Translate

Monday, December 31, 2018

Tiga beradik dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Gadung

DUNGUN - Tiga beradik perempuan berusia antara enam hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas mereka ditarik ombak besar di Pantai Teluk Gadung berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Nurain Fatma Zawawi, 10; Nurain Sofia, 8 dan Nurain Salsabila, 6, sedang bermain di gigi pantai terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga beradik itu pergi ke Pantai Teluk Gadung itu bersama seorang ibu saudaranya untuk beriadah.

"Sewaktu berjalan-jalan di tepi pantai berkenaan, Nurain Sofia dan Nurain Salsabila dikatakan hanyut ke dalam laut selepas di tarik ombak besar yang datang tiba-tiba.

"Kakak mereka, Nurain Fatma cuba menyelamatkan kedua-dua adiknya turut dihanyutkan ke tengah laut,"  katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baharudin berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai pelbagai agensi dan penduduk kampung segera ditubuhkan sejurus menerima maklumat berhubung insiden itu.

Ujar beliau, setakat pukul 9 malam, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan.

Difahamkan tiga beradik itu yang berasal dari Kelantan mengikut keluarganya bercuti di bandar ini dan menginap di sebuah inap desa berhampiran lokasi kejadian. - K! ONLINE

Pemimpin pelajar UniSZA dihargai

IKTIRAF. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menghargai sumbangan pelajar yang bergerak aktif dalam aktiviti kokurikulum dan sukarelawan dengan menganjurkan majlis Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa di UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, anugerah tersebut terbahagi kepada 17 kategori seperti Pemimpin Sukarelawan, Pemimpin Program Sukan, Pemimpin Badan Beruniform, Pemimpin Program Keusahawanan, Pasukan Sukarelawan Terbaik dan Pembimbing Rakan Siswa.

“Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Muhammad Ammmar Rafiq Ruslan, 23, menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Anugerah Naib Canselor atas sumbangannya aktif menyelesaikan isu mahasiswa di peringkat nasional sebagai Setiuasaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan,” katanya.

MyOnlinePasport kurang sambutan

Oleh AZLI ADLAN

BESUT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggalakkan rakyat negara ini memanfaatkan kemudahan permohonan memperbaharui pasport antarabangsa dalam talian menerusi portal, MyOnlinePasport.

Ketua Pengarah Imigre­sen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kemudahan itu telah dimanfaatkan lebih 10,000 pemohon sejak ia dilancarkan pada September tahun lalu.

Beliau berkata, permohonan pembaharuan pasport akan menjadi lebih mudah jika dibuat menerusi MyOnlinePasport dengan semua urusan termasuk memuat naik gambar dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.

“Kutipan pasport terbabit boleh dilakukan di cawangan terdekat dalam tempoh singkat iaitu antara 10 minit dan 15 minit sahaja selepas selesai proses pengesahan.

“Ia juga menjimatkan tempoh menunggu dan inisiatif (JIM) bagi mengurangkan ke­sesakan di pejabat cawangan Imigresen,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Besut di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanaffi.

Mustafar berkata, secara purata, JIM menerima hampir 2.5 juta permohonan pasport antarabangsa setahun atau kira-kira 20,000 sebulan di 96 cawangan di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pejabat Pengeluar Pasport Besut merupakan cawangan ke-76 di seluruh negara dan ketiga di Terengganu selepas Kuala Terengganu dan Kemaman yang mempunyai kemudahan mengeluarkan dokumen antarabangsa dalam tempoh sejam selepas permohonan.

“Sebelum ini, Pejabat Imigresen Besut cuma menerima permohonan yang akan diproses dalam tempoh tiga hari.

“Kewujudan Pejabat Pengeluar Pasport Besut ini akan memudahkan urusan imigresen bukan sahaja kepada penduduk daerah ini malah di kawasan sekitar termasuk daerah-daerah di Kelantan yang bersempadan dengannya,” katanya.

Sunday, December 30, 2018

Hotel Grand Puteri patuh syariah

HOTEL Grand Puteri yang terletak di Jalan Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung di ibu negeri Terengganu berkenaan.

Lokasi hotel tersebut sangat strategik kurang 100 meter dari Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu selain kira-kira satu kilometer dari Jeti Shahbandar iaitu akses ke Pulau Redang yang merupakan antara pulau peranginan terkenal di negeri tersebut.

Hotel itu turut mempunyai nilai tambah kerana berhampiran dengan Pasar Payang yang menjadi tumpuan untuk mendapatkan produk keluaran Terengganu malah dianggap sebagai ikon pelancongan Terengganu.

Tambah istimewa buat pelancong Muslim, Hotel Grand Puteri yang mula beroperasi pada 8 April 2013 terletak berhadapan dengan Masjid Abidin lebih dikenali sebagai Masjid Putih iaitu masjid tertua di Terengganu.

Ketua Penolong Setiuasaha (Pembangunan Harta dan Projek) Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Mohd. Jalil Ngah berkata, Hotel Grand Puteri yang bertaraf tiga bintang dibina di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kos pembinaan kira-kira RM41.69 juta.
Menurut beliau, projek yang dibina di bawah Program Pembangunan Hartanah Wakaf, Rancangan Malaysia Kesembilan tersebut menggunakan konsep pajakan selama 25 tahun antara MAIDAM selaku pemberi pajak dan penerima pajak iaitu Yayasan Wakaf Malaysia.

"Tanah wakaf tidak boleh dijual beli, diwarisi dan dipindah milik kerana ia hak Allah manakala manfaat daripada pembangunannya boleh dipindahkan kepada masyarakat.

"Pulangan daripada keuntungan pembangunan Hotel Grand Puteri yang berkonsepkan hotel wakaf ini telah digunakan untuk membiayai pembesaran dan penyelenggaraan masjid, surau dan sekolah agama; program keagamaan dan pendidikan, bantuan dan keperluan sosial umat Islam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pengurus Operasi Hotel Grand Puteri, Zaharah Abd. Rahman berkata, firma perhotelan, Puteri International Hotels telah diamanahkan untuk menguruskan Hotel Grand Puteri menerusi pembayaran premium tahunan kepada Yayasan Wakaf Malaysia.

Ujar beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perhotelan, Hotel Grand Puteri merupakan hotel kedua berkonsepkan hotel wakaf diuruskan Puteri International Hotels selepas Pantai Puteri Hotel di Tanjung Keling, Melaka.

"Sebagai hotel wakaf, Hotel Grand Puteri mengamalkan konsep patuh syariah dengan seratus peratus makanan disajikan adalah halal dan mengambil sepenuhnya kakitangan Muslim menutup aurat.

"Kami mempunyai 87 kakitangan dengan 99 peratusnya daripada merupakan anak tempatan dan sebahagiannya daripada mereka juga terdiri daripada golongan asnaf," katanya.
Zaharah berkata, Hotel Grand Puteri mempunyai dua kolam renang yang memisahkan bahagian lelaki dan wanita menerusi pembinaan tembok.

Beliau berkata, bacaan al-Quran dan lagu-lagu nasyid juga dialunkan di koridor bilik hotel pada waktu antara solat Maghrib dan Isyak setiap hari.

"Selain itu, kami juga mengamalkan bacaan doa kesejahteraan yang juga boleh didengari di koridor bilik hotel untuk dibaca bersama-sama pelanggan pada setiap pukul 8.30 pagi," katanya.
Zaharah berkata, Hotel Grand Puteri yang setinggi tujuh tinggi mempunyai 180 bilik penginapan yang terbahagi kepada jenis iaitu standard, suite junior dan superior suite.

Menurut beliau, kadar bilik penginapan di hotel berkenaan ditetapkan pada kadar antara RM168 hingga RM428.

"Hotel Grand Puteri juga mempunyai enam dewan termasuk sebuah dewan besar yang boleh memuatkan 250 tetamu. Restoran kami juga menampung 150 pelanggan untuk menjamu selera pada satu-satu masa," ujar beliau.
Zaharah memberitahu, selain makanan ala barat, Cina dan Melayu, pelanggan Hotel Grand Puteri juga ditawarkan sajian beridentitikan Terengganu seperti keropok lekor rebus dan goreng, pulut gaul nyior, ubi stelo rebus dan nasi dagang.

Ujar beliau, hotel tersebut terkenal dengan menu stimbot yang sahaja enak malah menawarkan berpatutan iaitu antara RM25 hingga RM28 seorang.

Saturday, December 29, 2018

Pencuri lori treler ditahan

BESUT – Niat jahat dua penjenayah untuk menghantar sebuah lori treler yang disyaki dicuri kepada individu dipercayai pembeli di Tanah Merah, Kelantan tidak kesampaian apabila mereka berjaya dipintas sepa­sukan polis di Kampung Oh, Jerteh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, pemandu lori treler yang berusia 40-an tersebut ditahan manakala kelindannya berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superinten­dan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lori treler yang disyaki dicuri di Bandar Jengka, Pahang pada akhir Oktober lalu itu berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dekat pusat bandar Jertih.

“Pemandu lori treler yang disyaki dicuri itu enggan menghentikan kenderaannya apabila diarah sepasukan polis yang menaiki kereta peronda sebalik memecut laju menuju ke Kampung Oh di sini.

“Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai tayar bahagian kanan lori treler, namun suspek tetap memandunya dalam keadaan tayar pancit sebelum terbabas ke tepi jalan tidak lama kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, pemandu lori itu ditahan manakala kelindannya berjaya melarikan diri daripada kepungan polis.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori treler yang dilaporkan hilang di Bandar Jengka pada 27 Oktober lalu itu dipercayai dalam perjalanan ke Tanah Merah, Kelantan.

“Suspek yang berjaya ditangkap didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya.

Empat pemborong telur diberi notis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Empat syarikat pemborong telur ayam di negeri ini dikenakan notis tunjuk sebab oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kerana menaikkan harga barangan itu baru-baru ini.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 itu masing-masing dikeluarkan  di Kuala Terengganu dan Besut.

Beliau berkata, kesemua syarikat pemborong terbabit diarahkan untuk menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hari.

“Kita telah melakukan pemeriksaan telur ayam di 93 premis perniagaan termasuk 16 syarikat pemborong utama selepas menerima aduan kenaikan harga barangan itu di negeri ini baru-baru ini.

“Pemeriksaan juga mendapati berlaku kenaikan sedikit pada harga runcit dan borong sejak bulan lalu,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Kuala Berang di sini semalam.

Zulfamy memberitahu, kenaikan harga telur ayam itu didakwa disebabkan peningkatan harga daripada pembekal dan wabak selesema burung atau H5N1 yang telah menyebabkan pengeluaran berkurangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati harga sayur dan ikan di negeri ini turut meningkat antara lima hingga 10 peratus pada musim tengkujuh ini.

Friday, December 28, 2018

Empat pekerja TNB terkandas 15 jam dalam hutan simpan

HULU TERENGGANU – Seramai empat orang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) cemas selepas terkandas lebih 15 jam di dalam Hutan Simpan Mizan berhampiran Felda Mengkawang, Kuala Berang dekat sini semalam.

Kesemua mangsa iaitu Nor Muslim Mohd. Dom, 51; Mohd. Amirul Ismail, 30;  Muhammad Syazwan Wahab, 30; dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, ditemui selamat dalam keadaan keletihan pada pukul 10.25 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mereka yang terdiri kakitangan Unit Perancang Kabel Wilayah Timur, Pejabat TNB Dungun memasuki kawasan hutan simpan berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pemeriksaan puncak menara TNB pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

“Kerja-kerja pemeriksaan itu sepatutnya berakhir pada pukul 5 petang semalam (kelmarin), namun mereka yang masing-masing melakukan kerja-kerja pemeriksaan di lokasi berasingan didapati tidak keluar dari hutan ber­kenaan sehingga pukul 10.41 malam.

“Salah seorang mangsa menghubu­ngi pegawai TNB bertugas memaklumkan terpaksa bermalam di dalam hutan simpan itu kerana gagal mencari jalan pulang akibat keadaan gelap sebelum kehilangan keempat-empat pekerja TNB itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, mangsa pertama, Nor Muslim dilaporkan berjaya keluar sendiri dari Hutan Simpan Mizan sebelum meminta pertolongan daripada beberapa penduduk kampung yang sedang bersarapan di sebuah gerai makanan di Kampung Lubuk Periuk dekat sini pada pukul 9.40 pagi.

Menurut beliau, baki tiga lagi mang­sa pula berjaya ditemui pasukan mencari dan penyelamat pada pukul 10.25 pagi.

“Mereka ditemui dalam keadaan keletihan pada kedudukan kira-kira enam kilometer dari lokasi kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan sebelum mereka menjalankan tugas.

“Keempat-empat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, kesemua pekerja TNB itu enggan ditemu bual kerana keletihan melampau semalaman berada di dalam hutan.

MB Terengganu sahkan pegawai EPIC disiasat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan beberapa pengawai kanan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) berdepan dengan siasatan dalaman berhubung aduan salah laku dalam tadbir urus syarikat itu.

Beliau berkata, pengawai terbabit kini direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada proses siasatan yang dikendalikan oleh jawatankuasa dalaman syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu tanpa melibatkan pihak lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Buat masa ini, bilangan dan identiti pegawai yang disiasat serta butiran aduan tentang­nya tidak akan diumumkan agar tidak mengganggu siasatan dan demi keadilan pihak terlibat.
“Apa pun saya memberi jaminan urusan pentadbiran dan perjalanan perniagaan syarikat tersebut tidak akan terganggu dan berjalan se­perti biasa sepanjang siasatan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Malam Media Repsol di sini kelmarin.

Beliau berkata bagi mengulas penularan foto pejabat pegawai kanan EPIC di Jalan Pejabat di sini yang dirantai dengan mangga baru-baru ini.

Ahmad Samsuri berkata, tindakan mengunci pintu pejabat itu dibuat mengikut prosedur supaya individu yang disiasat itu tidak mema­suki premis sepanjang tempoh siasatan.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dilakukan dengan cermat, teliti dan telus.

Thursday, December 27, 2018

2,000 pelajar gunting rambut percuma

DUNGUN – Kira-kira 2,000 pelajar di sekitar daerah ini, Kemaman dan Hulu Terengganu tersenyum gembira selepas mendapat perkhidmatan gun­ting rambut percuma anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat pihaknya bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak masing-ma­sing.

“Program ini diharap dapat memberi manfaat kepada hampir 2,000 pelajar daripada 60 sekolah rendah dan menengah yang sebahagiannya merupakan anak yatim dan miskin di dalam wilayah Ketengah.

“Pelancarannya hari ini (semalam) melibatkan 200 pelajar daripada tiga sekolah sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan ia akan diperluaskan di kawasan-kawasan lain di dalam wilayah Ketengah sehingga 15 Januari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gunting Rambut Percuma Sekolah Ketengah pe­ringkat AMBS di Pusat Komuniti Desa (PKD) Terengganu di AMBS, Bukit Besi dekat sini semalam.

Tengku Ahmad  Nadzri berkata, program gunting rambut percuma tersebut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada 30 tukang gunting rambut yang pernah mendapat bimbingan kursus kemahiran asas dan separa mahir daripada  Ketengah sebelum ini.

“Kos mengunting rambut murid dan pelajar ini ditanggung sepenuhnya oleh Ketengah dengan RM5 sekepala atau hampir RM10,000 keseluruhannya,” katanya.

Guru maut Proton Persona rempuh pembahagi jalan

DUNGUN – Perjalanan pulang seorang guru wanita dari bercuti di kampung halaman berakhir dengan tragedi apabila kereta Proton Persona dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 362.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Noraini Mohd., 34, yang juga Warden Asrama Puteri Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kece­deraan pada kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Noraini yang memandu sendirian dalam perjalanan pulang untuk bertugas di SMK Dato’ Sedia Raja, Rembau selepas bercuti di kampung halamannya di Kampung Tetambah, Manir, Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi keja­dian, kereta Proton Persona dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan guru wanita terbabit tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kenderaannya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Baharudin berkata, pasukan perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan Noraini telah meninggal dunia.

Menurut beliau, mayat Noraini dibawa ke Unit Forensik, Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.

Ketengah sedia perkhidmatan gunting rambut percuma

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif menganjurkan program gunting rambut percuma melibatkan hampir 2,000 murid di sekitar daerah ini, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat pihaknya sempena pembukaan semula sesi persekolahan pada minggu depan.

Beliau berkata, perkhidmatan mengunting rambut percuma itu bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak masing-masing. 

"Program ini disasar dapat memberi manfaat kepada hampir 2,000 murid dan pelajar dari 60 sekolah rendah dan menengah yang sebahagiannya merupakan anak yatim dan miskin di dalam wilayah Ketengah.

"Pelancarannya hari ini melibatkan 200 murid dan pelajar dari tiga sekolah sekitar Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan ia akan diperluaskan di kawasan-kawasan lain di dalam wilayah Ketengah sehingga 15 Januari depan," katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gunting Rambut Percuma Sekolah Ketengah peringkat AMBS di Pusat Komuniti Desa Terengganu di AMBS, Bukit Besi dekat sini hari  ini. - K! ONLINE

47,000 PATI ditahan JIM sejak awal tahun

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan kira-kira 47,000 warga asing yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata,  kesemua PATI itu ditahan menerusi 14,000 operasi yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh sama.

"Dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa JIM telah memeriksa lebih 150,000 warga asing dan menahan kira-kira 47,000 daripadanya atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Kita juga telah menahan 1,400 majikan dalam operasi sama atas dakwaan kesalahan menggajikan PATI," katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Besut di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanaffi. - K! ONLINE

Wednesday, December 26, 2018

Guru maut kemalangan di LPT2

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Perjalanan pulang seorang guru wanita dari bercuti di kampung halaman berakhir dengan tragedi apabila kereta Proton Persona dipandunya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di Kilometer 362.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, Noraini Mohd., 34, yang juga Warden Asrama Puteri Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman, kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Noraini yang memandu sendirian dalam perjalanan pulang untuk bertugas di SMK Dato Sedia Raja, Rembau selepas bercuti di kampung halaman di Kampung Tetambah, Manir, Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

"Impak daripada rempuhan itu, guru wanita terbabit tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kenderaannya," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE

Empat pekerja TNB terkandas 15 jam di Hutan Simpan Mizan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seramai empat pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) cemas selepas terkandas lebih 15 jam di dalam Hutan Simpan Mizan berhampiran Felda Mengkawang, Kuala Berang dekat sini hari ini.

Kesemua mangsa iaitu Nor Muslim Mohd. Dom, 51; Mohd. Amirul Ismail, 30;  Muhammad Syazwan Wahab, 30; dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, ditemui selamat dalam keadaan keletihan pada pukul 10.25 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mereka yang merupakan kakitangan Unit Perancang Kabel Wilayah Timur, Pejabat TNB Dungun memasuki kawasan hutan simpan berkenaan bagi menjalankan kerja-kerja pemeriksaan puncak menara TNB pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

"Kerja-kerja pemeriksaan itu sepatutnya berakhir pada pukul 5 petang semalam (kelmarin) namun mereka yang masing-masing yang melakukan kerja-kerja pemeriksaan tersebut di lokasi berasingan didapati tidak keluar dari hutan berkenaan sehingga pukul 10.41 malam.


"Salah seorang mangsa menghubungi pegawai TNB bertugas memaklumkan terpaksa bermalam di dalam hutan simpan itu kerana gagal mencari jalan pulang akibat keadaan gelap sebelum kehilangan keempat-empat pekerja TNB itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, December 25, 2018

Banjir di Terengganu surut sepenuhnya

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Isnin lalu telah pulih sepenuhnya hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Marang yang masih beroperasi hari ini menutup operasinya pada pukul 5 petang tadi.

"Seramai 28 mangsa banjir yang menetap di PPS itu telah dibenar pulang ke rumah masing-masing setelah banjir yang melanda Kampung Pasir Putih, Marang sejak lima hari lalu surut sepenuhnya.

"Kawasan tersebut paling lambat pulih kerana fenomena banjir 'bertahan'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isnin lalu, Terengganu kembali dilanda banjir gelombang ketiga melibatkan hampir 1,000 mangsa dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.


Banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan berkapasiti lebih 100 milimeter yang turun sejak pukul 3 pagi di kesemua daerah berkenaan. - K! ONLINE

Sentiasa waspada fenomena air pasang besar

HUJAN lebat yang turun dalam kuantiti banyak pada monsun Timur Laut atau musim tengkujuh sejak awal bulan lalu mula menampakkan impak­nya kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

Kesemua lapan daerah di Terengganu kecuali Besut dan sebahagian Kuantan, Pahang telah ditenggelami banjir berskala kecil dalam tiga pe­ringkat gelombang sejak 13 Disember lalu.

Ketiga-tiga gelombang banjir itu menjejaskan hampir 2,000 penduduk di Terengganu dan Pahang yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan masing-masing buat beberapa hari sehingga bah reda.

Di Kelantan pula, walaupun setakat ini tiada PPS dibuka namun beberapa kawasan di Rantau Panjang dan Gua Musang sudah mula dinaiki air bah berikutan limpahan sungai-sungai terdekat.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat semalam, seramai 553 mangsa banjir masih berlindung di empat PPS di Terengganu.

“Gelombang ketiga banjir yang berlaku di Terengganu bermula Isnin lalu itu melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Setiu.

“Banjir kali ini berlaku di kawasan-kawasan berhampiran pesisir pantai dan ia disebabkan taburan hujan lebat dengan keamatan lebih 100 mi­limeter (mm) yang menyebabkan air naik dalam tempoh tiga jam sahaja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam meramalkan gelombang ketiga banjir yang melanda negeri Darul Iman bakal surut tidak lama lagi jika cuaca bertambah baik dalam sehari dua ini.

