Translate

Thursday, November 16, 2023

Guna nama tokoh agama ‘sakau’ duit

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sindiket penipuan pelaburan palsu semakin licik memperdaya orang ramai apabila menggunakan nama golongan agamawan popular dan dihormati sebagai duta mereka. 

Bagi memikat mangsa, penganjur mendakwa skim pelaburan yang ditawarkan itu adalah patuh syariah dengan menjanjikan pulangan sebanyak 50 kali ganda dalam tempoh hanya tiga jam. 

Sindiket berkenaan aktif mempromosikan aktiviti mereka di media sosial seperti Facebook selain aplikasi WhatsApp dan Telegram. 

Ketua Unit Muamalat dan Naziran, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Mohd. Syahrizal Syah  Zakaria berkata, siasatan mendapati sindiket mendakwa mereka berkolaborasi atau melantik tokoh agama tersebut sebagai duta skim pelaburan berkenaan.

 “Mereka menggunakan taktik untuk meyakinkan orang ramai bahawa skim pelaburan tersebut benar-benar patuh syariah, sedangkan agamawan terbabit tidak tahu-menahu nama serta gambar mereka digunakan oleh sindiket,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Menurut Mohd. Syahrizal Syah, selain menggunakan gambar golongan agamawan, penganjur skim pelaburan palsu tersebut biasanya akan mempotretkan diri mereka sebagai orang alim bagi meraih kepercayaan orang ramai. 

Beliau berkata, sebarang pertanyaan yang dibuat oleh mangsa berkaitan skim pelaburan akan dijawab berserta dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang telah dimanipulasi. 

 “Agama sering digunakan sebagai hujah kononnya mereka mahu membantu meningkatkan ekonomi orang Islam. 

 “Penyertaan dalam skim pelaburan yang didakwa patuh syariah terbabit kononnya adalah ‘jihad’ bagi memerangi sistem kapitalis sekali gus menegakkan ekonomi Islam,” katanya.

Jelas Mohd. Syahrizal Syah, anggota sindiket penipuan yang menganjurkan skim pelaburan palsu itu juga biasanya akan menjual air liur dengan mendakwa beliau merupakan anak murid kepada ulama terkenal. 

 “Mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah demi untuk menjerat mangsa. Pelaburan yang ditawarkan juga nampak menarik kerana menjanjikan keuntungan sehingga 50 kali ganda nilai wang dilaburkan. 

 “Mereka juga menjanjikan keuntungan itu akan diperoleh seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat,” kata beliau. 

 Mohd. Syahrizal Syah memberitahu, pada awalnya, mangsa akan memperoleh keuntungan seperti dijanjikan, namun itu merupakan strategi awal bagi mengaburi mata mereka.

 “Taktik itu juga bagi menaikkan semangat mangsa untuk menambah nilai pelaburan. 

 “Mangsa akhirnya menyedari mereka ditipu apabila tidak lagi menerima dividen atau keuntungan seperti yang dijanjikan. 

“Selain itu, sindiket tersebut juga tidak memberikan lagi maklum balas selain nombor telefon dan akaun media sosial mereka (mangsa) disekat oleh sindiket terbabit,” katanya. 

Difahamkan, kerugian yang dialami oleh mangsa sindiket penipuan bertopengkan agama itu mencecah jutaan ringgit. 

 Sehubungan itu, Mohd. Syahrizal Syah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa meneliti prospektus sebelum bersetuju membuat sebarang pelaburan.

No comments:

Post a Comment