Translate

Tuesday, January 31, 2017

Harga tiket Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin turun RM10

KUALA TERENGGANU - Berita baik buat peminat tegar skuad Terengganu, harga tiket terbuka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus untuk aksi Liga Perdana yang bakal bermula esok akan diturunkan kepada RM10.
Skuad Terengganu bakal membuka tirai Liga Perdana dengan menentang pendatang baharu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak di stadium keramat tersebut pada pukul 9 malam esok.
Presiden PBNST, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebelum ini, tiket terbuka bagi menyaksikan aksi Liga Malaysia di stadium berkenaan berharga RM15.
"Setelah mengambil kira pandangan penyokong tegar skuad Terengganu, PBNST bersetuju untuk menurunkan harga tiket terbuka tersebut kepada RM10.
"Ia akan berkuatkuasa sepanjang aksi Liga Perdana di stadium berkenaan sepanjang musim ini," katanya di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, January 30, 2017

UMT, Celcom hulur bantuan kepada mangsa banjir

AMAL JARIAH. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd. (Celcom) menyumbang bantuan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali berkata, bantuan tersebut merupakan hasil sumbangan daripada orang ramai menerusi Tabung Sumbangan Banjir yang dilancarkan oleh UMT bersama Celcom bagi meringankan beban mangsa banjir negeri ini.

Penyampaian bantuan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Datuk Jailani Johari yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Sunday, January 29, 2017

Penyelidik UMT terima anugerah inovasi di Korea Selatan

CEMERLANG. Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Ikmar Nizam Mohamad Isa menerima anugerah Invention King Crown yang merupakan pengiktirafan tertinggi pada majlis Anugerah Saintis Dunia di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, Anugerah Saintis Dunia dianjurkan oleh Korea Invention News (Kinews) dapat menggalakan penghasilan produk inovasi.

Beliau berkata, kejayaan Mohd. Ikmar menggondol anugerah terbabit berdasarkan dua produk inovasi iaitu HeXan Hydron Cell dan COLAG Proton Battery yang merupakan peranti simpanan tenaga mudah alih menggunakan teknologi biofilem elektrolit.

“Dua produk inovasi terbabit masing-masing dihasil dengan bantuan dua pelajarnya iaitu Chai Mui Nyuk dan Nur Hafiza Muhamaruesa,” katanya.

Saturday, January 28, 2017

Lelaki terjun sungai elak ditahan polis lemas

BESUT – Gara-gara mahu mengelak daripada diberkas, seorang lelaki yang menjadi buruan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Besut berhampiran Kampung Belok, Hulu Besut dekat sini kelmarin.

Mayat suspek ditemui sepasukan anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat lebih empat jam selepas dia terjun ke dalam sungai itu pada pukul 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Kampung Belok terserempak dengan suspek yang memandu kereta Perodua Axia.

Menurutnya, polis mengarahkan suspek memberhentikan kereta namun lelaki terbabit enggan dan memecut laju sejauh kira-kira 500 meter sebelum berhenti di tepi jalan.

“Dia kemudian melarikan diri ke kawasan semak di tebing sungai dan ketika pihak polis menghampiri, suspek terjun ke dalam sungai dan berenang ke tengah. Dia berpatah balik selepas diminta oleh anggota polis berbuat demikian kerana sungai itu dalam.

“Bagaimanapun, kira-kira 50 meter sebelum sampai ke tebing, suspek terus tenggelam dan hilang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Mayat suspek ditemui pada pukul 9.50 malam dan dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Pemeriksaan di dalam kereta mangsa menemui 1,200 biji pil kuda dan sembilan peket dadah jenis syabu bernilai RM13,080.

Friday, January 27, 2017

Angkasa ceburi industri tenaga solar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Angkatan Koperasi Kebangsaan Bhd. (Angkasa) akan menerokai bidang tenaga boleh diperbaharui menerusi projek pembekalan tenaga solar di Sungai Tiang, Pendang, Kedah yang bakal beroperasi pada April depan.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (gambar) berkata, projek tersebut yang dilaksanakan di tanah milik seorang ahli koperasi yang seluas 1.62 hektar,  menelan belanja kira-kira RM10 juta.

“Stesen tenaga solar terbabit dapat menjana tenaga elektrik sebanyak satu megawatt pada satu-satu masa dan ia akan dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sebahagian daripada sistem Rangkaian Grid Nasional (RGN).

“Sebelum ini, Angkasa telah menandatangani perjanjian dengan TNB untuk membekalkan tenaga elektrik menerusi sumber solar itu untuk tempoh 21 tahun,” katanya selepas merasmikan Diskusi Hala Tuju Koperasi Dalam Sektor Pertanian di sini semalam.

Abdul Fattah berkata, projek pembekalan tenaga solar tersebut diunjur dapat menjana perolehan sebanyak RM200,000 sebulan atau RM50.4 juta sepanjang tempoh perjanjian kepada Angkasa.

Menurut beliau, proses meratakan tanah di tapak projek terbabit telah dilakukan sejak bulan lalu dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

“Bagi mengoptimumkan projek itu, tanah di bawah panel tenaga solar terbabit akan dimanfaatkan dengan aktiviti pertanian iaitu penanaman sayur-sayuran.

“Sekiranya menerima tambahan kuota RGN daripada TNB, Angkasa tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan lagi projek tenaga diperbaharui ini ke kawasan lain pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Fattah memaklumkan, Angkasa juga bercadang untuk menawarkan ekuiti dalam projek berkenaan yang dimiliki anak syarikat Angkasa, MyAngkasa Services Sdn. Bhd., kepada koperasi-koperasi lain agar keuntungannya dapat dikongsi bersama.

Thursday, January 26, 2017

Banjir Dungun pulih sepenuhnya

KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda daerah Dungun sejak awal pagi semalam telah pulih sepenuhnya hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka sebelum ini di Kampung Shukor, Dungun telah ditutup sepenuhnya pada pukul 1.07 tengah hari tadi.
"Dua lagi perkampungan yang turut dilanda banjir di Dungun sebelum ini iaitu Kampung Pasir Raja dan Kampung Durian Mentagau telah pulih sejak petang semalam," katanya kepada Kosmo! di sini hari.
Sebelum ini, seramai 106 penduduk di tiga perkampungan itu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan ekoran limpahan Sungai Paka, Dungun. - K! ONLINE

THT tumbangkan UniKL, terus kukuh cengkaman liga

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mengukuh­kan kedudukan di persada liga selepas melakar kemenangan kelima ber-?turut-turut dengan menjinakkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-0 pada saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Juara bertahan itu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Nicholas Enrique Della Torre pada minit keenam.

Gawang UniKL yang di kawal Tomas Matias Santiago bolos buat kali ke­dua pada minit ke-40 hasil jaringan Jang Jonghyun menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pula pantas menyambar pukulan sudut penalti di ambil Faizal Saari untuk gol ketiga THT (m-52).

THT kini gah di tangga teratas Divi­syen Primier, Liga Hoki Malaysia de­ngan 16 mata menerusi lima kemenangan dan satu seri.

Jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang melakar kemenangan kelima berturut-turut.

“Kami beraksi baik pada awal saingan liga kali ini berbanding musim lepas.

“Harap momentum kekal hingga ke penghujung liga untuk menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut,” katanya.

