Translate

Monday, December 27, 2010

Tragedi bas ragut nyawa ke-28

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Mangsa nahas bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Isnin lalu kini bertambah kepada 28 orang apabila seorang lagi mangsa, Darunee Songserm (gambar kecil) meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Azisman Alias berkata, Darunee, 59, atau Dariah Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.26 petang setelah seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Dia mengalami kecederaan parah di kepala dan dada telah diletakkan dalam pemerhatian di ICU hospital tersebut sejak Isnin lalu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Azisman berkata, dua lagi mangsa nahas warga Thailand iaitu Somchai Polanan, 63, dan Achara Wiwati, 36, masih dirawat di ICU hospital tersebut dan keadaan mereka juga agak kritikal.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan pada mulanya, Darunee dan anak saudaranya, Areena Songserm , 20, disenaraikan antara 27 mangsa yang terkorban dalam nahas terburuk negara itu setelah identiti mereka tertukar dengan dua mangsa lain.

Namun kesilapan itu diperbetulkan adik dan anak sulung Darunee , Aida Mohamad, 36, dan Faizal Ismail, 40, yang hadir ke HRPB untuk menuntut jenazah kedua-dua mangsa mengesahkan waris mereka masih hidup dan mengalami kecederaan parah.

Mayat 25 mangsa warga Thailand dalam nahas tersebut telah dihantar pulang ke negara mereka dengan menggunakan dua pesawat Hercules C-130 hasil inisiatif Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duagratana pada Rabu lalu.

Seorang mangsa cedera, Pramuallrat Phimpahu, 44, turut dibawa pulang ke Bangkok dengan menaiki pesawat yang sama.

Selain Pramuallrat, tiga lagi mangsa warga Thailand yang cedera iaitu Areena; Rungnapa Klungsuwan, 53, dan Suchanchira Chaiaueai, 40, dibawa pulang dengan menaiki dua buah ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hat Yai, Thailand.


Friday, December 24, 2010

Kontraktor mati ditetak


Oleh HAFIZ ABBAS dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk memanggil rakannya bekerja berkecai apabila mendapati kenalannya itu mati selepas ditetak di tengkuk dengan parang di sebuah rumah dua tingkat di Lorong Sekilau 34 di sini semalam.

Kejadian pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan seorang kontraktor, Chan Kin Wai, 45, mati dalam keadaan terbaring di ruang tamu. Ketika kejadian, isteri dan anaknya tiada di rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Pemangku Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, rakan mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an sebelum itu telah pergi ke rumah mangsa dan mendapati terdapat dua gadis bersamanya.

Tambahnya, polis yang bergegas selepas menerima laporan kemudian mendapati mangsa telah mati akibat ditetak di tengkuk. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Sementara itu di Ipoh, Perak, seorang peniaga maut akibat ditikam penyamun di kdai runcitnya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta kelmarin.

Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan V. Muniandy, 64, yang cedera di perut mati ketika perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa yang sedang menjaga kedai runcit bersama isteri dan seorang pembantu kedai didatangi dua lelaki yang menyerbu masuk premisnya.

"Mangsa ditikam selepas dia enggan menyerahkan wang dan barang berharga yang diminta dua suspek terbabit," katanya.

Katanya, tidak lama kemudian, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha RXZ terus masuk ke rumah mangsa lalu mengacukan parang ke arah kontraktor tersebut.

"Suspek kemudian menghalau ketiga-tiga mereka keluar lalu mengunci pintu. Selepas 10 minit, rakan mangsa datang semula ke rumah selepas mendapati dia tidak datang bekerja tetapi hairan apabila melihat rumah itu berkunci.

"Selepas panggilannya tidak disahut, lelaki itu yang curiga telah memecahkan pintu rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Thursday, December 23, 2010

25 mayat dihantar pulang

Oleh MOHD.AZLI ADLAN dan AQMAR ALLADAD
berita@kosmo.com.my

IPOH – Suasana pilu menyelubungi Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semasa waris 25 mangsa warga Thailand yang terbunuh dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands melakukan pengecaman mayat semalam.

Mereka yang diterbangkan dengan dua pesawat Hercules C-130 dari Bangkok, Thailand itu tiba pada pukul 11 pagi di pekarangan hospital dengan diiringi oleh Duta Thailand di Malaysia, Thana Duagratana.

Selepas proses pengecaman mayat selesai, kesemua 25 keranda yang mengandungi mayat mangsa nahas disusun di pekarangan Rumah Mayat HRPB bagi menjalani upacara keagamaan Buddha yang diketuai lima sami Tokong Wat Sri Bunyawana di sini.

Semasa upacara itu berlangsung, beberapa waris kelihatan sebak dan meraung meratapi pemergian insan tersayang.

Aummarine Kamolkunpipat yang merupakan suami kepada mangsa, Piyanon Klingchuay, 48, tidak dapat mengawal kesedihan dan memeluk keranda yang menempatkan mayat isterinya sebelum ditenangkan oleh seorang wakil Kedutaan Thailand.

Ekoran terlalu sedih dan masalah komunikasi, waris mangsa nahas enggan ditemu ramah oleh wakil media tempatan.

Thana ketika ditemui berkata, keranda kesemua 25 mangsa dibawa keluar dari pekarangan hospital pada pukul 12 tengah hari menuju ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang dengan menggunakan sebuah treler.

Menurut beliau, kesemua mayat dan waris mangsa kemudiannya diterbangkan dari Subang dengan menaiki dua pesawat Hercules C-130.

Pesawat tersebut kemudiannya berlepas dari Subang pada pukul 5 petang dan tiba di Terminal Tentera Udara Don Mueang, Bangkok pada pukul 7.30 malam hari yang sama.

"Saya mewakili Kedutaan Thailand mengucapkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia kerana memberi bantuan dan kerjasama dalam pengurusan mangsa nahas terbabit," katanya.

Jelas Thana, seorang mangsa cedera, Pramuallrat Phimpahu, 44, turut dibawa pulang ke Bangkok dengan menaiki pesawat yang sama.

Selain Pramuallrat, tiga lagi mangsa warga Thailand yang cedera iaitu Areena Songserm, 20; Rungnapa Klungsuwan, 53, dan Suchanchira Chaiaueai, 40, dibawa pulang dengan menaiki dua buah ambulans menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan disambut oleh pegawai perubatan Hospital Hatyai, Thailand.

Setakat ini, seramai enam lagi mangsa cedera warga Thailand termasuk tiga lelaki masih dirawat di HRPB dan keadaan mereka dilaporkan stabil

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Konsulat Jabatan Hal Ehwal Konsulat Thailand, Mathurapojana Ittharong pula memberitahu, seramai 30 ahli keluarga tiba dari Bangkok dengan kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga mangsa yang terkorban.

"Bagi keluarga mangsa yang selamat mereka akan tinggal selama beberapa hari lagi di Ipoh bagi menemani ahli keluarga masing-masing yang masih mendapat rawatan di hospital," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie yang turut hadir memberi penghormatan terakhir di Pangkalan TUDM berkata, beliau berharap nahas terburuk itu tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dan Thailand.

Wednesday, December 22, 2010

San Express Holiday diberi surat tunjuk sebab

IPOH - Kementerian Pelancongan menghantar surat tunjuk sebab kepada pengurusan syarikat bas San Express Holiday berikutan kemalangan maut meragut 27 nyawa yang melibatkan bas persiaran milik syarikat itu di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini kelmarin.

Setiausaha Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan, Katradhu Illah Fatiny Afandi berkata, pengurusan bas ekspres itu diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan mengenai nahas tersebut.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu. Sekiranya terbukti ada kecuaian, tindakan tegas akan diambil," katanya selepas melawat mangsa nahas tersebut yang terselamat di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof memberitahu, polis sedang menyiasat dakwaan, San Express Holiday menyewa permit bas persiaran sebuah syarikat lain yang beralamat di Jitra, Kedah.

"Polis juga akan menyemak rekod kesalahan trafik Omar Shahidan (pemandu bas). Buat masa ini, tumpuan polis lebih kepada memastikan urusan pengecaman dan penghantaran pulang mangsa yang maut," katanya.

Tinjauan Kosmo! mendapati, bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Kelihatan sepasukan pegawai penyiasat dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom) melakukan pemeriksaan ke atas rangka bas itu.

Ketua Penganalisis Nahas, Unit Pembinaan Semula Nahas Miros, Iskandar Abdul Hamid berkata, pihaknya telah diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pengangkutan untuk menyediakan laporan penuh punca kemalangan maut berkenaan.

Beliau berkata, selain menyiasat rangka bas, pasukannya juga meninjau lokasi kemalangan terbabit bagi menyediakan laporan menyeluruh tersebut.

Akhbar semalam melaporkan, 27 orang maut membabitkan 25 pelancong Thailand, pemandu bas, Omar dan pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38, setelah bas ekspres milik San Express Holiday itu terbabas dan terbalik dalam nahas ngeri yang berlaku pada pukul 11.40 pagi.

Bas bernombor pendaftaran AFX 2266 yang didakwa didaftarkan atas permit sebuah syarikat di Jitra, Kedah itu dikatakan hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit sebelum merempuh pembahagi jalan berdekatan Kampung Juang, Simpang Pulai di sini.

2 wanita cedera disangka mati

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD.AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Ahli keluarga Darunee Songserm, 59, dan Areena Songserm, 20, menangis kegembiraan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam apabila mereka yang mulanya turut disenaraikan antara 27 mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands sebenarnya masih hidup.

