Translate

Saturday, August 31, 2013

Mohamed Daud dipilih Pengerusi baharu Yayasan Perak

TUKAR TERAJU. Majlis serah tugas jawatan Pengerusi Yayasan Perak antara Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusof dan Datuk Nadzri Ismail diadakan di bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Mohamad Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama menggantikan Nadzri yang telah menamatkan perkhidmatan pada 30 Jun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyaksikan majlis tersebut berkata, kerajaan negeri Perak berkeyakinan Mohamad Daud mempunyai pengalaman dan karisma untuk mengemudi Yayasan Perak.

“Saya berpuas hati dengan prestasi Yayasan Perak di bawah pengurusan pengerusi terdahulu (Nadzri). Beberapa program seperti Tuisyen Gemilang, Permata Hati, Tabung Simpanan Pendidikan dan Kelas Rancangan Khas yang diperkenal di bawah pimpinannya selama empat tahun lalu ini kini sudah menunjukkan impaknya,” katanya.

Pasang kamera untuk atasi pencerobohan Royal Belum

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah memasang 65 kamera perangkap di Taman Negeri Royal Belum, Gerik dekat sini bagi menangani masalah pencerobohan, terutamanya pemburuan haram di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berakta, kamera perangkap dipasang di pinggir hutan taman negeri tersebut yang terletak berhampiran Jalan Timur-Barat.

"Pemasangan kamera tersebut bertujuan untuk mengesan aktiviti pemburu haram yang menjadikan hasil hutan seperti gaharu dan spesies haiwan dan ikan dilindungi yang terdapat di taman negeri berkenaan sebagai sasaran.

"Selain itu, kakitangan Perhilitan Perak juga melakukan rondaan berkala di Taman Negeri Royal Belum termasuk pada hujung minggu dan cuti umum," katanya ketika menjawab soalan tambahan Salbiah (BN-Temenggor) mengenai tindakan kerajaan negeri Perak untuk menangani masalah pemburuan haram di taman negeri itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Nolee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, aktiviti pemantauan menerusi rondaan tersebut mula menampakkan hasil apabila 38 jerangkap haram dan dua kem pemburu haram berjaya dikesan dan dimusnahkan sepanjang tempoh dua tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 39 individu termasuk 30 warga asing telah ditahan polis dan Unit Pencegah Penyeludupan keran disyaki terlibat dalam aktiviti pencerobohan Taman Negeri Royal Belum sejak tahun 2011.

"Perbadanan Taman Negeri Perak yang menguruskan Taman Negeri Royal Belum mendirikan pos-pos pemeriksaan beroperasi 24 jam di setiap pintu masuk taman negeri tersebut yang mempunyai keluasan 290,000 hektar sejak Oktober 2011.

"Polis Marin turut memainkan peranan dengan mengadakan pemeriksaan ke atas bot-bot yang beroperasi di Tasik Temenggor dan kenderaan diletakkan di Jeti Awam Pulau Banding," katanya.

Kanak-kanak 'dibuang' di JKM

IPOH – Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta diselubungi misteri apabila menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan empat tahun yang ditinggalkan oleh seorang lelaki di pejabat itu di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9.02 pagi itu, lelaki berusia lewat 30-an meninggalkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Saiful itu di hadapan kaunter pertanyaan pejabat berkenaan.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd. Mahir Mohd. Tahir berkata, lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak tersebut menghilangkan diri selepas dilihat keluar kononnya bagi menjawab panggilan telefon bimbitnya.

“Selepas 10 minit, kakitangan JKM di kaunter pertanyaan yang curiga sesuatu tidak kena selepas kanak-kanak berkenaan ditinggalkan begitu lama telah bertindak mencari penjaganya di kawasan sekitar.

“Namun kelibat lelaki itu gagal ditemui sebelum kami bertindak membuat aduan mengenai kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada pukul 10.50 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta di sini semalam.

Mohd. Mahir berkata, sewaktu ditinggalkan, budak lelaki tersebut memakai baju jersi kelab bola sepak Chelsea berwarna biru dan bernombor 17.

Menurut beliau, kanak-kanak itu dipercayai berumur empat tahun dan memperkenalkan dirinya sebagai Saiful dan tidak banyak maklumat mengenai latar belakangnya dapat diketahui selain dia memberitahu mempunyai seorang abang yang bernama 'Kimi' dan seorang adik perempuan yang dipanggilnya 'baby'.

“Saiful juga memanggil lelaki yang meninggalkannya itu sebagai 'ayah' namun kita tak pasti hubungan sebenar mereka.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan  bersendirian membawa kanak-kanak itu di pejabat JKM Daerah Kinta sebelum meninggalkannya,” katanya.

Mohd. Mahir memberitahu, pemeriksaan fizikal ke atas badan Saiful mendapati dia berada dalam keadaan sihat dan tidak sebarang kesan penderaan dikesan.

Beliau berkata, Saiful kini ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar dekat sini setelah memperolehi kebenaran daripada Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

“Tidak seperti kanak-kanak lain, dia ceria dan tidak pernah bertanyakan tentang ibu bapa dan ahli keluarga sepanjang di bawah jagaan kami,” katanya. 

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai budak lelaki berkenaan di minta tampil untuk membantu JKM mengesan ahli keluarganya di talian 05-2418860 atau 019-3291176,” katanya.

