Translate

Tuesday, July 31, 2012

Rayu bantu kos bedah telinga anak

 IPOH - Seorang kerani merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan bagi memulihkan pendengaran anak perempuannya yang melibatkan kos sebanyak RM77,000.

Nor Aainy Kamal Bashah, 33, berkata, anak keduanya dari tiga beradik, Aleesya Analia Norhaid, tiga tahun, perlu menjalani pembedahan  koklear  implan dengan segera di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur.

"Pakar Otorinolaringologi di Pusat Perubatan UKM mengesahkan anak saya mengalami kecacatan pendengaran sensori neural di kedua-dua belah telinganya.

"Peluang kejayaan pembedahan itu lebih besar jika dilaksanakan selewat-lewatnya ketika berumur tiga tahun dan Aleesya Analia telah mencapai umur itu pada pertengahan bulan ini," katanya.Dia berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Rawi Abdullah di sini semalam.

Nor Aainy yang menetap di Taman Pengkalan Intan di sini memberitahu, keluarganya tidak berkemampuan untuk menampung kos pembedahan itu memandangkan suaminya hanya bekerja sendiri.

Menurutnya, setakat ini, dia yang mempunyai dua anak lain berusia enam tahun dan setahun telah berjaya mengumpul dana RM10,000 hasil sumbangan majikannya.

"Kecacatan pendengaran sensori neural itu juga menyebabkan Aleesya Analia selalu terjatuh kerana sukar mengimbangi badan," katanya.

Nor Aainy berkata, dia sekeluarga mula mengesyaki masalah pendengaran yang menimpa Aleesya Analia selepas anak keduanya itu tidak memberi sebarang respons terhadap bunyi ketika berumur lapan bulan.

Sehubungan itu, dia segera merujuk anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Ogos 2010 namun Aleesya Analia hanya berpeluang menjalani ujian pendengaran kira-kira lapan bulan kemudian.

"Oleh kerana kekurangan pakar di HRPB, masalah pendengaran anak saya kemudiannya dirujuk kepada Pusat Perubatan UKM pada November tahun lalu.

"Aleesya Analia perlu menjalani terapi audiologi dan pertuturan setiap minggu dan kini dia bergantung dengan alat pendengaran yang salah satunya dipinjam daripada HRPB," katanya.

Sehubungan itu, Nor Aainy merayu sumbangan orang ramai dan dia boleh dihubungi di talian 017-272 0930.

Friday, July 27, 2012

Pakar kecantikan dan spa Asia Pasifik hadiri persidangan di Ipoh

IPOH - Persidangan dan Seminar Perniagaan Kesihatan,  Spa  dan Kecantikan Asia Pasifik yang telah berlangsung di sini baru-baru ini anjuran Majlis Amanah Rakyat ( Mara ) telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 169 pemain industri dari rantau ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pengusaha produk kesihatan, kecantikan dan  spa  tempatan khususnya bumiputera mencari peluang memasarkan produk mereka di peringkat global.

"Memandangkan negara kini memiliki banyak tumbuh-tumbuhan herba maka tiada alasan untuk para pengusaha kita menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

"Namun mereka mungkin terjebak dengan masalah pemasaran sehingga menyebabkan mereka gagal bersaing di peringkat antarabangsa.

"Oleh itu usaha  Mara  untuk membantu dengan mengadakan persidangan ini amat dihargai," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian persidangan berkenaan.

Hasan menjelaskan, sebanyak 18 pakar industri kecantikan,  spa  dan kesihatan dari Thailand, Singapura, Hong Kong, Filipina dan Australia telah menyertai program berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan petua perniagaan mereka.

"Saya berharap para pengusaha tempatan dapat mengambil peluang ini untuk membangunkan jaringan perniagaan masing-masing," ujarnya.

Kompleks IPD Taiping kini jadi mercu tanda baharu

TERSERGAM. Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD )  Taiping  yang baharu telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Jalan Istana Larut,  Taiping  baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kompleks yang turut merangkumi bangunan pentadbiran setinggi lima tingkat itu dibina di tanah seluas 6.89 hektar dengan kos RM88.5 juta.

Hartanah itu kini menjadi mercu tanda baharu kepada bandar  Taiping  yang mana ia merupakan lokasi bermulanya sejarah awal penubuhan Polis Diraja Malaysia pada tahun 1877.

"Saya berharap penyediaan kemudahan moden ini dapat memberi lebih keselesaan kepada penduduk bandar ini untuk berurusan dengan warga  IPD   Taiping  yang kini diketuai Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah," katanya.

Thursday, July 26, 2012

Dekorasi Ramadan jadi tarikan Sunway Tambun

 SAMBUTAN  Ramadan  menggamit pengurusan Bandar  Sunway   Tambun  di Ipoh, Perak untuk memasang dekorasi berwarna-warni bertemakan bulan yang mulia bagi umat Islam.

Tinjauan Kosmo! mendapati persimpangan masuk ke taman perumahan tersebut dihiasi dengan replika kubah masjid bagi menggambarkan kemuliaan  Ramadan .

Dekorasi tersebut turut dilengkapi model kanak-kanak lelaki dan perempuan yang masing-masing lengkap berbusana baju Melayu dan baju kurung.

Malah suasana malam di sepanjang jalan di taman perumahan yang turut menempatkan taman tema air, The Lost World of  Tambun  dan pasar raya besar berkenaan makin meriah dan bergemerlapan dengan pemasangan lampu hiasan berbentuk wau dan bintang.

Palsukan kad kredit beli diesel

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Kelicikan empat lelaki yang membuat dan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli diesel bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila kesemuanya ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Taiping di sini Ahad lalu.

Suspek-suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun itu diberkas pada pukul 3.30 pagi ketika sedang mengisi bahan bakar itu ke dalam sebuah lori satu tan yang telah diubah suai.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, pihaknya bergegas ke stesen minyak itu selepas dihubungi pemiliknya yang curiga dengan transaksi dilakukan oleh dua daripada empat suspek tersebut.

Katanya, pemilik stesen minyak itu sebelum ini telah dua kali tertipu dengan sindiket yang sama.
"Ketika suspek sedang mengisi minyak, dua lagi rakan mereka datang untuk membantu dengan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz. Ketika itulah kesemuanya diberkas oleh anggota peronda," kata Abdul Gaffar pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, pemeriksaan di dalam kereta Mercedes itu menemui 193 keping kad yang telah dipalsukan termasuk kad kredit, kad kesetiaan dan kad keahlian untuk tujuan menipu.

Menurut Abdul Gaffar, hasil soal siasat, polis kemudian dibawa ke sebuah premis di Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sana polis merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, mesin pengimbas dan kad sim. Premis itu disyaki dijadikan tempat untuk memalsukan pelbagai kad itu.

"Modus operandi mereka ialah mengutip resit pembayaran petrol dan diesel menerusi kad kredit yang dibuang pelanggan bagi mengesan nombor pada kad kredit.

"Selepas itu, salah seorang suspek yang mempunyai kepakaran memalsukan maklumat pada kad tersebut akan mereka kad yang serupa selain memanipulasi jalur magnetiknya untuk dipadankan dengan kad kredit mangsa ketika diimbas pada mesin," katanya.

 Ujar Abdul Gaffar, sindiket hanya menyasarkan stesen minyak jenama sama dan akan mula mengisi minyak antara pukul 1 hingga 6 pagi.

Sebelum ditahan, mereka didapati telah membeli  diesel  dengan menggunakan  kad   kredit  palsu tersebut di Bukit Gantang, Taiping.

"Kita juga telah menerima beberapa laporan daripada pemilik  kad  sebenar yang mengadu seseorang telah menggunakan maklumat  kad   kredit  mereka untuk menipu," katanya yang memberitahu salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes penipuan  kad   kredit .

Suspek-suspek dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tuesday, July 24, 2012

Mercun tetapi isytihar perabot

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kononnya membawa perabot tetapi selepas diperiksa ia sebenarnya mengandungi 1,190 karton mercun dan bunga api bernilai hampir RM500,000.

Taktik tersebut dibongkar apabila pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak memeriksa sebuah kontena berukuran 12.19 meter di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang pada pukul 5 petang, 5 Julai lalu.

Pengarah KDRM Perak, Ab. Hamid Salleh berkata, pemeriksaan dilakukan seleps pihaknya berasa curiga melihat kontena tersebut yang tersadai di pelabuhan berkenaan selama seminggu.

Kaatanya, kontena itu dihantar ke pelabuhan itu dari China dan diikrar kononnya mengandung barangan perabot.

"Selepas diperiksa, kita menemui mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai RM451,100 manakala cukainya pula mencecah RM293,215. Bahan letupan itu dipercayai hendak diedar di seluruh negara sempena hari raya yang bakal tiba.

"Siasatan awal mendapati dalang yang menyeludup mercun dan bunga api terbabit menggunakan alamat palsu," katanya di sini semalam.

Tambahnya, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak sebenar yang terlibat menguruskan penghantaran kontena tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ab. Hamid berkata, pihaknya merampas mercun dan bunga api bernilai RM20,170 dengan cukai dianggar RM13,110 selepas menahan dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40-an bersama sebuah lori di Kamunting, Taiping pada pukul 11.40 malam, 17 Julai lalu.

Katanya, mereka yang menghala ke Simpang, Taiping ditahan berhampiran Plaza Tol Kamunting.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara 10 dan 20 kali nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.


Timun betik pencuci mulut istimewa pada Ramadan

 IPOH - Sesuai dengan jolokan buah bulan puasa,  timun   betik  kembali dicari oleh kebanyakan warga bandar raya ini sempena Ramadan ini.

Berkulit kuning cair seperti  betik  tetapi biji berserat seperti  timun , buah tersebut menjadi hidangan pencuci mulut kegemaran penduduk tempatan ketika berbuka puasa.

Seorang peniaga, Ahmad Zawawi Abdul Rahim, 45, berkata,  timun   betik  yang biasanya dimakan bersama santan dan gula Melaka sentiasa mendapat permintaan tinggi setiap kali Ramadan.
 "Pada tahun ini, saya mendapat bekalan  timun   betik  dari Bota dan menjualnya pada harga RM3 sekilogram.

"Berdasarkan pengalaman selama enam tahun sebagai peniaga  timun   betik , sebanyak satu tan buah ini dapat saya jual sepanjang bulan puasa," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Ipoh di sini semalam.

Ahmad Zawawi berkata,  timun   betik  yang masak ranum paling sesuai dimakan dan ia boleh dikenal pasti melalui kulit luar yang merekah.

Sementara itu seorang pembeli, Maimunah Ahmad, 39, memberitahu,  timun   betik  lebih sedap dimakan sejuk dengan dicampur ketulan ais atau disimpan sejuk sementara menunggu waktu berbuka puasa.

"Kalau tidak suka santan, boleh ganti dengan susu cair. Rasa potongan  timun   betik  yang tawar akan sebati dalam rendaman santan dan gula Melaka.

