Translate

Wednesday, September 28, 2011

IEE buka peluang niaga usahawan elektrik

 IPOH - Syarikat Intergrated Electrical & Electronic Sdn. Bhd. (IEE) yang berpusat di sini bercadang untuk membuka peluang perniagaan barangan elektrik kepada usahawan bumiputera di negeri Perak secara francais mulai tahun depan.

Pengarah Urusannya, Mohd. Zabidi Razalli berkata, keputusan untuk melebarkan perniagaan melalui program francais itu adalah berdasarkan permintaan usahawan yang ingin menceburi bidang yang sama.

“Kami bercadang memperkenalkan tiga jenis kedai mengikut kesesuaian tapak dan kawasan dengan anggaran modal sebanyak RM150,000, RM250,000 dan RM500,000.

“Sehubungan itu, kami sedang menjalin hubungan dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan Majlis  Amanah Rakyat (Mara) untuk merealisasikan pelan perkembangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penjenamaan semula kedai-kedai IEE dengan nama Hub Brite di sini semalam.

Mohd. Zabid berkata, bermula dengan cawangan pertama di Taman Mewah di sini pada 1997, Hub Brite kini semakin berkembang dengan penambahan dua cawangan di Ulu Kinta dan Taman Bercham Raya.

“Berbekalkan penjualan barangan elektrik berjenama dan berkualiti dan perkhidmatan selepas jualan bermutu, kami mula mendapat tempat pengguna tempatan dengan purata jualan  bulanan di setiap cawangan lebih RM50,000 sebulan,” katanya.

Sebagai langkah untuk terus mengukuhkan lagi penguasaan pasaran barangan elektrik, beliau memaklumkan, IEE juga berhasrat untuk membuka beberapa cawangan baharu Hub Brite di negeri berkenaan termasuk di Taman  Meru di sini, Seri Iskandar dan Kuala Kangsar selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini.

Tuesday, September 27, 2011

Mati ditetak lapan lelaki

IPOH - Kesilapan seorang remaja yang memilih jalan mati untuk melarikan diri ketika dikejar sekumpulan lapan lelaki mengundang padah apabila dia mati ditetak penjenayah tersebut dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Menglembu dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8 malam itu mengakibatkan K. Pirathibaraj, 19, dari Taman Buntong Ria di sini mati akibat kecederaan parah di kepala dan tangan akibat tetakan  tersebut. Ketika itu mangsa menunggang motosikal.

Difahamkan, pekerja kilang itu baru dua minggu berada di sini selepas permit kerjanya di Singapura tamat tempoh. Dia dijangka bekerja di negara republik itu dalam tempoh terdekat selepas memperbaharui dokumen tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa dikejar suspek yang menunggang empat motosikal di persimpangan lampu isyarat Falim-Menglembu.

"Mangsa kemudian cuba memecut motosikal namun terperangkap selepas tersalah masuk ke jalan mati. Suspek mengambil kesempatan itu menetak hingga mati mangsa dengan parang sebelum meninggalkan mayatnya di depan sebuah kilang berhampiran," katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadaian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa, K. Magendran, 30, memberitahu, adiknya dijangka pergi ke Singapura semula untuk berkerja selepas memperbaharui permit kerjanya yang tamat tempoh.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana setahunya, adiknya tidak mempunyai musuh kerana sibuk bekerja di negara jiran itu.

Remaja parah ditetak tiga samseng

IPOH - Kerisauan seorang lelaki terhadap sekumpulan samseng yang sering mengganggu hidupnya sejak dua tahun lalu sampai di kemuncak apabila dia cedera parah selepas ditetak dua lelaki di Kawasan Perindustrian Pinggir Bercham di sini semalam.

Difahamkan, K. Sasikumar, 19, diserang hingga tiga jari kanannya hampir putus ekoran tindakannya yang enggan menyertai kumpulan kongsi gelap dianggotai suspek-suspek berkenaan. Kepala mangsa turut ditetak.

Kejadian pukul 12 tengah malam itu berlaku ketika pekerja kerja barangan lusuh tersebut didatangi tiga individu menaiki sebuah kereta Perodua Viva ketika dia berada di luar. Premis itu dimiliki bapa saudaranya, C. Ramachandran, 43.

Katanya, seorang wanita kemudian menjerit mengarahkan dua lelaki terbabit menetaknya menyebabkan dia cuba berlari mask semula ke dalam premis tetapi gagal.