9 negeri terjejas banjir

KUALA LUMPUR – Gelombang kedua banjir yang memasuki hari kelima semalam menyaksikan lapan buah negeri masih terjejas termasuk Terengganu yang dilanda bah sekali lagi selepas air surut Ahad lalu.

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sementara penduduk yang dipindahkan berkurangan di Johor, Perak, Sabah, Kelantan, Selangor dan Sarawak.

Bagaimanapun di Negeri Sembilan hanya daerah Gemas yang terjejas tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan kecil.

Di Johor, seramai 8,009 orang di lapan daerah di negeri ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan setelah rumah mereka dinaiki air.
Daerah Segamat mencatatkan mangsa paling tinggi iaitu 7,113 orang membabitkan 2,129 keluarga.

Tujuh daerah lain yang terjejas banjir ialah Tangkak, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Muar, Johor Bahru dan Batu Pahat.

Di Pahang, seramai 5,207 mangsa banjir dipindahkan di tujuh daerah melibatkan 1,353 keluarga dengan jumlah pusat pemindahan bertambah kepada 71 buah.

Maran mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dengan 1,156 orang diikuti Kuantan (909) dan Lipis (658).

Daerah lain terjejas ialah Jerantut, Raub, Pekan dan Rompin.
Sebanyak 23 jalan ditutup kepada semua kenderaan manakala tujuh jalan lagi ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Antaranya ialah Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela, Jalan Bukit Kota-Aur Gading, Jalan Bukit Betong-Kg Kepong dan Jalan Lipis-Jerantut.

Di Perak, daerah yang dilanda banjir ialah Manjung, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kinta melibatkan seramai 525 mangsa dipindahkan.

Di Kelantan, bencana banjir yang beransur pulih kelmarin bertukar sebaliknya apabila jumlah mangsa dipindahkan di negeri ini meningkat seramai 584 orang semalam.

Hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan Gua Musang menjadi daerah baharu dilanda banjir apabila lebih 20 keluarga dari Kampung Limau Kasturi terpaksa dipindahkan berikutan kawasan tersebut mula dinaiki air.

Seramai 12 murid Orang Asli, 10 guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi di Pos Lebir, Gua Musang yang terkandas akibat banjir pula terpaksa diselamatkan dan dibawa ke Kampung Aring 5 dan Kuala Koh
Daerah lain yang masih dilanda banjir ialah Kuala Krai, Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Di Terengganu, tiga kawasan di daerah Dungun kembali dilanda banjir kilat semalam melibatkan 106 penduduk dipindahkan iaitu kira-kira 24 jam selepas negeri ini diisytiharkan pulih banjir kelmarin.

Tiga kawasan terjejas ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Syukor dan Kampung Durian Mentagau akibat limpahan Sungai Paka.

Di Selangor, sebanyak 320 mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan di Dewan Sri Bernam dan Dewan Parit Baru di Sabak Bernam semalam.

Di Negeri Sembilan, seramai 127 mangsa banjir di Taman Sungai Gemas ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Besar Gemas.

Di Sabah, mangsa banjir di Pitas dan Beluran menurun kepada 624 orang.
Semalam, sebuah helikopter milik polis terpaksa digunakan bagi menghantar 400 bungkus bekalan makanan kepada mangsa yang terputus hubungan di Pitas akibat banjir.

Di Sarawak, seramai 48 penduduk dipindahkan berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan di Sibu, Miri, Bintulu dan Serian.

EPIC, CMC Engineering jalin kerjasama teroka peluang ECRL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menjalin kerjasama strategik dengan CMC Engineering Sdn. Bhd. (CMC Engineering) bagi meneroka peluang perniagaan dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi EPIC, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, kerjasama tersebut membabitkan perkongsian teknologi dan kepakaran dengan memanfaatkan limpahan projek pembangunan pengangkutan berimpak tinggi itu demi pembangunan Terengganu.

“Projek ECRL bakal menjadi pemangkin kepada kemakmuran ekonomi Pantai Timur, termasuk Terengganu, dengan unjuran mampu meningkatkan kadar pertumbuhan negeri terlibat sebanyak sekurang-kurangnya 1.5 peratus.

“Sehubungan itu, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khas di dalam negeri ini,” kata­nya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara EPIC dan CMC Engineering di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering, Hazwan Alif Adul Rahman mewakili syarikat masing-masing dalam memeterai perjanjian terbabit.

Tengku Mahamad berkata, EPIC melihat projek pembangunan ECRL mampu memberi manfaat besar kepada perkembangan Pelabuhan Kemaman.

Menurut beliau, projek itu juga akan memberi impak positif kepada industri pelancongan, me­rancakkan pertumbuhan bandar-bandar kecil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan harga barangan di Pantai Timur.

Projek ECRL sejauh 688 kilometer yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor hingga Tumpat, Kelantan itu melibatkan kos RM55 bilion.

Dijangka bermula tidak lama lagi, projek berimpak tinggi berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Wednesday, January 25, 2017

THT jinak UniKL 3-0

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengukuhkan kedudukan di persada liga selepas melakar kemenangan kelima berturut-turut dengan menjinakkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-0 di Stadium Hoki Batu Burok di sini hari ini.
Juara bertahan itu membuka jaringan menerusi pemain import kelahiran Argentina, Nicholas Enrique Della Torre pada minit ke-6.
Gawang UniKL yang di kawal Tomas Matias Santiago bolos buat kali kedua pada minit ke-40 hasil jaringan Jang Jonghyun menerusi pukulan sudut penalti.
Penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pula pantas menyambar pukulan sudut penalti di ambil Faizal Saari untuk gol ketiga THT pada minit ke-52.
THT kini gah di tangga teratas Divisyen Primier, Liga Hoki Malaysia dengan 16 mata menerusi lima kemenangan dan satu seri. - K! ONLINE 

Kerajaan Terengganu kecewa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

GARA-gara kecewa selepas laluan peringkat pertama kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang bakal bermula 22 Februari depan digugurkan, kerajaan negeri Terengganu mengancam untuk tidak meneruskan komitmen terhadap sukan berbasikal negara termasuk menghentikan penajaan kepada Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, beliau amat terkilan depan keputusan penganjur perlumbaan berbasikal terunggul di Asia itu yang disifatkannya sebagai terlalu drastik membuat keputusan tanpa me­ngadakan perundingan dengan kerajaan negeri terlebih dulu.

“Selama ini, kita (kerajaan negeri Terengganu) sentiasa menyokong dan membantu (LTdL) termasuk memberi tajaan tetapi dalam keadaan kerajaan negeri terpaksa melakukan penjimatan kerana sumber kewangan terbatas, begitu drastik tindakan yang diambil (penganjur).

“Sepatutnya perlu ada situasi menang-menang (antara kerajaan negeri dan penganjur) dan berunding dengan kerajaan negeri terlebih dulu,” kata Ahmad Razif kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pe­nganjur LTdL 2017 yang menggugurkan laluan peringkat pertama dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu sejauh 130 kilometer (km) dan peringkat kedua dari Jerteh ke Gerik (208.1km) kerana masalah penajaan.

Ahmad Razif berkata, untuk memburukkan lagi keadaan, ia berlaku sewaktu penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2017, sekali gus memberi gambaran penganjur LTdL enggan memberi sokongan mempromosikannya walaupun kerajaan negeri Terengganu pernah menjadi penaja utama perlumbaan berbasikal terulung Asia itu beberapa edisi terdahulu.

