Translate

Saturday, June 30, 2012

Kahwin wanita tempatan untuk rekrut keldai dadah

SERI   ISKANDAR  - Sindiket pengedaran  dadah  antarabangsa yang didalangi lelaki Afrika kini dikesan menggunakan taktik memperisterikan wanita tempatan untuk merekrut  keldai   dadah  baharu dalam kalangan gadis-gadis muda.

Pegawai Turus Bahagian Perlucuthakan Harta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Deputi Superintendan Zaitun Mohd. Nusi berkata, menerusi modus operandi tersebut, isteri pengedar  dadah  warga Afrika itu akan bertindak sebagai orang tengah bagi mendekati mangsa berpotensi.

"Biasanya wanita itu akan berbuat baik dengan golongan sasaran termasuk membantu dari segi material tetapi selepas itu mangsa terbabit akan diperangkap menjadi  keldai dadah  yang didalangi suami mereka.

"Taktik itu digunakan mungkin selepas cara lama iaitu memerangkap wanita dan gadis tempatan menerusi laman sosial seperti Facebook kurang berkesan akibat pendedahan meluas media," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Forum Inter Agensi: Peranan Dalam Menangani Isu  Keldai   Dadah  sempena Program Wanita Anti Jenayah (Waja) di Dewan Sri  Iskandar , Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak di sini semalam.

Turut menjadi panel pada forum tersebut ialah Penolong Setiausaha Bahagian Konsular, Kementerian Luar, Ahmad Fuad Mohd. Norzin serta Ketua Unit Pengesanan dan Pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Ngadimin.

Sementara itu, Ahmad Fuad pula memberitahu, sehingga Mac lalu, Kementerian Luar telah mengenal pasti seramai 902 rakyat negara ini telah ditahan di luar negara berkaitan kes  dadah.

Menurut beliau, sebanyak 20 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan wanitadan rata-ratanya diklasifikasi sebagai kes  keldai dadah.

"Kebanyakan kes tahanan wanita di luar negara adalah mangsa yang diperangkap sindiket antarabangsa yang biasanya didalangi lelaki Afrika dan Iran," katanya.

SMK Sultan Tajul Ariffin menang pertandingan video



BERBAKAT. Kumpulan Semesta Studio dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar dinobat juara pertandingan video Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Duniaku anjuran KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) di Ipoh baru-baru ini.
Kumpulan yang dianggotai lima pelajar tingkatan tiga dan empat sekolah berkenaan meraih hadiah wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Ketua Semesta Studio, Ahmad Syafiq Zulkafli, 16, berkata, video berdurasi tiga minit bertemakan'Sekolah Saya' itu mengisahkan keasyikan seorang pelajar Orang Asli yang melayari laman sosial di internet.

Wednesday, June 27, 2012

Pengusaha ditahan jual jengkaut curi

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Misteri kehilangan sebuah mesin  jengkaut  di sebuah tapak pembinaan di Taman Sri Damai 2 di sini terbongkar hasil penemuan komponen jentera berat itu yang telah dileraikan di sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh di Lahat, Ipoh pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah  Tapah , Superintendan D. Som Sak berkata, polis turut menahan pemilik pusat pengumpulan barangan lusuh terbabit dan seorang pengusaha kedai jentera berat terpakai di Teluk Intan yang dipercayai individu yang menjual komponen  jengkaut  terbabit.

Beliau berkata, soal-siasat mendapati mesin jengkaut  bernilai RM200,000 itu dicuri oleh dua suspek yang masih bebas dikenali sebagai Ravi dan Arifin di sebuah tapak pembinaan pada awal pagi 15 Jun lalu.

"Mereka kemudiannya menjual mesin  jengkaut terbabit kepada pengusaha kedai jentera terpakai dipercayai pada harga RM35,000.

"Jentera berat ini kemudiannya dileraikan sebelum dijual kepada pusat pengumpulan barangan lusuh di Lahat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah  Tapah  di sini semalam.

Som Sak berkata, kedua-dua suspek yang berusia 50-an ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Katanya, polis masih memburu Ravi dan Arifin manakala kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Perak hargai jasa anggota TLDM

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

LUMUT - Lebih 5,000 warga Tentera Laut Diraja Malaysia ( TLDM ) tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry  Abd. Kadir pada Program Pemimpin Bersama Warga  TLDM  di Pangkalan  TLDM  Lumut di sini semalam.

Mereka yang menghuni 48 pangsapuri di dalam pangkalan itu begitu ceria bersenamrobik bersama  Zambry  dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

 Zambry  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata, pelbagai aktiviti seperti kenduri rakyat dan cabutan bertuah turut diadakan sepanjang program sehari tersebut.

"Jasa warga  TLDM  khasnya di Lumut ini dan keluarga yang sentiasa komited bertugas mempertahankan perairan negara amnya dan Perak khususnya sentiasa dihargai.

"Semoga program yang berupa pendekatan turun padang ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang selama ini sudah cukup mesra," katanya.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha merangkap Ahli Parlimen Lumut, Panglima Armada  TLDM  Lumut, Laksamana Madya Datuk Abd. Hadi A. Rashid dan Panglima Bantuan  TLDM  Lumut, Laksamana Pertama Abd. Aziz Mohd. Sani.
Dalam pada itu, Abd. Aziz menerima peruntukan RM40,000 bagi menaik taraf pasar Pangkalan  TLDM  Lumut yang disumbangkan oleh Cho Ha.

Selain itu, semua 48 pangsapuri di dalam pangkalan itu menerima sumbangan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1,000 setiap pangsapuri untuk program keceriaan dan kemasyarakatan.

 Zambry  dan Saripah juga diraikan pada majlis minum petang di Kapal Diraja (KD) Mahawangsa.

Sultan Perak rasmikan KSKB Sultan Azlan Shah

 PERASMIAN. Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Ipoh telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Kolej seluas 16.75 hektar itu merupakan penyatuan tiga institut latihan Kementerian Kesihatan iaitu Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Ipoh dan Kolej Kejururawatan Taiping.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, institut latihan yang mula beroperasi kira-kira 11 bulan lalu itu kini sudah mempunyai seramai 2,028 pelajar dan ia menawarkan beberapa program seperti Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan, Kejururawatan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan dan kursus pengkhususan serta lanjutan," katanya selepas menghadiri perasmian kolej itu baru-baru ini.

Tuesday, June 26, 2012

349 perajurit muda TUDM tamat latihan di ILTU Ipoh

 TAULIAH. Seramai 349 Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya menamatkan latihan Siri 46/2012 di Institut Latihan Tentera Udara (ILTU), Ipoh baru-baru ini.

Muhammad Amar Izuwan Mohd. Mizan, 22, dari Kluang, Johor dinobatkan sebagai sebagai Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan manakala Muhammad Firdaus Sarip @ Khalid, 20, dan Muhamad Haikal Apendi, 22, dipilih sebagai Perajurit Muda Akademik Terbaik dan Perajurit Muda Penembak Terbaik TUDM.

Mereka menerima hadiah berupa piala, sijil dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Ketua Polis Perak lawat anggota sukarelawan lumpuh

 ZIARAH. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan meluangkan masa melawat polis sukarelawan, Abdul Karim Abdul Ghani, 39, yang lumpuh di Taman Chemor Idaman, Ipoh baru-baru ini.

Mohd. Shukri berkata, beliau bersimpati dengan penderitaan Abdul Karim yang telah terlantar hampir lapan bulan berikutan kemalangan jalan raya selepas pulang bertugas.

Beliau berkata, Abdul Karim yang berpangkat Lans Koperal merupakan seorang polis sukarelawan yang aktif membantu anggota Balai Polis Kluang selama lebih tujuh tahun.

"Sebagai rasa simpati dan menghargai sumbangan beliau, kami turut menghulurkan sumbangan hasil kutipan derma dalam kalangan pegawai Polis Perak," katanya.

Tuesday, June 12, 2012

Warga China ditemui lemas

KAMPAR  - Seorang wanita  China  ditemui  lemas  selepas lebih 16 jam terjatuh ke dalam sebuah bekas lombong di Kampung Changkat Baru, Malim Nawar dekat sini semalam.
Mayat Yang Shuqin, 34, ditemui di dalam dasar bekas lombong terbabit oleh anggota Unit Penyelam Bomba dan Penyelamat Perak pada pukul 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah  Kampar , Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam bekas lombong yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah sewanya pada pukul 6 petang kelmarin.

"Sebelum itu Shuqin dikatakan pergi ke bekas lombong berkenaan untuk menemani dua kenalan lelakinya memancing.

"Dia dipercayai telah tergelincir ketika sedang mencuci muka di tebing bekas lombong tersebut sebelum tenggelam," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Monday, June 11, 2012

Bayi setahun maut tercampak dari kereta

TAIPING- Seorang  bayi  lelaki berusia setahun maut selepas  tercampak  keluar dari tingkap tempat duduk penumpang hadapan yang terbuka setelah kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 203.8  Lebuh   Raya   Utara - Selatan  arah  utara  berhampiran Kamunting semalam.

Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, Mohamad Fiffy Furqan Mohd. Fahmi cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, kejadian berlaku ketika kereta Proton Gen-2 yang dipandu bapa mangsa, Mohd. Fahmi Salleh, 34, dalam perjalanan pulang ke Jitra, Kedah dari Kuala Lumpur.

"Kereta mangsa terbabas kerana cuba mengelak satu objek di atas  lebuh   raya .

"Kereta Perodua Viva yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta mangsa menyebabkan mangsa yang berada dalam riba ibunya  tercampak  keluar melalui tingkap yang terbuka," jelasnya.

Dua kakak mangsa berusia lima dan tujuh tahun hanya cedera ringan.

Friday, June 8, 2012

Pusat latihan bomba di Tronoh

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

HUTAN   MELINTANG  - Sebuah Pusat Latihan  Bomba  dan Penyelamat yang dianggarkan bernilai RM24.5 juta akan dibina di Tronoh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, pusat latihan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu khusus untuk operasi menyelamat di dalam air.

"Selain itu Ibu Pejabat  Bomba  dan Penyelamat Perak sedang dibina di Bandar Meru Raya, Jelapang, Ipoh untuk kemudahan rakyat Perak.

"Kedua-dua inisiatif tersebut dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan serta kehadiran anggota  bomba  dan penyelamat demi keselesaan 2.5 juta penduduk Perak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian  Balai   Bomba  dan Penyelamat  Hutan   Melintang  yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Chee Heung berkata, bagi mengurangkan insiden kehilangan nyawa dan kecederaan, Jabatan  Bomba  dan Penyelamat mengambil langkah proaktif secara berterusan mengenal pasti punca kebakaran.

Selain itu, katanya, jabatan berkenaan turut menumpukan kepada peningkatan dan mengukuhkan keupayaan anggota  bomba  sukarela yang dianggap sebagai pasukan penentang api terawal dalam sebarang insiden kebakaran.

"Terdapat 38 pasukan  bomba  sukarela dengan keanggotaan 1,949 orang di seluruh negeri Perak. Kita amat menyanjung semangat anggota-anggota sukarela ini," katanya.

Thursday, June 7, 2012

Polis tumpaskan Geng Masi

IPOH - Sekumpulan empat penjenayah bergelar Geng  Masi  yang aktif melakukan  samun  dan pecah rumah sekitar bandar raya ini sejak awal tahun lalu diberkas polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek-suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun tersebut ditahan pada pukul 4 pagi di Desa Rishah di sini.

Katanya, ketika itu, mereka baru keluar dari sebuah kereta jenis Proton Putra berwarna putih.

"Pemeriksaan menemui 50 barangan  samun  seperti kad kredit, gugusan kunci, dompet, telefon bimbit, kamera, jam tangan dan komputer riba," katanya yang memberitahu gelaran Geng  Masi  diambil sempena nama ketua kumpulan itu.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek telah terlibat dalam 15 kes  samun  dan pecah rumah.

Modus operandi mereka ialah melakukan jenayah di kawasan sunyi pada tengah malam dan awal pagi.

"Dua daripada empat suspek berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,  samun  dan curi kenderaan.

Ujian air kencing juga mendapati keempat-empat lelaki itu posisif dadah," katanya yang memberitahu suspek kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Wednesday, June 6, 2012

PPPNP agih keuntungan RM16.4 juta

IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mengagihkan keuntungan kira-kira RM16.4 juta kepada 1,800 peserta ladang sosial yang bekerja di bawah agensi berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, agihan keuntungan itu merupakan yang tertinggi pernah diberikan PPPNP sejak ditubuhkan 1974.

“Pengagihan keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini disebabkan kejayaan agensi ini menjana keuntungan bersih sebanyak RM109 juta pada 2011,” katanya selepas menyampaikan agihan keuntungan tersebut di sini kelmarin.

Tambah beliau, kebanyakan peserta ladang sosial terbabit terdiri daripada golongan miskin, bekas tentera dan polis dan pesara kakitangan kerajaan yang berpangkat rendah.

