Translate

Wednesday, September 30, 2026

‘Tak dapat bayang hidup dua anak kecil tanpa Rubayyi’

BESUT – “Masih tidak dapat membayangkan bagaimana saya dan dua anak, Wan Muhammad Nur Haqeem, 4 bulan, dan Wan Muhammad Raees, 2, yang masih kecil mahu menjalani hidup tanpa dia (Rubayyi) selepas ini.” 

Demikian luahan Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28, yang merupakan suami kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, Rubayyi Razak, 27, yang maut bersama penyelianya, Wan Adilah Wan Awang, 49, akibat renjatan elektrik di Kampung Air Tawar, Kuala Besut dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari di sini kelmarin. 

Rubayyi yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti adalah seorang penuntut yang berdedikasi dalam pengajian biarpun sudah mempunyai dua anak lelaki. 

Wan Muhammad Naim berkata, arwah isterinya mula menjalani latihan praktikal di kolam ikan tersebut sejak 10 Ogos lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas melahirkan anak kedua mereka. 

“Semalam (kelmarin) saya seperti biasa menjemput isteri (Rubayyi) untuk pulang sebentar ke rumah di Kampung Lahar, di sini, untuk makan tengah hari pada pukul 1 tengah hari. 

“Sebaik tiba di kolam ikan, saya cuba mencarinya sebelum terkejut menemukan tubuhnya dan pemilik kolam ikan (Wan Adilah) terbaring berhampiran sebatang paip,” katanya di sini semalam. 

Wan Muhammad Naim berkata, dia yang mengesyaki Rubayyi dan Wan Adilah terkena renjatan elektrik segera meminta bantuan penduduk kampung. 

Katanya, luluh hatinya apabila pegawai perubatan dan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan isterinya dan pengusaha kolam ikan kerapu hibrid terbabit sudah meninggal dunia. 

“Kami baru dapat tinggal bersama sejak arwah memulakan latihan praktikal. 

“Sebelum ini, anak-anak dijaga ibu mentua sewaktu dia belajar di kampus (UiTM Jengka),” katanya.

Sementara itu, kakak Wan Adilah, Wan Affida Malina Wan Awang, 51, pula tidak menyangka kejadian renjatan elektrik tersebut boleh meragut nyawa adiknya dan seorang pelajar praktikal.

 “Pada mulanya saya ingatkan mereka cuma cedera ringan. Kolam ikan itu diusahakan adik saya (Wan Adilah) sejak beberapa tahun lalu. 

“Dia yang masih bujang memang gigih sebagai usahawan dan aktiviti kemasyarakatan, malah pernah dilantik Exco Majlis Belia Malaysia,” katanya. J

enazah Rubayyi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kamis, Pasir Puteh, Kelantan, manakala Wan Adilah pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir, Jerteh, di sini.

Pekerja kafe didakwa salah guna kad ATM orang lain

BESUT – Seorang pekerja kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyalahgunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rakannya tanpa kebenaran untuk kegunaan sendiri minggu lalu. 

Tertuduh, Nur Amnie Nadirah Mat Din, 25, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri. 

Berdasarkan pertuduhan, Nur Amnie Nadirah didakwa menggunakan kad ATM milik individu lain untuk kegunaan sendiri. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kedai runcit di Felda Tenang, di sini pada 15 September lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan Nur Amnie Nadirah dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 21 Oktober ini. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.

Tuesday, September 29, 2026

SDAR Symphonic Band juara Asian Music Games Malaysia


  Kumpulan koir Sekolah Dato Abdul Razak, SDAR Symphonic Band bergambar selepas menjuarai kategori Senior Division Concert Band pada Asian Music Games Malaysia di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu negara baru-baru ini

‘Rajuk’ penyu belimbing berakhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMUNCULAN semula penyu belimbing untuk bertelur di Terengganu selepas hampir sedekad menghilang memberi harapan baharu terhadap usaha konservasi reptilia yang diancam kepupusan itu.

Ia memberi harapan baharu terhadap Pantai Rantau Abang, Dungun dan sekitar yang pernah menjadi lokasi pendaratan terbesar spesies penyu terbesar berkenaan sehingga tahun 1980-an.

Bukan sekali, tetapi induk penyu belimbing berkenaan telah tiga kali mendarat di Pantai Rantau Abang dan sekitar dalam tempoh 22 hari.

Kali pertama di Pantai Pasir Putih, Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pantai Rantau Abang pada 1 September lalu.

Pendaratan pertama di Pantai Pasir Putih itu menghasilkan 44 biji telur, manakala kunjungan kedua di Pantai Rantau Abang pada 13 hari kemudian menemukan 81 biji telur penyu belimbing.

Penyu belimbing kembali sekali lagi mendarat buat kali ketiga untuk mengeluarkan 70 biji telur di Pantai Kuala Abang, Dungun pukul 2 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, berdasarkan kesan pergerakan ditinggalkan di pasir pantai terlibat, ketiga-tiga pendaratan itu dipercayai dilakukan induk sama.

Beliau tidak menolak kemungkinan penyu belimbing betina itu bakal melakukan pendaratan lagi untuk bertelur pada masa terdekat.

“Biasanya seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali setiap musim mengawan.

“Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di pantai Terengganu setelah menghilang sejak 2017 memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan dirintis bertahun-tahun sebelum ini,” katanya semalam.

Pang berkata, ia petanda positif menunjukkan landskap pantai-pantai di Terengganu khususnya sekitar Pantai Rantau Abang masih sesuai untuk penyu bertelur.

