Translate

Showing posts with label hiburan. Show all posts
Showing posts with label hiburan. Show all posts

Wednesday, September 1, 2021

TDM catat kenaikan pendapatan 32 peratus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mencatatkan pendapatan RM111 juta pada suku kedua kewangan tahun ini.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, ia merupakan kenaikan 32 peratus berbanding RM83.9 juta pada suku sama pada tahun lalu.

“Lonjakan pendapatan tersebut didorong oleh prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua sektor iaitu peladangan dan penjagaan kesihatan masing-masing pada kadar RM57.3 juta dan RM53.7 juta

“Pendapatan pada bahagian penjagaan kesihatan telah meningkat sebanyak 49 peratus berbanding suku kedua tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Idris berkata, pemulihan sektor penjagaan kesihatan di rangkaian hospital milik TDM disumbangkan oleh pertambahan bilangan pesakit pada kadar sehingga 66 peratus.

Jelas beliau, rangkaian hospital TDM juga telah terlibat sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dengan kadar vaksinasi sebanyak 500 sehari selain sebahagiannya juga menjadi pusat pemindahan pesakit bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan.

“Prestasi sektor penjagaan kesihatan pada masa hadapan amat bergantung kepada pencapaian imuniti kelompok dalam populasi negara ini yang dijangka dapat dicapai selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya. K! ONLINE

Tuesday, February 27, 2018

Mat Dan kini berstatus Penduduk Tetap

KUALA NERUS – Pengacara ranca­ngan Travelog di Astro, Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu kini berstatus Penduduk Tetap (MyPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi me­ngumumkan kelulusan permohonan tersebut sewaktu merasmikan Ekspo Terengganu di hadapan lebih 40,000 hadirin semalam.

“Saya diberitahu kita ada seorang ikon yang telah di ‘Terengganukan’ (iaitu)­ Mat Dan. Saya ingin umumkan permohonannya untuk menjadi penduduk Tetap telah diluluskan,” katanya pada majlis perasmian Ekspo Terengganu yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ahmad Zahid berkata, kelulusan MyPR diberikan kepada Mat Dan selepas pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri mendapati lelaki Inggeris yang berasal dari Bristol, Britain itu telah memenuhi kesemua kriteria ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan turut mengambil kira sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi yang telah diberikan Mat Dan dalam mempromosikan Terengganu dan Malaysia terutama dalam sektor pelancongan selama ini.

Sementara itu, Mat Dan yang juga Duta Ekspo Terengganu berkata, beliau gembira dan bersyukur diterima sebagai Penduduk Tetap setelah hampir sembilan tahun bermastautin di negara ini.

Menurutnya, permohonan status MyPR dibuat selepas beliau melangsungkan perkahwinan dengan Nadifa Adnan yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu pada 12 Mac tahun lalu.

“Saya terkejut kelulusan permohonan MyPR saya diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid),” katanya.

Monday, February 26, 2018

Mat Dan kini berstatus Penduduk Tetap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pengacara rancangan travelog, Kareef Daniel Abdullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang fasih berbahasa Melayu dialek Terengganu kini berstatus Penduduk Tetap (MyPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusan permohonan tersebut sewaktu merasmikan Ekspo Terengganu di hadapan lebih 40,000 hadirin hari ini.

Beliau berkata, kelulusan MyPR diberikan kepada Mat Dan selepas pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri mendapati lelaki Inggeris yang berasal dari Bristol, Britain itu telah memenuhi kesemua kriteria ditetapkan termasuk sumbangan diberikan dalam mempromosikan Terengganu dan Malaysia terutama dalam sektor pelancongan.

"Saya diberitahu kita ada seorang ikon yang telah di 'Terengganukan' (iaitu) Mat Dan. Saya ingin umumkan beliau telah diluluskan untuk menjadi Penduduk Tetap Malaysia," katanya pada majlis perasmian Ekspo Terengganu yang diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. - K! ONLINE

Tuesday, December 12, 2017

Hasrat Norman tidak kesampaian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Hasrat Norman yang merupakan vokalis kumpulan rock 90-an,  Panji untuk membuat kemunculan semula menerusi sebuah program realiti televisyen tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia kelmarin.
Norman, 55, atau nama sebenarnya, Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Sayap Terluka menghembuskan nafas terakhir selepas muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini pada pukul 7.45 malam.

Pemain bass Panji, Din atau nama sebenarnya Hishamuddin Hassan, 45, berkata, dia dan Norman ditawarkan untuk menyertai program hiburan bercorak realiti yang dijadualkan berlangsung pada masa terdekat oleh sebuah stesen televisyen tempatan pada beberapa bulan lalu.

“Mohd. Nor (Norman) bersemangat untuk membuat kemunculan semula walaupun keadaannya agak lemah dan tidak bermaya selepas diserang penyakit misteri sejak pertengahan tahun ini.

“Begitupun, saya berkira-kira untuk menarik diri (menyertai program realiti itu) selepas melihat keadaannya (Norman) semakin teruk sewaktu menziarahinya tiga minggu lalu. Tahu-tahu sahaja dia meninggal dunia malam tadi (kelmarin),” ceritanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini semalam.

Biarpun dalam hujan renyai, seramai 250 orang termasuk empat anaknya iaitu Mohd. Faris Haikal, 15; Mohd. Fikri Farhan, 14; Mohd. Farith Firzan, 13 dan Nur Lisa Alani Huzma, 11, hadir menyaksikan upacara pengebumian Norman yang selesai pada pukul 12 tengah hari.
Din yang kini berkhidmat di Pusat Kesenian dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, sewaktu pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham Norman itu, beliau sempat menyerahkan sumbangan RM2,000 yang dikutip dari konsert amal sempena Pesta Konvokesyen UniSZA kesembilan baru-baru ini.