 "Bapa saudara saya dan isterinya, M. Mariyamma, 49,cuba membantu tetapi mereka ditumbuk dan dipukul penjenayah itu.

"Suspek kemudiannya mengheret saya ke tingkat dua sebelum menetak saya berkali-kali. Mereka kemudian mengheret saya semula ke tingkat bawah lalu dipaksa masuk ke dalam kereta," ceritanya.

Bagaimanapun tambahnya, penjenayah itu kemudian melarikan diri selepas bapa saudaranya menjerit meminta tolong. Suspek turut melarikan wang hampir RM3,000.

Menurut Sasikumar, dia percaya serangan itu ada kaitan dengan keenggannya menyertai sebuah kumpulan samseng biarpun dipujuk sejak dua tahun lalu.

"Mungkin sudah letih hendak pujuk, mereka mula membuat kacau di tempat kerja selain membaling batu di rumah saya di Taman Perpaduan Ria sebelum menyerang saya pula," ceritanya yang memberitahu kesemua jarinya berjaya disambung semula selepas dibedah.

Ujar Sasikumar, dia telah membuat tujuh laporan dan yang terbaru pada 17 September lalu mengenai gangguan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut bermotifkan samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Polis juga akan menyiasat dakwaan mangsa yang dipaksa masuk kumpulan kongsi gelap.

Saturday, September 24, 2011

Daftar kahwin luar pejabat, hujung minggu

GOPENG -  Pendaftaran   perkahwinan  pasangan bukan Islam kini boleh dilakukan di luar waktu pejabat dan hujung minggu selain boleh dilakukan di lokasi lain selain pejabat cawangan Jabatan  Pendaftaran  Negara (JPN) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN, Datin  Jariah  Mohd. Said berkata, mulai awal bulan ini, proses  pendaftaran   perkahwinan  itu telah diperluaskan dan pasangan pengantin diberi kelonggaran memilih premis mereka sendiri seperti hotel atau restoran untuk melakukan upacara  pendaftaran   perkahwinan  tersebut.

"Pegawai kami akan hadir ke premis yang dipilih untuk menyempurnakan majlis berkenaan," katanya selepas melawat cawangan terbaharu JPN di Terminal Agribisnes Malaysia (Teman) di sini semalam.

Pembukaan cawangan JPN ke-21 di Perak itu memudahkan penduduk tempatan dan Cameron Highlands berurusan dengan agensi tersebut tanpa perlu ke Ibu Pejabat JPN Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bandar Meru yang terletak lebih 20 kilometer dari pekan tersebut.

Perkhidmatan upacara  pendaftaran   perkahwinan  di luar pejabat cawangan JPN dikenakan caj tambahan sebanyak RM500.

Thursday, September 22, 2011

Buku keunikan Ipoh dilancar


IPOH - Masyarakat di negara ini khususnya mereka yang berasal Perak kini berpeluang untuk mendalami keunikan bandar raya Ipoh dari perspektif warganya sendiri dengan terlancarnya buku Ipoh, My Home Town semalam.

Buku terbitan Media Masters Publishing Sdn. Bhd. itu merupakan inisiatif Komander Ian Anderson , 73, seorang lelaki Scotland yang berhijrah ke bandar raya ini pada tahun 1999.

Anderson  yang bertindak sebagai penyunting buku tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 64 cerita hasil tulisan 47 warga bandar raya ini termasuk kartunis terkenal, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohammad Nor Khalid.

"Dalam buku setebal 276 muka surat ini, penulis mendedahkan tentang pengalamannya membesar di Ipoh.

"Idea penerbitan buku ini timbul daripada keselesaan saya menetap di Ipoh yang damai namun dalam masa sama agak risau dengan sikap segelintir generasi muda yang kurang mencintainya," katanya selepas pelancaran buku tersebut oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Lim Keng Yaik di Kelab Diraja Ipoh di sini semalam.

Dalam majlis sama, Keng Yaik turut berkongsi pengalaman beliau membesar di bandar raya ini selepas berhijrah dari Tapah pada usia tujuh tahun. Anderson  berkata, beliau mengambil masa 21 bulan untuk mengumpulkan bahan buku berkulit keras yang berharga RM100 itu.

Menurutnya, buku yang boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara tersebut turut mengabadikan 400 gambar lama yang merakam perkembangan bandar raya itu sejak ratusan tahun lalu.

