Translate

Sunday, November 19, 2023

KPDN periksa penjualan air Si Hulk di pasaran

 KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri (KDPN) akan melakukan pemeriksaan terhadap keberadaan air minuman keluaran kumpulan ajaran sesat, SiHulk di pasaran tempatan. 

Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, taktik pemasaran yang mendakwa air minuman bercampur madu tersebut boleh merawat sihir dan Covid-19 amat meragukan. 

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDN akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melakukan penguatkuasaan terhadap penjualan air Si Hulk terbabit. 

“Kita juga akan membuat siasatan berhubung iklan mengelirukan (boleh merawat sihir dan Covid-19).

 “Siasatan akan dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Jualan Rahmah peringkat Terengganu di Kuala Ibai di sini semalam. 

Sebelum ini, ajaran SiHulk yang merupakan singkatan kepada Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge telah difatwakan sesat oleh kebanyakan jabatan agama Islam negeri kerana jelas mensyirikkan Allah. 

Sebaran ajaran itu bermula dengan penjualan air minuman bercampur madu yang didakwa mampu merawat sihir dan Covid-19. 

Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pada 20 Julai lalu mengesahkan kilang pengeluaran air minuman terbabit di Johor telah ditutup ekoran penarikan sijil pengesahan halalnya. 

Fuziah berkata, sebarang janji pemasaran sesuatu produk yang mendakwa mampu menyembuhkan penyakit memerlukan sokongan saintifik dan kelulusan KKM. 

Tambah beliau, siasatan juga akan dilakukan terhadap kesahihan lesen perniagaan air minuman SiHulk tersebut memandangkan pengasasnya dikatakan sudah melarikan diri ke New Zealand.

No comments:

Post a Comment