Perak tidak pilih AJK masjid melalui undian

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak berhasrat untuk melaksanakan proses pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di negeri ini melalui sistem pengundian ahli kariah semasa mesyuarat agung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sistem tersebut didapati tidak sesuai kerana lebih mengundang kemudaratan kerana mempunyai beberapa kelemahan.

"Antara kelemahan tersebut ialah pengundian mungkin dilakukan oleh bukan ahli kariah selain majoriti ahli kariah tidak mengimarah serta tidak mengetahui hal ehwal masjid.

"Paling membimbangkan jika calon yang dipilih menerusi suara majoriti itu tidak mempunyai kemahiran bagi menjalankan tugas agama dan pentadbiran," katanya ketika menjawab soalan lisan Abu Bakar Hussain (Pas-Titi Serong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini semalam.

Katanya, kebanyakan negeri memilih kaedah pencalonan yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam masing-masing.

Friday, August 30, 2013

Sasaran jualan Perak Agro, Pegro RM1.4 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) Perak melalui anak syarikatnya, Perak Agro Marketing Sdn. Bhd. (Perak Agro Marketing) mengunjurkan jualan RM1.4 juta daripada produk baharu yang diperkenalkan daripada segmen makanan dan minuman, Perak Agro dan Pegro.

Ketua Pegawai Eksekutif SADC Perak, Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan produk berkenaan dihasilkan daripada bahan mentah berkualiti tinggi yang dikeluarkan dari ladang ternakan udang harimau serta petani yang bernaung di bawah agensi berkenaan.

Menurutnya, Perak Agro merupakan jenama yang digunakan untuk produk makanan manakala Pegro pula adalah bagi produk minuman keluaran badan berkanun kerajaan negeri Perak itu.

"Perak Agro merupakan udang harimau sejuk beku, kerepek daun kesum, kerepek daun kunyit dan makanan tambahan berasaskan tembikai Rock Melon.

"Pegro pula merupakan jus tembikai Rock Melon, mangga, asam jawa dan halia kunyit yang dijual pada harga RM1 hingga RM8 sebotol mengikut kuantiti," katanya selepas majlis pelancaran produk berkenaan yang disempurna oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Ahmad Rizal menjelaskan, pelancaran produk Perak Agro dan Pegro tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pengkorporatan SADC Perak yang menyasarkan untuk menjana pendapatan serta pertumbuhan anak syarikatnya dalam segmen bukan kelapa sawit,

Menuru beliau, pihaknya menyasar sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan tahunan badan berkanun itu datang daripada sumber bukan kelapa sawit menjelang 2015.

"Produk Perak Agro dan Pegro dihasilkan daripada hasil tanaman dan ladang ternakan udang harimau milik SADC dan petani yang bernaung di bawah kami.

"Kesemua produk ini mempunyai sijil pengesahan halal, sijil Amalan Pengilangan Baik, sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal serta sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri," kata beliau.

Tiga pelajar curi motosikal diberkas polis

IPOH - Seramai tiga pelajar sekolah diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini pada Selasa lalu.

Dua daripada remaja itu yang berusia 16 tahun dan seorang lagi 17 tahun ditahan dalam serbuian di sebuah rumah di Kampung Sri Kinta, Pasir Puteh di sini pada pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketiga-tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh itu dipercayai baru berjinak-jinak dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.

"Pemeriksaan dalam serbuan di dalam rumah salah seorang suspek itu menjumpai dua buah enjin motosikal, dua rangka motosikal dan lain-lain komponen yang telah dileraikan.

"Sebuah beg berwarna hitam mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal turut ditemui," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini semalam.

Chang Keong berkata, kebanyakan motosikal yang menjadi sasaran adalah daripada jenis Honda EX5.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman sehingga hari ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 akta sama kerana mencuri dan memiliki barangan curi.

61 penduduk di tebing Sungai Kerian dipindah

IPOH - Sebanyak 61 keluarga yang tinggal berhampiran tebing Sungai Kerian di pekan Parit Buntar dekat sini bakal dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kerian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengambilan tanah tersebut terpaksa dilakukan bagi menyiapkan projek tebatan banjir sejauh 200 kilometer itu,

"Berdasarkan taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), projek tebatan banjir itu akan melibatkan pemindahan 61 keluarga yang tinggal di tebing sungai itu.

"Kerajaan negeri Perak akan memastikan mereka yang terlibat akan ditempatkan semula di tapak baharu yang sesuai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Zambry berkata, penempatan semula penduduk tersebut juga bertujuan memastikan mereka tidak dibelenggu lagi dengan masalah banjir pada masa hadapan.

Beliau memberitahu, walaupun kebanyakan keluarga berkenaan menetap di tanah rizab sungai namun kebajikan mereka yang telah menetap puluhan tahun di kawasan itu tetap diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"Saya juha berharap projek RTB Sungai Kerian yang menelan belanja hampir RM500 juta ini dapat siap mengikut jadual.

"Kawasan yang terlibat dalam projek tersebut merupakan lokasi yang mengalami masalah banjir serius hampir setiap tahun," katanya.