Wednesday, September 21, 2011

Mekanik terlepas tuduhan bunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang  mekanik  dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh seorang peniaga kedai runcit di Rungkup, Teluk Intan kira-kira dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan S.  Murugan , 34, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Ong She Swoi, 65, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar tidak cukup kukuh untuk mengesahkan kematian mangsa disebabkan perbuatan tertuduh.

Zainal Adzam berkata, satu-satunya saksi pendakwaan iaitu isteri mangsa tidak melihat secara jelas  Murugan  dan seorang lagi tertuduh (J. Ravichandran) yang sudah meninggal dunia menikam suaminya.

"Malah prosedur kawad cam juga meragukan sedangkan ia penting dalam kes seperti ini iaitu saksi tidak mengenali suspek sebelum kejadian juga menyebabkan kes pendakwaan rapuh," katanya dalam penghakiman bertulis di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes,  Murugan  dan Ravichandran didakwa menyamun kedai runcit milik She Swoi di Sungai Tiang, Rungkup antara pukul 8 pagi hingga 11 pagi, 23 Disember 2009.

Mangsa bergelut dengan kedua-dua tertuduh sebelum isteri She Swoi yang berada di luar kedai runcit terdengar jeritan suaminya.

Tidak lama kemudian,  Murugan  dan Ravichandran keluar dari kedai runcit itu sambil seorang daripada mereka memegang sebuah laci berisi wang jualan runcit sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

She Swoi yang cedera parah ditikam di perut meninggal dunia tidak lama selepas kejadian.

Kedua-dua tertuduh diberkas beberapa hari kemudian dan dihadapkan ke mahkamah sebelum Ravichandran meninggal dunia kerana sakit jantung pada 12 Disember lalu ketika pembicaraan masih berlangsung.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Penyamun Geng Dol berkubur


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Keseronokan empat anggota Geng Dol menikmati hasil rompakan dari sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Menglembu di sini hanya bertahan sehari apabila kesemua mereka mati ditembak di Batu Gajah dekat sini malam kelmarin.

Sebelum mati ditembak, kumpulan perompak warga Indonesia itu melarikan dua komputer riba, tiga telefon bimbit, barangan kemas, dua utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM1,870 dari rumah mangsa di Menglembu pada pukul 2.30 pagi.

Namun belum sempat penjenayah itu berseronok, mereka telah ditembak mati kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka melakukan jenayah.

Geng Dol yang mengambil nama sempena nama seorang pemimpin kumpulan itu mula aktif melakukan samun dan pecah rumah pada awal tahun ini dengan menumpukan lokasi jenayah mereka di Ipoh, Batu Gajah, Manjung dan Perak Tengah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, episod malang keempat-empat penjenayah itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki suspek pada pukul 9.30 malam kelmarin di Jalan Kampung Changkat Larang di Batu Gajah di sini.

"Polis berhenti dan cuba menahan kereta suspek untuk pemeriksaan. Malangnya, pemandu kenderaan tersebut memecut laju sehingga melanggar bahu jalan.

"Polis kemudian mengejar kereta itu sehingga ia memasuki jalan mati. Suspek yang panik kemudian mengundur kenderaan itu dan melanggar bahagian depan kereta peronda polis," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Menurut beliau, pemandu kereta Proton Waja melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian kanan kereta peronda polis sebelum tiga suspek lain keluar dengan masing-masing bersenjatakan parang.

Jelas Mohd. Shukri, bagi mempertahankan diri anggota polis peronda kemudian membalas tembakan menyebabkan keempat-empat suspek yang berusia 30-an hingga 40-an mati di tempat kejadian.

"Pemeriksaan mendapati kereta yang dinaiki empat suspek itu adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di bandar raya ini pada akhir Mac lalu," katanya.

Tambah beliau, dalam kejadian itu, polis merampas komputer riba, tiga telefon bimbit, sejumlah barangan kemas, dua utas jam tangan dan wang tunai RM1,870 yang dipercayai disamun di rumah seorang ahli perniagaan di Menglembu.

Polis juga menemui sepucuk pistol buatan sendiri dan tiga bilah parang yang digunakan untuk menyerang polis ditempat kejadian.

Tambah beliau, Geng Dol tersebut dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 18 kes samun, pecah rumah dan rompak di negeri ini.