Identiti Darunee dan anak saudaranya, Areena yang berasal dari Pattani, Thailand bertukar dengan nama dua pelancong wanita senegaranya yang turut berada di dalam bas malang itu iaitu Malee Boonchuan dan Uraiwan Laddaklon.

Malee dan Uraiwan terkorban dalam nahas membabitkan bas ekspres dua tingkat yang membawa sekumpulan 35 pelancong dari Hatyai, Thailand melawat Cameron Highlands sejak Sabtu lalu. Namun, identiti kedua-dua mangsa itu kelmarin tidak dikenal pasti.

Adik Darunee, Aida Mohamad, 36, berkata, sebaik mengetahui nahas tersebut, dia terus menghubungi saudara-maranya di Kampung Tepang, Pattani untuk urusan pengebumian jenazah kakak dan anak saudaranya itu.

"Selepas menonton berita nahas tersebut di televisyen di Hatyai, saya hubungi anak sulung Darunee, Faizal Ismail, 40, di Pattani untuk memintanya pergi ke HRPB bagi proses pengecaman mayat dan urusan bawa pulang jenazah.

"Serentak itu saya juga minta saudara-mara buat persiapan termasuk gali liang lahad," kata wanita itu ketika ditemui Kosmo! di Rumah Mayat HRPB di sini semalam.

Aida memberitahu, setibanya di HRPB pagi semalam, dia kemudian menyemak senarai nama penumpang yang terkorban dan nampak nama Darunee dan Areena yang ditulis pada senarai nama mangsa yang terkorban di papan kenyataan di luar Rumah Mayat HRPB.

"Saya dan Faizal yang sedih kemudian menunggu untuk membuat pengecaman mayat sebelum tiba-tiba diberitahu oleh petugas hospital bahawa ada kemungkinan dua mayat yang mulanya didakwa sebagai Darunee dan Areena mungkin tersalah orang.

"Kami kemudian disyorkan agar mengecam seorang mangsa wanita belum dikenal pasti identiti yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Dia dan Faizal yang kemudian bergerak ke wad HRPB dan merasa amat lega apabila wanita yang cedera itu merupakan Darunee .

Lebih menggembirakan, tidak berapa lama selepas itu, mereka kemudian dibawa mengecam Areena yang juga cedera.

"Kami belum bercakap dengan Darunee yang masih koma manakala Areena pula belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pada kaki kanannya yang cedera," kata Aida.

Sementara itu, Faizal pula berkata, biarpun berdebar-debar ketika diminta mengecam seorang mangsa cedera, dia dan ibu saudaranya kemudian menarik nafas lega apabila mendapati wanita itu benar-benar ibunya

Bagaimanapun, katanya, dia sayu dengan keadaan ibunya yang masih koma dan badan penuh wayar kerana mangsa cedera teruk di kepala dan dada.

"Doktor kata ada darah beku pada kepala ibu. Saya bersyukur ibu terselamat dan perkara ini bagaikan mati hidup semula," katanya.

Sementara itu, bapa Areena, Nasir Ismail berkata, dia sukar menerima hakikat bahawa anak bongsunya itu dilaporkan terkorban menerusi berita di televisyen kerana pada pukul 3 petang kelmarin Areena ada menghubunginya dan memaklumkan dia hanya cedera di kepala dan kaki.

Ketika menunggu di luar Rumah Mayat HRPB, dia, Aida dan Faizal kemudian didatangi petugas hospital yang meminta mereka membuat pengecaman terhadap dua mangsa yang cedera.

"Saya terus mengikut petugas hospital dan amat bersyukur apabila mangsa yang cedera itu ialah Areena," katanya.

Areena merupakan penuntut tahun tiga jurusan Undang-Undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat, Thailand.

Cuai, bas rosak punca nahas

IPOH - Polis menolak dakwaan permukaan jalan licin atau ada tompokan minyak menjadi punca kemalangan terburuk yang meragut 27 nyawa mangsa yang menaiki sebuah bas ekspres dua tingkat yang terbalik di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, hasil siasatan mendapati, keadaan jalan di sekitar lokasi berlaku kemalangan itu baik, kering dan tiada tompokan minyak.

"Anggota bomba dan polis yang sampai awal ke tempat kejadian selepas mengetahui nahas itu mendapati permukaan jalan kering.

"Jadi siasatan awal punca nahas berkemungkinan berpunca daripada kecuaian pemandu atau berlaku kerosakan mekanikal pada bas itu," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan lanjut mengenai punca sebenar tragedi itu akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom).

Kata Zakaria, polis sedang menyiasat dakwaan bahawa pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38, yang turut terbunuh dalam tragedi itu adalah pemandu kedua bas tersebut.

"Jika benar Soontorn pemandu kedua, kita kena semak kelayakannya sebagai pemandu bas ," ujar beliau.

Sebelum itu, waris Omar Shahidan, 48, Aswadi Baharuddin, 31, mendakwa pemandu bas persiaran yang terbunuh itu didakwa pernah meluahkan kebimbangannya mengenai keadaan jalan raya di lokasi kemalangan.

Aswadi mendakwa, Omar merungut jalan raya di kawasan kemalangan tersebut licin seperti ada tumpahan minyak sehingga bas yang dipandunya pernah hampir terbabas beberapa kali sebelum ini.

"Omar sudah lebih 10 tahun menjadi pemandu bas dan sudah kerap kali membawa pelancong ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

"Mustahil arwah tidak mengetahui keadaan jalan berselekoh di situ kerana ini bukan kali pertama dia memandu bas ke kawasan peranginan itu," dakwanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini lewat malam kelmarin.

Saturday, December 18, 2010

Terlepas hukuman tambahan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie, 56, terselamat daripada menerima hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan ekoran gagal membayar denda setelah permohonannya untuk menangguhkan pembayaran denda itu dalam tempoh sebulan dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Tan Hooi Leng memutuskan demikian setelah mengambil kira rekod baik Hassan Basri sepanjang 30 tahun dalam perkhidmatan awam selain kerjasama baiknya dalam tempoh perbicaraan.

Hooi Leng bagaimanapun menetapkan beberapa syarat tambahan untuk dipatuhi oleh Hassan Basri seperti wang jaminan dinaikkan kepada RM105,000 berbanding RM35,000 sebelum ini.

“Wang jaminan dinaikkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan (tujuh pertuduhan), perintah penahanan dokumen perjalanan kekal dan tertuduh perlu menandatangani bon jaminan dengan seorang penjamin.

“Selain itu, tertuduh juga dikehendaki membayar wang pendahuluan bayaran denda sebanyak RM25,000 pada hari ini (semalam) seperti dipersetujui,” jelas beliau dalam penghakiman bertulis di sini semalam.

Sebelum itu, peguam bela tertuduh, Rangit Singh mem buat rayuan agar hukuman denda RM210,000 yang se patutnya diselesaikan pada hari jatuh hukum iaitu Rabu lalu ditangguhkan dalam tempoh sebulan.

Pada Rabu lalu melaporkan Hassan Basri dijatuhi hukuman penjara penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak.

Bagi kesalahan meminta rasuah iaitu pertuduhan per tama, ketiga dan kelima, Hassan Basri dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala bagi kesalahan menerima rasuah iaitu pertuduhan kedua, keempat, keenam dan ketujuh di tuduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Rangit memberitahu Hassan Basri tidak mampu membayar keseluruhan jumlah denda itu sekali gus dan bercadang untuk mencagar sebahagian aset dia dan isteri seperti rumah, restoran dan sebidang tanah.

“Urusan mencagar aset terbabit kepada pihak bank memerlukan masa dan saya mohon anak guam saya diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

“Keluarga anak guam saya juga bersetuju untuk mem bayar RM25,000 pada hari ini (semalam) bagi menjelaskan sebahagian denda tersebut,” jelasnya.

Hooi Leng bagaimanapun membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dengan wang jaminan RM35,000 dikenakan namun memerintahkan tertuduh membayar denda RM210,000 pada hari berkenaan.

Friday, December 17, 2010

Menu menyelerakan sambut Krismas

IPOH - Sempena sambutan hari Krismas dan Tahun Baru 2011 tidak lama lagi, Hotel Heritage di sini menampilkan pelbagai set hidangan istimewa kepada tetamu.

Eksekutif Perhubungan Awamnya, Shamsidar Mohamad Khirudin berkata, bagi set hidangan makan malam Krismas pada 24 Disember ini, sebanyak 44 menu makanan ala barat dihidangkan di samping menu tradisi perayaan tersebut iaitu ayam belanda panggang.

“Antara hidangan lain ialah kambing panggang, sotong goreng mentega, filet ikan masak masam-manis, ayam panggang dan sup ayam herba.

“Setiap pelanggan akan menerima sebungkus biskut halia secara percuma dan mereka akan dihiburkan dengan telatah Santa Claus serta persembahan nyanyian daripada anak yatim dari sekitar Ipoh,” katanya pada sidang akhbar berhubung promosi set hidangan Krismas dan Tahun Baru di sini semalam.

Menurut Shamsidar, set hidangan secara buffet untuk majlis makan malam sempena Krismas dan Tahun Baru itu bernilai RM68 seorang.

Selain itu, bagi sambutan Tahun Baru 2011 pula iaitu pada malam 31 Disember ini, kira-kira 39 menu makanan istimewa termasuk sup sirip yu dengan isi ketam akan dihidangkan secara buffet.

“Antara hidangan lain yang bakal disajikan nanti ialah stew kambing, udang goreng mentega, asam pedas tenggiri, rendang daging pedas dan sotong goreng kunyit.

“Sejurus detik 12 tengah malam, sebanyak 300 belon berwarna-warni akan dilepaskan dari bumbung hotel kami yang setinggi 10 tingkat bagi meraikan kedatangan 2011,” katanya.