"Orang tua-tua kata buah ini mengandungi banyak khasiat termasuk menurunkan tekanan darah tinggi," katanya.

Monday, July 23, 2012

Janda rugi RM80,000 kedai disyaki dibakar

BATU GAJAH - Seorang ibu tunggal kerugian RM80,000 apabila kedai makan miliknya hangus selepas disyaki dilempar dengan bom petrol oleh pihak tertentu dalam kejadian di Kampung Kepayang dekat Taman Herba Perak di sini kelmarin.

Kejadian pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan  Asmawati   Abdul   Manap , (gambar kecil) 40, yang menetap di Taman Mesra Raya di sini iaitu kira-kira lima kilometer dari kedai makannya, hilang mata pencarian.

 Asmawati  memberitahu, dia mengesyaki kebakaran kedainya angkara perbuatan khianat pihak tertentu selepas menemui botol mineral berisi petrol dan pemetik api berhampiran kedainya.

"Saya bergegas ke kedai selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan Taman Herba Perak setengah jam selepas kejadian. Saya langsung tidak sempat selamatkan apa-apa kerana api marak

"Botol mineral dan pemetik api itu ditemui berhampiran kedai selepas api dipadamkan oleh bomba Simpang Pulai sejam kemudian," cerita ibu kepada dua anak berusia 14 dan 15 tahun tersebut.

Tambahnya, kejadian itu merupakan dugaan paling besar kerana bukan sahaja hilang mata pencarian malah memusnahkan keriangan keluarganya menyambut Ramadan dan hari raya.

Menurut  Asmawati , dia telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu untuk menjalankan siasatan.

"Kedai saya memang menjadi tumpuan ramai kerana lokasinya yang berhampiran Taman Herba Perak sejak saya berniaga enam tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, saya tidak mempunyai musuh," katanya yang mengesyaki kejadian itu dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan kedai makannya yang maju.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian tersebut.

Pak Leh sudah pergi buat selama-lama empat bulan lalu

 TAIPING - Bekas banduan paling lama di negara ini, Mohd. Salleh Talib yang mesra dipanggil  Pak   Leh  sudah meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu pada usia 63 tahun akibat sakit tua selepas enam tahun menikmati kebebasan daripada tirai besi.

Adik bongsunya, Abdul Wahab, 42, berkata,  Pak   Leh  yang menjalani hukuman penjara selama 31 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di rumah adik perempuannya, Fatimah, 45, di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam di sini pada 3 Mac lalu.

"Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pokok Assam di sini. Sebelum itu, tahap kesihatan arwah abang merosot setelah menjalani pembedahan katarak mata di Hospital Taiping akhir tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Madinah, Changkat Jering dekat sini semalam.

Perjalanan hidup hari-hari terakhir  Pak   Leh  agak menyedihkan dengan tahap penglihatannya merosot teruk setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal tahun 2009.

Biarpun begitu, dia tetap menggagahkan diri berniaga membaiki kasut dengan menumpang kaki lima sebuah restoran di pekan Changkat Jering demi sesuap nasi.

Nasib malang  Pak   Leh  bermula selepas bapanya, Talib Arabulah meninggal dunia kerana sakit tua beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2007.

Perkahwinan yang dibina selama hampir dua tahun dengan Rohani Mohd. Jani, 59, yang berasal dari Kampung Air Panas  Pak  Abas, Alor Gajah, Melaka musnah apabila mereka berpisah pada Mei 2009 setelah isterinya itu tidak mahu tinggal di Changkat Jering.

Kosmo! pada 4 Oktober 2006 melaporkan  Pak   Leh  yang dihukum penjara sepanjang hayat dan enam sebatan pada 1975 atas kesalahan rompakan bersenjata api dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Kedah.


Sunday, July 22, 2012

Awal Ramadan di Ipoh lebih meriah tahun ini


IPOH - Awal Ramadan yang kebetulan jatuh pada hujung minggu memberi kesempatan kepada warga bandar raya ini membuat persiapan membeli barangan harian untuk bersahur dan berbuka puasa.
Tinjauan Kosmo! Ahad di Pasar Besar Ipoh, Pasar Jelapang, dan Pasar Gunung Rapat di sini semalam mendapati ia sesak dengan orang ramai yang mencari barangan keperluan seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.
Permintaan terhadap sayur, timun, betik dan buah kabung yang sering menjadi pilihan utama sajian pencuci mulut penduduk tempatan sewaktu berbuka puasa juga laris dijual.
Seorang pengunjung Pasar Besar Ipoh, Rohani Muhammad, 33, dari Taman Jati di sini berkata, hari pertama Ramadan yang jatuh pada Sabtu memudahkan dia membeli keperluan dapur bagi menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga yang lebih istimewa berbanding hari biasa.
Ramli Samsuddin, 45, dari Silibin di sini pula berkata, selain barang keperluan keluarga, dia turut membeli bahan membuat kuih untuk disedekahkan sebagai moreh di surau berhampiran rumahnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Ahmad Zawawi Abdul Rahimi memberitahu, buah kabung yang biasanya dicampurkan dalam minuman merupakan antara yang mendapti sambutan daripada pelanggan setiap kali menjelang Ramadan.

Katanya, dia mampu menjual sehingga dua tan manisan itu tahun lalu.

Thursday, July 19, 2012

Jang Jung ganti tempat Norizan bimbing Perak

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BEKAS pemain pertahanan import Perak awal 90-an, Jang Jung, 48, diumum sebagai pengendali baru skuad Seladang bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bakal bermula akhir bulan depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut bakal memulakan tugas pada 23 Julai ini.