Saturday, September 17, 2011

56 bayi Hari Malaysia dilahirkan


KUALA LUMPUR – Seramai 56 bayi Hari Malaysia 2011 dilahirkan di tiga hospital kerajaan dan dua hospital swasta di ibu negara dan Ipoh, Perak sejak tengah malam semalam hingga tengah hari semalam.
Daripada jumlah itu, 20 merupakan bayi perempuan dan 18 bayi lelaki.

Tinjauan Bernama mendapati kelahiran paling ramai di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan 17 bayi diikuti Hospital Ampang (10) dan lapan bayi di Hospital Kajang.
Di hospital swasta pula, Pusat Perubatan Sentosa dua kelahiran manakala seorang bayi dilahirkan di Pusat Perubatan Tropicana.

Daripada jumlah itu, empat kelahiran melalui pembedahan, tiga di HKL dan seorang di Hospital Ampang.
Tinjauan mendapati HKL menyambut kelahiran pertama bayi seberat 2.94 kilogram (kg) pada pukul 12.15 pagi manakala bayi seberat 2.21kg di Hospital Ampang pada pukul 12.20 pagi, masing-masing seorang perempuan dan lelaki.

Bagi Azizah Abu Bakar, 37, benar-benar menikmati kemerdekaan apabila penantiannya selama lapan tahun untuk mendapatkan anak perempuan tercapai apabila melahirkan anak keempatnya bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia ke-48.

Dia yang sepatutnya bersalin pada 10 Septem lepas tidak menyangka melahirkan anaknya itu melalui pembedahan di HKL pada 1.30 pagi tadi dan amat bersyukur.

Wanita ini berkata dia telah pun mempunyai tiga anak lelaki sebelum ini yang jaraknya lapan tahun dengan bayi perempuannya itu diberi nama Aisyah Nabihah.

"Saya berharap bayi ini membesar menjadi warga yang berguna dan mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara," katanya dengan penuh gembira.

Turut berkongsi kegembiraan ialah N Natieya, 20, yang melahirkan bayi lelakinya kira-kira sejam sebelum itu di hospital yang sama.

Noraini Roz, 24, pula melahirkan bayi perempuan seberat 2.94kg kira-kira 15 minit selepas tengah malam.

"Rezeki saya melahirkan anak kedua sempena sambutan Hari Malaysia dengan proses bersalin yang mudah," katanya.

Sementara itu di Ipoh, Perak, seramai 18 bayi telah dilahirkan pada  sambutan Hari Malaysia di Hospital Raja Permaisuri Bainun  (HRPB), Ipoh semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan,  Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal  Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon  berkata, ia merangkumi 10 bayi lelaki dan lapan bayi  perempuan dari pelbagai kaum termasuk dua dari komuniti  Orang Asli.

Monday, September 12, 2011

INFO Keputusan Pertandingan Peperangan Minda, Ekspo Saintis Muda Perak

JOHAN KESELURUHAN

Sekolah Menengah
Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata), Ipoh
Nama Projek : Nutty-Notty

Sekolah Rendah

Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, Manjung
Nama Projek : Hidrotech

KATEGORI SAINS

Johan : Serata
Naib Johan : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung
Ketiga : Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

KATEGORI BIOLOGI

Johan : SMK Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar
Naib Johan : Sekolah Menengah Kebangsaan Agama  (SMKA) Sultan Azlan Shah, Bota
Ketiga : SMK Methodist, Tanjung Malim

KATEGORI FIZIK

Juara : Sekolah Agama Izzuddin Shah (SIS), Ipoh
Naib Juara : SMKA Slim River
Ketiga : SMK Seri Kandi, Teluk Intan

KATEGORI KIMIA

Johan : SMK Felda Besout, Sungkai
Naib Johan : Serata
Ketiga : SMK Perempuan Methodist, Ipoh

KATEGORI TEKNOLOGI/REKACIPTA

Johan : Sekolah Menengah Teknik (SMT) Ipoh Jalan Brash
Naib Johan : SMK King Edward VII, Taiping
Ketiga : Serata

KATEGORI GURU

Johan : Mohamad Shahril Mohamad Salim (SMK Ke munting, Taiping)
Naib Johan : Idris Abdul Talib (SIS)
Ketiga : Idris Abdul Talib (SIS)

Serata juara keseluruhan


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Pasukan Al-Farabi dari Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata) di sini mengungguli kategori Sekolah Menengah pertandingan Peperangan Minda sempena Ekspo Saintis Muda Perak di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC) di sini semalam.

