Translate

Monday, September 28, 2015

1 daripada 3 orang Malaysia gemuk

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD. AZLI ADLAN dan MOHD. HAFIZI AHMAD


KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga penduduk negara ini mempunyai berat badan berlebihan menjadikan rakyat Malaysia terus kekal sebagai negara paling ramai orang gemuk di Asia Tenggara dan keenam di Asia Pasifik.
Malah, Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 73 peratus kematian di hospital kerajaan ketika ini adalah disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kebanyakannya berpunca daripada masalah obesiti.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya di Asia Tenggara, Malaysia adalah negara yang mempunyai jumlah penduduk gemuk tertinggi iaitu seramai 13.8 juta orang diikuti Thailand dan Singapura.
“Di negara Asia Tenggara ini, memang Malaysia yang paling gemuk, 44.5 peratus penduduk mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih daripada 25.
“Orang Malaysia makan enam kali sehari, bermula dengan sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam, tengah malam sehinggalah lewat pagi. Kita pun makan banyak makanan berlemak dan kurang bersenam.


“Gaya hidup masyarakat sekarang pun sudah berubah, sekarang mereka ba­nyak tengok komputer dan media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas me­nyerahkan 23 lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata, masalah penyakit NCD seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti serta strok amat membimbangkan dan ia boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit serius yang lain.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pe­ngarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustafa berkata, Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2011 mendapati, 44.5 peratus rakyat Malaysia me­ngalami masalah kegemukan dengan 15.1  daripadanya tergolong dalam kategori obesiti.

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan 14 peratus berbanding tahun 2006 dan perlu diberi perhatian serius kerana mengatasi kadar kegemukan global iaitu 30 peratus.

“Tambah membimbangkan peratusan remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang mengalami obesiti berada  sekitar 6.1 peratus.

“Mereka berpotensi membesar sebagai individu yang berisiko tinggi mengalami pelbagai masalah kesihatan berikutan gaya hidup yang tidak sihat sejak kecil,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Feisul Idzwan menjelaskan, mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Dunia, individu lelaki dan wanita dianggap berada ditahap obesiti sekiranya BMI mereka melebihi 30.

“Nisbah satu daripada lima atau 206 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes, manakala 50 peratus kematian di negara ini disebabkan oleh penyakit kardiovaskular iaitu serangan jantung dan strok.

“Individu yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi pula mempunyai risiko sekurang-kurangnya 50 peratus untuk mendapat strok dan penyakit hati,” katanya.
Feisul Idzwan berkata, pengambilan makanan yang tinggi lemak, gula dan garam secara keterlaluan menjadi punca utama peningkatan masalah kegemukan di negara ini.

Karnival India Muslim terbesar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI


SHAH ALAM – Lebih 10,000 keluarga India Muslim di seluruh negara membanjiri Pusat Sukan Nasional Panasonic, Seksyen 21 di sini semalam bagi memeriahkan program Karnival Hari Keluarga India Muslim yang julung-julung kali diadakan.
Penasihat program, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, program itu berjaya mengumpulkan komuniti India Muslim dari seluruh negara termasuk Perlis, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor sehingga melebihi sasaran awal iaitu sekitar 7,000 orang.
Katanya, objektif program tersebut adalah untuk menyatukan semula komuniti India Muslim tempatan yang kebanyakannya jarang bersua muka kerana kesibukan mencari rezeki di seluruh pelusuk negara.
"Komitmen mengusahakan perniagaan di kawasan-kawasan bandar, pekan dan sedikit di kawasan kampung menyebabkan kami sukar bertemu. Oleh itu, program seperti ini membolehkan komuniti India Muslim bertemu dan mengukuhkan kembali hubungan antara kami.
"Daripada sambutan yang ditunjukkan pada hari ini (semalam) yang amat memberangsangkan, kami akan jadikan ia sebagai acara tahunan dan dianjurkan di lokasi yang lebih besar dan gah seperti Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut di sini semalam.
Noorul Hassan yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu, pihaknya turut merancang untuk menubuhkan Dewan Perhimpunan India Muslim pada masa akan datang.
"Dewan Perhimpunan India Muslim akan menjadi wadah untuk komuniti India Muslim di negara ini berkumpul dan merancang agenda untuk kepentingan komuniti ini, agama dan negara," ujarnya.
Sementara itu, penyelaras program, Hakimsa Abdul Karim berkata, pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan karnival yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu.