Menurutnya, Panji yang turut popular dengan lagu Semilir dan Kasih Tak Pasti pernah tercalon dalam senarai akhir anugerah Artis Baharu Terbaik (Berkumpulan) dalam Anugerah Industri Muzik pertama setelah muncul dengan album debut, Senang pada tahun 1993.

Sementara itu, adik Norman, Mohd. Shafie, 54, berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan dirinya dan anak sulung, Mohd. Faris Haikal setelah tiba-tiba mengadu sakit dada.

“Sewaktu dadanya diurut oleh Mohd. Faris Haikal, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika,” katanya.

Sunday, December 10, 2017

Vokalis kumpulan rock Panji meninggal dunia

DUNGUN - Vokalis kumpulan rock 90-an, Panji meninggal dunia setelah muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.

Norman, 55, atau nama sebenarnya Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Semilir dan Sayap Terluka bersama kumpulan Panji menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.45 malam.

Adiknya, Mohd. Shafie, 54, berkata, allahyarham abangnya menderita penyakit misteri yang menyebabkan tubuhnya tiba-tiba tidak bermaya dan kurus mendadak sejak pertengahan tahun lalu.

"Sewaktu kejadian, abang saya yang terbaring di katil tiba-tiba mengadu sakit dada dan meminta anak sulungnya, Haris Haikal, 16, mengurutnya.

"Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika," katanya kepada kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, dia yang mendapati tubuh Norman sudah tidak bergerak telah bertindak  memaklumkannya kepada Hospital Dungun di sini.

Dia berkata, pegawai perubatan hospital itu yang tiba di rumah mereka tidak lama kemudiannya mengesahkan abangnya sudah meninggal dunia.

"Jenazah abang saya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahaya di sini pada pagi esok," katanya. - K! ONLINE

Wednesday, March 15, 2017

Gadis Terengganu suri hati Mat Dan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TAKDIR yang disusun Yang Maha Pencipta buat figura bernama Daniel Tyler begitu indah. Kembara jejaka ‘mat salleh’ itu ke beberapa negara di Asia Tenggara sekitar lapan tahun lalu akhirnya membawa kelananya sampai di Pulau Kapas, Marang, Terengganu.

Terpikat dengan keindahan anugerah alam, flora dan fauna, lebih utama lagi budaya masyarakat setempat yang ditemuinya memaku Daniel untuk terus berada di salah sebuah pulau tercantik di Malaysia tersebut buat satu tempoh yang tiada tarikh luput. Dia jatuh cinta, bermaustautin di situ sehinggalah dalam kalangan masyarakat tempatan namanya lebih senang disebut Mat Dan. Di pulau peranginan tersebutlah, Daniel seperti dilahirkan semula dengan identiti baharu sebagai Mat Dan sejak tahun 2009.

Transisi anak muda kelahiran Bristol, England bermula daripada situ. Jiwanya, pembawaan diri dan loghat bahasanya berubah persis lelaki jati Terengganu.

Pergaulannya dengan warga Marang yang mewah dengan budi bahasa turut membuka hidayah buat Mat Dan, 28, untuk memilih cahaya keimanan dengan nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah.
Gelagat Mat Dan berbahasa Melayu loghat Terengganu yang menjadi viral di  laman YouTube beberapa tahun lalu telah memikat khalayak Malaysia, sekali gus menjadi batu loncatan kepadanya apabila disunting stesen televisyen tempatan untuk mengacara beberapa rancangan travelog.

Proses transisi sejak tahun 2009 tersebut boleh dikatakan lengkap apabila dia akhirnya menamatkan zaman bujang dengan gadis Terengganu di Kampung Bukit Chendering, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu, Mat Dan telah sah bergelar suami kepada gadis bertudung berusia 20-an yang dikenali sebagai Deera pada pukul 5.30 petang, 12 Mac lalu.

Wanita beruntung yang berjaya mencairkan hati pengacara rancangan Mat Dan Kaki Jalan itu dikatakan bekas pelajar sekolah menengah agama terkenal di bandar raya Kuala Terengganu. Difahamkan, Deera  kini bertugas sebagai pramugari sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang berpangkalan di Timur Tengah.

Hormat keluarga mertua

Tujuh jam sebelum diijab kabul, pasangan mempelai itu telah ditunangkan di rumah pengantin perempuan pada pukul 10 pagi.

Biarpun dijalankan secara ringkas, kedua-dua majlis pertunangan dan pernikahan tersebut berlangsung dengan penuh tertib dalam adat istiadat Melayu.

Tanpa kekok, Mat Dan memperlihatkan kesempurnaan adaptasi kemelayuannya dengan memakai baju Melayu berwarna ungu lengkap bersamping songket Terengganu dan bersongkok sewaktu menghadiri majlis pertunangan tersebut.

Ibunya, Nicol Tyler yang terbang dari Bristol dengan ceria menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Deera.

Tambah seri, wanita Inggeris itu anggun mengenakan baju kurung berwarna coklat, manakala menantu perempuannya memakai persalinan rona ungu yang sedondon dengan Mat Dan.
Pada sebelah petangnya, Deera dan suami mengenakan busana serba krim bagi upacara pernikahan dan makan beradab.

Pada majlis akad nikah anaknya, Nicol dan suami, Kevin Tyler pula masing-masing memakai persalinan baju Melayu dan kurung berwarna biru cair jelas kelihatan begitu berselera menikmati hidangan makan beradab yang 100 peratus masakan Melayu jati Terengganu.

Begitu pun, majlis pernikahan dan pertunangan tersebut dilakukan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Mat Dan yang ditemui beberapa hari sebelum hari bahagianya juga memilih untuk berahsia dan berdalih seolah-olah memberi isyarat jelas menutup rapat pintu daripada media untuk membuat liputan.

Bagaimanapun, tanpa kehadiran media, gambar-gambar pertunangan dan pernikahan mereka tetap bebas bertebaran dan menjadi tular di media sosial tidak sampai sejam selepas majlis berlangsung.

Ditebak persoalan tentang pilihan dan penyebaran gambar hari bahagianya, Mat Dan yang agak terkejut menjelaskan, keputusan mengadakan majlis secara tertutup dilakukan bagi menghormati keluarga mertuanya.

“Kami memilih mengadakan majlis tertutup dan hanya menjemput keluarga terdekat kerana menghormati ibu mertua yang masih dalam edah (berkabung selepas kehilangan suami).

“Kami hanya merancang mengadakan majlis persandingan pada akhir tahun ini,” katanya sewaktu ditemui di rumah mertuanya.

Ditanya lebih lanjut, Mat Dan tetap dengan pendiriannya enggan mendedahkan identiti suri hidupnya yang cantik manis itu.

Apa pun, kami amat menghormati prinsipnya dan dengan jiwa besar diucapkan selamat pengantin baharu buat Mat Dan dan isterinya yang jelita.

Melayari bahtera perkahwinan penuh dengan dugaan tersendiri dan sudah pasti ia tidak semudah mengendalikan bot laju di Pulau Kapas.

Tuesday, March 14, 2017

Pramugari suri hati Mat Dan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

KUALA TERENGGANU – Pengacara rancangan tra­velog, Kareef Daniel Abdullah, 28, atau lebih dikenali sebagai Mat Dan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang gadis Melayu yang dikatakan be­kerja sebagai pramugari di Bukit Chendering di sini semalam.

Majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 5.30 petang diadakan mengikut adat-istiadat Melayu dan secara tertutup dengan hanya dihadiri waris terdekat dan sahabat rapat.

Turut hadir ibu bapa Mat Dan iaitu Kevin Tyler dan Nicol Tyler yang berasal dari Bristol, England.

Terdahulu, pasangan itu ditunangkan dalam majlis ringkas di rumah pengantin perempuan pada pukul 10 pagi.

Sewaktu ditemui wartawan Kosmo! kelmarin, Mat Dan yang fasih bertutur loghat Terengganu enggan mengesahkan khabar angin berhubung majlis perkahwinannya dengan gadis Melayu bertudung tersebut.

Begitupun, gambar majlis pertunangan dan pernikahan pasangan itu tersebar dalam media sosial.

Antara yang tersebar ialah gambar ibu Mat Dan, Nicol me­nyarung cincin ke jari manis menantu perempuannya yang mengenakan busana berwarna ungu.
Mat Dan yang turut hadir pada majlis pertunangan tersebut memakai baju Melayu berwarna ungu, bersamping songket Terengganu serta bersongkok.

Nicol juga anggun memakai baju kurung berwarna coklat dan berselendang putih.

Bagi upacara nikah dan makan beradab, kedua-dua mempelai mengenakan persalinan berwarna putih manakala ibu bapa Mat Dan masing-­masing memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna biru.

Menurut kenalan Mat Dan, identiti gadis pilihan hati Mat Dan tidak dapat didedahkan ketika ini atas permintaan keluarga­nya.

Mat Dan atau nama sebenarnya Daniel Tyler yang pada mulanya bercuti di Pulau Kapas, Marang memilih untuk menetap di pulau peranginan tersebut pada tahun 2009 selepas jatuh cinta dengan keindahan negara ini.

Dia yang mempelajari budaya tempatan memeluk agama Islam pada Januari 2013.

Mat Dan kini merupakan pengacara beberapa rancangan televisyen tempatan bercorak pengembaraan seperti Haramain Backpackers dan Mat Dan Kaki Jalan.

Program itu disampaikannya dalam loghat Melayu Terengganu.

Monday, April 4, 2016

Saman RM500,000 bekas pengurus peribadi Zizan ditolak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM500,000 yang telah dikemukakan bekas rakan kongsi dan pengurus peribadi Zizan Razak, Marina Juki terhadap pelakon dan pelawak popular itu pada dua tahun lalu.
Hakim Rosbiahanin Arifin memutuskan demikian selepas mendapati Marina, 32, secara individu tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zizan, 32.
"Tuntutan plaintif (Marina) adalah berdasarkan perjanjian antara Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame) dengan defendan (Zizan).
"Terma dan syarat antara Wire Fame dan defendan masing-masing melibatkan satu pihak dan tidak mungkin jadi asas plaintif secara individu untuk memfailkan saman," katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.
Rosbiahanin turut menolak dengan kos tuntutan balas Zizan yang mendakwa Marina telah melakukan penyalahgunaan proses mahkamah sewaktu memfailkan saman dakwaan pelanggaran kontrak itu pada 6 November 2014. - K! ONLINE

Monday, July 7, 2014

Hajat anak kedua Linda Rafar tidak kesampaian

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pelakon, Linda Rafar terkilan hajat anak keduanya, Rezaimen Keifli, 12, untuk menjadi tahfiz al-Quran tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu meninggal dunia selepas menderita penyakit ketumbuhan kronik pada bahagian perut kelmarin.