Menurut beliau, kerajaan ne­geri Terengganu telah berkira-kira untuk menarik diri dalam pembangunan sukan berbasikal negara termasuk menghentikan penajaan kepada pasukan TSG yang merupakan antara kelab berbasikal terbaik negara.

“Kerajaan negeri Terengganu menubuhkan TSG untuk membantu pembangunan sukan berbasikal negara tetapi nampak­nya hanya kami yang bersungguh-sungguh tetapi tidak mendapat sokongan pihak terlibat.

“Oleh itu, kerajaan negeri Terengganu tidak perlu buang masa dan duit lagi, kita sedang memikirkan untuk menyerahkan TSG kepada pihak lain,” katanya.

Keputusan kerajaan negeri Terengganu itu bakal menjejaskan TSG yang dibarisi ramai pelumba basikal profesional negara dan mereka sedang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur pada Ogos depan.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, laluan peringkat pertama di Terengganu sah digugurkan termasuk perlumbaan peringkat kedua (Kelantan) juga berdepan risiko untuk disingkirkan kerana tidak mendapat tajaan selain berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan dan banjir.

Kerajaan negeri Terengganu merupakan antara penaja utama LTdL sejak tahun 2012, namun terpaksa menghentikan penajaan untuk edisi 2017 berikutan kekangan bajet.

Begitupun difahamkan kerajaan negeri masih menawarkan penginapan percuma kepada atlet dan penganjur sepanjang perlumbaan laluan pertama LTdL 2017 yang dijadualkan bermula 22 Februari depan.

Dungun kembali dilanda banjir

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam selepas gelombang kedua banjir Terengganu diisytihar pulih, beberapa kawasan di daerah Dungun kembali dinaiki air hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, tiga kawasan di Dungun yang dilanda semula banjir ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Syukor dan Kampung Durian Mentagau.
"Sebanyak tiga pusat pemindahan di buka semula yang menempatkan 141 mangsa dari 45 keluarga.
"Seramai 13 mangsa dari Kampung Pasir Raja, Kampung Syukor (93) dan Kampung Durian Mentagau (35)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, banjir yang melanda ketiga perkampungan itu disebabkan limpahan Sungai Paka, Dungun berikutan hujan yang turun tanpa henti di kawasan tersebut sejak awal pagi tadi. - K! ONLINE

Pelajar tingkatan lima mati lemas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Kegirangan 10 remaja bermandi-manda di Tasik Pu­teri, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi dekat sini semalam berakhir de­ngan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.

Muhammad Ishaqnur Abd. La­tiff (gambar kecil), 17, yang dikatakan tidak tahu be­renang tenggelam ke dasar Tasik Puteri bertindak terjun dari tebing tasik semula jadi berkenaan pada pukul 10.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jas Wari Awang@Muhamad berkata, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian lemas itu kira-kira 13 minit kemudian.

“Skuad penyelam bomba berjaya me­nemui mayat mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun di sini pada pukul 12.42 tengah hari,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Jas Wari berkata, mayat Muhammad Ishaqnur telah ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dia terjun di tebing tasik berkenaan.

Menurut beliau, mayat remaja itu dijumpai tersangkut kira-kira empat meter pada dasar tasik berkenaan.

“Mayat mangsa yang menetap di Taman Perdana, Bukit Chatak telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” ujarnya.

Ustazah maut cuba redah banjir

BESUT – Hasrat seorang suami untuk menyelamatkan isterinya yang terperangkap di dalam kereta dihanyut arus deras banjir tidak kesampaian apabila wanita itu ditemui lemas di Kampung Paya Rawa, Kampung Raja dekat sini semalam.

Tambah menyayat hati, sebelum ditemui lemas di dalam kereta Perodua Myvi yang tenggelam di dalam parit berhampiran sebuah kebun kelapa sawit pada pukul 1.50 petang, Masni Ngah @ Mohd. Jaiz, 44, sempat menghubungi suaminya, Ahmad Ruzaizi Mahmud, 46, untuk meminta pertolongan.

Sewaktu kejadian Masni yang merupakan ustazah di Kolej Vokasional Besut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Kepas Dalam, Kampung Raja dekat sini.

Ahmad Ruzaizi yang merupakan guru berkata, dia bergegas dari Sekolah Kebangsaan Benting Lintang, Kuala Besut ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian, luluh hati saya apabila mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu isteri sudah tenggelam sehingga paras bumbung di dalam parit.

“Saya nekad mengharung banjir dan memecahkan cermin pintu pemandu bagi mengeluarkan isteri saya yang sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Besut di sini semalam.

Ahmad Ruzaizi berkata, beberapa anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian telah membantunya mengangkat isterinya ke kawasan tinggi yang tidak ditenggelami air banjir sebelum menghantarnya ke Hospital Besut dengan sebuah ambulans.
Menurutnya, isterinya disahkan meninggal dunia oleh pengawai perubatan sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu Masni sedang mengharungi air bah di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, tidak lama selepas itu, enjin kenderaan pacuan empat roda itu terhenti tiba-tiba menyebabkan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa di belakang hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Kereta Perodua Myvi kemudian dibawa arus sejauh beberapa meter sebelum terbenam ke dalam parit berhampiran sebuah kebun kelapa sawit,” katanya.

Tuesday, January 24, 2017

Banjir Terengganu pulih sepenuhnya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda lima daerah di Terengganu sejak Jumaat lalu pulih sepenuhnya pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, pusat pemindahan terakhir yang masih dibuka sebelum ini iaitu Surau Kampung Nyatoh, Setiu ditutup sepenuhnya pada pukul 9.45 pagi.
"Kesemua 54 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu telah pulang ke rumah masing-masing pagi ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sebelum ini, empat daerah iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dilanda banjir gelombang kedua yang menjejaskan lebih 4,000 penduduk. - K! ONLINE

PBSNT turunkan harga tiket

BERITA baik buat peminat tegar skuad Penyu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju untuk menurunkan harga tiket tempat duduk terbuka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu kepada RM10 bermula perlawanan pertama Liga Premier yang membuka tirainya hari ini.

Skuad Terengganu akan turun beraksi menentang pendatang baharu Liga Premier, Perbadanan­ Kemajuan Negeri Perak di Stadium Sultan Mizan malam ini.

Presiden PBNST, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebelum ini, tiket untuk tempat duduk terbuka bagi menyaksikan aksi Liga Malaysia di stadium berkenaan berharga RM15.

“Setelah mengambil kira pandangan penyokong tegar skuad Terengganu, PBNST bersetuju untuk menurunkan harga tiket tersebut kepada RM10.

“Ia akan berkuatkuasa sepanjang aksi Liga Premier di stadium berkenaan musim ini,” kata Ahmad Razif di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PBNST berharap keputusan tersebut dapat menyemarakkan lagi sokongan peminat terhadap skuad Penyu nanti.

Monday, January 23, 2017

Ugut janda dengan pistol

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Aduan seorang janda muda tentang ugutan bermotifkan cemburu bekas suaminya menggunakan sepucuk pistol pada akhir September tahun lalu telah membongkar kegiatan jenayah yang dilakukan lelaki itu bersama dua rakannya selepas mereka ditahan polis minggu lalu.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 29 hingga 45 tahun ditahan di sekitar daerah Besut.

