Translate

Tuesday, November 14, 2023

Aktiviti pendakian dihenti sementara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Semua taman eko-rimba dan laluan pendakian dalam hutan simpan kekal di Terengganu akan ditutup sementara bagi sebarang aktiviti termasuk rekreasi bermula 1 November ini.

 Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, penutupan sementara selama empat bulan sehingga akhir Februari tahun depan itu disebabkan faktor keselamatan ekoran ketibaan Monsun Timur Laut (MTL). 

 Beliau berkata, tujuh taman eko-rimba yang sering menjadi tumpuan pengunjung di negeri ini ialah Taman Eko-Rimba Air Menderu, Chemerong, Lata Belatan, Lata Payung, Lata Tembakah, Sekayu dan Bukit Bauk. 

“Curahan hujan lebat yang biasanya berlaku pada musim tengkujuh dikhuatiri membawa risiko bencana alam seperti tanah runtuh dan fenemona kepala air di taman eko-rimba berkenaan. 

 “Bagi menghindar sebarang insiden tidak diingini, kawasan terbabit ditutup untuk kunjungan sepanjang tempoh MTL yang dijangka bermula bulan depan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Roslan berkata, sepanjang tempoh penutupan tersebut, semua aktiviti bagi tujuan rekreasi, seperti berkhemah, menyelusuri denai hutan, menaiki pacuan empat roda atau motosikal lasak di dalam hutan simpanan kekal di Terengganu adalah tidak dibenarkan. 

 Beliau juga berharap larangan memasuki taman eko-rimba dan hutan simpan sepanjang musim tengkujuh tersebut dipatuhi orang ramai. 

 Di Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) turut mengumumkan penutupan sementara laluan pendakian dan taman eko-rimba di negeri itu bermula 15 November 2023 hingga 31 Januari 2024. 

“Penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh yang boleh mendatangkan risiko kepada pengunjung,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment