Translate

Wednesday, September 22, 2010

"Kami tunggu kepulangan mereka"

KAMPAR - Biar apapun terjadi, ibu kepada pasangan kembar, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin yang hilang bersama seorang rakan sekolah sejak 11 hari lalu tetap menerima kembali ke pangkuan mereka.

Harlizah Samah, 44, juga tidak mempercayai yang anak kembar berusia 14 tahun itu tidak mahu pulamng ke rumah setelah dijumpai polis di Pulau Pinang semalam.

"Tak mungkin. Saya yakin mereka selamat dan pandai jaga diri. Selepas pulang nanti, kami sekeluarga akan pastikan kejadian ini tidak berulang lagi.

"Walaupun rasa lega dengan penemuan mereka, saya terkejut juga mereka boleh pergi sejauh Pulau Pinang sebab saya sendiri pun belum pernah sampai ke sana," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Sentosa di sini semalam.

Katanya, dia tidak tahu dua anaknya itu mempunyai hubungan dengan dua lelaki yang turut ditahan di sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

Sementara itu, Che Norliah Che Mat, 47, ibu kepada Suhaili Abdul Razak, 14, yang turut melarikan diri bersama pasangan kembar itu tergamam dengan penemuan anaknya itu.

"Saya sedang makan nasi ketika dihubungi polis pada 10 pagi tentang penemuan Suhaili, Nurulain dan Nurulasqikin.

"Diharap dia dapat pulang segera ke pangkuan kami dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Aziz Salleh mengesahkan penahanan tiga remaja perempuan terbabit di Pulau Pinang.

Katanya, mereka dihantar di sebuah hospital untuk pemeriksaan manakala dua teman lelaki Suhaili dan Nurulasqikin ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang dan dibantu IPD Kampar," katanya.

Keunikan prasejarah Gua Tambun tidak disedari

IPOH - Jaraknya cuma lapan kilometer dari pusat bandar raya ini namun kewujudan khazanah sejarah berharga di negara ini bagaikan kurang disedari.

Gua Tambun yang terletak berhampiran dengan Kem Syed Putra di sini sebenarnya menyimpan koleksi lukisan purba zaman neolitik yang dianggarkan berusia lebih 5,000 tahun dan dipercayai tertua di negara ini.

Sebanyak lebih 30 bentuk lukisan prasejarah seperti bentuk binatang, manusia, aktiviti perburuan binatang menggunakan lembing dan lakaran geometri dilakar di dinding gua terbabit.

Dipercayai lukisan berkenaan dilukis oleh masyarakat pra-sejarah dengan menggunakan bahan berwarna merah dikenali sebagai haemetite yang mudah didapati di kawasan batu kapur seperti Gua Tambun.

Lukisan berkenaan dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang pegawai tentera British, Leftenan R.L. Rawlings pada 1959 ketika sedang membuat rondaan pada zaman darurat.

Namun selepas penemuannya itu, tiada komitmen mana-mana pihak untuk memulihara mahupun mempromosi tarikan khazanah tidak ternilai itu.

Tinjauan Kosmo! mendapati lokasi Gua Tambun agak terpencil dan tersorok dan satu-satunya jalan untuk ke gua pra-sejarah terbabit ialah dengan merentasi sebuah ladang kuda milik sebuah syarikat swasta.

Pengunjung kemudiannya perlu mendaki kira-kira 160 anak tangga yang curam dan sebahagian struktur tangga tersebut belum sempurna pembinaannya.

Sesetengah lukisan pra-sejarah di situ didapati telah terhakis akibat faktor cuaca selain persekitarannya dicemari sampah-sarap dan kegiatan vandalisme.

Seorang penduduk, Mohamad Shahir Kamaruddin, 56, berkata, langkah jitu perlu diambil segera bagi memelihara dan memperkenalkan lukisan pra-sejarah di gua tersebut sebagai satu lagi tarikan pelancongan di bandar raya ini.

Beliau berkata, lokasinya yang hanya terletak kira-kira satu kilometer dari susur keluar Tambun ke Lebuh Raya Utara-Selatan yang dibuka hampir setahun lalu dapat membantu usaha tersebut.

Tradisi perjumpaan setiap tahun

Kecemerlangan MCKK terus diiktiraf apabila Big School dimasyhurkan sebagai Warisan Kebangsaan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata, keputusan untuk mengazetkan Big School bukan sahaja kerana usia dan senibina yang sudah melebihi 100 tahun tetapi peristiwa bersejarah yang berlaku di dalamnya dan sumbangan MCKK yang besar kepada perkembangan negara.

Pada Perang Dunia ke-2, Jepun telah menjadikan bangunan itu sebagai Markas Utama Wilayah Utara sebelum menukarkannya kepada hospital tentera.

"Big School kekal sebagai hospital tentera setelah penjajah British kembali semula ke tanah air pada 1945 namun MCKK kembali berfungsi pada 31 Januari 1947 atas desakan pengasas UMNO, Datuk Onn," katanya.

Mengulas peristiwa tersebut, Tun Haniff Omar berkata, keputusan penjajah British tidak membuka MCKK berkait rapat dengan pembentukan Malayan Union yang mengenetepikan hak istimewa orang Melayu.

Perintis sekolah berasrama

Namun hasil desakan murid tua yang diketuai Onn bukan sahaja memberi 'talian nyawa' kepada MCKK malah telah menjadi perintis kepada dasar membuka luas pintu sekolah itu kepada ramai anak Melayu marhaen lain yang berpotensi.

Onn turut menjadi pemangkin kepada penubuhan sekolah berasrama penuh perempuan pertama negara iaitu Malay Girl School, Kuala Lumpur pada 1947 (kini dikenali sebagai Kolej Tunku Kurshiah dan dipindahkan di Seremban pada 1962).

Seorang lagi murid tua MCKK, Tun Razak telah meneruskan kesinambungan perjuangan Onn memperkasa pendidikan kebangsaan terutamanya bumiputera.

"Semasa menjadi Menteri Pelajaran dari 1955 hingga 1957, beliau telah
menggunakan pengalamannya di MCKK untuk mereka model sama bagi pembukaan membuka enam sekolah berasrama penuh baru di seluruh negara," katanya.

Haniff berkata, kemuncak kejayaan Onn iaitu pemansuhan Malayan Union dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 turut dirayakan warga MCKK.

Sebuah sandiwara yang mengandungi sketsa lakonan semula peristiwa yang berlaku di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di King's House, Kuala Lumpur (kini Carcosa Seri Negara) antara dipersembahkan pelajar sekolah terbabit.

Pada akhir persembahan, dua buah lagu ‘Semenanjung Tanah Melayu’ dan ‘Jadilah Kesatria Budiman’ ciptaan Burgess telah dinyanyikan oleh semua hadirin dengan penuh keinsafan.

Dua lagu tersebut telah dinyanyikan semula oleh sekumpulan ahli Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA) diketuai Rahim Ismail (bekas pelajar MCKK tahun 1955) pada upacara pemasyhuran Big School sebagai Warisan Kebangsaan yang disempurnakan Sultan Azlan pada 26 Jun lalu.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Selain sokongan padu pihak Istana khususnya Sultan Azlan dan anakandanya, Raja Nazrin, keupayaan MCKK mengekalkan tradisi kecemerlangan banyak di pengaruhi oleh MCOBA.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1929, MCOBA yang berpengkalan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur itu menjadi wadah kepada bekas pelajar terus menabur bakti .

Komitmen MCOBA terhadap MCKK tetap utuh dan kesinambungannya telah diteruskan oleh kepimpinan terkini yang diterajui Tan Sri Megat Najimuddin Megat Khas sejak September 2006.

Antara aktiviti dianjurkan persatuan tersebut ialah Minggu Murid Tua iaitu perjumpaan murid-murid tua dengan guru dan pelajar semasa yang diadakan selama tiga hari pada setiap tahun.

Tradisi pakai tali leher

Kehadiran murid tua pada program tersebut pada setiap tahun boleh menjangkau sehingga 450 orang. Acara wajib bagi setiap pertemuan ialah perlawanan ragbi antara murid tua dan pelajar semasa.

Selain itu, kebanyakan murid tua juga mengekalkan tradisi memakai tali leher sekolah pada setiap Rabu.

Majlis makan tahunan untuk murid-murid tua turut dilangsungkan setiap tahun biasanya di Kuala Lumpur.

Sementara itu Pengetua MCKK, Anand Baharuddin berkata, untuk menjamin kualiti, hanya pelajar lelaki Melayu yang mempunyai kelayakan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah cemerlang sahaja terpilih menyertai sekolah berprestasi tinggi tersebut.