Projek tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari 2012 untuk mengatasi masalah banjir di kawasan yang berada di sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Thursday, August 29, 2013

Yob makin bersemangat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KEMENANGAN 1-0 ke atas Lions XII di gelanggang keramat - Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin merupakan tonik berharga kepada skuad Seladang bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Jaringan tunggal menerusi tandukan penyerang, Azlan Ismail pada minit kesembilan sudah cukup buat Perak meraih tiga mata berharga, lantas mengungguli saingan Kumpulan D dengan tujuh mata.
Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang bijak memanfaatkan peluang menjinakkan juara Liga Super itu.
“Ini merupakan kemenangan yang indah dan saya cukup puas hati Perak berjaya menewaskan juara Liga Super. Apa yang penting misi untuk tidak keciciran mata di gelanggang sendiri setakat ini tercapai.
“Setelah menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan pertama, kali ini Lion XII pula dijinakkan,” kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Azraai turut memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain muda, M. Yoganathan pada perlawanan itu yang turut disaksikan lebih 25,000 penyokong skuad Kejor YobKejor.
Menurut beliau, persembahan ampuh pemain tengah yang dipinjamkan daripada skuad Piala Presiden Perak itu menjadi antara kunci kemenangan ke atas Lions XII.
“Dia (Yoganathan) semakin menunjukkan kematangan dan telah beraksi baik sehinggalah terpaksa ditukarkan dengan Hakim (Mohd. Norhakim Isa) akibat kecederaan pada babak akhir perlawanan,” katanya.
Azraai berkata, beliau turut lega barisan pertahanan Perak yang dikemudi pemain kelahiran Brazil, Rafael Souza berjaya menyerap tekanan daripada barisan serangan Lions XII yang melakukan serangan bertubi-tubi terutama pada 10 minit terakhir perlawanan.
Bagaimanapun, beliau meminta anak-anak buah tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana laluan ke suku akhir Piala Malaysia masih berliku.
“Belum selamat lagi, masih ada tiga perlawanan lagi yang perlu diharungi termasuk di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Sabtu ini.
“Apa pun alhamdulillah pasukan Perak pada waktu ini berada dalam motivasi tinggi untuk meneruskan misi Piala Malaysia kami,” katanya.

Sunday, August 25, 2013

Empat ahli geng kongsi gelap edar dadah ditahan


IPOH - Polis menahan empat ahli geng kongsi gelap yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Syukur, Bercham di sini kelmarin.
Tangkapan terhadap empat suspek berusia 30-an itu dibuat selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah pada pukul 9.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, salah seorang penjenayah itu menembak peti suis utama bagi mematikan bekalan elektrik.

"Dua lelaki diberkas di tingkat bawah manakala dua lagi suspek dicekup dua jam kemudian ketika cuba melarikan diri melalui bumbung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Paramasivam, ketika kejadian, salah seorang suspek yang berada di bumbung melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

"Polis turut melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri diri namun tidak mengenai suspek.

"Suspek yang melepaskan tembakan hilang imbangan lalu terjatuh manakala seorang lagi ditahan ketika cuba memasuki siling rumah bersebelahan," kata beliau.

Polis merampas beberapa bungkusan disyaki pil eramin 5, peralatan memproses dadah dan sepucuk pistol jenis Baretta bersama dua butir peluru.

Polis percaya empat suspek itu turut terlibat dalam kes tembakan yang menyebabkan seorang penarik kereta, Jasrafveenderjeet Singh, 25, maut di Kampung Simee di sini pada 29 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39
(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tuesday, August 20, 2013

TPM mahu kembang operasi ke Sabah, Sarawak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BOTA  - Agensi pembangunan usahawan tekno tempatan, Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. ( TPM ) bercadang untuk mengembangkan operasi mereka di Sabah dan Sarawak.
Pengerusinya, Datuk Nasarudin Hashim berkata, ia bertujuan untuk mengembangkan lagi usaha  TPM  membantu pemasaran produk usahawan tekno khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam bidang bioteknologi dari negeri tersebut.

"Setakat ini, selain di  TPM , Bukit Jalil, kami mempunyai dua cawangan di Raub, Pahang dan Kangar, Perlis.

"Berdasarkan permintaan tinggi di Sabah dan Sarawak, kami bercadang untuk membuka cawangan baharu di Sabah dan pembukaannya masih dalam peringkat perbincangan," katanya pada majlis sambutan  Aidilfitri  anjuran  TPM  di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK)  Bota  Kiri di sini semalam.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr. Ewon Ebin dan Ketua Pegawai Eksekutif  TPM , Datuk Mohd. Azman Sahidin.

Nasarudin berkata, setakat ini,  TPM  telah mengkomersialkan hampir 3,000 produk usahawan tekno tempatan sejak agensi di bawah Mosti itu mula diperbadankan pada September 1996.

Menurut beliau, produk-produk tersebut merangkumi bioteknologi, kejuruteraan, telekomunikasi dan kandungan serta perkhidmatan sokongan.

"Sambutan terhadap perkhidmatan  TPM  sangat menggalakkan terutama dalam bidang bioteknologi seperti produk kesihatan, makanan dan kosmetik daripada herba, rempah ratus semula jadi tempatan.

"Kita akan lebih giat lagi mempromosi aktiviti dan perkhidmatan  TPM  yang menawarkan potensi besar untuk masyarakat meneroka manfaat ekonomi," katanya.