“Antara program yang telah kita atur ialah sukaneka untuk keluarga dan kanak-kanak, pameran, gerai-gerai jualan serta zoo mini yang mempamerkan sebanyak 20 jenis haiwan seperti burung, ular dan anak buaya.

“Selain itu, keunikan program ini juga ialah mengumpulkan lebih daripada 20 pengusaha restoran makanan India Muslim seperti Restoran Syed, Q Bistro, Ali Corner, Restoran Khalifa, SS Ali Popiah dan mereka menyajikan masakan istimewa daripada restoran masing-masing khusus untuk para tetamu yang hadir,” ujarnya.

Ujar beliau, karnival itu turut dimeriahkan dengan acara ca­butan bertuah yang menyediakan hadiah bernilai lebih RM30,000 seperti barangan kemas, barangan elektrik dan te­lefon bimbit.


Wednesday, September 23, 2015

Harga tayar patut lebih murah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Pengeluar dan pengimport didesak agar menurunkan harga tayar kenderaan berikutan kejatuhan harga komoditi getah dan petroleum yang merupakan bahan asasnya sejak setahun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi mendakwa, pihaknya percaya harga tayar kenderaan pelbagai jenis di negara ini dijual di pasaran tempatan pada masa ini sekurang-kurangnya 20 peratus lebih tinggi daripada sepatutnya.

"Tinjauan mendapati tayar kenderaan bagi semua variasi dan jenama kekal mahal walaupun kos pembuatannya semakin murah berikutan penurunan harga bahan mentahnya iaitu getah asli, getah tiruan, besi keluli dan karbon hitam sejak tahun lalu.

"Malah cukai yang dikenakan kerajaan ke atas tayar kenderaan sudah turun sejak pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pada April lalu iaitu enam peratus berbanding 10 peratus mengikut Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Samsudin berkata, penurunan harga tayar memberi kesan besar kepada rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini.

Beliau mendakwa, ia bukan sahaja mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan persendirian malah mampu menjadi pemangkin kepada harga bahan keperluan dan makanan yang lebih murah berikutan kos pengangkutan yang lebih efektif.

"Persatuan pengeluar tayar tidak boleh memberi alasan penyusutan nilai ringgit untuk enggan menurunkan harga tayar kerana situasi itu baru sahaja berlaku dan bersifat sementara.

"PKPKL juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memainkan peranan menstabilkan harga tayar," katanya.

Monday, September 21, 2015

489 jemaah haji kumpulan terakhir berlepas ke Mekah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia yang terdiri daripada 489 orang selamat berlepas ke tanah suci, Mekah dengan menaiki pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dekat sini semalam.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, mereka  merupakan sebahagian daripada jemaah haji muassasah tambahan selepas negara menerima 2,100 lagi kuota daripada kerajaan Arab Saudi untuk musim haji tahun ini.

“Mereka termasuk 60 jemaah menggunakan perkhidmatan syarikat swasta yang hampir terkandas sebelum ini kerana masalah dokumentasi.

“Namun TH telah mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka dan Alhamdulillah kita berjaya menyelesaikan masalah itu berikutan hubungan erat kerajaan Malaysia dengan pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya selepas hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji tersebut di Kompleks TH Kelana Jaya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Sementara itu, salah seorang jemaah haji dalam kumpulan KT49 tersebut, Rahim Tamel, 48, berkata, dia dan isterinya, Hajiah Idris, 49, memberitahu, mereka menerima panggilan daripada TH untuk menunaikan ibadah haji ketika berada di rumah adiknya di Subang Jaya di sini Jumaat lalu.

“Saya dan isteri menunggu hampir 10 tahun dan sejak beberapa tahun lalu kami telah mengikuti kursus haji dan membuat rayuan kepada pengurusan TH.

“Alhamdulillah, terpilih menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah merupakan satu rezeki dan kami berterima kasih kepada TH,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kerajaan Arab Saudi menambah 2,100 lagi kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini sebagai ihsan di atas insiden tragedi runtuhan kren di Masjidilharam pada 11 September lalu.

Penambahan itu menyaksikan kuota jemaah haji Malaysia pada musim ini bertambah kepada 24,420 orang berbanding pada asalnya 22,320 orang.