Pasukan tersebut yang dianggotai Nor Ameerah Nawi, Nur Syuhadah Shahirah Junaidi dan Afifah Hussain menampilkan projek Nutty-Notty yang merupakan set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih.

Dengan kemenangan tersebut, ketiga-tiga pelajar tingkatan empat Serata itu meraih piala pusingan Piala Raja Dr. Nazrin Shah, trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Ketua pasukan, Nor Ameerah Nawi, 16, berkata, Nutty-Notty yang berfungsi sebagai jek dan sepana yang mampu memudahkan proses membuka dan menukar sebiji tayar kenderaan bocor sepantas seminit sahaja.

Nor Ameerah pelajar aliran Sastera berkata, idea mencipta alatan tersebut tercetus daripada kesedaran kesukaran majoriti pemandu wanita melakukan kerja-kerja membuka dan menukar tayar kereta bersendirian.

"Kami mengaplikasi prinsip pascal yang dipelajari dalam subjek Sains dalam penciptaan Nutty-Notty ini. Alatan ini bukan sahaja agak ringan dan mudah dibawa malah berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana harga jualannya di pasaran dianggarkan kurang RM50," katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu pasukan terbabit menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi pada majlis penutup Ekspo Saintis Muda Perak di pekarangan PTTC di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian  Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak,  Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Ketua Pegawai  Eksekutif KPerak Implementation And Coordination Corporation (KPerak), Dr. Ahmad Kamil Mahmood dan pe mangku Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Zakaria Kasa.

Bagi kategori sekolah rendah pula, Sekolah Kebangsaan  (SK) Seri Manjung, Manjung muncul johan menerusi projek  Hidrotech iaitu pusat makanan ikan dalam kolam au tomatik.

Tiga murid sekolah berkenaan iaitu Nurul Syazana Mo hamad Zahari, Nur Adlina Athirah Mohd. Azhar dan Mu hammad Zakwan Adam menerima piala pusingan Piala  Menteri Besar Perak, trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Selain anugerah keseluruhan, tujuh kategori lain turut  dipertandingkan iaitu Sains, Biologi, Fizik, Kimia, Teknologi/ Reka cipta, Guru dan Sekolah Rendah.

Johan, naib johan dan tempat ketiga setiap kategori  masing-masing dihadiahi wang tunai RM400, RM300 dan  RM200 selain turut mendapat trofi dan sijil penghargaan.

Ribuan pengunjung banjiri ekspo

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Cuaca hujan tidak menjadi halangan kepada ribuan pengunjung untuk membajiri Ekspo Saintis Muda Perak di perkarangan Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini semalam.

Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad berkata, lebih 2,000 orang terutama remaja tidak melepaskan peluang mengunjungi hari kedua ekspo yang julung kali dianjurkan itu.

Beliau berkata, antara ruang pameran yang mendapat tumpuan ramai ialah Petrosains yang menyediakan lima permainan interaktif berkaitan sains dan matematik.

"Kebanyakan pelajar berpusu-pusu ke ruang pameran tersebut untuk mencuba permainan yang merangsang minda berkenaan.

"Saya percaya usaha penganjuran ekspo ini untuk menarik minat golongan muda terhadap subjek Sains dan Matematik pada sisi menyeronokkan mencapai matlamat," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Ekspo anjuran UPSI dan K Perak Implementation and Coordination Corporation (K Perak) bertemakan Inovasi Sains, Matematik dan Teknologi untuk Kelestarian Alam itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

Mustaffa berkata, sesi saintis bersama pelajar melibat dua saintis tempatan iaitu Prof. Dr. Halimaton Hamdan dan Prof. Dr. Burhanuddin Yeop juga memberi impak positif kepada penganjuran ekspo tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk menghadiri hari terakhir dan kemuncak ekspo terbabit hari ini.

"Keputusan pertandingan Peperangan Minda yang melibatkan 80 buah sekolah akan diumum esok (hari ini) yang menawarkan ganjaran wang tunai, sijil dan Piala Raja Dr. Nazrin Shah bagi kategori sekolah menengah dan Piala Menteri Besar Perak bagi kategori sekolah rendah.

"Hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zakarshi," katanya.

Sunday, September 11, 2011

JNU buka kampus cawangan di Perak

IPOH - Sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dari India,  Universiti Kebangsaan Jaipur (JNU) bakal melebarkan  sayap membuka cawangan terbaru di Perak pada pertengahan tahun depan.