Penduduk Kampung Balun pulihkan Surau Tinggi

SLIM RIVER - Penduduk  Kampung   Balun  di sini mengambil inisiatif membaik pulih sebuah  surau  lama berusia 90 tahun yang dikenali sebagai  Surau Tinggi  baru-baru ini.

Wakil penduduk, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata,  surau  yang dibina atas usaha pengasas  kampung  berkenaan, Mohd. Ibrahim Bujang pada 1923 itu bukan sahaja unik malah dibina sepenuhnya dengan kayu tanpa menggunakan paku.

"Namun,  surau  setinggi hampir tiga meter dan mempunyai mimbar di tengah-tengah itu ditinggalkan lebih 30 tahun atas faktor keuzuran.

"Begitupun, atas kesedaran rumah ibadat itu merupakan khazanah yang tidak ternilai dari segi sejarah dan seni bina negara, ia telah dibaik pulih," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka  Kampung   Balun  di pekarangan  Surau   Tinggi  semalam.

Majlis itu yang dijalankan serentak dengan pembukaan semula  surau  berkenaan menyaksikan hampir 200 penduduk menunaikan solat zohor dan asar secara berjemaah.

Kamarul Rashdan yang juga cicit Mohd. Ibrahim berkata, usaha baik pulih kerosakan beberapa struktur  surau  turut dibantu 13 anggota tentera menerusi program Jiwa Murni bermula awal tahun ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad memberitahu, kerja-kerja baik pulih termasuk pemasangan bekalan elektrik dan air ke  surau  tersebut siap sepenuhnya pada Ramadan lalu.

"Kami bercadang untuk menganjurkan beberapa program seperti pengajian agama dan tahfiz al-Quran pada masa terdekat bagi mengimarahkan semula  Surau   Tinggi  ini.

"Selain itu, penduduk  kampung  juga berharap Jabatan Warisan Negara dapat mempertimbangkan untuk mewartakan rumah ibadat yang diinspirasi daripada seni bina Riau, Indonesia itu sebagai salah satu bangunan warisan negara," katanya.

5,000 NGO berdaftar di Perak diselaras

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan negeri  Perak  bercadang untuk menyelaraskan lebih 5,000 badan bukan kerajaan ( NGO ) yang berdaftar di negeri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil ( NGO ) negeri, Datuk  Samsudin  Abu Hassan (gambar) berkata, semua  NGO  berkenaan akan diletakkan di bawah seliaan agensi kerajaan negeri, Institut Darul Ridzuan (IDR).

"Kerajaan negeri  Perak  mengiktiraf peranan  NGO  yang lebih dekat dan memahami hasrat dan keperluan akar umbi.

"Penyelarasan tersebut bertujuan memudahkan kerajaan negeri berhubung secara langsung dengan semua  NGO  terbabit selain pengumpulan data dan maklumat yang lebih terancang," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

 Samsudin  berkata, penyelarasan tersebut juga bagi memastikan agihan peruntukan kewangan kepada  NGO  tersebut lebih efisien.

Menurut beliau, sebagai agensi penyelaras, IDR akan berperanan memantau dan membimbing  NGO  berkenaan bagi memasti ia mempunyai hala tuju yang jelas seiring dengan agenda pembangunan negeri.

Budak 5 tahun dipercayai mangsa dera dilapor kritikal

IPOH - Kanak-kanak perempuan lima tahun yang dipercayai didera ibu kandung dilapor kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Perak, Datuk  Rusnah Kassim berkata, mangsa berada di dalam keadaan koma sejak dirawat di hospital tersebut pada Khamis lalu.

“Ketua Jabatan Pediatrik HRPB, Datuk Dr. Amar Singh memberitahu kanak-kanak perempuan tersebut kini bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan hayat.

“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman namun pemeriksaan imbasan tidak dapat dilakukan pada masa ini memandangkan keadaannya masih terlalu lemah,” katanya ketika melawat kanak-kanak malang tersebut di HRPB di sini semalam.

Menurut Rusnah, kanak-kanak itu memerlukan pemantauan selama 24 jam daripada pengawai bertugas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu abang dan adik perempuan mangsa yang berusia lapan dan dua tahun kini di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar sejak Jumaat lalu sehingga siasatan ke atas ibu bapa mereka selesai dijalankan.

“Siasatan awal terhadap kedua-dua kanak-kanak itu mendapati mereka berdua tidak kesan penderaan,” kata beliau

Akhbar kelmarin melaporkan seorang doktor HRPB, Mohd. Safwan Adnan membuat aduan kepada polis mengenai seorang pesakit kanak-kanak yang cedera teruk disyaki didera.

Susulan itu, polis menahan ibu bapa kanak-kanak terbabut yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendera.

Monday, August 19, 2013

JKM lindungi 3 beradik didera ibu kandung

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melindungi tiga beradik yang dipercayai didera oleh ibu mereka sendiri di Perak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (gambar) berkata, dua daripada kanak-kanak itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar selepas seorang lagi koma akibat dirotan.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah hari ini bagi membolehkan kanak-kanak berusia dua dan tujuh tahun berkenaan ditempatkan di bawah jagaan JKM.

