Translate

Thursday, May 28, 2009

Info Sekolah Menengah Teknik Leboh Cator

  • Antara sekolah vokasional terawal di negara ini
  • Ditubuhkan pada 1930 dan mulanya dikenali sebagai Sekolah Perdagangan Kerajaan
  • Bertujuan untuk mengisi tenaga kerja di Bengkel Pusat Kereta Api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
  • Pada 1950 nama sekolah tersebut ditukar kepada Sekolah Rendah Perdagangan dan Teknikal
  • Menawarkan kursus Kejuruteraan Mekanikal, Amalan Bengkel Bata dan Kayu serta Kejuruteraan Elektrik dan Kimpalan
  • Pada 1963 dinaik taraf menjadi Sekolah Menengah Perdagangan dan mula mengambil lepasan tingkatan tiga
  • Dua kursus baru iaitu Automotif dan Servis Radio dan Televisyen diperkenalkan
  • Pada 1968 ditukar menjadi Sekolah Menengah Vokasional Ipoh
  • Pada 1991 menjadi perintis kepada aliran vokasional dan kemahiran
  • Pada 1997 dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator dan menawarkan satu aliran teknikal iaitu Perdagangan, tujuh aliran Vokasional dan satu aliran Kemahiran

Polis tidak menolak adanya unsur khianat

IPOH - Polis yang memeriksa kesan kebakaran yang memusnahkan 50 buah motosikal pelajar di Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator tidak menolak kejadian itu mungkin disebabkan perbuatan khianat.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut termasuk laporan bomba bagi mengetahui punca sebenar kebakaran di garaj sekolah itu.

"Kerugian yang memusnahkan kesemua motosikal di sekolah itu dianggarkan mencecah RM200,000," katanya semasa dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohamad Din Rajad berkata, pihaknya masih mencari punca kebakaran yang mungkin mengambil sedikit masa.

"Sama ada kebakaran itu ada unsur khianat atau sebab lain, kita akan menyerahkan laporan kepada polis kerana ini kes mereka," katanya.

Menurut beliau, api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit oleh sebuah jentera dari Balai Bomba Ipoh yang tiba di tempat kejadian pada pukul 8.15 pagi selepas menerima panggilan telefon.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak, Mohd. Zahir Khalid pula terkejut dengan kebakaran itu memberitahu akan mendapatkan laporan terperinci mengenainya daripada pihak sekolah terbabit.

"Saya hanya dimaklumkan tentang kejadian tersebut petang tadi (semalam).

"Ia merupakan perkara serius dan saya akan melihat laporan mengenainya esok (hari ini)," katanya.

50 motosikal pelajar hangus - Kebakaran berlaku ketika peperiksaan pertengahan tahun sedang berlangsung

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Lebih 800 pelajar Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator di sini yang sedang menduduki peperiksaan pertengahan tahun terkejut apabila garaj yang menempatkan motosikal di belakang bangunan sekolah itu terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, kira-kira 50 buah motosikal milik sebahagian pelajar hangus.

Seorang kakitangan sekolah yang enggan dikenali berkata, suasana menjadi kelam-kabut apabila pelajar tingkatan empat dan lima yang sedang menjawab kertas peperiksaan Sains ternampak asap hitam tebal dari arah garaj berhampiran sebuah rumah warden asrama.

"Pelajar terutamanya yang mempunyai motosikal panik dan terus meninggalkan bilik darjah tanpa menghiraukan peperiksaan yang sedang diduduki.

"Namun sebaik sampai ke garaj tersebut, api sudah terlalu marak dan kebanyakan mereka gagal menyelamatkan motosikal masing-masing," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Berikutan itu, kertas peperiksaan pertengahan tahun yang berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan.

Sekolah tersebut mempunyai lebih 600 pelajar yang tidak menetap di asrama dan 90 daripadanya menunggang motosikal setiap hari untuk ke sekolah.

Dalam pada itu, seorang pelajar tingkatan lima, Mohd. Asraf Abdul Razak, 17, berkata, beliau dan rakan sekelasnya terkejut apabila ternampak asap hitam dari bilik kelasnya.

Menurutnya, mereka terus berlari ke garaj tetapi kecewa kerana hampir kesemua motosikal di situ sudah terbakar.

"Motosikal saya selamat kerana ia diletakkan di lokasi paling hujung di garaj itu," kata beliau.

Berikutan kejadian itu, beliau dan beberapa pelajar lain membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini pada pukul 1.30 petang.

Tambahnya, beliau dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan motosikal masing-masing tetapi dihalang oleh guru atas faktor keselamatan.

"Kami memang hendak pergi merempuh api untuk selamatkan motosikal tetapi dihalang oleh guru," luahnya.

Seorang lagi pelajar yang hanya dikenali sebagai Zam berkata, ini merupakan kebakaran pertama menimpa sekolahnya dan apa yang diketahui sekolahnya bebas daripada anasir samseng.

"Saya tidak tahu sama ada kejadia ini ada unsur khianat atau berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh seseorang tanpa disedari," katanya.

Dalam pada itu, usaha Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan pihak pengurusan sekolah terbabit tidak berhasil malah petugas media yang cuba memasuki sekolah juga dihalau oleh pengawal.

Suntikan Semangat RM30,000

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan negeri Perak menyumbangkan RM30,000 bagi membantu perenang muda, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, menjayakan misi merentasi Selat Inggeris awal Julai depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian dana itu menunjukkan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha perenang muda itu.

``Saya harap ia sedikit sebanyak dapat menampung kos merealisasikan misi berkenaan yang secara tidak langsung membawa nama Perak di mata dunia,’’ katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini semalam.

Turut hadir ialah ibu bapa perenang itu, Abdul Halim Abdul Manaf, 46, dan Haniza Mohamed, 43 serta adiknya, Salman Ali Shariati, 12.