Katanya, seekor induk penyu tidak mendarat di satu-satu pantai untuk bertelur secara rawak, namun amat bergantung kepada banyak faktor seperti struktur pasir, akses ke daratan, pencahayaan dan kekurangan gangguan manusia

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli pula berkata, pendaratan semula penyu belimbing tersebut merupakan perkembangan positif, namun perjalanan usaha konservasi reptilia itu masih lagi panjang.

Katanya, berdasarkan sela masa konsisten dengan kitaran penyu bertelur, berkemungkinan besar induk yang mendarat di ketiga-tiga pantai Terengganu tersebut reptilia sama.

“Begitupun ia tidak bermakna populasi penyu belimbing di negara ini sudah memulih sepenuhnya selagi induk-induk spesies sama lain tidak ikut jejak sama bertelur di pantai Terengganu.

“Apa yang penting, ia mahu melihat kebanyakan 195 biji telur yang ditinggalkan induk penyu belimbing tersebut berjaya menetas,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, tempoh 50 hingga 70 hari proses pengeraman yang dilakukan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang amat kritikal bagi memastikan kelangsungan penyu belimbing tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang ditemukan buat kali terakhir di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 gagal menetas berikutan tidak disenyawakan.

“Ia disebabkan perairan Terengganu kekurangan induk jantan bagi tujuan persenyawaan,” katanya.

Monday, September 28, 2026

Dua beranak masih pertahan rebana ubi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

BESUT – Dua beranak gigih menerusi legasi pembuatan rebana yang merupakan salah sebuah peralatan muzik tradisional Melayu yang kian luput ditelan zaman. 

Hapizi Hussin, 44, berkata, dia merupakan generasi ketiga mengusahakan pembuatan rebana yang dirintis arwah datuknya, A Ghani Yusof.

 “Kemahiran itu diwarisi ayah, Hussin, 67, sebelum saya mengikut jejak mempelajari pembuatan rebana sewaktu berusia 18 tahun lalu.

 “Asalnya sekadar mahu membantu ayah menyiapkan tempahan, kini kami berganding bahu menjadikannya sebagai sumber rezeki,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaan mereka di Kampung Gong Ubi Keling, di sini semalam. 

Hapizi berkata, pada mulanya, arwah datuknya menghasilkan rebana untuk kegunaan sendiri bagi mengiringi persembahan dikir barat dan silat di sekitar daerah ini dan sekitar. 

Katanya, bapanya, Hussin mula mengkomersialkannya mulai tahun 1990-an setelah mendapat permintaan menggalakkan daripada agensi kerajaan dan peminat muzik tradisional Melayu termasuk dari negara jiran. 

“Antara rebana yang kerap ditempah pelanggan ialah rebana ubi dan dikir serta gendang silat. “Selain dijadikan alat muzik, banyak juga permintaan bagi dijadikan cederamata terutama rebana dikir,” katanya. 

Hapizi berkata, kerangka rebana biasanya diperbuat daripada kayu pokok nangka, cempedak dan pauh.

 Menurutnya, kulit kambing pula digunakan dalam pembuatan rebana dikir manakala kulit lembu bagi rebana ubi.

 “Pemilihan kulit haiwan berkualiti sangat penting kerana ia akan mempengaruhi bunyi dihasilkan kelak," katanya.

Hapizi berkata, secara purata, dia dan bapanya mampu menghasilkan 60 buah rebana pelbagai jenis dalam sebulan. 

Dia berkata, selain untuk pelanggan seluruh negara dan Singapura, rebana mereka yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM3,500 sebuah juga dijual di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan.

UMT terima NC baharu


KUALA NERUS – Prof. Dr. Suriyani Muhamad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-7 berkuat kuasa Isnin ini. 

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Zamri Ibrahim yang tamat lantikan baru-baru ini. 

Sebelum dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada Januari 2025, Suriyani pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT. 

Suriyani berazam membawa UMT terus membina kekuatannya berasaskan bidang teras iaitu kelautan dan akuatik di samping memperkasa bidang-bidang strategik yang berpotensi tinggi untuk berkembang.

 “Kita akan memberi keutamaan memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri dan keperluan masa hadapan negara. 

“Antara pembangunan strategik diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard (Limbungan Kapal Pengajaran) yang bakal memperkukuh lagi ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim,” katanya di sini semalam. 

Suriyani berkata, UMT juga akan memberikan perhatian terhadap penyelidikan berimpak tinggi bagi memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap universiti, malah industri, masyarakat dan negara.

Katanya, kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa turut akan terus diperluas. 

Dalam pada itu, Prof. Ts Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT, Prof. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor pula dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT.

Sunday, September 27, 2026

Terima syarat UMNO hanya runding Pas

MARANG – Pas berlapang dada dengan syarat ditetapkan UMNO yang lebih selesa menjalin kerjasama politik dengan parti itu sahaja berbanding keseluruhan gabungan Perikatan Nasional (PN).

 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dan partinya berkongsi prinsip politik sama iaitu mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. 

“Kita akan teruskan perpaduan ummah ini, mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dahulu, lepas itu bukan Islam yang tidak ekstrem.

 “Parti-parti lain dalam PN terpulang kepada mereka, terima tak prinsip itu. Kalau tidak terima, kita tidak terimalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila, di sini semalam. 

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO lebih cenderung berunding dengan Pas berbanding PN secara keseluruhan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

 Beliau berkata, ia berdasarkan kecenderungan disuarakan majoriti perwakilan parti tersebut sewaktu sesi perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berpandangan tumpuan wajar diberikan terhadap mendesak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diumumkan segera berbanding membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) salah sebuah negeri dikuasai Pas semata-mata untuk menguji keutuhan kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pas. 

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan bersama PRU-16 sekiranya desakan tersebut berjaya direalisasikan. 