Ia meliputi pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pengambilan tingkatan 1 dan bagi tingkatan 4 pula perluminimum 8A dalam Penilaian Sekolah Menengah (PMR).

"Pelajar lelaki Melayu yang tersenarai dalam ranking 120 terbaik bagi UPSR dan 60 bagi PMR pada setiap tahun akan ditawarkan untuk menyertai MCKK.

"Namun kemasukan mereka tidak secara automatik. Ia tertakluk kepada pemohonan sekolah berasrama penuh yang dibuat pelajar terbabit melalui Sektor Sekolah Berasrama Penuh ( Sektor SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia," katanya yang memulakan tugas sebagai Pengetua MCKK mulai 2 Julai lalu.

Beliau yang merupakan murid tua MCKK tahun 1975-1979 memberitahu pada masa kini, sekolah tersebut mempunyai 630 orang pelajar, 64 guru dan 33 kakitangan sokongan.

Tuesday, September 21, 2010

Kenangan belajar di MCKK

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan institusi pendidikan ulung di bandar diraja Perak bukan sahaja sekolah berasrama penuh pertama negara, bahkan sistem pembelajarannya menjadi model kepada asas dasar pendidikan negara hari ini.

Dibina di atas tanah kurnia Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I seluas 16.2 hektar di Jalan Stesyen, Kuala Kangsar pada tahun 1905, sejarah MCKK banyak dirakam oleh bangunan asal sekolah itu yang kini dikenali sebagai Big School.

Bangunan yang bercirikan seni bina Greco-Roman itu dirasmikan pada tahun 1909. Lokasinya strategik, berhampiran Stesen Keretapi Kuala Kangsar dan Bukit Chandan yang menjadi lokasi pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Perak.

Di hadapan Big School terdapat sebuah padang yang menjadi tumpuan pelajar bermain tiga sukan teras kepada sekolah berprestasi tinggi itu iaitu ragbi, bola sepak dan kriket.

Di bahagian timur bangunan bersejarah itu pula terdapat sebatang pokok hutan hijau digelar Big Tree dan usianya lebih tua daripada Big School.

Sebelum wujudnya bangunan-bangunan lain di MCKK, Big School berfungsi sepenuhnya sebagai bangunan pentadbiran, kelas, dewan peperiksaan, asrama dan dewan makan.

Namun kini Big School berfungsi sebagai asrama bagi pelajar tingkatan empat dan lima sekolah terbabit.
Murid tua MCKK, Tun Haniff Omar menyifatkan pembinaan Big School sebagai penunjuk aras kejayaan perkembangan pendidikan bumiputera di negara ini.

Haniff yang pernah menjadi Ketua Pengawas MCKK pada tahun 1956 berkata, MCKK tertubuh atas cadangan Pegawai Pendidikan Negeri Melayu Bersekutu, R.J. Wilkinson.

Idea itu mendapat sokongan pihak istana empat negeri Melayu iaitu Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I; Sultan Selangor, Sultan Alaiddin Sulaiman; Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Ketika itu, orang-orang Melayu belajar setakat darjah enam sahaja. Jika mahu melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, mereka perlu ke sekolah Inggeris,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mencungkil bakat pelajar

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK itu memberitahu, tiga sekolah Inggeris yang wujud di Malaya (Malaysia) pada masa itu ialah Penang Free School, Pulau Pinang; Central School, Taiping; Perak (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, Taiping dan Government English School, Kuala Kangsar (kini SM Clifford).

Begitupun menurutnya, kurang sepuluh peratus pelajar Melayu berada di sekolah-sekolah Inggeris kerana tidak diberi peluang, selain faktor kemiskinan dan agama.

“Bekas pengetua Penang Free School ke-10, W. Hargreaves dilantik menjadi pengetua pertama MCKK dengan pengambilan sulung seramai 40 orang pelajar.

“Kejayaan beliau mencungkil bakat pelajar Melayu telah membawa kepada pembinaan bangunan kekal MCKK iaitu dua tahun selepas penubuhannya dan dirasmikan pada 1909 oleh Sultan Idris I,” katanya.

Haniff memberitahu, bangunan itu kemudiannya dikenali sebagai Big School selepas pembinaan sebuah lagi bangunan sekolah iaitu Prep School kira-kira tiga tahun kemudian.

