Translate

Wednesday, June 30, 2010

Demam bola di Hotel Heritage

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kemeriahan dan keghairahan Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang telah memasuki pusingan kedua kini turut dikongsi Hotel Heritage di sini.

Eksekutif Perhubungan Awamnya, Shamsidar Mohamad Khi rudin berkata, pihaknya telah memasang skrin layar lebar bagi menayangkan perlawanan secara langsung bola sepak Piala Dunia mulai akhir minggu lalu.

“Orang ramai yang bukan pelanggan yang menginap di bilik hotel kami boleh menikmati siaran secara langsung Piala Dunia Afrika Selatan 2010 secara percuma.

“Skrin layar lebar yang berukuran 18 meter panjang dan 18 meter lebar itu dipasang di bilik berhawa dingin yang selesa dan boleh memuatkan hampir 100 pengunjung dalam satu masa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Shamsidar berkata, ruang tersebut akan dibuka dari pukul 9 malam hingga 5 pagi setiap hari dan akan menayangkan semua perlawanan Piala Dunia mulai pusingan kedua hingga per lawanan akhir yang bakal berlangsung 12 Julai ini.

Beliau berkata, 100 pengunjung terawal yang menyaksikan setiap tayangan secara langsung perlawanan bola sepak di hotel tersebut juga bakal menerima cenderamata berunsurkan Piala Dunia.

“Cenderamata itu berupa baju jersi, pelekat kereta, pemetik api, rantai kunci, pelekat dan pen. Ia akan berubah-ubah mengikut pasukan yang bertanding.

“Contohnya pada perlawanan pasukan Jerman menentang England, 50 baju jersi Jerman dan 50 baju jersi England akan diedarkan kepada pengunjung,” katanya.

Shamsidar berkata, selain itu, pihaknya turut menyediakan menu istimewa yang hanya terdapat pada musim Piala Dunia untuk santapan pengunjung.

Beliau berkata, antara menu tersebut ialah kentang bakar berempah, udang bakar berempah, karipap sayur, sayap ayam pedas ala Mexico, jejari sotong pedas Calamari dan kek ikan ala Thai.

“Menu tersebut berharga dari RM2 hingga RM14 dan ia membolehkan pengunjung menyaksikan pelawanan secara langsung Piala Dunia sambil menikmati kudapan enak,” ka tanya.

Pesta makan durian PLUS

MAKAN DURIAN. Plus Expressways Berhad (PLUS) menganjurkan pesta 'Jom Makan Durian' di Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan), Taiping, Perak baru-baru ini.

Pengarah Urusan PLUS, Noorizah Abd. Hamid berkata, pada pesta itu, orang ramai boleh menikmati durian sepuasnya dengan hanya membayar RM9.90.

Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan, sebanyak 15 tan buah durian pelbagai jenis disediakan selain penganjuran aktiviti selingan seperti pertandingan memakan durian.

Pada majlis sama, PLUS turut meraikan 40 anak-anak yatim dari Rumah Nur Hidayah dan Qariah, Bukit Gantang.

Monday, June 28, 2010

Tahfiz berusia tiga tahun kagumkan hadirin

HEBAT. Kebolehan Darwisha Adriana Rozali, 3, menghafaz surah dalam al-Quran mengagumkan kira-kira 1,000 hadirin termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada majlis ulang tahun keempat Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, Ipoh semalam.

Dia bersahaja menghabiskan 96 ayat yang terdapat dalam surah a-Waqiah itu dalam tempoh tidak sampai 15 minit!

Menurut ibunya, Mazlina Ramli, 35, setakat ini anak sulung daripada dua beradik itu sudah mampu menghafaz tiga juzuk termasuk surah-surah pendek dalam juzuk ke-30.

"Sejak berusia enam bulan, saya sudah dedahkan Darwisha Adriana dengan ayat al-Quran menerusi cakera padat video sebelum mengajarnya buku Iq'ra selain menjaga pemakanannya untuk menguatkan ingatan," katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Sunday, June 27, 2010

Big School MCKK jadi warisan negara

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Bangunan asal Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dikenali sebagai The Big School kini digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata, keputusan untuk mengazetkan The Big School berusia 101 tahun itu diambil mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diputuskan pada 14 Februari tahun lalu.

“Bangunan ini dipilih bukan sahaja kerana usia dan senibina yang sudah melebihi 100 tahun tetapi peristiwa bersejarah yang berlaku di dalamnya dan sumbangan MCKK yang besar kepada perkembangan negara.

“Ia merupakan salah satu daripada 36 bangunan dan tapak di negara ini yang digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan. Enam daripadanya terdapat di Perak seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kota Tampan,” katanya selepas menyaksikan majlis pemasyhuran premis bersejarah berkenaan yang kini dijadikan sebahagian bangunan asrama pelajar MCKK oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam.

Turut hadir ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK dan Presiden Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA), Tun Haniff Omar.

Pada majlis itu, sekumpulan ahli MCOBA diketuai Rahim Ismail (bekas pelajar MCKK tahun 1955) menyanyikan lagu ‘Semenanjung Tanah Melayu’ dan ‘Jadilah Kesatria Budiman’ ciptaan bekas guru MCKK, Anthony Burgess yang pernah dinyanyikan pada majlis meraikan pemansuhan Malayan Union pada 1 Februari 1948.

The Big School dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah yang juga salah seorang pengasas sekolah tersebut pada 1909.

Pada Perang Dunia ke-2, Jepun telah menjadikan bangunan itu sebagai Markas Utama Wilayah Utara sebelum menukarkannya kepada hospital tentera.

The Big School kekal sebagai hospital tentera setelah penjajah British kembali semula ke tanah air pada 1945 namun MCKK kembali berfungsi pada 31 Januari 1947 atas desakan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar.

Antara tokoh negara yang merupakan bekas pelajar MCKK ialah Onn, bekas Perdana Menteri ke-2, Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican.

Ekspo Wenzhou jangka catat transaksi RM10 juta

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ekspo Barangan Berjenama dan Berkualiti dari Wenzhou, China serta Ekspo Barangan Konsumer Antarabangsa Malaysia yang bermula di sini semalam diunjurkan mencatat transaksi dagangan sekurang-kurangnya RM10 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, ekspo yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan sebanyak 180 usahawan dari Wenzhou, China.

“Ekspo Barangan Berjenama dan Berkualiti Wenzhou menampilkan pelbagai produk bermutu dari wilayah tersebut seperti tekstil, kasut, teh, peralatan elektrik dan bilik mandi.

“Ekspo Barangan Konsumer Antarabangsa Malaysia pula disertai 250 pemain industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian ekspo berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir ialah Pengerusi Malaysia-Wenzhou Trade City Group Sdn. Bhd., Charlie Zhang.

Hamidah menjelaskan, ekspo berkenaan bukan sahaja sebagai platfom untuk syarikat IKS tempatan dan China menjalin hubungan perniagaan tetapi juga sebagai medium untuk memasarkan produk kedua-dua negara ke pasaran Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Ini dapat dilihat daripada satu perjanjian yang bakal dimeterai pada ekspo berkenaan yang mana ia melibatkan pengeksportan produk kopi putih Ipoh keluaran syarikat tempatan untuk memasuki pasaran Wenzhou tidak lama lagi.

Info Projek Limbungan Kapal NGV Tech Sdn. Bhd.

-limbungan membuat kapal bersaiz besar diperbuat daripada keluli

-mempunyai limbungan dry dock untuk melaksanakan upacara 'pecah kapal'.

- turut bakal menawarkan perkhidmatan membaik pulih kapal terutamanya kapal dagang antarabangsa

-dibina di atas tanah yang dibeli daripada Sime Darby Berhad berhampiran muara Sungai Perak

-Fasa pertama menelan belanja RM220 juta manakala RM400 juta untuk fasa kedua

-menawarkan 5,000 peluang pekerjaan

-menjadikan Bagan Datoh sebagai salah satu pusat industri maritim negara

-limbungan kapal kedua milik NGV Tech Sdn. Bhd. selepas Sijangkang, Selangor.

Thursday, June 24, 2010

NGV Tech labur RM620 juta

Limbungan kapal antara terbesar di dunia di muara Sungai Perak

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN DATOH - Sebuah limbungan kapal yang dipercayai antara terbesar di dunia akan dibina di muara Sungai Perak di sini oleh syarikat pembuatan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. ( NGV Tech ).

Pengerusi Eksekutif NGV Tech , Zulkifli Shariff berkata, pembinaan limbungan kapal yang menelan kos kira-kira RM620 juta itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2013.

Menurutnya, fasa pertama projek tersebut diunjurkan menelan belanja sebanyak RM220 juta manakala fasa keduanya pula ialah sebanyak RM400 juta.

"Limbungan baru ini bersesuaian untuk membuat kapal laut buatan besi bersaiz besar dan ia merangkumi limbungan dry dock bagi upacara 'pecah kapal'.

"Muara Sungai Perak di sini pula dipilih kerana kedudukan yang strategik berhampiran Selat Melaka serta saiznya yang luas dan dalam amat bersesuaian untuk pembinaan limbungan kapal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan limbungan kapal NGV Tech yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Zulkifli berkata, selain membina kapal-kapal baru, limbungan tersebut disasarkan untuk menawarkan perkhidmatan membaik pulih kapal terutamanya kapal dagang antarabangsa yang sering melalui Selat Melaka.