Ekoran penahanan itu, polis bukan sahaja berjaya merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan untuk mengugut wanita terbabit malah turut menjumpai besi berantai, sabit dan kekunci L yang biasa digunakan untuk jenayah samun dan kekerasan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, sebelum ini, polis menerima aduan perbuatan suspek utama berusia 29 tahun mengugut untuk menembak bekas isterinya berusia 18 tahun pada 28 September tahun lalu.

“Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah klinik di Jertih, Besut pada pukul 9.20 malam dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek setelah bekas isterinya menjalin hubungan de­ngan seorang pe­raih getah beku berusia 24 tahun.

“Pertengkaran antara suspek dengan bekas isteri dan teman lelakinya berakhir dengan cermin hadapan kereta Naza Ria milik peraih getah beku itu dipecahkan.

“Sebelum beredar, suspek sempat mengugut untuk me­nembak mereka dengan sepucuk pistol yang terselit di pinggangnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Rosli berkata, berikutan aduan itu, polis berusaha menjejak suspek dan akhirnya berjaya memberkasnya di Besut pada 8.30 pagi, 11 Januari lalu.
Ujarnya, pemeriksaan pada badan suspek menjumpai senjata besi berantai menyerupai nunchaku.

“Selepas disoal siasat, suspek mengaku telah menyerahkan pistol jenis Revolver .38 yang digunakan untuk membuat ugutan terbabit kepada rakannya. Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 36 tahun kira-kira sejam kemudian.

“Sewaktu ditahan, suspek ke­dua didapati membawa sebilah sabit dan kekunci L yang biasa digunakan untuk kegiatan curi kenderaan.

“Dia pula memberitahu, pistol itu telah diserahkan kepada individu ketiga yang juga rakan mereka,” katanya.

Rosli berkata, penahanan suspek ketiga berusia 47 tahun kira-kira setengah jam kemudian membawa kepada penemuan pistol terbabit yang disorok di dalam sebuah tayar lama di tepi sebuah pondok usang di Kampung Gong Penaga, Jertih, Besut.

“Berdasarkan penemuan pistol dan peralatan serta senjata lain tersebut, polis percaya mereka terlibat dalam banyak kes jenayah kekerasan dan samun di sekitar Terengganu dan Kelantan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan. Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

13 sekolah di Terengganu ditutup libatkan lebih 2,600 pelajar

SETIU – Sebanyak 13 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup hari ini me­libatkan 2,679 murid dan 307 guru selepas banjir kembali melanda empat daerah di negeri itu sejak kelmarin.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ia me­libatkan lapan sekolah di Setiu dan masing-masing dua di Hulu Terengganu serta Besut dan Kemaman (satu).

“Kesemua sekolah itu diputuskan untuk tidak beroperasi pada esok (hari ini) berikutan ditakungi air bah, jalan perhubungan terputus dan dijadikan pusat pemindahan banjir.

“Kesemua sekolah ter­babit merupakan sekolah rendah di empat daerah yang terjejas banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Shafruddin berkata, sekolah-sekolah di Setiu yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buloh, SK Sungai Las, SK Kampung Bukit, SK Alur Lek Kasar dan SK Merbau Menyusut.

Menurut beliau, dua sekolah yang ditutup di Hulu Terengganu pula ialah SK Tengkawang dan SK Matang manakala daerah Kemaman hanya melibatkan SK Padang Kubu.

“SK Kampung Nangka dan SK Tembila pula terpaksa ditutup bagi daerah Besut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, gelombang kedua banjir mula me­landa negeri ini berikutan hujan lebat pada pukul 10 pagi kelmarin.

Beliau berkata, seramai 2,680 mangsa daripada 724 keluarga telah dipindahkan ke 66 pusat pemindahan di empat daerah.

“Sebanyak 32 pusat pemindahan telah dibuka di Besut, Setiu (21), Hulu Terengganu (lapan) dan Kemaman (lima),” katanya.

Sementara itu tinjauan Kosmo! mendapati pekan Permaisuri di sini hampir lumpuh selepas kebanyakan kawasannya ditenggelami air lebih semeter.

Dalam pada itu di Kelantan, sebanyak 51 sekolah terpaksa ditutup membabitkan kira-kira 19,807 pelajar akibat banjir.

Banjir (sehingga pukul 10 malam tadi)

Kelantan: 7,036 mangsa dipindahkan
Terengganu: 2,680 mangsa dipindahkan
Sabah: 331 mangsa dipindahkan
Pahang: 16 mangsa dipindahkan

Sekolah ditutup hari ini:
l 13 sekolah di Terengganu melibatkan 2,679 pelajar dan Kelantan sebanyak 51 sekolah membabitkan kira-kira 19,807 pelajar. Di Pahang dan Sabah tiada sekolah ditutup

Gelombang pertama
l Tiga kematian di Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan, tiada kematian di Terengganu

Gelombang kedua
l Tiga kematian di Kelantan
l Tiada kematian di Terengganu

Nombor telefon maklumat banjir untuk dihubungi:
Kelantan: 09-7471 608
Terengganu: 09-6534 743
Pahang: 09-5151 999
Sabah: 088-488500

Sunday, January 22, 2017

Mangsa banjir Terengganu meningkat 3,836 orang

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di empat daerah di Terengganu meningkat kepada 3,836 orang daripada 1,123 keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak 84 pusat pemindahan telah dibuka di daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman.
"Seramai 1,792 mangsa banjir di Besut, Setiu (961), Hulu Terengganu (982) dan Kemaman (101)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Pemandu teksi wajib carum Perkeso mulai Jun depan

KUALA TERENGGANU - Lebih 160,000 pemandu teksi, kereta sewa, Uber dan Grabcar di seluruh negara akan diwajibkan untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuatkuasa Jun depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, rang undang-undang skim perlindungan keselamatan sosial untuk golongan tersebut dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat pada Mac depan.
"Semasa pembentangan Belanjawan 2017 pada 21 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan geran kewangan khas kerajaan sebanyak RM60 juta untuk memulakan pelaksanaan skim tersebut.
"Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan rang undang-undang berhubung skim itu di Parlimen pada Mac ini agar pelaksanaannya dapat dilakukan mulai pertengahan tahun ini," katanya selepas menghadiri Malam Perhargaan Perkeso bersama Media di sini semalam.
Ismail memberitahu kadar caruman sebulan bagi pemandu teksi, kereta sewa, Uber dan Grabcar ialah RM13.08 sebulan. - K! ONLINE

Aksi Terengganu-PKNP FC ditunda

KUALA TERENGGANU - Aksi sulung Liga Perdana antara Terengganu dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam ini terpaksa ditunda berikutan hujan lebat.
Komisioner perlawanan, Ab. Wahid Ab. Hamid menangguhkan aksi itu pada minit ke-11 sewaktu kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan.
"Perlawanan terpaksa dihentikan berikutan faktor padang terlalu becak akibat hujan lebat yang memberi risiko kecederaan kepada pemain.
"Oleh itu, perlawanan tersebut terpaksa ditunda setelah mengambil kira faktor keselamatan pemain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Wahid berkata, perlawanan ulangan akan dilangsungkan semula pada satu tarikh yang akan diputuskan oleh pihak Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP). - K! ONLINE

Mangsa banjir Besut meningkat 193 orang

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di daerah Besut meningkat kepada 193 orang berbanding berbanding 63 orang beberapa jam lalu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, empat buah pusat pemindahan lagi telah dibuka setakat pukul 10 malam tadi.
"Empat pusat pemindahan yang baru dibuka tersebut ialah Balai Raya Alor Teratai, Tadika Pulau Panjang, Sekolah Kebangsaan Anak Ikan dan Balai al-Quran Tanah Merah," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Che Adam berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hujan lebat peringkat jingga akan berterusan di seluruh Terengganu sehingga esok. - K! ONLINE

Saturday, January 21, 2017

Besut, Setiu kembali dilanda banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat yang berlarutan selama hampir 10 jam sejak pukul 10 pagi tadi menyebabkan daerah Besut dan Setiu kembali dilanda banjir hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat ini, sebanyak enam pusat pemindahan telah dibuka di daerah Besut yang menempatkan 63 mangsa.
"Pusat-pusat pemindahan yang telah dibuka sehingga pukul 9 malam ini ialah Masjid Kampung Oh, Balai Raya Perumahan Laklok, Surau Kampung Gong Bukit Kenak, Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Balai Raya Kampung Renek.
"Setakat ini, seramai 21 keluarga telah ditempatkan di semua pusat pemindahan terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Che Adam memberitahu tiga laluan di Setiu terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami bah dengan kedalaman sehingga 1.2 meter.
Beliau berkata, laluan yang terlibat ialah Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Jalan Caluk-Bukit Putera dan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong.
"Hujan lebat masih turun di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu.
"Bilik Gerakan Bencana Banjir Terengganu diaktifkan 24 jam semula berikutan gelombang keempat banjir yang melanda negeri ini," katanya. - K! ONLINE

Banjir: 13 sekolah ditutup di Terengganu

SETIU - Sebanyak 13 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup esok melibatkan 2,679 murid dan 307 guru selepas banjir kembali melanda empat daerah di negeri itu sejak semalam.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ia melibatkan lapan sekolah di Setiu dan masing-masing dua di Hulu Terengganu dan Besut dan Kemaman (satu).
"Kesemua sekolah itu diputuskan untuk tidak beroperasi pada esok berikutan ditakungi air bah, jalan perhubungan terputus dan dijadikan pusat pemindahan banjir.
"Kesemua sekolah terbabit merupakan sekolah rendah di empat daerah yang terjejas banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman," katanya kepada Kosmo! hari ini.
Shafruddin berkata, sekolah-sekolah di Setiu yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buloh, SK Sungai Las, SK Kampung Bukit, SK Alur Lek Kasar dan SK Merbau Menyusut.
Menurut beliau, dua sekolah yang ditutup di Hulu Terengganu pula ialah SK Tengkawang dan SK Matang manakala daerah Kemaman hanya melibatkan SK Padang Kubu.
"SK Kampung Nangka dan SK Tembila pula terpaksa ditutup bagi daerah Besut," katanya. - K! ONLINE

Permaisuri ditenggelami bah

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Pekan Permaisuri di sini hampir lumpuh selepas kebanyakan kawasannya termasuk premis perniagaan ditenggelami air lebih semeter hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati berpuluh-puluh kenderaan terkandas selepas Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru yang menghubungkan pekan itu terpaksa ditutup untuk kegunaan kenderaan ringan.
Malah ada beberapa kenderaan ringan turut mengalami kerosakan selepas pemiliknya nekad meredah laluan yang dinaiki air bah terbabit.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, tiga lagi laluan di sekitar daerah Setiu juga ditutup berikutan ditenggelami air bah sedalam sehingga lebih dua meter.
"Laluan itu ialah Jalan Hulu Seladang Permaisuri, Jalan Pengkalan Merbau-Pelong dan Jalan Chalok-Telaga Papan.
"Seramai 341 mangsa daripada 79 keluarga telah ditempatkan di 10 pusat pemindahan yang dibuka di seluruh daerah Setiu," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Che Adam memberitahu mangsa banjir di tiga daerah iaitu Setiu, Besut dan Hulu Terengganu telah meningkat kepada 1,648 orang.
Beliau berkata, ia merangkumi 1,294 orang di Besut dan Hulu Terengganu (14).
"Hujan renyai masih turun di ketiga-tiga daerah itu," katanya. - K! ONLINE

Terengganu dan T-Team sasar satu piala

KUALA NERUS - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyasar pasukan Terengganu dan T-Team masing-masing untuk menjulang satu piala pada musim baharu Liga Malaysia yang bakal bermula pada hujung minggu depan.
Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, selain itu, Terengganu yang kini dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim juga disasar agar dapat kembali ke Liga Super pada musim hadapan.
"Itu misi yang telah kita berikan kepada Irfan Bakti (Terengganu) dan Rahmad Darmawan (T-Team) pada musim ini.
"Kita telah memberi kepercayaan penuh dan kebebasan kepada kedua-dua jurulatih tersebut untuk membentuk pasukan termantap sepanjang persiapan pra-musim," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jersi baharu dan memperkenalkan pemain-pemain Terengganu dan T-Team di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini.
Turut diperkenalkan di hadapan peminat ialah skuad Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bersaing dalam Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia dan baru merangkul kejuaraan Piala Tan Sri P. Alagrendra pada Selasa lalu. - K! ONLINE

Friday, January 20, 2017

PBSNT sasar satu piala musim ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu pasukan Terengganu dan T-Team masing-masing menjulang satu piala pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017 yang akan membuka tirainya, Sabtu depan.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, selain itu, Terengganu yang kini dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim juga disasar agar dapat kembali ke saingan Liga Super pada musim hadapan.

“Itu misi yang telah kita berikan kepada Irfan Bakti untuk skuad Terengganu dan T-Team yang dikendalikan oleh Rahmad Darmawan pada musim ini.

“Kita telah memberi kepercayaan penuh dan kebebasan kepada kedua-dua jurulatih tersebut untuk membentuk pasukan mantap,” kata Ahmad Razif selepas melancarkan jersi baharu dan memperkenalkan pemain-pemain Terengganu dan T-Team di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Turut diperkenalkan di hadapan para peminat dua pasukan berkenaan ialah Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bersaing dalam Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia dan baru merangkul kejuaraan Piala Tan Sri P. Alagendra pada Selasa lalu.

Hadir sama Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Terengganu yang lebih dikenali sebagai skuad Penyu telah melakukan rombakan pemain sebanyak hampir 40 peratus dalam usaha untuk mengungguli saingan Liga Premier pada musim ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu PBSNT menjangkakan kos untuk membiayai skuad Terengganu dan T-Team bagi mengharungi saingan Liga M pada musim ini dianggarkan mencecah lebih RM30 juta.

“Dana bagi kos operasi dan pengurusan kedua-dua pasukan itu tidak akan menggunakan satu sen pun kantung kerajaan negeri sebaliknya ditaja sepenuhnya oleh pihak swasta dan syarikat milik kerajaan.

“Begitupun sumbangan daripada penaja-penaja terbabit diuruskan oleh kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan dan dapat dioptimumkan sebaik mungkin demi kemajuan pasukan Terengganu dan T-Team,” katanya.

