Oleh MOHD AZLI ADLAN
TERENGGANU telah mengalami tiga episod banjir setakat ini sejak ketibaan monsun Timur Laut atau dikenali sebagai monsun tengkujuh pada awal bulan lalu.
Banjir gelombang pertama hanya melibatkan 47 penduduk di perkampungan di Pelong, Setiu pada 18 November lalu dan telah surut sepenuhnya kurang 24 jam.
Selang lima hari kemudian, hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang besar telah mencetuskan bencana banjir paling buruk di negeri tersebut setakat ini.
Semua daerah di Terengganu kecuali Hulu Terengganu dilanda banjir melibatkan lebih 1,500 mangsa.
Pendalaman Kemaman paling teruk dengan rumah penduduk rata-ratanya telah ditenggelami lumpur setinggi hampir semeter.
Tidak sampai 11 jam selepas banjir gelombang dua surut sepenuhnya pada 2 Disember lalu, bumi negeri Pantai Timur sekali lagi dilanda banjir melibatkan hampir 2,800 penduduk.
Kali ini pusat bandar raya Kuala Terengganu hampir lumpuh dilanda banjir kilat yang dianggap terburuk sejak tahun 2016.
Bumi Terengganu kembali aman buat seketika setelah banjir gelombang ketiga diisytihar berakhir selepas pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang ditutup pada kelmarin.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meterologi Malaysia, negeri ini diramal bakal dilanda sehingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut yang dijangka hanya berakhir Mac depan.
“Walaupun, taburan hujan tahunan yang bakal turun di negeri ini sehingga akhir Disember diunjur hanya tinggal 28 peratus, pihak kami sentiasa siap siaga.
“Episod hujan lebat terdekat dijangka kembali melanda Terengganu pada minggu depan,” katanya.
Che Adam berkata, tiga situasi yang berlaku sepanjang bencana banjir di negeri ini setakat ini memerlukan analisis mendalam.
Jelas beliau, ia adalah banjir lumpur di pendalaman Kemaman pada gelombang kedua, banjir kilat yang melumpuhkan pusat bandar raya Kuala Terengganu dan fenomena ‘banjir termenung’ yang masih berlaku di Kampung Padang Garam, Marang.
“Banjir lumpur bulan lalu agak luar biasa dan tidak dijangka. Ia melibatkan lebih 200 rumah terutama di Kampung Teladas dan Kampung Air Putih.
“Tiga kemungkinan menyebabkan bencana luar jangka itu iaitu berlakunya hakisan tanah di kawasan bukit berhampiran, aktiviti pembalakan atau kilang kuari lama,” ujarnya.
Che Adam berkata, banjir kilat berlaku di pusat bandar raya Kuala Terengganu, manakala Kampung Padang Garam masih lagi dibelenggu dengan fenomena ‘banjir termenung’ walaupun sistem saliran telah dinaik taraf.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kesemua keluarga yang terjejas dengan kejadian banjir lumpur akan menerima bantuan RM1,000, manakala yang lain pula RM500 bagi setiap isi rumah.
“Pembayaran bantuan kepada mangsa banjir akan dilunaskan secara berperingkat sehingga bulan depan.
“Setiap isi rumah layak menerima sekali sahaja bantuan walaupun mereka berpindah masuk ke PPS berulang kali pada musim tengkujuh ini,” katanya.