Translate

Thursday, February 28, 2019

Bekas Pengurus PPN didakwa salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM303,546.

Tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya (gambar), 54, yang ditukarkan ke PPN Kelantan pada tahun lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Tertuduh yang ketika itu me­rupakan Pengurus Besar PPN Terengganu didakwa menggunakan jawatannya untuk menerima suapan bagi memilih syarikat Arcana Jaya Enterprise (Arcana Jaya) membuat pembekalan penjantan dan induk berbiri bagi projek berbiri Fasa 2 bernilai RM107, 050 di Kampung Pelam, Hulu Terengganu.

Tertuduh yang juga Ahli Pe­ngarah Gapets Sdn. Bhd. (Gapets) mempunyai kepentingan dalam Arcana Jaya kerana syarikat itu dimiliki oleh anaknya, Muhammad Faris.

Perbuatan itu dilakukan di pejabat Gapets di sini pada 1 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengurus Besar PPN Terengganu dan Ahli Lembaga Gapets bagi memilih syarikat Arcana Jaya milik anaknya bagi projek sama bernilai RM196,496 di lokasi yang sama pada 4 Di­sember 2016.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ugut tikam, bunuh bapa sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang gunting dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah mahu membunuh ba­panya dipercayai selepas ditegur kerana menghabiskan ke­ropok lekor pada minggu lalu.

Tertuduh, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd. Fauzi, 19, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Adib Fawwaz didakwa mengacukan sebilah pisau kepada bapa­nya, Wan Mohd. Fauzi Wan Yusof, 46, sebelum mengugut mahu menikam lelaki itu. Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah mereka di Kampung Tebauk di sini pada pukul 10 malam 20 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi membenarkan Wan Adib Fawwaz dibebaskan dengan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes itu pada 5 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Asri Abu Hashim, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Difahamkan tertuduh telah naik berang selepas ditegur kerana menghabiskan keropok lekor yang menjadi kudapan lewat malam tanpa menghiraukan ahli keluarga lain.

Wan Abib Fawwaz dikatakan telah mengambil sebilah pisau yang terdapat di dalam sebuah bilik di rumah mereka sebelum mengacukannya kepada ba­panya.

Dia kemudian didakwa me­ngugut mahu menikam mang­sa sebelum ia dileraikan ibunya. Remaja itu ditahan selepas kejadian tersebut dilaporkan Wan Mohd. Fauzi di balai polis berhampiran tidak lama selepas itu.

Peniaga Pasar Besar Kedai Payang mula berpindah April depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Projek pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang di sini berjalan lancar apabila premis itu bakal dikosongkan sepenuhnya bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan semula mulai bulan April depan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof, 56, (Gambar kecil) berkata, pemindahan ke premis sementara, Pasar Payang 2 yang terletak bersebelahan premis asal tersebut bakal melibatkan kira-kira 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang.

"Kami telah menerima taklimat berhubung penempatan peniaga ke premis sementara itu daripada wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan wakil rakyat selama tiga hari berturut-turut sehingga hari ini.

"Kami difahamkan struktur Pasar Besar Kedai Payang akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu yang lebih luas dengan kemudahan lebih canggih dan canggih dalam tempoh dua tahun setengah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata, secara dasarnya kesemua peniaga Pasar Besar Kedai Payang mengalu-alukan dan akan memberi kerjasama baik atas perancangan MBKT tersebut.

Begitu pun, beliau meminta jaminan agar kebajikan 1,000 peniaga sedia ada dijaga sebaiknya dengan kesemuanya mendapat lot perniagaan masing-masing di premis sementara, Pasar Payang 2 terbabit. - K! ONLINE

Pelajar IPTA miliki dadah dipenjara 10 tahun, 20 sebatan

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja dua tahun lalu.

Hakim Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas Muhammad Izzat Sharifuddin, 24, membuat pe­ngakuan bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis ganja mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, tertuduh yang diwakili peguam bela, Mohd. Hayyatuddin Muhamad didakwa mengedar dadah mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Begitu pun, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud mengemukakan pertuduhan pindaan terbabit kepada tertuduh di hadapan Abdul Wahab semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Izzat didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 527 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus pada pukul 10.20 pagi, 11 Disember 2017.

Tertuduh yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Rekabentuk Perindustrian didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Wednesday, February 27, 2019

Contohi keberanian wira penyelamat

INSIDEN kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan, Kuala Terengganu pada 8 Feb­ruari lalu masih diingati.

Ia kisah enam pemuda berani yang sanggup mempertaruh nyawa de­ngan terjun ke dalam sungai berarus deras berkenaan demi menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di dalam kenderaan pikap itu.

Nyawa lima sekeluarga dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu itu bagai telur di hujung tanduk apabila kenderaan pikap dinaiki yang diletakkan dalam ke­a­daan mengundur telah meluncur laju ke dalam Sungai Terengganu akibat kesilapan meletakkan posisi gear. Mujurlah mereka dapat diselamatkan oleh enam pemuda berkenaan.

Begitupun, malang tidak berbau apabila salah seorang daripada penyelamat itu iaitu Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, terkorban akibat lemas ekoran mengalami kejang otot. Mayatnya ditemui terapung berhampiran muara Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia hilang.

Kemurnian hati dan keberanian Allahyarham Abdul Bari dan lima yang lain secara sukarela me­lakukan kerja-kerja penyelamatan itu mewajarkan mereka dinobatkan sebagai Wira Darul Iman oleh kerajaan negeri Terengganu pada Jumaat lalu. Abdul Bari yang juga jurukimpal dan lima yang lain iaitu Saiful Anuar Mohd., 37, Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37, Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29, Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33, turut menerima penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, tindakan spontan keenam-enam Wira Darul Iman tersebut sewaktu menyaksikan insiden ber­kenaan menunjukkan budaya kesukarelawan masih subur dalam masyarakat negara ini. Ujar beliau, sikap mulia mereka yang menghulurkan bantuan awal sebelum kehadiran pasukan penyelamat seperti JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan PDRM patut menjadi contoh teladan kepada orang lain.

“Setiap kali berlaku kes kecemasan, peranan komuniti terdekat yang menyaksikan kejadian amat penting untuk memberikan bantuan awal. Kadangkala pasukan penyelamat seperti JBPM memerlukan masa akibat kekangan tersebut seperti faktor jarak dan kesesakan lalu lintas untuk tiba ke lokasi kejadian.

“Bantuan awal daripada komuniti setempat yang mahir juga mampu memastikan kejayaan usaha penyelamatan kerana dalam situasi kecemasan, isu masa amat memainkan peranan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Azlimin berkata, sebilangan saksi kejadian yang terdiri daripada peniaga di Pulau Warisan terbabit turut menyumbang kepada usaha penyelamatan tersebut dengan segera mencampakkan beberapa tong air berukuran lebih kurang 50 liter setiap satu ke dalam sungai berkenaan.

Ujar beliau, tong air itu telah dijadikan pelampung untuk membawa mangsa-mangsa ke tebing su­ngai yang terletak lebih 50 meter dari lokasi kenderaan pikap dinaiki mereka termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tersebut tenggelam.

“Tiga daripada enam penyelamat terbabit iaitu Saiful Anuar, Mohd. Amirol Hafizol dan Mohd. Shahrul Mizan merupakan peniaga di lokasi tumpuan pelancong beriadah itu.

“Penglibatan tiga peniaga ber­kenaan dalam kerja-kerja penyelamatan itu juga membuktikan peranan penting golongan itu dalam melaksanakan bantuan awal pada situasi kecemasan di kawasan tumpuan ramai seperti Pulau Warisan,” katanya.

Azlimin berkata, golongan peniaga di lokasi tumpuan pelancong terutama pada waktu puncak berpotensi tinggi untuk menjadi alternatif memberi bantuan awal sebelum kehadiran pasukan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, keberanian enam penyelamat dalam insiden Sungai Terengganu itu harus menjadi teladan kepada rakyat negara ini.

“Budaya kesukarelawan yang ditunjukkan mereka dengan mempertaruh nyawa masing-masing sela­yaknya menjadi inspirasi kepada masyarakat dan anggota polis sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aidi berkata, insiden itu juga harus memberi iktibar kepada pemandu lain agar berhati-hati dalam pemanduan terutama berhampiran lokasi berisiko seperti tebing sungai dan laluan curam dan gaung.

Dalam pada itu, pengendali portal automotif dan pemanduan selamat, Gan Yong Li berkata, ketenang­an dan kemahiran berenang amat penting dalam situasi kemalangan yang menyebabkan kenderaan terjunam ke kawasan air seperti sungai.

“Dalam kes di Sungai Terengganu baru-baru ini, tindakan Abdul Bari meminta kesemua mangsa keluar menerusi tingkap kenderaan adalah tepat.

“Ini kerana sewaktu karam ke dalam air, pintu kenderaan amat sukar untuk dibuka terutama oleh kudrat mangsa yang kesemuanya perempuan di­sebabkan tekanan air seberat kira-kira 386 kilogram sedang menghimpitnya,” ujarnya.

Enam penyelamat insiden Sungai Terengganu dinobat Wira Darul Iman

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -  Enam individu termasuk Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. yang menyelamatkan sekeluarg terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda di Sungai Terengganu dua minggu lalu dinobatkan sebagai Wira Darul Iman.

Lima lain yang turut menerima anugerah tersebut pada program Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu malam tadi ialah Saiful Anuar Mohd., 37; Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37; Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29,  Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengiktirafan tersebut sebagai menghargai sumbangan kesemua penyelamat itu yang sanggup mempertaruhkan nyawa masing-masing demi melakukan penyelamatan tersebut.

"Walaupun pemberian tidak boleh dibandingkan dengan pengorbanan mereka tetapi ia merupakan sedikit ingatan daripada kerajaan negeri Terengganu," katanya selepas menyampaikan anugerah tersebut kepada kesemua penerima di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Allahyarham Abdul Bari yang berasal dari Kampung Panji di sini menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan plak yang diterima bapanya, Mohd. Mustafa, 66.


Lima Wira Darul Iman lain iaitu Saiful Anuar, Muhammad Asadullah, Mohd. Amirol Hafizol, Omar Abdul Aziz dan Mohd. Shahrul Mizan pula mendapat wang tunai RM3,000, sijil penghargaan dan plak. - K! ONLINE

Pesta Buku Terengganu di Perpustakaan Awam Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perpustakaan Awam Terengganu menganjurkan Pesta Buku Terengganu selama lapan hari sehingga 2 Mac ini.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim berkata, program kali kedua dianjurkan itu diadakan di ruang legar perpustakaan tersebut di sini dari pukul 9 pagi hingga 10.30 malam.

Beliau berkata, Pesta Buku Terengganu tersebut bertujuan untuk memberi peluang masyarakat setempat memilih bahan bacaan berkualiti dan mempromosikan budaya membaca serta menggalakkan penerbitan buku di negara ini.

"Sebanyak kira-kira 10,000 buku pelbagai genre daripada 75 penerbit boleh didapati sepanjang penganjuran pesta buku ini," katanya selepas menyaksikan majlis perasmian Pesta Buku Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar di sini hari ini.

Ridzuan berkata, penganjuran Pesta Buku Terengganu itu juga merupakan pendekatan serampang dua mata bagi mendekatkan lagi masyarakat setempat dengan kemudahan yang ditawarkan Perpustakaan Awam Terengganu.