Menurutnya, tempahan boleh dibuat menerusi talian 05-242888 atau melayari laman web www.heritage .com.my.

Tiket kereta api ETS terus dari Ipoh ke KLIA

IPOH - Orang ramai kini boleh menggunakan perkhidmatan kereta api terus dari bandar raya ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor dengan tiket bersepadu perkhidmatan tren elektrik (ETS)-KLIA dan ETS-LCCT mulai semalam.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan berkata, dengan tiket tersebut, pengguna kini boleh menggunakan kemudahan ETS dan Express Rail Link (ERL) untuk menuju kedua-dua lapangan terbang tersebut dengan satu tiket sahaja.

Katanya, tiket bersepadu itu boleh dibeli di kaunter ETS Stesen Keretapi Ipoh di sini dan Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur tanpa perlu membuang masa beratur di kaunter ERL untuk membeli tiket lain.

"Bagi perkhidmatan ke LCCT pula, pengguna akan turun di perhentian Salak Tinggi dan dibawa ke LCCT dengan bas.

"Kerjasama strategik antara KTMB dan ETS ini memudahkan pengguna dan pelancong menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara dan melakukan perjalanan jarak jauh dalam keadaan selesa, selamat dan jimat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran tiket bersepadu ETS-KLIA yang disempurnakan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL), Noormah Mohd. Nor.

Aminuddin berkata, sepanjang tempoh promosi sehingga 28 Februari dengan, tambang perjalanan sehala Kuala Lumpur-Ipoh adalah RM65 (dewasa) dan RM34 (kanak-ka nak) manakala tambang yang dikenakan untuk Ipoh-LCCT pula adalah RM42.50 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak).

“Pengguna juga akan mendapat penjimatan masa kerana perjalanan dari Ipoh ke KLIA hanya mengambil masa kira-kira dua jam 45 minit.

Perkhidmatan ETS Ipoh-KL Sentral menyediakan enam tren sehari dari pukul 4 pagi hingga 8.47 malam manakala tren ERL ke KLIA dan LCCT boleh dinaiki di KL Sentral pada setiap 20 minit bermula 5.33 pagi setiap hari.

Thursday, December 16, 2010

Pegawai polis maut helikopter terhempas

KAMPAR - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang menjalani latihan penerbangan maut apabila helikopter jenis R-44 yang dipandunya secara solo terhempas lalu terbakar di sebuah bekas lombong berhampiran Estet Liang Kee, Malim Nawar dekat sini semalam.

Kejadian pukul 2.15 petang itu mengakibatkan Mohd. Sukri Osman, 31, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian tubuhnya dari paras pinggang ke atas hangus.

Seorang pemandu lori pasir, P. Chandrasegaran, 51, berkata, dia melihat helikopter itu terbang rendah lalu terhempas .

"Ia kemudian terpelanting sejauh 10 meter sebelum meletup dan terbakar," ceritanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi saksi, Wilfred Robert, 20, berkata, helikopter terbabit meletup dan terbakar sejurus terhempas menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri.

"Saya dan beberapa rakan cuba menghampiri rangka helikopter beberapa minit selepas terbakar tetapi gagal selamatkan mangsa," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, Mohd. Sukri merupakan salah seorang daripada lapan anggota PDRM yang sedang mengikuti kursus latihan penerbangan di Integrated Training & Services Sdn. Bhd. selama enam bulan sejak September lalu.

Beliau berkata, semasa kejadian mangsa sedang melakukan latihan pendaratan tempur dari pusat latihan penerbangan yang berpangkalan di Ipoh.

"Mohd. Sukri telah melakukan 35 jam penerbangan dan nahas terbabit merupakan penerbangan solo kelima mangsa. Helikopter itu dikatakan mengalami masalah mekanikal," katanya.

Mohd. Sukri dari Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Pulau Pinang meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Wednesday, December 15, 2010

Balasan makan duit haram

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Senario di Mahkamah Sesyen di sini semalam berbeza apabila seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang sebelum ini bertanggungjawab menghukum pesalah, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Hassan Basri Shapie, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti pihak pendakwaan atas semua pertuduhan yang dilakukan tertuduh sekitar 7 Ogos 2006 hingga 6 September 2007.

Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak. Namun Hassan Basri bakal berhadapan hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia adalah hakim Mahkamah Syariah pertama yang didapati bersalah dalam pertuduhan rasuah.

Difahamkan, semasa ditahan, Hassan Basri berada pada kedudukan kedua dalam pengurusan Mahkamah Tinggi Syariah Perak di belakang Ketua Hakim Syarie Perak, Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Hooi Leng dalam penghakiman bertulisnya memberitahu, hujah pembelaan bahawa wang yang diserah saksi kelapan (Mohamad Imran Abdullah) kepada tertuduh sebagai bayaran menyelesaikan hutang tidak dapat diterima.

"Hujah itu tidak disokong dengan apa-apa bukti sedangkan penglibatan tertuduh dalam kes tersebut telah terbukti sejak awal," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh meminta rasuah RM6,000 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan melepaskan seorang pengusaha pusat hiburan, Yoong Hor Kit yang terlibat dengan lima kes jenayah syariah iaitu menggaji pegawai perhubungan pelanggan (GRO) beragama Islam.

Kedua-duanya dilakukan di sebuah restoran di Tambun di sini pada 15 Ogos 2007 dan tempat letak kereta Taman D. R. Seenivasagam di sini pada 6 September 2007.

Bagi kesalahan ketiga dan keempat, dia meminta suapan RM30,000 daripada Hor Kit melalui Mohd. Sharif Abdul Ghani di bangunan Persatuan Menembak Perak di sini pada pukul 8.30 dan 11 malam pada 7 dan 9 Ogos 2006.

Pertuduhan kelima dan keenam, dia sekali lagi meminta dan menerima rasuah RM2,200 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan membantu menyelesaikan kes poligami tanpa prosedur di sebuah restoran di Tambun dan di tepi sebuah hotel di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini pada 15 dan 17 Ogos Ogos 2007.

Ketujuh pula, dia menerima rasuah RM1,100 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu lagi kes poligami tanpa prosedur di tempat letak kereta Taman D.R. Seenivasagam pada 6 September 2007.

Bagi kesalahan meminta rasuah iaitu pertuduhan pertama, ketiga dan kelima, Hassan Basri dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala bagi kesalahan menerima rasuah iaitu pertuduhan kedua, keempat, keenam dan ketujuh di tuduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sehubungan itu, bagi pertuduhan pertama dan kedua, Hooi Leng memerintahkan Hassan Basri dihukum penjara enam tahun dan denda RM30,000. Pertuduhan ketiga dan keempat, Hooi Leng memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM150,000. Kesemua hukuman itu dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia dijatuhi hukuman penjara hukuman penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Hooi Leng. Sementara itu, bagi pertuduhan ketujuh pula, hakim memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun tahun dan denda RM10,000.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, isteri dan seorang anak perempuan Hassan Basri kelihatan menitiskan air mata namun tertuduh yang berada di dalam kandang mahkamah kelihatan tenang dan sempat merayu hakim terlibat agar menegakkan keadilan.

"Saya harap mahkamah dapat melaksanakan keadilan. Semasa kejadian saya tidak pakai tali pinggang jadi macam mana saya boleh selitkan duit di situ. Berkenaan kes poligami pula, itu adalah arahan Ketua Hakim (Abdul Aziz)," dakwanya.

Hooi Leng membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dengan wang jaminan RM35,000 dikenakan namun memerintahkan tertuduh membayar denda RM210,000 semalam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam T. Shan mewakili Hassan Basri.

Enam pendaki sesat ditemui selamat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Keriangan 10 pendaki untuk menawan puncak Gunung Chabang yang mempunyai ketinggian 1,219 meter berhampiran Pos Slim, Simpang Pulai dekat sini bertukar mimpi ngeri apabila enam daripada mereka tersesat ke dalam hutan kelmarin.

Enam daripada ahli kumpulan ekspedisi itu termasuk tiga pelajar institusi pengajian tinggi tersasar kira-kira 18 kilometer (km) dari kaki gunung ketika empat lagi sudah berada di puncak pada pukul 11.30 malam.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditemu dalam keadaan selamat oleh pasukan pencari dan penyelamat semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, enam pendaki yang tersesat ialah Yaul Ken Min, 26, Teo Guan Yew, 19, Jea Jie Kong, 36, Michelle Kong, 21, Lin Yen Yin, 33, dan Koh Yin Meng, 25.

"Kumpulan ekspedisi ini dari Kuala Lumpur termasuk Yen Yin warga China mula memasuki Gunung Chabang dari perkampungan Orang Asli, Pos Slim pada kira-kira 6 petang kelmarin.

"Mereka membentuk dua kumpulan dan ketika kumpulan pertama dianggotai Woon Boo Siong, 26, Keoh How Goek, 42, Ng Peak Hin, 34, dan Lee Kooi Zie, 52, sampai di puincak, kumpulan kedua tidak sampai-sampai dan gagal dikesan," katanya di sini semalam.
Azisman berkata, Hoe Geok yang bimbang tentang keselamatan enam rakan mereka telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang kemudiannya menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat bersama-sama polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurut beliau, gerakan mencari dan menyelamat dianggotai 25 orang dimulakan pada pukul 9 pagi semalam dan berjaya menjumpai mangsa di kawasan sungai kira-kira 10 km dari Pos Slim dalam keadaan keletiahan pada pukul 1.27 petang.

"Semua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan kecuali Michelle yang terpaksa dipapah anggota penyelamat kerana mengalami kekejangan otot.

"Dia merupakan mangsa terawal dapat dikeluarkan dari hutan pada pukul 6 petang dan baki sembilan pendaki keluar secara beransur-ansur sehingga pukul 8 malam dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Gunung Chabang yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa terletak di sempadan Perak dan Pahang dan pendaki dalat melihat pemandangan Gopeng, Batu Gajah, sebahagian Ipoh dan Cameron Highlands dari puncak gunung tersebut.

Tuesday, December 14, 2010

Penumpang dakwa bas dipandu laju

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bas Institut Kemahiran Mara ( IKM ) Jasin yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 304.5 Lebuh Raya Utara-Selatan hala selatan dekat Gopeng kelmarin didakwa dipandu laju.

Seorang mangsa, Nur Azmah Harun, 22, berkata, semasa menuruni laluan dari Cameron Highlands melalui Simpang Pulai dekat sini bas itu gagal dikawal.

"Pemandu bas menjerit memengatakan brek gagal berfungsi dan kami yang panik turut menjerit. Bas yang dipandu laju itu kemudian terbabas dan terbalik ke dalam parit besar berhampiran bahu jalan.

"Sejurus kemudian pandangan saya kabur dan sakit di bahagian dada. Saya hanya dapat keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas dengan bantuan rakan-rakan lain," ceritanya ketika ditemui di Wad 2B, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Nur Azmah yang merupakan pelajar tahun akhir Sijil Lukisan Mekanikal IKM Jasin patah tulang rusuk kiri dan dipindahkan ke hospital berkenaan dari Hospital Tapah pada awal pagi semalam.

Beliau memberitahu, mereka dalam perjalanan ke Jasin selepas menghadiri majlis makan tengah hari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IKM Jasin di sebuah hotel di Cameron Highlands.

Selain Nur Azmah yang merupakan Bendahari JPP IKM Jasin , turut cedera parah ialah Nur Izrin Abdul Hamid, 22, yang patah tangan kiri dan kini ditempatkan di Hospital Tapah.

Kosmo! semalam melaporkan tiga pelajar IKM Jasin parah apabila bas yang dinaiki terbabas dan terbalik di KM 304.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.

Kejadian pada pukul 6 petang itu membabitkan bas yang membawa 41 penumpang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan anggota keluarga mereka serta lima pemandu.

Saturday, December 11, 2010

Rumah tergadai kerana hutang RM1,000

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara meminjam wang RM1,000 daripada ah long, seorang wanita bukan sahaja terpaksa menanggung beban hutang RM60,000 malah lot rumah kedai milik ibunya juga hampir tergadai.

Tang Yoke Kum, 29, berkata, dia meminjam wang tersebut daripada ah long pada pertengahan tahun lalu selepas berhadapan dengan masalah perniagaan restoran.

"Setelah diluluskan, ah long tersebut menyerahkan wang tunai RM650 dan selepas itu saya mula membayar hutang mengikut jadual tetapi kadar bunganya begitu tinggi dan tidak habis-habis biarpun sudah lebih RM2,000 dijelaskan.

"Apabila saya tidak mampu lagi bayar berikutan restoran yang terpaksa ditutup, ah long terbabit beritahu hutang saya sudah berjumlah RM7,000 pada April lalu," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah di sini semalam.

Yoke Kum mendakwa, ah long terbabit kemudian berjanji membantunya membuat pembiayaan peribadi di institusi kewangan berlesen bagi menyelesaikan hutangnya.

Dia juga diminta ah long itu supaya menipu pegawai bank terbabit dengan memohon pembiayaan RM60,000 kononnya untuk membuka perniagaan.

“Saya dan ibu juga diminta menandatangani pelbagai dokumen di sebuah pejabat guaman di sini. Sebab terdesak, kami akur dengan saranan ah long itu.

“Rupa-rupanya lot rumah kedai milik ibu di Sungai Siput sudah dicagar atas nama salah seorang ah long tersebut. Saya bukan sahaja tidak dapat duit tetapi hutang juga meningkat kepada RM60,000,” katanya.

Yoke Kum berkata, paling menakutkan apabila dia pernah diserang dua orang ah long dengan parang dan di gugut supaya membayar baki hutangnya di rumahnya di Taman Wang di sini pada pukul 9.30 malam, 11 November lalu.

Ekoran kejadian itu dia yang ketakutan telah mening galkan rumah dan berhenti kerja sebagai tukang masak.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Menglembu di sini ekoran serangan itu. Sekarang saya bimbang keselamatan diri dan keluarga dan berharap lot rumah kedai milik ibu saya tidak bergadai,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ravi berkata, sepanjang tahun ini pihaknya telah menerima tiga kes yang hampir sama dengan Yoke Kum apabila ah long terbabit menyasarkan individu yang berhadapan dengan masalah kewangan sebelum memujuk mereka memohon pinjaman dengan institusi kewangan berlesen.

“Aset mangsa yang dicagar dimanipulasi untuk kepentingan ah long. Kami percaya sindiket ah long ini bekerjasama dengan pejabat guaman tertentu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.


Thursday, December 9, 2010

Orang ramai serbu balai polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sejak kadar diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diumumkan pada 1 Disember lalu, Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini tidak menang tangan melayan pengguna yang ingin menjelaskan saman tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, setiap hari hampir 300 pengguna datang untuk berbuat demikian.

Ekoran itu, katanya, pihaknya berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM1 juta dalam tempoh berkenaan.

“Purata kutipan bayaran saman di Unit Trafik IPD Ipoh adalah RM35,000 sehari.

“Malah ada seorang pesalah saman trafik hadir untuk menjelaskan 50 keping saman sekali gus di sini beberapa hari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan pembayaran saman trafik oleh orang ramai di Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.

Azisman berkata, beliau percaya kesesakan unit trafik itu berkaitan dengan pengumuman tawaran kadar diskaun sehingga 50 peratus ke atas saman trafik PDRM baru-baru ini.

Bermula 1 Disember lalu, PDRM menawarkan kompaun munasabah saman trafik dengan kadar insentif sehingga 50 peratus bagi semua saman trafik mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.

Saman yang diselesaikan dalam tempoh 15 hari dari tarikh tersebut akan diberikan insentif 50 peratus daripada kadar kompaun terbenar.

Jika saman itu diselesaikan dalam tempoh 16 hingga 30 hari akan diberikan insentif 30 peratus.

Menurut Azisman, orang ramai juga mengambil kesempatan daripada penerimaan bonus dan saguhati pada akhir tahun untuk menjelaskan saman trafik bagi mengelakkan daripada disenarai hitam sebelum 28 Februari tahun depan.

“Kami memantau dan akan mengambil beberapa langkah tertentu untuk mengurangkan kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Majid Zakaria, 32, berkata, beliau beratur hampir sejam setengah untuk menjelaskan sebanyak lima saman trafik yang bernilai RM750.

"Saya ambil cuti tahun semata-mata untuk menyelesaikan saman trafik. Harap selepas ini IPD Ipoh dapat menambah kaunter pembayaran bagi mengurangkan kesesakan," katanya.


Tuesday, December 7, 2010

Edar ganja: 3 terlepas tali gantung

IPOH - Tiga jurukimpal terlepas daripada tali gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi disini semalam daripada tuduhan mengedar ganja seberat 13.4 kilogram (kg) kira-kira lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman memerintahkan Shahronizam Mat Yusoff, 36, Zamli Zakaria, 39, dan Abdul Shukor Abdul Hamid, 45, dibebas setelah pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan terhadap fakta pendakwaan.

Hassan berkata, walaupun pada awalnya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie tetapi setelah empat saksi pembelaan dipanggil, pihak pendakwaan telah menimbulkan keraguan munasabah.

"Pihak pembelaan secara konsisten meyakinkan mahkamah bahawa barang kes (ganja) yang ditemui dalam serbuan tersebut adalah milik seorang individu bernama Ishak Osman.

"Lompong tersebut bagaimanapun gagal ditangani pihak pendakwaan," jelasnya ketika membaca penghakiman bertulisnya di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes, Shahronizam, Zamli dan Abdul Shukor ditahan di tempat letak kereta berhadapan sebuah klinik di Jalan Ria, Parit Buntar dekat sini kira-kira pukul 2 pagi pada 19 Ogos 2005.

Dalam serbuan tersebut, Ishak telah berjaya melepaskan diri daripada kepungan polis namun kemudian ditahan di rumahnya di Pulau Pinang beberapa hari selepas itu.

Pemeriksaan di dalam kereta milik Shahronizam pula menemui sebuah beg yang mengandungi ganja seberat 13.4kg yang dipercayai mahu diedarkan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (c) Akta Dadah Berbahaya dibaca bersama Seksyen 39B (2) yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Biarpun pihak pendakwaan berhujah individu bernama Ishak tidak wujud namun pihak pendakwaan membuktikan sebaliknya dengan memanggil menantu lelaki itu iaitu Zurni Zakaria sebagai salah seorang saksi pembelaan.

Zurni kemudian mengakui Ishak turut bersama tiga tertuduh pada malam kejadian tetapi berjaya melepaskan diri.

Menurut saksi pembelaan itu, bapa mertuanya diberkas polis beberapa hari kemudian dan ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 dan ditempatkan di Pusat Tahanan Muar, Johor.

Namun Ishak tidak dituduh bersama-sama Shahronizam, Zamli dan Abdul Shukor ketika ketiga-tiga tertuduh terbabit dihadapkan buat kali pertama atas tuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi Taiping pada 16 Ogos 2006.

Monday, December 6, 2010

Dulu kecil-kecilan kini ada kilang sendiri

Roti, kek Norhasimah semakin dikenali

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bermula sekadar mengambil tempahan membuat kek dan biskut raya daripada kenalan rapat, perniagaan Norhasimah Abdul Karim berkembang sehingga kini memiliki sebuah kilang membuat kek dan roti di Kawasan Industri Mara (KIM), Tambun di sini.

Selain aneka kek, kilang Norzan Bakeri dan Kek yang dibuka sejak 2005 itu menghasilkan pelbagai produk seperti piza, roti Arab, roti mini Arab, roti John, roti kacang merah, roti kaya, donut, bun dan roti sosej.

Norhasimah berkata, pada mulanya perniagaan yang diusahakan sejak tahun 1989 itu hanyalah secara kecil-kecilan dan ia dibuat di rumahnya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta di sini.

“Memandangkan permintaan terhadap produk tersebut semakin meningkat dan saya yakin ia berpotensi untuk diceburi secara serius, jadi saya mula menyertai kursus pembuatan roti di sebuah kilang roti di Batu Caves, Selangor selama dua bulan pada 2003.

“Selepas itu, saya memberanikan diri mengeluarkan modal RM50,000 daripada simpanan sendiri untuk membuka kedai roti dan kek di Bandar Baru Bercham di sini pada bulan Jun tahun sama,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Norhasimah menjelaskan, sejak itu perniagaannya berkembang baik hingga beliau membuat keputusan untuk membuka kilang membuat kek dan roti di KIM Tambun di sini.

Menurutnya, pelbagai kek keluarannya dijual pada harga antara 80 sen hingga RM8 sementara aneka roti pula berharga di antara 50 sen hingga RM4.50.

“Produk yang paling laris setakat ini ialah roti Arab yang dijual RM4.50 bagi satu pek dengan purata jualan bulanan mencecah RM50,000.

“Selain pasaran Perak, roti dan kek keluaran Norizan Bakeri dan Kek kini boleh didapati di Johor Bahru, Melaka dan beberapa kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan,” katanya.

Selain itu, Norhasimah menjelaskan, beliau juga telah membuka empat cawangan kedai kek dan bakeri di Taman Klebang Jaya, Chemor, Medan Gopeng dan Terminal Makanan Negara (Teman) Perak, Gopeng di sini.

Thursday, December 2, 2010

Zulkifli tamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Perak

SERAH TUGAS. Datuk Zulkifli Abdullah melepaskan jawatan sebagai Ketua Polis Perak pada Majlis Serah Tugas di Mes Pegawai Polis Perak di Ipoh baru-baru ini.

Jawatan Ketua Polis Perak dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof dalam majlis yang disaksikan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Ghazali Mohd. Amin.

Zulkifli yang menerajui Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak selama tiga tahun empat bulan telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, saya amat seronok dan puas berkhidmat di Perak berikutan kerjasama erat daripada semua anggota polis terutama 15 Ketua Polis Daerah di negeri ini," katanya.

Konvoi KL3 jelajah utara tanah air

KONVOI. Seramai 100 pemilik kenderaan pelbagai guna Nissan Grand Livina dari seluruh negara menyertai Kembara Livina Tiga (KL3) dari Kuala Lumpur ke Bukit Merah Laketown Resort, Perak baru-baru ini.

Pengurus KL3, Mohd. Khazaie Che Ismail berkata, konvoi terbesar anjuran portal Mylivina itu turut disertai seramai 420 ahli keluarga pemilik kenderaan terbabit.

Beliau memberitahu, Petronas Dagangan Berhad menjadi penaja utama yang menanggung kos perbelanjaan petrol peserta sepanjang kembara terbabit.

Dalam perjalanan, peserta KL3 singgah di Stesen Minyak Petronas Jelapang Dua, Ipoh dan menerima sambutan meriah daripada Pengurus Wilayah Utara Dua Petronas, Mohd. Aaznan Darus.

Sidang DUN Perak kecoh lagi

IPOH - Kekecohan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berulang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S. Kesavan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) digantung daripad menghadiri keseluruhan perjalanan Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga sidang berkenaan yang bermula semalam.

Tindakan diambil setelah ADUN pembangkang itu membuat kecoh apabila tidak berpuas hati dengan soalan lisan yang dihantarnya tidak dijawab kerana kesuntukan waktu.

Dalam sesi soalan yang diberi notis selama kira-kira sejam bermula 10.10 pagi itu, hanya tujuh soalan lisan sempat dijawab oleh wakil kerajaan dan soalan Kesavan merupakan soalan ke-23.

Walaupun Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan memberitahy Kesavan boleh menyuarakan soalan lisannya semasa sesi pembahasan bajet atau mendapatkan jawapan bertulis namun beliau tetap tidak berpuas hati.

Tindak-tanduk Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu yang terus menjerit-jerit menyebabkan Ganesan mengambil keputusan menghalau beliau keluar daripada Dewan dan mengantungnya selama sehari pada pukul 11.19 pagi.

Namun Kesavan enggan patuh kepada arah tersebut serta tidak memberi kerjasama kepada bentara bertugas menyebabkan Datuk Mohamad Zahir Khalid membawa usul agar wakil rakyat pembangkang itu digantung daripada terus menghadiri keseluruhan persidangan tersebut.

Usul berkenaan cuba dibantah beberapa ADUN pembangkang lain terutama Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) yang kemudian mencadangkan agar keputusan dilakukan secara undi belah bahagi.

Hasilnya, keputusan majoriti bersetuju dengan usul penggantungan Kesavan yang pada awalnya tetap enggan patuh tetapi akhirnya keluar dari Dewan setelah dinasihat oleh beberapa ADUN pembangkang kira-kira pukul 12 tengah hari.

Tuesday, November 30, 2010

Usahawan diserang sakit jantung ketika memandu

KUALA LUMPUR - Keasyikan seorang usahawan dari Shah Alam memandu keretanya berakhir dengan tragedi apabila dia mati selepas dipercayai diserang sakit jantung sebelum kenderaannya itu terbabas ke dalam longkang di kawasan Kajang Utama dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu berlaku ketika Gan Teck Sin, 41, yang lebih dikenali sebagai Eric memandu kereta jenis Mercedes Benz warna perak miliknya bersendirian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian, kereta yang dipandu mangsa sedang menuruni bukit di kawasan berkenaan.Katanya, kereta mangsa hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terhumban ke dalam longkang sedalam 20 meter.

"Polis percaya ketika kejadian jalan tersebut basah dan licin menyebabkan kenderaan mangsa berpusing-pusing sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran," katanya ketika dihubungi semalam. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Padang Besar, Perlis, Mohd. Faizal Saidin, 25, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Bukit Keteri dalam kejadian pukul 8.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Keteri ke Padang Besar cuba mengelak sebuah bas yang sedang berundur menyebabkan kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Di Ipoh, Perak pula, seorang kelindan treler terbunuh, manakala pemandunya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 12 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.55 malam tadi, D.Ramarao @ Demudoo berusia 35 tahun dan berasal dari Taman Jati, Jelapang di sini.Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Monday, November 29, 2010

Polis bongkar 100 premis judi haram di Ipoh

IPOH - Tembelang satu sindiket yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer terancang di 100 buah premis di sekitar bandar ini terbongkar selepas polis menyerbu dua buah pusat judi haram di Taman Bercham Indah di sini semalam.

Serbuan pada pukul 4 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman itu dapat menahan seorang penyelia premis berusia 26 tahun.

Pegawai Operasinya, Supritendan Maszely Minhad berkata, hasil soal siasat, polis kemudian mendapat senarai keseluruhan premis judi sindiket tersebut. Senarai itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan susulan.

"Selain merampas sebanyak 65 buah mesin judi daripada dua premis itu, kita juga menahan tiga pekerja, enam pelanggan termasuk seorang wanita dan seorang penyelianya berusia antara 30 dan 46 tahun.

"Kita turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM1,321," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, kedua-dua premis tersebut menawarkan lebih 50 jenis perjudian.

Menurut Maszely, premis terbabit juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4b (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sunday, November 28, 2010

TUDM pertahan penahanan Tharmendran

IPOH - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud mempertahankan tindakan menahan semula suspek kes curi dua buah enjin pesawat F5, Sarjan N. Tharmendran di kawasan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Khamis lalu.

Beliau berkata, Tharmendran masih seorang anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan akan didakwa ke Mahkamah Ketenteraan kerana meninggalkan tugas tanpa cuti.

“Perkara tersebut (penahanan) merupakan tindakan biasa kepada mana-mana anggota TUDM yang melanggar disiplin seperti meninggalkan tugas.

“Sarjan N.Tharmendran masih lagi seorang anggota (TUDM) dan disebabkan dia tidak melapor tugas, maka kita ‘ambil’ dia kerana notis sudah diberikan tetapi masih tidak datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Sri 43/10 melibatkan 328 perajurit lelaki dan 62 wanita di Institut Tentera Udara (ITU) Ipoh di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan suasana di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam tegang apabila dua buah kenderaan TLDM menahan Tharmendran setelah menghalang kereta yang dinaiki tertuduh dan bapanya, N. Nagarajah.

Sebelum kejadian, dia menghadiri pendengaran permohonannya untuk mengugurkan pertuduhan mengantung atau membatalkan pertuduhan bersuhabat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop mencuri dua buah enjin pesawat F5 yang dikenakan ke atasnya.

Tharmendran melalui peguamnya, N. Surendren telah memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan dari Pusat Tahanan, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.

Menurut afidavit yang difailkan kelmarin, dia yang ber tugas di Pangkalan Udara Subang mendakwa tahanan yang dibuat adalah tidak sah dan di luar bidang kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tharmendran mendakwa bukan lagi seorang tentera TUDM kerana dia telah tamat perkhidmatan dengan pang kat Sarjan pada 28 Mei lalu ketika berada dalam reman sementara menunggu perbicaraan bagi kes membabitkan kecurian enjin jet pejuang itu.

Empat ditahan kes curi komponen mesin cip RM2.7 juta

IPOH - Polis menahan empat lelaki bagi membantu kes kecurian komponen mesin pembuat cip elektronik bernilai RM2.7 juta yang hilang semasa proses penghantaran ke sini dari gudang karg Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ke semua suspek warga tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun terbabit ditahan di sekitar bandar raya ini pada Selasa dan Rabu lalu.

“Polis juga berjaya merampas semula kesemua komponen mesin yang dimport dari Amerika Syarikat dan Taiwan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Silibin di sini,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis serah tugas Ketua Polis Perak di sini semalam.

Jawatan Ketua Polis Perak akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sementara Zulkifli yang bakal bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

Zulkifli berkata, dalam kejadian itu, seorang wakil syarikat pengangkutan di bandar raya ini yang mendakwa lori yang membawa komponen mesin pembuat cip elektronik terbabit dilarikan pemandu lori ter babit pada Ogos lalu.

Menurut beliau, polis yang membuat siasatan kemudian mendapati pemandu lori terbabit yang turut ditahan telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon pekerjaan.

“Salah seorang suspek yang diberkas juga dikehendaki untuk beberapa kes kecurian, penipuan, pecah amanah jenayah, samun dan senjata api di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semua suspek yang berasal dari bandar raya ini telah direman selama tujuh hari berakhir hari ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 407 Kanun Ke seksaan. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kerajaan diharap tidak tarik lesen jual diesel subsidi

IPOH - Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) berharap kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik membatalkan lesen menjual diesel bersubsidi ekoran isu penyelewengan yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Penggerak mendakwa disabotaj pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan monopoli penjualan diesel bersubsidi oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) kepada nelayan seluruh negara.

Pengerusinya, Ahmad Md. Taib mendakwa, kemungkinan ada pihak lain yang ingin mengambil alih lesen menjual diesel bersubsidi yang diberi kepada PNK.

“Saya tidak tolak kemungkinan ada pihak tertentu bersekongkol untuk melakukan sabotaj bagi mengambil alih lesen menjual diesel bersubsidi kepada nelayan.

“Sebenarnya penyelewengan diesel subsidi yang berlaku itu tidak begitu ketara seperti yang dilaporkan (akhbar semalam),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ahmad percaya penyelewengan diesel bersubsidi itu hanya berlaku pada peringkat pengangkutan sahaja dan peman tauan akan dilakukan bagi memastikan aktiviti haram ter babit.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM dan KPDNKK ber jaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dilakukan Persatuan Nelayan (PNK) di empat buah negeri selepas menahan 19 individu termasuk 11 dari Perak baru-baru ini.

PNK terbabit yang sepatutnya bertindak sebagai lokasi sehenti nelayan mendapatkan bekalan diesel menjadi dalang dengan menyalurkan bekalan tersebut kepada industri tem patan termasuk membekalkan ke sempadan negara.

Thursday, November 25, 2010

Pemandu lori dijel dua tahun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemandu lori dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah cuba merasuah seorang Penolong Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Nurhayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Sofli Ahmad, 33, dari Pangkalan Baru, Pantai Remis dekat sini didapati memberi rasuah itu bagi melepaskan diri daripada kesalahan menyimpan diesel bersubsidi tanpa permit pada 6 Ogos lalu.

Bapa kepada lima orang anak itu merupakan salah seorang daripada 19 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPDNKK di Perak, Pahang, Kedah dan Perlis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Nano baru-baru ini.

Berdasarkan fakta kes, operasi bersepadu yang dilakukan anggota SPRM dan KPDNKK selama tujuh jam berakhir 3 pagi pada 6 Ogos lalu menjumpai sebuah tangki minyak yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi di Kilometer (KM) 55, Jalan Pangkalan Baru-Pantai Remis dekat sini.

Safli yang ketika itu bertugas sebagai penjaga tangki minyak berkenaan telah menghampiri anggota penguat kuasa.

Setelah diberitahu seorang penolong penguatkuasa KPDNKK bahawa ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961, tertuduh kemudiannya menawarkan wang suapan RM2,000.

Walaupun anggota penguat kuasa terbabit enggan menerima suapan itu, Sofli tetap menyerahkan wang tersebut.

Bagaimanapun gelagatnya telah dilihat oleh seorang pegawai SPRM yang bertindak menahannya.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM dan KPDNKK ber jaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dilakukan Persatuan Nelayan (PNK) di empat buah negeri selepas menahan 19 individu baru-baru ini.

Wednesday, November 24, 2010

Kemukakan bukti ternakan kelisa jejaskan sawah padi

IPOH - Kerajaan negeri Perak mahu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengemukakan bukti secara saintifik bahawa kewujudan kawasan ternakan ikan hiasan di kawasan sawah padi Kerian telah menjejaskan tanaman padi di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pertanian negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, CAP sewajarnya membuat penyelidikan secara teknikal berhubung kesan projek berkenaan kepada sawah padi sebelum mengemukakan bantahan terhadap kerajaan negeri.

"Kita bukan senang-senang hendak hentikan (projek ternakan), nanti ada pihak marah. Jika mahu (hentikan), kita kena terangkan dan maklumkan dari segi teknikal. Saya harap CAP dapat mengemukakannya," tegas beliau ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai desakan CAP supaya kerajaan negeri Perak serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghentikan projek ternakan ikan kelisa di kawasan sawah padi Kerian berhampiran Bukit Merah.

Bagaimanapun, Ramly berkata, kerajaan negeri akan terus memantau isu tersebut dan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia benar-benar memberi kesan negatif kepada pesawah.

"Kita prihatin dengan masalah petani terlibat dan usaha untuk mengehadkan jumlah kawasan terlibat sudah pun dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan hanya 182.3 hektar kawasan penanaman padi di daerah Kerian terutaman di sekitar Bukit Merah dijadikan kawasan penternakan ikan kelisa bagi mengelak penerokaan kawasan pertanian bertukar menjadi kolam ternakan secara besar-besaran.

Empat anak singa Afrika lahir di Zoo Taiping

TAIPING - Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baru dengan kelahiran empat ekor anak singa Afrika pada 10 Oktober lalu.

Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, dua ekor anak singa jantan dan dua anak singa betina terbabit lahir selang 20 minit antara satu sama lain bermula 7.30 pagi.

“Keempat-empat anak Singa Afrika itu adalah baka da ripada induk singa betina, Dewi, 6, dan singa jantan, Zulu, 4.

“Dewi berasal dari Zoo Argentina dan mula ditempatkan di Zoo Taiping dan Safari Malam sejak be berapa tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini se malam.

Kelvin berkata, semasa dilahirkan keempat-empat anak singa terbabit yang masih belum mempunyai nama seberat antara lima hingga enam kilogram (kg).

Beliau memberitahu kelahiran empat anak singa Afrika itu merupakan kali ketiga buat zoo berkenaan setelah seekor anak singa jantan pada 2006 dan seekor anak singa betina setahun kemudian.

“Setakat ini berat semua anak singa Afrika berkenaan yang kini sudah berusia lima minggu telah meningkat sehingga satu kilogram dan masih di kurantin bersama ibunya," katanya.

Kelvin berkata, kelahiran empat anak singa tersebut menjadikan Zoo Taiping dan Safari Malam kini mempunyai 13 ekor singa, semuanya daripada spesies Singa Afrika.

Enam direman bantu siasat kes bunuh

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Enam lelaki direman untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang peguam, G. Balasunderam, 57, pada 16 November lalu.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed membenarkan semua suspek berusia dari 21 hingga 30 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

Difahamkan keenam-enam lelaki terbabit diberkas polis ketika sedang bersembunyi di sebuah hotel di Menglembu di sini pada kira-kira 3.45 pagi semalam.

Kosmo! 18 November lalu melaporkan Balasunderam ditikam bertubi-tubi oleh empat lelaki bertopeng sambil disaksikan isterinya, L.Pusphalatha, 48, di hadapan rumah mereka di Taman Desa Rishah, Buntong di sini pada 16 November lalu.

Peguam tersebut yang cedera parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini empat jam selepas dirawat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bahan ringkas tetapi remeh dibuat

BAHAN asas Putu Perak ialah tepung beras, tepung pulut dan kelapa. Gula dan garam pula ditambah sebagai bahan perasa.

Biarpun nampak ringkas, Fauzila Harun, 35, atau Zie mengakui pembuatan kuih warisan itu agak remeh. Penyediaan bahan asasnya sahaja memakan masa sekurang-kurang dua hari.

"Mula-mula beras akan direndam sekurang-kurangnya semalaman sebelum ditos. Selepas itu beras tadi akan dikisar secara kasar.

"Selepas itu ia akan dikukus secara 40 minit sebelum dikisar sekali lagi sehingga menjadi tepung dan dibiarkan sejuk selama sekurang-kurang 12 jam," terang Zie.

Setelah benar-benar sejuk, tepung beras buatan sendiri itu akan digaul dengan tepung pulut sebelum dikisar sekali lagi sehingga sebati.

Sesudah sebati, kedua-dua tepung itu sehingga menjadi satu adunan. Gula pasir akan dicampur di dalam adunan itu untuk menjadikannya manis.

