katanya.

Wednesday, July 20, 2016

Ahmad Said tersenarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Rombakan portfolio enam Exco kerajaan negeri yang berkuatkuasa 1 Ogos depan telah menyenaraikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, beliau akan melepaskan dua portfolio iaitu Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang bakal diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee.
"Saya akan menguruskan hal ehwal Pelancongan dan Kebudayaan yang sebelum ini dipengerusikan Mohd. Jidin. Selain itu, saya masih memegang portfolio Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum serta Sumber Asli," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Info Rombakan Exco kerajaan negeri Terengganu
Menteri Besar : Ahmad Razif Abd. Rahman
Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan serta Kebudayaan.
Pengerusi : Ahmad Razif Abd. Rahman
Timbalan : Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar
Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman
Perindustrian dan Perdagangan
Pengerusi : Datuk Tengku Putera Tengku Awang
Timbalan : Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar
Kerajaan Tempatan dan Perumahan
Pengerusi : Datuk Mohd. Jidin Shafee
Timbalan : Datuk Seri Ahmad Said
               Mohd. Mahdi Musa
Belia dan Sukan serta Sumber Manusia
Pengerusi : Datuk Rozi Mamat
Timbalan : Mohd. Mahdi Musa
Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau
Pengerusi : Rosli Othman
Timbalan : Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman
Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan
Pengerusi : Nawi Mohamad
Timbalan : Datuk Sabri Mohd. Nor
Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan
Pengerusi : A. Latiff Awang
Timbalan : Bazlan Abd. Rahman
Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Pengerusi : Roslee Daud
Timbalan : Mohd. Iskandar Jaafar
Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas
Pengerusi : Ghazali Taib
Timbalan : Mohd. Iskandar Jaafar
Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Pengerusi : Datuk Muhammad Pehimi Yusof
Timbalan : Datuk Sabri Mohd. Nor

Tuesday, July 19, 2016

T-Team tewas digelanggang sendiri

KUALA TERENGGANU - Pasukan Pulau Pinang mengejutkan tuan rumah, T-Team 4-3 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.
Dua pemain tengah import baru Pulau Pinang iaitu Jeong Seok Min dan Ranti Jesus Cordoba muncul wira selepas masing-masing meledak dua gol.
T-Team yang mendapat jolokan The Titans pula boleh menyalahkan diri sendiri walaupun penyerang import sensasinya, Partick Dos Santod Cruz beraksi cemerlang menjaringkan gol hatrik pada perlawanan tersebut.
Terdahulu, tuan rumah membuka jaringan menerusi Santos Cuz yang mudah menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-19.
Soleye pula menyamakan kedudukan selepas menerima umpanan daripada ketua pasukan, Matias Jesus Corboba pada minit ke-35.
Giliran Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai skuad Harimau Kumbang pula mendahului menerusi Seok Min yang berasal dari Korea Selatan pada minit ke-59.
Tersentak dengan gol itu, barisan serangan T-Team menggandakan asakan yang membawa kepada gol penyamaan oleh Santos Cruz pada minit ke-63.
Selepas itu, Harimau Kumbang kembali di hadapan apabila Seok Min menjaringkan gol kedua peribadi pada minit 67 menjadikan pasukan pelawat mendahului 3-2.
Kedudukan menjadi 3-3 selepas Santos Cruz yang berasal dari Brazil menyempurnakan sepakan penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-82.
Kegembiraan T-Team itu cuma bertahan tiga minit sahaja apabila Cordoba meledak gol kemenangan Pulau Pinang pada minit ke-85.
Gol itu muncul menerusi serangan balas pantas yang berjaya menumpaskan penjaga gol The Titans, Wan Muhammad Azraie Wan Nor buat kali keempat.
Sepanjang 90 minit perlawanan, dua pemain Pulau Pinang dan seorang pemain T-Team dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman. - K! ONLINE 

Monday, July 18, 2016

Terengganu dibelasah, Presiden PBSNT didesak berundur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DESAKAN agar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (gambar) berundur semakin kuat selepas skuad Sang Penyu mempamerkan aksi longlai sehingga mudah dimamah 1-6 oleh Kelantan pada aksi Liga Super di Gong Badak kelmarin.
Sebahagian besar 7,500 penyokong Terengganu yang me­nyaksikan perlawanan tersebut menunjukkan protes dengan meninggalkan stadium kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat.

Malah, segelintir penyokong turut bertindak agresif me­nyerbu tempat duduk kenamaan menempatkan pengurusan kanan PBSNT yang dipisahkan dengan tempat duduk penonton tuan rumah dengan pagar besi bagi meluahkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap Wan Ahmad Nizam.

Begitupun, pengendali Terengganu, Micheal John Mulvey memilih untuk menyalahkan mutu pengadilan sebagai punca pasukannya mencatat persembahan terburuk di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.

“Permainan telah 'berakhir' dalam tempoh seminit, keputusan telah ditentukan sejurus perlawanan bermula.

“Saya mohon maaf kepada penyokong, mereka telah mengeluarkan wang (membayar tiket) untuk menonton perlawanan ini tetapi keputusan telah ditentukan dari minit pertama lagi. Ia tidak adil,” katanya.
Pengendali kelahiran England itu merujuk kepada keputusan pengadil, Mohd. Zohri Tajuddin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat dan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bikana kerana menjatuhkan penyerang Kelantan, Blahze Ilijoski pada minit ketiga.

Keputusan itu mencetuskan kontroversi kerana kesalahan yang dilakukan Bikana tersebut didakwa berlaku di luar kotak penalti Terengganu.

Mulvey berkata, bermain dengan 10 orang selepas kehilangan Bikana yang merupakan pemain kelahiran Cameroon tersebut telah membunuh semangat anak-anak buahnya.

Sunday, July 17, 2016

Pesara kerajaan rugi RM200,000 ditipu sindiket penghantaran bungkusan palsu

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara kerajaan kerugian hampir RM200,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan penghantaran bungkusan palsu yang disyaki didalangi warga Afrika baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan Koh Ah Tiam berkata, mangsa membayar wang tersebut menerusi tujuh transaksi antara 17 dan 23 Jun lalu sebelum menyedari dirinya tertipu. Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini kelmarin.
Menurut beliau, lelaki berusia 59 tahun itu mula berkomunikasi dengan seorang anggota sindiket yang berselindung di sebalik profil wanita muda dari Britain di laman sosial Facebook sejak awal bulan lalu.
“Pada mulanya, wanita itu meminta bantuan daripada mangsa untuk membantunya dalam urus niaga pembelian sebuah hartanah di Damansara, Kuala Lumpur.
“Selepas itu, wanita tersebut menyatakan hasrat dia mahu mengirim pelbagai hadiah termasuk wang tunai berjumlah RM200,000 kepada mangsa kononnya sebagai tanda penghargaan,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu di sini semalam.
Ah Tiam memberitahu, mangsa yang tergoda dengan suspek kemudian di- hubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kononnya penghantaran bungkusan terbabit bermasalah.
Sehubungan itu, mangsa perlu membayar cukai sebanyak RM90,000.
“Mangsa kemudian membayar lebih RM90,000 termasuk pelbagai caj perkhid- matan sebelum dihubungi pula oleh se- orang pegawai kononnya dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain yang meminta wang kira-kira RM100,000 bagi pelbagai caj lain dan mangsa membayarnya,” kata beliau.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket penipuan terbabit didalangi oleh penjenayah siber dari Afrika dan dibantu oleh beberapa warga tempatan.
Tambah beliau, siasatan ke atas akaun Facebook yang digunakan untuk melaku kan menipu mangsa didapati sudah ditutup.
Kes sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama amat membimbangkan kerana sebanyak 22 kes melibat kerugian RM568,800 dilaporkan dalam enam bulan pertama tahun ini di negeri ini.

Saturday, July 16, 2016

Terengganu diratah PQPTRW

KUALA TERENGANU - Terengganu terus dirundung malang selepas mudah diratah kepada pasukan jiran, Kelantan dengan keputusan 1-6 di gelanggang sendiri pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini malam tadi.
Penyerang import baru Kelantan, Blazhe Ilioski memberi derita buat skuad Penyu apabila pemain kelahiran Mecedonia itu menjaringkan empat gol buat pasukan lawan pada minit ke-3, 63, 76 dan 86.
Seawal minit ke-3, skuad Penyu terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pemain pertahanan importnya, Vincent Bikana dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Zohri Tajuddin kerana mengasari Ilioski di kotak penalti.
Ilioski mudah menyudahkan sepakan penalti menyepak deras ke penjuru kiri pintu gawang Terengganu yang dikawal Md. Sharbinee Allawee menjadikan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW) mendahului 1-0.
Skuad Penyu sekadar mendapat gol saguhati apabila sepakan percuma penyerang importnya, Issey Farran Makajima gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-7.
Selepas itu pesta Kelantan bermula dengan gol kedua dijaringkan seorang lagi penyerang import Kelantan, Wander Luiz Junior pada minit ke-44.
Pemain tengah PQPTRW, Wan Zack Haikal menambah luka skuad Penyu selepas mudah menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Muslim Ahmad bagi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-58.
Selang lima minit kemudian, Md. Sharbinee tewas lagi buat kali keempat menerusi gol kedua peribadi Ilioski.
Ilioski sekali lagi menunjukkan ketajamannya apabila merobek gawang Sang Penyu buat kali ketiga pada minit ke-76.
Selepas itu dia terus bergaya menambah gol keempat peribadi dan keenam buat Kelantan pada 10 minit kemudian. - K! ONLINE

Leka punca T-Team terlepas tiga mata

KELEKAAN pada 10 minit pertama babak kedua memusnahkan hasrat T-Team untuk meraih tiga mata penuh apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) II pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan ber­kata, barisan pertahanan pasukannya tidak sepatutnya melepaskan dua gol mudah selepas selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

“Sepatutnya kami sudah boleh meraih tiga mata selepas mendahului dua gol tetapi sayang, kita melepaskan gol-gol mudah pada awal separuh masa kedua.
“Puncanya, pe­main-pe­main saya hilang fokus dan gagal memberi res­pons terhadap tempo permai­nan pantas pasukan lawan,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan tersebut malam kelmarin.

Rachmat berkata, dua gol yang dijaringkan dua penyerang Johor DT II iaitu Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan Paulo Rangel masing-ma­sing pada minit ke-45 dan ke-51 itu telah menyedarkan anak-anak buahnya untuk mengemaskan semula rentak permainan.
Begitupun beliau memberitahu, serangan bertali arus pasukannya selepas itu termasuk dua percubaan berbahaya pemain import sensasi T-Team, Makan Konate pada minit ke-71 dan ke-90 gagal me­nemui sasaran.

“Apa pun, secara ke­seluruhannya saya ber­puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buah saya termasuk kemampuan mereka untuk mengadaptasi taktik permainan baharu yang kami terapkan,” katanya.

Terdahulu, T-Team yang juga dikenali sebagai The Titans membuka jaringan menerusi pemain tengah, Dilshod Sharifudinov yang mudah menewaskan penjaga gol Johor DT II, Samuel Jacob Somerville pada minit keenam.

Seorang lagi pemain tengah T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan menambah jaringan menerusi rembatan kencang dari penjuru kiri pintu gol pasukan lawan pada minit ke-16.

Usaha tidak mengenal lelah Mohamad Zaquan akhirnya berhasil apabila penyerang berusia 29 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan tuan rumah sebaik babak kedua perlawanan bermula dan selang enam minit kemudian, Rangel menjadikan kedudukan 2-2.