"Kanak-kanak berusia lima tahun yang koma itu pula kini berada di bawah pengawasan doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),  Ipoh ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kalathoornam anjuran Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Telugu Malaysia di sini malam tadi.

Kosmo! semalam melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi mangsa  dera  ibunya setelah seorang doktor di HRPB mendapati badannya dipenuhi kesan calar akibat dipukul.

Dua lagi adik-beradiknya turut cedera.
Di  IPOH , Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis telah menahan reman ibu dan bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan semalam.

Katanya, pasangan berusia 30 dan 39 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendera.

Tuesday, August 13, 2013

Gelisah diancam habuk padi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PARIT BUNTAR – Penduduk Kampung Sungai Betul, Bagan Tiang dekat sini hidup gelisah akibat diancam masalah habuk yang datang dari sebuah kilang memproses padi sejak hampir lapan tahun lalu.
Mereka mendakwa, kediaman mereka kotor akibat dicemari habuk yang terhasil daripada pembakaran sekam padi.
Seorang penduduk, Mohd. Shaari Hussin, 47 berkata, habuk sekam yang berterbangan telah mengotori lantai, tingkap dan perabot rumah mereka hampir setiap hari.
“Kami letih kena membersihkan rumah setiap hari. Kenderaan kami yang diletak di hadapan rumah turut dipenuhi habuk.
“Hendak sidai pakaian di ampaian pun takut kotor semula. Masalah ini semakin menjadi-jadi setiap kali tiba musim menuai padi,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Abdul Majid Abdul Hamid, 40, pula berkata, habuk sekam padi itu juga telah menjejaskan kesihatan penduduk seperti penyakit kulit dan asma terutama kepada kanak-kanak.
“Ada ahli keluarga saya dan jiran mengalami penyakit gatal pada kulit dipercayai berpunca daripada habuk sekam padi.

"Justeru, saya merayu pihak berwajib khususnya Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan bagi meng- atasi masalah ini," katanya.

Mati berpelukan di dasar kolam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


BATU GAJAH – Kehilangan dua sahabat sejak dua hari lalu terjawab apabila mayat mereka ditemui di dalam sebuah kolam ikan dekat Jalan Ipoh-Lumut di sini semalam.
Mohammad Zhairii Shahuddin, 27, dan Mohd. Yati Yeop Ahmad, 42, dijumpai dalam keadaan berpelukan di dasar kolam sedalam tiga meter oleh pasukan Unit Penyelam Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah pada pukul 8.28 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam kolam berkenaan pada pagi Sabtu lalu.
Selepas 24 jam tidak pulang ke rumah, keluarga mangsa membuat laporan mengenai kehilangan mereka di Balai Polis Pusing di sini.
“Kita percaya dua mangsa itu sedang menjala ikan sebelum terjatuh dengan seorang daripada mereka cedera di kepala,” katanya kepada Kosmo!.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Isteri Mohd. Yati, Sarinah Mohd. Hatepi, 35, memberitahu, suaminya keluar rumah pada malam Sabtu lalu selepas menonton perlawanan bola sepak persahabatan antara Harimau Malaya dan Barcelona.

"Sebelum kejadian, dia singgah di rumah Mohammad Zhairii dan kemudian mereka berdua pergi ke kolam ikan tersebut pada pukul 4 pagi dengan menaiki kereta Perodua Kancil.

"Apabila suami saya tak pulang, kami sekeluarga pergi ke kolam tersebut, namun dia tidak kelihatan kecuali kereta itu sahaja," katanya ketika ditemui di rumah mayat HRPB.

Monday, August 12, 2013

Kelindan lori bebas tuduhan kes dadah menjelang raya

IPOH - Seorang kelindan lori menerima berita gembira menjelang Aidilfitri apabila dia dibebaskan daripada dua tuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mohsin Amri Adnan, 22, dari Kampung Kepayang di sini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki ganja dan heroin serta memasukkan dadah jenis delta 9-tetrahidokabinol (THC) ketika serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh di sini pada 11 Januari 2012.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nora Sharif gagal membuktikan kes prima facie.

"Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memasukkan dadah dalam badan), tiada langsung bukti dikemukakan di mahkamah," katanya ketika membaca keputusan penghakimannya semalam.

Berdasarkan fakta kes, pasukan polis yang melakukan serbuan pada pukul 4.15 petang 11 Januari 2012 menahan Mohsin di dalam sebuah bilik dan menemui sebungkus plastik yang berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 48.7 gram dan 61 gram heroin.

Mohsin yang positif mengambil THC didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan manakala hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan kedua jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohsin yang memakai baju-T belang kelabu sempat mengucapkan terima kasih kepada Madihah sebelum dipeluk oleh ahli keluarganya yang hadir mendengar prosiding tersebut.

Zambry umum tidak bertanding MT UMNO

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan untuk tidak bertanding merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan parti Oktober depan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai muka baharu menawarkan diri bagi memberi sumbangan kepada parti.

“Saya berpandangan sebagai Menteri Besar, saya menjadi ahli MT secara automatik. Kalau tidak secara lantikan pun, kami adalah ahli MT yang turut hadir.

“Walaupun sebagai ahli MT yang turut hadir, saya masih boleh menyertai dan berkongsi idea dan pandangan dalam mesyuarat MT UMNO. Itu pandangan peribadi saya,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Pemuda UMNO Perak di Dewan Besar Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini semalam.