Adik Linda, Diana berkata, allahyarham sering menyuarakan hasrat untuk memasuki maahad tahfiz bagi menjadi seseorang yang hafiz al-Quran.

“Katanya dengan menjadi tahfiz al-Quran, dia dapat membawa ahli keluarganya ke syurga.

“Memen (nama manja panggilan keluarga) disayangi ramai kerana peribadinya yang ramah dan periang. Pemergiannya seawal ini memang amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian Rezaimen di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam.

Linda, 36, dan suaminya Syed Aiman Syed Mahmud, 38, kelihatan sugul sepanjang upacara pengkebumian tersebut dan enggan ditemubual.

Turut kelihatan bapa kandung Rezaiman, Kefli Othman, suami Diana, Zamarul Hisham dan beberapa rakan artis seperti Sasha Saidin dan pelawak, Lan Pet-Pet.

Diana memberitahu Rezaimen yang menderita ketumbuhan kronik pada bahagian perut sejak Mac lalu meninggal dunia di sisi ibunya dan ibu saudaranya, Anita pada pukul 5.30 petang di wad Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur dekat sini kelmarin.

Menurut dia, pada mulanya sewaktu Rezaimen mula-mula mengadu kerap senak dan sakit perut sehingga sukar bernafas kira-kira empat bulan lalu, mereka sekeluarga menyangkakan allahyarham cuma mengalami gastrik ataupun penyakit apendiks.

“Namun hasil pemeriksaan doktor kemudian mengesahkan Rezaimen mengalami penyakit kanser perut tahap empat. Tahap kesihatannya semakin merosot dua, tiga hari lalu sebelum nazak sejam sebelum meninggal dunia,” katanya.

Rezaimen yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Linda bersama bekas suaminya, Kefli.

Anak pertama pasangan itu ialah Rezaril yang kini berusia 14 tahun.

Thursday, May 22, 2014

Mak Mah kembali bergelar isteri

BERBAHAGIA. Pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, kembali bergelar isteri selepas sah bernikah dengan seorang peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70, semalam.

Dengan sekali lafaz, dia yang lebih mesra dipanggil Mak Mah sah menjadi isteri kepada Al Fatah dalam majlis pernikahan yang berlangsung di rumah abang iparnya, Rusman Warjono, 76, di Taman Berkat, Meru, Klang, Selangor.

Pasangan tersebut yang berbusana sedondon putih dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As Syarif, Meru, Mohd. Jani Salman pada pukul 9.20 pagi.

Mak Mah yang mengenali Al Fatah sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah pada Mac lalu memberitahu, selepas ini, dia akan mengikut suaminya untuk menetap di Felda Jelai, Gemas.

"Begitupun, kerjaya saya sebagai pelakon masih diteruskan sekiranya mendapat tawaran. Suami tidak keberatan dan membenarkannya," katanya.