Ujarnya, sepanjang penganjuran pesta buku terbabit, waktu perkhidmatan perpustakaan termasuk peminjaman dan pemulangan buku serta aktiviti multimedia akan dilanjutkan sehingga pukul 10.30 malam. - K! ONLINE

Bekas PPN Terengganu didakwa salah guna kuasa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu berhadapan dengan dua lagi pertuduhan menyalahguna kuasa melibatkan amaun keseluruhan RM303,546 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 54, yang ditukarkan ke PPN Kelantan pada tahun lalu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Che Sa'adon yang ketika itu merupakan Pengurus Besar PPN Terengganu didakwa menggunakan jawatannya untuk menerima suapan bagi memilih syarikat Arcana Jaya Enterprise (Arcana Jaya) untuk membuat pembekalan penjantan dan induk berbiri bagi projek berbiri Fasa 2 bernilai RM107, 050 di Kampung Pelam, Hulu Terengganu.

Tertuduh yang juga Ahli Pengarah Gapets Sdn. Bhd. (Gapets) mempunyai kepentingan dalam Arcana Jaya tersebut kerana syarikat itu dimiliki anaknya, Muhammad Faris dan perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Gapets di sini pada 1 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, Che Sa'adon didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengurus Besar PPN Terengganu dan Ahli Lembaga Gapets untuk memilih syarikat Arcana Jaya milik anaknya, Muhammad Faris bagi projek sama dengan nilaian berjumlah RM196,496 juga di pejabat Gapet di sini pada 4 Disember 2016.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan terbabit. - K! ONLINE

ADUN Terengganu tandatangani Ikrar Bebas Rasuah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu muncul sebagai negeri kedua selepas Melaka yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ikrar tersebut merupakan inisiatif bagi membendung gejala rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik Pelan Anti Rasuah Nasional yang dilancarkan kerajaan Persekutuan pada 29 Januari lalu.

"Majlis penandatangani IBR ini merupakan komitmen serius kerajaan negeri Terengganu untuk sentiasa memelihara integriti dan membanteras rasuah demi kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani IBR berkenaan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Seramai 22 ADUN Terengganu termasuk seorang dari Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman telah melafazkan ikrar tersebut dihadapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull. - K! ONLINE

Wanita Thailand maut, lima lagi cedera di LPT2

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang wanita warga Thailand maut manakala lima lain cedera selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Estima yang dipandu suaminya terbabas lalu merempuh besi pembahagi jalan di Kilometer 400.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.56 tengah hari itu, Miss Jaruayporn, 33, yang juga seorang pengusaha restoran maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Tiga lagi yang cedera parah ialah suaminya, Seman Che Lah, 41, dan dua pekerja pasangan suami isteri itu iaitu Siti Aishah Che Hassan, 20-an dan Husna Che Leh, 23 yang kedua-duanya merupakan warga Thailand.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua lagi mangsa iaitu anak pasangan suami isteri itu, Puteri Asyah, 4, dan seorang bayi perempuan dikenali sebagai Siti Sarah yang juga anak Siti Aishah pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah Seman dan Miss Jaruayporn di Batu Burok, Kuala Terengganu dari Batu Berendam, Melaka.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna, Toyota Estima yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi pembahagi jalan.


"Rempuhan itu menyebabkan kenderaan pelbagai guna itu remuk teruk dan Miss Jaruayporn yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar sejauh beberapa meter," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

UMT jalin kerjasama strategik dengan Sendai College

RAKAN STRATEGIK. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama bagi perkongsian kepakaran pengajaran dan pembelajaran dengan Sendai College yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi dari Jepun di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, memorandum persefahaman yang ditandatangani antara beliau dengan Pengerusi Sendai College, Prof. Dr. Hiroshi Fukumura itu memberi tumpuan dalam bidang Pengantarabangsaan, Sains Marin dan Alam Sekitar.

"Kerjasama ini turut merangkumi program pertukaran siswa dan penyelidikan bersama menerusi permohonan geran nasional atau antarabangsa," katanya selepas selesai majlis itu di UMT baru-baru ini.

Tuesday, February 26, 2019

APMM tahan dua bot fiber nelayan Myanmar di perairan Dungun

KEMAMAN - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot fiber nelayan warga Myanmar yang disyaki mencerobohi pesisir pantai Dungun pada hari ini.

Awak-awak dua bot nelayan terbabit yang terdiri daripada enam lelaki warga Myanmar itu didapati sedang leka menangkap ikan di perairan berkenaan sewaktu ditahan.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun tersebut ditahan pasukan penguat kuasa APMM pada kedudukan 10 batu nautika dari Kuala Dungun.

"Pasukan penguat kuasa APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan Dungun telah bergegas ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat tentang aktiviti penangkapan ikan yang mencurigakan tersebut.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot fiber terbabit tidak mempunyai kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Ahmad Razif beri laluan kepada Ahmad sebagai Ketua Pembangkang

 MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, beliau mengosongkan jawatan itu bagi memberi laluan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said untuk menjadi Ketua Pembangkang DUN negeri yang baharu.

"Datuk Seri Ahmad telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu baru-baru ini.

"Mengikut tradisi, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang patut mengisi jawatan itu (Ketua Pembangkang DUN Terengganu). Oleh itu saya secara sukarela memberi laluan kepada beliau (Ahmad)," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari  ini.

Ahmad Razif berkata, beliau yakin ketokohan dan kepetahan Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berhujah dapat memberi dimensi baharu BN sebagai pembangkang di DUN Terengganu.


Ujarnya walaupun bukan lagi menjadi Ketua Pembangkang, beliau akan tetap memainkan peranan berkesan sebagai ADUN BN pada setiap persidangan DUN Terengganu demi kebajikan rakyat diwakilinya dan kelangsungan UMNO. - K! ONLINE

Wira Darul Iman terima sijil penghargaan khas PDRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Enam lelaki yang baru dinobatkan sebagai Wira Darul Iman pada Jumaat lalu menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, penghargaan tersebut sebagai mengiktiraf sumbangan mereka termasuk Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd. yang menyelamatkan sekeluarga terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm di Sungai Terengganu pada 8 Februari lalu.

Beliau berkata, lima individu lain yang turut menerima sijil penghargaan khas PDRM tersebut ialah Saiful Anuar Mohd, 37; Muhammad Asadullah Jamaluddin, 37; Mohd. Amirol Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27, dan Mohd. Shahrul Mizan Harun, 33.

"Keenam-enam mereka telah memberanikan diri dengan mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan mangsa dan malangnya salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia (akibat lemas).

"Hari ini sebagai menghargai jasa dan keberanian mereka, kesemua Wira Darul Iman ini dianugerahi dengan surat penghargaan khas PDRM," katanya selepas menyerahkan surat penghargaan tersebut pada Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Selain lima Wira Darul Iman terbabit, surat penghargaan untuk Abdul Bari yang meninggal dunia akibat lemas dalam insiden tersebut diterima bapanya, Mohd. Mustafa, 66. - K! ONLINE

Dana RM90 juta tidak masuk ke dalam akaun bank Pas - SPRM

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dana RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, siasatan agensi itu sejak 6 Februari lalu tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.

"Siasatan SPRM setakat ini tiada dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun (bank) Pas," katanya pada sidang akhbar pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Seramai 22 ADUN Terengganu diketuai Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah membacakan ikrar tersebut dihadapan Mohd. Shukri.

Di tanya sama ada siasatan berhubung dakwaan terhadap parti pembangkang tersebut akan ditutup atau sebaliknya, Mohd. Syukri enggan mengulas lanjut  sebaliknya menyerahkan tindakan seterusnya kepada Bahagian Siasatan SPRM.

Sebelum ini, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin Pas seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes berkenaan. - K! ONLINE

Pemuda Pakistan dikhuatiri lemas di Pantai Petak

DUNGUN – Seorang pelancong warga Pakistan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika beriadah bersama tiga rakan sene­garanya di Pantai Petak, Paka dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, (gambar kecil) hanyut dibawa ombak besar sewaktu mahu mengambil bola milik mereka yang tercampak di tengah laut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu keja­dian, Muhammad ­Bilal yang baru berkunjung ke negara ini sejak Ahad lalu sedang mandi-manda di pantai berkenaan bersama tiga ­rakan senegaranya yang bekerja di sekitar Kerteh, Kemaman.

“Mereka bermain bola di tepi pantai sebelum bola itu tiba-tiba tercampak jauh ke te­ngah laut dan mangsa yang berasal dari Lahore, Pakistan cuba mengambilnya.

“Begitupun, sewaktu mang­sa sedang ­bere­nang ke tengah laut, dia tiba-tiba dibawa ombak besar  hingga hanyut lebih jauh,” katanya kepada pembe­rita semalam.
Baharudin berkata, dua rakannya cuba membantu tetapi gagal kerana ­ombak terlalu besar sehingga memaksa mereka kembali ke tepi pantai untuk  ­menyelamatkan diri.

Menurut beliau, insiden itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada pukul 2.30 petang kelmarin sebelum pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota pelbagai agensi ditubuhkan.

“Operasi pencarian masih diteruskan untuk hari kedua hari ini (semalam) dan ia diperluaskan sehingga radius tiga kilometer dari lokasi ­mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Monday, February 25, 2019

Pengguna ditipu ejen syarikat penapis air

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Eh­wal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyerbu cawangan sebuah syarikat pengedar penapis air ter­kenal dari Korea Selatan kerana disyaki melanggar Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 baru-baru ini.

Serbuan premis di Dataran Austin, Kuala Nerus itu, dilakukan selepas mendapat aduan daripada tiga pengguna yang mendakwa diperdaya ejen syarikat jualan langsung berkenaan, empat bulan lalu.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, ke­semua pengguna mendakwa ejen syarikat jualan langsung itu mengunjungi rumah mereka di Kelulut, Marang dengan menawarkan produk penapis air dan penapis udara yang kononnya percuma.

“Mereka mendakwa te­lah menyerahkan salinan Mykad dan kad debit bank selepas menerima produk yang dikatakan percuma itu. Bagaimanapun, ke­semua mangsa tiba-tiba menerima surat pengingatan bank antara RM217 dan RM364 berhubung tunggakan pembayaran bulanan produk penapis air dan udara berkenaan.

“Mereka termasuk seorang yang mendakwa perlu melunaskan tunggakan bank walaupun tidak me­nerima produk penapis air itu telah membuat aduan kepada pihak kami pada 8 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Terengganu di sini semalam.

Saharuddin berkata, pe­nguat kuasa mendapati banyak kesalahan borang pesanan jualan selain butiran surat perjanjian pembelian produk yang tidak jelas.

“Kebanyakan borang pesanan berkenaan hanya mempunyai tandatangan pembeli tanpa penjual dan pengedar. Lima produk penapis air dan udara kelua­ran syarikat itu juga disyaki masih belum mendapat kebenaran jualan daripada KPDNHEP.

“Sembilan produk penapis air dan udara termasuk tiga di rumah pengadu berjumlah keseluruhan RM25,870 telah dirampas untuk membantu siasatan,” katanya.

Sunday, February 24, 2019

Syukur terus terima pengiktirafan

KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis, 14, yang terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial sejak bulan lalu terus mendapat penghargaan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Muhammad Syukur menerima penghargaan dan saguhati tersebut bersama Abdullah Deen Mohd. Zain, 44, yang merupakan antara jurugambar terawal merakam momen pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin tersebut.

Gambar remaja itu yang tular ke seluruh dunia dianggap membantu mempromosi dan memperkenal pelancongan dan budaya negara kepada masyarakat antarabangsa menerusi seni fotografi.

Muhammad Syukur dan Abdullah Deen menerima penghargaan terbabit yang disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada Program Pemerkasaan Komuniti Kraf Malaysia peringkat Terengganu di sini semalam.

Kosmo! 12 Januari lalu melaporkan Muhammad Syukur menjadi terkenal sekelip mata apabila gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau peliharaan memenangi anugerah 'Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018' dan 'Remarkable Award' di Siena International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini.

Saturday, February 23, 2019

Jualan My Best Buy di pejabat Fama cawangan setiap bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jualan My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran akan diadakan setiap bulan di pekarangan pejabat cawangan agensi itu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pe­ngarah (Operasi) FAMA, Datuk Nazipah Jamaluddin berkata, Jualan My Best Buy yang bertujuan membantu warga bandar menangani kenaikan kos sara hidup itu akan diadakan pada hujung minggu keempat setiap bulan.

Jualan My Best Buy memberi penekanan kepada jualan produk industri kecil dan sederhana, barangan segera dan kawalan dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.

“Jualan My Best Buy dahulunya dilaksanakan di pasar tani dan pasar pagi terpilih di seluruh negara.

“Pada tahun ini, kita mengubah pendekatan dengan menganjurkannya di pekarangan pejabat cawangan FAMA di seluruh negara agar lebih ekonomik selain mendekatkan pelanggan dengan agensi kami,” katanya selepas merasmikan Jualan My Best Buy di pekarangan pejabat FAMA Terengganu di sini semalam.

Nazipah berkata, sam­butan diterima daripada pengguna amat mengga­lakkan dengan kehadiran kira-kira 2.7 juta orang dan nilai jualan hampir RM48.3 juta sejak tahun 2014.

Jelasnya, FAMA me­nyasar untuk mencapai nilai jualan mencecah le­bih RM16 juta dengan kehadiran lebih sejuta pengguna pada tahun ini.

“Selain di peringkat cawangan, FAMA juga akan menganjurkan Jualan My Best Buy mengikut tema negeri yang berbeza di ibu pejabat agensi kami di Bandar Baru Selayang, Selangor pada setiap bulan,” katanya.

Friday, February 22, 2019

Irfan puji mentaliti TFC I

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEBANGKITAN mengagumkan pemain Terengganu Football Club I (TFC I) yang berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan ketika mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 pada aksi ketiga Liga Super kelmarin mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan berkata, anak-anak buahnya telah mempamerkan mentaliti yang sebenar untuk terus menekan JDT biar pun ke­tinggalan 1-2 sehingga minit ke-89 selain direntap dengan beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

“Walaupun ketinggalan, pemain-pemain masih bersemangat mencari gol penya­maan. Saya puas hati dengan persembahan me­reka biarpun kami hanya mencatat keputusan seri.

“Kami juga sebenarnya hampir menang, namun jaringan (Nasrullah Haniff Johan) pada masa kece­deraan dibatalkan kerana ofsaid.

“Selain itu, saya tidak mahu komen (keputusan kontroversi pengadil) kerana lebih 10,000 penyokong di stadium ini telah menyaksikannya sendiri,” kata Irfan selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Menurut Irfan, kekecewaannya setelah melihat prestasi hambar skuad Penyu itu dalam dua perlawanan dengan PKNS FC dan Pahang sebelum ini telah ditebus oleh pemainnya dengan bermain bermati-matian pada pertemuan dengan JDT malam kelmarin.

“Begitu pun, perhatian perlu diberikan terhadap barisan tengah yang agak longgar pada babak kedua. Kita terlalu memberi ruang sehingga JDT dapat menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua,” katanya lagi.

Pada aksi tersebut, TFC I terlebih dahulu di depan hasil jaringan penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-7 namun JDT bangkit menerusi gol Safawi Rasid dan Diago Luis Santo pada minit ke-62 dan 67 sebelum Kamal Azizi Zabri menyamakan kedudukan buat TFC I pada minit ke-89.

Produk inovasi UMT diiktiraf

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima pingat emas menerusi produk inovasi, papan lapis daripada batang pokok kelapa sawit pada Pameran Harta Intelek Antarabangsa, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Ipitex) yang diadakan di Bangkok, Thailand kelmarin.

Pengiktirafan tersebut membolehkan penyelidiknya, Prof. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali me­nerima anugerah berkenaan daripada panel penilai pertandingan inovasi peringkat Asia terbabit.

Che Mohd. Ruzaidi  yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT berkata, produk berasaskan kelapa sawit ini bukan sahaja mesra alam malah berkualiti.

“Sehubungan itu, panel penilai berpendapat ia berpotensi tinggi sebagai pengganti terbaik kepada bahan asas produk lain berasaskan kayu di pasaran,” katanya melalui satu kenyataan semalam.

Katanya, projek tersebut juga turut menerima anugerah sijil kecemerlangan daripada Sibiu University, Romania pada program sama.

Ipitex yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lalu telah menarik penyertaan 1,000 produk ciptaan baharu daripada 20,000 penyelidik dan saintis dari seluruh Asia.

Thursday, February 21, 2019

TFC I elak diaibkan JDT

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati mencatat keputusan seri 2-2 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan JDT yang juga juara bertahan Liga Super apabila mendahului 1-0 menerusi jaringan penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-7.

JDT tidak mudah hilang fokus dan hasilnya penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-62.

Penyerang baharu,  Diogo Luis Santo pula meledak gol kedua JDT menerusi tandukan yang menerjah pintu gawang skuad Penyu pada minit ke-67.

Pemain pertahanan TFC I,Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-89.

Liga Super: JDT kecewa diikat TFC I

KUALA TERENGGANU - Keputusan seri 2-2 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi ketiga Liga Super semalam bukan sesuatu yang menggembirakan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengendali JDT, Luciano Figueroa berkata, skuad kendaliannya yang juga juara bertahan Liga Super bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan misi untuk terus melebarkan rekod kemenangan.