Dr. Mohd. Zambry mengakui memang mengikuti perkembangan Zahra Masoumah sejak dia dan Salman berjaya berenang merentasi Selat Dinding pada 2005.

Zahra Masoumah bakal menjadi perenang ketiga negara selepas Datuk Abdul Malik Maidin dan Lennard Lee yang merentasi Selat Inggeris itu dijangka memulakan misi itu pada 3 hingga 6 Julai ini.

Bakal pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains Sukan itu juga mahu mencipta nama sebagai perenang wanita Islam pertama melakukan misi sejauh 37 kilometer (km) itu.

Zahra Masaoumah meletak sasaran masa 14 jam untuk menamatkan misi berkenaan.

``Kami (dia dan adiknya) akan ke United Kingdom Rabu ini untuk sesi latihan dan membiasakan diri pada suhu rendah selat itu,’’ katanya.

Bagai Pinang di belah Dua


SELAMAT PENGANTIN BARU. Adlin Aman Ramli, 37, dan isterinya, Emelda Rosnaida, 29, diraikan dalam majlis per sandingan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh malam kelmarin.

Seramai kira-kira 800 tetamu hadir dalam majlis yang bertemakan tradisional klasik itu termasuk kerabat diraja Perak, Raja Izzudin Iskandar Shah.

Selain itu, beberapa rakan artis seperti Afdlin Shauki, Que Haidar dan isteri, Linda Jasmine, pengarah, Mamat Khalid dan penerbit filem, Julie Dahlan turut hadir.

Sepanjang majlis tiga jam yang berakhir 11 malam itu, hadirin dihiburkan dengan penyanyi dan pelakon Musly Ramli dan penyanyi Adibah Noor.

Selain itu, dua bintang Akademi Fantasia 7 (AF7), Aril dan Akim yang baru pulang dari Jakarta, Indonesia turut membuat persembahan istimewa bagi menyempurnakan permintaan Adlin sebelum ini.

Wednesday, May 27, 2009

Padah perhimpunan haram - Kempen mogok lapar kurang sambutan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Lapan wakil rakyat pembangkang adalah antara 19 orang yang ditahan polis pagi semalam kerana didakwa menyertai perhimpunan tanpa permit di kawasan lapang berhampiran Wisma DAP di sini.

Wakil rakyat berkenaan adalah Anggota Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh yang juga bekas Speaker V. Sivakumar, Keshvinder Singh (Malim Nawar), Thomas Su (Pasir Pinji), Lim Pek Har (Menglembu) dan Leong Mee Meng (Jalong) yang semuanya daripada parti DAP.

ADUN Teja, Chang Lih Kang dan Chan Ming Kai (Simpang Pulai) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai walaupun sudah diberi amaran beberapa kali oleh polis.

Selain mereka, dua pekerja parti DAP, dua anggota Unit Amal Pas dan dua orang awam turut ditahan polis antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Semasa ditahan, mereka cuba berarak dari Wisma DAP, Medan Istana di sini ke Mahkamah Tinggi di Jalan Datuk Panglima Bukit Gantang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ pada kira-kira 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Bagaimanapun, penyelaras kempen, ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak menyertai perhimpunan haram itu kerana bergegas ke Mahkamah Tinggi dengan kenderaan masing-masing.

Dalam pada itu, pada kira-kira 7 pagi, lima individu yang dipercayai pekerja ditahan polis kerana cuba memasang belon panas yang mengandungi ayat menghasut di hadapan bangunan Wisma DAP.


Terdahulu, kempen mogok lapar anjuran pembangkang ber tujuan untuk mendesak Dewan Undangan Negeri Perak di bubarkan kurang mendapat sambutan dan hanya disertai kira-kira 70 orang yang kebanyakan penyokong DAP.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan parti-parti pembangkang tidak pernah membuat permohonan untuk mengadakan sebarang perhimpunan berkaitan kempen mogok lapar semalam.

Menurut beliau, perhimpunan yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat DAP Perak di sini adalah haram dan pihak polis terpaksa mengambil tindakan selepas pembangkang ingkar mematuhi arahan supayara ia segera dihentikan.

Katanya, 19 termasuk bekas Speaker DUN Perak disiasat di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana menghadiri perhimpunan haram.

Monday, May 25, 2009

Adlin sekadar tersenyum


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PENANTIAN sekian lama Adlin Aman Ramli,37, dalam menjejaki seorang dara untuk dijadikan suri hidup bagi mengisi kekosongan diri usai sudah petang Jumaat lalu, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya.

Bagi seorang insan yang sering mempotretkan diri pada khalayak sebagai seorang yang kompleks dan mementingkan kesempurnaan, pasti ramai yang ternanti-nanti siapakah gadis yang mampu memenuhi cita rasa tingginya.

Insan bertuah yang disunting itu tidak lain tidak bukan adalah kekasih hatinya sejak empat tahun lalu iaitu pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, anak jati Ipoh yang juga adik kepada pelakon, Emylia Rosnaida.

Sesudah selesai majlis pernikahan yang disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Zainuddin Abdul Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh kira-kira 5.30 petang, juri tetap Akademi Fantasia 7 (AF7) itu tidak putus-putus menyatakan perasaan bersyukur dapat mengahwini Emelda.

Apa istimewanya Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel hingga mampu menakluk kelelakian Adlin?

Menjawab persoalan itu, anak pasangan pelakon legenda A.R. Tompel dan Ruminah Sidek atau Mak Mah itu ketawa girang dan dengan penuh jujur menyatakan kehadiran Mel banyak mengubah rutin hidupnya, selain mengajarnya tentang persepsi hidup yang sebenar.

"Sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai. Saya akui saya seorang yang kompleks dan sebelum mengenali Mel, sebahagian besar hidup saya banyak dihabiskan dengan kesibukan bekerja dan berkarya hingga banyak perkara lain terabai.

"Namun kehadirannya secara perlahan-perlahan dapat mengubah persepsi hidup saya. Dia benar-benar tahu kekuatan dan kelemahan saya. Pendek kata Mel memang pandai kendalikan saya, pilihan ini adalah tepat," katanya.

Emelda yang anggun dalam busana putih rekaan Clavin Thoo pada majlis pernikahan itu tersenyum dengan pujian melambung suaminya. Dia yang berada di sebelah Adlin menyampuk, suaminya bukanlah seorang lelaki ego seperti yang disangka ramai.

"Tak susah sebenarnya untuk mengendalikan Adlin. Dia bukan seorang yang ego, mendengar kata dan sentiasa mengaku kesalahan setiap kali membuat kesilapan.

"Walaupun dia bukanlah seorang yang romantik seperti yang pernah saya impikan tapi saya bersyukur. Namun yang paling menambat hati saya ialah kematangannya," luahnya sambil tidak menafikan perbezaan umur mereka sebanyak lapan tahun mungkin antara faktor utama kematangan suaminya.

Mel percaya Adlin berkemampuan untuk membentuk keluarga yang baru dibina itu ke arah yang lebih baik.

Biasanya bagi seorang teruna, saat berhadapan dengan jurunikah untuk diijabkabulkan dengan pengantin perempuan merupakan saat paling mendebarkan dalam hidup. Setenang manapun seorang pria itu pasti akan ada gentar yang berkaca di hatinya.

Namun tidak bagi Adlin. Tiada tercalit sekelumit gentar pada riak mukanya pada masa itu, dia malah penuh ceria dan tampak begitu teruja.

Sempat pula dia mengusik wali hakim, sedangkan sebaliknya Mel yang berada kira-kira lima meter dari situ jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar-debar dan terharu melalui detik bersejarah itu.

Keupayaan Adlin menyerap tekanan sangat mengagumkan dan memperlihatkan seolah-olah dia sudah meraih pengalaman melalui situasi serupa pada masa lepas.

Malah, ada mulut-mulut nakal mengatakan ia tidak menghairankan kerana ini bukanlah pernikahan pertama yang dilalui Adlin. Ada desas-desus mengatakan dia pernah melayari alam perkahwinan sebelum ini pada usia muda, namun malangnya telah terputus di hujung jalan.

Ditebak mengenai perkara itu, Adlin cuma tersenyum sinis. Mengiya tidak menafikan pun tidak.

"Pada masa itu, saya rasa sangat seronok, teruja dan bangga. Setelah empat tahun bersama Mel dan lepas bertunang saya makin pasti, saya bangga akan mengahwini wanita yang saya kenal luar dan dalam dan boleh menerima kelebihan dan kekurangan diri ini.

"Saya rasa teruja pada masa itu kerana nak sangat (pernikahan) jadi dan syukur semuanya sudah selesai," tuturnya.

Kenal luar dan dalam

Bagi Mel pula dia mengakui mengenali suaminya itu luar dan dalam dan begitu pasti tidak salah memilih Adlin sebagai suaminya, malah sebelum inipun dia sentiasa yakin Adlin akan menjadi suaminya suatu hari nanti.

Mel berkata, sebagai seorang perempuan sudah pasti nalurinya lebih risau dan berdebar melalui detik-detik akad nikah itu.

Namun hatinya akhirnya lega kerana semuanya telah selamat seperti yang dirancangkan.

Walau bagaimanapun, dia mengakui agak sebak pada saat tersebut kerana terkenangkan arwah ayahnya, Abdul Hamid Md. Ally yang meninggal dunia 2 Februari tahun lalu dan tidak dapat meraikan hari bahagianya.

"Rasa kehilangan kerana arwah memang nak sangat lihat kami naik pelamin, tapi apakan daya," katanya sambil menyeka titis air mata yang bercucuran di pipi.

Adlin yang mengusap air mata itu berkata, mereka berazam untuk menjadi pasangan yang menekankan nilai-nilai baik bagi dijadikan iktibar kepada peminat.

Dia yang mengakui hubungan rapatnya dengan Emylia Rosnaida dan suaminya, AC Mizal adalah salah satu elemen penting membolehkannya mendekati Emelda berkata, pasangan kakak dan abang ipar itu akan sentiasa dijadikan model dan rujukan dalam pembentukan keluarganya kelak.

Majlis perkahwinan pasangan merpati sejoli itu memang jelas memperlihatkan nilai-nilai kekeluargaan yang tinggi.

Majlis berlangsung dihadiri lebih 200 tetamu termasuk ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, Mak Mah, Emylia Rosnaida dan AC Mizal, serta rakan-rakan artis pelakon dan penyanyi, Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli yang juga menjadi pengapit pengantin lelaki serta dua bintang AF7, Aril atau nama sebenarnya, Khairil Azam Pilus dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim.

Majlis berinai besar yang diadakan pada sebelah malam bermula 9 malam di rumah pusaka arwah ayah Mel di Kampung Melayu, Batu 8 memang meriah apatah lagi ia diselang-selikan dengan hiburan daripada lagu-lagu karaoke yang didendangkan oleh keluarga pengantin dan jiran terdekat.

Kedua-dua mempelai tersebut yang memakai persalinan cantik berwarna merah dari Butik Pengantin Nasha kelihatan anggun berada di pelamin indah rekaan butik sama.

Sejurus upacara menepung tawar selesai, seramai kira-kira 300 sanak saudara dan tetamu tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan dengan pengantin baru tersebut.

Keesokan malamnya pula, pasangan terbabit mengadakan majlis bersanding yang bertemakan tradisional klasik di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh dengan menggunakan khidmat tatarias, Deq Sha dan busana buatan pereka muda, Rizman Ruzaini.