Canselornya, Sandeep Bakshi berkata, JNU yang ber pengkalan di Jaipur, Rajasthan, India akan memulakan  operasinya di kampus sementara di bandar raya ini pada Julai 2012.

“Seramai 1,000 pelajar termasuk dari luar negara disasar  untuk kemasukan pertama dan sedia melabur RM148 juta  bagi pembinaan kampus tetap di lokasi yang sedang di kenalpasti di negeri ini dengan kerjasama Perbadanan  Kemajuan Negeri Perak (PKNP)

“JNU juga berhasrat untuk menjalankan program per tukaran pelajar pada setiap semester bagi manfaat bersama  kedua-dua buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Me morandum Persefahaman dengan anak syarikat PKNP,  Perak Educity yang diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul  Rashid Ghazali di sini semalam.

Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sandeep berkata, kampus JNU Perak bakal menawarkan  beberapa program berdaya saing seperti kejuruteraan,  kejururawatan, bioteknologi dan hospitaliti.

Menurut beliau, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri  Perak yang mahu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir  selaras dengan pelan Perak Amanjaya.

Sementara itu, Zambry berkata, pembukaan kampus  antarabangsa pertama JNU itu merupakan kesinambungan  daripada pelan kerajaan negeri Perak menjadikan negeri ini  hab pendidikan menjelang 2020.

“Beberapa lokasi di Perak telah dikenalpasti untuk men jadi tapak pembangunan beberapa IPT baru termasuk JNU  seperti sepanjang Jalan Ipoh-Lumut, Gopeng, Tanjung Ma lim, Tapah dan  Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),”  katanya.

Serata pertaruh projek Easy Mum


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azliadlan@kosmo.com.my

IPOH - Pasukan Robotik Al-Jazari dari Sekolah Raja  Perempuan Taayah (Serata) di sini mempertaruhkan projek  ’Easy Mum’ pada pertandingan ‘Peperangan Minda’ sempena  Ekspo Saintis Muda Perak pada Jumaat hingga Ahad ini.

Ketua pasukannya, Nur Haziqah Muhd. Helmi, 14, berkata,  ’Easy Mum’ merupakan kereta sorong bayi serbaguna yang  mengguna pakai konsep robotik dalam penciptaannya.

“Asas penciptaannya memberi nilai tambah kepada kereta  sorong bayi bayi memudahkan dan memberi keselesaan  kepada ibu dan bayi melakukan aktiviti luar seperti ber siar-siar.

“Antara ciri inovatifnya ialah kereta sorong bayi terbabit  boleh bergerak sendiri dengan kawalan penjaga dengan  menggunakan kuasa bateri,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain itu, menurut Nur Haziqah, tempat duduk pada  kereta sorong bayi ‘Easy Mum’ boleh diubah menjadi buaian  ringkas untuk menidurkan bayi yang keletihan ketika melakukan aktiviti luar.

Dia menambah, kelengkapan bayi itu turut diprogramkan  dengan bunyi-bunyian yang boleh dipasang untuk mene nangkan dan merangsang minda bayi.

Selain dirinya, pasukan pasukan Robotik Al-Jazari turut  dianggotai Nusyaibah Mawaddah Ahmad Saludin dan Nu rasyiqin Mhd. Asri yang juga pelajar tingkatan dua Serata.

Sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah seluruh Perak   menyertai Peperangan Minda yang merupakan salah satu   acara pada Ekspo Saintis Muda Perak di Pusat Dagangan   Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini.

Kosmo! merupakan media rasmi program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama K   Perak Implementation and Coordination Corporation (KPerak)  itu.

Monday, September 5, 2011

Majlis hari jadi nenek diserang empat lelaki


 IPOH – Kemeriahan sebuah majlis sambutan ulang tahun kelahiran seorang nenek gempar apabila tiba-tiba diserang empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf di Taman Desa Rishah, Buntong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, Gordan Francis, 18, yang merupakan cucu M. Marianee, 58, cedera parah terkena tembakan pada bahu kirinya.

Ibu saudara mangsa, G. Ushanantini, 30, berkata, semasa kejadian, dia sedang menganjurkan permainan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ibunya yang melibatkan hampir 16 orang kanak-kanak.