“Kalau boleh PRU buatlah cepat. Tak payah PRN (dahulu), PRU terus. Buat semua sekali gus,” katanya. 

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar Pas membubarkan DUN di salah satu negeri di bawah pentadbirannya seperti Terengganu bagi menguji keikhlasan muafakat.

‘Rajuk’ penyu belimbing sudah berakhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMUNCULAN semula penyu belimbing untuk bertelur di Terengganu selepas hampir sedekad menghilang memberi harapan baharu terhadap usaha konservasi reptilia yang diancam kepupusan itu.

Ia memberi harapan baharu terhadap Pantai Rantau Abang, Dungun dan sekitar yang pernah menjadi lokasi pendaratan terbesar spesies penyu terbesar berkenaan sehingga tahun 1980-an.

Bukan sekali, tetapi induk penyu belimbing berkenaan telah tiga kali mendarat di Pantai Rantau Abang dan sekitar dalam tempoh 22 hari.

Kali pertama di Pantai Pasir Putih, Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pantai Rantau Abang pada 1 September lalu.

Pendaratan pertama di Pantai Pasir Putih itu menghasilkan 44 biji telur, manakala kunjungan kedua di Pantai Rantau Abang pada 13 hari kemudian menemukan 81 biji telur penyu belimbing.

Penyu belimbing kembali sekali lagi mendarat buat kali ketiga untuk mengeluarkan 70 biji telur di Pantai Kuala Abang, Dungun pukul 2 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, berdasarkan kesan pergerakan ditinggalkan di pasir pantai terlibat, ketiga-tiga pendaratan itu dipercayai dilakukan induk sama.

Beliau tidak menolak kemungkinan penyu belimbing betina itu bakal melakukan pendaratan lagi untuk bertelur pada masa terdekat.

“Biasanya seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali setiap musim mengawan.

“Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di pantai Terengganu setelah menghilang sejak 2017 memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan dirintis bertahun-tahun sebelum ini,” katanya semalam.

Pang berkata, ia petanda positif menunjukkan landskap pantai-pantai di Terengganu khususnya sekitar Pantai Rantau Abang masih sesuai untuk penyu bertelur.

Katanya, seekor induk penyu tidak mendarat di satu-satu pantai untuk bertelur secara rawak, namun amat bergantung kepada banyak faktor seperti struktur pasir, akses ke daratan, pencahayaan dan kekurangan gangguan manusia

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli pula berkata, pendaratan semula penyu belimbing tersebut merupakan perkembangan positif, namun perjalanan usaha konservasi reptilia itu masih lagi panjang.

Katanya, berdasarkan sela masa konsisten dengan kitaran penyu bertelur, berkemungkinan besar induk yang mendarat di ketiga-tiga pantai Terengganu tersebut reptilia sama.

“Begitupun ia tidak bermakna populasi penyu belimbing di negara ini sudah memulih sepenuhnya selagi induk-induk spesies sama lain tidak ikut jejak sama bertelur di pantai Terengganu.

“Apa yang penting, ia mahu melihat kebanyakan 195 biji telur yang ditinggalkan induk penyu belimbing tersebut berjaya menetas,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, tempoh 50 hingga 70 hari proses pengeraman yang dilakukan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang amat kritikal bagi memastikan kelangsungan penyu belimbing tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang ditemukan buat kali terakhir di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 gagal menetas berikutan tidak disenyawakan.

“Ia disebabkan perairan Terengganu kekurangan induk jantan bagi tujuan persenyawaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Saturday, September 26, 2026

Kerepek Rokiah tembusi pasar raya

SETIU – Usaha keras seorang wanita selama 11 tahun berbaloi apabila produk kerepek dan kuih tradisional yang dia usahakan kini sudah memasuki pasar raya dan kedai runcit di sekitar daerah ini sejak setahun lalu. 

Rokiah Seman, 67, berkata, rempeyek, kerepek pisang, bunga durian, getas dan karipap mini yang diusahakan menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan. 

Katanya, perniagaannya mula berkembang selepas dia terpilih sebagai peserta program Satu Daerah Satu Industri pada 2015 yang membantunya mendapatkan peralatan seperti penguli, dapur dan mesin membuat karipap. 

“Perniagaan di pasar minggu semakin maju hingga menarik perhatian dan kepercayaan Yayasan Pembangunan Usahawan, Pejabat Daerah dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. 

“Ada juga cabaran apabila perniagaan terhenti selama tiga tahun akibat pelbagai masalah termasuk Covid-19 tetapi saya bangkit pada 2024 dan mula menerima tempatan secara online di Pantai Timur,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Batu di sini semalam. 

Menurut Rokiah, kemajuan itu membuatkan produknya yang dijual antara RM6 hingga RM21 itu mula memasuki pasar raya dan kedai runcit. Dia berharap perniagaannya akan menembusi lebih banyak premis perniagaan di seluruh Terengganu.

Kulit berkualiti rahsia bunyi rebana

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua beranak gigih menerusi legasi pembuatan rebana yang merupakan salah sebuah peralatan muzik tradisional Melayu yang kian luput ditelan zaman.

Hapizi Hussin, 44, berkata, dia merupakan generasi ketiga me­ngusahakan pembuatan rebana yang dirintis arwah datuknya, A Ghani Yusof.

“Kemahiran itu diwarisi ayah, Hussin, 67, sebelum saya mengikut jejak mempelajari pembuatan rebana sewaktu berusia 18 tahun lalu.

“Asalnya sekadar mahu membantu ayah menyiapkan tempahan, kini kami berganding bahu menjadikannya sebagai sumber rezeki,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaan mereka di Kampung Gong Ubi Keling, di sini semalam.