Zie memberitahu adunan tersebut sedia dikukus dengan acuan khas berbentuk seperti cawan yangdiperbuat daripada besi.

"Dahulu mak dan opah (nenek) saya menggunakan tempurung kepala digunakan sebagai acuan. Kemudian, acuan itu diperbarui dengan menggunakan tin yang diubahsuai.

"Kini saya melakukan inovasi dengan menempah acuan khas diperbuat daripada besi," katanya.

Berbeza dengan Putu Piring yang berintikan gula merah, Putu Perak pula berintikan kelapa yang digaul dengan garam. Ia menjadikan rasa Putu Perak lemak-lemak manis.

Begitupun, ada juga pelanggannya di gerai jualan Makanan Popular Perak, Bazar Agro di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan yang memesan Putu Perak berintikan gula merah.

"Walaupun bagi saya permintaan itu agak lucu kerana tepung adunan Putu Perak itu sendiri sudah manis dan penggunaan gula merah sebagai inti menjadikannya terlalu manis, permintaan segelintir pelanggan itu diturutkan juga," jelasnya.

Putu Perak boleh tahan selama tiga hari selepas dikukus dan jika disejuk beku pula ia boleh dimakan sehingga enam bulan. Bagi enam biji Putu Perak, Zie menjualnya dengan harga RM3.

Tuesday, November 23, 2010

Potensi besar dikomersialkan


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

RUPANYA molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis.

Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.

"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.

Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.

Mengapakah Putu Perak? Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.

Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.

"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.

Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.

Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.

Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.

"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik.

"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.

Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.

Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.

Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.

Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.

Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.

Sambutan menggalakkan

Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.

"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.

Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.

Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.

Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.

Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.

Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.

Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.

Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.

Menyentuh hati

Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.

Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.

Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.

Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.

Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.

Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.

"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut.

"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Tuesday, November 16, 2010

Produk 1BestPerak di MAHA 2010

IPOH - Sebanyak 10 produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan telah dikenalpasti untuk menerima pengiktirafan 1BestPerak.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, 1BestPerak ialah pengiktirafan kepada produk PKS tempatan yang mencapai standard dan mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan.

“Produk tempatan terbabit akan dibantu untuk menembusi segmen yang lebih besar, termasuk di peringkat antarabangsa, yang merangkumi strategi pemasaran dan pembungkusan.

“Antara produk pengusaha PKS Perak yang diiktiraf itu ialah Rendang Tok Mak Nik, produk kacang putih, biskut kelapa bersalut coklat Sri Ayu dan biskut ayam Kampar,” katanya selepas merasmikan Ekspo Usahawan Industri Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kawasan Industri Mara Tambun di sini semalam.

Hamidah berkata, semua produk 1BestPerak terbabit akan diumum secara rasmi pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Serdang, Selangor pada hujung bulan ini.

Sehubungan itu, Hamidah berkata, produk PKS terbabit akan dipamerkan untuk jualan sepanjang penganjuran pameran yang bakal berlangsung mulai 26 November ini.

“Selain itu, 10 produk 1BestPerak juga akan dipamerkan pada Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Wen Zhou, China pada 19 hingga 23 November ini,” kata beliau.

Tikam mati rakan kerana babi hutan


IPOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan pengagihan daging seekor babi hutan yang diburu, dua beradik sanggup menikam rakan mereka sehingga mati di hadapan rumah mangsa di kuarters Ladang Sungai Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, K. Perumal (gambar), 27, mati dalam perjalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh seorang daripada suspek berkenaan.

Difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa dan dua suspek yang berusia 24 dan 21 tahun selesai memburu babi hutan di hutan berhampiran ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua rakan mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan pengagihan daging babi hutan berkenaan lalu pergi ke rumah mangsa pada malam berkenaan.

"Kedua-dua suspek naik berang apabila menjumpai sebahagian usus babi hutan di hadapan rumah mangsa.

"Mereka kemudian bersemuka dengan mangsa yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan dua anak yang masih kecil untuk mendapatkan penjelasan," katanya ketika dihubungi semalam.

Kok Liang berkata, berlaku pertengkaran antara suspek dan Perumal sehingga salah seorang daripada suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat lalu menikam leher mangsa.

Menurut beliau, sejurus menikam mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri dengan motosikal. Mangsa yang rebah dihantar ke sebuah klinik di Ladang Ulu Bernam oleh isteri dan beberapa jirannya.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik akibat kehilangan banyak darah. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

"Polis menjumpai sebilah pisau lipat yang mempunyai kesan darah berhampiran tempat kejadian manakala kedua-dua suspek berjaya diberkas polis ketika sedang bersembunyi di Ladang Ulu Bernam pada tengah hari tadi (semalam)," katanya.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Monday, November 15, 2010

Guru melecur gel pemanas makanan meletup

IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.

Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.

Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.

"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

"Api pula menjadi marak hingga menyambar tudung dan sebahagian kepala, saya panik dan secara spontan segera menanggalkan tudung," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai Putri (HPP) di sini semalam.

Api berwarna biru itu hanya terpadam setelah salah seorang guru menjirus kepala Ainon Mardhiah dengan sebaldi air berisi ais.

Guru itu kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Batu Gajah dekat sini dan selepas itu dipindahkan ke HPP.

Percikan api daripada letupan terbabit turut membakar sebahagian baju kurung dipakai Nurul Haliza dan bahagian bahu baju seorang guru lain, Hendon Sufian yang berdiri berhampiran.

Ainon Mardhiah mendakwa sehari sebelum kejadian dia disyorkan membeli bahan api gel itu oleh seorang pengusaha kedai peralatan dapur di Batu Gajah.

"Semasa beli 10 set bekas dulang untuk majlis makan malam tersebut, peniaga tersebut kenalkan saya bahan api gel .

"Dia kata bahan itu merupakan yang terbaru untuk memanaskan hidangan dalam bekas dulang berbanding penggunaan lilin sebelum ini," katanya.

Saturday, November 13, 2010

Geng samun RM1.1 juta di dua daerah tumpas

IPOH - Selepas tiga bulan berma harajalela, satu kumpulan samun bersenjata api yang sangat dikehendaki polis tumpas dengan penahanan empat lelaki di beberapa lokasi di sini baru-baru ini.

Kumpulan itu setakat ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 16 kes samun membabitkan harta-benda bernilai lebih RM1.1 juta di sekitar Ipoh dan Manjung.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejayaan itu bermula dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 41 tahun yang memandu kereta Toyota Vios yang dilaporkan hilang di Kampung Rapat di sini pada pukul 8.30 malam 9 November lalu.

Siasatan terhadap lelaki itu mendorong penahanan seorang lagi anggota kumpulan itu yang berusia 32 tahun di Taman Seri Berjaya di sini beberapa jam kemudian.

"Polis merampas beberapa barang seperti 11 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga unit pusat pem prosesan komputer (CPU) dan dua set sistem penentu kedudukan global (GPS)," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Polis pada keesokan harinya menahan dua orang lagi anggota kumpulan sama yang berumur 40 dan 39 tahun masing-masing di Taman Ayer Tawar dan Kampung Datuk Seri Kamaruddin, Manjung.

"Kita merampas sepucuk pistol jenis Remingthon dan satu kelompak berisi enam butir peluru," katanya.

Modus operandi geng tersebut ialah menceroboh rumah mangsa dan mengugut penghuninya menggunakan senjata api atau parang.

Zulkifli berkata, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 16 November ini untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sambutan Deepavali di rumah MB Perak meriah

1MALAYSIA. Buat julung kalinya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir menganjurkan majlis rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh baru-baru ini.

Biarpun dalam keadaan hujan renyai, ia tidak menghalang lebih 3,000 penduduk berbilang kaum dari seluruh Perak menghadiri majlis tersebut.

Zambry berkata, beliau berhasrat untuk menjadikan rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak itu sebagai acara tahunan.

"Sebelum ini saya juga telah menjamu rakyat sempena Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Majlis seperti ini dianjurkan sebagai menghargai kepelbagaian kaum dan memupuk perpaduan di negeri ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MIC Perak, Datuk S. Veerasingam.

Rendang Tok Mak Nik dijual di 7-Eleven

IPOH - Rendang tok , produk makanan popular siap saji yang dihasilkan syarikat bumiputera, Rendang Tok Mak Nik Sdn. Bhd. ( Rendang Tok Mak Nik ) kini boleh didapati di semua rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven seluruh negara mulai bulan depan.

Pengurus syarikat tersebut, Sharifuddin Mohamed berkata, sebanyak 24,000 bungkusan produk terbabit akan ditempatkan di lebih 1,000 rangkaian kedai serbaneka tersebut di seluruh negara pada setiap bulan.

Selain rendang tok , syarikat turut mengeluarkan Rendang Pedas Ayam, Sambal Tumis dan Acar Buah-Buahan.

"Semua produk itu hanya perlu direndam dalam air panas mengikut masa yang ditetapkan dan ia boleh dinikmati dengan mudah tapi tetap menyelerakan, setiap pek dijual daripada harga di antara RM5 hingga RM8.30," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sharifuddin yang juga anak Nafsiah Yeop iaitu pengasas Rendang Tok Mak Nik berkata, sebelum ini produk terbabit telah memasuki pasar raya besar Giant, Tesco, Mydin dan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) sejak tahun lalu.

Beliau berkata, para pengguna tidak perlu berasa was-was dengan produk siap saji buatan syarikatnya kerana ia tidak mengandungi perasa, pengawet, pewarna tiruan dan boleh tahan selama dua tahun.

"Ia memudahkan pengguna merasai keenakan masakan kami terutamanya Rendang Tok dan ia sesuai dimakan bersama nasi, roti, bubur, ketupat dan lemang.