Emelda berhenti berlakon?

Sementara itu menurut Mak Mah, majlis menyambut menantu bagi pihak lelaki pula yang berkonsep Jawa dijadual diadakan di rumahnya di Meru, Klang pada 21 Jun depan.

Pelakon veteran yang teruja menerima menantu baru itu membayangkan segala persiapan untuk majlis tersebut akan dilakukan secara gotong-royong (rewang) selaras kehidupan cara kehidupan kampung yang masih tebal diamalkan di kawasannya.

Mengenai karier seni Mel pula, dalam ini masa terdekat, Adlin memberi kebebasan kepada isterinya itu untuk menentukannya.

"Kalau ikut kata Adlin, nak kerja (berlakon) boleh, tak kerja pun boleh. Buat masa ini memang saya nak teruskan kerjaya saya sebab ia memang darah daging saya dan masih rasa belum penat berlakon," beritahu Mel.

Namun, Adlin yang berada di sebelah mencelah dan memberi bayangan mungkin perjalanan hidup isterinya sebagai anak seni bakal terhenti tidak lama lagi dan ia akan dilakukan secara beransur-ansur.

Menurutnya yang merancang untuk memperolehi tiga orang cahaya mata berkata, dia mengimpikan kehidupan yang mementingkan institusi kekeluargaan.

"Jika sudah ada cahaya mata nanti, biarlah (Mel) jadi suri rumah. Saya mahu kepulangan saya selepas penat bekerja disambut isteri dan anak-anak dengan perasaan gembira di pintu rumah," tegasnya.

Saturday, May 23, 2009

Cinta Adlin-Emelda ke Jinjang Pelamin


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dengan sekali lafaz, pengkritik tetap Akademi Fantasia (AF7), Adlin Aman Ramli, 36, sah menjadi suami kepada pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta dekat sini semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Nikah, Cerai dan Rujuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Zainudin Abdul Arshad dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahiran Adlin ke-37 hari ini.

Elmelda Rosmila yang juga adik ipar kepada pengacara AF7, AC Mizal, menerima wang hantaran RM30,000 beserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh.

Turut hadir ibu Adlin, pelakon veteran, Ruminah Sidek, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida, AC Mizal, pelakon, Akashah dan penerbit filem, Raja Azmi.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan putih lega kerana impian mereka untuk berumahtangga selepas empat tahun bercinta termakbul.

Namun begitu, Emelda kelihatan sebak kerana terkenangkan arwah ayahnya, Abdul Hamid Md. Ally yang meninggal dunia 2 Februari tahun lalu dan tidak dapat meraikan hari bahagianya.

Kedua-dua mempelai dirai dalam majlis berinai besar pada malam sama di rumah pusaka peninggalan arwah ayah Emelda di Kampung Melayu, Batu 8, Chemor.

Majlis persandingan pihak perempuan yang berkonsepkan tradisional klasik akan diadakan malam ini di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan sementara majlis resepsi di Kuala Lumpur pada 11 Jun.

Persandingan pihak lelaki pula yang berkonsep Jawa dijadual diadakan di rumah keluarga Adlin di Meru, Klang pada 21 Jun.

Friday, May 22, 2009

Kampar daerah ke-10 Perak



KAMPAR - Kampar diisytihar sebagai daerah terbaru Perak menjadikannya yang ke-10 di negeri ini oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, daerah kecil Kampar dan Gopeng yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada daerah Kinta telah diwartakan sebagai daerah penuh selaras keputusan Kabinet pada 9 Mac 2007.

Beliau berkata, pengisytiharan Kampar sebagai daerah baru dapat membantu merealisasi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan bandar itu sebagai pusat pengembangan ilmu dan pembangunan modal insan.

"Kampar pernah mencapai zaman kegemilangan berikutan perlombongan bijih timah sejak ia dibuka oleh Ngah Jabor pada 1894 namun kian merudum setelah industri itu terhenti pada 1980-an.

"Kini arus pembangunan di bandar ini kembali pesat ber ikutan pembinaan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR)," katanya pada majlis pengisytiharan daerah Kampar yang di sempurnakan Sultan Azlan di Padang Bandar Baru Kampar di sini semalam.

Terdahulu, pewaris Ngah Jabor, Tun Haniff Omar yang juga bekas Ketua Polis Negara menyerahkan watikah pengisytiharan Kampar sebagai simbolik kepada pemwartaan itu.
Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti ka wasan seluas 48.2 hektar di Batu Putih di sini sebagai tapak pusat pentadbiran baru daerah itu.

Menurutnya, tapak itu akan dibina dengan bangunan pejabat yang bakal menempatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kam par.
"Ahmad Kamaruzzaman Hamzah juga telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kampar pertama dan beliau telah memulakan tugas sejak 11 Ogos lalu," katanya.

Dua beranak, amah ditikam perompak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

IPOH – Gara-gara sebuah komputer riba yang nilainya tidak sampai RM2,000, tiga nyawa melayang akibat dibunuh seorang penagih dadah di sebuah rumah di Taman Pinji Seni di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang, pemilik salon, Wah Yah Mat Zi, 42, dan anak bongsunya, Esmin Denish Jafri Tajul, 5, serta pembantu rumah warga Indonesia, Dani, 19, mati akibat ditikam dan ditetak dengan pisau oleh penagih dadah yang masuk ke rumah tersebut untuk merompak.

Mayat ketiga-tiga mangsa itu ditemui berlumuran darah dengan mayat Wah Yah berada di ruang tamu manakala mayat Esmin dan orang gaji ditemui berhampiran bilik air.

Difahamkan semasa kejadian, Wah Yah sempat menghubungi suaminya, Jafri Tajul Aripin, 47, dan memaklumkan mengenai kejadian rompakan itu.

