Translate

Thursday, September 27, 2012

Bekas pelatih Kemas tubuhkan alumni


BERSATU. Bekas pelatih kursus Fesyen dan Pakaian Wanita Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Seri Iskandar (ILKSI), Perak telah menubuhkan alumni mereka baru-baru ini.
Majlis perasmian penubuhan alumni itu dianggotai seramai 447 bekas pelatih itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Hassan Malek.
Presiden Alumni Bekas Pelatih ILKSI, Jisry Hamzah berkata, penubuhan persatuan tersebut bertujuan untuk memperkukuh lagi rangkaian jaringan perhubungan di antara lulusan institut tersebut dan pengurusan Kemas.
"Rata-rata bekas pelatih ILKSI yang ditubuhkan sejak tahun 2007 terlibat dalam industri fesyen dan pembuatan pakaian wanita dan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan," katanya.

Wednesday, September 26, 2012

Emas Malaysia RM300,000 seekor


JIKA durian terkenal dengan jolokan raja buah, arowana emas Malaysia pula mengungguli carta teratas bagi kategori ikan hiasan.

Nilainya yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit seekor menyebabkan spesies ikan yang dikatakan hanya boleh didapati di Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak itu digelar sebagai 'emas yang berenang'.

"Siapa sangka ikan kelisa (panggilan penduduk tempatan bagi arowana emas) yang enak dimasak gulai dan kadangkala dijadikan pekasam oleh penduduk kampung dahulu rupa-rupanya begitu berharga.

"Pada awal 1970-an, ikan ini mudah didapati dan biasa terperangkap di dalam lopak air di bendang padi dan tali air setiap kali selepas musim banjir," ujar Ahmad Don, 58, mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya kepada Jurnal baru-baru ini.

Namun begitu, Ahmad yang ketika itu berusia belasan tahun merupakan antara segelintir individu yang menghidu potensi arowana emas sebagai ikan hiasan.

Dengan membeli anak ikan itu hidup-hidup daripada penduduk tempatan yang mengailnya dari Tasik Bukit Merah, beliau menjualnya semula kepada peniaga ikan hiasan di Pulau Pinang pada harga RM15 seekor.

Rezeki menjual ikan kelisa secara kecil-kecilan itulah sebahagian usaha Ahmad yang menjadi anak yatim seawal usia dua tahun untuk membantu ibunya menyara keluarga.

"Dari situ minat saya terhadap arowana khususnya spesies emas Malaysia mula bercambah. Kenangan zaman remaja itu telah menjadi inspirasi kepada saya untuk menceburkan diri dalam industri penternakan ikan arowana secara serius pada tahun 2001.

"Sebelum menubuhkan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang menjadi perintis kepada industri ikan arowana di Bukit Merah ini, saya juga pernah membuka kedai ikan hiasan di Taiping," jelasnya.

Harga

Bermula dengan 25 buah kolam yang dibina di atas tanah pusaka arwah bapanya seluas 0.8 hektar, kini Pengarah Urusan BMA itu boleh berbangga kerana memiliki 1,000 buah kolam ternakan ikan arowana.

Walaupun menternak pelbagai spesies arowana seperti mas merah, highback, merah banjar, super red, merah cili, emas highback, perak dan hijau, bagi Ahmad, emas Malaysia ialah spesies yang paling berharga.

"Jika spesies lain, seekor anak ikan sebesar 12.7 sentimeter (sm) boleh dijual pada harga RM20 hingga RM1,500, anak ikan arowana emas Malaysia pula berharga RM2,500 seekor.

"Ikan hiasan itu bukan sahaja telah memberi pulangan jutaan ringgit malah yang lebih berharga daripada itu, ia memberi nilai sentimental yang mengingatkan saya kepada zaman silam," cerita Ahmad.

Induk daripada spesies arowana emas berkenaan mampu dijual sehingga RM24,000 seekor. Malah menurut Ahmad, beliau pernah menjual seekor arowana emas Malaysia yang bersifat albino pada harga RM300,000 pada tahun 2006.

Oleh sebab itu, bibir Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara itu tidak henti-henti mengukir senyuman apabila Bengkel Standard Kualiti Arowana Emas Malaysia yang diadakan di Bukit Merah baru-baru ini memutuskan untuk menjadikan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara.

Bagi bapa kepada 12 cahaya mata itu, penat-jerihnya memartabatkan ikan arowana emas Malaysia di mata dunia selama ini seolah-olah telah berbayar berikutan inisiatif Jabatan Perikanan tersebut.

"Pengiktirafan itu meletakkan ikan hiasan ini di tempat sewajarnya memandangkan ia merupakan merupakan khazanah paling berharga Tasik Bukit Merah," katanya.

Secara tidak langsung, pengwartaan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara bakal menyerlahkan lagi nama Bukit Merah di mata dunia.

Dari sudut perniagaan pula, pengusaha ikan arowana di Zon Akuakultur Bukit Merah yang seluas 100 hektar sekarang bakal menerima manfaat besar serta potensi mengembangkan perniagaan mereka.

Selain menjamin nilai arowana emas Malaysia di pasaran antarabangsa, ia juga mampu mengukuhkan lagi penguasaan negara dalam industri berkenaan.

Setakat ini, Malaysia menguasai hampir 70 peratus pasaran arowana dunia biarpun mendapat saingan sengit daripada Indonesia dan Singapura.

Malah, ciri-ciri unik ikan itu akan semakin mudah dikenal pasti peminat ikan hiasan menerusi pengenalan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 kelak.

"Sebelum ini, ada beberapa kes peminat ikan hiasan khususnya yang baru berjinak-jinak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu menjual pada harga tinggi ikan arowana hijau yang diakui kononnya emas Malaysia.

Mulut

"Ia bukan sahaja merugikan pelanggan bahkan memberi kesan kepada nilai pasaran arowana emas Malaysia yang sedikit merudum akhir-akhir ini akibat isu tersebut," jelas Ahmad.

Beliau yang juga salah seorang panel Jawatankuasa DOF STAN 1:2012 memberitahu, ikan arowana emas Malaysia boleh dikenal pasti daripada sisiknya yang berwarna keemasan dan semakin terserlah pada peringkat pramatang dan dewasa.

Selain itu, ikan yang turut dikenali sebagai dragon fish dan dragon bonytongues itu mempunyai sesungut dan lidah yang keras seperti tulang. Ia juga mampu membuka mulutnya dengan luas dan mempamerkan struktur giginya yang halus tetapi kuat.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada 336,000 ekor ikan arowana pelbagai spesies bernilai RM151 juta yang dikeluarkan setiap tahun oleh Zon Akuakultur Bukit Merah dibeli oleh pelanggan dari China.

Senario itu tidak menghairankan kerana ia berkait rapat dengan sentimen kaum tersebut yang percaya arowana adalah lambang kekayaan dan mempunyai feng shui yang baik untuk membantu kejayaan pemiliknya.

"Orang Cina percaya ikan yang menyerupai naga ini lambang kepada kesihatan yang baik, mampu menjamin keharmonian keluarga dan memberi perlindungan daripada sihir," ujar Ahmad.

Bercerita tentang penjagaan arowana, Ahmad berkata, ikan hiasan itu sesuai membiak di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain memerlukan bekalan air yang sentiasa mengalir sepanjang tahun, kolam ternakan ikan arowana hanya sesuai dibina di kawasan tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat sekurang-kurangnya 55 peratus.

Habitat yang sesuai untuk pembiakan ikan arowana juga memerlukan kandungan air pada kadar pH antara 6.8 dan 7.4.

"Bagi memastikan pembiakan anak ikan arowana yang berkualiti, hanya enam ekor induk ikan jantan dan 10 betina diisi di setiap kolam yang sebesar 6x15 meter.

"Ikan yang bersifat karnivor itu akan diberi makan anak ikan seluang selain makanan tambahan lain seperti udang, cengkerik, katak, ulat dan lipan sebanyak dua kali sehari," katanya.

Berbanding ikan hiasan lain yang memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan untuk membiak, proses persenyawaan induk arowana lebih mudah kerana ia berlaku secara semula jadi.

Ikan arowana akan matang apabila berusia antara dua hingga tiga tahun. Pada masa itu, induk jantan dan betina bakal berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.

Ujar Ahmad, ikan hiasan itu hanya bertelur setahun sekali. Telur yang telah disenyawakan akan dikutip ikan jantan untuk dieram di dalam mulutnya selama dua bulan.

"Sepanjang tempoh tersebut, induk ikan jantan akan 'berpuasa'. Anak-anak ikan yang telah menetas hanya akan diluahkan daripada mulutnya selepas boleh berenang sendiri.

"Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa," beritahu beliau.

Begitupun, Ahmad menjelaskan bagi tujuan komersial, mulut ikan jantan terbabit akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak ikan sebelum diletakkan di dalam inkubator yang fungsinya menyerupai mulut si induk.

Thursday, September 20, 2012

Hentian Bukit Gantang juara hias sempena Merdeka


KREATIF. Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan) di Perak telah dinobatkan sebagai johan pertandingan Kawasan Rehat Berhias Merdeka anjuran pengendali Lebuh raya Utara-Selatan, Plus Malaysia Berhad (Plus) baru-baru ini.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Noorizah Abd. Hamid menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan kepada Penghulu Pengendali Gerai Hentian itu, Rashidi Awang.
Menurut Noorizah, dekorasi Merdeka hentian tersebut antara lain turut mendirikan pintu gerbang dan replika dua bilah keris berjaya menambat hati juri.
"Kawasan Rawat dan Rehat Tapah dari arah utara dan Hentian Sebelah Bukit Gantang dari arah utara pula masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan bertujuan meningkatkan semangat patriotik pengendali gerai dan pengguna lebuh raya," katanya.

Islam bolehkan pemindahan rahim wanita


IPOH - Pemindahan rahim seorang wanita kepada wanita lain menerusi pendermaan organ dibolehkan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun ketiadaan organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang, hukum menderma rahim adalah harus.
"Bagaimanapun, dengan syarat rahim tersebut adalah daripada wanita yang sudah meninggal dunia dan penerima organ pula merupakan wanita mandul.
"Pemindahan rahim juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan perintah Allah di dalam al-Quran," katanya sewaktu menjawab soalan seorang peserta pada Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Selain Harussani, turut menjadi panel pada program anjuran Unit Pendermaan Organ HRPB ialah Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Datin Dr. Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus Klinikal Transplan Kebangsan, Dr. Mohamed Anis Abd. Wahab.
Pembedahan pemindahan rahim pertama berjaya dilakukan Dr. Omer Ozkan di Hospital Universiti Akdeniz di Antalya, Turki pada 9 Ogos tahun lalu melibatkan seorang isteri muda, Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa organ peranakan.
Dalam perkembangan sama, Harussani memberitahu, tiga syarat lain menderma organ dalam Islam adalah penderma mesti disahkan telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak melibatkan urusan jual beli.
Beliau berkata, kebenaran ahli keluarga amat penting kerana dari segi syarak, mereka berhak terhadap jenazah bakal penderma biarpun individu terbabit telah menandatangani akujanji pemindahan organ semasa hayatnya.
Fadzilah Zowiyah pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya, kes halangan daripada ahli keluarga dalam isu pendermaan organ berlaku kerana mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu hayat bakal penderma.
"Jarang ahli keluarga membantah sekiranya mengetahui lebih awal hasrat si mati untuk menderma organ.
"Oleh itu, saya sarankan individu yang berhasrat untuk terlibat dalam program tersebut agar menghebahkannya terutama kepada ahli keluarga terdekat," katanya.

Wednesday, September 19, 2012

Gotong-royong bersih makam pembesar Melayu zaman dahulu

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SEWAKTU persepsi umum mengandaikan nilai murni   menghargai nikmat kemerdekaan dan jasa pemimpin terdahulu semakin luntur di kalangan generasi muda, sekumpulan belia Bukit Gantang, Taiping, Perak membuktikan sebaliknya.

Kira-kira 30 belia berusia 20 hingga 30-an memilih menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 baru-baru ini dengan   bergotong-royong memulihara makam Datuk Seri Amar Diraja Alang Idin Tok Pandak Jamaludin.
Mereka yang merupakan sukarelawan pertubuhan ke  bajikan tempatan, Pertubuhan As-Siddiq (As-Siddiq) me nyingsing lengan membersihkan persekitaran makam pem  besar Melayu pertama dikurnia jawatan Panglima Bukit   Gantang oleh Sultan Perak pada awal kurun ke-19 itu.

Lalang yang meninggi disabit, lumut yang melekat di dinding makam dibuang dan sebahagian struktur dinding yang runtuh beberapa tahun lalu akibat ditimpa pokok  durian turut dialihkan.

Tanpa menghirau terik mentari, kumpulan belia berkenaan bertungkus-lumus menyusun bata  membina kembali struktur dinding makam berkenaan.

Seorang sukarelawan, Fazrul Asri, 21, memberitahu, Alang Idin dilantik menjadi pembesar bertaraf Orang Besar Perak   Empat pada zaman pemerintahan Sultan Perak ke-19, Sultan Abdul Malik Mansur Shah.
Ujarnya, sebagai individu yang bertanggungjawab mem buka Bukit Gantang, tokoh itu membangunkan mukim berkenaan yang pernah menjadi pusat bandar Taiping  berteraskan perniagaan bijih timah.

“Agenda ekonomi dan sosial Alang Idin kemudian diteruskan menantu lelakinya, Long Jaafar dan cucunya, Ngah Ibrahim.

“Sumbangan pembesar yang meninggal dunia pada 20 April 1818 ketika berusia 117 tahun ini amat besar dan kesannya  dapat dirasai masyarakat sehingga hari ini,” ka tanya kepada Refleks baru-baru ini.

Seorang lagi sukarelawan, Khairul Roslan, 22, berkata,  keadaan makam berkenaan di pinggir Kampung Pauh yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Gantang Lama itu agak terbiar telah mengusik sanubarinya.

Menurutnya, sebahagian struktur dinding makam tersebut runtuh akibat ditimpa pokok durian yang dipanah petir  beberapa tahun lalu.

“Kami terpanggil untuk membersih dan   memulihara makam terbabit. Ia sumbangan kecil kami bagi  menghargai jasa tokoh berkenaan.

”Pengisahan ringkas memoir Datuk Seri Amar Diraja  Alang Idin Tok Pandak Jamaludin itu turut menginsafi kami  sebagai generasi baru yang mewarisi hasil penat-jerih beliau,” katanya.

Nizan Abdullah, 38, pula berkata, beliau berharap usaha sukarelawan As-Siddiq dapat merintis jalan kepada umum,   khususnya masyarakat setempat meneroka lebih lanjut sejarah pembukaan Bukit Gantang yang semakin dilupakan.

“Harapan kami selepas ini, lebih ramai masyarakat terutama  pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) men  ziarahi makam ini untuk mengkaji sejarahnya.
“Jasa beliau amat besar dan sebolehnya tak mahulah   sumbangan beliau dipandang sepi seolah-olah wira tidak didendang sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi As-Siddiq, Habidi Zain berkata,  beliau gembira program gotong-royong berkenaan telah   mencapai matlamat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan sukarelawan pertubuhan tersebut yang   rata-rata terdiri daripada golongan muda.

Menurut beliau, pihaknya telah memperuntukkan hampir   RM3,000 untuk membaik pulih makam Panglima Bukit   Gantang pertama tersebut.

“As-Siddiq merancang untuk memperkenalkan makam   Alang Idin sebagai satu lagi destinasi sejarah perlu di  kunjungi,” katanya.
Oleh itu, Habidi berkata, pertubuhan bercadang men  dapatkan sokongan daripada pihak berwajib khususnya   Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, kerajaan   negeri Perak dan Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama.

Bantahan komen Twitter pemimpin DAP

IPOH - Pergerakan Belia 4B Perak membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini semalam terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk  Ngeh   Koo   Ham  berikutan komennya dalam akaun  Twitter  mengenai tayangan klip video Innocence of Muslims di YouTube.

Exco Pergerakan Belia 4B Perak, Muhamad Iqbal Jamal Jamaluddin berkata, komen  Koo   Ham  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sitiawan itu seolah-olah mempertikaikan gerakan umat Islam bagi menentang penayangan klip video tersebut.

"Kenyataan beliau ( Koo   Ham ) membayangkan protes terhadap penayangan klip video ini sebagai membuang masa dan tenaga," katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Sungai Senam.

 Koo   Ham  dalam laman Twitternya pagi kelmarin mengeluarkan kenyataan Khairy wants muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are muslims wasting too much time and energy on this? (Khairy (Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin) mahu umat Islam mengadakan bantahan terhadap Sam Bacile. Untuk Islam atau untuk kepentingan politik beliau? Adakah umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga ke atas perkara ini?).

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan  Koo   Ham  itu bersifat provokatif.

Bunuh rakan untuk larikan wang



TAIPING – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.
Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya di sini itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.
Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin (gambar kecil), 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.
Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.
Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.
“Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.
“Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.
Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222.

Monday, September 17, 2012

Kandapan menang pertandingan kereta merdeka

 TAIPING - Hiasan kreatif sebuah  kereta  milik seorang pengusaha syarikat pengangkutan menarik perhatian  Plus  Malaysia Berhad ( Plus ) untuk dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan  kereta   merdeka  semalam.

Dekorasi Proton Exora milik M. Kandapan, 52, dari Bandar Sri Alam, Masai, Johor yang memaparkan pelekat  kereta  bercorak Jalur Gemilang dan foto kelima-lima Perdana Menteri negara berjaya menarik perhatian panel juri pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan berkenaan.

"Seakan sudah jadi tradisi, saya akan menghias  kereta  dengan dekorasi yang berpadanan dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan setiap kali 31 Ogos menjelma sejak 11 tahun lalu.

"Saya lakukannya sekadar untuk menunjukkan semangat patriotik dan tidak pernah sertai sebarang pertandingan sebelum ini," kata Kandapan selepas majlis penyampaian hadiah berkenaan di Hentian Sebelah Bukit Gantang di sini semalam.

Selaku pemenang, Kandapan menerima ganjaran wang tunai RM1,000, sekeping kad Plusmiles dan kad prabayar Smart Tag yang disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif  Plus , Datuk Noorizah Abdul Hamid.

Kandapan menambah, beliau membelanjakan hampir RM4,000 untuk menghias keretanya yang turut mengibarkan 55 bendera Jalur Gemilang dan bendera semua 13 negeri.

Tambah manis, adik ipar Kandapan, S. Kannan, 44, turut terpilih sebagai pemenang kedua pertandingan terbabit sekali gus memenangi hadiah wang tunai RM900, kad Plusmiles dan kad prabayar Smart Tag.

Pemenang pertandingan  kereta   merdeka  itu terpilih daripada lebih 30 juta kenderaan yang menggunakan Lebuh raya Utara-Selatan sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan bermula 17 Julai lalu.

Dalam pada itu, pengendali Hentian Sebelah Bukit Gantang menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan setelah terpilih sebagai pemenang pertandingan R&R berhias terbaik sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55.

Friday, September 14, 2012

Kemas perkenal kursus fesyen

SERI ISKANDAR - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal memperkenal kursus baharu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu Pengurus Fesyen dan Pakaian pada peringkat diploma lanjutan mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, Institut Latihan Kemas Seri Iskandar (ILKSR) di sini bakal menjadi perintis kepada program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DKM) bertaraf Tahap Lima.

“Sebelum ini, Kemas hanya menjalankan kursus Pembuat Pakaian Wanita sehingga Tahap Empat yang bertaraf diploma.

“Penawaran kursus bidang tersebut pada peringkat diploma lanjutan itu merupakan antara usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 400 ahli alumni Institut Latihan Kemas Seri Iskandar (ILKSI) di sini semalam.

Hasan berkata, setakat ini, pelaksanaan Diploma Lanjutan Pengurus Fesyen dan Pakaian tersebut dalam peringkat penyediaan modul dan tempoh pengajian adalah selama dua tahun.

Thursday, September 13, 2012

Lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan

 IPOH - Sehari selepas menembak anak tirinya berikutan perbalahan keluarga, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan ditembak di tepi jalan bersebelahan Kilometer 282 Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Ampang di sini semalam.

S. Ravindran, 40, ditemui terbaring tertiarap dengan kesan tembakan di kepala pada pukul 11.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian telah menemui sepucuk pistol jenis Norinco di sisi mayat lelaki tersebut.

“Polis turut menemui sebuah motosikal yang dipercayai milik Ravindran. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal polis mendapati kematian mangsa lebih menjurus kepada membunuh diri selepas terlibat dalam konflik keluarga sebelum kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dzuraidi berkata, sebelum ditemui mati, Ravindran dikendaki polis kerana terlibat dalam kes melepaskan satu tembakan yang mencederakan paha anak tirinya, R. Hariharen, 15, pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Menurut beliau, kejadian di rumah isteri mereka di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat di sini berlaku selepas Hariharen bergelut dengan untuk mempertahankan ibunya daripada diserang Ravindran.

Lokasi mayat Ravindran ditemui kira-kira lima kilometer daripada rumahnya dan polis percaya pistol yang ditemui di sisi mayatnya digunakan lelaki itu untuk mencederakan anak tirinya.

Sementara itu, Hariharen yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang di sini semakin stabil selepas dirawat.

Isteri Ravindran yang enggan dikenali memberitahu, semasa dia, Hariharen dan tiga lagi anaknya yang berusia sembilan hingga 13 tahun berada di rumah sebelum suaminya yang sudah lama tidak pulang ke rumah muncul.

“Dia menuduh saya curang lalu mengasari saya. Hariharen kemudian masuk campur sebelum suami melepaskan tembakan yang mengenai belakang betis kiri dan tembus ke bahagian depan paha,” ceritanya.

Wednesday, September 12, 2012

Jawab soalan di katil hospital kerana sakit

IPOH  - Sewaktu pelajar lain tenang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ) di dewan sekolah masing-masing, tiga calon di Perak terpaksa menjawab kertas peperiksaan di katil  hospital  ekoran masalah kesihatan.

Mereka ialah S. Kannmani, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist Buntong di sini, Muhammad Haikal Adam Umar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh di sini dan Ainshuhade Abdul Aziz dari SK Ayer Papan, Tanjung Tualang, Kampar.

Kannmani baru selesai menjalani pembedahan apendiks manakala Muhammad Haikal Adam dan Ainshuhade masing-masing dimasukkan ke wad akibat masalah air kencing berdarah dan tekanan darah rendah.

Ketika ditemui Kosmo!, kesemua mereka sedaya upaya menjawab kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman walaupun dalam keadaan keuzuran.

"Saya harap dapat menjawab semua kertas peperiksaan  UPSR  sehingga lusa dengan baik biarpun hanya di katil  hospital ," kata Kannmani ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak,  Hospital  Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Tuesday, September 11, 2012

Resipi keluarga popularkan jualan kopi Mat Rezeki

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Syarikat perusahaan kecil dan industri (PKS), Lambaian Rizki Entreprise memperkenalkan produk baharu berasaskan kopi, Kapucino dan Kopi O dalam bentuk uncang dalam usaha mempelbagaikan produk pilihannya di pasaran tempatan.

Pengusahanya, Mohamad Ramli berkata, syarikat yang popular dengan jenama  Mat   Rezeki  itu sebelum ini hanya mengeluarkan serbuk kopi secara tradisional yang mana ia dihasilkan melalui resipi keluarga secara turun-temurun.

"Sejak diperkenal kira-kira sebulan setengah lalu, sambutan terhadap kedua-dua produk tersebut amat menggalakkan.

"Biarpun produk diproses dalam bentuk uncang tetapi kami tetap mengekalkan resipi keluarga bagi menjamin keaslian dan mutunya," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohamad menerangkan, dalam usaha meningkatkan imej dan kualiti produk seiring dengan keperluan pasaran, syarikat telah menyertai program usahawan Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

"Produk keluaran syarikat kini memiliki piawaian yang ditetapkan SIRIM dan kami juga memiliki sijil pengesahan halal, kod bar dan label nutrisi.

"Melalui usaha ini kami yakin jualan syarikat akan terus bertambah pada masa depan," ujarnya.

Beliau berkata, Kapucino dan Kopi O masing-masing dibungkus dengan kandungan 20 uncang dijual pada harga RM23 setiap satu.

Selain itu, jelasnya, selain dalam bentuk uncang, Lambaian Rizki juga masih menjual produk asas syarikat iaitu serbuk kopi yang ditawarkan dalam dua pilihan iaitu kopi kasar atau kopi halus yang dijual pada harga RM15 sekilogram.

Saturday, September 8, 2012

Mati ditembak selepas merompak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Keresahan orang ramai mengenai keganasan empat perompak Indonesia yang gemar mengenakan sut hitam ala Unit Tindakan Khas (UTK) ketika merompak rumah berakhir apabila kesemua suspek mati dalam kejadian berbalas tembak di Taman Meru 2C di sini semalam.

Suspek-suspek bersenjatakan pistol dan parang itu menemui ajal selepas ditembak sebaik kereta jenis Proton Wira Aeroback yang mereka naiki terbabas di kawasan semak di sebuah dusun buah-buahan di pinggir taman tersebut.

Suspek dikatakan telah memecah masuk 15 buah buah rumah di bandar raya ini, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Taiping sejak beberapa bulan lalu.

Modus operandi suspek ialah mereka akan memecah masuk rumah dengan mengumpil pintu jeriji besi atau tingkap pada awal pagi, kemudian mengikat atau mengurung mangsa sebelum melarikan diri.

 Terbaharu, penjenayah tersebut merompak rumah yang didiami tiga warga Jepun, Shimizu Akira, 33; isterinya, Manami Shimizu, 33, dan seorang pelajar dari Tokyo Institute of Technology, Oya Kitaro, 22, di  Meru  Valley Golf di sini pada pukul 6 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek yang memakai baju T, seluar jean dan topeng muka serba hitam melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM200,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, selain rumah warga Jepun itu, suspek juga telah memecah masuk sebuah rumah lagi di Puncak  Meru  di sini pada 30 Ogos lalu.

Katanya, polis kemudian mempertingkatkan kawalan sebelum terserempak dengan kereta suspek di persimpangan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Puncak  Meru  pada pukul 2 pagi.

"Pemandu kereta itu terus memecut sebaik diarahkan berhenti lalu dikejar polis sejauh lima kilometer.

"Kereta itu kemudian terbabas sebelum dua daripada empat penjenayah yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan manakala dua lagi cuba menyerang polis dengan parang," kata Mohd. Shukri pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Menurut Mohd. Shukri, pemeriksaan di dalam kereta menemui barangan yang dicuri di rumah warga Jepun itu seperti tiga komputer riba, tiga kamera digital, lima telefon bimbit, dua jam tangan, loket jed, kamus digital dan wang 569,000 Yen Jepun (RM22,414).

"Polis turut merampas dua pucuk pistol, empat kelongsong, satu kelopak dan sebutir peluru, tiga bilah parang, sebatang kuku kambing, sebatang pemotong besi, sebatang pemotong zink, kereta, wang 78,000 Rupiah Indonesia (RM25) dan RM285," katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga warga Jepun itu memuji tindakan pantas polis yang dapat menyelesaikan kes pecah rumah itu dalam tempoh 24 jam.

"Kami menghargai dan berterima kasih kepada polis kerana berjaya menewaskan penjenayah dan menemui semula harta benda kami," kata Kitaro.

Katanya, Akira dan isterinya baru sampai di sini dari Tokyo, Jepun 10 hari lalu untuk bekerja sebagai jururunding perniagaan di sebuah kilang elektronik di Jelapang di sini.

Kitaro pula sedang menjalani latihan praktikal di kilang sama selama tiga bulan sejak 17 Ogos lalu. Banglo itu disewa oleh majikan untuk mereka tinggal buat sementara.

SMK Aminuddin Baki hias sekolah dengan bendera gergasi

 PATRIOTIK. Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, Perak bersemangat menghiasi sebahagian besar bangunan sekolah mereka dengan Jalur Gemilang gergasi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55.

Pengetua SMK Aminuddin Baki, Murad Salim berkata, Jalur Gemilang berukuran 27 meter x 7 meter itu dijahit sendiri secara bergotong-royong oleh pelajar dan guru.

Beliau berkata, kos pembuatan Jalur Gemilang gergasi ini yang dianggarkan RM1,600 telah ditaja oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Semoga pemasangan Jalur Gemilang gergasi ini dapat meningkatkan lagi rasa sayangkan negara di kalangan 1,600 pelajar sekolah ini,” katanya.

Friday, September 7, 2012

Perniagaan punca isteri muda dibelasah suami

 IPOH - Rakaman litar kamera tertutup (CCTV) yang menunjukkan aksi-aksi pertelingkahan dan pukul-memukul antara sepasang suami isteri yang boleh disaksikan melalui YouTube tercetus kerana masalah perniagaan.

Mengimbas kejadian tersebut, mangsa wanita,  Amanda   Fong  Kim Yen, 19, mendakwa pertikaman lidah dengan suaminya bermula selepas dia tidak setuju dengan keputusan lelaki itu yang mahu mempamerkan koleksi minyak wangi milik seorang rakan suaminya di butik mereka di Taman Ipoh Selatan di sini.

"Saya khuatir koleksi minyak wangi tersebut tidak tulen dan jika perkara tersebut berlaku ia menjejaskan perniagaan butik pakaian dan aksesori wanita yang kami baru buka Julai lalu," kata  Amanda  pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur di sini.

Menurut mangsa yang hamil dua bulan, selepas berperang mulut beberapa minit, dia mengambil keputusan untuk keluar dari butik.

Bagaimanapun, dakwa  Amanda , suami menyekat dia meninggalkan butik sebelum suaminya bertindak ganas memukul, menggigit dan menekan perutnya seperti yang dipaparkan di dalam YouTube.

 Amanda  hadir di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur dengan ditemani ibunya, Lily Yeoh, 49.

Dia bersetuju menerima khidmat guaman yang ditawarkan Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur. Peguam yang mewakili ialah Datuk G. Amarjit Singh Gill.

Cerita  Amanda  lagi, dia kerap menjadi mangsa keganasan suaminya yang disifatnya seorang agresif sejak mereka berkahwin pada 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, kata wanita itu, insiden pukul 4.30 petang, 23 Ogos lalu merupakan keganasan paling serius yang pernah dialami sejak mereka berkahwin.

Sejak kejadian tersebut,  Amanda  memberitahu, suaminya yang berusia 26 tahun menghilangkan diri manakala butik milik mereka ditutup sementara kerana dia masih trauma.

"Tindakan suami saya menyebabkan saya terpaksa menerima rawatan selama dua hari di sebuah hospital swasta di sini," kata mangsa.

Menurut  Amanda , dia nekad memuat naik rakaman CCTV mengenai kejadian yang dialaminya di laman sosial Facebook bagi membuktikan dia benar-benar menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mahu menagih keadilan segera daripada pihak berkuasa.

 Amanda  mendakwa, sejak kejadian itu dia bukan saja trauma malah masih merasai kesakitan di beberapa bahagian tubuh terutama di perut akibat perbuatan suaminya.

Sementara itu, Amarjit berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapatkan Perintah Perlindungan Interim Sementara Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menghalang suami  Amanda  mendekati mangsa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, polis telah menghantar kertas siasatan kes tersebut kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam.

Menurut beliau, polis sudah mengambil keterangan suami mangsa kelmarin dan kes tersebut berlaku kerana masalah dalaman keluarga pasangan berkenaan.

Pelesit rempit beraya sebelum berlumba

IPOH - Gaya macam seperti hendak beraya tetapi sebenarnya merempit. Jika pelesit  rempit  menguasai Lebuh  Raya  Besraya di Selangor, masalah yang sama juga berlaku di Ipoh.

Perangai segelintir remaja yang menjadikan Lebuh  Meru   Raya , Bandar  Meru   Raya  di sini sebagai litar perlumbaan semakin menjadi-jadi hampir setiap malam sejak awal Ramadan lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati sekumpulan pelesit  rempit  yang sebahagian besar dipercayai pelajar sekolah menunggang laju motosikal masing-masing di laluan yang juga susur keluar Lebuh  Raya  Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Jelapang di sini tersebut.

 Biarpun ada di antara mereka berpakaian kain pelekat dan berkopiah, ia tidak menjadi halangan untuk melakukan aksi-aksi bahaya seperti Superman, wheelie dan wikang.

Hampir setiap malam, pelesit  rempit  berkenaan mula membanjiri Lebuh  Meru   Raya  yang sepanjang lima kilometer itu antara pukul 9 malam hingga 11 malam.

Seorang penduduk, Mohd. Hasrul Ishak, 47, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, laluan utama Bandar  Meru   Raya  tersebut mula menjadi sasaran pelesit  rempit  sejak awal Ramadan lagi.

"Saya syak remaja ini datang dari beberapa taman perumahan berdekatan. Bunyi bising daripada enjin motosikal mereka mengganggu penduduk terutama jemaah yang bersolat berjemaah di surau berhampiran," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Rosnah Harun, 45, pula mendesak pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan mengambil tindakan sebelum perkara buruk berlaku termasuk kemalangan maut.

"Lebuh  Meru   Raya  merupakan laluan yang sibuk dengan kenderaan berat yang mahu memasuki Lebuh  Raya  Utara-Selatan.

"Saya harap kita tak perlu tunggu ada nyawa melayang baru hendak mengambil tindakan mengatasinya," katanya.

Saturday, September 1, 2012

Pertahankan apa yang dimiliki

 KUALA LUMPUR - Segenap lapisan masyarakat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara semalam bukan sahaja dalam suasana aman bahkan dapat pula menjalani kehidupan yang jauh lebih selesa dan makmur berbanding lima dekad lalu.

Lebih menarik, mereka menterjemah perasaan syukur itu dengan turun padang untuk berhimpun bersama pemimpin bagi meraikan kemerdekaan yang sangat berharga itu.

Kira-kira 100,000 orang membanjiri Dataran Merdeka di sini pada sebelah pagi untuk menyaksikan perarakan dan persembahan lebih 14,000 peserta bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan sama turut berlaku di semua negeri apabila rakyat diketuai Menteri Besar dan Yang Dipertua Negeri masing-masing turut mengadakan perarakan kemerdekaan yang tersendiri.