Thursday, January 19, 2017

Kadar indeks jenayah Terengganu 2016 turun 6.3 peratus

KUALA TERENGGANU - Kadar indeks jenayah Terengganu pada tahun lalu menurun 6.3 peratus berbanding pada tahun 2015.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, sebanyak 2,491 kes jenayah dibuka di negeri sepanjang tahun 2016 iaitu penurunan 165 kes berbanding tahun sebelumnya.
"Penurunan indeks jenayah negeri itu dibantu dengan pengurangan kes mencuri kenderaan termasuk motosikal dan rogol.
"Kontinjen Terengganu berjaya mencapai sasaran menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak lima peratus setahun seperti ditetapkan Bidang Keberhasilan Utama Negara," katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Begitupun, Rosli memberitahu, kes jenayah melibatkan dadah di negeri ini meningkat 9.2 peratus iaitu peningkatan 1,252 kes berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, ia melibatkan kes pengedaran dadah yang naik enam peratus, pemilikan dan penagihan yang masing-masing meningkat 25 dan 16 peratus. - K! ONLINE

Suspek kes samun Kuala Terengganu diberkas di Batu Pahat

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia 45 tahun yang disyaki terlibat dalam dua kes samun di bandar raya ini pada akhir bulan lalu berjaya ditahan di Batu Pahat, Johor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, suspek dipercayai melarikan diri selepas menyamun seorang pengurus taska melibatkan kerugian RM11,000 di Chendering di sini pada 31 Disember lalu.
"Siasatan awal, suspek turut terlibat dalam cubaan samun bersenjatakan pistol di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 3 pagi, 20 Disember lalu.
"Pistol yang dipercayai digunakan untuk kedua-dua kes samun itu kemudiannya dijumpai di campak di kawasan semak di Jalan Cherung Lanjut di sini berikutan penahanan dua rakannya di sekitar bandar raya ini pada hari sama, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Rosli berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. - K! ONLINE

Ugut bekas isteri dengan pistol, tiga lelaki termasuk duda ditahan

KUALA TERENGGANU - Tiga lelaki ditahan seminggu lalu berikutan penemuan sepucuk pistol yang dipercayai digunakan salah seorang suspek untuk mengugut bekas isterinya pada akhir September lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, berdasarkan aduan, suspek utama berusia 29 tahun membuat ugutan yang bermotifkan cemburu itu terhadap bekas isterinya berusia 18 tahun di hadapan sebuah kilinik di Jertih, Besut pada pukul 9.20 malam, 28 September lalu.
"Suspek cemburu dengan hubungan rapat bekas isterinya dengan seorang lelaki yang juga penoreh getah berusia 24 tahun lalu.
"Berdasarkan aduan itu, polis yang cuba menjejak suspek berjaya menjumpainya di sekitar daerah Besut pada pukul 8.30 pagi, 11 Januari lalu.
"Dua rakan lelaki yanag masing-masing berusia 36 dan 47 tahun kemudiannya turut diberkas beberapa jam kemudian yang membawa penemuan pistol jenis Revolver .38 berhampiran sebuah pondok usang di Kampung Gong Penaga, Jertih, Besut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Rosli berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - K! ONLINE

Mayat remaja lemas di Pantai Bukit Keluang berjaya dijumpai

BESUT – Mayat salah seorang daripada dua remaja yang lemas selepas hilang ketika mandi bersama empat rakan lain di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja dekat sini kelmarin dijumpai semalam.

Mayat Nik Mohd. Haikal Fitri Nik Shamsuddin, 13, dijumpai anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 8.20 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, mayat pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja itu dijum­pai kira-kira 200 meter dari lokasi dia dan seorang lagi mangsa, Mohammad Izzat Haikal ­Alias, 12, dilaporkan hilang.

“Mayat Nik Muhamad Haikal Fitri telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

“Seorang lagi mangsa iaitu Mohammad Izzat Haikal masih belum dijumpai setakat hari ini (semalam) dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” kata­nya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamsani berkata, kawasan pencarian masih tertumpu di sekitar Pantai Bukit Keluang yang merupakan lokasi kedua-dua mangsa mandi kelmarin.

Kosmo! semalam me­laporkan keriangan enam orang rakan mandi-manda di Pantai Bukit Keluang berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Nik Mohd. Haikal Fitri dan Mohammad Izzat Haikal dari Kampung Raja dekat sini yang berseronok mandi bersama rakan-rakannya tiba-tiba ditarik oleh ombak besar sebelum tenggelam.

Wednesday, January 18, 2017

Dua remaja dikhuatiri lemas

BESUT – Keriangan enam rakan mandi-manda di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja dekat sini semalam berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka hilang dikhuatiri lemas.

Nik Mohd. Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12, dari Kampung Raja dekat sini dikatakan ditarik ombak besar sebelum tenggelam ketika sedang berseronok mandi pada pukul 2.30 petang.

Salah seorang rakan mangsa, Ahmad Osama Hafiz Salleh, 15, berkata, kejadian berlaku sebaik kedua-dua mangsa pergi berenang lebih jauh dari pantai.

“Tidak lama kemudian, mereka tiba-tiba ditarik oleh ombak besar. Saya cuba membantu dengan berenang sepantas mungkin ke arah mereka namun hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

“Rakan-rakan lain yang terkejut dengan insiden itu telah bertindak berenang semula ke pantai sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di lokasi kejadian semalam.
Ahmad Osama berkata, sebelum itu, kesemua mereka yang tinggal di kampung berhampiran telah ke Pantai Bukit Kluang dengan menaiki basikal.

Difahamkan Nik Mohd. Haikal yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja merupakan anak bongsu daripada lapan beradik manakala Mohammad Izzat Haikal yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Raja juga anak bongsu daripada lima ber­adik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan setakat petang semalam kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

Tuesday, January 17, 2017

Cacing gelang ‘diusir’ ke sungai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sehari selepas sepasukan bomba melancarkan operasi pembersihan, koloni cacing gelang yang membanjiri kawasan padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Ping, Kampung Tok Lawit dekat sini didapati semakin berkurangan semalam.

Hanya terdapat sedikit cacing ge­lang itu di longkang bersebelahan padang sekolah tersebut berbanding sebelum ini yang menjadi lokasi pengumpulan spesies haiwan berkenaan hampir mencecah jutaan ekor.

Kerja pembersihan berjaya mengusir gumpalan cacing gelang ter­babit ke dalam Sungai Rapat yang dihubungkan dengan longkang SK Kuala Ping.
Sungai Rapat merupakan anak sungai yang bersambung dengan Sungai Telemong yang merupakan antara sungai utama di daerah ini.
Tukang kebun SK Kuala Ping, Shamsuddin Abas berkata, kerja-kerja pembersihan dijalankan selama tiga jam sehingga pukul 12.30 tengah hari kelmarin oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dengan kaedah penyemburan air ke dalam longkang tersebut.

“Sewaktu saya menyelenggara padang sekolah pada pagi tadi (semalam), masih ada sedikit cacing gelang merayap tetapi tidak sebanyak sebelum ini.

Meskipun begitu, saya difahamkan padang sekolah masih dikosongkan daripada sebarang aktiviti sukan dan kurikulum buat sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Kampung Tok Lawit, Suhaimi Ali, 56, memberitahu, beberapa ekor cacing gelang yang masih tinggal dilihat merayap ke jalan tar bersebelahan padang sekolah seolah-olah mencari habitat baharu.

Dia yang menetap bersebelahan SK Kuala Ping berkata, pemerhatiannya sejak pukul 8 pagi semalam mendapati, cacing gelang tersebut sudah tidak banyak dan tidak melebihi 100 ekor.

Bagaimanapun, dia percaya masih banyak lagi ca­cing gelang di dalam tanah di kawasan padang SK Kuala Ping yang dipercayai perumah bagi haiwan invertebrata tersebut.
“Apa pun saya lega kehadiran jutaan cacing gelang secara luar biasa di padang sekolah itu dilihat sudah semakin berkurangan. Saya percaya haiwan tersebut tidak akan naik dengan kuantiti banyak lagi pada masa terdekat berikutan cuaca panas dan terik di Kampung Tok Lawit sejak beberapa hari ini.

“Sebelum ini sejak pertengahan Disember lalu, hujan memang turun hampir setiap hari di kampung kami dan kemuncaknya, perkampungan kami termasuk padang SK Kuala Ping ditenggelami banjir setinggi kira-kira satu meter dari 31 Disember hingga 5 Januari lalu,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan SK Kuala Ping mencetuskan misteri apabila dibanjiri jutaan cacing ge­lang yang tidak putus-putus sejak sebulan lalu sebelum semakin banyak selepas banjir pada Januari lalu.

Kehadiran cacing gelang spesies haiwan yang menggelikan kebanyakan orang itu menjejaskan aktiviti harian murid SK Kuala Ping dan penduduk Kampung Tok Lawit.

Bencana banjir di Terengganu jadi iktibar

PANTAI Timur termasuk Terengganu kini memasuki fasa pascabanjir setelah bah yang menenggelami negeri terbabit selama 10 hari telah surut sepenuhnya pada Isnin lalu.

Episod banjir pada musim tengkujuh kali ini membabitkan ke­semua lapan daerah di Terengganu berikutan hujan lebat selama empat hari bermula dinihari 31 Disember tahun lalu.

Sebelum itu, bumi Terengganu diberi peringatan awal menerusi gelombang pertama dan kedua yang menyebabkan kejadian banjir berskala kecil di daerah Kuala Terengganu dan Kemaman, masing-masing pada 29 November dan 26 Disember 2016.

Walaupun tidak seburuk pada tahun 2013 dan 2014, bencana banjir kali ini melibatkan 21,218 mangsa daripada 6,055 keluarga di seluruh negeri ini dan kemusnahan jutaan ringgit.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman memberitahu, gelombang ketiga banjir besar yang berlaku di ne­geri ini bermula pada hari terakhir tahun 2016 itu berpunca daripada taburan hujan yang tinggi.

Beliau yang juga Urusetia Sekteriat Pengurusan Bencana Banjir Terengganu berkata, sepanjang tempoh empat hari sehingga 3 Januari lalu, taburan hujan yang dicatatkan kira-kira 800 mili­meter (mm).

“Ia boleh dianggap luar biasa ke­rana kebiasaannya taburan hujan 100mm dalam tempoh 48 jam pun sudah boleh menyebabkan banjir. Banyak kawasan yang diramal sebagai selamat turut ditenggelami banjir termasuk Pulau Perhentian yang tidak pernah dilanda bah sejak 50 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Che Adam, beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dikategorikan selamat juga ditenggelami air banjir mulai 4 Januari lalu sewaktu kawasan-kawasan lain mula pulih dan cuaca kembali cerah.

Katanya, kejadian itu disebabkan limpahan air banjir yang dibawa arus sungai-sungai utama terutama Sungai Terengganu ketika mengalir ke laut.
“Taburan hujan yang tinggi menyebabkan sungai-sungai utama di negeri ini tidak mampu menampung kuantiti air banyak sekali gus melimpahi di sepanjang lembangan sungai berhampiran.

“Pada masa sama, paras air pasang tinggi iaitu melebihi dua meter turut menjadi faktor menghalang air bah mengalir de­ngan cepat ke dalam laut seperti kelaziman,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, bencana yang berlaku memberi pengajaran sangat berguna kepada kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pengurusan bencana banjir pada masa akan datang.

Menurutnya, perlu diakui, sekiranya hendak memastikan bah di negeri ini cepat surut, mekanisme lain perlu dicari selain sekadar mengharapkan sungai sebagai ejen mengalirkan air banjir ke laut.

“Kita perlu berfikir di luar kotak. Antara cadangan yang sedang difikirkan ialah pembinaan lebih banyak taman rekreasi yang mempunyai tasik di setiap daerah di negeri ini.

“Tasik itu boleh berfungsi sebagai kolam tadahan untuk menampung air banjir pada setiap musim tengkujuh,” katanya.

Ahmad Razif berkata, meka­nisme baharu terbabit perlu dilakukan bagi mengurangkan feno­mena ‘banjir termenung’ atau air banjir bertakung yang memberi kesan emosi kepada mangsa banjir, kemusnahan infrastruktur dan risiko penyakit berjangkit.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail pula memberitahu, banjir kali ini menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah dan balai raya serta kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan yang dianggarkan kerugian sebanyak RM354.55 juta.

Itu tidak termasuk kerosakan rumah penduduk yang perlu dibaiki dan ada perlu dibina semula.

“Kerajaan  negeri juga telah meluluskan peruntukan segera untuk membaiki dan membina rumah rakyat. Peruntukan sehingga RM11,000 untuk membaiki kerosakan rumah manakala maksimum RM40,000 bagi membina semula rumah pula.
“Mangsa banjir di negeri ini juga menerima bantuan RM1,000 bagi setiap isi rumah,” ujarnya.

Mengambil semangat Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pendekatan Parlimen Kemaman memperkenalkan skim insurans bencana kepada penduduk de­ngan penglibatan pihak swasta boleh diikuti.

Skim insurans itu bukan sahaja mempercepatkan sistem penyam­paian kepada golongan sasar malah menjadikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.

Pujian juga harus diberikan kepada kerajaan negeri melakukan persiapan rapi dalam menghadapi banjir tahun ini sehingga hampir tiada isu berbangkit biar pun 209 pusat pemindahan telah di buka di seluruh negeri.

Koordinasi jitu antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang terlibat dengan Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Terengganu turut mendapat pujian setiap pe­mimpin Pusat yang turun padang termasuk Perdana Menteri sendiri.

THT lepas geram belasah UiTM 9-0

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) melepaskan geram terhadap kegagalan merangkul Piala Sumbangsih, Jumaat lalu dengan membelasah skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) 9-0 pada aksi kedua Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia 2017 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari mencipta hatrik, kesemuanya menerusi jaringan padang pada minit ke-26 dan ke-34 dan ke-43.

Terdahulu, pesta gol THT yang juga juara bertahan bermula de­ngan jaringan padang Muhamad Firhan Ashaari (m-5) sebelum menghasilkan gol ke­dua pada minit ke-59.

THT terus garang dengan dua jaringan padang pemain import dari Argentina, Nicholas Enrique Della Torre pada minit ke-12 dan ke-23.