"Syarikat juga merancang untuk melancarkan sembilan lagi produk siap saji dan pes pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat," katanya.

Pemandu berusia 60 tahun mabuk ditahan

IPOH - Seorang warga emas berusia 60 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah antara yang ditahan dalam Ops Samseng di sekitar bandar raya ini awal pagi kelmarin.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Sebanyak 132 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya semasa operasi selama lima jam yang bermula pukul 2 pagi itu.

"Operasi itu dibuat di sepanjang Jalan Raja Musa Aziz, Jalan SP Seenivasagam dan Jalan Raja Nazrin Shah Jalan Silibin," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Rodzi berkata, kesemua saman dikeluarkan terhadap 88 penunggang motosikal, empat pemandu kereta dan masing-masing seorang pemandu van dan jip.

Katanya, ia melibatkan sebanyak 33 kesalahan tidak mempunyai lesen memandu; 15 kesalahan cukai jalan tamat tempoh (15); memotong dalam keadaan bahaya (15); melanggar lampu isyarat (13) dan tidak menampal pelekat P (3).

Sunday, October 24, 2010

Keistimewaan ikan pemalu


Oleh ADHAM SHADAN, MOHD. AZLI ADLAN dan MANIRAH OTHMAN
ahad@kosmo.com.my

SEJAK Restoran Lucky di Ipoh, Perak beroperasi hampir tiga dekad lalu, masakan berasaskan ikan kerapu antara sajian yang sering menjadi buah mulut pelanggan.

Selain digoreng cili kering, stim, sup dan tiga rasa, kerapu disajikan istimewa bersama lebih 10 jenis bubur dan mi termasuk mi wantan dan mi udon.

Dua bulan lalu, restoran itu meraih perhatian rakyat Malaysia apabila menyajikan seekor ikan kerapu gergasi yang boleh dinikmati oleh lebih 400 orang.

Ikan kerapu sepanjang 2.5 meter dan seberat 148 kilogram itu dibeli pengusaha restoran itu pada harga RM8,000 daripada seorang nelayan yang berjaya menangkap ikan gergasi itu di Pantai Remis.

Ikan kerapu gergasi itu adalah yang kedua terbesar selepas ikan spesies sama seberat 170 kilogram (kg) yang diperoleh daripada nelayan sama kira-kira tiga tahun lalu.

“Bagi menjamin mutu, kami hanya mendapatkan bekalan makanan laut termasuk ikan kerapu secara segar pada setiap pagi daripada nelayan di Pantai Remis yang terletak kira-kira 120 kilometer dari sini,” kata pengusaha Restoran Lucky, Teoh Kar Hooi, 57.

Kar Hooi memberitahu, masakan kerapu dijual pada harga RM110 sekilogram atau RM11 bagi 100 gram. Ia akan dimasak mengikut permintaan pelanggan.

Ujarnya, berbanding kerapu bersaiz biasa, permintaan terhadap kerapu gergasi bersaiz 100 kg ke atas lebih tinggi.

Ia disebabkan tekstur lapisan antara kulit dan isi yang lebih kenyal dan manis hingga menjadi dambaan sesiapa yang memakannya.

“Namun, ikan kerapu gergasi tidak boleh didapati selalu. Seingat saya sepanjang 30 tahun restoran ini dibuka cuma lapan kali kami menyajikannya.

“Permintaan amat tinggi dan biasanya akan habis dalam jangka masa lima hari sahaja termasuk kerapu seberat 170 kg. Kerapu bersaiz biasa pula biasanya berjaya dijual hampir 8 kg sehari,” kata anak jati Parit Buntar itu.

Spesies

Kar Hooi berkata, kecuali insang, sisik dan isi perut, hampir kesemua bahagian dan organ kerapu gergasi boleh digunakan untuk masakan.

Beliau menerangkan, bahagian ikan kerapu gergasi yang paling berharga dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan masyarakat Cina ialah tulang belakang. Tulang belakang kerapu gergasi akan dikerat-kerat kecil sebelum direneh dengan pelbagai herba Cina untuk dijadikan sup.

“Cara memakannya, sum-sum yang terdapat pada tulang belakang itu akan dihisap. Selain rasanya manis, orang Cina percaya ia mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

“Oleh itu, tak hairanlah ia sentiasa dicari biarpun harganya boleh mencapai RM200 semangkuk,” kata Kar Hooi.

Ikan kerapu atau nama saintifiknya Epinephalus sememangnya sejenis ikan laut yang banyak mendiami perairan negara ini.

Di dunia, taburan ikan kerapu di kawasan semula jadi adalah sangat meluas meliputi kawasan berbatu dan terumbu karang Asia Tenggara, Australia, China, pantai timur Afrika dan Kepulauan Pasifik. Dianggarkan terdapat hampir 100 spesies ikan kerapu di seluruh dunia.

“Ikan kerapu yang mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun memang boleh menjadi begitu besar.

“Saya pernah menyelam di Pulau Redang, Terengganu dan menemui ikan kerapu sebesar manusia dewasa,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood kepada Jurnal.

Selain ikan kerapu gergasi yang memberikan rezeki lumayan buat pengusaha restoran dan santapan mewah buat penggemarnya, ikan kerapu juga menawarkan sumber pendapatan menerusi kegiatan menternaknya.

“Permintaan semasa terhadap kerapu adalah sebanyak 20,000 tan metrik setahun dan terdapat peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus dari tahun ke tahun. Harga jualan ikan kerapu hidup adalah antara RM45 hingga RM55 sekilogram.

Jutawan

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan penglibatan rakyat dalam penternakan ikan kerapu,” ujar Sabki.

Menurut beliau, kini terdapat 3,566 penternak ikan kerapu di negara ini merangkumi orang perseorangan, syarikat dan persatuan.

Tiga spesies ikan kerapu yang popular diternak di negara ini ialah kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hijau.

Terdapat dua kaedah popular penternakan iaitu sistem sangkar dan sistem kolam.

Bagaimanapun, kata Sabki, penternakan ini masih memerlukan kos pelaburan yang tinggi. Kerja menetaskan telur ikan ini agak rumit dan memerlukan kemahiran.

Tambahan pula, kadar survival ikan itu yang selamat menetas dan membesar sehingga bersaiz 2.5 sentimeter (sm) hanya lima peratus.

Maka, jelas beliau, untuk kemudahan, orang ramai yang berminat menternak ikan kerapu boleh mendapatkan ikan kerapu kecil yang telah menjalani proses penentasan di pusat-pusat penetasan ikan jabatan itu seperti di Pulau Sayak, Kedah, Gelang Patah, Johor dan Tanjung Demong, Terengganu.

“Individu yang berminat untuk menternak ikan ini dinasihatkan untuk menternaknya ketika saiznya melebihi 12 sm.

“Ikan ini agak sukar untuk diternak jika dibandingkan dengan ikan marin lain seperti siakap kerana ikan kerapu bukan ikan yang aktif.

“Ia ikan pemalu, sensitif dan kalau di lautan ia suka duduk di dasar laut. Kena ada kesabaran dan kemahiran yang tinggi untuk menternaknya,” kata Sabki.

Sememangnya ikan kerapu mampu menjana pendapatan yang besar kepada penternaknya. Ia bahkan mampu membuat penternaknya bergelar jutawan.

“Berdasarkan maklumat prestasi, kos input dan harga pasaran semasa, penternak dapat memperoleh hasil jualan sehingga RM1 juta dengan menggunakan 50 unit sangkar bersaiz 6x3x3 meter.

“Pada masa ini dianggarkan lebih 95 peratus daripada ikan kerapu harimau di Malaysia dieksport secara hidup ke Hong Kong,” tambah Sabki.

Kawasan ternakan yang berpotensi adalah kawasan daratan yang mempunyai bekalan air masin, pesisiran pantai dan juga perairan laut.

Di Laguna Gong Batu yang terletak di daerah Setiu, Terengganu, misalnya, ikan kerapu diternak secara besar-besaran sejak beberapa tahun lalu.

Salah seorang penternak di situ ialah Hasan Chik yang kini berusia 47 tahun. Dia bekerja sebagai nelayan sejak berusia 14 tahun dan memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

Nelayan

Hidupnya menjadi lebih sukar apabila tidak boleh turun ke laut ketika musim tengkujuh yang biasanya bermula sekitar November hingga April.

Bagaimanapun, cahaya rezeki keluarga Hasan mula bersinar pada tahun 1996 apabila dia diberikan empat buah sangkar untuk menternak ikan kerapu di Laguna Gong Batu.

“Sekarang saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” kata pemilik 30 sangkar ikan ini yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Ikan Dalam Sangkar, Laguna Gong Batu.

Jelasnya, biarpun tidak terlalu mewah, rezeki yang diraihnya di kawasan air payau itu kini sudah jauh berbeza berbanding ketika menjadi nelayan dahulu.

Timbalan Pengerusi persatuan itu, Johari Awang Besar memberitahu laguna itu adalah kawasan yang sangat strategik untuk penternakan ikan payau iaitu kerapu dan siakap.

Persatuan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu bagi membela dan menyelaras para penternak itu kini mempunyai kira-kira 60 ahli yang memiliki sejumlah 1,500 petak sangkar.

Namun, cuma kira-kira 20 peratus sangkar digunakan untuk ternakan kerapu manakala selebihnya siakap.

“Pada masa ini kami mempunyai jadual giliran untuk menjual ternakan supaya bekalan yang kami ada boleh dibeli pemborong pada sepanjang masa,” kata Johari yang turut digelar jutawan kerapu.