Dia berkata, ketika itu, Gordan yang merupakan seorang pembantu jualan sebuah kedai telefon bimbit sedang duduk di atas sebuah motosikal bersama dua rakannya di luar pagar rumahnya.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang meluncur laju melintasi rumahnya sebelum mengundur dan seorang lelaki keluar lalu melepaskan tembakan ke arah Gordan.

“Anak saudara saya bertindak melarikan diri dengan motosikal tetapi tembakan kedua yang dilepaskan terkena bahu kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rishah di sini semalam.

Ushanantini memberitahu, keadaan bertambah kecoh apabila dua lelaki lain yang bersenjatakan sebilah parang dan sebatang kayu golf keluar daripada kereta terbabit lalu memukul beberapa ahli keluarganya.

Menurutnya, cubaan suspek terbabit memasuki rumahnya gagal selepas dia segera mengunci gerigi besi pintu hadapan rumahnya.

"Seorang suspek tidak berpuas hati bertindak memecahkan pintu kaca pintu hadapan dengan kayu golf namun jeritan kanak-kanak yang ketakutan termasuk tangisan seorang bayi berusia sebulan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu menyebabkan semua lelaki itu melarikan diri.

"Kami kemudiannya menghubungi polis dan membawa  Gordan  di Hospital Pakar KPJ Ipoh. Dia kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru,"katanya.

Ushanantini mendakwa keluarganya tidak mengenali dan mengetahui motif serangan tersebut dan memberitahu serangan itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar rumahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, sebelum menyerang Gordon, kumpulan lelaki sama turut menculik seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Jalan Kledang Utara.

Beliau berkata, berlaku pergelutan hingga menyebabkan seorang suspek melepaskan satu tembakan yang tersasar terkena dinding sebuah hotel berhampiran.

"Selepas diculik, lelaki itu yang merupakan kelindan lori dipaksa memasuki kereta suspek sebelum ditutup kepalanya dengan kain. Selepas itu, mereka menuju ke rumah  Gordan  yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

"Mangsa pertama telah dibelasah sebelum dilepaskan di Jalan Kuala Kangsar kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada kira-kira pukul 6.30 pagi tadi (semalam),"katanya.

Dzuraidi berkata, polis melancarkan gerakan memburu keempat-empat suspek tersebut dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 307 Kanun Kanun Keseksaan.

Friday, September 2, 2011

Ibn Hayyan cipta mesin penyedut asap bergerak

IPOH - Pasukan Ibn Hayyan dari Sekolah Raja Perempuan  Taayah (Serata) di sini mencipta mesin penyedut asap  bergerak sebagai pertaruhan dalam pertandingan ‘Pe perangan Minda’ sempena Ekspo Saintis Muda Perak pada 9  hingga 11 September ini.

Ketua pasukannya, Ummu Salamah Wan Sulaiman, 16,  berkata, mesin berkenaan merupakan alatan bantuan yang  berupaya mengurangkan kepulan asap semasa kebakaran.

“Dengan menggunakan kipas dan kepingan kuprum, ion  bercas dalam kepulan asap kebakaran pada disedut me nerusi proses elektrostatik.

“Oleh itu, hanya kepulan asap yang bercas neutral ter bebas sekali gus mengurangkan risiko kematian akibat sesak  nafas ketika kebakaran,” katanya ketika ditemui baru-baru  ini.

Ummu Salama juga memberitahu, mesin penyedut asap itu akan direka bentuk seperti beg galas bagi memudahkan anggota  bomba membawanya semasa kerja-kerja memadamkan kebakaran.

Selain itu, menurutnya, peralatan keselamatan itu juga boleh  dilekatkan di dinding-dinding premis bagi memastikan lang kah pencegahan kebakaran lebih efisien.

Selain dirinya, Ibn Hayyan turut dianggotai Norzatul Sya hida Zahury dan Nor Najwa Nazri yang juga pelajar tingkatan empat Serata.

Sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah seluruh Perak menyertai sempena ekspo sama.

Telaga tiub jimatkan bil air 50 peratus

IPOH - Sebuah sekolah agama persendirian, Sekolah   Al-Hidayah mengambil inisiatif mengurangkan bil air bu lanan dengan menggunakan sumber air bawah tanah me nerusi pembinaan sebuah telaga tiub.

Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Al-Hidayah, Prof.   Madya Ir. Abdul Aziz Omar berkata, telaga lengkap dengan  sistem rawatan air bawah tanah itu merupakan sumbangan  Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Sebagai sekolah swasta yang bergantung harap kepada   yuran, bantuan kerajaan negeri dan sumbangan orang ramai, Sekolah Al-Hidayah bergelut untuk mengawal perbelanjaan  mengurus.