Sunday, September 20, 2015

Kumpulan jemaah haji terakhir selamat berlepas


PETALING JAYA - Kumpulan 489 jemaah haji Malaysia terakhir selamat berlepas ke tanah suci, Mekah dengan pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang hari ini.
Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ia termasuk 60 jemaah yang hampir terkandas berikutan masalah dokumentasi baru-baru ini.
"Turut serta dalam kumpulan jemaah haji KT49 itu juga ialah sebahagian daripada 2,100 lagi kouta tambahan yang diperolehi daripada kerajaan Arab Saudi.
"Ia sebagai ihsan di atas insiden tragedi runtuhan kren di Masjidilharam pada 11 September lalu," katanya selepas hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji tersebut di Kompleks TH Kelana Jaya di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, September 18, 2015

INFO Bacaan IPU

Setakat pukul 5 petang semalam

Lokasi                              IPU

Kuching,Sarawak       (155)
Samarahan, Sarawak     (155)
Sri Aman, Sarawak     (154
Sarikei, Sarawak       (137)
Sibu, Sarawak                 (130)
Bandar Raya Melaka     (112)
Kapit, Sabah                    (112)
Kemaman, Terengganu   (112)
Tawau, Sabah            (110)
Bukit Rambai, Melaka   (106)
Kuantan, Pahang       (104)
Shah Alam, Selangor   (103)

INFO Indeks IPU
0 dan 50 - baik
51 hingga 100 - sederhana
101 hingga 200 - tidak sihat
201 hingga 300 - sangat tidak sihat
300 ke atas - berbahaya

Sumber: Jabatan Alam Sekitar



Waris mangsa dapat RM1.1 juta

MEKAH – Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menitahkan pemberian wang pampasan seba­nyak 1 juta riyal (RM1.1 juta) kepada keluarga setiap mang­sa yang maut dalam tragedi runtuhan kren di Masjidilharam pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA) semalam, selain pampasan kepada mangsa terkorban, wang pampasan itu akan turut diberikan kepada jemaah yang cedera dan mengalami kecacatan kekal akibat tragedi berdarah itu.
Katanya, sebanyak 500,000 riyal (RM550,000) pula akan diberikan kepada mangsa yang mengalami kecederaan ringan.
Dalam tragedi menyayat hati itu, dilaporkan seramai 107 jemaah haji dari pelbagai negara terbunuh, manakala hampir 400 orang lagi cedera.
Dengan jumlah tersebut, ini bermakna Arab Saudi dijangka perlu membayar wang pampasan hampir 307 juta riyal (RM307 juta) kepada semua mangsa.

Setakat semalam, Lembaga Tabung Haji mengesahkan lima jemaah Malaysia terkorban, 10 orang cedera, dua hilang dan seorang lagi selamat selepas tersesat.

Lima jemaah Malaysia yang terkorban ialah Zainun Taha, 69, Rohana Ismail, 54, Munah Jusoh, 74, Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37 dan Rusiah Suar, 56.

Dua lagi jemaah Malaysia yang masih belum ditemui ialah Abdul Habib Lahman, 68 dan Shahidan Saad, 52.

Selain itu, SPA turut melaporkan Raja Salman menawarkan jemputan khas Diraja Arab Saudi untuk menjalani ibadah haji pada tahun depan sekiranya mangsa yang terce­dera tidak dapat meneruskan ibadah Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Malah, katanya, dua waris anggota keluarga yang terkorban juga akan menerima jemputan khas tersebut bagi menunaikan haji bagi tahun 1437H.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi akan mengeluarkan visa khas untuk ahli keluarga yang ingin menjaga mangsa yang ce­dera dan dirawat di sini.

Selain Malaysia, antara mangsa yang terkorban termasuklah rakyat Arab Saudi, Iran, Nigeria, Indonesia dan India.

Dalam pada itu, waris Zainun menganggap wang pampasan RM1.1 juta yang dijanjikan kerajaan Arab Saudi sebagai satu amanah yang ditinggalkan allahyarham dan perlu diuruskan dengan baik.

Anak sulung mangsa, Kamarul Azuan Abu Bakar, 46, berkata, beliau berhajat menggunakan sebahagian daripada wang pampasan itu untuk membawa ke­semua ahli keluarganya beribadah dan menziarahi pusara ibunya di tanah suci Mekah.

