Translate

Saturday, April 16, 2022

Berbuka puasa di puncak Bukit Maras

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Bukit Maras yang terkenal dengan aktiviti pendakian dan paragliding kini menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

Berbuka puasa sambil menikmati panorama indah senja daerah Kuala Nerus pada ketinggian 329 meter dari puncak bukit sudah pasti menawarkan keunikannya yang tersendiri.

Mohd. Shobri Ahmad, 45, berkata, dia tidak melepaskan peluang membawa ahli keluarganya merasai kelainan itu apabila mengetahui kewujudan pakej berbuka puasa di puncak Bukit Maras.

“Saya memang pencinta sukan rekreasi dan Bukit Maras bukan asing bagi saya. Peluang berbuka puasa di puncak bukit ini amat mengujakan.

“Berbuka puasa di puncak bukit pastinya memberi pengalaman berbeza, tidak sama se­perti di hotel, restoran atau kawasan lapang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di puncak Bukit Maras di sini.

Tambah Mohd. Shobri, dia juga boleh berbuka puasa beramai-ramai dengan tenang kerana penganjur turut menyediakan fasiliti solat, tandas dan ruang makan yang selesa.

Sementara itu, penganjur­nya, Mohd. Pozi Hassan berkata, buat masa ini, pakej berbuka puasa di puncak Bukit Maras itu hanya ditawarkan pada Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan ini.

Beliau memberitahu, pelanggan yang membuat tempahan tidak perlu mendaki kerana kita menyediakan kemudahan kenderaan pacuan empat roda untuk ke puncak bukit.

“Dua pakej disediakan iaitu berbuka puasa selain berkhemah yang turut menawarkan sajian moreh,” ujarnya.

Mohd. Pozi berkata, kapasiti pelanggan yang ditetapkan hanya 50 orang setiap hari bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan sajian ditawarkan masakan ala kampung.


Friday, April 15, 2022

Cirit-birit, muntah makan puding bazar Ramadan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kegembiraan dua beradik menikmati pu­ding buih ketika berbuka puasa pada Rabu lalu bertukar mimpi ngeri apabila mereka mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada juadah itu.

Kejadian tersebut menyebabkan Muhammad Aqil Rifqi Mohd. Rusnizam, 9, dan adiknya, Nur Azzahra Raisha, 7, terpaksa dikejarkan ke hospital, kira-kira sembilan jam selepas memakan pu­ding buih tersebut.

Ibu mangsa, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, mendakwa, dia membeli puding buih tersebut di Bazar Ramadan Kampung Bukit Tumboh di sini pada pukul 6 petang, 6 April lalu.

“Dua anak saya mula mengalami cirit-birit dan muntah-muntah pada pukul 4 pagi.

“Situasi itu menyebabkan badan menjadi lemah dan muka bertukar pucat menyebabkan kami membawa mereka ke sebuah klinik swasta,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, doktor klinik swasta kemudian meminta Muhammad Aqil Rifqi dan Nur Azzahra Raisha yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh di sini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dia yang menetap di Bukit Tok Beng di sini memberitahu, keada­an kedua-dua anaknya semakin pulih setelah tiga hari menerima rawatan di wad HSNZ, namun masih memerlukan pemantauan.

“Saya syak mereka keracunan puding buih. Ahli keluarga lain yang tidak memakan pencuci mulut itu tidak mengalami apa-apa simptom,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, siasatan mengenai punca dua beradik itu keracunan makanan sedang dijalankan.

“Kami juga sudah mengambil sampel (puding buih) bagi membantu siasatan,” katanya.

Puding buih merupakan pencuci mulut yang diperbuat daripada telur ayam dan serbuk agar-agar sebelum dimakan bersama sos kastard.

Juadah itu pernah menyebabkan 99 individu keracunan termasuk seorang meninggal dunia di Kuala Terengganu dan Marang pada bulan Ramadan tahun 2020.