Wednesday, May 21, 2014

Jodoh peneroka dan seniwati

HUJAN mencurah-curah di pekan Meru, Selangor sewaktu majlis pernikahan pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, berlangsung di kediaman abang iparnya pada pagi Sabtu lalu.
Bagaikan berjanji, selebat hujan yang turun di luar rumah, begitu jua dengan air mata murni Ruminah atau mesra menggelarkan dirinya sebagai Mak Mah sewaktu akad nikah sempurna dilafazkan suaminya, Al Fatah Rahim Ismail, 70.
Tangisan itu tanda kegembiraan dan kesyukuran doa yang telah ditanam dalam hati semasa mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dua bulan lalu telah diperkenankan Ilahi.
Takdir juga telah menentukan jodoh aktres senior kesayangan ramai itu dengan seorang duda yang tanpa disedari turut sama menitipkan doa tersebut agar dipertemukan jodoh untuk menemani sisa-sisa kehidupan mereka.
"Mak Mah bersyukur dapat menghabiskan saki baki hidup ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, kami selamat disatukan sebagai suami isteri.
"Mohon peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina ini hingga ke akhir hayat," ujarnya riang biarpun sekali sekala menyeka air mata yang masih bersisa di kelopak mata.
Pasangan warga emas terbabit dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As Syarif, Meru, Mohd. Jani Salman dengan disaksikan adik pengantin perempuan, Mohd. Zainal Sidek pada pukul 9.20 pagi.
Mak Mah yang telah membintangi lebih 25 filem sejak mula bergiat dalam bidang seni menerusi filem Anak Bapak pada tahun 1968 itu menerima mas kahwin sebanyak RM300.
Memilih untuk tidak mengkehendaki sebarang wang hantaran, kedua-dua mempelai masing-masing berbalas 12 dulang hantaran. Antara hantaran diterima Mak Mah ialah sebiji kek, senaskhah al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, minuman bikarbonat dan telekung.
Al Fatah pula menerima set wangian, sebiji kek, tepak sirih, persalinan, sejadah, tuala dan buah-buahan.
Seri pengantin
Menyarung persalinan putih pada majlis akad nikah sebelah pagi, Mak Mah biar basah dengan air mata kelihatan berseri untuk bersatu dengan lelaki yang bakal menemani separuh lagi perjalanan hidupnya. Begitu juga dengan Al Fatah yang tampak begitu segak bersama persalinan lengkap songkok.
Mereka yang kemudian memakai busana berwarna ungu tajaan Azika Collection di singgahsana pelamin rekaan Adi Wedding Decoration pada majlis resepsi juga tampil berseri. Seri pengantin, kata orang lama.
Kebetulan ia kali pertama buat ibu kepada aktor, Adlin Aman Ramlie itu bersanding di pelamin biarpun sudah menempuhi tiga kali alam perkahwinan sebelum ini termasuk dengan pelawak legenda, AR Tompel.
Mak Mah memberitahu, perkahwinan mereka berdua menyatukan keluarga masing-masing yang sudah sedia besar.
Dia merupakan ibu tunggal kepada enam anak dan 20 cucu manakala Al Fatah yang merupakan seorang peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan pula bapa tunggal kepada 10 anak dan 30 cucu.
Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah kedua-dua belah keluarga. Sanak saudara Mak Mah termasuk anak bongsunya, Adlin Aman Ramli dan isteri, Emelda Rosnaida serta anak tiri, AR Badul ceria berbusana ungu.
Majlis resepsi itu juga tidak lekang dengan gelak tawa hampir 50 ahli keluarga Al Fatah yang segak memakai busana berwarna jingga.
Mengulas gelodak perasaan bergelar suami kepada seniwati terkenal, Al Fatah mengakui pada mulanya dia agak gementar apabila memikirkan penerimaan peminat dan rakan artis Mak Mah.
"Saya juga memikirkan bagaimana hendak berhadapan dengan wartawan yang ramai membuat liputan majlis pernikahan kami tetapi keramahan mereka membuatkan saya selesa.
"Hilang gementar, datang keserasian. Tak sangka seorang peneroka dapat mengahwini seniwati," katanya ceria dalam gelak tawa.
Bercerita tentang perancangan masa depan, Al Fatah memberitahu, mereka sudah sepakat untuk menjalani kehidupan berumah tangga di Felda Jelai.
Jelasnya, mereka bakal menjalani kehidupan sebagai peneroka Felda yang mengerjakan kebun getah dan menghabiskan usia senja dengan beribadah kepada Allah bersama-sama.
Begitupun jelas Al Fatah, dia tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Mak Mah masih mahu aktif sebagai pelakon biarpun sudah bergelar isteri.
"Saya kena reda, itu kerjaya dia. Saya izinkan (berlakon) tetapi tak perlu sampai saya ikut sekali ke set penggambaran," ujarnya.
Mak Mah dan Al Fatah sepakat mengimpikan untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama suatu hari nanti sebagai percutian bulan madu paling berharga.
Jelas Al Fatah, selain mengimbau lokasi perkenalan awal mereka, sebagai seorang Muslim, dia beranggapan tanah suci Mekah dan Madinah adalah lokasi paling diangankan untuk dijejaki.
Sementara itu Adlin dan Emelda berkata, mereka berkongsi kegembiraan dan kesyukuran ibunya yang lama hidup sendiri kini sudah memiliki teman sehidup semati.
Justeru, pasangan suami isteri itu mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kemudahan ibu dan bapa tiri baharunya itu menjalani kehidupan dan beribadah.
"Selain mengharapkan 'adik' baharu, saya juga pening nak balik kampung mana, sama ada Felda (kediaman Al Fatah), Meru (rumah Mak Mah) atau Perak (kampung Emelda) pada Aidilfitri tahun ini," selorohnya sambil mengerling kepada Emelda.

Friday, December 20, 2013

Farawahida sorok Shukur lapan tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


