KUANTAN – Tanah perkuburan bukan Islam dan ladang kelapa sawit antara lokasi terbaharu yang dikesan digunakan oleh kaki-kaki ponteng puasa di negara ini untuk melepaskan nafsu makan mereka di siang hari pada bulan Ramadan.Selain dua lokasi itu, beberapa kawasan popular lain turut digunakan oleh ‘geng plastik hitam’ ini antaranya kedai snuker dan kawasan perindustrian.
Lebih membimbangkan apabila ada kalangan umat Islam menjadikan kedai-kedai makan dan kedai runcit bukan Islam sebagai ‘transit’ untuk makan di siang hari.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkifli Ali berkata, pihaknya telah mengenal pasti kaedah dan lokasi tumpuan geng plastik hitam di negeri ini dalam usaha membanteras sikap culas umat Islam yang suka ponteng puasa.'
“Antara tempat lain yang dikenal pasti menjadi tumpuan kaki ponteng puasa adalah di kantin kilang papan, kedai snuker, kawasan perindustrian, kedai makan bukan Islam dan kedai-kedai yang membuka pintu belakang.
“Pihak JAIP akan terus melakukan pemantauan mereka yang didapati tidak menghormati bulan Ramadan seperti makan dan minum secara terbuka,” katanya di sini semalam.
Di Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengenal pasti 30 lokasi panas di negeri itu yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.
Jurucakap JHEAT berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya sebelum ini, lokasi panas bukan tertumpu di kedai makan, restoran dan gerai malah tanah perkuburan bukan Islam.
“Kita akan menggerakkan anggota penguat kuasa JHEAT untuk membuat pemantauan.
“Selain itu, peniaga makanan di Terengganu juga dilarang untuk membuka operasi sebelum pukul 3 petang,” katanya.
Di Kedah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengenal pasti 71 lokasi tumpuan kaki ponteng puasa termasuk peniaga yang menjual makanan berbungkus dari but kereta.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JHEAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib memberitahu, ada premis termasuklah kedai bukan Islam yang didapati menjual lauk yang diletakkan oleh peniaga Islam.
“Selain itu, ada juga kedai makan yang nampak tutup tetapi sebenarnya membuka pintu belakang premis untuk menerima pelanggan tetapnya,” katanya.
Di Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak merancang meneruskan tradisi mengangkut umat Islam yang tidak berpuasa dengan menggunakan van jenazah pada Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti berkata, langkah itu diambil bagi menjaga aib mereka yang ditangkap tidak berpuasa.
Katanya, pihaknya bagaimanapun sudah mengenal pasti kedai-kedai yang sering dijadikan ‘port’ untuk kumpulan ini.
“Bagaimanapun, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap umat islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa.
“Bagi kawasan Johor Bahru dan Kulai, 15 ‘port’ beli makanan telah dikenal pasti, termasuk restoran atau kedai makan yang berselindung atau guna pintu belakang,” jelasnya.
Di Kuala Lumpur, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dikerah untuk memantau dan membanteras aktiviti geng plastik hitam sepanjang Ramadan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemantauan akan dilakukan secara berkala mengikut jadual ditetapkan.