Thursday, April 14, 2022

Pesta dangdut cemar kesucian Ramadan di Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUA hari sebelum ketibaan 1 Ra­madan pada Jumaat lalu, penduduk di Terengganu digemparkankan dengan klip video tular mengenai persembahan nya­nyian tidak senonoh di satu daerah iaitu Kuala Terengganu.

Penyebaran video berdurasi 25 saat itu membongkar penganjuran ‘pesta dangdut’ di sebuah hotel di bandar raya itu pada 25 Mac lalu.

Penganjuran persembahan nyanyian dangdut oleh individu berpakaian seksi yang boleh diragui jantina mereka kira-kira 10 hari sebelum ketibaan bulan puasa itu mencetus kemarahan dalam kalangan orang ramai.

Rakyat Terengganu yang ter­kenal dengan budaya dan adab ketimuran juga rata-ratanya tidak berpuas hati dan kurang selesa kerana program kontroversi terbabit yang berlangsung pada ambang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, penganjuran ‘pesta dangdut’ tersebut sememangnya amat dikesali.

“Ia jelas bertentangan dengan Garis Panduan Hiburan Terengganu yang telah diwartakan pada tahun 2020.

“Garis panduan itu sangat jelas dan penganjurannya (tarian dangdut) seolah-olah satu provokasi bagi mencabar ketegasan kerajaan negeri Terengganu,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Mohd. Nor memberitahu, susulan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan polis.

Jelas beliau, tindakan boleh diambil mengikut Enakmen Ke­salahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (Pindaan 2015).

“Siasatan awal mendapati, pihak pengurusan hotel mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran ‘pesta dangdut’ oleh penganjur.

“Tempahan yang dibuat pada 25 Mac lalu didakwa dibuat atas program majlis makan malam tanpa diberitahu terdapat acara persembahan nyanyian dan ta­rian dangdut,” katanya.

Tambah Mohd. Nor, siasatan masih diteruskan dan berharap kejadian itu menjadi pengajaran buat pe­ngusaha hotel dan premis lain di Terengganu.

“Pengurusan premis terlibat seharusnya lebih teliti dalam menerima sebarang tempahan penganjuran program pada masa akan datang.

“Saya difahamkan penganjur merupakan penduduk tempatan. Tidak sepatutnya beri alasan tidak arif mengenai Garis Panduan Hiburan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin berkata, berdasarkan garis panduan itu, pengamal seni yang membuat persembahan di Terengganu perlu berpakaian sopan tidak me­ngira jantina dan agama.

Beliau berkata, persembahan melibatkan artis wanita pula hanya dibenarkan di hadapan khalayak wanita kecuali berunsurkan keagamaan, patriotik dan koir.

“Mereka juga tidak boleh me­lakukan tatarias dan dandanan menyerupai jantina berlainan. Persembahan tarian mengghairahkan juga dilarang.

“Sebarang aktiviti dikaitkan dengan imej lesbian, gay, bisek­sual transgender (LGBT) juga tidak dibenarkan,” ujar beliau.

Wednesday, April 13, 2022

Hotel jangan tipu menu bufet Ramadan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Harga bufet Ramadan yang dianjurkan hotel dan restoran seluruh negara tidak dikawal dan terpulang kepada kebijaksanaan pengguna untuk membuat pilihan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan pemantauan, kadar caj bufet Ramadan didapati telah meningkat pada purata 20 peratus pada tahun ini.

“Kalau ikutkan untuk berbuka puasa, RM20 seorang sudah mencukupi tetapi saya dimaklumkan ada hotel yang mengenakan caj sehingga RM260 seorang bagi bufet Ramadan.

“Biar pun kadar itu dianggap terlalu mahal tetapi saya difahamkan ia masih mendapat sambutan,” katanya kepada ­Kosmo! di sini baru-baru ini.


Rosol berkata, berbuka puasa di hotel dan restoran bukanlah keperluan tetapi kehendak.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna bijaksana memilih bufet Ramadan yang sesuai dengan kemampuan po­ket masing-masing.

“Walaupun harga tidak dika­wal, KPDNHEP masih memantau pakej bufet Ramadan ditawarkan penganjur.