RAHSIA identiti kekasih hati Farawahida yang hanya dikenali sebagai Mr. A tersimpan rapi selama lapan tahun.
Namun, ia akhirnya terlerai selepas lelaki yang disifatkan pemalu itu sah memiliki penyanyi bersuara lantang tersebut menerusi ikatan perkahwinan pada Isnin lalu.
Abdul Shukur Mohd. Zain, 29, hanya memerlukan sekali lafaz sahaja untuk menjadi suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu tersebut.
Disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Sentosa Villa Resort menjadi lokasi bersejarah dua jiwa tersebut yang dinikahkan Naib Kadi Air Kuning, Taiping, Imanuddin Zakaria.
Anggun dengan busana putih rekaan Syarakim, riak wajah Farawahida Razali, 28, tampak tenang duduk bersimpuh di pelamin yang bertemakan karangan laut, mutiara dan kulit siput.
Berbeza dengan Shukur, bacaan lafaz taklik perkahwinan tersekat-sekat dan terhenti beberapa kali setelah dia gagal menahan sebak dan air mata yang tumpah di pipi.
Mengulas emosinya pada waktu itu, Shukur yang merupakan seorang usahawan memberitahu, terma dan syarat dalam lafaz taklik yang mewajarkan pembubaran perkahwinan amat mengentarkan jiwanya.
“Bagi saya, perkahwinan cuma sekali dan untuk sepanjang hayat. Tak mampu saya membayangkan perpisahan.
“Saya juga agak gementar kerana akad nikah bukan sekadar lafaz mewajarkan hubungan suami isteri tetapi juga amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul sebagai pemimpin keluarga yang baharu dibina,” jelas anak jati Klang, Selangor itu ketika ditemui usai upacara pernikahan tersebut.
Merahsiakan jumlah wang hantaran kecuali untuk pengetahuan keluarga terdekat, Farawahida menerima mas kahwin RM1,000 berserta dua bentuk cincin emas.
Pengantin lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran iaitu beg tangan, persalinan, komputer riba, minyak wangi, buah-buahan, sejadah dan telekung serta satu persalinan.
Pihak pengantin perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran. Antara yang menarik perhatian ialah empat buku biografi negarawan, tokoh perniagaan dan sukan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Nelson Mandela, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alex Ferguson.
Selain itu, Farawahida turut menghadiahkan suaminya, Ipad, sebuah tafsir al-Quran, seutas jam tangan, buah-buahan kering, minyak wangi, tali pinggang dan tali leher, sirih junjung serta buah-buahan.
Gelodak jiwa
Menyentuh semula tentang emosi dirinya sewaktu melalui detik-detik akhir zaman daranya, ujar Farawahida, biarpun luarannya nampak tenang namun hanya Tuhan yang mengetahui gelodak dalam jiwanya.
“Saya tak risau kelancaran upacara pernikahan kerana yakin abang (Shukur) mampu melaluinya. Namun yang lebih membuatkan saya gelisah tentang cabaran dan tanggungjawab menanti sebaik menjejakkan kaki ke alam rumah tangga.
“Oleh itu, kami sentiasa mengharapkan keberkatan Allah dan restu keluarga serta peminat agar kehidupan yang baru dibina kekal rukun hingga ke jannah,” pintanya.
Mengimbas detik awal perkenalan mereka, ujar Farawahida, dia dan Shukur mula dipertemukan sewaktu masing-masing mewakili sekolah pada pertandingan sayembara puisi pada tahun 2001.
“Namun kami tidak bertegur sapa sehinggalah bertemu semula pada majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah saya di Taiping pada tahun 2005. Shukur yang mengikut salah seorang rakan sekolah saya menyertai program itu menggamit perasaan saya.
“Kami mula rapat setahun kemudian sebelum serius membicarakan soal perkahwinan beberapa tahun kemudian,” cerita penyanyi tersebut.
Shukur yang berada di samping isterinya itu pula menyampuk. Ujarnya, penglibatan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan secara sambilan termasuk menjadi hos rancangan bual bicara Hello On 2 pada tahun 2009, merapatkan lagi hubungan dirinya dengan Farawahida.
“Namun, sifat pemalunya sukar dikikis. Seingat saya, kami tak pernah bergambar bersama kecuali untuk praperkahwinan baru-baru ini. Tapi hari ini (Isnin lalu), boleh rakam gambar kami banyak-banyak,” selorohnya.
Hikmah
Mengakui berkasih selama lapan tahun sebagai tempoh yang agak panjang, Shukur tetap mengambil hikmah dan menganggap ruang masa tersebut membolehkan dia dan Farawahida lebih mengenali hati budi masing-masing dan menunjukkan karakter sebenar tanpa berlindung.
“Saya mempunyai masa untuk memahami kerjaya Farawahida sebagai penyanyi sekali gus yakin dapat menyesuaikan diri dalam dunia selebriti yang penuh onak duri,” ujarnya.
Farawahida pula mengakui selesa bersama Shukur kerana selain ahli keluarganya, jejaka lulusan Universiti Malaya itu merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan setiap kali dia dilanda kontroversi demi kontroversi sepanjang bergelumang dalam industri seni.
Dalam pada itu, Farawahida dan Shukur sepakat tidak merancang zuriat sebalik berserah kepada ketentuan Illahi termasuk bersedia bergelar ayah dan ibu dalam masa terdekat.
Memilih untuk menjelajah beberapa pulau-pulau peranginan terkenal tanah air sebagai lokasi berbulan madu, bagaimanapun masih belum menetapkan tarikhnya memandangkan mereka sibuk dalam kerjaya masing-masing.
“Shukur mempunyai jadual yang cukup ketat bagi menguruskan perniagaan manakala saya yang akan meneruskan karier sebagai penyanyi selepas ini menyasar mengeluarkan single terbaharu pada awal tahun hadapan.
“Mungkin kami akan curi-curi masa untuk selit aktiviti berbulan madu apabila ada sedikit kelapangan kelak,” beritahunya.
Majlis resepsi pasangan dua sejoli itu yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak itu turut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis seperti Ifa Raziah, Fazli Zainal, Ayu Damit dan Salma.

Tuesday, December 17, 2013

Farawahida bergelar isteri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


TAIPING - Semalam merupakan hari paling bahagia buat penyanyi bermata bundar, Farawahida apabila sah dinikah dengan jejaka pilihannya, Abdul Shukur Mohd. Zain.
Dengan sekali lafaz, Farawahida Razali, 28, yang popular dengan lagu Tanpamu sah menjadi isteri kepada usahawan, Abdul Shukur, 29.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Naib Kadi Air Kuning, Imanuddin Zakaria dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada pukul 10.30 pagi.

Farawahida  yang merupakan anak keempat daripada enam beradik kepada pasangan Razali Nordin, 56, dan Nurmah Omar, 51, menerima mas kahwin RM1,000 dan dua bentuk cincin.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan jumlah wang hantaran diterima.

Penyanyi itu turut menerima tujuh dulang hantaran daripada suaminya dan membalas sembilan dulang hantaran bagi pihak pengantin perempuan.

Turut hadir pada majlis pernikahan berkonsepkan Pulau Rahsia ialah ibu bapa Abdul Shukur, Mohd. Zain, 55, dan Soboriah Abdul Razak, 48, yang berasal dari Klang, Selangor.

 Farawahida  dan Abdul Shukur yang anggun berbusana putih rekaan Syarakim bersyukur jalinan percintaan mereka sejak lapan tahun akhirnya berjaya disimpul dengan ikatan perkahwinan.

Kedua-dua mempelai kemudian diraikan dalam majlis persandingan yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini pada pukul 8.30 malam tadi.

Monday, February 25, 2013

400 baju-T ekslusif Kosmo! jadi rebutan

IPOH - Bagai pisang goreng panas.