Friday, July 15, 2016

Kutipan tol di LPT2 mula dilaksanakan hari ini

KEMAMAN – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus sejauh 184 kilometer mula melaksanakan kutipan tol bermula pukul 12.01 tengah malam hari ini.
LPT2 yang dibuka secara rasmi kepada pengguna pada 31 Januari 2015 itu akan menyebabkan pengguna perlu membayar kira-kira RM50.20 untuk tol sebaik memulakan perjalanan dari Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Rosli Othman berkata, lebuh raya itu menyediakan perkhidmatan secara percuma selama lebih setahun lima bulan.
“Kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen sekilometer bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta.
“Ia (kadar tol) sama dengan kadar yang ditetapkan di LPT1 (Lebuh Raya Pantai Timur 1) dan diyakini tidak akan membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Bestari.Com di Kemasek di sini semalam.
Rosli berkata, kerajaan negeri percaya sebahagian besar kutipan tol itu akan digunakan pe­ngendalinya, Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh PLUS Malaysia Berhad untuk kos penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan di lebuh raya berkenaan.
“LPT2 yang merupakan lebuh raya empat lorong dua hala dengan kemudahan 10 persimpangan ber­tingkat mempunyai tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah dilengkapi kelengkapan medan selera, tandas dan surau.
“Selain itu, sekurang-kurang­nya dua stesen minyak akan dibina di lokasi strategik di LPT2 dalam tempoh setahun untuk kemudahan pengguna,” katanya.
Katanya, lebuh raya itu juga mempunyai 10 plaza tol iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Kuala Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemong dan Kuala Terengganu.
“Secara purata, LPT2 dilalui oleh kira-kira 25,000 kenderaan setiap hari dan jumlah itu me­ningkat kepada 60,000 sehari pada musim perayaan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sebagai alternatif kepada pengguna, kerajaan negeri sedang menaik taraf Jalan Kuantan-Kuala Terengganu dari Kemaman ke Kuala Terengganu kepada Jalan Persekutuan empat lorong yang dijangka siap pada tahun 2019.

Thursday, July 14, 2016

Menikmati panorama Kuala Terengganu dengan menaiki helikopter

KUALA TERENGGANU – Orang ramai kini berpeluang menaiki helikopter untuk menyaksikan panorama bandar raya ini dari udara menerusi pakej Heli Outpost Terengganu yang merupakan produk pelancongan terbaharu di negeri ini.

Dengan kadar bayaran RM99 seorang, penumpang berpeluang menaiki helikopter jenis Robinson R44 untuk melihat pemandangan di sekitar muara Sungai Terengganu dan bandar raya ini pada ketinggian antara 121.9 dan 152.4 meter dari paras laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Heli Services Sdn. Bhd. (Eastern Heli Services), Abdul Hakim Baharuddin berkata, sepanjang penerbangan selama kira-kira enam minit, helikopter tersebut akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Terengganu iaitu Taman Tamadun Islam, Dataran Shahbandar, Chabang Tiga, Pantai Batu Burok, tapak pembinaan jambatan Draw Brigde, perkampungan nelayan Seberang Takir dan Pasar Payang.

Beliau berkata, perkhidmatan helikopter rekreasi yang beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam itu bermula dari pad pendaratan helikopter milik syarikat tersebut di Pulau Warisan di sini.

“Perkhidmatan helikopter rekreasi yang beroperasi sejak 8 Julai lalu mendapat sambutan memberangsangkan. Setakat ini, lebih 300 penumpang terdiri daripada pelancong tempatan tidak melepaskan peluang menaiki helikopter kami dengan melibatkan 100 penerbangan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Eastern Heli Services, Ahmad Izani Ab. Ghani.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 013-928 7800 atau melayari laman web, www.helioutpost.com.my.