Begitupun, ia bukan bermakna kita boleh menghela nafas lega kera­na musim tengkujuh masih panjang dan dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan.

Menurut Pengarah Bahagian Pelaksanaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Azizan Abu Taat, kebimbangan sebenar adalah apabila fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di seluruh negara pada minggu depan bermula 24 Disember ini.

Menurutnya, fenomena yang di­sebabkan kedudukan bulan hampir dengan bumi itu akan menyebabkan paras air laut naik secara mendadak sekali gus meningkatkan lagi risiko limpahan air di kawasan rendah di pesisir pantai seluruh negara.

“Bagi pantai barat, antara kawasan yang berisiko berlaku limpahan air laut akibat fenomena air pasang besar ialah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Kapar, Selangor dan Melaka.

“Kami paling bimbang di pantai timur, fenomena air pasang besar bersama hujan lebat boleh menyebabkan gelombang banjir yang lebih besar,” katanya.

Azizan berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri-negeri di pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang akan menerima taburan hujan tinggi iaitu antara 560mm hingga 660mm sebulan sepanjang musim tengkujuh.

Jelas beliau, sebagai perbandi­ngan, tiga negeri tersebut hanya menerima antara 90mm hingga 130mm keamatan hujan pada bulan-bulan lain.

“Tambah merisaukan kita, masih banyak lagi taburan hujan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri Pantai Timur itu tahun ini didapati masih belum turun.

“Baki hujan itu dijangka turun pada dua minggu terakhir tahun ini yang kebetulan serentak dengan fenomena air pasang besar,” ujar­nya.

Sehubungan itu, Azizan memberitahu, Nadma telah membuat persiapan awal mengkoordinasi aset dan 78,000 kakitangan agensi terlibat bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh tersebut.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula menasihatkan masyarakat agar menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing sepanjang musim banjir.

Menurut beliau, musim tengkujuh tahun ini telah memakan korban pertama iaitu seorang guru, Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain, 27, yang lemas ketika mandi-manda di Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh, Setiu, Terengganu pada 13 Disember lalu.

“Sepanjang musim tengkujuh ini, cuba elakkan aktiviti di kawasan berisiko seperti pantai, sungai, air terjun, tali air, bukit dan gunung bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

“Ibu bapa juga diingatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka yang masih kecil memandang sekarang merupakan cuti persekolahan,” katanya.

Monday, December 24, 2018

Lori curi dipintas polis Besut

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT -  Niat dua penjenayah untuk menghantar sebuah lori treler disyaki curi kepada individu dipercayai pembeli di Tanah Merah, Kelantan tidak kesampaian apabila ia berjaya dipintas sepasukan polis di Kampung Oh, Jerteh di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi, pemandu lori treler berkenaan yang berusia 40-an berjaya ditahan manakala kelindannya berjaya melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lori treler yang disyaki dicuri di Bandar Jengka pada akhir Oktober lalu berjaya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru dekat pusat bandar Jertih.

"Pemandu lori treler yang disyaki dicuri itu enggan menghentikan kenderaannya apabila diarah sepasukan polis yang menaiki kereta peronda sebalik memecut laju menuju ke Kampung Oh di sini.


"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai tayar bahagian kanan lori treler namun suspek tetap memandunya dalam keadaan tayar pancit sebelum terbabas ke tepi jalan tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, December 22, 2018

Empat syarikat pemborong Terengganu telur diberi notis

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Empat syarikat pemborong telur di Terengganu telah dikenakan notis tunjuk sebab kerana menaikkan harga telur baru-baru ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, empat syarikat pemborong yang dikenakan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 tersebut masing-masing dua di Kuala Terengganu dan Besut.

Beliau berkata, kesemua syarikat pemborong telur terbabit diarahkan untuk menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hari.

"Kami telah melakukan pemeriksaan telur di 93 premis perniagaan termasuk 16 syarikat pemborong utama selepas menerima aduan kenaikan harga telur di negeri ini baru-baru ini.


"Pemeriksaan juga mendapati berlaku kenaikan sedikit pada harga runcit dan borong telur sejak bulan lalu," katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Kuala Berang di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, December 21, 2018

Panggilan kecemasan diterima JBPM meningkat

KUALA TERENGGANU – Panggilan kecemasan yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak awal tahun ini menunjukkan peningkatan lebih 12 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amir Yusof berkata, sehingga November, JBPM menerima 98,013 panggilan kecemasan di seluruh negara merangkumi 34,930 berkaitan kes kebakaran dan 54,279 bagi kes operasi penyelamatan.

“Ia merupakan peningkatan berbanding tahun 2016 dan 2017 yang masing-masing sebanyak 92,307 dan 86,982 panggilan sepanjang tahun berkenaan.

“Panggilan kecemasan yang diterima JBPM terbahagi kepada dua iaitu panggilan kes kebakaran dan operasi penyelamatan seperti kemalangan, tanah runtuh, banjir dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran bantuan kewangan kepada PBS di Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Sementara itu, Amir memberitahu, bilangan panggilan palsu diterima JBPM pula sudah semakin berkurangan kepada hanya 295 sejak awal tahun ini berbanding 455 dan 430 yang dicatatkan pada tahun 2016 dan 2017.

Thursday, December 20, 2018

Stok mencukupi untuk 35,000 mangsa banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri menyediakan barangan keperluan asas dan makanan  yang mampu menampung sehingga 35,000 mangsa pada satu-satu masa sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengarah JKM Terengganu, Norazaman Ab. Manaf berkata, stok tersebut bukan sahaja mencukupi untuk mangsa banjir di negeri ini malah berupaya untuk disalurkan kepada negeri-negeri jiran yang turut terjejas dengan bencana itu sekiranya memerlukan.

“Kita telah membuat persediaan awal dengan menempatkan sebahagian bekalan tersebut di 27 stor bencana negeri dan 143 pangkalan hadapan yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.

“Sebahagian bekalan yang disimpan di stor bencana negeri dan pangkalan hadapan seperti kain batik, kain pelikat, selimut, tuala, tilam dan lampin pakai buang itu telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir gelombang pertama hingga ketiga negeri ini ­baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas me­ninjau stok barangan ke­perluan dan makanan tersebut di Depoh Simpanan JKM Terengganu di Pulau Kerengga di sini.

Norazam berkata, mengikut prosedur operasi stan­dard ditetapkan, semua keluarga mangsa banjir akan menerima barangan keperluan asas terbabit terma­suk ubat gigi, sabun mandi, syampu dan bantal sebaik sahaja mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jelas beliau, kesemua mangsa banjir yang mendaftar masuk ke PPS juga akan diberi terus makanan sebagai alas perut.

“Sekiranya unit penyediaan makanan tidak bersedia pada hari pertama, makanan berbungkus akan disediakan kepada penghuni PPS sebelum makanan basah seperti ayam, daging dan ikan diberikan sebagai sebahagian daripada sajian pada hari kedua dan sete­rusnya.

“Pelbagai modul aktiviti juga telah disusun ter­utama kepada mangsa banjir dalam kalangan kanak-kanak bagi mengurangkan kebosanan mereka sekiranya perlu menginap di PPS lebih daripada tiga hari,” katanya.

Norazaman berkata, JKM Terengganu telah menerima peruntukan lebih RM2.96 juta daripada kerajaan negeri dan Perseku­tuan bagi pembelian bekalan keperluan asas dan makanan tersebut.

Ujar beliau, setakat ini, pihaknya hanya menggunakan RM1.77 juta dan lebihan peruntukan tersebut akan  digunakan sekiranya berlaku bencana banjir besar luar jangka.

PBT diminta selenggara parit elak banjir kilat

HULU TERENGGANU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara agar memastikan parit dan longkang di kawasan masing-masing diselenggara secara berkala pada musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia bertujuan bagi mengelak daripada feno­mena banjir kilat.

“Saya harap PBT dapat beri perhatian kepada penyenggaraan parit dan longkang bagi melancarkan aliran keluar air hujan ke sungai dan laut berhampiran.

“Kita bimbang apabila hujan lebat bertembung dengan feno­mena air pasang akan menyebabkan banjir kilat jika parit dan longkang berkenaan tersumbat,” katanya ketika meninjau mangsa banjir di Pengkalan Ajal, Ajil dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman.

660 mangsa berpindah kerana banjir gelombang ketiga

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai 24 jam surut, banjir kembali melanda Terengganu semalam melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.

Ketua Sekretariat Pe­ngurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 4 petang, seramai 660 mangsa daripada 172 keluarga terpaksa dipindahkan di keempat-empat daerah terlibat.

Beliau berkata, banjir di­sebabkan hujan lebat berterusan berkapasiti le­bih 100 milimeter yang turun sejak pukul 3 pagi di semua daerah ber­kenaan.

“Marang mencatatkan mangsa banjir teramai dengan 387 orang daripada 98 keluarga. Mereka kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

“PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, SK Marang, SK Bukit Gasing dan SK Rusila,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu berkata, Kuala Nerus pula merupakan daerah kedua paling terjejas dengan banjir gelombang ketiga ini dengan 131 mangsa ditempatkan di SK Tok Jembal.

Sebelum ini, lebih 1,600 penduduk Terengganu di daerah Hulu Terengganu, Dungun, Kemaman dan Setiu terjejas dengan banjir gelombang pertama dan kedua bermula 13 Di­sember lalu.

Mayat guru lemas di Sungai Setiu ditemui

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Mayat seorang guru yang dihanyutkan arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini kelmarin berjaya ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dilancarkan hari ini.

Mayat Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain, 27, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur dijumpai terapung di kawasan kunci air Kampung Buruk di sini pada pukul 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mayat Abd. Rauf ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa yang merupakan korban pertama musim banjir melanda Terengganu sejak Rabu lalu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kosmo! Online Khamis lalu melaporkan Abd. Rauf hilang dibawa arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini ketika leka mandi bersama tiga remaja berusia 17 tahun termasil adik kandungnya, Abdul Wafi.


Difahamkan, mangsa baru pulang bercuti ke kampungnya di Permaisuri di sini beberapa jam sebelum kejadian. - K! ONLINE

Wednesday, December 19, 2018

PBT diminta selenggara parit elak banjir kilat

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara agar memastikan parit dan longkang di kawasan masing-masing disenggara secara berkala pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia bertujuan bagi mengelak daripada fenomena banjir kilat.

"Saya harap PBT dapat beri perhatian kepada penyenggaraan parit dan longkang bagi melancarkan aliran keluar air hujan ke sungai dan laut berhampiran.

"Kita bimbang apabila hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang akan menyebabkan banjir kilat jika parit dan longkang berkenaan tersumbat," katanya selepas meninjau mangsa banjir di Pengkalan Ajal, Ajil dekat sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman. - K! ONLINE

UniSZA sedia pusat penempatan sementara buat pelajar luar kampus

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif menyelamatkan pelajar-pelajar luar kampusnya yang terperangkap di dalam rumah sewa masing-masing yang dilanda banjir hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd Afandi Salleh berkata,  setakat ini, seramai 28 pelajar perempuan telah dibantu untuk berpindah dari rumah sewa masing-masing di sekitar Gong Badak di sini.

"Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di Kolej Kediaman UniSZA di sini.

"Pusat penempatan sementara tersebut mampu memuatkan 184 pelajar luar kampus yang menjadi mangsa banjir  pada satu-satu masa. Ia merangkumi 104 perempuan dan 80 lelaki,"   katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Afendi berkata, talian Bilik Gerakan Banjir diuruskan oleh Jabatan Keselamatan UniSZA di talian 09-6687950 (Kampus Gong Badak) dan 012-5600155 (Kampus Besut) juga telah diaktifkan dan ia beroperasi 24 jam 


Menurut beliau, mana-mana pelajar luar kampus UniSZA lain yang turut terjejas dengan banjir diminta agar menghubungi talian itu untuk mendapatkan bantuan segera. - K! ONLINE

JKM Terengganu sedia bekalan keperluan buat 35,000 mangsa banjir

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah menyediakan barangan keperluan asas dan makanan  yang mampu menampung sehingga 35,000 mangsa pada satu-satu masa sepanjang musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengarah JKM Terengganu, Norazaman Ab. Manaf berkata, stok keperluan asas dan makanan itu bukan sahaja mencukupi untuk mangsa banjir di negeri ini malah berupaya untuk disalurkan kepada negeri-negeri jiran yang turut terjejas dengan bencana itu sekiranya memerlukan.

"Kita telah membuat persediaan awal menempatkan sebahagian bekalan tersebut di 27 stor bencana negeri dan 143 pengkalan hadapan yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.

"Sebahagian bekalan yang disimpan di stor bencana negeri dan pengkalan hadapan seperti kain batik, kain pelikat, selimut, tuala, tilam dan lampin pakai buang itu telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir gelombang pertama hingga ketiga negeri ini baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau stok barangan keperluan dan makanan tersebut di Depoh Simpanan JKM Terengganu di Pulau Kerengga di sini. - K! ONLINE

Terengganu kembali dilanda banjir

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam selepas surut,  banjir kembali melanda Terengganu melibatkan tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, banjir berkenaan disebabkan hujan lebat berkeamatan lebih 100 milimeter yang turun di ketiga-tiga daerah itu bermula pukul 3 pagi.

"Kawasan yang terjejas di daerah Kuala Terengganu ialah perumahan sekitar Jalan Kamarudin, Jalan Tekukur dan Jalan Sultan Omar, Kuala Ibai dan Taman Sri Intan di sini.

"Banjir turut melanda Rhu 10 di Setiu dan Kinjing, Merchang, Batangan dan Durian Pahit di Marang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Adam berkata, setakat ini, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Rhu 10 dan Balai Raya Taman Hijrah di sini dan Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh di Marang.


Beliau menjangkakan lebih banyak lagi PPS akan dibuka di ketiga-tiga daerah berkenaan pada masa terdekat. - K! ONLINE

Tuesday, December 18, 2018

Mangsa banjir Terengganu meningkat 442 orang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 442 orang melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 2 petang, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka masing-masing empat di Setiu, Marang (tiga), Kuala Terengganu (dua) dan Kuala Nerus (satu).

"Marang mencatatkan mangsa banjir teramai iaitu 251 orang daripada 65 keluarga yang kini ditempatkan di tiga PPS  iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, SK Marang dan SK Bukit Gasing.

"Seramai 115 mangsa daripada 27 keluarga pula berpindah di SK Tok Jembal, Kuala Nerus. Kuala Terengganu pula mempunyai 51 mangsa daripada 19 keluarga di SK Chendering dan SK Atas Tol," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Che Adam berkata, seramai 25 mangsa daripada sembilan keluarga pula di tempatkan di tiga PPS di Setiu iaitu SK Telaga Papan, Balai Raya Taman Hijrah dan Kampung Bari Kecil serta SK Rhu Sepuloh. - K! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 990 orang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 990 orang di empat daerah terjejas iaitu Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 10 malam, Marang masih mencatatkan mangsa banjir terbesar iaitu 547 orang daripada 139 keluarga.

"Mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, SK Pasir Putih, SK Bukit Gasing dan SK Rusila.

"Daerah kedua terjejas ialah Kuala Terengganu dengan 272 mangsa daripada 69 keluarga yang dipindahkan sementara di tiga PPS iaitu SK Cendering, SK Gong Tok Nasek dan SK Atas Tol," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Che Adam berkata, dua PPS telah dibuka di Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal dan Dewan Mengabang Telong melibatkan 144 mangsa daripada 37 keluarga.

Tambah beliau, baki 27 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di empat PPS di Setiu iaitu SK Rhu Sepuloh, SK Telaga Papan dan Balai Raya Taman Hijrah dan Kampung Bari Kecil.


"Walaupun hujan sudah berhenti sejak petang tadi namun air bah masih 'bertahan' kerana aliran mengalir ke laut masih perlahan berikutan fenomena air pasang," katanya. - K! ONLINE

Mayat guru lemas di Sungai Setiu ditemui

SETIU – Mayat seorang guru yang dihanyutkan arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini pada Khamis lalu berjaya ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat dilancarkan semalam.

Mangsa, Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain, 27, yang merupakan guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur dijumpai terapung di kawasan kunci air Kampung Buruk di sini pada pukul 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris berkata,  mayat Abd. Rauf ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat dianggotai 72 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung yang masuk hari ketiga telah disambung pada pukul 8.45 pagi tadi (semalam).

“Pencarian pasukan mencari dan menyelamat itu berjaya menemui mayat mangsa di kawasan kunci air Kampung Buruk di sini kira-kira satu jam setengah kemudian,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.
Zulkifli berkata, mayat Abd. Rauf yang merupakan korban pertama musim banjir yang melanda Terengganu sejak Rabu lalu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat.

Khamis lalu, Abd. Rauf  hilang dibawa arus deras Sungai Setiu berhampiran Kampung Buluh di sini ketika sedang leka mandi bersama seorang adiknya dan dua remaja lain.

Difahamkan, mangsa baru pulang bercuti di kampungnya di Permaisuri di sini beberapa jam sebelum kejadian.

Monday, December 17, 2018

Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda tiga daerah di Terengganu sejak Khamis lalu telah pulih sepenuhnya selepas satu-satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di Pengkalan Ajal, Ajil Hulu Terengganu ditutup.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, PPS Pengkalan Ajal tersebut menutup operasinya pada pukul 3 petang.

"Kesemua 64 mangsa daripada 20 keluarga yang menetap di PPS itu telah dibenarkan pulang rumah masing-masing setelah banjir surut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Terengganu pulih, Pahang teruk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan SHAHRULANOOR ISHAK

KUALA TERENGGANU – Cuaca cerah yang berlaku sepanjang hari semalam telah memulihkan keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Terengganu.

Sehingga petang semalam, hanya daerah Kemaman yang masih terjejas manakala daerah Hulu Terengganu dan Setiu telah pulih sepenuhnya daripada banjir dengan kesemua lebih 1,000 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 4 petang semalam, mangsa banjir di negeri ini hanya tinggal 171 orang sahaja.

“Kesemua mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS terdiri daripada 39 keluarga dari enam perkampungan di sekitar daerah Kemaman.

“Kawasan-kawasan di daerah itu yang masih dinaiki air banjir ialah Padang Kemunting, Felda Neram 1, Teladas, Ibok, Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 14,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Begitu pun, Che Adam memberitahu, lima laluan masih ditutup untuk kegunaan semua jenis kenderaan kerana masih digenangi air bah antara 0.76 meter (m) hingga 1.4m.

Menurut beliau, laluan tersebut ialah Jalan Batu 24-Pengkalan Ajal dan Jalan Matang, Nibong-Kuala Telemong di Hulu Terengganu; Jalan Kampung Bukit-Alur Lik di Setiu dan Jalan Chukai-Air Putih dan Jalan Pelandoh di Kemaman.

Sementara itu, di Pahang, bilangan mangsa banjir di Kuantan bertambah daripada 192 orang kelmarin kepada 421 orang daripada 112 keluarga lewat petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusof berkata, tujuh PPS telah dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terlibat.

“Keadaan hujan ribut petir yang diramal berlaku hari ini dikhuatiri meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan bertanah rendah,” katanya.

Tambahnya, sungai-sungai utama di daerah itu turut melepasi paras bahaya sejak pagi tadi termasuk Sungai Lepar, Sungai Lembing, Sungai Kuantan, Sungai Belat dan Sungai Cherating.

Hulu Terengganu daerah terbaharu dilanda banjir

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 648 orang setelah Hulu Terengganu menjadi daerah ketiga dan terbaharu dilanda bah hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini setakat pukul 1 tengah hari tadi.

Beliau berkata, seramai 411 mangsa dari 55 keluarga yang menetap di 10 perkampungan dilanda banjir di daerah ini telah dipindah ke PPS berhampiran.

"PPS berkenaan ialah PPS Pengkalan Ajal, Kampung Tengkawang, Lubuk Periuk dan Kampung Kepah, Masjid Kuala Ping, Masjid Kampung Cheting serta Masjid Kampung Perah.

"Balai Raya Kampung Tapah dan Kampung Pelandan serta Dewan Seri Puteh, Kampung Tok Lawit dekat sini turut dijadikan PPS," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Che Adam berkata, seramai 224 mangsa dari 54 keluarga di Kemaman masih ditempatkan di dua PPS iaitu Balai Raya Batu 9, Ibok dan Pusat Latihan Teluk Kalong dekat sini.


Ujar beliau, di Setiu pula, hanya sebuah PPS iaitu Surau Seri Kenangan masih beroperasi dengan menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga. - K! ONLINE

Guru dikhuatiri lemas, hilang di Sungai Setiu

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Seorang guru lelaki dikhuairi lemas selepas hilang dibawa arus deras Sungai Setiu dekat Kampung Buluh, Permaisuri di sini hari ini.

Sebelum kejadian pada pukul 4.10 petang itu, Abd. Rauf Mohd. Zulkarnain (gambar kecil), 27, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur baru pulang bercuti di rumah keluarganya di Permaisuri di sini pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian,  Abd. Rauf sedang mandi di sungai berkenaan bersama adiknya, Abdul Wafi dan dua rakan lain, Farizal Azim Makhtar dam Zulzakir Zamarudin yang kesemuanya berusia 17 tahun.

"Mereka turun mandi di sungai berkenaan pada lebih kurang pukul 3.40 petang sebelum masing-masing dihanyutkan arus deras kira-kira setengah jam kemudian.

"Keempat-empatnya dihanyutkan kira-kira 400 meter sebelum mereka berjaya berenang ke tebing sungai kecuali mangsa yang dilihat tenggelam ke dalam sungai terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pelbagai agensi segera ditubuhkan selepas menerima maklumat menimpa Abd. Rauf.


Menurut beliau, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan gerakan untuk mencarinya akan disambung esok. - K! ONLINE