Hapizi berkata, pada mulanya, awal datuknya menghasilkan rebana untuk kegunaan sendiri bagi mengiringi persembahan dikir barat dan silat di sekitar daerah ini dan sekitar.

Katanya, bapanya, Hussin mula mengkomersialkannya mulai tahun 1990-an setelah mendapat permintaan menggalakkan daripada agensi kerajaan dan peminat muzik tradisional Me­layu termasuk dari negara jiran.

“Antara rebana yang kerap ditempah pelanggan ialah rebana ubi dan dikir serta gendang silat.

“Selain dijadikan alat muzik, banyak juga permintaan bagi dijadikan cederamata terutama rebana dikir,” katanya.

Hapizi berkata, kerangka rebana biasanya diperbuat daripada kayu pokok nangka, cempedak dan pauh.

Menurutnya, kulit kambing pula digunakan dalam pembuatan rebana dikir manakala kulit lembu bagi rebana ubi.

“Pemilihan kulit haiwan berkualiti sangat penting kerana ia akan mempengaruhi bunyi dihasilkan kelak.

Hapizi berkata, secara purata, dia dan bapanya mampu menghasilkan 60 buah rebana pelbagai jenis dalam sebulan.

Dia berkata, selain untuk pelanggan seluruh negara dan Singapura, rebana mereka yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM3,500 sebuah juga dijual di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan. -KOSMO! ONLINE

Friday, September 25, 2026

Pekerja kafe didakwa berbelanja guna kad ATM orang lain

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang pekerja kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) individu lain untuk kegunaan sendiri pada minggu lalu.

Tertuduh, Nur Amnie Nadirah Mat Din, 25, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Amnie Nadirah didakwa menggunakan kad ATM milik individu lain untuk kegunaan sendiri di sebuah kedai runcit di Felda Tenang, di sini pada 15 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Nur Amnie Nadirah dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar. – KOSMO! ONLINE

Prof. Dr. Suriyani dilantik Naib Canselor UMT baharu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Prof. Dr. Suriyani Muhamad dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketujuh berkuatkuasa Isnin ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Zamri Ibrahim yang tamat lantikan baru-baru ini.

Suriyani berazam membawa UMT terus membina kekuatannya berasaskan bidang teras iaitu kelautan dan akuatik di samping memperkasa bidang-bidang strategik yang berpotensi tinggi untuk berkembang.

“Kita akan memberi keutamaan memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri dan keperluan masa hadapan negara.

“Antara pembangunan strategik diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard (Limbungan Kapal Pengajaran) yang bakal memperkukuh lagi ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim,” katanya di sini hari ini.

Suriyani berkata, UMT juga akan memberikan perhatian terhadap penyelidikan berimpak tinggi bagi memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap universiti malah industri, masyarakat dan negara.

Beliau berkata, kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa turut akan terus diperluas.

Dalam perkembangan sama, Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT, Prof. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT. – KOSMO! ONLINE

Suami isteri peserta konvoi Aveta Nova 250 maut dirempuh lori

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Keterujaan 18 peminat skuter jenis Aveta Nova 250 untuk berkonvoi ke Kuala Perlis terencat apabila dua daripada mereka yang merupakan pasangan suami isteri maut dalam kemalangan di Kampung Gong Kedak di sini, hari ini.

Kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu tiga skuter Aveta Nova 250 dan sebuah lori pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan Mohd. Zamri Mohd. Zaki, 41, dan isterinya, Norlyana Ismail, 45.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan menyertai konvoi skuter terbabit untuk bercuti ke Kuala Perlis dari Kuala Terengganu.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai juga peserta konvoi dari arah Kuala Besut di sini dikatakan termasuk laluan lori membawa muatan tanah terbabit sebelum berlaku pelanggaran.

“Ia menyebabkan lori yang dalam perjalanan ke Bachok, Kelantan itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh skuter dinaiki pasangan suami isteri (Mohd. Zamri dan Norlyana) terbabit,” katanya di sini hari ini.

Rozaime berkata, sebuah lagi skuker jenis sama dinaiki pasangan berusia 51 dan 50 tahun pula terlanggar muatan tanah dibawa lori terbabit yang terjatuh ke atas jalan raya.

Beliau berkata, mayat Mohd. Zamri dan Norlyana telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Syarat UMNO hanya mahu runding dengan Pas bukan PN diterima

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas berlapang dada dengan syarat ditetapkan UMNO yang lebih selesa menjalin kerjasama politik dengan parti itu sahaja berbanding keseluruhan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dan partinya berkongsi prinsip politik sama iaitu mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kita akan teruskan perpaduan ummah ini, mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dahulu, lepas itu bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Parti-parti lain dalam PN terpulang kepada mereka, terima tak prinsip itu. Kalau tidak terima, kita tidak terimalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini, hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata,
UMNO lebih cenderung berrunding dengan Pas berbanding PN secara keseluruhan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, ia berdasarkan kecenderungan disuarakan majoriti perwakilan parti tersebut sewaktu sesi perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berpandangan tumpuan wajar diberikan terhadap mendesak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diumumkan segera berbanding membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) salah sebuah negeri dikuasai Pas semata-mata untuk menguji keutuhan kerjasama politik
Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan bersama PRU-16 sekiranya desakan tersebut berjaya direalisasikan. – KOSMO! ONLINE

Hadi sedia kemuka bukti tawaran AS jatuhkan BN pada 2014

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan sudah memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan dakwaan ditawarkan bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2014.

Ahli Parlimen Marang berkata, keterangan itu telah diambil di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada beberapa hari lalu.