Jafri yang ketika itu bekerja di sebuah bank di sini terus memandu kereta pulang dan sempat melihat seorang lelaki melarikan diri dari arah rumahnya.

Suspek berusia 26 tahun telah diberkas oleh dua rakan Jafri.

Buat masa ini, polis mengesyaki ketiga-tiga mangsa itu dibunuh selepas Wah Yah dikatakan enggan menyerahkan wang yang diminta suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata, polis percaya berlaku pergelutan semasa kejadian tersebut sehingga menyebabkan tiga nyawa melayang.

"Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di ruang tamu rumah dan kesemua mereka mempunyai kesan tikaman dan tetakan di beberapa anggota badan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini semalam.

Menurut beliau, mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.

Suspek yang cedera dirawat di hospital sama dengan kawalan ketat polis. Polis menunggu untuk menyoal siasat suspek yang kini tidak sedar selepas diberi ubat penenang oleh doktor.

Beliau memberitahu, siasatan di rumah itu mendapati sebuah komputer riba milik wanita itu hilang.

Jelasnya, polis turut menemui sebilah pisau di tempat kejadian yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Tambah beliau, suspek didapati tiga rekod kes curi yang disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, rakan Jafri, Ahmad Zainuddin, 38, berkata, beliau yang kebetulan melalui rumah tersebut terkejut melihat Jaffri berlari ke dalam rumah dalam keadaan cemas.

"Pada masa sama seorang lelaki dilihat berlari ke arah sebuah motosikal yang terletak kira-kira lima meter dari rumah Jafri sambil memasukkan sesuatu seperti pisau ke dalam sebuah beg yang dibawanya," kata beliau.

Katanya, dia yang memandu kereta terus membuat pusingan U lalu menghalang motosikal ditunggangi lelaki itu.

"Saya dan rakan dalam kereta terus menangkap lelaki itu," katanya.

Ahmad memberitahu, mereka berdua kemudian mengikat lelaki itu mengguna getah paip sebelum menghubungi polis.

"Sejurus selepas itu Jafri keluar dari rumah dalam keadaan sebak memberitahu isteri, anak dan orang gaji telah dibunuh," kata beliau.

Tiga lagi anak Wah Yah iaitu Mohd. Aizat Adreen, 17, Nur Safura, 13, dan Nur Afini, 10, tidak ada di rumah semasa kejadian.

Difahamkan pembantu rumah itu baru seminggu bekerja dengan keluarga tersebut.

Seorang pekerja salon Wah Yah, Norhaslinda Ibrahim, 37, berkata, Wah Yah pulang ke rumah dari salon yang terletak di sebuah pasar raya di sini untuk melihat Esmin yang meragam sejak pagi.

"Sebelum meninggalkan salon pada pukul 1 petang, Wah Yah menyuruh saya dan pekerja lain makan masakan yang dibawanya," katanya.

Tuesday, May 19, 2009

Keli zat babi haram

KUALA LUMPUR - Ikan keli yang diternak di 10 kolam ternakan di Perak yang didakwa menggunakan air sisa kumbahan ladang ternakan babi adalah haram dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Menurut penceramah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, ikan keli tersebut secara automatik telah memakan pelbagai sisa najis babi daripada air sisa kumbahan yang disalurkan terus ke kolam ternakan itu.

Katanya, apabila warna, rasa dan rupa air tersebut telah berubah, maka air tersebut sudah menjadi najis Mughallazah iaitu najis paling berat dalam Islam.

"Jika jumlah kolam yang terima air sisa kumbahan dari ladang babi itu banyak, maka ikan yang hidup di dalam kolam dan seterusnya memakan sisa kumbahan itu adalah secara automatik haram dimakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pengusaha ternakan ikan keli di Perak yang didakwa menggunakan air kumbahan dari ladang ternakan babi untuk ternakan ikan itu di 10 buah kolam miliknya.

Sisa dan air kumbahan yang disalurkan ke kolam itu dipercayai mendap ke bawah dan menjadi makanan ikan manakala mendapan itu pula menyebabkan permukaan kolam seolah-olah diselaputi lumut.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berkata, ikan keli itu akan menjadi haram jika makanan ikan peliharaan itu sejak dari kecil hingga dewasa terdiri daripada sisa kumbahan babi.

"Jika itu keadaannya, ia sudah menjadi darah daging kepada ikan-ikan tersebut dan hal ini diputuskan haram kerana sukar untuk dipisahkan antara najis dan ikan-ikan tersebut," tegas beliau.

Dalam pada itu, Penasihat Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Islam Perak, Datuk Kapten (B) Mohd. Najmuddin Elias telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) supaya segera menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau yang kesal dengan penjualan ikan keli ‘haram’ itu secara terbuka berkata, ia merupakan satu kesalahan yang serius dan tindakan segera perlu diambil untuk menanganinya.

"Sememangnya mengikut hukum syarak, ikan keli terbabit haram dimakan orang Islam kerana sumber makanannya telah tercemar dengan sumber haram iaitu air kumbahan babi.

"Sekiranya dakwaan itu terbukti benar, perbuatan penternak ladang babi itu amat dikesali kerana tidak menjaga sensitiviti orang Islam dan ia perlu dihentikan segera," katanya.

Friday, May 8, 2009

Sivakumar tidak hormat demokrasi punca masalah

IPOH - Kekecohan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam tidak akan berlaku sekiranya bekas Speaker DUN, V. Sivakumar menghormati prinsip demokrasi.

Itu komen bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang mendakwa ketetapan Sivakumar menghalau 10 Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dari dewan punca utama kekecohan tersebut.