“Menu dan jumlah makanan dan minuman ditawarkan pada iklan perlu disajikan kepada ­pelanggan. Kalau 80 menu, pastikan 80 menu disediakan. Jika janji nasi dagang dan kambing bakar, wajib ada,” katanya semalam.

Tegas Rosol, sekiranya pe­ngan­jur bufet Ramadan gagal menyajikan menu seperti dijanji­kan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Ujarnya, KPDNHEP juga boleh mengambil tindakan sekiranya pengusaha premis makanan menyalah guna terma bufet Ra­madan tanpa memiliki sijil pengesahan halal diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Tuesday, April 12, 2022

Berhabis RM1,000 berbuka puasa di hotel

PETALING JAYA – Meluangkan masa untuk berbuka bersama keluarga, bersiar-siar dan menikmati pelbagai jenis juadah hasil air tangan cef hotel merupakan antara sebab orang ramai sanggup berhabis untuk me­nempah slot bufet Ramadan di Lembah Klang.

 Antara menu yang sering disajikan pada buffet Ramadan termasuk kambing golek, sup tulang, gulai kawah, pelbagai pemanis mulut, makanan laut, masakan kampung dan lain-lain. 

Bagi Faridah Abd. Karim, 54, dia sanggup berhabis antara RM500 hingga RM1,000 kerana baginya saat bersama keluarga adalah momen yang tidak…

Bufet Ramadan laris walaupun mahal

 

PETALING JAYA – Pengusaha hotel di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega apabila bufet Ramadan yang disediakan di premis mereka mendapat sam­butan hangat daripada orang ramai untuk berbuka puasa. 

Walaupun ramai yang masih terkesan ekoran pandamik Co­vid-19 sejak lebih dua tahun lalu, ia tidak menjadi alasan untuk sesetengah pelanggan berbelanja ratusan ringgit demi menikmati pelbagai aneka juadah yang ditawarkan pihak hotel. 

Malah, tinjauan Kosmo! mendapati hampir kebanyakkan hotel yang menyediakan bufet Ramadan telah menerima tempahan penuh daripada pelanggan sejak…

Monday, April 11, 2022

Muka pucat, muntah-muntah selepas makan puding buih

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kegembiraan dua beradik menikmati pu­ding buih ketika berbuka puasa pada Rabu lalu bertukar mimpi ngeri apabila mereka mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada juadah itu.

Kejadian tersebut menyebabkan Muhammad Aqil Rifqi Mohd. Rusnizam, 9, dan adiknya, Nur Azzahra Raisha, 7, terpaksa dikejarkan ke hospital, kira-kira sembilan jam selepas memakan pu­ding buih tersebut.

Ibu mangsa, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, mendakwa, dia membeli puding buih tersebut di Bazar Ramadan Kampung Bukit Tumboh di sini pada pukul 6 petang, 6 April lalu.

“Dua anak saya mula mengalami cirit-birit dan muntah-muntah pada pukul 4 pagi.

“Situasi itu menyebabkan badan menjadi lemah dan muka bertukar pucat menyebabkan kami membawa mereka ke sebuah klinik swasta,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, doktor klinik swasta kemudian meminta Muhammad Aqil Rifqi dan Nur Azzahra Raisha yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh di sini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bayi lima bulan maut, empat parah kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang bayi perempuan berusia lima bulan maut manakala empat termasuk ibu dan kakaknya cedera parah dalam kemalangan melibatkan kereta Perodua Viva dengan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard di Kilometer 51, Jalan Sungai Lerek di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nur Al Ammara Mohamad Budiman meninggal dunia manakala ibunya, Siti Fatimah Abdullah, 34, mengalami pendarahan kepala dan kakaknya, Nur Al Jannah pula patah kaki kiri.

Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kenderaan Toyota Alphard, Aiza Romainor, 40, cedera parah di bahagian kepala manakala bayi perempuannya, Sharifah Amanda Zuhaira Syed Zuanda, 1, pula patah paha kiri.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian kenderaan Toyota Alphard dipandu Aiza dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Skudai, Johor dari Kota Bahru, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Viva dipandu suami Siti Fatimah, Mohamad Budiman Abdul Ghani, 34, yang dalam perjalanan pulang ke Tanah Merah, Kelantan dikatakan cuba memotong sebuah lori di hadapannya tetapi gagal.

“Kereta itu kemudiannya merempuh kenderaan Toyota Alphard yang berada di laluan bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kemalangan itu menyebabkan Mohamad Budiman dan anak perempuannya keduanya serta dua anak lelaki Aiza mengalami kecederaan ringan.

Tambah beliau, mayat Nur Al Ammara telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini manakala lapan yang cedera termasuk empat parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama.

“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Naik turun pejabat menteri, masalah rumah tak selesai

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seramai 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama, di sini merayu campur tangan kerajaan negeri Terengganu bagi menyelesaikan isu perumahan mereka yang telah terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Wakil pembeli, Abdul Halim Mohamed, 33, mendakwa, mereka membeli rumah teres kos rendah itu pada harga antara RM73,000 hingga RM145,000 pada tahun 2016.

“Kami dijanjikan boleh memasuki rumah dalam tempoh dua tahun, tetapi syarikat pemaju menghentikan kerja-kerja pembinaan dengan alasan menghadapi masalah kewangan.

“Banyak kali kami turun naik pejabat agensi berkenaan termasuk pejabat Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) dan Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) untuk mendapatkan pembelaan,” dakwanya ketika ditemui bersama pembeli-pembeli lain di tapak pembinaan taman perumahan tersebut semalam.

Abdul Halim berkata, mereka juga sedih apabila mendapati kebanyakan rumah yang terbengkalai itu telah mengalami banyak kerosakan.

“Tambah merisaukan saya berlaku hakisan sehingga membentuk anak sungai di tengah-tengah tapak projek pembinaan tersebut,” katanya.

Seorang pembeli, Wan Mohd. Syukri Wan Kasmawi, 36, mendakwa, dia dan rakan-rakan yang senasib dalam isu itu amat terbeban kerana sudah mula membayar ansuran bulanan pembiayaan bank.

“Saya merayu belas ihsan kerajaan negeri Terengganu agar dapat membantu kami yang amat terkesan dengan masalah ini,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Rokiah Mohamad, 46, pula kecewa ke­rana impiannya untuk memiliki rumah sendiri lebur ekoran sikap tidak bertanggungjawab syarikat pemaju terbabit.

“Sepatutnya kami boleh menduduki rumah ini pada 2018, tetapi janji tinggal janji walaupun sudah masuk empat kali raya Aidilfitri.

“Usia pun sudah hampir 50 tahun. Saya masih menaruh harapan dapat memiliki rumah sendiri sebelum bersara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Dua penjenayah ditembak merupakan anggota sindiket dadah terbesar di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua penjenayah yang ditembak mati polis di Jalan Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini pada kelmarin dikenal pasti sebagai anggota sindiket dadah antara terbesar di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kedua-dua lelaki tersebut dikenali sebagai Pendi Buaya, 25, dan Nuar Taman, 29, merupakan suspek utama kes pembunuhan seorang penganggur berusia 41 tahun yang ditembak mati di Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada 5 Mac lalu.

“Mereka sebelum ini diburu kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tersebut yang dipercayai bermotifkan pertikaian berkaitan dadah.

“Kedua-dua penjenayah yang ditembak mati tersebut juga dipercayai sudah 10 tahun terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini,” katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Siasatan Jenayah Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! pada 7 Mac lalu melaporkan seorang lelaki maut akibat terkena dua das tembakan dilepaskan dua lelaki bermotosikal dalam kejadian pada 5 Mac lalu di tepi jalan berhampiran Kampung Pasir Tinggi, dekat sini.

Kedua-dua suspek kes pembunuhan itu kemudiannya mati ditembak sepasukan polis ketika cuba melarikan diri dengan kereta Honda Civic kemudiannya pada pukul 11.30 pagi, Selasa lalu.