Menurutnya, melalui kadar caj penyelenggaraan yang ditawarkan lebih kompetitif berbanding Singapura, maka lebih banyak kapal bakal menggunakan perkhidmatan limbungan tersebut.

Selain itu,NGV Tech yakin melalui projek berkenaan, ia bakal mengubah landskap dan menjana ekonomi daerah ini memandangkan projek berskala besar itu akan menawarkan sekurang-kurang 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

NGV Tech berpengalaman luas membina kapal-kapal pesisir pantai terutamanya untuk kegunaan industri petroleum dan 80 peratus daripada untuk pasaran antarabangsa.

Syarikat pembuatan kapal itu juga mempunyai limbungan kapal di Sijangkang, Selangor bagi pembuatan kapal laut daripada keluli dan aluminium sejak 2005.


Saturday, June 19, 2010

Aksesori telefon bimbit tiruan dirampas

IPOH - Stor menyimpan aksesori telefon tiruan jenama Nokia yang dipercayai antara terbesar di bandar raya ini diserbu anggota penguatkuasa pejabat Kementerian Perdagangan Da lam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 7 petang itu, sebanyak 15,000 unit aksesori telefon tiruan bernilai lebih RM100,000 berjaya di rampas dari premis yang terletak di tingkat satu sebuah pasar raya besar di sini.

Penolong Pengarah Seksyen Penguatkuasa PPDNKK Ipoh, Amer Mansor berkata, sebelum ini pihaknya mendapat aduan rasmi daripada pemilik cap dagangan Nokia mengenai pen jualan produk tiruan menggunakan jenama tersebut secara berleluasa di bandar raya ini.

“Aksesori telefon tiruan jenama Nokia didapati dijual secara murah di hampir semua pasar malam di bandar raya ini dipercayai dibekalkan oleh satu sindiket.

“Hasil risikan mendapati sindiket tersebut menyimpan stok produk tiruan di stor ini sebelum dibekalkan kepada peniaga pasar malam terbabit,” katanya selepas melakukan serbuan di stor tersebut kelmarin.

Amer berkata, antara barang yang dirampas dalam serbuan itu ialah sarung telefon bimbit, beg telefon, bateri dan alat bebas tangan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu tiada sebarang tang kapan dilakukan.

Pihaknya kini, jelasnya sedang berusaha untuk mengesan pemilik stor berkenaan.

“Kita percaya pemilik premis ini akan dapat dikesan dalam tempoh terdekat kerana risikan telah dilakukan secara teliti dan menyeluruh sebelum serbuan dibuat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972.

"Jika sabit kesalahan, denda RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun boleh dikenakan,” katanya.

Friday, June 18, 2010

Lima sindiket bookie judi Piala Dunia tumpas


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Lima sindiket bookie judi bola sepak Piala Dunia Afrika Selatan 2010 yang beroperasi di bandar raya ini dan Taiping dengan nilai pertaruhan sehingga RM5 juta sejak seminggu lalu tumpas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan berkata, dalam operasi yang bermula 10 malam kelmarin itu, seramai lima lelaki berusia 25 hingga 43 tahun diberkas di lima premis berlainan.

"Semua suspek terbabit daripada lima sindiket bookie judi bola sepak berlainan ditahan ketika sedang leka menerima pertaruhan secara dalam talian.

"Empat sindiket bookie judi Piala Dunia tersebut beroperasi di Ipoh, manakala satu lagi di Taiping. Jumlah pertaruhan diterima dianggarkan antara RM2 juta hingga RM5 juta bagi setiap perlawanan," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Zulkifli berkata, dalam serbuan tersebut, polis telah me rampas 11 set komputer, empat unit telefon bimbit, dua mesin faksimili dan 23 helai dokumen pertaruhan.

Beliau berkata, kelima-lima suspek yang dipercayai pekerja sindiket terbabit telah direman selama empat hari sehingga 20 Jun ini.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Per taruhan 1953.

"Jika sabit kesalahan, mereka terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar berasingan mengenai kes sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memberitahu empat sindiket bookie judi bola sepak beroperasi di bandar raya ini beroperasi di rumah kediaman.

Beliau berkata, pusat operasi bookie judi bola sepak itu yang diserbu itu terletak di Taman Rasah Jaya, Taman Ehsan, Medan Cator dan Meru Valley Golf Resort di sini.

“Selain peralatan komputer yang bernilai kira-kira RM30,000, polis turut berjaya menemui beberapa kertas mencatat nilai pertaruhan dan kata laluan masuk kaki judi terlibat.

“Siasatan awal polis mendapati semua sindiket bookie judi bola sepak berkenaan juga terlibat dalam pertaruhan liga bola sepak Eropah lain.

"Ia termasuk Liga Perdana Inggeris, Serie A Itali dan Liga Primera Sepanyol," katanya.