Zambry berkata, sepanjang pengalamannya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membeza dan mengenepikan sebarang pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri biarpun berposisi sekadar MT lantikan atau yang turut hadir.

Sehubungan itu, beliau berpendapat keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang merupakan pilihan terbaik tanpa memikirkan kedudukan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda pada pemilihan parti itu nanti.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan di peringkat akar umbi dan mendapat restu daripada Zambry.

Saturday, August 10, 2013

Tiga beranak maut ketika bersiar-siar

IPOH - Hajat enam sekeluarga untuk keluar bersiar-siar berkecai apabila tiga daripada mereka maut manakala yang lain parah selepas kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 85.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Sungkai kira-kira 99 kilometer dari sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 6.20 petang itu mengakibatkan S. Angamah, 35, dan dua anak perempuannya, K. Komadhi, 11 dan K. Bavani, 16, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, suami Angamah, M. Kalimuthu, 40, serta dua lagi anaknya, K. Gayatri, 17, dan K. Mathan, 6, parah selepas kereta yang mereka naiki itu terbabas lalu merempuh kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora di laluan bertentangan.

"Mereka yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian pergi ke pekan Sungkai untuk bersiar-siar . Pemandu Proton Exora itu cedera ringan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Som Sak berkata, mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Kalimuthu dan dua anaknya yang parah turut dirawat di hospital sama.

Wednesday, August 7, 2013

Zambry bawa 113 anak angkat beli-belah

BELI-BELAH. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli membawa 113 anak angkat mereka membeli pakaian raya di pasar raya besar Mydin Meru Raya, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Zambry berkata, kesemua kanak-kanak dan remaja berusia antara 11 hingga 15 tahun itu diambil menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar Perak dikendali Yayasan Bina Upaya sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, selain diberi peluang memilih pakaian mengikut kehendak sendiri, anak-anak angkatnya yang terdiri daripada golongan miskin tegar dari seluruh Perak tersebut turut menerima duit raya sebanyak RM100.
"Semoga dengan pembelian baju raya ini, mereka sama-sama akan merasai kemeriahan Aidilfitri," katanya.

Tuesday, August 6, 2013

Kuih pencuci mulut penyeri hidangan

TIDAK lengkap rasanya jika berbuka puasa tanpa menjamah kuih tradisional. Di Kedah, tepung bungkus pasti menjadi pilihan penduduk di sana sebagai juadah pemanis mulut.

Kuih tradisi yang dibalut menggunakan daun pisang itu disusun rapi di bazar Ramadan untuk dijual.

Peniaga tepung bungkus di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, Tengku Marliena Tengku Fazali, 36, berkata, dia menjual sebanyak 300 tepung bungkus setiap hari.

Ia adalah 'air tangan' ibu mertuanya, Siti Hajar Abdullah, 54.

"Setiap hari, tepung bungkus ini habis dijual dan juadah ini dijadikan sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa," katanya ketika ditemui di Alor Setar, kelmarin.

Menurutnya, tidak sukar untuk membuat tepung bungkus, namun ia memerlukan kemahiran bagi menghasilkan kuih yang lazat.

"Ibu mertua saya memang pakar dalam membuat tepung bungkus kerana rasanya lemak manis dan kami mempunyai pelanggan tetap yang datang membeli setiap hari.

"Selain itu, tepung bungkus ibu mertua saya juga lebih tahan lama dan boleh dimakan ketika sahur jika disimpan di dalam peti sejuk," ujarnya.

Kata Tengku Marliena, antara bahan yang diperlukan untuk membuat tepung bungkus ialah tepung beras, tepung pulut, kelapa muda, santa dan gula Melaka atau gula yang dimasak.

"Harga tepung bungkus di gerai saya ialah 40 sen sebungkus atau RM2 untuk lima bungkus.

Di Perak, beberapa kuih tradisional Melayu yang hanya boleh didapati pada bulan Ramadan menjadi pilihan sebagai sajian pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Antaranya ialah kuih kalakatar yang menjadi kegemaran penduduk kaum Banjar di Parit Buntar dan Bagan Serai.

Seorang pengusaha kuih kalakatar, Noriah Nazri, 56, berkata, sajian itu adalah bingka kelapa yang berasaskan campuran tepung gandum, tepung beras dan air serta isi kelapa muda.

Menurutnya, bagi mengekalkan keaslian, kuih tradisional itu dimasak dengan cara membakarnya dengan menggunakan sabut kelapa atau dikukus.

"Kalakatar enak dimakan panas-panas sesuai dengan namanya dalam bahasa Banjar yang bermaksud 'ketika panas'," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Lain pula dengan Penduduk Kampung Gajah dan Pasir Salak kerana secara tradisi, mereka akan mencari sejenis kuih yang dipanggil cecemek sebagai manisan berbuka puasa.

Menurut seorang peniaga kuih, Suhairi Kamarudin, 34, berkata, rupa dan rasa kuih cecemek yang turut dikenali sebagai bunga durian dan buah gorah seakan-akan limas dan badak berendam.

Namun bezanya, kuih yang dibuat daripada adunan tepung pulut, santan, gula dan garam itu berbentuk berkelopak dan berlubang di tengah-tengah.