“Setakat ini, kami hanya mendengar berita tersebut (pemberian pampasan) menerusi media dan tiada lagi pengumuman rasmi daripada kedutaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Thursday, September 17, 2015

Tutup sekolah jika IPU cecah 200


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURUL NAFISAH MAZLAN

KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah yang terletak di kawasan jerebu teruk di seluruh negara diarah untuk menghentikan sesi pem­belajaran serta-merta sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Kementerian Pendidikan juga mengarahkan agar aktiviti-aktiviti luar bilik darjah juga perlu dihentikan sebaik sahaja bacaan IPU mencecah 150 selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Kementerian Pendidikan sentiasa memandang serius perkembangan jerebu yang melanda negara ketika ini dan memantau status terkini bacaan IPU di kawasan-kawasan yang bacaannya melebihi 100.

“Pihak sekolah perlu menghubungi ibu bapa murid-murid yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu selain merujuk mereka dengan segera di pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu semalam.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pendidikan turut mengingatkan pengetua dan guru besar sekolah agar sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing melalui aplikasi telefon bimbit MyIPU atau laman web Jabatan Alam Sekitar di www.doe.gov.my.

Sementara itu, pakar perunding kesihatan di Hospital Pakar Senawang di Negeri Sembilan, Dr. Zulkornain Ahmad berkata, keadaan jerebu boleh menyebabkan orang ramai mengalami penyakit berkaitan pernafasan.

Menurut beliau, penyakit itu akan lebih cepat menyerang individu yang mempunyai antibodi lemah atau mereka yang ada sejarah perubatan berkaitan.

“Udara ketika jerebu amat berbahaya kerana ketika bernafas, manusia bukan sahaja menyedut gas oksigen tetapi termasuk bahan-bahan asing yang terkandung dalam udara.

“Organ penapis seperti hidung dan tekak tidak mampu menyekat 100 peratus apa yang disedut dari udara,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jerebu: 2,045 sekolah dibuka semula hari ini

KUALA LUMPUR – Semua 2,045 sekolah di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ditutup Selasa lalu akibat keadaan jerebu akan dibuka semula pada hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, keputusan untuk membuka semula sekolah-sekolah tersebut dibuat selepas meneliti bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri-negeri terbabit setakat pukul 4 petang semalam yang semakin baik dan telah menurun melebihi bacaan 150.
“Walau bagaimanapun, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah terlibat hendaklah terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.
“Semua pihak berkenaan boleh mengambil tindakan sewajarnya di peringkat masing-masing berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan iaitu segala aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 150 dan sekolah-sekolah perlu ditutup sekiranya bacaannya berada di tahap sangat tidak sihat iaitu melebihi 200,” kata kenyataan itu semalam.

Kementerian Pendidikan juga menasihatkan ibu bapa tidak perlu menghantar anak-anak mereka yang menghadapi masalah kesihatan akibat jerebu ke sekolah namun, perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah.

Kosmo! kelmarin melaporkan, kesemua sekolah yang terpaksa ditutup akibat jerebu semakin teruk pada Selasa lalu melibatkan 1.523 juta pelajar akan dibuka semula sekiranya IPU di kawasan terlibat turun di bawah bacaan 150.

Wednesday, September 16, 2015

Jangan jual, sewa rumah Rumawip

KUALA LUMPUR – Pembeli projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) diingatkan agar tidak melanggari syarat dengan menjual dan menyewakan hartanah tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku ­Adnan Tengku Mansor berkata, program Rumawip yang menawarkan rumah mampu milik pada harga di bawah RM200,000 adalah inisiatif kerajaan untuk membantu penduduk berpendapatan rendah dan sederhana bagi memiliki kediaman sendiri.

Katanya, jika mengikut harga pasaran semasa, nilai hartanah untuk kawasan strategik seperti Bandar Tun Razak tidak mampu dimiliki golongan terbabit kerana berharga antara RM600 hingga RM700 untuk sekaki persegi (0.093 meter persegi).

“Namun bagi membantu warga kota, kita bekerjasama dengan pemaju dan menawarkan unit pangsapuri seluas 74.32 meter persegi ini pada harga serendah RM150,000.
“Saya minta jangan jual, sewa dan spekulasi hartanah ini,” katanya ketika melancarkan sesi pengundian projek Rumawip, Residensi RazakMas di Bandar Tun Razak di sini semalam.

GLIC labur keuntungan di Malaysia

Oleh TURMADZI MADUN, SUHANA MD. YUSOP, MOHD. AZLI ADLAN dan NOR SYARIZA MUHD. TAHIR


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa pulang keuntungan daripada pelaburan mereka berjumlah RM522 bilion di luar negara dengan me­labur semula di Malaysia.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak negara pulih daripada krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998 banyak GLC dan swasta telah berjaya mengembangkan perniagaan serta mempertingkatkan pelaburan mereka ke luar negara sehingga jumlahnya kini lebih besar daripada pelaburan langsung asing di Malaysia.
“Setakat Jun lalu, Malaysia merupakan pengeksport bersih modal dengan pelaburan langsung di luar negara adalah berjumlah RM522 bilion, berbanding pelaburan langsung asing berjumlah RM477 bilion.
“Kebanyakan syarikat tersebut telah memperoleh keuntungan daripada pelaburan yang dibuat dan inilah masa untuk mereka membawanya pulang ke dalam negara,” katanya pada sidang akhbar khas Langkah-langkah Proaktif Ekonomi di sini semalam.


Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Kata Najib, saranan membawa pulang keuntungan ke dalam negara sebagai salah satu langkah kerajaan bagi menstabilkan pasaran kewangan, menyokong aktiviti perniagaan dan mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global.

“Bagi menstabilkan pasaran kewangan, GLC dan GLIC adalah digalakkan untuk menzahirkan keuntungan pelaburan di luar negara dengan melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi di dalam negara.

“Syarikat swasta juga digesa untuk mengambil langkah serupa,” katanya.

Najib memberitahu, kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah proaktif lain sebagai inisiatif awal jangka pendek dan sederhana untuk melindungi serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Katanya, antara langkah tersebut adalah dengan mengaktifkan semula ValueCap yang ditubuhkan pada 2002.

Katanya, ValueCap diaktifkan dengan dana sebanyak RM20 bilion berikutan kejayaan entiti tersebut dalam menstabilkan pasaran ekuiti sebelum ini.

“ValueCap telah memberi pulangan yang tinggi kepada pemegang sahamnya seperti Permodalan Nasional Bhd., Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan dan Khazanah Nasional Bhd.,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan memberikan pengecualian duti import ke atas 90 baris tarif yang terdiri daripada alat ganti, bahan guna habis dan peralatan penyelidikan yang tidak dikeluarkan dalam negara sehingga ekonomi global pulih.

Katanya, jumlah tersebut adalah tambahan kepada 319 baris tarif yang telah pun diberikan pengecualian duti import.

“Kerajaan sedar penurunan mata wang ringgit akan meningkatkan kos input yang diimport dan keperluan modal kerja.

“Sehubungan itu, adalah dianggarkan lebih 900 buah syarikat pengilang akan menikmati penjimatan kos operasi tahunan antara RM100,000 hingga RM500,000 lanjutan daripada kemudahan ini,” katanya.

Najib berkata, Skim Jaminan Modal Kerja akan dipertingkatkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, selain daripada RM5 bilion jaminan yang telah disediakan bagi sektor perkhidmatan, tambahan RM2 bilion akan disediakan bagi sektor lain.

Tuesday, September 15, 2015

Ahli GHB dilarang anjur program atas nama Parti Amanah Negara


KUALA LUMPUR – Kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dianggotai bekas ahli Pas tidak dibenarkan untuk menggunakan nama Parti Ama­nah Negara (PAN) dalam sebarang aktiviti anjuran mereka.

Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah (gambar) berkata, larangan itu disebabkan pindaan PAN daripada nama asalnya Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia (PPPM) masih belum diluluskan.

“Permohonan PPPM untuk me­nukar nama masih belum diluluskan. Sehubungan itu, parti tersebut tidak dibenarkan sama sekali mengadakan aktiviti atau program atas nama PAN selagi kelulusan masih belum diterima.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

Mohammad Razin berkata, jika terdapat sebarang pelanggaran peruntukan seksyen itu, parti terbabit boleh didenda tidak lebih RM3,000 dan semua pemegang jawatannya akan dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir berkata, pihaknya akan segera berbincang de­ngan ROS untuk memberikan penjelasan jika terdapat salah faham dalam perkara itu.