“Selain itu, jurulatih Piala Presiden, Abu Bakar Fadzim yang membantu negeri menjuarai Piala Presiden dan meraih pingat Perak pada Sukma ke-15 di Pahang baru-baru ini turut dilantik sebagai salah seorang pembantu Jang Jung.

“Saya berterima kasih kepada Cikgu Jan (Norizan Bakar) atas komitmen yang diberikan sepanjang berkhidmat membimbing skuad Perak,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak semalam.

Mengenai masa depan bekas jurulatih Perak yang bercuti rehat dua perlawanan sebelum berakhirnya saingan Liga Super itu, Zainol Fadzi menjelaskan Norizan masih berkhidmat dengan Pafa sehingga kontraknya tamat.

Begitupun beliau berkata, bidang tugas pengendali kelahiran Perlis yang membimbing skuad Seladang sejak musim lalu itu masih belum ditentukan Pafa lagi.

Dalam perkembangan sama, Zainol Fadzi berkata, latihan persiapan menghadapi Piala Malaysia yang bermula Isnin depan akan turut disertai sekurang-kurang enam pemain muda dari skuad Piala Presiden.

“Terpulang kepada penilaian Jang Jung untuk menyerapkan pemain berpotensi terbabit ke dalam skuad Piala Malaysia ataupun sebaliknya,” katanya.

Berkaitan pemain pinjaman bagi saingan Piala Malaysia pula, Zainol Fadzi memberitahu tiada sebarang keputusan dibuat lagi dan beliau telah menyerahkan urusan itu untuk pertimbangan pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun.

Jang Jung yang membantu Perak muncul juara Piala FA pada 1990 dan naib juara bagi kejohanan sama setahun kemudian sebelum ini merupakan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Sri Lanka sejak 2007.

Dia juga pernah membantu skuad bawah ke-23 negara itu muncul naib jura Sukan Asia Selatan ke-10 pada 2006.

Tempah model baharu Mitsubishi dapat TV percuma

IPOH - Pelanggan yang menempah kenderaan baharu keluaran Mitsubishi Motor Malaysia Sdn. Bhd. (Mitsubishi) sehingga hujung bulan depan bakal menerima TV LED percuma sempena promosi musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tetsuya Oda berkata, tawaran itu meliputi pembelian kenderaan trak pikap Triton, kenderaan utiliti sukan (SUV) ASX dan Pajero.

“Pelanggan yang menempah mana-mana kenderaan model Triton sehingga 31 Ogos ini akan menerima TV LED berjenama Sharp Aquos bersaiz 40 inci bagi model Triton AT, MT dan MT standard manakala televisyen jenis sama bersaiz 32 inci untuk model Triton VGT dan Triton Lite Turbo.

“TV LED jenama sama bersaiz 32 inci pula akan diberikan kepada pembeli kenderaan model ASV baharu,” katanya selepas melancarkan pembukaan pembukaan Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) Mitsubishi di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Pusat 3S Mitsubishi seluas seluas 5,500 meter persegi dan diuruskan Nikaijaya Sdn. Bhd (Nikaijaya) itu merupakan yang terbesar di Perak.

Turut hadir Pengarah Urusan Nikaijaya, Kevin Theng.

Selain itu, Oda menjelaskan, pelanggan yang menempah kenderaan Pajero sepanjang tempoh promosi berkenaan juga layak untuk menerima tawaran menaik taraf aksesori kenderaan secara percuma bernilai RM4,500.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, Mitsubishi menyasarkan untuk membuka 10 buah pusat 3S lagi di seluruh negara sepanjang tahun ini sebagai usaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan menyeluruh kepada para pelanggannya.

Menurutnya, sehingga kini, syarikat memiliki sebanyak 32 pusat 3S dan 37 buah pusat servis di seluruh negara.

Wednesday, July 18, 2012

Sindiket jual tanah palsu tumpas

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan urus niaga pembelian tanah yang tidak wujud dengan menggunakan geran tanah dan dokumen pengenalan palsu baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tujuh termasuk lima lelaki dan dua wanita yang dipercayai anggota sindiket berkenaan ditahan berikutan aduan dua mangsa pada 4 dan 5 Jun lalu melibatkan kerugian RM650,000.

"Pemilik kedai tayar dan kontraktor pembinaan berkenaan masing-masing mendakwa kerugian RM500,000 dan RM150,000 apabila terbeli tanah yang tidak wujud di Gombak, Selangor daripada sindiket berkenaan.

"Mereka menyedari tertipu setelah mendapati geran tanah yang diserahkan sebenarnya palsu malah anggota sindiket berkenaan turut disyaki menggunakan dokumen pengenalan palsu semasa berurusan dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, semua tujuh suspek berkenaan berumur antara 44 tahun hingga 71 tahun termasuk seorang peguam yang telah digantung tauliah oleh Majlis Peguam Malaysia ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan bandar raya ini secara berperingkat-peringkat dari 6 Jun lalu hingga awal bulan ini.

Ujarnya, turut dirampas dua geran tanah, dua kad pengenalan dan dua lesen memandu yang semuanya didapati palsu, manakala tiga daripada tujuh suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan penipuan, pemalsuan dan memiliki dadah.

"Modus operandi sindiket berkenaan ialah menyamar sebagai pemilik tanah dengan menggunakan geran tanah palsu yang dicetak menggunakan kertas rasmi pejabat tanah dan galian.

"Sindiket ini juga berurusan dengan mangsa dengan menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu yang diubah suai dengan memasukkan foto mereka tetapi mengandungi butir pemilik tanah asal," katanya.

Tiga lelaki menyamar VIP ditahan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Tembelang tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai ahli perniagaan dan golongan kenamaan (VIP) terbongkar selepas diberkas polis di Greentown di sini kelmarin.

Suspek warga asing yang ditahan itu juga disyaki memiliki senjata api tanpa lesen sah berdasarkan penemuan sepucuk pistol bersamanya ketika serbuan pada pukul 5.30 petang itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 35 hingga 51 tahun dan berasal dari Alor Setar, Kedah itu berada di dalam sebuah kereta Toyota Harrier yang diletakkan di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di sini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek adalah warga asing dan dia memegang sebuah beg kecil hitam mengandungi sepucuk pistol jenis Holek Model 820 Cal.38.

“Selain pistol terbabit yang masing bersarung, polis turut merampas lima butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang tersimpan di dalam beg sama,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 Mohd. Shukri berkata, semakan juga mendapati kesemua suspek termasuk seorang kakitangan kerajaan berusia 51 tahun tidak mempunyai lesen menyimpan dan menggunakan senjata api itu.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kegiatan penyamaran sebagai ahli perniagaan dan golongan  VIP .

"Suspek warga Indonesia yang berusia 47 tahun dan berkahwin dengan wanita tempatan itu juga disyaki menggunakan dokumen pengenalan palsu bagi mengaku kononnya rakyat negara ini," katanya.

Tambahnya, semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Kecewa bekalan elektrik diputuskan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Seorang jurukimpal kecewa dengan tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memutuskan bekalan elektrik di rumahnya di Taman Boon Bak di sini tanpa sebab munasabah baru-baru ini.

Lai Chee Wong, 37, percaya tindakan syarikat utiliti tersebut pada 5 Julai lalu itu berkaitan dengan keengganan dirinya membayar tunggakan bil elektrik yang didakwanya meragukan.

“Semuanya bermula apabila bil elektrik pada November tahun lalu mencatatkan tunggakan RM665.55 sedangkan saya sentiasa melunaskan bil elektrik setiap bulan sejak menduduki rumah sewa ini dua tahun lalu.

“Saya yang terkejut dengan tindakan itu telah berjumpa dengan bahagian Pusat Khidmat Pelanggan TNB Perak di Jalan Lahat di sini tetapi tiada penjelasan meyakinkan diberikan,” dakwanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di sini baru-baru ini.

 Turut hadir ialah Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kelvin Chang.

Chee Wong mendakwa, dalam pertemuan itu pegawai TNB Perak sebaliknya menyerahkan notis peringatan terakhir meminta dia menyelesaikan tunggakan bil elektrik RM456.30.

Dakwanya, keengganannya melunaskan tunggakan terbabit menyebabkan bekalan elektrik rumahnya diputuskan buat pertama kali pada Januari lalu.

"Namun setelah campur tangan Kelvin yang membantu saya, bekalan elektrik disambung semula pada Mac lalu selepas siasatan lanjut pegawai TNB mendapati masalah itu disebabkan meter bacaan yang rosak.

"Meskipun meter bacaan telah ditukar, TNB tetap mahu saya membayar tunggakan RM456.30 terbabit. Mana mungkin kerana ia bukan kesilapan saya," dakwanya.

Chee Wong memberitahu, oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan TNB tersebut, dia telah membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Perak di sini pada Mei lalu.

Malangnya, belum sempat kes itu diperdengar TTPM, TNB telah bertindak memutuskan bekalan elektrik rumahnya sekali lagi.

Sementara itu, Kon Yin berkata, pihaknya akan berunding dengan pengurusan TNB Perak untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar segera.
  

Tuesday, July 17, 2012

Hotel Taiping Perdana menjadi mercu tanda baharu di Taiping

TAIPING - Hotel Taiping Perdana milik Koperasi Guru-Guru Melayu Larut, Matang, Selama dan Dinding Taiping Bhd. kini menjadi mercu tanda terbaharu di bandar bersejarah Taiping, Perak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hotel bertaraf empat bintang yang terletak di Medan Koperasi off Jalan Masjid di sini dibina dengan kos sebanyak RM28.8 juta.

“Koperasi Guru-Guru Melayu Larut, Matang, Selama dan Dinding Taiping harus dipuji kerana menyahut seruan kerajaan terlibat dalam aktiviti yang menjana pulangan bermakna.

“Saya percaya pelaburan menerusi Hotel Perdana ini mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi ahli koperasi berkenaan jika diuruskan secara profesional,” katanya pada majlis perasmian hotel tersebut di sini baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, Hotel Taiping Perdana setinggi sembilan tingkat tersebut mempunyai 130 bilik dan sebuah dewan yang mampu menempatkan 1,000 orang pada satu masa.

Menurutnya, lokasi hotel yang strategik kerana terletak di tengah-tengah bandar Taiping dan berhampiran Terminal Bas Taiping dilihat akan mampu pelancong asing dan tempatan untuk menginap di hotel tersebut.

Koperasi Guru-Guru Melayu Larut, Matang, Selama dan Dinding Taiping yang ditubuhkan pada 1923 merupakan antara koperasi tertua di bandar ini dan mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan perumahan teres dan banglo sejak 1990.

IPK Perak anjur program Pencegahan Jenayah

TURUN PADANG. Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menganjurkan program Pencegahan Jenayah di tapak Pasar Malam dan Harian Kamunting, Taiping baru-baru ini.

Program yang bertujuan mendekati masyarakat bagi membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang program sehari tersebut seperti perjumpaan dengan masyarakat, pameran, penyebaran risalah, pendaftaran Rakan Cop dan demonstrasi cegah jenayah.