Beliau berkata, Hargreaves juga bertanggungjawab menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah Inggeris bermula dengan Penang Free School. Dengan memperkenal Special Malay Class bagi membuka ruang kepada pelajar bumiputera dari sekolah Melayu mendapat pendidikan lebih tinggi.

Bekas Ketua Polis Negara ke-empat itu berkata, pada mulanya, MCKK adalah institusi pendidikan untuk golongan elit Melayu khasnya kerabat diraja untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Namun selepas kebangkitan nasionalisme Melayu pada tahun 1947, syarat kemasukan dilonggarkan. Anak-anak Melayu yang berpotensi tanpa mengira darjat dan status berpeluang belajar di MCKK daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Kehidupan remaja

Mengimbas kenangan Haniff semasa menuntut di MCKK, Big School telah menyaksikan ramai pemerintah, pembesar, pemimpin dan tokoh korporat terkemuka negara membesar dan melalui kehidupan remaja mereka.

Antaranya termasuklah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor ketujuh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan anakandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Sultan Selangor kelapan.

Termasuk dalam senarai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein; Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar; Yang Dipertua Melaka, Tun Khalil Yaakob; Menteri Besar Perak pertama, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz dan Sultan Brunei ke-28, Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah; perunding motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan bekas Pengerusi DRB-Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad adalah bekas pelajar MCKK.
“Di Big Schoollah tempat kami belajar, mandi, tidur dan bermain. Boleh dikatakan keperibadian kami banyak terbentuk di Big School.

“Sebenarnya beberapa pelajar asal MCKK seperti Datuk Onn dihantar ke Big School bukan untuk belajar bahasa Inggeris tetapi untuk dibentuk menjadi Melayu semula,” katanya.

Haniff memberitahu, generasi awal MCKK turut didedahkan dengan buku-buku kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dalam tulisan Jawi bagi mengenal dan membina jati diri Melayu di kalangan mereka.

MCKK juga mendahului dalam pengajian agama dengan menjadi sekolah terawal yang menyediakan silibus pendidikan Islam secara formal.

Sukan dan debat

“Guru-guru yang mengajar di sini bukan calang-calang. Antaranya Pendita Zaaba (Zainal Abidin Ahmad) dan pengubah muzik dan novelis terkemuka, Anthony Burgess,” katanya.

MCKK juga cemerlang dalam bidang sukan dan debat. Selain padang utama di hadapan Big School, sekolah tersebut mempunyai dua padang lain iaitu padang hoki dan padang serbaguna.

Menurut Penolong Kanan (Pentadbiran) MCKK, Safuan Rabaai pula, semua pelajar dibahagikan kepada empat rumah sukan yang dinamakan sempena nama penaung asal iaitu Rumah Sulaiman, Ahmad, Mohd. Shah dan Idris.

Beliau berkata, sehingga kini MCKK masih mempunyai reputasi tinggi dalam beberapa disiplin sukan terutamanya ragbi dan kriket.

Sejak tahun 1960, sekolah tersebut mengadakan perlawanan ragbi tahunan menentang Kolej Vajiravudh iaitu sebuah sekolah elit di Bangkok, Thailand.

Perlawanan tersebut diadakan di Bangkok pada tahun genap dan di Kuala Kangsar pada tahun ganjil.

Rumah terbakar semasa rai hari jadi ibu

IPOH - Keceriaan meraikan hari ulang tahun bertukar duka buat sebuah keluarga apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Menglembu Timur 23, Menglembu dekat sini semalam.

Kebakaran itu disedari seorang jiran ketika pemilik rumah, Char Woi Fong, 40-an, meraikan ulang tahun kelahiran ibunya, Ng Heng Moi yang ke-88 di sebuah restoran berhampiran kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Woi Fong berkata, beliau dihubungi jirannya yang memaklumkan kebakaran itu ketika sedang menikmati makan tengah hari bersama ibu dan anak saudaranya, Zhan Kor Hoi, 32.

"Hari ini (semalam) ibu saya genap berusia 88 tahun. Tak sangka pula pada hari yang sama kami kehilangan rumah yang didiami sejak 25 tahun lalu. Mujur tiada siapa di rumah ketika itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Woi Fong berkata, berikutan kebakaran itu, mereka sekeluarga kerugian hampir RM40,000 termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan di hadapan rumah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Abdul Rahman Mohd. Som berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 12.39 tengah hari.