Wednesday, July 13, 2016

T-Team, JDTII kongsi satu mata

TERENGGANU – Pasukan T-Team terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan pasukan Liga Perdana, JDTII apabila mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan pertama kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin, Kuala Terengganu, Terengganu malam ini.
Biarpun selesa mendahului dua gol pada babak pertama, kelekaan barisan pertahanan pasukan yang kini menduduki tempat keempat Liga Suoer dalam tempoh enam minit awal separuh masa kedua membawa padah.
Gawang T-Team yang digelar The Titans itu bocor dua kali hasil jaringan dua penyerang berbisa JDTII, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan Paul Rangel masing-masing pada minit ke-45 dan 51.
Terdahulu, The Titans membuka jaringan menerusi pemain tengah import, Dilshod Sharifudinov yang mudah menewaskan penjaga gol JDTII, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-6.
Seorang lagi pemain tengah T-Team, Mohd. Nor Hakim Hassan menambah gol pasukan berstatus kelab itu pada minit ke-16.
Jaringan tersebut muncul hasil larian solo Mohd. Nor Hakim di penjuru kiri pintu gol JDTII sebelum membuat rembatan deras yang sekali lagi menewaskan Somerville.
Tersentak ketinggalan dua gol, barisan serangan JDTII yang diketuai oleh Rangel dan Mohamad Zaquan Adha mengandakan usaha mengempur benteng T-Team.
Usaha tidak mengenal lelah Mohamad Zaquan akhirnya berhasil apabila penyerang berusia 29 tahun itu berjaya merobek gawang pasukan tuan rumah sebaik babak kedua perlawanan bermula.
Selang enam minit kemudian, pintu gol T-Team sekali lagi bocor menerusi tandukan tajam Rangel sekali gus mengikat kedudukan 2-2. – K! ONLINE

Sunday, July 3, 2016

Pesara kerajaan rugi RM200,000 ditipu sindiket

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara kerajaan kerugian hampir RM200,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan penghantaran bungkusan palsu yang disyaki didalangi warga Afrika baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu, Superitendan Koh Ah Tiam berkata, mangsa yang membayar amaun tersebut menerusi tujuh transaksi antara 17 Jun dan 23 Jun lalu hanya menyedari dirinya tertipu dan membuat aduan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada semalam.
Beliau berkata, lelaki berusia 59 tahun itu berhubung dengan salah anggota sindiket itu yang berselindung di sebalik profail wanita muda dari Britain di laman sosial Facebook sejak awal bulan lalu.
"Pada mulanya,'wanita' itu meminta bantuan daripada mangsa untuk membantunya dalam urus niaga pembelian sebuah hartanah di Damansara, Kuala Lumpur.
"Kemudiannya, dia mendakwa mahu mengirim pelbagai hadiah termasuk wang tunai berjumlah RM200,000 kepada mangsa sebagai tanda penghargaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Anak ugut tak suka ibu kerja tukang sapu

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana kurang berkenan dengan pekerjaan ibunya sebagai tukang sapu, seorang penganggur di Kampung
Wakaf Tengah, Batu Rakit, Kuala Nerus dekat sini semalam tergamak mengugut untuk memukulwanita itu sekiranya tidak berhenti kerja dalam masa terdekat.

Tambah kalut, dia yang berusia 20-an turut mengancam untuk menikam jiran-jiran yang tinggal berhampiran apabila menyedari amukannya pada pukul 6.20 pagi itu didengari ramai.

Sewaktu kejadian, ibu berusia 57 tahun tersebut baru pulang kerumah selepas selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah lokasi tidak jauh dari rumahnya.

Suspek yang baru bangun tidur tiba-tiba memarahi ibunya dengan kata-kata kesat selepas mendapati wanita itu masih meneruskan pekerjaannya sebagai tukang sapusebagai sumber untuk menyara keluarga.

Dia mengancam untuk memukul ibunya sekiranya wanita itu masih meneruskan pekerjaan yang kurang disenanginya itu selain mengugut untuk menikam jiran-jiran terdekat yang mencuri dengar pertengkaran tersebut.

Ibu suspek yang sudah tidak sabar asyik diperlakukan demikian oleh anaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus dekat sini beberapa jam kemudian yang membawa kepada penahanan lelaki itu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berka- ta, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

“Suspek disyaki di bawah pengaruh dadah ketika kejadian,” katanya di sini semalam.