“Tak sampai sejam (tempoh masa memberi keterangan kepada pegawai PDRM). Selanjutnya, saya serah kepada Peguam Negara.

“Sekiranya di bawa ke mahkamah (untuk pendakwaan), kita akan bawa bukti (dakwaan tawaran AS),” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini, hari ini.

Terdahulu, sewaktu sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-72 pada 5 September lalu, Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin parti itu yang dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS pada 2014 telah ditawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan semasa.

Begitupun, Kedutaan AS segera menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.

PDRM yang menerima 12 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi tersebut kemudiannya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyatakan kegusarannya ancaman serangan kumpulan Houthi dari Yemen terhadap Mekah yang dikhuatiri mungkin didalangi pihak Barat bagi memecah belah kesatuan orang Islam.

Beliau berkata, taktik sama pernah digunakan sewaktu menghasut orang Arab memerangi kerajaan Uthmaniyah yang ketika itu menunjangi sistem khalifah Islam pada Perang Dunia pertama. – KOSMO! ONLINE

Penyu belimbing dijangka kembali ke Terengganu


KUALA NERUS – Induk penyu belimbing yang mendarat untuk bertelur di Pantai Marang dekat sini pada Isnin lalu berkemungkinan akan kembali semula untuk membuat lagi sarang seterusnya dalam tempoh beberapa minggu lagi. 

Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, secara lazimnya, seekor penyu belimbing betina akan bertelur di tempat pendaratan sama lebih dari sekali sepanjang musim mengawan sehingga bulan Oktober depan. 

“Beberapa minggu akan datang sangat kritikal kerana ada kemungkinan induk sama akan kembali menghasilkan sarang berikutnya. 

“Masyarakat perlu memberi ruang dengan kurangkan gangguan cahaya, kenderaan dan orang ramai berkumpul di pantai kerana boleh menakutkan penyu tersebut yang cuba naik bertelur,” katanya di sini semalam. 

Beliau mengulas pendaratan kembali seekor penyu belimbing betina buat julung kalinya di Terengganu dalam tempoh sembilan tahun di Pantai Marang. 

Induk penyu itu mengeluarkan 44 biji telur yang telah dibawa ke pusat konservasi di Rantau Abang, Dungun untuk tujuan penetasan. 

Mohd. Uzair berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ia peluang berharga untuk pakar mengecam dan mengenal pasti genetik induk penyu belimbing tersebut. 

Jelasnya, identiti induk berkenaan masih menjadi tanda tanya sama ada ia merupakan reptilia sama yang mendarat kali terakhir pada tahun 2017 atau penyu lain.

Kontraktor rugi RM144,000 diperdaya skim kripto

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang kontraktor untuk mengaut keuntungan lumayan bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia pula yang kerugian RM144,781.21 akibat diperdaya skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Lelaki berusia 59 tahun tersebut yang menyedari tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 6.19 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, dia tertarik dengan tawaran skim pelaburan mata wang kripto yang dilihatnya menerusi aplikasi Tik Tok pada awal bulan lalu.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu yang mengaku kononnya wakil skim pelaburan tersebut dan berasal dari Korea Selatan.

“Dia menyertai untuk menyertai skim pelaburan berkenaan yang kononnya menjanjikan keuntunyan lumayan,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, kontraktor pembinaan mula membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM144,781.21.

Beliau berkata, lelaki itu melakukan pelaburan menerusi 14 transkasi ke dalam 11 akaun bank diberikan suspek antara 4 Ogos lalu dan 9 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Thursday, September 24, 2026

Isytihar darurat jika cecah IPU 400

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan selain Serian, Sarawak sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) direkodkan melebihi 400 atau berbahaya. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, setakat ini, tiga stesen IPU di Sarawak sedang mencatatkan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman. 

“Kita akan sentiasa memantau keadaan mengikut SOP (prosedur operasi standard). “Sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) merekodkan 400 ke atas, ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan darurat,” katanya selepas merasmikan program Kampung Madani Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Basong, di sini semalam.

 Kelmarin, Bahagian Serian diisytiharkan darurat ekoran kawasan tersebut mencatatkan bacaan IPU 500. 

Arthur berkata, sepanjang tempoh darurat jerebu, semua sekolah ditutup, pekerja bekerja di rumah dan orang ramai tidak digalakkan keluar rumah kecuali memakai pelitup muka. 

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan, kawasan selatan Sarawak termasuk Serian telah merekodkan bacaaan IPU berbahaya secara konsisten dalam tempoh hampir seminggu ini. 

Dalam perkembangan sama, Arthur berkata, sebaik Serian diisytiharkan darurat kelmarin, kerja-kerja pembenihan awan terus digiatkan di selatan Sarawak. 

Beliau berkata, ia menyasarkan kawasan Empangan Sika, Assyakirin, Bakun dan Long Jawi selain Serian. “Operasi (pembenihan awam) berjaya dengan hujan mula dikesan di kawasan Empangan Bakun dari pukul 6 petang (kelmarin) hingga 3 pagi (semalam). 

“Kita juga melakukan operasi pembenihan awan di kawasan utara Semenanjung dengan memberi fokus Empangan Beris, Muda, Pedu dan Ahning,” katanya. 

Tambahnya, operasi itu juga berjaya dengan hujan turun bermula pada pukul 3 petang di Empangan Beris, Muda dan Pedu.

Wednesday, September 23, 2026

Rosnani perlu dijaga seperti bayi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Usia tua dan kudrat yang terbatas sedikit pun tidak mematahkan semangat sepa­sang suami isteri dari Kampung Baru Tok Dor di sini, untuk terus menumpahkan kasih sayang kepada anak perempuan mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Bagi Halimah Said, 65, dan suaminya, Mat Ail Mamat, 78, tanggungjawab menjaga Rosnani Mat Ail, 41, yang merupakan anak keempat daripada 11 beradik itu tetap sama seperti menguruskan seorang bayi walaupun usianya sudah mencecah empat dekad.

“Dia (Rosnani) bukan sahaja terlantar sepanjang masa, malah tidak boleh bercakap.

“Bagaikan bayi, dia akan merengek jika lapar dan hanya bergantung kepada susu khas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru Tok Dor di sini, kelmarin.

Halimah berkata, Rosnani disahkan mengalami kecacatan kekal akibat kekurangan oksigen sewaktu dilahirkan dan pernah ditahan selama dua minggu di Hospital Raja Perempuan Zai­nab II yang dahulunya dikenal sebagai Hospital Besar Kota Bharu.

“Sewaktu bayi, perkembangan Rosnani tidak aktif seperti yang lain, malah kaki dan tangan­nya mula membengkok semasa ­berusia lapan bulan.

“Ini menyebabkan dia terlantar sehingga sekarang. Sampai hari ini, saya dan suami perlu menjaganya seperti bayi termasuk memakaikannya lampin pakai buang,” katanya.

Halimah berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan semuanya habis digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas untuk Rosnani.

Menurutnya, sebahagian ­daripada 10 anak-anaknya yang lain banyak membantu kewangan dan kudrat demi kebajikan Rosnani.

“Selagi saya dan suami masih dipanjangkan umur, kami akan jaga amanah yang diberikan ini sebaik mungkin hingga ke akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Mat Ail bernombor 1111841000131685 (Bank Simpanan Nasional) atau meng­hubungi Halimah di talian 011-25172250.

Tuesday, September 22, 2026

JPKK & JPLK UMT

 

SEBAHAGIAN pemimpin pelajar yang dilantik sebagai Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK) dan Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Monday, September 21, 2026

KPK sedia khidmat kapal tunda luar pesisir untuk PED

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn. Bhd. (KPK) berjaya meraih kontrak penyediaan dua kapal tunda luar pesisir kepada Petra Energy Development Sdn. Bhd. (PED). 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Muhtar Suhaili berkata, dua kapal tunda luar pesisir itu memiliki kapasiti daya tarikan antara 50 dan 60 tan metrik bagi operasi PED di Medan Minyak Banang yang terletak di perairan Terengganu. 

“KPK akan menyediakan sebuah kapal tunda luar pesisir utama sebagai kapal sokongan siaga manakala sebuah kapal tunda sekunder pula sebagai kapal bantuan pengangkutan keluar. 

“Kapal tunda luar pesisir utama akan disediakan bagi tempoh 934 hari dengan dua tempoh lanjutan pilihan iaitu masing-masing selama 365 hari. 

“Selain itu, kapal tunda luar pesisir sekunder pula akan disediakan selama 100 hari berdasarkan keperluan,” katanya di sini semalam. 

erdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani dokumen kontrak berkenaan antara KPK yang diwakili Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin EPIC, Mohd. Kamarul Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif PED, Richard Chia. 

Muhtar berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan keyakinan pemain industri terhadap keupayaan KPK dalam menyokong keperluan operasi industri luar pesisir. 

Beliau berkata, kerjasama tersebut memperkukuh peranan KPK sebagai penyedia perkhidmatan sokongan operasi luar pesisir. 

“Pengalaman dan kepakaran operasi KPK dalam sektor marin juga akan dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan industri tenaga yang kian berkembang,” ujarnya. 

Tambah beliau, KPK juga komited untuk menyediakan perkhidmatan yang memenuhi piawaian keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi ditetapkan.

Sunday, September 20, 2026

Wanita terpaksa pinjam duit kawan untuk bayar scammer

 KUALA TERENGGANU – Seorang kerani akaun berputih mata apabila dia bukan sahaja tidak menerima pinjaman peribadi RM100,000 yang dipohon, malah kerugian RM54,620 akibat diperdaya sindiket penipuan. 

Tambah menyedihkan, sebahagian wang yang diberikan wanita berusia 29 tahun itu kepada scammer dipinjam daripada kawan-kawannya. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kerani akaun itu tertarik dengan iklan menawarkan skim pembiayaan peribadi yang dilihatnya menerusi laman Facebook pada 28 Ogos lalu. 

“Mangsa kemudiannya menghubungi ejen syarikat pinjaman wang terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

 “Dia yang memohon pinjaman RM100,000 diminta membuat bayaran proses terlebih dahulu kononnya bagi kelulusan permohonan,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, wanita itu yang tidak curiga mengikut arahan dengan membuat pembayaran keseluruhan RM54,620. 

Beliau berkata, pembayaran tersebut dilakukan menerusi 13 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank diberi suspek antara Selasa hingga Sabtu minggu lalu. 

“Begitupun, mangsa tetap tidak menerima wang pinjaman yang dimohonnya, malah diarah membuat tambahan ‘bayaran proses’ lagi membuatnya tersedar sudah tertipu,” katanya.

Saturday, September 19, 2026

‘Kami jaga Rosnani seperti seorang bayi’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Usia tua dan kudrat yang terbatas sedikit pun tidak mematahkan semangat sepa­sang suami isteri dari Kampung Baru Tok Dor di sini, untuk terus menumpahkan kasih sayang kepada anak perempuan mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Bagi Halimah Said, 65, dan suaminya, Mat Ail Mamat, 78, tanggungjawab menjaga Rosnani Mat Ail, 41, yang merupakan anak keempat daripada 11 beradik itu tetap sama seperti menguruskan seorang bayi walaupun usianya sudah mencecah empat dekad.

“Dia (Rosnani) bukan sahaja terlantar sepanjang masa, malah tidak boleh bercakap.

“Bagaikan bayi, dia akan merengek jika lapar dan hanya bergantung kepada susu khas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru Tok Dor di sini, kelmarin.

Halimah berkata, Rosnani disahkan mengalami kecacatan kekal akibat kekurangan oksigen sewaktu dilahirkan dan pernah ditahan selama dua minggu di Hospital Raja Perempuan Zai­nab II yang dahulunya dikenal sebagai Hospital Besar Kota Bharu.

“Sewaktu bayi, perkembangan Rosnani tidak aktif seperti yang lain, malah kaki dan tangan­nya mula membengkok semasa ­berusia lapan bulan.

“Ini menyebabkan dia terlantar sehingga sekarang. Sampai hari ini, saya dan suami perlu menjaganya seperti bayi termasuk memakaikannya lampin pakai buang,” katanya.

Halimah berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan semuanya habis digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas untuk Rosnani.

Menurutnya, sebahagian ­daripada 10 anak-anaknya yang lain banyak membantu kewangan dan kudrat demi kebajikan Rosnani.

“Selagi saya dan suami masih dipanjangkan umur, kami akan jaga amanah yang diberikan ini sebaik mungkin hingga ke akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Mat Ail bernombor 1111841000131685 (Bank Simpanan Nasional) atau meng­hubungi Halimah di talian 011-25172250.

Friday, September 18, 2026

Orang Terengganu tidak cukup telur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Terengganu mula menghadapi masalah kekurangan bekalan telur ayam pada minggu pertama bulan Ramadan ini dengan hanya 400,000 biji berada di pasaran pada setiap hari.

 Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, bekalan telur ayam tersebut tidak memadai dengan permintaan harian penduduk negeri ini iaitu kira-kira satu juta. 

Beliau berkata, bekalan sebanyak 400,000 biji telur ayam itu juga jauh lebih rendah berbanding 600,000 biji sehari yang dibekalkan di negeri ini sebelum ketibaan bulan Ramadan. 

“Terengganu tidak mempunyai industri ayam penelur dan terpaksa membawa masuk telur daripada negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, dan Perak. 

“Begitupun permintaan tinggi di negeri pengusaha telur ayam terbabit pada masa ini menyebabkan mereka terpaksa menumpukan pasaran tempatan menyebabkan bekalan di Terengganu telah berkurangan secara drastik,” katanya di sini semalam. 

Saharuddin berkata, penurunan bekalan sehingga 33 peratus tersebut telah memberi kesan lebih besar kepada pengguna.

 Jelas beliau, ia disebabkan permintaan telur ayam turut meningkat mendadak dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan pengusaha biskut raya tempatan. 

“Begitupun, pemeriksaan mendapati telur ayam masih boleh diperolehi pengguna dengan hanya masing-masing satu pemborong dan peruncit di negeri ini yang benar-benar sudah kehabisan stok.

 “Kebanyakan pemborong juga telah mengambil inisiatif menempah daripada pengusaha dengan bayaran tunai agar bekalan telur ayam kekal stabil di pasaran,” katanya. 

Sehubungan itu, Saharuddin menasihatkan pengguna terutama golongan peniaga tempatan tidak melakukan pembelian panik yang akan memburukkan lagi keadaan. 

Beliau juga bertegas agar pemborong dan peniaga agar tidak ambil kesempatan menaikkan harga kerana telur ayam merupakan barangan kawalan.

 “Kita akan sentiasa pantau pembekal dan pemborong di negeri ini,” jelasnya.

Thursday, September 17, 2026

Salam, peluk ibu, adik-beradik sebelum ajal


MARANG- Seorang abang tidak menyangka perubahan sikaÑ€ adik lelakinya pada majlis tahlil kehiarga beberapa hari lalu rupа rupanya petanda pemergiannya akibat nahas ngeri di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) kelmarin. 

Mohd. Zukri Yaacob, 55, berkata, arwah adiknya, Mohd. Fahimi, 41. yang selama ini paling ringan tulang setiap kali majlis keluarga dilihat hanya mendiamkan diri dan duduk di belakang sepan jang tahlil terbabit.

 "Saya sangka dia (Mohd. Fahimi) yang merupakan guru Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu penat kerana baru selesal mengendalikan program perkhemahan pelajar sekolahnya.

 "Rupa-rupanya itu petanda dia mahu meninggalkan kami. katanya ketika ditemui di Таnah Perkuburan Islam Kampung Jerong Surau, di sini kelmarin.

 Jenazah arwah selamat dike bumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 10.30 malam dengan dihadiri lebih 500 ahli keluarga, saudara dan penduduk termasuk dua daripada empat anak arwah. 

Mohd. Zukri berkata, Mohd. Fahimi juga sempat bersalaman dan berpelukan dengan ibu mereka dan adik-beradik lain selepas beredar pulang dari majlis tahlil terbabit. 

Katanya, arwah yang juga anak ke-13 daripada 14 beradik pada masa itu dilihat bersungguh sungguh memohon maaf kepada ibu dan mereka semua.

Mohd. Zukri berkata, dia mengetahui kemalangan tersebut apabila dihubungi polis untuk membuat pengecaman mayat pada pukul 10.15 pagi kelmarin. 

"Saya terus menghubungi isteri arwah yang kemudiannya mengesahkan suaminya (Mohd. Fahimi) memang bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dengan menunggang motosikal," katanya.

 Kelmarin Kosmo! melaporkan, Mohd. Fahimi maut akibat rentung selepas skuter pengembaraan jenis Zontes yang ditungganginya merempuh sebuah lort kurier di Kilometer 357, LPT2 berhampiran Bukit Besi, Dungun pada pukul 5 pagi.