Rohaimi berkata, hasil pemeriksaan pada tubuh kedua-dua suspek kenderaan Honda Civic dinaiki mereka menjumpai dua pucuk pistol jenis Revolver 0.38 dan 20 paket dadah jenis syabu dan 14 botol dadah jenis heroin. – KOSMO! ONLINE

Sunday, April 10, 2022

ACP Suffian Ketua JSJ Terengganu baharu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Suffian Sulaiman dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan ACP Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah (Latihan, Peperiksaan dan Kompetensi) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Majlis serah tugas antara Suffian dan Mohd. Marzukhi disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa.

Rohaimi berkata, kadar indeks jenayah di Terengganu berjaya dikawal baik sewaktu JSJ negeri diterajui Mohd. Marzukhi.

Beliau berkata, sebanyak 150 kes jenayah curi, pecah rumah (120 kes) dan curi motosikal (64 kes) dilaporkan di Terengganu sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

“Ia masih rendah jika dibandingkan kontinjen negeri-negeri lain. Saya berharap momentum baik ini diteruskan Ketua JSJ baharu (Suffian),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan pemakaian pangkat ACP kepada Suffian yang sebelum ini berpangkat Superintendan. – KOSMO! ONLINE

Peniaga jual ayam mahal kena kompaun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kesalahan mempamerkan tanda harga tidak tepat menjadi antara punca 11 peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga di sini dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Dalam pemeriksaan pada pukul 10 pagi itu, kesemua peniaga ayam dikompaun RM500 mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan pasukan penguatkuasaan agensi itu mendapati peniaga terlibat menjual sekilogram ayam pada harga RM9.30 hingga RM10 iaitu melebihi harga siling ditetapkan iaitu RM8.90.

“Rata-rata meletakkan tanda harga RM8.90 sekilogram di gerai jualan masing-masing tetapi menjual (ayam) dengan lebih mahal.

“Mereka juga gagal mengemukakan dokumen yang menyokong dakwaan menerima ayam standard pada harga RM8.70 daripada pemborong,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 37 saat tentang keluhan seorang peniaga Pasar Chabang Tiga yang mendakwa teraniaya kerana menjadi sasaran dikompaun KPDNHEP tanpa mengetahui isu sebenar kenaikan harga ayam berkenaan.

Saharuddin berkata, kompaun RM500 yang dikenakan kepada peniaga ayam terbabit paling minimum atas budi bicara sedangkan undang-undang memperuntukkan denda maksimum RM100,000. – KOSMO! ONLINE

Tekong bot nelayan dikhuatiri hilang di perairan Pulau Kapas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN






MARANG – Seorang lelaki warga emas yang merupakan tekong bot nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya bersama dua awak-awak lain karam di perairan Pulau Kapas di sini semalam.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, dua awak-awak berusia 48 dan 60 tahun berjaya menyelamatkan diri namun mangsa, Wan Mustapha Ayob, 62, masih gagal ditemui.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang menangkap ikan pada kedudukan lapan batu nautika dari Pulau Kapas.

“Bot nelayan dinaiki mereka tiba-tiba telah karam sebelum tenggelam di perairan tersebut.

“Dua awak-awak yang memakai jaket keselamatan sempat diselamatkan nelayan lain namun tekong bot (Wan Mustapha) gagal ditemui,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, operasi mencari dan menyelamat Wan Mustapha sedang giat dijalankan APMM menggunakan aset Kapal Maritim (KM) Redang.

Tambah beliau, nelayan tempatan turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa. – KOSMO! ONLINE


Belanja kasar jaga anak OKU

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah tabah membuat pelbagai pekerjaan sam­pingan untuk membantu suami menambah pendapatan bagi membesarkan empat anak termasuk seorang golongan orang kelainan upaya (OKU).

Aisyah Jusoh, 39, berkata, anak sulungnya, Muhammad Amaluddin Wafi A. Kahalib, 16, menghidap penyakit cerebral palsy yang menyebabkannya terlantar sejak lahir.