Saturday, July 2, 2016

Penunggang Ducati Multisrada maut rempuh kereta

JERTEH - Seorang peniaga maut selepas motosikal berkuasa tinggi, Ducati Multistrada yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Proton Persona di sebuah persimpangan tiga di Jalan Kota Bahru berhampiran Kampung Seberang Jerteh di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, Yunizi Md. Rasid, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, Yunizi yang menetap di Kampung Kiat Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dalam perjalanan untuk bertemu dengan salah seorang kenalannya di pekan ini.
"Sampai di tempat kejadian, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Proton Persona yang secara tiba-tiba memasuki persimpangan jalan.
"Mangsa yang terpelanting sejauh beberapa meter maut akibat kecederaan parah di kepala sementara pemandu kereta Proton Persona yang merupakan seorang wanita berusia 43 tahun tiada mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Suami isteri ditahan bersama mercun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan sejauh 373 kilometer semata-mata untuk mendapatkan bekalan mercun bagi dijual di penempatan mereka di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang namun sia-sia apabila mereka ditahan polis di Jalan Chalok, Chalok di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, pemeriksaan di dalam kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit menjumpai mercun pelbagai jenis yang dianggar­kan bernilai RM1,200.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, kereta dinaiki kedua-dua suspek telah ditahan seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudiannya menjumpai tujuh kotak mercun Thunder Clap Rockets, sembilan bungkus mercun Colour Smoke B26, Happy Boom 188 (tiga), Colour Flo­wer (tiga), K337 (satu), K2949-18L (dua), K0201C (satu), K30 (satu).

“Setelah disoal siasat, suami yang berusia 31 tahun me­ngaku mengambil bekalan mercun itu dari Pasir Mas, Kelantan untuk dijual di kawasan perumahan mereka di Felda Keratong 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini semalam.

Elias berkata, semakan polis juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, suspek pertama dan isterinya yang berusia 30 tahun telah ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Friday, July 1, 2016

LPT2 tidak mahu korban ke-96

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA TERENGGANU – Sejak beroperasi sepenuhnya pada 31 Januari tahun lalu, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus sejauh 184 kilometer telah meragut 95 nyawa.

Terbaharu, seorang jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Erawati Che Mat, 36, terbunuh akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 339.8 LPT2 berhampiran susur masuk Kuala Dungun, Dungun pada 21 Jun lalu.

Tragedi itu berpunca selepas kende­raan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu suaminya terbabas akibat terlanggar lopak air sebelum merempuh pembahagi jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman (gambar kecil) berkata, 70 peratus daripada kemalangan yang terjadi di LPT2 disebabkan kecuaian pemandu terutamanya memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada nahas di lebuh raya tersebut ialah persekitaran termasuk laluan beralun dan kehadiran haiwan liar sebanyak 14 peratus serta selebihnya merupakan keadaan kenderaan.

“Dianggarkan 60,000 pengguna akan menggunakan kemudahan LPT2 yang masih bebas tol pada setiap hari sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi ini iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding hari biasa.

“Diharap mereka dapat memandu secara berhemah demi keselamatan diri dan pengguna lain kerana kita tidak mahu lagi menyaksikan lebih ramai lagi korban di lebuh raya ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rosli berkata, selain merancang waktu perjalanan, pengguna LPT2 juga disaran memanfaatkan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang terdapat di sepanjang lebuh raya terbabit.

Menurut beliau, setakat ini, R&R Perasing, Paka dan Ajil telah beroperasi sepenuhnya dengan dilengkapi kemudahan medan selera, tandas dan surau.
“Sekiranya mengantuk dan penat, rehat sebentar di hentian dan R&R disediakan kerana ia mampu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Azlimin Mat Noor berkata, kemalangan maut di LPT2 sering berlaku di sepanjang laluan antara Perasing, Kemaman dan Bukit Besi, Dungun.
“Lokasi terbabit akan diberi tumpuan dengan anggota bomba bakal melakukan rondaan secara berkala di laluan terbabit bagi tujuan pemantauan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, secara statistiknya, kemalangan maut di LPT2 sepanjang enam bulan tahun ini telah banyak berkurangan berbanding tahun 2015.

Begitupun, tumpuan tetap diberikan kepada lebuh raya tersebut pada musim perayaan tersebut menerusi Ops Selamat 9/2016 peringkat negeri yang akan dilancarkan pada 4 Julai ini.