Sebanyak 400 helai baju-T eksklusif Kosmo! diagih-agih kepada pengunjung bertuah dalam tempoh 24 minit sahaja pada Malam Gala Royal Belum World Drums Festival di sini malam tadi.

Hujan renyai tidak menjadi penghalang untuk pembaca setia akhbar ini beratur panjang sejak dari pukul 6.30 petang lagi.

Pengunjung hanya dikehendaki membawa tiga keratan kepala akhbar Kosmo! bagi menukarkannya dengan baju-T istimewa berkenaan di kaunter urus setia yang dibuka seawal pukul 8 malam di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini.

Pengurus Acara Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd., Ruzaini Abdul Razak berkata, pemberian b baju-T dengan kerjasama Kosmo! tersebut bagi menghargai pengunjung khususnya pembaca akhbar berkenaan yang sudi memeriahkan acara tersebut.

"Kita memang sudah menjangkakan sambutan hangat orang ramai terhadap pemberian baju-T eksklusif Kosmo! tersebut berdasarkan penganjuran kali pertama acara ini pada  tahun lalu.

"Saya berharap dapat bekerjasama lagi dengan Kosmo! untuk penganjurkan Royal Belum World Drums Festival pada tahun hadapan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sebanyak 11 kumpulan dram dari beberapa negara seperti Australia, Azerbaijan, Mesir, Maldives, India, Indonesia. Vietnam dan Thailand menyertai festival anjuran kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events.

Aksi dram pukau penonton


IPOH – Royal Belum World Drums Festival 2013 yang berlangsung di Perak sejak lima hari lalu menutup tirainya malam tadi dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

Persembahan kesemua 11 pasukan dari 10 negara pada Malam Gala tersebut berjaya memukau lebih 10,000 pengunjung.

Biarpun bandar raya Ipoh dilanda hujan renyai, mereka yang membanjiri lokasi festival sejak pukul 8 malam nyata terhibur dengan aksi dan kemahiran kumpulan dram tempatan dan antarabangsa.

Persembahan dimulakan kumpulan Rhythm of Malaysia yang menjuarai pertandingan Royal Belum World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan.

Anak-anak muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak mensia-siakan penghormatan itu dengan memberi persembahan bertenaga.

Suasana semakin gamat apabila kumpulan Harubee dari Maldives muncul menampilkan persembahan gendang dan tarian ala aksi filem Tamil.

Keceriaan jelas tergambar ketika penonton bersorak dan bertepuk tangan mengiringi persembahan dua lagi wakil negara iaitu Aswara Percussion Ensemble (APE) dan Perkusi Gatra.

Persembahan kumpulan antarabangsa lain seperti Natiq Rhythm (Azerbaijan), Tataloe Percussion (Indonesia), Wicked Aura (Singapura), Wild Marmalade (Australia) dan Egyptian Nile Folkoric Musical Troupe (Mesir) juga tidak kurang hebatnya.

Kumpulan dram dari Mesir memukau penonton dengan tarian seorang penari lelaki yang menggunakan teknik putaran kain yang mengasyikkan.

Persembahan yang bermula pada pukul 8.45 malam diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan merasmikan Malam Gala Royal Belum World Drums Festival 2013.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan negeri, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Datuk Hamidah Osman.

Sunday, February 24, 2013

Royal Belum World Drums Festival buka tirai hari ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 membuka tirainya hari ini dengan persembahan pembukaan di dua buah lokasi iaitu Aeon Seri Manjung, Manjung dekat sini dan Taiping Sentral Mall, Taiping.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak,  Musa   Dun  berkata, lima kumpulan  dram  termasuk Aswara Percussion Ensemble akan membuat persembahan selama dua jam bermula pukul 4 petang di Aeon Seri Manjung.

"Jelajah sulung ini akan turut disertai empat kumpulan  dram  antarabangsa iaitu Pancasura STSI Bandung (Indonesia), Natiq Rhythm Group (Azerbaijan), Harubee (Maldives) dan Nakhonsawan Rajabhat University and Absolutely Thai (Thailand).

"Setiap kumpulan ini akan mempersembahkan kebudayaan dan irama  dram  negara masing-masing untuk santapan pengunjung," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Musa  berkata, jelajah  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 kemudiannya akan diteruskan di Taiping Sentral Mall pada sebelah malam.

Beliau berkata, persembahan berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam itu disertai kumpulan Tataloe Percussion (Indonesia), Wild Marmalade (Australia), Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe (Mesir) dan Wicked Aura (Singapura).

"Orang ramai terutama di sekitar Manjung dan Taiping dijemput memeriahkan kedua-dua program jelajah tersebut," katanya.

 Musa  berkata, Rhythm of Malaysia (ROM) yang baru memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu akan diberi penghormatan untuk membuat persembahan pada acara kemuncak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad ini.

Katanya, pihak penganjur juga memutuskan kumpulan Perkusi Gatra yang merupakan johan pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat Perak selain meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan diberi peluang sama membuat persembahan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Festival dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.

Tuesday, February 19, 2013

Kumpulan ROM bersedia gegar

Berjanji beri persembahan hebat pada Royal Belum World Drums Festival 2013


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kumpulan Rhythm of Malaysia ( ROM ) sudah bersiap sedia untuk memberi persembahan hebat pada  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 yang bermula esok.

Pengurusnya, Norazman Mohd. Ramli (gambar kecil) berkata, semua 17 anggota kumpulan tersebut giat berlatih bagi menghadapi festival bertaraf antarabangsa itu.

"Persiapan rapi dibuat dengan berlatih setiap hari sejak memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu.