Perhimpunan mega rakyat tidak berhenti setakat itu apabila pada sebelah malam, kira-kira 150,000 memenuhi setiap inci Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena Himpunan Merdeka 55 Tahun: Janji Ditepati.

Sehubungan itu, Najib dalam ucapannya mengajak rakyat Malaysia terus memperkukuh benteng perpaduan dalam mempertahan kemerdekaan negara yang dikecapi dan mahu setiap individu bersama-sama memacu negara ke arah mercu kejayaan lebih unggul.

Perdana Menteri juga menyeru rakyat untuk bersatu dan berusaha dengan kepimpinan negara bagi menjayakan agenda transformasi yang telah dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata, setelah 55 tahun merdeka, Malaysia kini boleh dianggap sebagai sebuah negara yang berjaya dan semakin hari semakin kaya, makmur serta kuat.

"Beringatlah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu hanya mengetuk pintu setiap pertiwi sekali saja.
"Marilah berganding berjuang pertahan kemerdekaan ini dengan barisan yang rapat lagi kukuh di setiap penjuru dan setiap ketika.

"Lebih rapat lagi ketika pihak seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan negara kita," katanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan 14,464 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Perarakan tersebut disifatkan oleh Najib sebagai bukti bahawa rakyat mempunyai semangat kecintaan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Antara acara menarik yang memberi kelainan ialah tarian flash mob dan persembahan koir daripada 135 sukarelawan 1M4U.

Perarakan kali ini disertai oleh 96 kenderaan terdiri kereta mewah, bas dan teksi, formasi 13 buah pesawat udara, perarakan 29 kontijen pelbagai organisasi dan pakian seragam serta tujuh pasukan pancaragam.

  Sementara itu di Melaka, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyambut kemerdekaan di Dataran Pahlawan dengan memotong kek sepanjang 16.8 meter bagi meraikan seramai 358 bayi yang lahir selepas detik 12 tengah malam semalam.

Di Kuching, Sarawak,Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan ratu terjun negara, Pandelela  Rinong Pamg sebagai simbol kemerdekaan negara berikutan kejayaan meraih gangsa dalam Sukan Olimpik London bulan lalu.

Di Kota Kinabalu, Sabah, persembahan ‘Jiwa Merdeka’  dipertontonkan oleh 750 belia berbilang kaum dalam me nunjukkan ekspresi jiwa muda itu sendiri bagi memahami  pengertian merdeka.

Di Kuantan, Pahang, sebanyak 91 kontinjen menyertai perbarisan  termasuk Polis Diraja Malaysia,  Jabatan Bomba dan Pe nyelamat, Jabatan Pelajaran serta gabungan institusi pengajian tinggi.

Di Kluang, Johor pula, sambutan kemerdekaan dimeriahkan dengan perarakan yang disertai 85 kontijen dengan melibatkan 1,016 peserta.

Di Seremban, Negeri Sembilan, sebanyak 100 kontinjen dengan 8,000 orang yang me  wakili jabatan dan agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam sambutan kemerdekaan.

Keadaan turut meriah di Ipoh, Perak apabila kira-kira 10,000 orang di perkarangan Dewan Ban daran seawal pukul  7 pagi untuk menyaksikan sambutan  Hari Kemerdekaan.

Hias rumah sempena merdeka

 IPOH - Sepasang suami isteri menzahirkan semangat patriotik mereka apabila menghiasi pekarangan rumah mereka dengan dekorasi bertemakan Hari Kemerdekaan ke-55 di Medan  Klebang   Restu , Chemor di sini.

Norliya Ibrahim, 57, berkata, dekorasi yang bertemakan 'Janji Ditepati' itu mengandungi susunan Jalur Gemilang, replika pesawat dan rumah tradisional Melayu serta pokok bonsai.

Katanya, sudah menjadi tradisi dia dan suami, Mohd. Aini Odin, 62, menghias pekarangan rumah dengan dekorasi kemerdekaan setiap kali sambutan sejak lima tahun lalu.

"Dekorasi ini digubah dengan menggunakan barangan terpakai mengikut kreativiti kami berdasarkan tema Hari Kemerdekaan tahun berkenaan," katanya ketika ditemui semalam.

Norliya berkata, dia dan suami mengambil masa enam jam untuk menyiapkan dekorasi terbabit yang dilakukannya pada malam 18 Ogos lalu.

Menurut ibu kepada empat anak berusia 22 hingga 32 tahun itu, mereka bercadang untuk mengekalkan dekorasi berkenaan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

"Ini cara saya dan suami yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia menunjukkan rasa cinta terhadap tanah air.

"Saya harap ia menjadi contoh kepada generasi muda kerana kemerdekaan bukan mudah dicapai dan perlu dipertahankan sampai bila-bila," katanya.

Jelasnya, dekorasi Hari Kemerdekaan rumahnya pernah mendapat pengiktirafan pada tahun 2008 apabila muncul pemenang utama Program Semarak Perpaduan dalam kategori Keceriaan dan Kebersihan Kediaman anjuran Jabatan Penerangan Perak.