Translate

Thursday, November 16, 2023

Pengerusi PPS di Terengganu disyaki tipu tuntutan bantuan banjir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang Pengerusi jawatankuasa pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah daerah di Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan memperakui borang tuntutan palsu permohonan bantuan mangsa banjir pada tahun lalu.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 60-an itu disyaki memperakui borang tuntutan palsu anak lelakinya yang sebenarnya tidak layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek memperakui borang yang disyaki mengandungi butiran palsu bagi tahun bantuan bencana banjir bagi tahun 2022.

“BWI berjumlah RM1,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan membantu setiap ketua isi rumah yang terjejas sewaktu monsun Timur Laut (MTL) (pada tahun itu),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber SPRM itu berkata, lelaki berkenaan ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat agensi itu di Kemaman pada pukul 11 pagi.

Beliau berkata, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya selesai diambil.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid yang dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment