Translate

Wednesday, July 31, 2019

APMM tahan bot laut dalam ceroboh persisir pantai

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan tamak sebuah bot nelayan tempatan laut dalam mencerobohi zon nelayan tradisional untuk menangkap ikan berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Bot nelayan kelas C itu ditahan oleh sebuah bot peronda dinaiki  pasukan penguat kuasa APMM sewaktu awak-awaknya sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 17 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 1.35 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, seramai empat nelayan termasuk tekong bot nelayan itu yang kesemuanya warga Thailand turut ditahan.

"Kesemua nelayan warga asing berusia dalam lingkungan 26 hingga 50 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati mereka yang mempunyai permit kerja sah digaji sebagai nelayan bot kelas C terbabit yang menggunakan pukat tunda," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Muhammad Suffi berkata, bot nelayan kelas C terbabit ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (b) 1985 Akta Perikanan. - K! ONLINE

Persiapan rapi Terengganu pertahan kejuaraan keseluruhan Sukma

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kontijen Terengganu melakukan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh setahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persiapan kontijen negeri bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan terbesar negara itu kini memasuki pada fasa kedua melibatkan 667 atlet.

"Saringan akhir atlet yang bakal mewakili kontijen negeri pada Sukma ke-20 dijangka akan dimuktamadkan pada fasa ketiga menjelang awal tahun hadapan.

"Kita berkeyakinan tinggi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan memandangkan kontijen kali ini masih lagi diwakili majoriti atlet yang menyumbang pingat pada Sukma ke-19 di Perak pada tahun lalu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Kontijen Terengganu menjelang setahun Sukma 20 yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus semalam.


Wan Sukairi berkata, kontijen Terengganu bakal menyertai 30 acara bakal dipertandingkan pada Sukma 20 di Johor berkenaan dengan sasaran sekurang-kurangnya untuk menyamai pencapaian 56 pingat emas yang telah diraih sebelum ini. - K! ONLINE

Tuesday, July 30, 2019

Syarahan memulihara hidupan liar diancam kepupusan

ILMU. Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan’ di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Abdul Kadir berkata, penyampaian syarahan umum itu merupakan sebahagian tanggungjawabnya sebagai Profesor Adjunct di Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT.

"Ia menjadi medium untuk Perhilitan dan tenaga pengajar UMT bertukar-tukar pandangan dan kepakaran bagi memperkasa usaha memulihara hidupan liar di negara ini seperti gajah, harimau, badak Sumatera dan rusa sambar yang kini diancam kepupusan," katanya.

Suri rumah maut terbabas elak kerbau melintas

HULU TERENGGANU – Hasrat seorang suri rumah untuk menziarahi ibunya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika cuba mengelak seekor kerbau di Kilometer 7, Jalan Kuala Ping-Teris berhampiran Kampung Paya Pak Akob di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Rofai­dah Muda, 52, cedera parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Perah, Ajil ke Kampung Nibung, Kuala Berang.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang Demak Evo ZR melakukan brek mengejut selepas melihat seekor kerbau melintas jalan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas.

“Ekoran kejadian itu, mangsa tercampak atas jalan  dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.

Bekas Pengarah YBNT didakwa 26 pertuduhan tipu pakej umrah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang menjadi buruan polis sejak lebih setahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memperdaya peserta pakej umrah murah dalam kalangan guru melibatkan kerugian keseluruhan RM164,000 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Adam Mohd. Ghazali, 31, dari Kampung Pasir Tawar Jabi, Jerteh, Besut
mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa memperdaya 26 mangsa untuk memindahkan wang antara RM 3,000 hingga RM 21,000 setiap seorang ke dalam akaun YBNT Resorts Sdn. Bhd. bagi program umrah bagi sesi November dan Disember 2016 yang sebenarnya tidak wujud.

Dia menerusi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu didakwa telah menipu mahu menaja kesemua mangsa program bantuan umrah tersebut tidak wujud berkenaan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di beberapa premis seperti pejabat YBNT di Jertih, Besut, pusat membeli-belah dan beberapa bank cawangan di Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Hulu Terengganu,  Dungun dan Kemaman dari 21 Jun 2016 hingga 25 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 20 tahun, sebatan daj boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kosmo! 28 Disember 2016 melaporkan Mohd. Adam ditahan polis bagi membantu siasatan kes penipuan umrah melibatkan melibatkan kerugian lebih kurang RM4.5 juta.


Tertuduh yang menyembunyikan diri menjadi buruan polis sejak Disember 2017 sehingga dia akhirnya berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Penchala, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu. - K! ONLINE

Leftenan Komander APMM didakwa 10 pertuduhan rasuah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai kanan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Leftenan Komander dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah daripada seorang tekong bot nelayan Vietnam berjumlah keseluruhan RM48,700 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Noor Afendi Zaulklfli, 38, yang bertugas sebagai pegawai komander Kapal Maritim (KM) Bagahak berpengkalan di Pangkalan Maritim Kemaman membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kesemua 10 pertuduhan terbabit, Mohd. Noor Afendi didakwa menerima suapan daripada tekong terbabit sebagai dorongan untuk tidak menahan dan mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan asing berkenaan yang telah menceroboh perairan Terengganu.

Kesemua wang suapan terbabit berjumlah keseluruhan RM48,700 didakwa dimasukkan menerusi akaun Malayan Banking Berhad yang dilakukan dalam 10 transaksi di sekitar daerah ini dan Dungun antara 22 April hingga 29 Mei 2017.


Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Monday, July 29, 2019

Dijel 3 tahun tikam isteri enggan rujuk semula

BESUT – Tindakan seorang nelayan menikam bekas isterinya menggunakan pemutar skru kerana enggan rujuk semula berbalas apabila dia dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Norshuzianna Shakilq Raja Mamat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Che Mohd. Azlan Muda, 31, yang berasal dari Kuala Besut dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Che Mohd. Azlan didakwa mencederakan Hidayah Ismail, 28, di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar dekat sini pada pukul 4 petang, 24 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pergi ke kedai makan tempat mangsa bekerja untuk memujuk supaya rujuk semula.

Mangsa yang sedang berada di bilik solat kedai makan tersebut enggan melayan permintaan bekas suaminya itu menyebabkan tertuduh berang lalu menikam muka mangsa dengan pemutar skru.

Difahamkan tertuduh dan bekas isterinya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun telah bercerai dua tahun lalu selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Nenek dapat hak penjagaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hak penjagaan tiga beradik yang diabai setelah ditinggalkan ibu mereka di sebuah rumah teres di Kuala Berang, Hulu Terengganu awal bulan ini diserahkan kepada nenek mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, keputusan tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Berang semalam.

“Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda hari ini (semalam) memutuskan mereka yang sebelum ini ditempatkan sementara di Rumah Sinar Harapan Kuala Terengganu dipelihara nenek mereka iaitu ibu tertuduh (Siti Minah Muhammad, 32,).

“Penyerahan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut daripada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penjaga perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, dengan perintah mahkamah tersebut tiga beradik yang berusia enam, lapan dan 12 tahun itu akan menetap di Kuala Krai, Kelantan.

Sementara itu, Mohd. Adli memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu juga dijadual untuk mendengar sebutan semula kes ibu mereka, Siti Minah yang menghadapi tiga pertuduhan mengabaikan anak-anaknya ia­itu seorang lelaki dan dua perempuan pada hari ini.

Kosmo! 12 Julai lalu melapor­kan Siti Minah yang juga ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membiarkan tiga anaknya tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001.

Dia didakwa meninggalkan anak-anaknya di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang, Hulu Terengganu selama tiga hari sehingga 3 Julai lalu semata-mata mengikut teman lelaki ke Kuala Lumpur.

Petronas taja 40 pelajar cemerlang Terengganu

BIASISWA. Seramai 40 pelajar cemerlang Terengganu menerima tajaan daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada program Penajaan Pendidikan Petronas di Institut Teknologi Petroleum Petronas, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman berkata, penajaan itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam membiayai pelajar melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi sejak tahun 1975.

“Mereka merupakan sebahagian daripada 400 pelajar cemerlang dari seluruh negara yang berjaya melepasi saringan penajaan daripada Petronas di Universiti Teknologi Petronas dan beberapa institusi pengajian tinggi luar negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Britain dan Jepun.

“Kesemua mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, geofizik, undang-undang dan beberapa kursus lain berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Beruang matahari pula ditangkap di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tidak sampai seminggu penemuan ikan paus dan harimau belang, rakyat Terengganu  digemparkan lagi dengan kehadiran seekor haiwan terancam iaitu beruang matahari yang tersesat mema­suki penempatan di Felda Belara dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, beruang matahari betina seberat kira-kira 70 kilogram itu berjaya ditangkap apabila memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 7.30 pagi.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, perangkap itu dipasang pihaknya selepas menerima aduan penduduk yang bimbang keselamatan mereka sejak dua minggu lalu.

“Seorang penduduk kampung mengadu mengesyaki sekumpulan beruang matahari telah menceroboh kawasan penternakan lebah kelulut yang diusahakannya.

“Beruang matahari itu didakwa telah me­rosakkan banyak perumah lebah kelulut bagi mengambil madu yang telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Abdul Malek berkata, beruang matahari dewasa itu telah termasuk di dalam perangkap yang dipasang kira-kira 500 meter dari kawasan perusahaan madu kelulut berkenaan.

“Jika beruang ini disahkan sihat, ia akan dilepaskan di kawasan Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu.

“Begitupun jika sebaliknya, haiwan liar itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai bagi menerima rawatan,” ujarnya.

Abdul Malek berkata, beruang matahari itu merupakan tangkapan ketiga haiwan liar daripada spesies sama di negeri ini sepanjang tahun ini.

Ujarnya, sebelum ini dua ekor beruang matahari yang tersesat memasuki perkampungan penduduk telah berjaya ditangkap di Kampung Jambu Bongkok, Marang baru-baru ini.

Sebelum ini, rakyat Terengganu juag digemparkan dengan kehadiran sepasang ikan paus pembunuh di perairan Kerteh, Kemaman dan dua ekor harimau belang di Kampung Besol Lama, Dungun masing-masing pada Selasa dan Khamis minggu lalu.

Sultan Terengganu nasihat jemaah haji jaga nama baik negara

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS -  Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menasihati jemaah haji agar menjaga nama baik negara sepanjang berada di tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci.

Baginda bertitah, jemaah haji negara ini diharap menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

"Beta harap jemaah haji dapat mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi agar tidak timbul sebarang masalah sepanjang berada di Tanah Suci.

"Gunakanlah kesempatan menjadi tetamu Allah ini dengan sebaiknya dan elakkan pembaziran masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah," titah baginda sewaktu mencemar duli menghadiri majlis pelepasan sulung jemaah haji Terengganu di sini malam tadi.

Turut berangkat mengucapkan selamat berangkat kepada 150 jemaah haji terbabit ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.


Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya. - K! ONLINE

Empat lelaki didakwa merogol, laku amang seksual terhadap remaja perempuan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Empat sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperkosa dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan dalam dua insiden berasingan di Setiu pada akhir bulan lalu.

Mohd. Fakruddin Anuar, 24; Muhammad Amirul Arif Baharom, 20; Mohd. Shah Firdaus Hassan, 21; dan Muhammad Hairi Mustapha membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Tiga tertuduh iaitu Mohd. Fakruddin, Muhammad Amirul Arif dan Mohd. Shah Firdaus didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun tujuh bulan manakala Muhammad Hairi pula menghadapi pertuduhan menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap individu sama.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Amirul Arif Mohd. Fakruddin dan Mohd. Shah didakwa memperkosa remaja perempuan itu di sebuah rumah di Permaisuri, Setiu antara pukul 7 malam hingga 11 malam, 22 Jun lalu.

Dia turut didakwa mengulangi perbuatan merogol mangsa di premis sama pada pukul 8 pagi, 27 Jun lalu.


Muhammad Hairi pula didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berkenaan di premis sama antara pukul 7 malam hingga 11 malam, 22 Jun lalu. - K! ONLINE

Sunday, July 28, 2019

Dapur Penjara Marang miliki sijil pengesahan halal

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Dapur Penjara Marang di sini muncul pusat tahanan dan pemulihan pertama di Semenanjung Malaysia menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab. Latiff berkata, inisiatif itu diambil pihaknya sebagai menyahut seruan Jabatan Penjara untuk meningkatkan kualiti penyediaan sajian bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada penghuninya.

Beliau berkata, sebelum ini, Unit Sajian Penjara Marang sering menerima teguran daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang melakukan lawatan berkala.

"Sehubungan itu, kita menyahut cabaran itu bagi melakukan penambahbaikan dengan memohon sijil pengesahan halal Jakim kerana sedia maklum prosedurnya ketat dan menyeluruh.

"Premis ini bukan sahaja menyediakan bahan makanan halal malah memiliki tahap kebersihan dan keselamatan tinggi untuk layak memiliki sijil itu," katanya selepas menerima sijil tersebut daripada Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam Terengganu, Mohd. Azam Awi di sini hari ini.


Wan Sani berkata,  Penjara Marang merupakan pusat tahanan dan pemulihan kedua di negara ini selepas Penjara Tawau, Sabah yang memiliki sijil pengesahan halal Jakim berkenaan. - K! ONLINE

TDM menterai perjanjian bekal minyak sawit mentah bernilai RM189 juta

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - TDM Berhad (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mementerai perjanjian membekalkan minyak sawit mentah (MSM) kepada Ikhasas CPO Sdn. Bhd. (Ikhasas CPO) melibatkan urusniaga bernilai RM189 juta.

Pengerusi TDM, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, pihaknya bakal membekalkan 2,500 metrik tan MSM kepada Ikhasas CPO pada setiap bulan dalam tempoh 43 bulan.

"Pembayaran bagi pembekalan MSM ini akan dilunaskan sebanyak tiga kali melibatkan amaun RM63 juta bagi setiap transaksi.

Perjanjian jangka sederhana ini menyokong Rancangan Penciptaan Nilai dan Rancangan Pembangunan Perniagaan TDM dalam menghadapi cabaran harga MSM yang rendah berikutan ketidaktentuan ekonomi global masa kini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Idris berkata, transaksi bernilai RM189 juta terbabit diunjur menjadi antara penyumbang utama kepada pelaksanaan pelan perniagaan TDM pada masa akan datang.


Beliau berkata, pihaknya bercadang menggunakan sebahagian amaun yanh bakal diterima terbabit untuk pembayaran balik pinjaman berjumlah RM52.5 juta, perbelanjaan modal (RM10 juta) dan modal kerja (RM125 juta). - K! ONLINE

Saturday, July 27, 2019

Sepasang Paus Orca dikesan berenang berhampiran pelantar minyak Dulang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -  Sepasang ikan paus Orca atau lebih dikenali sebagai paus pembunuh ditemui berenang berhampiran dengan pelantar minyak Dulang kira-kira 65 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu semalam.

Kehadiran dua ekor bersaiz gergasi dianggarkan seberat lebih tiga tan tersebut menarik perhatian beberapa pekerja pelantar minyak terbabit.

Seorang individu dipercayai pekerja pelantar minyak milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkenaan telah merakam video memaparkan pergerakan dua ekor ikan paus Orca berkenaan di dalam laut.

Berdasarkan video yang berdurasi 30 saat kedua-dua ikan spesies terbesar dunia itu timbul di permukaan air selama beberapa saat sebelum tenggelam semula ke dalam dasar Laut China Selatan.

Ketua Pasukan Penyelamat Kedamparan Spesies Marin Terancam Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, paus Orca merupakan ikan yang dikategorikan sebagai spesies terancam.


"Ikan paus Orca atau nama saintifiknya, Orcinus Orca tersenarai dalam Jadual Mamalia Marin, Akta Perikanan 1985 (Peraturan-Peraturan Perikanan, Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam Pindaan 2019)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Perkeso serah faedah urus jenazah kepada balu

PRIHATIN. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menyerahkan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada seorang balu, Suriani Jusoh, 47, yang kehilangan suami di Kampung Tok Pong, Kedai Buluh, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, Suriani yang juga golongan orang kelainan upaya (OKU) pertuturan, dua anak lelaki yang berusia empat dan 12 tahun turut layak menerima pampasan pencen penakat Allahyarham suaminya berjumlah hampir RM800 sebulan.

“Skuad Prihatin Perkeso Terengganu yang simpati dengan Suriani yang baru kematian suami akibat sakit dada pada 15 Mei lalu mengambil pendekatan untuk turun padang bagi memudahkan urusan harian suri rumah tersebut,” katanya.

Friday, July 26, 2019

Harimau 'Awang Besol' jinak kerana dijangkiti virus

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS -  Seekor harimau belang digelar 'Awang Besol' yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas berkeliaran di Kampung Besol Lama, Dungun pada kelmarin disyaki dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, virus tersebut menyebabkan harimau dari spesies Harimau Malaya berusia lima tahun terbabit mengalami kecelaruan minda sehingga berubah menjadi jinak yang bertentangan dengan sifat semulajadinya.

"Pemeriksaan awal mendapati harimau jantan berkenaan berkemungkinan mengalami simptom dijangkiti virus Cannine Temper Disorder.

"Virus yang disebarkan kucing dan anjing domestik itu biasa menjangkiti haiwan liar seperti harimau tetapi ia kes pertama dilaporkan di Terengganu," katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di  sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Professor Adjunct Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT menyampaikan syarahan 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan' pada program yang turut dihadiri  Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar.


Dalam perkembangan sama, Abdul Kadir menolak kemungkinan harimau 'Awang Besol' itu dibela berdasarkan keadaan fizikalnya yang tidak terurus sewaktu ditemui anggota Perhilitan. - K! ONLINE

Buruh ditemui maut akibat buasir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Seorang buruh ditemui mati di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara berhampiran kilang kayu miliknya keluarganya di Sungai Lerek, Permaisuri di sini hari ini.

Mayat Ruslan Mohammad, 50, ditemui oleh salah seorang ahli keluarganya di tempat duduk pemandu kenderaan itu pada pukul 7.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, Ruslan yang dijumpai dalam keadaan hanya bertuala dipercayai baru keluar dari sebuah tandas terdapat di kilang berkenaan.

"Dia kemudiannya dikatakan terus memasuki kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara milik isterinya yang diletakkan di hadapan tandas terbabit sebelum tidak sedarkan diri akibat pendarahan di bahagian punggung.

"Selain bahagian punggungnya, kesan tompok darah juga dijumpai di bahagian tandas, bilik air dan bersebelahan pintu tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Zulkifli berkata, berdasarkan keterangan ahli keluarga, Ruslan telah menderita penyakit buasir kronik sejak 17 tahun lalu namun tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan.

Beliau berkata, hasil bedah siasat pengawai perubatan di Unit Forensik Hospital Setiu di sini mengesahkan kematian lelaki itu berpunca daripada pendarahan usus.

"Kematian mangsa tidak mempunyai sebarang elemen jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya. - K! ONLINE

Angkasa Terengganu 
rai ahli, pelanggan

CERIA. Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Terengganu menganjurkan majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Laman Kokitab, Gong Badak di Kuala Nerus baru-baru ini.

Pengerusi Angkasa Terengganu, Mohamed Yusof berkata, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

“Majlis ini bertujuan untuk meraikan dan merapatkan hubungan antara ahli bersama pelanggan Angkasa Terengganu. Pelbagai menu disajikan kepada tetamu seperti nasi minyak, sate, laksa Terengganu, ketupat palas dan apam balik,” katanya.

Thursday, July 25, 2019

Liga Super: TFC I, Pahang seri 1-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hajat Pahang untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super tertunda selepas sekadar mencatat seri 1-1 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, sebentar tadi.

Tuan rumah mendahului 1-0 menerusi pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya yang bijak melepasi kawalan dua pertahanan kental Pahang, Matthew Davies dan Mohamad Muslim Ahmad pada minit ke-42.

Penyerang Pahang yang juga pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menyelamatkan maruah skuad Tok Gajah apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-50.

Terdahulu, Pahang bermula garang namun rembatan kencang pemain tengah, Muhammad Zuhair Aizat Mohd. Nazri pada minit ke-25 berjaya ditepis penjaga gawang TFC I, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Muhammad Ilham Amirullah sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan Sumareh pada minit ke-41.

Skuad Penyu pula hampir menggandakan jaringan menerusi dua percubaan daripada pemain pertahanan, Adib Aizuddin Ab. Latif dan penyerang import, Kipre Tchetche pada minit-minit terakhir babak pertama tetapi kedua-duanya  berjaya didakap kemas penjaga gol pelawat, Mohd. Remezey Che Ros.


Rembatan lencong pemain pertahanan, Khairul Anwar Shahrudin pada minit-55 pula sekadar melepasi palang. - K! ONLINE

Saksi aksi Muay Thai percuma pada kejohanan Terengganu Fight

PEMINAT Muay Thai disaran tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan Terengganu Fight anjuran bersama Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu (PMTNT)dan Pertubuhan Kebajikan Bumiputera Malaysia yang akan diadakan pada 2 Ogos depan.

Tambah istimewa, kemasukan bagi kejohanan yang bakal diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu berkenaan adalah percuma.

Presiden PMTNT, Najmi Abdullah berkata, kejohanan Terengganu Fight tersebut merupakan hadiah pihaknya kepada peminat tegar Muay Thai di negeri ini dan sekitar yang telah memberikan sambutan luar biasa kepada penganjuran edisi pertamanya pada tahun lalu.

"Seramai hampir 5,000 peminat telah membanjiri Stadium Tertutup Gong Badak pada tahun lalu bagi menyaksikan kejohanan edisi pertama tersebut yang turut dimeriahkan oleh lagenda Muay Thai, Saenchai.

"Pada tahun ini, kita tampilkan 12 atlet Muay Thai yang tidak kurang hebatnya seperti Felipe Lobo Amantha dari Brazil, Rungravee Sasiprapa (Thailand), Ayoub Sadam Sergama (Algeria) dan Latxasak Souliyavong (Laos)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Najmi berkata, Terengganu Fight turut bakal menampilkan atlet-atlet kebangsaan seperti kapten Muay Thai Malaysia kelahiran Terengganu, Muhamad Ali Yaakub; Ain Kamarrudin yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017; Ropi Kuda Merah dan Kabilan Jeleven. - K! ONLINE

Bank Islam santuni komuniti nelayan Setiu

SANTUNI. Bank Islam menyantuni komuniti nelayan menerusi program Amal Ihtimam Syawal di Kampung Rhu 10, Penarik, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd. Nazri Chik berkata, program tanggungjawab sosial korporat yang julung kali diadakan itu bertujuan membantu golongan asnaf sempena bulan Syawal.

“Bank Islam telah menyumbang sebuah mesin tarik bot bernilai RM10,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan Setiu dan sumbangan zakat kepada 100 murid dan pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Selain itu, tambahnya, pihaknya juga menziarahi lima buah rumah keluarga nelayan yang ditimpa bencana untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Wednesday, July 24, 2019

Liga Super: TFC I ceria ikat Pahang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kejayaan mengikat Pahang 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi sudah cukup menceriakan Terengganu Football Club I (TFC I).

Penolong Ketua Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata, anak buahnya terus mempamerkan prestasi konsisten pada pertemuan 'derbi Pantai Timur' terbabit sekali gus berjaya menghampakan hasrat skuad Tok Gajah untuk sah bergelar naib juara Liga Super lebih awal.

"Walaupun Pahang memberi tentangan hebat, anak buah saya telah mempamerkan momentum bertenaga sepanjang aksi 90 minit malam ini (tadi).

"Jika tidak kerana kesilapan kecil benteng pertahanan lambat mengawal pergerakan (penyerang Pahang) Mohamadou Sumareh pada minit ke-50, kemenangan sudah pasti milik kita," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Skuad Penyu mendahului menerusi rembatan padu pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-42 sebelum Sumareh yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya menyelamatkan maruah Pahang pada babak kedua.


Mohamad berkata, secara keseluruhannya, beliau masih berpuas hati dengan persembahan barisan pertahanan TFC I dibarisi pemain tempatan yang telah banyak mempamerkan peningkatan. - K! ONLINE

Paus Orca ditemui di Terengganu

KUALA TERENGGANU –  Sepasang ikan Paus Orca atau lebih dikenali sebagai paus pembunuh ditemui berenang berhampiran de­ngan Pelantar Minyak Dulang kira-kira 91.8 batu nautika dari perairan Kerteh, Kemaman, dekat sini kelmarin.

Kehadiran dua ekor paus bersaiz gergasi dianggarkan masing-masing seberat lebih lima tan itu menarik perhatian beberapa pekerja pelantar minyak terbabit.

Seorang individu dipercayai pekerja pelantar mi­nyak milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah merakam video memaparkan pergerakan dua ekor ikan Paus Orca di dalam laut.

Video berdurasi 30 saat menunjukkan ikan spesies terbesar dunia itu timbul di permukaan air selama beberapa saat sebelum tenggelam semula ke dalam dasar Laut China Selatan.

Ketua Pasukan Penyelamat Kedamparan Spesies Marin Terancam Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang Rantau Abang,  Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, Paus Orca merupakan ikan yang dikategorikan sebagai spesies terancam.

“Ikan Paus Orca atau nama saintifiknya, Orcinus Orca tersenarai dalam Ja­dual Mamalia Marin, Akta Perikanan 1985 (Peraturan-Peraturan Perikanan, Pe­ngawalan Spesies Ikan Yang Terancam Pindaan 2019),” katanya di sini semalam.

Ujarnya, Paus Orca merupakan mamalia daripada ­spesies ikan lumba-lumba dan mampu berenang pada kelajuan kira-kira 55 kilo­meter sejam.

Ahmad Zahid kembali bertugas sebagai Presiden UMNO disambut baik

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kehadiran semula Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerajui UMNO selepas bercuti lebih enam bulan lalu bakal menguatkan lagi parti pembangkang berkenaan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, gandingan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan amat diperlukan pada masa ini bagi memacu parti siasah terbabit menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang tidak mustahil berlaku pada masa terdekat.

"Badan Perhubungan UMNO Terengganu mengalu-alukan keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid kembali bertugas sebagai presiden parti daripada bercuti sebelum ini.

"Itu (kembali bertugas) adalah haknya mengikut perlembagaan parti. Sudah pasti beliau mempunyai misi dan perancangan untuk membawa UMNO kembali mengambil alih kuasa (kerajaan Persekutuan) daripada Pakatan Harapan, (PH)" katanya ketika ditemui pada majlis Mesra bersama Media di sini hari ini.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO.

Ahmad berkata, biar pun Ahmad Zahid kini berhadapan dengan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah, ia tidak akan menjejaskan reputasi UMNO mahu pun pelan kerjasama dengan Pas kerana semuanya masih peringkat sebutan dan belum dibuktikan bersalah.

Ujar bekas Menteri Besar Terengganu itu, apa yang lebih penting UMNO terus memperjuangkan hak rakyat yang kini semakin resah setelah menyedari PH gagal mentadbir kerajaan dan menunaikan janji-janji yang telah ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Semakin ramai rakyat yang mengundi PH pada PRU-14 telah menyatakan kekesalan dan mencari UMNO kembali.

"Kebanyakan mereka mengharapkan PRU-15 diadakan segera untuk membetulkan kembali (kesilapan) dan kita (UMNO) menaruh keyakinan tinggi (memenangi pilihan raya)," katanya. - K! ONLINE

Tuesday, July 23, 2019

Beruang matahari ditangkap di Felda Belara

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Tidak sampai seminggu penemuan ikan paus dan harimau belang, rakyat Terengganu digemparkan lagi dengan kehadiran satu lagi haiwan terancam iaitu seekor beruang matahari yang tersesat memasuki penempatan di Felda Belada dekat sini hari ini.

Beruang matahari betina seberat kira-kira 70 kilogram (kg) itu memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 7.30 pagi.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, perangkap itu dipasang pihaknya selepas menerima aduan penduduk yang bimbang keselamatan mereka sejak dua minggu lalu.

"Seorang penduduk kampung mengadu mengesyaki sekumpulan beruang matahari telah menceroboh kawasan penternakan lebah kelulut diusahanya.

"Beruang matahari terbabit didakwa telah merosakkan banyak perumah lebah kelulut bagi mengambil madu yang telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Abdul Malek berkata, beruang matahari dewasa itu telah termasuk di dalam perangkap yang dipasang kira-kira 500 meter dari kawasan perusahaan madu kelulut berkenaan. - K! ONLINE

Bekas Pengarah YBNT didakwa perdaya guru untuk pakej umrah

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang menjadi buruan polis sejak lebih setahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 26 pertuduhan memperdaya peserta pakej umrah murah dalam kalangan guru melibatkan kerugian berjumlah RM164,000 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Adam Mohd. Ghazali (gambar), 31, dari Kampung Pasir Tawar, Jabi, Jerteh, Besut me­ngaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa memperdaya 26 mangsa untuk memindahkan wang antara RM3,000 hingga RM21,000 setiap seorang ke dalam akaun YBNT Resorts Sdn. Bhd. bagi program umrah sesi November dan Disember 2016 yang sebenarnya tidak wujud.

Tertuduh didakwa telah menipu mahu menaja kesemua mangsa program bantuan umrah tersebut yang tidak wujud.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa premis se­perti pejabat YBNT di Jertih, Besut, pusat beli-belah dan beberapa bank cawangan di Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, ­Dungun dan Kemaman dari 21 Jun 2016 hingga 25 Oktober 2016.

Kosmo!, 28 Disember 2016 mela­porkan Mohd. Adam ditahan polis bagi membantu siasatan kes peni­puan umrah melibatkan melibatkan kerugian lebih kurang RM4.5 juta.

Tertuduh yang menyembunyikan diri menjadi buruan polis sejak Disem­ber 2017 sehingga akhirnya dia berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Penchala, Peta­ling Jaya, Selangor pada Khamis lalu.

Pesta durian di FAMA Terengganu bulan depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Peminat durian terutama sekitar bandar raya ini berpeluang untuk menikmati raja buah tersebut dengan harga murah menerusi penganjuran Jualan Anak-Beranak 2.0 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada awal bulan depan.

Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, program yang bakal diadakan di pekarangan pejabat FAMA negeri, Jalan Hiliran di sini itu merupakan kesinambungan penganjuran julung kali pada tahun lalu yang mendapat sambutan luar biasa.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran sulung tersebut, sebanyak 16 metrik tan durian pelbagai gred habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

"FAMA bercadang untuk menganjurkan lagi Jualan Anak-Beranak ini bagi membolehkan peminat durian di negeri ini menikmati durian pelbagai gred pada harga lebih murah daripada pasaran.

"Walaupun kebanyakan durian di pasaran kini berharga RM10 ke atas, kita akan menjual pada harga lebih murah daripada itu bergantung kepada bekalan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat FAMA Terengganu di sini hari ini.


Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan lambakan sekurang-kurangnya 15 metrik tan durian bakal dijual pada program sehari berkenaan. - K! ONLINE

Monday, July 22, 2019

Hukuman lebih keras terhadap pemburu dan penyeludup haiwan liar haram

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Akta Perlindungan Haiwan Liar 2010 bakal disemak semula dengan peruntukan hukuman yang lebih keras sebagai inisiatif membanteras  isu pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pindaan akta terbabit memperuntukkan hukuman penjara mandatori antara tiga tahun dan 10 tahun selain meningkatkan denda maksimum RM1 juta terhadap individu yang disabitkan kesalahan atas jenayah berkenaan.

"Pindaan (Akta Perlindungan Haiwan Liar 2010) tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober depan dan dijangka boleh dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

"Kita berhadapan dengan aktiviti pemburuan haram yang memberi ancaman haiwan liar yang semakin kepupusan seperti harimau dan gajah bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan malah rakyat asing terutama dari Vietnam, Myanmar dan Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan' di 
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar di  sini semalam


Abdul Kadir yang juga Professor Adjunct Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT berkata, pindaan itu juga akan membolehkan Perhilitan mengambil tindakan lebih berkesan untuk menyekat aktiviti penyeludupan haram hidupan liar dan terancam menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram. - K! ONLINE

Wanita diugut bunuh kerana minta cerai

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki mengugut untuk membunuh isterinya kerana berang selepas wanita itu meminta cerai dalam kejadian di Kampung Raja Baran, Chende­ring di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12 te­ngah hari itu, suspek yang berusia 39 tahun dan iste­rinya yang berusia 35 tahun bertengkar dipercayai akibat masalah kewa­ngan.
Sumber berkata, mangsa tidak tahan dengan sikap suaminya yang malas bekerja selain dipercayai terlibat de­ngan dadah.

“Semasa bertengkar, mangsa minta diceraikan tetapi suspek tidak bersetuju dan berang lalu mengugut untuk membunuh isterinya itu jika permintaan tersebut disuarakan lagi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, mangsa yang bimbang akan keselamatannya kemudian membuat laporan polis.

Jelasnya, pasangan itu kerap bertengkar dan mangsa mendakwa sering dikasari oleh suspek sebelum ini tetapi tidak membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

‘Awang Besol’ jinak sebab virus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seekor harimau belang digelar ‘Awang Besol’ yang ditangkap pihak berkuasa selepas berkeliaran di Kampung Besol Lama, Dungun dekat sini pada Jumaat lalu dipercayai dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan­ Haiwan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jangkitan virus itu menyebabkan haiwan berusia lima tahun tersebut mengalami kecelaruan minda sehingga ber­ubah menjadi jinak.

“Pemeriksaan awal mendapati harimau jantan itu mungkin  mengalami simptom dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

“Virus yang disebarkan ku­cing dan anjing itu biasa menjangkiti haiwan seperti harimau, tetapi ini kes pertama yang dilaporkan berlaku di Terengganu,” katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Profesor Adjung Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT me­nyampaikan syarahan ‘Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan’. Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar.

Menurut Abdul Kadir, Awang Besol kini ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai di Perak dan pihaknya telah mengambil sampel darah haiwan itu untuk dianalisis. Keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir memberitahu,  pihaknya menolak kemungkinan ‘Awang Besol’ dibela kerana fizikal haiwan itu tidak terurus semasa dijumpai pasukan Perhilitan.

“Semasa ditemui, haiwan itu mengalami dehidrasi dan bengkak pada kaki sekali gus tidak menunjukkan ciri-ciri haiwan belaan.

“Kemungkinan besar seekor harimau sahaja yang tersesat bukannya dua ekor se­perti yang didakwa penduduk kampung berdasaran pe­nemuan kesan tapak kaki ‘Awang Besol’ di lokasi tersebut,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga menemui kesan tapak kaki seekor harimau bintang yang turut menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung tersebut sebagai habitatnya.

“Kita masih memantau termasuk memasang perangkap sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penduduk kampung,” kata beliau.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan penduduk Kampung Besol Lama gempar apabila dua ekor harimau belang dipercayai ter­sesat masuk ke perkampungan tersebut.

Haiwan itu tidak agresif malah sempat ‘bergurau’ dengan menjilat beberapa penduduk yang mendekatinya.

Keputusan ujian kesihatan Awang Besol diketahui seminggu lagi

KUALA LUMPUR – Keputusan saringan kesihatan harimau jantan yang diberi gelaran ‘Awang Besol’ yang tersesat masuk ke sebuah kampung di Bukit Besi, Terengganu kelmarin mengambil masa lebih kurang seminggu sebelum dapat diketahui.

Ketua Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Hasdi Hassan berkata, haiwan itu telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai, Perak petang semalam selepas berjaya ditangkap oleh pasukan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.

“Sekarang ini kami sedang melakukan ujian saringan kesihatan terhadap harimau ber­kenaan, namun keputusannya dijangka dapat diketahui dalam masa seminggu lagi.

“Bagiamanapun, hasil pe­me­riksaan awal mendapati kea­daan harimau tersebut tiada masalah, cuma ada kesan luka pada badan.

“Kita tidak pasti kesan luka tersebut disebabkan apa dan rawatan telah diberi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Hasdi menambah, ujian sa­ringan kesihatan tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan kesimpulan daripada analisis sama ada haiwan itu sakit sehingga menyebabkan ia tidak terlalu agresif atau sememang ia bersifat jinak.

Khamis lalu, penduduk Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Terengganu gempar apabila dua ekor harimau belang memasuki kampung itu.
Kehadiran pasangan harimau itu disedari seorang penduduk kampung selepas salah seekor daripada haiwan itu menjilat tubuh badan lelaki berkenaan.

Haiwan berkenaan yang kelihatan jinak turut bergurau dengan beberapa penduduk yang menaiki motosikal dengan cuba mengejar mereka.

Sementara itu, Ketua Pe­ngarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, usa­ha untuk menangkap seekor lagi harimau yang berkeliaran di Kampung Besol Lama masih diteruskan semalam.

Katanya, dua perangkap yang  diletak umpan seekor kambing telah dipasang di lokasi strategik bagi menangkap harimau belang dewasa berkenaan.

Liga Super: Pahang yakin gelaran naib juara dalam genggaman

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pahang berkeyakinan gelaran naib juara Liga Super masih hampir dalam genggaman walaupun hajat itu tertunda malam tadi setelah diikat 1-1 oleh Terengganu Football Club I (TFC I).

Penolong Ketua Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, skuad Tok Gajah akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada baki dua aksi terakhir untuk mengesahkan posisi di tempat kedua Liga Super berkenaan.

"Kita akan usaha (bergelar naib juara Liga Super) dengan hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua mata.

"Saya percaya beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Darul Makmur) pada dua baki perlawanan musim ini menentang Felda United dan Melaka United memberi kelebihan kepada kami," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu malam tadi.

Pahang yang sudah mengutip 37 mata daripada 20 aksi Liga Super setakat ini kini ampuh lima mata di hadapan Melaka United yang berada di posisi ketiga.


Kejuaraan Liga Super sudah disahkan awal oleh juara bertahan enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bergelar naib juara bakal menjadi penawar buat Pahang yang kempunan mempertahankan Piala FA selepas tumpas 3-4 secara agregat dengan Perak pada pertembungan separuh akhir baru-baru ini. -K! ONLINE

Heret dalang ke muka pengadilan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Beberapa pemimpin parti politik mahu tindakan segera diambil ke atas pihak yang terlibat dan bertanggungjawab dalam skandal video seks songsang yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kelmarin yang mengesahkan hasil analisis oleh pihak CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, rakyat negara ini sudah pastinya mahu mengetahui tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab yang dikatakan telah diupah untuk menghasilkan video terbabit.

“Kalau sudah dikatakan tulen, maka benarlah ia memang tulen, tetapi jangan kata tulen sahaja, apa tindakan selanjutnya?

“Itu persoalan yang akan ditanya dan kalau betul tulen, ambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyua­rat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Abdul Hamid yang mendedahkan video seks songsang yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit selain didalangi seorang pemimpin parti politik.

Beliau bagaimanapun berkata, analisis oleh pakar CyberSecurity Malaysia gagal mengecam wajah pelaku dalam video ber­kenaan walaupun kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.

Di Shah Alam, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini susulan penyebaran video seks tersebut.
Beliau berkata, dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.

“Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan,” kata Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor di sini semalam.

Tambahnya, mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan adalah ketinggalan zaman kerana rakyat telah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Ha­ziq Abdullah Abdul Aziz me­ngaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Kakitangan Genting teruja pulihara penyu

KEMAMAN – Seramai 50 kakitangan Genting Malaysia Berhad (Genting) teruja menyertai program Pemuliharaan Penyu di Resorts World Kijal dekat sini baru-baru ini.

Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Korporat Genting, Datuk Seri Kay Parasuraman berkata, kesemua peserta merupakan sukarelawan Genting Green Generation (G3) yang ditubuhkan sejak tahun 2017.

“G3 merupakan inisiatif Genting untuk membentuk tenaga kerja melindungi alam sekitar, menjaga pelanggan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi masyarakat setempat.

“Sepanjang dua tahun penubuhannya, sebanyak 15 program berkaitan alam sekitar dan gaya hidup sihat melibatkan sukarelawan G3 telah dianjurkan termasuk program Pemuliharaan Penyu di Resorts World Kijal dekat sini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, sepanjang program dua hari itu, sukarelawan G3 didedahkan dengan usaha-usaha pemuliharaan penyu dan alam sekitar menerusi sesi ceramah daripada Tabung Alam Sedunia (WWF),  gotong-royong pembersihan pantai, aktiviti penanaman telur ke dalam pasir dan pelepasan anak penyu ke laut.

“Sebenarnya persisir pantai Resorts World Kijal sepanjang 7.5 kilometer merupakan salah satu pusat pendaratan penyu di Terengganu.

“Sebanyak 180 rekod pendaratan dengan 16,300 telur penyu telah dikutip di sekitar pantai peranginan ini sejak tahun 2000. Dalam tempoh sama, kira-kira 15,000 anak penyu telah dilepaskan ke laut,” jelasnya.

Kay memberitahu, pelanggan resort berpeluang menyertai aktiviti melepaskan anak penyu ke laut, menanam telur penyu dalam pasir dan melihat penyu bertelur pada waktu malam.

“Setakat ini, lebih 5,000 pelanggan Resorts World Kijal telah menyertai program pemeliharaan dan pemuliharaan penyu.

“Pengurusan Resorts World Kijal sentiasa mahu mendidik pelawat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak berhubung kepentingan melindungi penyu dan habitatnya yang semakin terancam,” katanya.
Sementara itu salah seorang sukarelawan G3, Norlizan Sudarman, 39, berkata, peluang untuk terlibat dalam program pemuliharaan penyu me­rupakan pengalaman yang manis.

“Tidak dapat digambarkan perasaan apabila berpeluang melepaskan anak penyu ke laut,” jelasnya.

Bukan culik tapi ikut jiran ke Narathiwat

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Saiful Aiman Mohamad, 9, yang hilang sejak kelmarin sebenarnya tidak diculik tetapi mengikut jirannya yang merupakan seorang wanita warga Thailand pulang ke negara jiran itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos berkata, siasatan mendapati murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, Besut terbabit mengikut wanita yang dikenali sebagai Mok Noh, 60, pulang ke kampung halaman   di Narathiwat, Thailand.

"Kehilangan kanak-kanak itu bukan bermotifkan culik kerana dia sebenarnya mengikut jirannya ke Narathiwat tanpa memberitahu ibunya.

"Wanita terbabit yang dikenali sebagai Mok Noh itu bukan sahaja mengenali keluarga Saiful Aiman malah telah lama menetap di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Razmi berkata, sebaik mengetahui berita kehilangan Saiful Aiman tersebar, keluarga Mok Noh telah memaklumkan hal sebenar dan menyerahkan budak lelaki itu kepada pihak polis di Pengkalan Kubur, Kelantan.

Menurut beliau, kanak-kanak itu telah dipertemukan dengan ibunya, Siti Ruziana Sidek, 35, di sempadan Thailand itu dan mereka kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Besut.

"Saya sahkan tiada unsur penculikan dalam kehilangan kanak-kanak itu dan ia cuma lah salah faham," katanya.


Kosmo! Online semalam melaporkan Siti Ruziana yang merupakan seorang ibu tunggal resah selepas Saiful Aiman yang merupakan anak ketiga dari empat beradik hilang selepas keluar membeli sarapan di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut pada Isnin lalu. - K! ONLINE

Sunday, July 21, 2019

UniSZA tubuh pengkalan data digital manuskrip lama

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (Inspire) menjalin kerjasama dengan Arkib Negara untuk menyalin dokumen berupa manuskrip lama negara berkaitan sejarah Islam dan alam Melayu dalam bentuk digital.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, inisiatif menyalin manuskrip lama yang antaranya telah berusia lebih 1,000 tahun itu dalam bentuk digital bertujuan memulihara khazanah berharganya selaras dengan perkembangan revolusi teknologi 4.0  (IR 4.0).

Beliau berkata,  manuskrip lama yang bakal didigitalisi nanti akan ditempatkan di Perpustakaan UniSZA sekali gus menjadikan ia  pengkalan data digital katalog dokumen-dokumen rasmi berkaitan sejarah Islam, alam Melayu dan sebagainya terbesar di Asia Terenggara.

"UniSZA berhasrat untuk menjaga dan mengkaji sekurang-kurangnya 4,000 naskah manuskrip lama berkenaan.

"Jalinan kerjasama dengan Arkib Negara itu termasuk membawa pulang sebahagian manuskrip lama terbabit yang masih berada di luar negara," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Ketua Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz berhubung kerjasama itu di sini hari ini.

Hassan Basri berkata, buat permulaan,Manuskrip Digital Malcolm Macdonald dari Durham University, Britain akan dibawa pulang melibatkan kos pembelian RM32,563.23 yang akan dikongsi bersama antara UniSZA dan Arkib Negara.

Beliau berkata, majlis penyerahan manuskrip terbabit akan disaksikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Durham University pada 26 Julai depan.

"Langkah menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara atas talian ini bakal mengukuhkan UniSZA sebagai institusi pengajian tinggo yang berteraskan keilmuan Islam.

"Ia juga selaras dengan evolusi ilmu diperolehi secara atas talian yang boleh diakses tanpa had masa, jarak dan lokasi," katanya. - K! ONLINE