Menurutnya, suami, A. Kahalib Abdullah, 42, hanya bekerja sebagai pegawai keselamatan de­ngan pendapatan kasar RM1,200 sebulan.

“Bagi membantu suami, saya mengambil upah mencanting batik dan mengusahakan kerepek pisang dan aiskrim Malaysia.

“Selain Amaluddin, kami mempunyai tiga lagi anak berusia antara satu setengah tahun hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Chendering di sini baru-baru ini.

Aisyah berkata, kos perubatan, lampin pakai buang dan makanan Muhammad Amaluddin Wafi menelan belanja lebih RM700 sebulan.

“Kami ada menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bekalan susu khas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Perbelanjaan bulanan kami memang agak tinggi, kalau kehabisan duit untuk membeli lauk, saya akan masak nasi goreng kosong untuk kami anak beranak mengisi perut sewaktu bersahur dan berbuka puasa,” ujarnya.

Aisyah berkata, ketika ini, dia pening kepala apabila tidak mampu untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta yang sudah tamat tempoh lebih sebulan lalu.

Katanya, dia amat memerlukan kereta itu untuk menghantar tempahan kerepek dan aiskrim pelanggan selain membawa Muhammad Amaluddin Wafi menjalani rawatan berkala sebanyak empat kali sebulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan di akaun bank CIMB milik Aisyah bernombor 7613833686 atau menghubunginya di talian 016-9339389.

Saturday, April 9, 2022

Geng plastik hitam tak pernah serik

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Umat Islam terutama peniaga makanan ditegah membantu memberi makanan atau menjual di siang hari pada bulan Ramadan ke atas mana-mana individu yang wajib berpuasa tanpa keuzuran.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, amalan tolong-­menolong untuk melakukan dosa sememangnya dilarang di dalam al-Quran berdasarkan surah Al-Maidah.

Menurutnya, menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah diwajibkan kepada setiap individu Muslim yang sudah akil baligh, sihat dan tidak bermusafir.

“Umat Islam tanpa keuzuran atau bermusafir adalah berdosa sekiranya meninggalkan kewajipan berpuasa pada Ramadan.

“Berbanding mereka yang tidak mampu berpuasa kerana uzur atau tua maka dikehendaki mengeluarkan fidyah untuk fakir miskin dengan secupak makanan ruji mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.


“Jadi, kita suka menasihatkan kepada peniaga makanan supaya tidak menjual kepada umat Islam yang diyakini tidak berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa keuzuran yang diharuskan berbuka puasa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di sekitar premis makanan diusahakan orang Islam terutama di sekitar Bayan Baru dan pusat bandar George Town, di sini seawal pukul 11 pagi semalam mendapati trend bungkusan plastik hitam masih kekal dipraktikkan pemilik premis terbabit.

Pelanggan juga dilihat tanpa segan silu membawa keluar bungkusan hitam selain memi­lih memakai topi keledar dan pelitup muka (face mask).

Kelibat hampir 10 pelanggan berbangsa Melayu kelihatan sekitar pukul 12 tengah hari selain ada yang dipercayai menggunakan khidmat penghantar makanan terus ke pintu rumah.

Di Kuala Terengganu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Bidin berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebahagian besar lokasi penjualan makanan kepada kaki ponteng puasa di seluruh negeri ini.


“Berdasarkan pengalaman tahun-tahun lalu, mereka bukan sahaja makan dan minum secara terbuka malah menjadikan lokasi itu bagi melepaskan gian menghisap rokok pada siang hari pada bulan Ramadan.

“JHEAT telah membentuk skuad khas memantau dan menyerbu lokasi panas terbabit bagi membanteras gejala ponteng puasa pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, skuad khas itu terdiri daripada 171 Pegawai Penguat Kuasa Syariah (PPS) dan 85 anggota sukarelawan.