Selain itu, buah timun betik juga menjadi kegemaran penduduk sekitar Ipoh dan Perak Tengah sebagai hidangan pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Seorang peniaga, Ahmad Zawawi Abdul Rahim, 45, berkata, potongan buah yang berkulit kuning cair seperti betik tetapi biji berserat seperti timun itu dimakan bersama santan dan gula melaka.

"Timun   betik  lebih sedap dimakan sejuk dengan dicampur ketulan ais atau disimpan sejuk sementara menunggu waktu berbuka puasa," katanya.

Monday, August 5, 2013

Cerita sedih di sebalik tragedi


Oleh MOHD AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Dua anak pengasas produk kecantikan, Vida Beauty maut akibat lemas selepas terperangkap dalam rumah semi-D yang terbakar dalam kejadian di Meru Hills, Bandar Meru Raya di sini kelmarin.
Rumah tersebut yang baru siap diubah suai selepas dibeli beberapa bulan lalu oleh pengasas produk kecantikan tersebut, Datuk Dr. Hasmiza Othman dijadikan kediaman untuk sembilan pekerjanya.
Rumah itu terletak di belakang kediaman Hasmiza.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mayat dua beradik berkenaan, Muhammad Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan Muhammad Edrie Zikrie, 10, ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut. Turut maut dalam kebakaran itu ialah seorang pekerja lelaki, Mohd. Nor Syamil Zaidi, 26.

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan oleh litar pintas namun sedang menyiasat dakwaan ia berpunca akibat perbuatan membaling mercun hingga mengakibatkan kereta mewah jenis Bentley meletup dan membakar rumah.

Mengimbau kejadian itu, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, berkata, dua beradik yang merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam di sini dipelawa berkunjung ke rumah berkenaan untuk berbual selepas berbuka puasa.

Katanya, ia merupakan kunjungan pertama anak sulung dan kedua daripada empat beradik berkenaan selepas rumah itu siap diubah suai. 

Turut berada di rumah tersebut ketika kejadian itu ialah seorang lagi pekerja, Ropie Ismail, 31.

"Kami berbual-bual di tingkat atas sementara menunggu untuk mengunjungi sebuah rumah anak yatim di Air Hitam, Chemor yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumah bagi menjayakan sebuah program amal anjuran Vida Beauty.

"Ketika saya hendak turun, saya nampak api terus marak di perkarangan rumah sebelum menyambar kereta jenis Bentley dan menyebabkannya meletup," ceritanya ketika ditemui.

Tambah jurugambar dan pereka di Vida Beauty itu, dia kemudian berlari ke tingkat atas untuk memberitahu rakan-rakan dan dua beradik berkenaan mengenai kebakaran tersebut.

Menurut Khairul Anuar, ketika hendak menyelamatkan diri, peti suis utama di ruang tamu meletup menyebabkan bekalan elektrik terputus.

"Dalam keadaan kelam-kabut, saya menarik tangan dua beradik itu sambil diekori Mohd. Nor Syamil dari belakang menuruni tangga namun terpaksa berpatah balik sebab asap tebal dan sebahagian siling tingkat bawah telah runtuh.

"Ropie yang panik nekad terjun dari balkoni tingkat dua. Kami berempat pun mempunyai niat yanga sama namun kerana tidak tahan dengan asap, Mohd. Nor Syamil berpatah balik dan masuk ke bilik air tingkat yang sama," ceritanya.

Ujar Khairul Anuar lagi, dua beradik itu kemudian meronta-ronta melepaskan pegangan tangan dan mengekori Mohd. Nor Syamil.

Katanya, dia yang tiada pilihan lain kemudian turut terjun dari balkoni dan terjatuh atas kanopi sebelum terhempas ke tanah.

"Ropie patah kedua-dua belah kaki kerana terus jatuh atas tanah manakala saya pula bernasib baik tidak cedera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya akan menyiasat mengenai dakwaan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan membaling mercun hingga mengakibatkan kereta Bentley tersebut meletup.

"Setakat ini kita percaya ia berlaku akibat litar pintas. Bomba tiba lima minit selepas menerima panggilan pada pukul 9.23 malam. Selain kereta Bentley, turut musnah dalam kejadian itu sebuah kereta Perodua Kancil dan dua buah motosikal.

"Mayat ketiga-tiga mangsa tidak rentung dan mereka dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal," katanya.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu lahad di Tanah Perkuburan Meru Raya, Bandar Meru Raya di sini pada pukul 10 pagi manakala jenazah Mohd. Nor Syamil dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri.

Hasmiza yang mesra dipanggil Vida berada di Pulau Pinang ketika kejadian sebelum bergegas pulang pada pukul 11 malam. Dia enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kehilangan dua orang anaknya itu,

Hasmiza merupakan ibu tunggal dan telah bercerai dengan suaminya.

Selain Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie, Hasmiza mempunyai dua lagi anak iaitu Nur Adeline, 8 dan Eric Zakuan, 5.