Dua beradik sertai konvoi motosikal maut

 IPOH - Dua beradik yang menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 271.3 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gunung Lang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohammad Noor Nazmin Mohd. Norzri, 20, dan adiknya, Mohammad Noor Nazufiq, 18, maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang mereka tunggangi terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian kedua-dua beradik itu yang berasal dari Melaka sedang mengikuti konvoi 20 buah motosikal berkuasa tinggi yang menuju ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur.

"Sewaktu kejadian, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Mohammad Noor Nazmin yang merupakan seorang anggota tentera dipercayai terbabas selepas gagal memotong sebuah lori di hadapannya.

"Motosikal mangsa terlanggar penjuru kanan belakang lori berkenaan hingga membuatkan mereka terpelanting ke pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

 Azisman berkata, Mohammad Noor Nazmin yang mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, tambah beliau, Mohammad Noor Nazufiq yang mengalami kecederaan parah pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada pukul 3 petang.

1,800 peserta ladang PPPNP dapat durian runtuh

IPOH - Seramai 1,800 peserta ladang sosial kelolaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak ( PPPNP ) dijangka menerima 'durian runtuh' daripada agihan keuntungan yang bakal diumumkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif  PPPNP , Ahmad Rizal Abdul Rahman (gambar) berkata, agihan keuntungan tersebut dijangka tertinggi pernah diagihkan sepanjang lebih 15 tahun pembukaan ladang sosial terbabit.

"Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku Pengerusi  PPPNP  akan menyampaikan agihan keuntungan terbesar itu di kediaman rasmi beliau di sini esok (hari ini).

"Agihan keuntungan ini satu penghargaan kepada semua peserta ladang sosial terbabit dan kakitangan  PPPNP  yang bekerja keras menjana keuntungan besar pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo!Ahad di sini semalam.

Ahmad Rizal berkata, pengagihan keuntungan berkenaan dinikmati peserta ladang rakyat, ladang pahlawan dan ladang usahawan pahlawan yang rata-ratanya mengusahakan kelapa sawit.

Menurut beliau, kebanyakan peserta ladang sosial itu terdiri daripada golongan miskin, bekas tentera dan polis serta kakitangan kerajaan yang berpangkat rendah.

Tuesday, June 5, 2012

Peluang lihat keris Taming Sari di Kuala Kangsar

IPOH - Orang ramai berpeluang menyaksikan keris Laksamana Hang Tuah,  Taming   Sari  yang sedang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata,  pameran  itu yang bermula sejak kelmarin sehingga 8 Jun ini turut mempamerkan alat kebesaran Kesultanan Perak, Pedang Cura Si Manja Kini.

"Pameran Taming Sari dan Cura Si Manja Kini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-84 tahun.

"Baginda memberi perkenan agar kedua-dua alat kebesaran tersebut dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah selama lapan hari dari pukul 10 pagi hingga 5 petang," katanya di sini semalam. 

Taming Sari yang sinonim dengan Hang Tuah asalnya merupakan keris kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka.

Pedang Cura Si Manja Kini pula milik Sang Sapurba dan telah digunakan Parameswara semasa baginda menaiki takhta serta mengasaskan Kesultanan Melaka pada abad ke-13.

Kedua-dua alat kebesaran itu kemudiannya diserahkan kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar Shah yang menjadi Sultan Perak pertama.

Nenek kena cekik sebelum disamun

IPOH - Seorang warga emas bukan sahaja kehilangan wang tunai RM1,800 malah hampir lemas dicekik dua lelaki dalam kejadian  samun  di rumahnya di Kampung  Bercham  di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, kad pengenalan Low Soon Cheng, 87, turut dilarikan dua penyamun yang melindungi wajah mereka dengan memakai topi keledar bertutup penuh.

Soon Cheng yang tinggal bersendirian berkata, semasa kejadian, dia didatangi dua lelaki terbabit ketika sedang sibuk mengelap cermin pintu dan tingkap di hadapan rumahnya.

"Kedua-dua lelaki itu mendakwa diminta oleh anak lelaki saya untuk membaiki paip air yang rosak. Saya yang berasa curiga cuba berlari masuk ke dalam rumah.

"Namun belum sempat saya mengunci pintu, dua penjenayah itu dapat menangkap saya selepas masuk ke kawasan rumah dengan melompat pagar hadapan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung  Bercham  di sini semalam.

Soon Cheng berkata, salah seorang daripada penjenayah terbabit bertindak mencekik leher dan memukul mukanya.

Namun dia terselamat daripada terus dicederakan setelah menurut arahan dua penyamun tersebut agar menyerahkan dompet miliknya yang disimpan di dalam poket seluar sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.