"Kami mahu memberi persembahan bertenaga bukan sahaja untuk menyaingi kumpulan dram dari luar negara, malah bagi membalas kepercayaan penganjur yang memilih  ROM  mewakili negara," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, berbanding persembahan pada Sabtu lalu yang berkonsep tradisional, pihaknya bercadang menyuntik elemen muzik moden dalam persembahan pada  Royal Belum  World Drums Festival 2013 nanti.

Katanya, beberapa instrumen dram moden akan turut dimainkan bagi diharmonikan dengan irama pukulan rebana ubi, gendang, cak lempung dan geduk.

ROM  terpilih mengisi mewakili negara selepas menewaskan cabaran sembilan pasukan tempatan lain pada pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan di RTC Gopeng dekat sini pada Sabtu lalu.

Kumpulan yang diketuai Zulbakri Ujang itu dianggotai sebahagian besarnya oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Satu lagi pasukan yang akan mewakili Malaysia ialah Kumpulan Aswara Percussion Ensemble.

Royal  Belum  World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung selama lima hari turut disertai kumpulan dari Azerbaijan, Australia, Nigeria, Mesir, India, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Sunday, February 17, 2013

INFO Atur cara Royal Belum World Drums Festival 2013


20 Februari 2013 (Rabu)
Persembahan Dram
Tempat : Aeon Seri Manjung
Masa : 4 petang - 6 petang
Tempat : Taiping Sentral Mall, Taiping
Masa : 8 malam - 10 malam

21 Februari 2013 (Khamis)
Persembahan Dram
Tempat : Mydin RTC Gopeng
Masa : 2 petang - 4 petang
Tempat : Mydin Meru Raya, Ipoh
Masa : 8 malam - 10 malam

23 Februari 2013 (Sabtu)
Majlis pembukaan
Tempat : Padang Lapangan Terbang Gerik
Masa : 8.45 malam - 11.30 malam

24 Februari 2013 (Ahad)
Majlis Penutup
Tempat : Dataran MBI, Ipoh
Masa : 8.45 malam - 11.30 malam

Untuk makluman lanjut layari :

laman web :
www.royalbelumworlddrumfest.com

facebook :
royal belum world drums festival 2013

twitter : @royalbelumwdf

youtube : worlddrumsfest

instagram : worlddrumsfest


ROM bawa cabaran Malaysia

Bakal bertanding pada Royal Belum World Drums Festival 2013

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.my

GOPENG - Kumpulan Rhythm of Malaysia (ROM) dari  Hulu Bernam, Selangor mengisi slot terakhir bagi mewakili negara pada  Royal Belum World Drums Festival 2013 yang bakal bermula Rabu depan.

Kumpulan dram dianggotai 17 anak muda yang  sebahagian besarnya merupakan pelajar Universiti Sultan Idris Shah  (UPSI) mengatasi sembilan kumpulan lain pada pertandingan peringkat kebangsaan di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini semalam.

Berikutan kejayaan itu, mereka meraih wang tunai RM18,000.

ROM akan mewakili negara pada Royal Belum Wold Drums Festival 2013 di enam lokasi di Perak bersama satu lagi kumpulan dram tempatan, Aswara Percussion Ensemble.

Pengurus ROM, Norazman Mohd. Ramli berkata, selain gendang kumpulan terbabit bermain pelbagai alatan muzik  tradisional seperti rebana ubi, geduk, seruling dan cak  lempung.

“Peluang beraksi bersama kumpulan dram dari seluruh dunia nanti menjadi kebanggaan kepada kami," katanya selepas majlis penyampaian hadiah oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan,  Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan  Perak, Datuk Hamidah Osman.

Royal Belum World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung selama lima hari disertai kumpulan dari Azerbaijan, Australia, Nigeria, Mesir, India, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Wednesday, February 13, 2013

15 kumpulan bakal berentap

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sebanyak 15 kumpulan dram tempatan bakal berentap bagi mengisi satu lagi slot untuk mewakili negara dalam Royal Belum World Drums Festival 2013 pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, pertandingan peringkat kebangsaan itu akan diadakan di Mydin RTC Gopeng dekat sini.

"Tiga kumpulan dram iaitu Perkusi Gatra, Sekolah Integrasi Sultan Azlan Shah, Bota serta Persatuan Gendang Anak Harimau Perak bakal mewakili negeri Perak dalam pertandingan tersebut.

"Mereka dipilih menerusi pertandingan dram peringkat negeri yang diadakan di Teluk Intan pada 9 dan 10 Februari lalu," katanya di sini semalam.

Hamidah berkata, kumpulan yang memenangi pertandingan itu nanti berpeluang beraksi pada Royal Belum World Drums Festival 2013 bersama sebuah lagi kumpulan dari Malaysia iaitu Aswara Percussion Ensemble.

Selain itu, beliau memberitahu, juara pertandingan peringkat kebangsaan itu bakal meraih wang tunai RM18,000.

"Naib juara akan menerima wang tunai RM12,000 manakala RM6,000 untuk kumpulan yang mendapat tempat ketiga.

"Saya harap orang ramai dapat memeriahkan pertandingan itu yang merupakan acara pemanas badan Royal Belum World Drums Festival 2013," katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, Royal Belum World Drums Festival 2013 yang bakal berlangsung selama lima hari mulai 20 Februari ini menjanjikan kepuasan kepada peminat muzik irama dram.

Menurut beliau persembahan bertaraf antarabangsa yang memasuki edisi kedua tersebut dijangka disertai kumpulan dram dari 10 negara.

Festival itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.