Monday, September 14, 2015

Lima jemaah dibenarkan keluar hospital di Mekah


KUALA LUMPUR - Lima daripada 10 jemaah haji Malaysia yang cedera dalam kejadian runtuhan kren di Masjidilharam, Mekah pada Jumaat lalu setakat ini telah dibenarkan pulang ke tempat penginapan masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail, lima lagi jemaah Malaysia yang cedera masih dirawat dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, empat yang dibenarkan pulang ialah Faridah Mat Yacob, 46, Rusiah Baba, 50, Ahmad Muzafar Mamat, 39, dan Mohd. Sharif Meon, 64.

Seorang lagi, Noordin Wahab, 59, yang mengalami luka kecil telah dibenarkan kembali ke bilik penginapan lebih awal.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat TH terus giat berusaha mencari kesemua jemaah yang hilang.

Setakat pukul 12 tengah malam tadi, empat jemaah haji Malaysia disah terbunuh dalam kejadian kren runtuh tersebut.

Empat jemaah haji terbunuh


PETALING JAYA – Empat daripada lapan jemaah haji Malaysia yang hilang dalam tragedi menyayat hati kren tumbang di Masjildilha­ram, Mekah pada Jumaat lalu disahkan terbunuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jenazah Allahyarham Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan), Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan) dan Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dikenal pasti oleh pasukan perubatan Tabung Haji (TH) yang diberi kebenaran me­lakukan pengecaman ke atas 108 mangsa oleh kerajaan Arab Saudi di Hospital Arab Saudi.
“Hari ini (semalam) merupakan hari pertama TH dibenarkan membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan pada pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) atau 3.30 petang waktu Malaysia.
“Menerusi pengecaman itu, empat jenazah rakyat kita telah dikenal pasti.
“Seorang lagi jemaah yang hilang, Abdul Muluk Ishak, 71, yang berasal dari Pantai Remis, Perak ditemui selamat selepas tersesat bersama kumpulan jemaah haji dari Thailand,” kata Jamil Khir pada satu sidang akhbar tergempar di Kompleks TH, Kelana Jaya di sini malam tadi.
Menurut beliau, pihak TH akan terus melakukan usaha mencari tiga lagi jemaah yang hilang menerusi proses penca­rian dan pengecaman jenazah kali kedua yang akan dilakukan hari ini.
Tiga jemaah yang masih hilang sehingga kini ialah Abdul Habib Lahman, 68, yang berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah) dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).
Dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam pada Jumaat lepas, sekurang-kurangnya 107 jemaah haji terkorban, manakala lebih 230 orang lagi cedera.
Sepuluh jemaah haji Malaysia turut tercedera dalam tragedi berkenaan.

Di Tanjung Malim, anak bongsu Rusiah reda dengan pemergian ibunya.

Nor Baizura Ahmad Badri, 27, berkata, dia bersama tiga lagi adik-beradiknya menerima berita kematian ibunya daripada pegawai TH yang berkunjung ke kediamannya di Felda Gunung Besout 2, Sungkai pada pukul 8 malam tadi.

"Pada awalnya, kami menaruh harapan agar ibu dapat ditemui kembali. Saya akui masih terkejut dengan berita ini dan tidak menyangka ibu terkorban dalam insiden itu.

"Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima kematian ibu di tanah suci," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu di Kuala Lumpur, anak bongsu kepada salah seorang jemaah yang hilang, Zainun mendakwa, ibunya mungkin sedang berada di salah sebuah pusat perubatan di Mekah.

Menurut Noor Fareha Abu Bakar, 35, dia percaya ibunya masih selamat selepas telefon bimbit ibunya yang dihubungi malam kelmarin telah dijawab oleh seorang lelaki dipercayai berbangsa Arab.

"Malangnya kami gagal berkomunikasi kerana dia tidak memahami bahasa Inggeri, manakala saya pula tidak boleh berbahasa Arab," katanya kepada pemberita selepas diziarahi pengurusan TH diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail di rumahnya di Bukit Antarabangsa semalam.

DBKL benar Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada penganjur Himpunan Rakyat Bersatu untuk melakukan perhimpunan aman di Padang Merbok di sini pada Rabu ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kelulusan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada peruntukan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman.
"Perhimpunan perlu dilakukan di Padang Merbok sahaja bukan di atas jalan raya.
"Jika syarat dan peraturan diingkari, perhimpunan itu menjadi haram dan kelulusan akan dibatalkan serta-merta," katanya.
Terdahulu beliau ditemui selepas melancarkan sesi pengundian projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Residensi RazakMas di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak di sini hari ini. - K! ONLINE

Megah Perawan jengah pasaran Indonesia, Thailand


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SUNGAI BULOH - Syarikat pengeluar rangkaian produk kosmetik, Megah Perawan Sdn. Bhd. (Megah Perawan) bakal melebarkan perniagaan ke pasaran Indonesia dan Thailand mulai awal bulan September ini.