“Alhamdulillah permohonan kami untuk membina sebuah   telaga tiub diluluskan JMG pada pertengahan 2009. Sejak ia  siap awal tahun ini, bil air kami telah berjaya dikurangkan  hampir 50 peratus,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, sumber air bawah itu telah digunakan  untuk kegunaan luar seperti berwuduk, air tandas dan   menyiram pokok bunga untuk manfaat 1,200 pelajar, guru   dan kakitangan sokongan sekolah tersebut.

Beliau berkata, persekitaran Sekolah Al-Hidayah sesuai  untuk pembinaan telaga tiub kerana mempunyai sumber air  bawah yang banyak dari kawasan batu kapur berham piran.

“Telaga tiub terbabit mengeluarkan 3.6  meter padu sum ber air bawah sejam yang didapati pada  kedalaman 23 meter  hingga 27 meter,” katanya.

Thursday, September 1, 2011

Bangunan bekas Kisdar cemar pandangan

IPOH - Sekali imbas sesiapa pun tidak menjangka sebuah bangunan usang dan tidak terjaga berhampiran Pusat Perniagaan Greentown di sini merupakan bekas lokasi institusi pengajian tinggi (IPT).

Bangunan tersebut pernah dijadikan kampus Pusat Matrikulasi Sains Perak dan Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) sebelum kedua-dua pusat pengajian tersebut dipindahkan ke lokasi baru.

Sejak itu, ia terbiar begitu sahaja dan keadaan bertambah buruk sejak empat tahun lalu sehingga ia mencatatkan pemandangan Pusat Perniagaan Greentown yang sedang pesat membangun.

Tanpa pemantauan, premis itu menjadi lokasi kesukaan pemungut barangan lusuh untuk menceroboh bagi mendapatkan peralatan berharga seperti besi untuk dijual.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati kebanyakan besi tingkap, batang paip dan sinki di bangunan yang turut menempatkan sebuah blok bangunan dua tingkat, surau dan sebuah pentas berkenaan telah hilang dipercayai dicuri.

Keadaan bangunan tersebut juga begitu usang dengan majoriti bumbung telah bocor, dinding pintu terkopak dan tingkap telah pecah.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Desmond Ong berkata, bangunan usang dan terbiar itu telah menjejaskan imej Greentown yang merupakan pusat perniagaan terkenal.

“Pusat Perniagaan Greentown sering menjadi tumpuan ramai termasuk golongan profesional untuk pelbagai urusan seperti pembankan, membeli-belah dan perkhidmatan.

“Saya difahamkan bangunan itu kadang-kala menjadi tempat kutu rayau dan penagih dadah berteduh,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan bangunan tersebut diruntuhkan sahaja jika tiada cadangan untuk menggunakannya pada masa depan demi kepentingan bersama.

Serata pertaruh lima projek sains

IPOH - Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata) di sini  mempertaruhkan lima projek sains sekali gus dalam per tandingan ‘Peperangan Minda’ sempena Ekspo Saintis Muda  Perak pada 9 hingga 11 September ini.

Pengetuanya, Noor Aini Zainal Abidin berkata, penyertaan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajarnya dalam bidang  sains.

“Lima pasukan yang dianggotai pelajar tingkatan empat dan dua itu dibentuk sejak dua bulan lalu.

“Kami mahu buktikan pelajar sekolah agama bukan sahaja  mampu menguasai bidang keagamaan tetapi juga menjadi  saintis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Noor Aini memberitahu, kelima-lima pasukan Serata menampilkan projek inovasi baru yang dicipta khas sempena  pertandingan ‘Peperangan Minda’ tersebut.

Menurut beliau, kesemua projek sains tersebut berkonsep  mesra alam, amat praktikal dan berpotensi tinggi untuk  dikomersialkan.

“Contohnya, pasukan Al-Jazari dalam projeknya ‘Easy  Mom’ mencipta sebuah kereta sorong bayi dengan mengaplikasi konsep robotik,"katanya.

Sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah seluruh Perak  menyertai Peperangan Minda yang merupakan salah satu  acara pada Ekspo Saintis Muda Perak di Pusat Dagangan  Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini.

Kosmo! merupakan media rasmi program anjuran Uni versiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama K  Perak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) itu.