Wednesday, September 16, 2026

Pesara pinjam duit kawan, akhirnya lesap RM92,781

 KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara mendapatkan pinjaman RM10,000 bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia kerugian RM92,781 selepas diperdaya sindiket skim pembiayaan peribadi tidak wujud. 

Lebih malang, lebih RM40,000 daripada jumlah kerugian itu merupakan wang yang dipinjam lelaki berusia 60 tahun berkenaan daripada 10 rakannya. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, bekas penolong jurutera itu tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dilihatnya di Facebook pada Jun lalu.

 “Mangsa kemudiannya menghubungi nombor telefon tertera bagi memohon pinjaman sebanyak RM10,000. 

“Dia kemudiannya menyerahkan butiran peribadi seperti salinan MyKad, bil utiliti, kad pencen dan butiran akaun bank kononnya bagi memproses permohonan pinjaman terbabit,” katanya di sini semalam.

 Menurutnya, pesara itu juga mengikut arahan suspek membuat pembayaran kononnya bagi urusan kelulusan pinjaman tersebut.

 Katanya, pembayaran dilakukan lelaki itu dalam 86 transaksi ke dalam 28 akaun bank diberi suspek di antara 14 Jun hingga Khamis lalu.

 “Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila dia terus dipaksa membuat pembayaran tambahan tanpa menerima walaupun sesen pun pinjaman dipohon. 

“Dia juga diugut kononnya akan dikenakan tindakan mahkamah jika tidak mengikut arahan suspek,” katanya. 

Sementara itu, di Dungun, hasrat seorang doktor swasta untuk mengaut keuntungan berganda bukan sahaja tidak kesampaian, malah simpanannya lebih setengah juta pula lesap diperdaya skim pelaburan tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, pada mulanya, wanita berusia 32 tahun itu tertarik dengan iklan skim pelaburan itu yang dilihatnya di akaun Instagram pada bulan Januari lalu. 

“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya wakil pengendali skim pelaburan terbabit. 

“Dia kemudian membayar RM300 bagi mendapat akses video tutorial urus niaga perdagangan pelaburan terbabit,” katanya. 

Ujarnya, doktor itu yang berminat kemudiannya telah melabur dalam skim pelaburan itu. 

“Begitupun, wanita itu didakwa telah melakukan kesalahan dalam urus niaga.

 “Mangsa kemudiannya telah diarahkan membayar ganti rugi atas kesilapan dilakukannya dengan digertak kononnya akan dikenakan tindakan mahkamah jika tidak melunaskannya. “

Dia akur membayar ‘ganti rugi’ berkenaam menerusi 77 transaksi pindahan wang yang berjumlah keseluruhan RM558,000,” katanya.

Tuesday, September 15, 2026

BN kekal dalam kerajaan hingga akhir penggal

 KUALA NERUS – Seramai 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus komited menganggotai Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, komitmen itu selaras perjanjian yang telah ditandatangani mereka sewaktu awal pembentukan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

 “Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan terus bersama UMNO dan BN.

 “Kami (Ahli Parlimen BN) juga telah menandatangani (perjanjian) menyokong kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Jembal di sini semalam. 

Terdahulu Anwar dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin menyatakan BN tetap kekal dalam kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara hingga berakhirnya penggal Parlimen ke-15. 

Beliau memutuskan demikian biarpun menerima tekanan daripada pemimpin dan penyokong PKR agar menyingkirkan BN dalam Kerajaan Perpaduan berikutan haluan berbeza diambil dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan. 

Ahmad berkata, BN juga memulangkan kepada budi bicara Anwar selaku ketua kerajaan untuk menentukan tarikh akhir penggal ini sama ada pada akhir tahun ini atau tahun depan. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan hanya melibatkan peringkat Persekutuan, bukan di setiap negeri yang turut dibentuk gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

 “Seingat saya, mungkin hanya Pulau Pinang yang ada perjanjian (Kerajaan Perpaduan), yang lain tiada. Sebab itu (Pilihan Raya Negeri) Johor, Melaka, Sarawak dan Sabah pendekatan berbeza,” katanya.

 Ahmad berkata, BN tidak pernah mencadangkan agar peruntukan kepada kerajaankerajaan negeri pembangkang disekat seperti didakwa Anwar.

Monday, September 14, 2026

[KEMASKINI] Bekas Exco MBM, pelajar praktikal maut terkena renjatan elektrik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua wanita yang maut disyaki akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kolam ikan di Kampung Air Tawar, Kuala Besut hari ini dikenal pasti sebagai Wan Adilah Wan Awang, 49, dan Rubayyi Razak, 27.

Wan Adilah yang merupakan pengusaha kolam ikan tersebut merupakan bekas Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), manakala Rubayyi pula difahamkan merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang yang sedang menjalani latihan praktikal.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kolam ikan tersebut pada pukul 1.40 tengah hari.

“Mereka disyaki telah terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian juga dilakukan Tenaga Nasional Berhad,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, mayat Wan Adilah dan Rubayyi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan setakat ini kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Dua maut terkena renjatan elektrik di kolam ikan

 

BESUT – Dua wanita dipercayai pemilik kolam ikan dan pelajar praktikal maut disyaki akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Air Tawar, Kuala Besut hari ini.

Insiden mengorbankan kedua-dua mangsa yang masih belum dikenalpasti identiti dikatakan berlaku pada pukul 1 tengah hari.

Mayat dua wanita terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini untuk tindakan lanjut.

Setakat ini pihak berkuasa masih belum membuat apa-apa pengesahan. – KOSMO! ONLINE