Tambahnya, semua premis makanan di Terengganu juga te­lah dilarang untuk beroperasi sebelum pukul 3 petang sepanjang Ramadan. -KOSMO! ONLINE

Friday, April 8, 2022

15,600 belia tiada kerja tetap di Terengganu

 

KUALA TERENGGANU – Berdasarkan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu, dianggarkan 15,600 orang muda di negeri ini masih belum mempu­nyai pekerjaan tetap.

Gaji tidak menetapi jangkaan dan tekanan kerja tinggi menjadi antara alasan utama orang muda tidak gemar untuk makan gaji.

Kajian pusat pembangunan itu juga menunjukkan semakin ramai orang muda berminat menjadi penghantar makanan dan barangan selain pempe­ngaruh di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation, Hamdan Ibrahim mengakui sukar mencari anak muda untuk bekerja di 13 ladang kelapa sawit milik syarikat itu.

Katanya, tawaran gaji bulanan mencecah RM4,000 dan pelbagai insentif menarik lain seperti kuarters selesa dan pengangkutan percuma masih belum mampu memikat golongan muda.

“Kami perlu sekurang-kurangnya 800 anak tempatan untuk mengisi kekosongan di ladang sawit. Kalau boleh mahu sahut saranan kerajaan untuk mengurangkan pengantungan terhadap pekerja asing,” katanya.

Seorang pengusaha restoran, Mohd. Hanafi Enet Ghani pula berkata, dia menghadapi kesukaran untuk mencari pekerja terutama sejak penularan Covid-19.

“Saya perlu sekurang-kurang 10 pekerja untuk membolehkan restoran saya di Jalan Hiliran di sini beroperasi dengan efektif.

“Begitupun, saya sukar memperoleh pekerja muda tempatan walaupun menawarkan gaji minimum RM1,200 sebulan di sam­ping insentif lain yang menarik seperti makan percuma, caruman Kumpulan Wang

Simpanan Pekerja dan bonus keuntungan harian walaupun untuk jawatan tukang cuci pinggan,” katanya.

Ujarnya, tambah memeritkan, pekerjanya yang berusia antara 18 hingga 25 tahun rata-ratanya hanya bertahan bekerja tidak sampai empat bulan.

Tambahnya, kebanyakan pekerja muda terutama dari kawasan bandar sukar untuk menyerap tekanan dan mudah berkecil hati apabila ditegur atau dinasihati.

Gaji RM4,000 gagal pikat orang muda

PETALING JAYA – Biarpun kadar pengangguran negara mencatatkan 687,600 orang pada Disember tahun lalu, namun realitinya masih ramai majikan pening kepala memikirkan cara untuk mendapatkan tenaga pekerja muda. 

Gaji yang ditawarkan antara RM1,200 hingga RM4,000 sebulan selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), malah pemberian bonus, tetapi semua itu masih gagal memikat hati mereka. 

Majikan dalam industri makanan, peruncitan, perkhidmatan dan perladangan yang pa­ling ramai mengadu sukar untuk mencari pekerja muda. 

Di George Town, Pulau…

Thursday, April 7, 2022

Isteri ambil alih tugas jahit jebak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang suri rumah bagaikan hilang arah apabila suami yang diharapkan untuk menjana pendapatan keluarga selama ini terpaksa terlantar apabila dua jari kaki kanannya terpaksa dipotong kerana pe­nyakit ken­cing manis.

Nor Afida Akma Mohamad, 43, berkata, suaminya, Mohd. Nor Aziz, 45, sebelum ini giat me­nyiapkan tempahan sarung pe­rangkap burung atau jebak daripada pelanggan bagi menyara keluarga.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka kejadian kecil yang berlaku di rumah mereka di Pantai Ali di sini pada 16 Mac lalu telah mengakibatkan impak yang sangat besar dalam kehidupan mereka.

“Semuanya bermula apabila suami saya terpijak serpihan kaca mangkuk yang pecah di dapur rumah.

“Kami ingatkan tidak serius sehinggalah kaki kanannya mula membengkak dan bernanah pada beberapa hari kemudian sebelum kami pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Nor Afida Akma, doktor kemudian menasihatkan mereka pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Sabtu lalu kerana keadaan kaki yang agak teruk.