"Sivakumar sepatutnya faham beliau dilantik menjadi Spea ker DUN Perak ketika Pakatan Rakyat menguasai dewan. Namun apabila BN pula menjadi majoriti di dalam dewan, parti itu ada hak membuat usul memilih Speaker pilihan mereka, itu lah prinsip demokrasi.

``Malangnya Sivakumar menafikannya dan ia adalah punca kekecohan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bekas Menteri Besar Perak kelapan itu berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku pada Sidang DUN Perak ke-12 semalam yang menyaksikan BN berjaya melucutkan Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN dan digantikan dengan bekas ADUN Sungkai, R. Ganeson.

Bagaimanapun Sivakumar yang juga ADUN Tronoh dari DAP enggan turun dari kerusinya sehingga terpaksa diangkat keluar oleh beberapa anggota polis.

Dalam pada itu, Ramli mempertahankan kewajaran Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong yang juga merupakan ADUN Bebas mengambil alih sebentar penjalanan dewan.

Beliau berkata, ADUN Jelapang itu membuat tindakan tepat memandangkan pada waktu itu Sivakumar jelas gagal me ngawal perjalanan dewan DUN yang kecoh.

"Apabila Sivakumar gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Speaker, wajar Timbalan Speaker DUN (Yit Foong) mengambil alih.

Majlis konvokesyen IPI meriah


KONVOKESYEN. Majlis Konvokesyen Institut Perguruan Ipoh (IPI) di Institut Tadbiran Islam Malaysia (Intim) cawangan Perak, Ipoh berlangsung dalam suasana meriah semalam.

Majlis konvokesyen berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Datuk Misran Ibrahim.

Pada majlis tersebut, seramai 413 guru daripada pelbagai pengkhususan termasuk bahasa Melayu, bahasa Cina, Sains dan Pendidikan Khas menerima sijil masing-masing.

Sementara itu, guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam pengkhususan Matematik, Wong Foong Ying dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Kecoh jika lima usul ditolak

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mulai hari ini sudah ada petanda kekecohan berikutan lima usul yang akan dibentangkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kemungkinan besar akan ditolak Speaker DUN, V. Sivakumar.

Lima usul itu ialah melucutkan Sivakumar dari jawatan Speaker DUN, melantik Speaker baru serta melantik anggota baru bagi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC).

Walaupun tidak berterus-terang, Sivakumar memberi gambaran akan menggunakan kuasanya untuk menolak usul berkenaan.

``Sudah tentu Speaker ada kuasa tetapi sama ada saya akan tolak atau tidak, kita tunggu dan lihat esok (hari ini),’’ katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) di sini semalam.

Sivakumar sendiri menjangkakan berlaku `perang mulut’ dalam dewan itu.

Mesyuarat pertama penggal kedua sidang DUN Perak akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Ia juga menyaksikan lebih 100 petugas media telah diberi pas liputan berbanding 20 atau 30 pada persidangan DUN sebelum ini.

Dalam pada itu, aturan tempat duduk wakil rakyat di dalam Dewan telah berubah dengan posisi songsang atas kehendak Sivakumar.

Pada kebiasaannya, barisan wakil rakyat kerajaan yang memerintah berada di sebelah kanan Speaker tetapi keadaan esok sebaliknya apabila mereka ditempatkan pada sebelah kiri dan kumpulan wakil rakyat pembangkang sebelah kanan.

Bagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, ia bukan satu isu.

"Kita tidak mahu berkelahi pasal perkara remeh," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sidang DUN Perak kacau-bilau

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH – Speaker ‘diangkat’ keluar dewan, wakil-wakil rakyat pembangkang menyerbu dan memaki hamun barisan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta paling memalukan, Pemangku Sultan Perak terpaksa menunggu enam jam sebelum dapat merasmikan persidangan.

Itulah antara drama pada perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam yang berakhir dengan ‘pasukan’ kerajaan BN berjaya mengambil alih kuasa yang menjadi hak mereka di dalam dewan tersebut.

Ketegangan tercetus sebaik sahaja semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memasuki Dewan selepas Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selesai menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan anggota keselamatan pada pukul 10.05 pagi.

Sidang yang sepatutnya dirasmikan oleh Raja Dr. Nazrin bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sehingga pukul 3.05 petang gara-gara Speaker, V. Sivakumar secara tiba-tiba mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco keluar dewan.

Sivakumar turut mengarahkan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian.

“Saya hanya akan memulakan sidang ini jika kesemua 10 orang itu keluar dari dewan,” katanya berulang kali.

Suasana riuh-rendah mula menyelubungi dewan apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat menjerit dan mendesak 10 ADUN terbabit mengikuti ‘arahan’ Sivakumar.

Namun kira-kira 16 minit kemudian, biarpun dihalang menggunakan pembesar suara oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat, Dr. Zambry bangun membacakan usul memecat Sivakumar daripada jawatan Speaker dan ia disokong sebulat suara oleh 27 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas dengan mengangkat tangan.

Dewan kemudian terus panas apabila Timbalan Speaker dilantik Pakatan Rakyat, Hee Yit Foong yang kini ADUN Bebas mengemukakan usul supaya beliau mengambil alih peranan Speaker berdasarkan Perintah Tetap 12.2, Peraturan Mesyuarat DUN Perak.

Tindakan Yit Foong itu kemudian disusuli usul melantik Speaker DUN Perak yang baru oleh Dr. Zambry yang mencadangkan bekas ADUN Sungkai, Datuk R. Ganesan. Cadangan tersebut disokong oleh ADUN Sungai Rapat.

Kira-kira pukul 11.03 pagi, Ganesan dipanggil masuk dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr. Zambry.

Senario itu mencetuskan pertengkaran besar di kalangan wakil rakyat kedua-dua pihak dan ADUN Pakatan Rakyat kemudian cuba menghalang Ganesan daripada membaca perakuan sumpah jawatan.