"Tumpuan turut diberikan untuk memupuk kesedaran kepada golongan wanita daripada menjadi mangsa penipuan internet, " katanya.

Pekan Trong dibangunkan semula

 PEMBANGUNAN. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah merasmikan pelan pembangunan semula pekan Trong, Taiping, Perak baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Zambry berkata, Trong merupakan salah satu daripada 14 pekan kecil sekitar Perak yang akan dibangunkan semula kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Beliau berkata, pelan itu bertujuan untuk merangsang ekonomi di pekan-pekan kecil berkenaan selaras dengan dasar kerajaan negeri Perak memastikan nikmat pembangunan turut dinikmati penduduk luar bandar terbabit.

"Pembangunan Trong terbahagi kepada dua fasa bermula dengan pembinaan 19 unit rumah kedai bernilai RM2.1 juta yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun," katanya.

Friday, July 13, 2012

Majlis pecah tanah naik taraf jambatan


KEMUDAHAN. Usaha menaik taraf Jambatan Jalan Menteri di Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak bakal memberi keselesaan kepada penduduk.
Majlis pelancaran projek berkenaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah baru-baru ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, projek yang menelan belanja RM3.8 juta itu bertujuan mengatasi masalah banjir kilat.
"Struktur jambatan akan ditinggikan bagi mengelakkan air Sungai Pari melimpah setiap kali hujan lebat," katanya.
Projek naik taraf jambatan sepanjang 25.5 meter itu dijangka siap Mei 2013.

Kod etika kerajaan sementara PRU-13

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menguat kuasa kod etika kerajaan sementara kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

 Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kod etika yang menggariskan peranan sebenar kerajaan sementara bertujuan mengelak salah laku parti politik sepanjang kempen PRU-13.
"Dasar menjadikan kerajaan sedia ada sebagai kerajaan sementara pada tempoh PRU adalah amalan perundangan kebanyakan negara di dunia terutama Komanwel.
"Namun, sering menjadi pertikaian dakwaan salah laku berkaitan pertindihan peranan sebagai anggota kerajaan dan ahli parti politik seperti penggunaan jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya," katanya selepas merasmikan Taklimat Persediaan Menghadapi PRU-13 kepada Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya Perak di sini semalam.
Wan Ahmad berkata, draf awal kod etika terbabit kini dalam peringkat diperhalusi Jabatan Peguam Negara.
 Ujarnya, sesudah Peguam Negara memperakui garis panduan tersebut selaras dengan Perlembagaan Negara, perbincangan dengan parti politik yang memerintah  Kerajaan  Persekutuan dan  kerajaan  negeri akan dilakukan.

" SPR  optimis kod etika  kerajaan   sementara  yang merupakan salah satu cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen baru-baru ini boleh dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan.

"Rangka garis panduan ini mengambil pendekatan yang dipraktikkan di beberapa negara seperti Kanada, Australia dan Britain tetapi ia disesuaikan dengan budaya politik tempatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ahmad memberitahu, kebenaran penyiaran manifesto parti-parti politik yang bertanding pada PRU-13 tertakluk kepada media awam atau agensi rasmi  kerajaan  iaitu Radio Televisyen Malaysia.

Namun, katanya,  SPR  akan merayu agar firma media lain milik swasta mengambil pendekatan sama sepanjang tempoh kempen.

" SPR  tidak boleh paksa, pemilik media swasta bebas memilih pendekatan sendiri," katanya.

Thursday, July 12, 2012

3,000 penduduk bakal guna jejantas baru

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Kesukaran lebih 3,000 penduduk  Kampung   Seberang  di sini sejak dua dekad yang terpaksa bersabung nyawa menyeberangi sungai dengan sampan kecil untuk ke pekan Kuala Sepetang bakal berakhir dengan pembinaan sebuah  jejantas  dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berkata, kerja-kerja pembinaan  jejantas  motosikal dan pejalan kaki yang menghubungkan perkampungan nelayan itu dengan Kuala Sepetang sudah bermula pada 2 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun depan.

Menurutnya, berkata, kos pembinaan  jejantas  yang menggunakan teknologi salur konkrit berprestasi ultra tinggi itu dianggarkan bernilai RM2.7 juta.

"Pembinaan  jejantas  sepanjang 110.5 meter dan selebar tiga meter ini agak rumit kerana  Kampung   Seberang  terletak di muara Sungai Sepetang yang menjadi laluan kapal dan sampan nelayan.

"Namun ia penting bagi memberi keselesaan dan keselamatan penduduk  Kampung   Seberang  terutama pelajar yang terpaksa berulang-alik ke sekolah dengan sampan setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah pembinaan  jejantas  motosikal dan pejalan kaki  Kampung   Seberang  di Kuala Sepetang di sini semalam.

Menurut beliau, pembinaan  jejantas  itu bermutu tinggi dan tahan lama kerana menggunakan teknologi salur konkrit berprestasi ultra tinggi.

"Walaupun  jejantas  ini tidak sesuai untuk kegunaan kereta, namun ia boleh dilalui ambulans dan kenderaan bomba sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Wednesday, July 11, 2012

Bakal perkenal integrasi kerjasama Asia Tenggara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan akan memperkukuh  pasaran   modal  tempatan bagi mencapai hasrat menjadi peneraju utama instrumen itu di peringkat global.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah berkata, sehubungan itu, integrasi kerjasama dengan bursa-bursa saham di rantau Asia Tenggara akan dicadang untuk diperkenalkan.

"Integrasi kerjasama itu bakal bermula dengan Bursa Singapura dan Thailand sebelum diperluaskan dengan penyertaan negara-negara Asia Tenggara lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek menaiktaraf Jambatan Jalan Menteri, Manjoi di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Ahmad  Husni  memberitahu Pasukan Petugas Khas  Pasaran   Modal  telah ditubuhkan bagi merangka inisiatif baharu tersebut.

Menurutnya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menjadi sekretariat jawatankuasa itu dan akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam tempoh dua minggu lagi.

"Jawatankuasa yang akan dipengerusi saya itu bakal dianggotai 10 individu daripada pelbagai sektor termasuk bidang perbankan.

"Sebanyak tujuh hingga lapan buah makmal yang menyentuh beberapa bahagian  pasaran   modal  akan dianjurkan bagi merangka kertas pelaksanaan," jelas beliau.

Pasukan Petugas Khas  Pasaran   Modal  itu akan membantu menangani isu-isu keutamaan yang dikenal pasti dalam Pelan Induk  Pasaran   Modal  yang melangkui  pasaran  dan dimensi yang berada di luar skop langsung SC dan Bursa Malaysia.
   

Pasar harian Kamunting dinaik taraf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING -  Pasar  malam dan  pasar   harian Kamunting  akan diberi nafas baharu apabila kedua-dua tempat itu akan  dinaik   taraf  dengan melibatkan kos RM1.5 juta dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek naik  taraf  yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun itu bakal memberi keselesaan kepada 600 peniaga yang mencari rezeki di tapak  pasar  terbabit.

"Saya ucap tahniah kerana permohonan yang dibuat Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie untuk menaik  taraf   pasar  malam dan  pasar   harian   Kamunting  telah diluluskan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini.

"Ia akan menyelesaikan masalah termasuk membaik pulih tapak  pasar  malam dan  pasar   harian   Kamunting  dan menjadikannya lebih cantik," katanya selepas menghadiri Kempen Pencegahan Jenayah di tapak  pasar  malam dan  harian   Kamunting  di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, Ahmad Shalimin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kamunting , Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Zambry berkata, kerja-kerja menaik  taraf  berkenaan akan dimulakan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) selepas penilaian dilakukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Zambry turut menyampaikan replika kunci kepada 20 penghuni rumah projek Kurnia Kasih Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Kurnia Jaya Tambahan.

Ujarnya, individu terbabit merupakan golongan miskin dan miskin tegar yang terlibat dalam penempatan semula setinggan yang dipindahkan berikutan projek landasan kereta api berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar.

Penceroboh mati ditembak pengawal

TAIPING - Tindakan seorang lelaki yang menceroboh ke dalam kawasan sebuah kilang memproses getah mengundang padah apabila dia mati ditembak oleh seorang  pengawal   keselamatan  di Jalan Taiping,  Kuala   Kangsar semalam.

Lelaki berusia lingkungan 20-an tersebut mati selepas peluru dari senapang yang dilepaskan  pengawal  terbabit menembusi badannya dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kejadian berlaku apabila  pengawal   keselamatan  berusia lingkungan 50-an itu telah terserempak dengan suspek ketika sedang melakukan rondaan rutin di kawasan kilang.

"Pengawal keselamatan yang takut diapa-apakan mendakwa dia telah melepaskan tembakan yang mengenai suspek. Semakan mendapati kilang itu pernah diceroboh beberapa kali sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, pengawal keselamatan  itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Monday, July 9, 2012

Bunuh jiran selepas bertengkar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


TAIPING – Perbalahan antara dua warga emas yang tinggal bersebelahan sejak beberapa tahun lalu sampai ke kemuncaknya apabila salah seorangnya bertindak nekad menetak kepala dan pinggang jirannya hingga mati dalam kejadian di Kampung Changkat, Kampar kelmarin.

Kejadian pukul 9.30 malam itu mengakibatkan Wong Cheong Heng, 73, mati di situ selepas cedera parah di kepala dan pinggang ditetak oleh jirannya yang berusia 62 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang tinggal berjiran sudah lama bertengkar.

 "Semalam (kelmarin) mereka berbalah lagi kerana suspek mendakwa terganggu dengan bunyi bising dari rumah  Cheong   Heng .

"Selepas bertikam lidah, suspek hilang sabar lalu menetak mangsa berkali-kali di pinggang dan kepala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan suspek dan merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu.

Menurut Mohd. Shukri, mayat  Cheong   Heng  telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Saturday, July 7, 2012

20 samseng tetak kereta polis

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Empat anggota polis cemas apabila kereta mereka diserang oleh kira-kira 20 samseng yang bersenjatakan parang dan pedang samurai di Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.

Kejadian berlaku pukul 1.15 pagi semasa anggota polis itu cuba menghalang kumpulan dikenali sebagai Geng 08 Vinod itu yang dalam perjalanan untuk menyerang sebuah kumpulan samseng lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Geng 08 Vinod yang menunggang motosikal itu bertindak ganas dengan menetak kenderaan polis tersebut berkali-kali menyebabkan cermin hadapan dan sisi pemandu pecah.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.

“Tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki itu bertempiaran melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.

Mohd. Shukri berkata, ekoran kejadian itu, operasi memburu suspek telah dilancarkan dan enam anggota geng terbabit yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan di sekitar Menglembu dan Batu Gajah dekat sini.

Ujarnya, polis turut merampas 23 bilah parang dan pedang samurai milik mereka.

Menurut beliau, dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas pada pukul 2.45 pagi semalam di sekitar bandar raya ini.

 "Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk membalas dendam ke atas Geng 04 Menglembu yang didakwa membunuh seorang rakan mereka di Batu Gajah kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Difahamkan, mangsa yang berumur 20 tahun diserang ketika berbual dengan beberapa rakan di hadapan rumahnya di Menglembu pada pukul 11.50 malam" katanya.

Mohd. Shukri berkata, mangsa telah ditarik ke dalam sebuah kereta sebelum ditetak dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Pusing, Batu Gajah.

Jelasnya, kesemua lapan lelaki tersebut ditahan reman selama enam hari sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan.

"Empat daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah," ujarnya.

Jelasnya, kes serangan ke atas anggota polis itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 akta yang sama.

Thursday, July 5, 2012

Penolong kanan sekolah ungguli cabaran memancing


PANCING. Lebih 1,000 kaki pancing menyertai Cabaran Memancing Coral Fishing Resort di Teluk Muroh, Lumut baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Arif Event Management (AEM) dengan kerjasama Coral Fishing Chalet Resort itu diungguli Zulkifli Ibrahim, 56.
Zulkifli yang juga Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor meraih ganjaran wang tunai RM20,000 setelah berjaya menaikkan ikan senangin seberat 2.69 kilogram.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Zi Mat, 47, dan Mohd. Nasib Abdul Majid, 50, yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM4,000.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan AEM, Arif Zakariah.

Wednesday, July 4, 2012

Perak lancar pakej berbasikal sambil bercuti


LANCAR. Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) memperkenal Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Perak Bike Ride di Taman Dr. Seenivasagam, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pelancaran tarikan pelancongan terbaharu Perak yang mempunyai 11 pakej itu disempurna Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Abdul Rahim Ariff.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin berkata, pelancong berpeluang berbasikal mengelilingi lokasi bersejarah di Perak seperti Ipoh, Gopeng dan Pulau Pangkor dengan pakej berharga antara RM87 dan RM408.
"Kita perkenal pakej ini kerana konsep pelancongan berbasikal sudah menjadi trend pelancongan terkini terutama di negara-negara maju," katanya.

Tuesday, July 3, 2012

Kontinjen Perak siap sedia hadapi Sukma


BERSEDIA. Penyerahan bendera kepada kontinjen negeri yang bakal beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 bermula 7 Julai depan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, seramai 384 atlet dan 105 pegawai akan dihantar untuk menggalas cabaran ke Sukma ke-15 yang bakal diadakan di Pahang.
Kontijen Perak yang diketuai oleh Datuk Abdul Puhat Mat Nayan meletakkan sasaran 30 pingat emas sepanjang temasya sukan berkenaan.
"Atlet Perak yang memenangi pingat emas pada Sukma ke-15 juga bakal menerima ganjaran wang tunai RM3,000, pingat perak RM2,000 dan pingat gangsa RM1,000," katanya.

Monday, July 2, 2012

Peniaga dakwa ditipu RM20,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pengusaha restoran mendakwa diperdaya oleh seorang anggota polis supaya menyerahkan wang tunai RM20,000 kononnya sebagai wang jaminan bagi membebaskan abangnya yang sedang menghadapi tuduhan mengedar dadah baru-baru ini.

 T. Ranjani, 26, mendakwa dihubungi anggota polis berpangkat inspektor untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini dengan membawa wang tunai RM20,000 bagi menjamin abangnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 18 Jun lalu.

“Dia juga mengarahkan saya menyediakan pakaian untuk abang saya yang kononnya akan dibebaskan sebaik sahaja wang jaminan dibayar bersama 10 bungkus milo ais.

“Setelah berusaha mengumpulkan wang yang diminta termasuk meminjam dengan kenalan dan menggadai sebahagian barangan kemas, saya dan adik, T. Sathi ke IPD Ipoh,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd. Ravi Abdullah.

Ranjani dari Jalan Leong Tian off Jalan Bendahara di sini mendakwa, setelah memberi bungkusan milo ais dan pakaian abangnya, dia dan adiknya diarah pergi ke sebuah bank di sini oleh seorang anggota polis wanita di IPD Ipoh.

Dakwanya, Sathis kemudiannya dihubungi inspektor berkenaan untuk memasukkan wang masing-masing sebanyak RM10,000 ke dua buah akaun di dua bank berlainan.

“Namun selepas pukul 5.30 petang, abang saya masih belum dibebaskan. Saya merasa tertipu telah membuat aduan di Balai Polis Pasir Puteh di sini pada 24 Jun lalu,” katanya.

Abang mangsa berusia 29 tahun didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang biasanya tidak menawarkan wang jaminan dan kesnya sedang dibicara di Mahkamah Tinggi Taiping.

Sementara itu, Mohd. Ravi menyifatkan, dakwaan Ranjani amat serius dan meminta pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan siasatan.

“Sama ada ia berunsur rasuah atau penipuan, bagaimana kejadian ini boleh didakwa berlaku di dalam kawasan balai polis,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sedang menyiasat aduan Ranjani.

RTC Gopeng anjur pameran dan jualan haiwan kesayangan

 HAIWAN PELIHARAAN. Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng menganjurkan pameran dan jualan haiwan kesayangan di Gopeng, Perak baru-baru ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Ahmad Ishak berkata, pameran julung kali diadakan itu memberi tumpuan kepada empat haiwan peliharaan suka ramai iaitu kucing, ayam katik, arnab dan ikan arowana.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Kelab Kucing Malaysia, Persatuan Ayam Cantik Kuala Lumpur, Arnab Kiut Rabbitry dan Bukit Merah Aquaculture