Pegasasnya, Reena Zach berkata, Megah Perawan yang telah beroperasi sejak empat tahun lalu telah mempunyai rangkaian di semua 14 negeri di negara ini dan juga Brunei.

Beliau yang juga dikenali sebagai Mek Na Perawan berkata, syarikatnya mempunyai 3,000 stokis dan 1,500 pengedar di seluruh negara dan mereka ditawarkan margin keuntungan sehingga 40 peratus dengan modal permulaan cuma RM300.

“Kami turut memikat hati pelanggan menerusi pelbagai produk kesihatan dan kecantikan yang boleh dibeli pada harga mampu milik tanpa perlu berkompromi dengan kualiti.

“Dengan harga semurah RM20 dan rangkaian pemasaran meluas, kami dapat menarik pengguna dari golongan muda hingga warga emas baik yang menetap di bandar mahu pun pendalaman,” katanya kepada Kosmo! di pejabatnya di Bandar Rahman Putra di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Megah Perawan, Zack Aziry yang juga suami Reena.

Sementara itu, Zack memberitahu, setakat ini, Megah Perawan memiliki 18 produk yang dijual pada harga antara RM20 hingga RM128 dan semuanya diperbuat daripada bahan semulajadi.

Beliau berkata, antara produk kesihatan dan kecantikan terbabit yang laris di pasaran ialah Thalia Extra White, Jus Khazanah, set wajah Bangkit Seri, Double Slym Up, Kopi Biji Aprikot, Soya Delima, krim pencerah Thalia Silky Cream dan Dara Sunti Collagen.

“Kesemua produk keluaran Megah Perawan dihasilkan di kilang tempatan yang mempunyai persijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP),” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web, www.megahperawan2u.com atau hubungi talian 017-4477553.

Sunday, September 13, 2015

MCA kecam perbuatan tidak bertamadun peserta Bersih 4.0


KUALA LUMPUR - MCA mengecam perbuatan tidak bertamadun peserta perhimpunan haram, Bersih 4.0 pada hujung minggu lalu yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya masyarakat negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan seperti memijak gambar pemimpin negara, menggunakan bahasa kesat dan mendirikan tempat-tempat suci olok-olok adalah penghinaan kepada majoriti rakyat negara ini yang mencintai keamanan.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, kita memang menghormati hak rakyat untuk menyatakan pandangan tetapi ia perlulah dizahirkan dalam lingkungan undang-undang.

“Apatah lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum ini, adalah mustahak setiap individu menyedari kepentingan untuk menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, MCA juga kurang senang dengan tindakan DAP yang cuba menangguk air yang keroh dengan menggunakan perhimpunan Bersih 4.0 tersebut untuk keuntungan agenda politik mereka.

Kren tumbang: Telefon bimbit mangsa hilang dijawab lelaki Arab


AMPANG - Keluarga salah seorang jemaah haji Malaysia yang masih hilang dalam insiden kren gergasi tumbang di Masjidilharam, Mekah Jumaat lalu, Zainun Taha, 69, disyaki berada di salah satu pusat perubatan di tanah suci.
Dakwa anak bongsunya, Noor Fareha Abu Bakar, 35, telefon bimbit ibunya yang dihubunginya telah dijawab oleh seorang lelaki dipercayai berbangsa Arab.
"Tiga kali telefon bimbit ibu yang saya hubungi semalam telah dijawab lelaki sama dalam latar suasana riuh-rendah seperti di dalam sebuah hospital.
"Malangnya kami gagal berkomunikasi kerana dia tidak memahami bahasa Inggeris manakala saya pula tidak boleh bertutur dalam bahasa Arab," katanya kepada pemberita selepas diziarahi pengurusan Tabung Haji (TH) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail di rumahnya di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.
Sehubungi itu, Noor Fareha berharap lapan jemaah haji negara termasuk ibunya yang masih hilang dapat dijejaki TH secepat mungkin. - KOSMO! ONLINE