"Kami mahu menang tidak ia tidak berlaku dan sudah pasti saya tidak gembira (dengan keputusan ini).

"Sepatutnya kami menang tetapi tidak mampu bertahan sehingga wisel penamat (dengan melepaskan gol penyamaan tuan rumah pada minit terakhir perlawanan)," katanya ketika ditemui selepas aksi terbabit malam tadi.

Figueroa berkata, kelemahan tidak mampu menyerap tekanan pihak lawan terutama pada minit-minit akhir perlawanan tersebut perlu diperbaiki segera agar ia tidak berulang lagi pada aksi-aksi Liga Super seterusnya. - K! ONLINE

Pusat memanah untuk OKU buta dibuka di Terengganu

INISIATIF. Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu mengambil langkah proaktif membuka pusat mema­nah khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan.

Pusat berkeluasan 487.68 meter persegi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir itu dipercayai yang pertama diwujudkan di Malaysia untuk golongan OKU sekali gus memberi peluang kepada 51 ahli Pertis untuk menceburi sukan memanah.

Pengerusinya, Mohd. Fauzi Mansor berkata, pusat memanah yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihaknya itu telah me­ng­adaptasi sistem sukan memanah untuk orang buta yang telah diguna pakai di Britain dan Perancis.

“Pemanah yang terdiri daripada individu masalah penglihatan akan dibantu untuk melepaskan anak panah ke sasaran dengan bantuan garisan penunjuk diperbuat daripada paip plastik dan bantuan minimum oleh jurupandu arah,” katanya.

Wednesday, February 20, 2019

THT selesa atasi Maybank

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas menumbangkan pencabar terdekat Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

THT yang juga juara bertahan bermula garang meledak gol pertama menerusi jaringan padang bekas pemain kebangsaan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah pada minit ke-9.

Tuan rumah terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 menerusi pukulan sudut penalti pakar flik Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada minit ke-13.

Maybank tidak berputus asa apabila kembali bangkit mendekatkan ke­dudukan 1-2 menerusi pukulan penalti stroke Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-18.
Kedudukan terikat 2-2 selepas pemain Maybank, Meor Muhammad Azuan Hassan meledak gol menerusi jaringan pada minit ke-21.

Jung Man-jae kembali meletakkan THT di hadapan dengan menjadikan kedudukan 3-2 menerusi gol padang pada minit ke-44.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari kemudiannya meledak dua gol berturut-turut selepas menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-56 dan jaringan padang pada tiga minit kemudian.

Liga Super: Mentaliti kuat pemain TFC I asak JDT dipuji

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kebangkitan mengagumkan pemain Terengganu Football Club I (TFC I) pada minit-minit terakhir perlawanan sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Johor Darul Ta-zim (JDT) 2-2 pada aksi ketiga Liga Super semalam mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, anak buahnya telah mempamerkan mentaliti kuat untuk terus menekan JDT yang juara bertahan Liga Super biar pun ketinggalan 1-2 sehingga minit ke-89  dan dihimpit pelbagai keputusan kontroversi pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

"Walaupun ketinggalan, pemain-pemain saya masih bersemangat untuk mencari gol penyamaan. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan anak buah saya biar pun sekadar seri.

"Kita juga hampir menang namun jaringan (Nasrullah Haniff Johan) pada masa kecederaan dibatalkan dan ia memang offside. Selain pada itu, saya malas hendak komen kerana lebih 10,000 penyokong di stadium telah menyaksikannya sendiri," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.


Irfan Bakti berkata, beliau juga berterima kasih atas sokongan padu penyokong tegar TFC I yang secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi semangat anak buahnya untuk mengasak JDT sepanjang perlawanan. - K! ONLINE

Suami isteri nyaris maut kereta jatuh gaung

HULU TERENGGANU – Pasangan suami isteri nyaris maut selepas kereta Toyota Camry yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter di Kilometer 397.7, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, Tan Le Wa, 58, cedera parah, manakala suaminya, Cheng Tin Sang, 63, yang memandu kereta itu cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supe­rintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Istiwa, Wakaf Tapai, Marang dari Kuala Lumpur.

“Setiba di lokasi kejadian, Toyota Camry yang mereka naiki hilang kawalan sehingga terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

“Mereka kemudiannya di­bantu sepasukan anggota Polis Gerakan Am yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Mohd. Adli memberitahu, kedua-dua mangsa telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Tuesday, February 19, 2019

JDT kecewa terlepas tiga mata dalam genggaman

KEPUTUSAN seri 2-2 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi ketiga Liga Super malam kelmarin bukan sesuatu yang menggembirakan buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengendali JDT, Luciano Figueroa berkata, skuad kendaliannya bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin dengan misi untuk me­lebarkan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan.

Misi tersebut hampir dilaksanakan selepas JDT bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama untuk mendahului 2-1 ke atas skuad kendalian Irfan Bakti itu sebelum harapan untuk membawa pulang tiga mata berkecai hasil jaringan penyamaan tuan rumah pada minit-minit akhir permainan.

“Kami sememangnya mahu menang pada pertemuan ini namun nampaknya ia tidak berlaku dan sudah pasti saya tidak gembira (de­ngan keputusan ini).

“Sepatutnya kami mampu membawa pulang tiga mata, tetapi pemain gagal menahan asakan pasukan lawan sehingga wisel penamat (dengan melepaskan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan),” katanya ketika ditemui selepas aksi tersebut kelmarin.

Figueroa juga enggan mengulas terhadap mutu pengadilan yang didakwa memberi kelebihan kepada pasukannya termasuk dua sepakan penalti pada babak pertama dan kedua.

“Penalti ialah penalti, kita tidak boleh mempertikai keputusan pe­ngadil. Apabila pengadil memberi ke­lebihan terhadap kami, ramai orang akan mempertikaikannya namun jika sebaliknya yang berlaku, tiada siapa pula yang menghiraukannya.

“Tiada apa yang boleh mengubah keputusan. Ia telah lama berlaku di Liga Malaysia sejak saya hadir di sini lagi (sebagai pemain pada tahun 2014),” ujarnya.

Muhammad Khairul Haziq sering mengigau teringat arwah ibu bapanya

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Muhammad Khairul Haziq, 5, yang menjadi yatim piatu sekelip mata masih trauma dengan kemalangan ngeri yang telah mengorbankan lima ahli keluarganya termasuk ibu bapa dan adik di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus pada Sabtu lalu.

Ibu saudaranya, Nurul Fatihah Jusoh, 34, berkata,  Muhammad Khairul Haziq yang masih dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bukan sahaja berubah menjadi pendiam malah sering mengigau menyebut nama bapanya, Mohd. Kharulinzam Jusoh, 38, sewaktu tidur pada waktu malam.

"Pada waktu siang pula, matanya meliar mencari papa, mama (Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21) dan adik perempuannya, (Nur Khaira Aisyah, sembilan bulan) sambil sesekali dia memanggil papanya.

"Dia (Muhammad Khairul Haziq) memang rapat dengan papanya. Kami sekeluarga masih belum berani untuk memberitahu perkara sebenar (kematian semua ahli keluarga) kerana keadaan dia masih belum stabil," katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Tuan Sulong di sini hari ini.

Terdahulu dia ditemui ketika menemani ibunya, Wook Awang, 68, menerima faedah pengurusan jenazah daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Nora Yaacob.

Kosmo! Ahad pada 10 Februari lalu melaporkan hasrat enam sekeluarga untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin tidak kesampaian apabila lima daripadanya maut selepas kereta Proton Saga yang mereka naiki merempuh sebatang pokok tunjuk langit di Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja berhampiran Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus. - K! ONLINE

Lima sekeluarga maut, kereta rempuh pokok

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Perjalanan pulang enam sekeluarga daripada menghadiri kenduri perkahwinan berakhir dengan tragedi apabila lima daripada mereka termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, pasangan suami isteri, Mohd. Kharulinzam Jusoh, 38,  dan Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, serta bayi mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Adik Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, turut maut di lokasi kejadian manakala ibu mereka, Rozilawati Mustafa@Razali, 43, pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Anak sulung pasang tersebut, Muhammad Khairul Haziq, 5, pula cedera parah dan masih dirawat di hospital sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bahru, Kelantan.


"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohd. Kharulinzam dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, February 18, 2019

Rakan penyelamat masih terkenang saat-saat cemas sebelum Abdul Bari tenggelam

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Salah seorang individu yang terlibat dalam usaha penyelamat sekeluarga  hampir lemas yang telah mengorbankan Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, masih tidak mampu melupakan insiden itu walaupun ia sudah lebih seminggu berlalu.

Saiful Anuar Mohd., 37, yang merupakan seorang peniaga berkata, dia masih terkenang-kenang saat cemas sebelum Abdul Bari tenggelam di dalam Sungai Terengganu tersebut.

Ujarnya, dia cuba membantu apabila melihat Abdul Bari yang sedang memegang seorang mangsa, Iman Nur Hana Luthfia, 3, agak kepenatan hingga kedua-duanya tenggelam timbul di dalam air (sungai).

"Saya mengambil bayi itu (Iman Nur Hana) daripada pegangannya dengan harapan Allahyarham dapat kembali berenang ke tebing selepas bebannya dikurangnya. 

"Saya tidak sedar dia (Abdul Bari) sebenarnya telah tenggelam selepas itu," katanya selepas menerima surat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu di sini hari ini.


Dalam kejadian pada 8 Februari lalu, Abdul Bari terkorban akibat lemas sewaktu terlibat dalam kerja-kerja penyelamatan lima sekeluarga di Sungai Terenganu berhampiran Pulau Warisan di sini. - K! ONLINE

Jenazah Abdul Bari selamat dikebumikan

KUALA TERENGGANU - Jenazah Abdul Bari Asyraf Mohd,31, yang lemas sewaktu menyelamatkan lima sekeluarga di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini pada Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini hari ini.

Seramai kira-kira 500 orang terdiri ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung menghadiri upacara pengebumian Abdul Bari pada pukul 2.30 petang itu.

Terdahulu jenazah Allahyarham disolatkan selepas solat Zuhur di Masjid Kampung Merbau Patah di sini.

Mayat  Abdul Bari yang juga jurukimpal ditemui terapung di muara Sungai Terengganu berhampiran Tanjung di sini pada pukul 7.24 pagi tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat pemuda itu pada kedudukan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam insiden yang berlaku pada pukul 9.40 malam kelmarin.

Kosmo! hari ini melaporkan Abdul Bari dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di dalam kenderaan Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini. - K! ONLINE

Mangsa kenderaan terjunam mohon maaf

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Nordiana Alwani Jaafar, 33, yang merupakan salah seorang daripada lima mangsa terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm terjunam ke dalam Sungai Terengganu pada Jumaat lalu menganggap dia dan ahli keluarga telah terhutang nyawa dengan Abdul Bari Asyraf Mohd.

Sebaik mengetahui mayat Abdul Bari telah ditemui, dia yang masih lemah menggagahkan diri untuk menemui keluarga jurukimpal itu di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini sebaik dibenarkan keluar wad wanita hospital sama pada pukul 10 pagi hari ini.

Nordiana Alwani yang juga kakitangan sebuah bank di bandar raya ini berkata, kehadirannya untuk memohon maaf kepada keluarga Abdul Bari atas rasa terkilan berikutan kecelakaan tersebut menimpa sewaktu pemuda membantu keluarganya.

"Jika dia (Abdul Bari) masih ada, saya memang berniat menemuinya untuk mengucapkan terima kasih. Saya perasan dia lah individu pertama yang terjun ke sungai untuk membantu kami.

"Saya sekeluarga amat terhutang nyawa dengannya. Dia ibarat memberi nyawanya kepada kami," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HSNZ di sini hari ini.


Suasana pilu menyelubungi pekarangan unit forensik HSNZ terbabit apabila menyaksikan Nordiana Alwani dan Masitah berpelukan sambil masing-masing mengalirkan air mata kesedihan. - K! ONLINE

Ditemui selepas 30 jam hilang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peman­cing, Abdul Bari Asyraf Mohd. yang hilang ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini berakhir selepas mayat mangsa ditemui terapung semalam.

Mayat Abdul Bari, 31, dijumpai di muara sungai berhampiran Tanjung di sini oleh penduduk setempat pada pukul 7.24 pagi selepas lebih 30 jam operasi SAR dilancarkan oleh pasukan penyelamat.

Jarak lokasi mangsa hilang dan mayatnya ditemui ialah kira-kira 2.5 kilometer (km).

Timbalan Pengarah Ja­batan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman ber­kata, penemuan itu dimaklumkan oleh penduduk kepada pasukan SAR dan pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga sebaik mayat Abdul Bari dibawa naik pada pukul 7.50 pagi.

“Kami sepakat untuk membantu menguruskan jenazah Abdul Bari kerana pengorbanan dan niat murni arwah yang sanggup menggadai nyawa demi untuk menyelamatkan insan lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mayat Abdul Bari dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Mustafa, 66, memberitahu, dia sekeluarga bersyukur kera­na mayat anaknya ditemui dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk mereka yang membaca surah Yassin dan me­ngadakan  solat hajat bagi memudahkan pencarian.

“Sebagai ayah, saya sememangnya sedih dengan kehilangan Abdul Bari, namun saya berbangga kerana dia ‘pergi’ semasa melakukan kerja mulia ia­itu membantu insan dalam kecemasan,” katanya.
Jenazah Abdul Bari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini selepas solat zuhur.

Kosmo! semalam me­laporkan seorang peman­cing dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap di dalam kende­raan jenis Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Wa­risan.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, lima beranak yang menaiki pikap itu berjaya diselamatkan oleh  pemancing lain namun Abdul Bari dilaporkan hilang selepas tidak pulang semula ke tebing sungai tersebut.

Mayat Abdul Bari ditemui di muara Sungai Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Mayat pemancing yang lemas sewaktu membantu lima mangsa sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm terjunam di Sungai Terengganu berhampiran Pulai Warisan di sini kelmarin berjaya ditemui pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, mayat Abdul Bari Asyraf Mohd., 31 dijumpai di muara Sungai Terengganu berhampiran Tanjung di sini pada pukul 7.24 pagi.

"Mayat pemuda yang berasal dari Kampung Panji di sini itu telah dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia hilang.

"Pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya telah membawa naik mayat mangsa ke Pulau Warisan di sini sebelum pengecaman dilakukan ahli keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sharikan berkata, mayat Abdul Bari telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Kosmo! hari ini melaporkan niat baik Abdul Bari bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri lemas ketika mahu menyelamatkan lima bersaudara berada di dalam kenderaan Mitsubishi Storm yang terjunam di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini kelmarin.


Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, lima mangsa terbabit yang menaiki Mitsubishi Storm  itu berjaya diselamatkan beberapa pemancing lain namun Abdul Bari didapati tidak berenang semula ke tebing sungai dipercayai akibat kekejangan. - K! ONLINE

Pemancing dikhuatiri lemas mahu selamatkan mangsa terjunam sungai

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Niat baik seorang pemancing bertukar tragedi apabila dia dikhuatiri lemas ketika mahu menyelamatkan empat sekeluarga berada di dalam kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm yang terjunam di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, empat beranak yang menaiki Mitsubishi Storm tersebut berjaya diselamatkan beberapa pemancing lain namun Abdul Bari Arshad, 31, berasal dari Kampung Panji di sini didapati tidak berenang semula ke tebing sungai.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, kejadian berlaku selepas seorang wanita berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan pacuan empat rodanya yang diletakkan berhampiran tebing sungai di Pulau Warisan.

"Pemandu tersebut tidak menyedari gearnya berada dalam posisi mengundur menyebabkan kenderaan itu terus menyelungsur ke dalam sungai sebaik enjin dihidupkan.

"Situasi itu menimbulkan panik terutama suami pemandu wanita terbabit yang berada di luar kenderaan sewaktu kejadian. Abdul Bari dan beberapa rakan-rakan lain yang sedang memancing segera terjun ke dalam sungai untuk menghulurkan bantuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazimi berkata, kesemua mangsa termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di dalam Mitsubishi Storm berjaya diselamatkan ke tebing sungai yang jaraknya hampir 50 meter dari lokasi kenderaan itu tenggelam namun Abdul Bari tidak kelihatan. - K! ONLINE

Sunday, February 17, 2019

Liga Super: JDT seri 2-2 dengan TFC I

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berpuas hati sekadar mencatat seri 2-2 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan JDT yang juara bertahan Liga Super apabila mendahului 1-0 menerusi penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-7.

JDT tidak mudah hilang fokus dan hasilnya penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-62.

Penyerang baharu,  Diogo Luis Santo pula meledak gol kedua JDT menerusi tandukan yang menerjah pintu gawang skuad Penyu pada minit ke-67.

Jaringan itu bagaikan menebus kesilapan pemain kelahiran Brazil itu yang gagal menyempurnakan penalti pertama diperolehi JDT pada minit ke-31.

Begitu pun, pemain pertahanan TFC I, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-89.


Skuad Penyu hampir mencatat kemenangan namun jaringan pemain pertahanan, Nasrullah Haniff Johan pada masa kecederaan dibatalkan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin kerana didapati offside. - K! ONLINE