Sunday, August 4, 2013

Tiga maut kebakaran rumah pengasas produk kecantikan

IPOH - Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dalam kebakaran di dalam sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan kediaman pekerja produk kecantikan, Viva Beauty di Meru Hill, Bandar Meru Raya di sini malam ini.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, lelaki berusia 20-an dan dua kanak-kanak berusia 12 tahun dan 10 tahun ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut.
Dua lagi penghuni yang berada di dalam rumah tersebut sewaktu kejadian terselamat.
Seorang daripadanya adalah pekerja lelaki berusia 27 tahun patah kaki selepas bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah berkenaan bagi menyelamatkan diri.
Kerja-kerja membawa keluar ketiga-tiga mayat masih dijalankan. - KOSMO!

Friday, August 2, 2013

Sindiket penipuan Love Scam tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kegiatan penipuan internet Love Scam yang didalangi warga Afrika seperti tidak berkesudahan apabila dua lelaki Nigeria ditahan baru-baru ini membabitkan penipuan berjumlah RM102,000.
Selain dua lelaki yang berusia 28 dan 58 tahun itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing warga Jepun dan seorang rakyat tempatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tangkapan empat suspek itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang jururawat yang berstatus isteri orang dan seorang guru wanita dua minggu lalu.

"Bertindak atas maklumat itu, kami membuat serbuan di Nilai, Negeri Sembilan dan merampas telefon bimbit, buku bank, kad bank, pasport, telefon talian tetap, sebuah modem internet serta sekotak kad nama," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, sindiket itu memerangkap mangsa melalui laman Facebook dan Twitter dengan menggunakan gambar profil palsu lelaki yang berpersonaliti menarik, kaya serta alim.

"Selepas meyakinkan mangsa, suspek memaklumkan dia akan menghantar barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

"Mangsa kemudian diminta membuat pembayaran dalam jumlah tertentu kononnya bagi melepaskan barangan itu yang telah ditahan pihak berkuasa," kata beliau.

Mohd.  Shukri  memberitahu, pemeriksaan mendapati dua lelaki Nigeria itu masuk ke Malaysia sebagai pelajar manakala wanita tempatan itu pula mengendalikan urusan akaun.

"Berdasarkan aduan, guru yang berusia 40 tahun itu mengalami kerugian RM12,000 manakala jururawat berusia 32 tahun yang masih bersuami dan mempunyai dua anak pula rugi RM90,000," katanya.

Difahamkan, jururawat itu sanggup membuat pinjaman peribadi dari bank berjumlah RM40,000 manakala bakinya pula dipinjam daripada rakan-rakan.

Empat suspek itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Thursday, August 1, 2013

Penarik kereta mati angkara persengketaan kongsi gelap

IPOH - Keseronokan tiga sahabat minum di ruang luar sebuah restoran berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya mati manakala dua lagi parah selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian yang disyaki berlaku akibat persengketaan antara kumpulan kongsi gelap kelmarin.

Polis bagaimanapun masih menyiasat kumpulan mana yang terlibat dalam kejadian itu.
Kejadian di Lebuh 5, Kampung Simee di sini pada pukul 10.15 malam itu mengakibatkan penarik kereta,  Jasrafveenderjeet  Singh, dari Taman Tambun Jaya di sini mati di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di lehernya.

Dua rakannya, Koo Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, pula cedera parah selepas masing-masing terkena tembakan di telinga dan lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika tiga rakan itu sedang minum, mereka didatangi sebuah kereta Proton Wira berwarna hijau dinaiki dua lelaki.

Katanya,  Jasrafveenderjeet , 25, kemudian bangun dari meja makan tersebut lalu menuju ke arah kereta berkenaan.

"Sebaik dia menghampiri kereta, penumpang depan kereta itu terus melepaskan empat das tembakan ke arahnya," kata Chang Keong kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dua das mengenai Loo Kong dan Sarbit Singh yang duduk berdekatan manakala satu das lagi tersasar.

Menurut Chang Keong, suspek kemudian terus melarikan diri setelah melepaskan tembakan. Siasatan mendapati penjenayah menggunakan pistol jenis automatik ekoran penemuan empat kelongsong peluru jenis Lugger 9 milimeter dan serpihan anak peluru di situ.

"Polis masih menyiasat motif kejadian namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh persengketaan antara kumpulan kongsi gelap berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh," katanya.

Mayat  Jasrafveenderjeet  dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat. Dua lagi mangsa kini stabil selepas dirawat di hospital sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pengakap Perak masak 16 periuk bubur lambuk

AGIH. Persekutuan Pengakap Malaysia cawangan Perak menganjurkan Karnival Bubur Lambuk yang diadakan di pekarangan Surau Kampung Simpang Tiga, Bidor, Perak baru-baru ini.
Pesuruhjaya Pengakap Perak, Ahmad Azam Shah Abd. Majid berkata, seramai 160 sukarelawan terdiri daripada anggota pengakap pelbagai kaum di seluruh negeri tersebut telah bergotong-royong memasak sebanyak 16 periuk bubur lambuk.
Karnival kali ketiga anjuran badan beruniform berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Datuk Shamsudin Abu Hassan.
"Sebanyak 3,000 bungkus bubur lambuk yang dimasak mengikut resipi istimewa daripada Persatuan Chef Perak itu kemudiannya diagihkan secara percuma kepada penduduk yang berada di sekitar kawasan Bidor, Tapah, Sungkai dan Slim River," katanya.