Thursday, June 17, 2010

Pementasan Nur Isandra di Taman Budaya

IPOH - Persatuan Karyawan Perak akan mengadakan persembahan teater monolog Nur Isandra karya J. Jamal di Auditorium Taman Budaya, Kuala Lumpur pada esok dan Ahad ini.

J. Jamal atau nama sebenarnya Jamaludin Ahmad berkata, teater lakonan solo aktivis teater berbakat, Noorsaielin Sailillah itu dipentaskan sempena Manifestasi Teater Malaysia 2010.

"Teater selama 42 minit itu pernah memenangi Pesta Teater Perak 2009 dan terpilih antara lima pementasan teater monolog terbaik tahun lalu," katanya selepas pementasan pertunjukan teater itu di Taman Budaya Perak di sini kelmarin.

J. Jamal berkata, teater monolog itu mengisahkan keluh-kesah watak Jaslina Jasmin atau Lina yang kehilangan hak penjagaan anak tunggal, Nur Isandra setelah mengalami keruntuhan rumah tangga.

Beliau berkata, Lina amat kecewa kerana diceraikan bekas suami ketika dia disahkan menghidap barah peringkat akhir dan dijangka mampu hidup hanya dalam tempoh sebulan.

"Idea karya Nur Isandra adalah berdasarkan kisah benar. Ia memberi mesej pertalian erat antara ibu dan anak tidak akan pernah terlerai," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat berkongsi mesej di sebalik teater itu dan meminta orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pementasannya.

Friday, June 4, 2010

Kecoh kilang kicap diserbu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan sijil halal di sebuah kilang memproses kicap di Menglembu di sini semalam kecoh apabila anggota penguat kuasa dihalang daripada menyita barangan rampasan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, anggota penguat kuasa pada mulanya dilarang daripada merampas barangan rampasan seperti botol kicap, botol kosong dan label yang dianggarkan bernilai RM1,000 oleh seorang wanita yang merupakan pemilik kilang tersebut.

"Jangan rampas barang kami, ini masalah logo halal sahaja. Bukan kami tak mohon sijil halal tapi sudah kena tipu dengan orang tengah, tunggu peguam kami sampai dulu," dakwa wanita itu.

Wanita itu kemudian berjaya ditenteramkan apabila Penolong Pengarah (Bahagian Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Fakhrul Zaman Abu Mansor memberitahu akan meminta bantuan polis sekiranya tugas mereka terus dihalang.

Fakhrul Zaman berkata, pemeriksaan mendapati produk kicap keluaran kilang tersebut menggunakan logo pengesahan halal yang telah tamat tempoh sejak Jun 2009.

Beliau berkata, permohonan pengusaha kicap berkenaan untuk memperbaharui sijil pengesahan halal sebelum ini juga ditolak berikutan pemeriksaan susulan panel JAIP mendapati premis memproses kicap itu gagal dalam aspek kebersihan.

“Kegagalan pengusaha mengemukakan ramuan kicap buatan mereka juga salah satu faktor sijil pengesahan halal tidak diperbaharui.

"Namun JAIP mendapati label produk kicap buatan kilang tersebut masih mempamerkan logo pengesahan halal walaupun telah tamat tempoh," katanya.

Beberapa surat pengingatan juga telah dihantar kepada pemilik kilang terbabit sebelum ini tapi gagal dipatuhi.

Kilang kicap berusia 65 tahun itu merupakan salah satu daripada empat premis di sekitar Menglembu dan Silibin di sini yang diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan JAIP, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman berkata, jika sabit kesalahan, denda minimum RM250,000 boleh dikenakan dan pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan lain terutamanya JAIP akan terus mengiatkan operasi bersepadu tersebut yang julung kali diadakan di Perak pada tahun ini.

Thursday, June 3, 2010

Teroka semula sektor lombong

IPOH - Perak mahu muncul semula menjadi negeri perlombongan utama negara terutamanya bijih timah setelah meninggalkan industri tersebut lebih 20 tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sektor tersebut berpotensi untuk melonjakkan ekonomi negeri kerana selain bijih timah, Perak mempunyai simpanan mineral berkualiti lain seperti lempung tongkol (boulder clay).

“Sehubungan itu, beberapa agensi kerajaan dan wakil persatuan pelombong telah dipanggil hari ini (semalam) untuk memberi taklimat berhubung potensi sektor perlombongan kepada kerajaan negeri.

“Harga bijih timah di pasaran dunia kini memang tinggi dan stabil. Namun keputusan akhir sama ada untuk kembali menjadi negeri perlombongan bergantung kepada simpanan mineral berkenaan yang masih dimiliki,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat exco mingguan di sini semalam.

Perak pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah kedua terbesar dunia sejak abad ke-19 sehingga industri itu menguncup akibat kejatuhan mendadak harga mineral itu pada akhir 1980-an.