Ismail Abu menambah luka UiTM yang masih hijau dalam kancah MHL dengan menjaringkan dua gol menerusi gerakan padang pada minit ke-37 dan ke- 54.

Monday, January 16, 2017

Selepas harimau, tapir pula bikin pengguna LPT2 gempar

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai seminggu selepas seekor harimau dewasa dilihat bersidai di tepi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun, pengguna lebuh raya itu kelmarin sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran seekor tapir pula.

Tapir dewasa itu dijumpai berkeliaran di Kilometer 386, LPT2 menghala Kuala Terengganu berhampiran susur keluar Kijal, Kemaman kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.

Kelibatnya yang tidak menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang menarik perhatian beberapa pengguna lebuh raya terbabit yang berhenti untuk memastikan keselamatan haiwan terancam terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, beliau telah mengarahkan anggota agensi itu menyiasat insiden sebaik me­ngetahuinya pada pukul 9 malam kelmarin.

“Berdasarkan maklumat awal daripada anggota Perhilitan negeri cawangan Kemaman, tapir terbabit didapati telah kembali memasuki kawasan hutan berhampiran lokasi terbabit tidak lama kemudian.

“Begitupun kita akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa terdekat,” katanya.

Hasdi berkata, kelibat tapir keluar dari hutan memasuki LPT2 memang kerap terjadi dan tujuh ekor haiwan terancam itu telah mati dilanggar sewaktu melintas di lebuh raya terbabit sejak tahun 2012.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pe­ngendali konsensi LPT2 agar menggali parit di tepi pagar di sepanjang lebuh raya terbabit bagi mengurangkan risiko diceroboh haiwan liar dan binatang ternakan pada masa hadapan.

Beliau berkata, lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai kerap dicerobohi haiwan liar dan binatang ternakan terbabit akan diberi keutamaan untuk pembinaan parit berkenaan.

Kosmo! 7 pada Januari lalu melaporkan pengguna LPT2 gempar selepas seekor harimau dijumpai berehat di kawasan semak di Kilometer 354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi.

Haiwan terancam itu dipercayai keluar daripada habitatnya di Hutan Simpan Jerangau yang dilanda banjir.

Hoki: Piala Sumbangsih 2017 kekal milik KLHC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 6-5 menerusi penentuan penalti shoot out di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Lebih manis, kejayaan menjulang piala tersebut diperoleh dengan menewaskan musuh tradisi, THT yang juga juara keseluruhan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 buat tiga tahun berturut-turut sejak edisi 2015.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 pada masa sebenar perlawanan dengan KLHC mendahului hasil jaringan Muhammad Noor Faeez Ibrahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Namun THT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan padang penyerang kebangsaan, Faizal Shaari dua minit kemudian.

KLHC kembali garang mendahului menerusi gol padang oleh Muhammad Umar Butta pada minit ke-51 sebelum THT, sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 hasil pukulan sudut penalti, Jang Jobghyun pada minit ke-56.

Keputusan seri berkenaan menyebabkan ke­dua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata pada perlawanan pertama saingan Divisyen Premier MHL 2017 itu.

Sementara itu, jurulatih KLHC, Muhammad Harun Alrashid Jamaluddin berkata, beliau puas hati kerana anak-anak buahnya berjaya menewaskan THT yang merupakan sebuah pasukan mantap, selain masih segar dengan kejayaan merangkul Piala Tan Sri P. Alagendra awal minggu ini.

“THT adalah pasukan yang sukar namun kita berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot out dan memenanginya,” kata Muhammad Harun ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.

Jurulatih THT, Sarjit Singh pula berkata, KLHC sememangnya berhak merangkul kejuaraan kerana telah bermain dengan lebih baik pada perlawanan tersebut.

“Sepanjang perlawanan, kita memperoleh sembilan pukulan sudut penalti tapi sayangnya, cuma satu sahaja menepati sasaran.

“Apa pun, kita bernasib baik kerana masih memperoleh satu mata dan perjalanan liga (MHL) pada tahun ini baharu bermula serta masih panjang,” katanya.

Saingan merebut Piala Sumbangsih itu merupakan perlawanan pembuka tirai MHL 2017.

Sunday, January 15, 2017

THT belasah UiTM 9-0

KUALA TERENGGANU - PASUKAN Hoki Terengganu (THT) melepaskan geram kegagalan merangkul Piala Sumbangsih Jumaat lalu dengan membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM) 9-0 pada aksi kedua Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, di sini hari ini.
Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari mencipta hatrik pada minit ke-26 dan 34 dan 43.
Terdahulu, pesta gol THT yang juga juara bertahan bermula dengan jaringan padang Muhamad Firhan Ashaari pada minit ke-5 sebelum meletak gol kedua pada minit ke-59.
Pemain import Argentina, Nicholas Enrique Della Torre juga mencetak dua gol berturut-turut menerusi jaringan padang pada minit ke-12 dan 23.
Ismail Abu menambah luka UiTM yang masih hijau dalam kancah MHL dengan juga menjaringkan dua gol menerusi jaringan padang pada minit ke-37 dan 54. - K! ONLINE

EPIC, CMC Engineering jalin kerjasama terokai peluang manfaat ECRL

KUALA NERUS - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menjalin kerjasama strategik dengan CMC Engineering Sdn. Bhd. (CMC Engineering) bagi penerokaan peluang perniagaan dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi EPIC, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, kerjasama yang dijalin terbabit melibatkan perkongsian teknologi dan kepakaran sebagai pemain industri yang memanfaatkan limpahan projek pembangunan pengangkutan berimpak tinggi itu demi pembangunan negeri Terengganu.
"Pelancaran projek pembangunan ECRL bakal menjadi katalis kepada kemakmuran ekonomi Pantai Timur termasuk Terengganu dengan unjuran mampu meningkatkan kadar pertumbuhan negeri terlibat sekurang-kurangnya 1.5 peratus.
"Sehubungan itu, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khas khas di dalam negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC dan CMC Engineering yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua remaja dikhuatiri lemas di Pantai Bukit Keluang

BESUT - Keriangan enam rakan mandi-manda di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja dekat sini petang tadi berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Nik Mohd. Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12 dari Kampung Raja dekat sini yang berseronok mandi bersama rakan-rakannya tiba-tiba ditarik oleh ombak besar sebelum tenggelam.
Salah seorang rakan mangsa, Ahmad Osama Hafiz Salleh, 15, berkata, sewaktu kejadian, Nik Mohd. Haikal dan Mohammad Izzat secara bersama telah meninggalkan mereka dengan berenang lebih jauh dari pantai.
"Tidak lama kemudian, mereka tiba-tiba ditarik oleh ombak besar. Saya cuba membantu dengan berenang selaju mungkin ke arah mereka namun turut hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.
"Rakan-rakan lain yang terkejut dengan insiden itu telah bertindak berenang semula ke pantai sebelum ia dimaklumkan kepada pihak berkuasa tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Ahmad Osama berkata, sebelum itu, kesemua mereka yang tinggal di kampung berhampiran telah ke Pantai Bukit Kluang dengan menaiki basikal masing-masing.
Difahamkan Nik Mohd. Haikal yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja merupakan anak bongsu daripada lapan beradik manakala Mohammad Izzat Haikal juga anak bongsu daripada lima beradik dan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Raja. - K! ONLINE