Tambahnya, luluh hatinya apabila dimaklumkan dua jari kaki suaminya tidak dapat di­selamatkan dan perlu dibuang ekoran komplikasi diabetes selain bagi mengelak berjangkit ke bahagian lain pula.

“Pakar perubatan hospital menasihatkan supaya kaki kanan suami saya dipotong hingga ke paras buku lali tetapi suami saya merayu cukuplah sekadar dua jari kakinya yang terpaksa dikorbankan buat masa ini.

“Dugaan ini betul-betul mengejutkan kami kerana setahu saya baru dua tahun suami menghidap diabetes dan ia tidak serius serta masih terkawal,” katanya.

Ujar Nor Afida Akma, masalah kesihatan dihadapi suaminya kini menyebabkan pembuatan sarung perangkap burung atau jebak yang diusahakan mereka sejak dua tahun lalu tergendala.

Jelas beliau, jebak merupakan satu-satunya mata pencarian mereka untuk menyara keluarga termasuk tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun yang masih bersekolah.

“Sejujurnya saya tidak dapat meneka masa depan kami. Simpanan kami tidak banyak, kos perubatan tidak termasuk pembedahan berjumlah RM530 sebelum ini pun dilunaskan dengan belas ihsan kawan-kawan.

“Mungkin saya kena mengambil alih tanggungjawabnya meneruskan perniagaan jebak bagi menyara keluarga,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan menerusi akaun bank Mohd. Noor bernombor 2-00-6561-00013992-8 (AgroBank) atau menghubungi Nor Afida Akma di talian 011-3659 9550. -KOSMO! ONLINE

Wednesday, April 6, 2022

Empat juruteknik maut kemalangan di Kuala Nerus

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Empat juruteknik sebuah syarikat penyaman udara maut selepas van dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan lain termasuk bas ekspres di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Ikan di sini hari ini.

Keempat-empat mangsa iaitu Syed Mohd. Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd. Sahlan, 37, dan pemandu van yang masih belum dikenal pasti meninggal dunia dalam kemalangan pada pukul 6.22 petang itu.

Pemandu kereta Proton Wira, Muhammad Fazil Hussin, 33, dan seorang lelaki yang merupakan penumpang kereta Proton Persona pula cedera parah.

Seorang saksi, Syakirah Baharin, 26, berkata, sewaktu kejadian, dia dan 12 penumpang lain sedang menaiki bas ekspres dalam perjalang ke Jertih, Besut dari Temerloh, Pahang.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, dia mendakwa ternampak van dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Setiu cuba memotong kereta Proton Wira tetapi gagal.

“Van itu kemudiannya telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh bas dinaiki kami.

“Impak kemalangan itu turut melibatkan kereta Proton Wira dan kereta Proton Persona,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa tersepit di dalam van yang remuk teruk.

Beliau berkata, mayat empat juruteknik berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat pada pukul 9.20 malam.

“Dua mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

APMM tahan enam bot Vietnam, rampasan RM7 juta

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bot nelayan Vietnam terus menunjukkan belangnya cuba mencerobohi perairan negara pada ambang Ramadan tahun ini.

Begitupun Maritim Malaysia (APMM) cekap menahan enam bot nelayan Vietnam yang dikesan berada di perairan Terengganu dari Khamis hingga Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot nelayan itu ditahan pada kedudukan 68.5 hingga 130 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

“Kesemua bot nelayan Vietnam itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Redang dan KM Gemia yang sedang melakukan rondaan penguat kuasaan di perairan Terengganu.

“Tangkapan kali ini melibat 57 nelayan Vietnam yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 61 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Muhamad Suffi berkata, dua daripada 57 suspek itu dikesan positif Covid-19 dan ia kes pertama melibatkan tahanan nelayan Vietnam sejak penularan Covid-19 pada awal tahun 2020.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, APMM berjaya merampas 15 tan ikan pelbagai jenis, 50 kilogram sotong kering, 3,000 liter minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan enam bot yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM7 juta. – KOSMO! ONLINE.