Penyelaras RT Jelapang/Jelapang Baru, Shafee Omar berkata, seramai 32 peserta berusia dari 13 hingga 20 tahun telah dipilih untuk menganggotai pasukan tersebut.
Beliau berkata, pasukan sokongan, juru ulas perlawanan dan seorang blogger pula terdiri daripada guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sekitar Jelapang/ Jelapang Baru yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an.
"Kami sengaja menggabungkan golongan remaja dan dewasa dalam satu pasukan bagi mendekatkan jurang antara generasi.
"Sukan dodgeball mampu mengeratkan jalinan kejiranan tanpa mengira usia, kaum dan agama," katanya.
Sementara itu, pasukan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan berentap bagi saingan Zon Utara di Extreme Park, Tambun City, Ipoh esok.
Dua pasukan terbaik Zon Utara akan berentap dengan enam lagi pasukan dari Zon Tengah, Selatan dan Timur pada saingan Grand Final di Kompleks Belia dan Sukan, Ayer Keroh, Melaka pada 22 Mei depan.
Menurut Setiausaha Agung, Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Yoe Wai Tat, dalam saingan di tiga zon sebelum ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Kejohanan ini istimewa kerana ia melibatkan kerjasama dan gandingan mantap semua komuniti dalam usaha untuk mereka mencipta kemenangan," katanya.
Kejohanan Dodgeball Komuniti 2010 membuka tirai di Kompleks Belia Rakan Muda Puchong, Selangor pada 10 April lalu dengan penampilan dari Zon Tengah yang melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Seterusnya, Zon Selatan yang melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Kompleks Sukan Ayer Keroh pada 17 April.
Zon Timur pula melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang diadakan di Batu Burok, Kuala Terengganu pada 24 April.