Sidang kemudian berjaya ‘ditangguhkan’ oleh Ganesan selama sejam sebelum bersambung kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Sejurus DUN kembali bersidang, kekecohan semakin ketara selepas Ganesan cuba mengambil alih tempat Bentara di tengah-tengah dewan untuk menjalankan tugas sebagai Speaker dan tindakannya itu menyebabkan lebih 15 ADUN Pakatan Rakyat mengerumuninya.

Ia berlarutan selama lebih dua jam dan sepanjang tempoh itu, wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berputus asa mengepung dan menghalang Ganesan daripada menggunakan pembesar suara sehingga berlaku pergelutan di kalangan wakil rakyat kedua-dua pihak.

Ini mendorong lebih 30 anggota polis berpakaian preman masuk ke dalam dewan untuk meleraikan mereka.

Sivakumar yang sejak empat jam sebelum itu tidak berganjak daripada tempat duduknya bagaimanapun diangkut keluar anggota polis terbabit walaupun dihalang wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Ganesan kemudian memulakan tugasnya sebagai Speaker baru DUN Perak dan menjemput Raja Dr. Nazrin Shah yang sepanjang tempoh ‘kekecohan’ itu berada di Bilik Diraja. Baginda menyempurnakan perasmian pembukaan mesyuarat tersebut kira-kira pukul 3.15 petang.

Persidangan penggal kedua DUN Perak ke-12 yang berakhir pada pukul 3.50 petang itu kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Thursday, May 7, 2009

Elak baju hitam


KUALA LUMPUR – Para penyokong parti politik diingatkan supaya tidak menimbulkan suasana tegang dengan berkumpul beramai-ramai serta memakai baju berwarna hitam ketika berlangsungnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menasihatkan mereka supaya tidak melayan saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya memakai baju hitam dan berhimpun sebagai membantah persidangan itu yang dianggap oleh NGO itu tidak mengikut perlembagaan.

“Polis akan bertindak termasuk menahan mereka yang berhimpun atau menghalang anggota dewan,’’ tegasnya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tindak-tanduk individu tertentu yang menyebarkan hasutan itu melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan mencetuskan kekecohan dan menghasut mereka supaya membenci kerajaan.

Di Ipoh pula, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah mengingatkan orang ramai supaya jangan berada dalam lingkungan 500 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang menjadi lokasi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

"Pihak polis telah mendapat perintah mahkamah untuk melarang dan menghalang sebarang perhimpunan haram di sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan selama tujuh hari sepanjang sidang DUN berlangsung mulai esok (hari ini) selaras dengan Seksyen 38 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Katanya, anggota polis akan dikawal di sekitar bangunan itu dalam tempoh 24 jam sehari mulai hari ini hingga 13 Mei depan.

Menurutnya, sebanyak 13 jalan berhampiran atau menghala ke Bangunan Perak Darul Ridzuan ditutup mulai 9 malam tadi

Wednesday, May 6, 2009

Arkib anjur Pengisahan Sejarah Ulama


SEJARAH. Arkib Negara menganjurkan majlis Pengisahan Sejarah ulama terkenal, Sheikh Muhammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi di Institut Tadbiran Islam (Intim) cawangan Perak, Ipoh semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara, Samsiah Muhamad berkata, tiga panel pengisahan tersebut ialah Prof. Dr. Mohamad Redzuan Othman, Mahani Mokhtar dan Datuk Shikh Mohd. Ghazali Abdul Wahid.

Beliau berkata, majlis tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklumat lisan berkaitan sejarah hidup Sheikh Muhammad Idris daripada individu yang mengenali dan melakukan kajian terhadap ulama berkenaan.

"Sheikh Muhammad Idris yang juga penerima Tokoh Maal Hijrah pertama merupakan ulama tersohor yang menyumbang dalam bidang bahasa Arab, ilmu hadis, tafsir dan fiqah.

"Antara sumbangan utamanya ialah menyusun kamus Arab-Melayu pertama pada 1927 yang menjadi rujukan pelajar sehingga kini," katanya.

Tuesday, May 5, 2009

Bayar sewa di kaunter bergerak MBI

IPOH - Semua penghuni rumah pangsa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak perlu lagi datang ke bangunan ibu pejabat untuk membayar sewa bulanan kerana kaunter bergerak di semua pangsapuri kini telah dibuka.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, kaunter tersebut bertujuan untuk memudahkan penghuni pangsapuri berkenaan melunaskan bil terutamanya bayaran sewa bulanan.

"Sebelum ini semua penghuni pangsapuri berkenaan perlu ke Bangunan MBI di Jalan Sultan Abdul Jalil untuk melakukan urusan dengan MBI terutamanya membayar sewa bulanan.

"Kita faham ada di antara mereka mempunyai masalah pengangkutan mahupun kesuntukan masa. Sehubungan itu, untuk memudahkan penghuni, MBI ambil inisiatif buka kaunter bergerak di pangsapuri berkenaan mulai bulan ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Roshidi berkata, pembukaan kaunter itu melibatkan empat pangsapuri milik MBI iaitu Waller Court, Kinta Height, Sungai Pari dan Taman Harmoni di sini.

Beliau berkata, kaunter bergerak itu akan dibuka Sabtu dan Ahad minggu pertama setiap bulan mulai 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.

"Selain membuat bayaran sewa bulanan, penduduk boleh juga melunaskan pelbagai urusan lain seperti membayar cukai taksiran dan kompaun trafik di kaunter terbabit.

"Saya berharap penghuni pangsapuri terlibat dapat memanfaatkan kemudahan kaunter bayaran bergerak ini," katanya.

Monday, May 4, 2009

Gotong-royong bersama anggota PGA


BAKTI. Seramai lebih 50 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berganding bahu bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar pekan Tambun, Ipoh semalam.

Timbalan Komandan PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Ramli Din berkata, antara kawasan terlibat adalah Tanah Perkuburan Islam Tambun dan Taman Rekreasi Bandar Baru Tambun.

"Program gotong-royong ini adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang telah diatur sempena Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-202 yang disambut baru-baru ini," katanya semalam.

Sunday, May 3, 2009

Tiga termasuk dua beradik maut

IPOH - Tiga termasuk dua beradik terbunuh dalam ke malangan melibatkan dua kereta di Kilometer 80.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Sungkai pada awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Nurul Huda Mohamed, 27, dan adiknya Ahmad Azuan Mohamed dan seorang pemandu kereta lain, D. Sengodan, 32, terbunuh.

Beliau berkata, kakak Nurul Huda, Suriati Mohamed, 31, dan dua penumpang kereta Sengodan iaitu Mohamed Rahim Mo hamed, 31, dan Siti Hajariah Mohamed, 27, mengalami cedera parah.

"Siasatan awal polis mendapati kereta Proton Iswara yang dipandu Ahmad Azuan dari arah pekan Sungkai bertembung dengan kereta Proton Perdana yang dipandu Mohamed Rahim dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua buah kenderaan remuk teruk dan Ahmad Azuan, Nurul Huda dan Sengodan mati serta-merta di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Roslan Bek berkata, Suriati, Mohamed Rahim dan Siti Hajariah yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan dan kaki masing-masing di hantar ke Hospital Tapah, Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Beliau berkata, mayat Ahmad Azuan, Nurul Huda dan Sengadon yang semuanya berasal dari Sungkai telah dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tapah kelmarin.

"Punca kejadian masih disiasat memandangkan tiada saksi yang melihat kemalangan tersebut yang berlaku pada awal pagi," katanya.

Sementara itu, Mohamed Rahim yang ditemui di HRPB masih dalam keadaan trauma dan tidak boleh bercakap kerana rahang mulutnya patah.

Salah seorang kakaknya yang enggan dikenali berkata, Mohamed Rahim yang memandu kereta Proton Perdana ketika kejadian dijangka menjalani pembedahan membetulkan rahang pada Isnin ini.

Saturday, May 2, 2009

Semua media dibenar buat liputan sidang DUN Perak

IPOH - Lebih 16 organisasi media termasuk Kosmo! boleh menarik nafas lega apabila larangan daripada membuat liputan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mulai 7 Mei ini akan ditarik balik dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir semasa mengulas mengenai arahan kerajaan negeri mengehadkan liputan sidang berkenaan kepada beberapa organisasi sahaja memberi jaminan akan menyemak semula arahan berkenaan.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim supaya menyediakan satu senarai baru yang merangkumi semua organisasi media yang berdaftar di negeri ini termasuk Kosmo!.

"Saya telah arah senarai semua media itu dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dalam masa terdekat," katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan senarai baru itu akan dihantar kepada Abdul Rahman pada Isnin ini.

Sebelum ini, Abdul Rahman telah mengeluarkan arahan hanya 13 organisasi media sahaja dibenarkan membuat liputan Sidang DUN Perak ke-12 yang akan diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Keputusan itu menyebabkan beberapa organisasi media lain seperti Kosmo!, Sinar Harian, Harian Metro, The Sun, Oriental Daily dan stesen televisyen NTV7 tercicir daripada senarai itu.

Selain itu, Abdul Rahman juga menetapkan hanya dua petugas termasuk seorang jurufoto bagi media cetak sementara tiga petugas untuk stesen televisyen RTM, Bernama TV dan TV3 membuat liputan sepanjang lima hari persidangan terbabit.

Friday, May 1, 2009

74 pelajar STAR keracunan makanan

IPOH - Seramai 74 pelajar sekolah berasrama penuh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada sarapan bijirin yang dinikmati pagi kelmarin.

Pengerusi Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kes itu dilaporkan berlaku kira-kira 10.10 pagi ketika pelajar tersebut berada di dalam kelas.

"Siasatan awal mendapati keracunan berpunca daripada susu yang disajikan bersama bijirin untuk sarapan pelajar yang diambil pada kira-kira 6.45 pagi semalam (kelmarin).

"Seramai 29 pelajar telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. Bagaimanapun semua dibenarkan keluar hospital pada hari sama setelah mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hang Soon berkata, sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) telah mengambil sampel susu dan bijirin terbabit untuk di analisis di makmal.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati dapur dewan makan sekolah berasrama penuh itu berada di dalam keadaan kurang memuaskan.

"Sehubungan itu, pengendali kantin telah ditukarkan secara serta-merta dengan pengendali kantin baru yang berdaftar dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.

"Setakat ini tiada kes baru dilaporkan di sekolah berkenaan. Begitupun ia akan sentiasa dipantau dan pemeriksaan semula di dapur dewan makan berkenaan akan dilakukan pada Isnin ini," katanya.

Sementara itu, usaha Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan pengurusan STAR dan pelajar terlibat gagal kerana tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas.

Kelab Keselamatan Jalan Raya Perak dilancar


KELAB BARU. Penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) peringkat Perak dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari baru-baru ini.

Ramly pada majlis pelancaran tersebut berkata, kelab seperti itu akan ditubuhkan di semua 843 sekolah rendah dan 213 sekolah menengah seluruh Perak dalam masa terdekat.

"Setakat ini 20 sekolah telah dikenal pasti sebagai perintis dan sejak dibuka beberapa bulan lalu keanggotaan sudah pun mencecah lebih 400 orang.

"Penubuhan KKJR bertujuan untuk menyokong program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah," katanya.

Pada majlis sama, Ramly yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Perak turut menyampaikan topi keledar dan baju keselamatan kepada beberapa ahli kelab berkenaan terpilih.