"Kami dapat mengawal kebakaran tersebut sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian namun 80 peratus rumah terbabit telah hangus," katanya.

Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bahagian hadapan rumah tersebut namun punca kebakaran masih disiasat.

Sunday, September 19, 2010

Masya Qurniea ceriakan raya keluarga Exco Perak

BATU GAJAH - Sambutan Aidilfitri Pengerusi Jawa tankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman sekeluarga tahun ini lebih bermakna dengan ke hadiran anak angkat baru, Masya Qurniea Abdullah yang kini berusia enam bulan.

Bayi malang yang pernah ditinggalkan di sebuah kawasan semak berhampiran Pusat Perniagaan Medan Ipoh dekat sini menjadi sebahagian daripada keluarga Exco Kanan Perak itu sejak kira-kira empat bulan lalu.

Hamidah berkata, permohonan beliau untuk menjadi ibu angkat kepada Masya Qurniea telah diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 22 Mei lalu ketika bayi itu berusia dua bulan.

“Kehadiran Masya Qurniea menceriakan kehidupan saya, suami dan empat anak kami yang sudah besar.

“Kami ghairah membeli baju raya untuk dia termasuk yang dibeli adik-beradik dan saudara-mara saya, berbelas-belas helai juga,” kata beliau ketika mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini semalam.

Pada majlis itu, lebih 2,000 termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hadir.

Kosmo! 23 Mac lalu melaporkan Hamidah yang prihatin dengan kes-kes pembuangan bayi telah menyuarakan hasrat untuk mengambil Masya Qurniea sebagai anak angkat semasa melawat bayi malang itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sebelum itu bayi perempuan itu ditemui dalam kesejukan dan berbalut dengan sehelai kain oleh orang ramai sebelum dihantar ke HRPB pada 20 Mac lalu.

Saturday, September 18, 2010

Pesara hilang masih belum ditemui

IPOH - Kehilangan seorang warga emas, K.V. Kurusamy, 64, membingungkan polis apabila usaha untuk menjejak mayatnya di dasar bekas lombong di Taman Rasi Jaya, Menglembu sejak 10 hari lalu gagal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, sebelum ini polis mendapat petunjuk mangsa berkemungkinan lemas di dasar bekas lombong itu.

“Ia berikutan penemuan motosikal dan pakaian milik Kurusamy di tebing bekas lombong berkenaan pada sehari selepas dilaporkan hilang pada 7 September lalu.

“Namun mayat mangsa masih gagal ditemui biarpun sudah 10 hari operasi mencari dilancarkan polis dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hingga ke dasar bekas lombong terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini semalam.

Ibrahim berkata, ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis setelah Kurusamy yang merupakan seorang pesara tidak pulang ke rumahnya di Bandar Baru Lahad di sini seharian setelah keluar sendirian dengan menunggang motosikal pada tiga hari sebelum hari raya pertama.

Menurut beliau, polis kemudiannya menemui motosikal, pakaian serta dokumen pengenalan mangsa di tebing bekas lombong terbabit kira-kira lima kilometer dari rumahnya pada keesokan harinya.

“Oleh kerana mangsa masih belum dijumpai setelah 10 hari dilaporkan ghaib, polis tidak menolak kemungkinan ke hilangannya ada unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di bekas lombong berkenaan mendapati pasukan pencari yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat dan JPAM masih meneruskan ope rasi mencari mangsa di dasar bekas lombong terbabit.

Friday, September 17, 2010

Identiti pemandu BMW dikenal pasti

TAPAH - Identiti mayat lelaki yang berkecai akibat digilis beberapa kenderaan setelah mengalami kemalangan di Ki lometer 346.7 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Sungkai dekat sini awal pagi kelmarin dikenalpasti sebagai Amiruddin Darus, 51.

Timbalan Ketua Polis Tapah, Deputi Supritendan Ab dullah Arshad berkata, jenazah mangsa yang berasal dari Padang Tembak, Teluk Intan kira-kira 30 kilometer (km) dari sini telah dicam waris di Hospital Tapah lewat petang kelmarin.

“Menurut ahli keluarganya, Amiruddin yang merupakan pengusaha ladang kelapa sawit dalam perjalanan pulang ke rumah di Teluk Intan dari Kuala Lumpur.

“Sebelum itu dia menghantar salah seorang anaknya pulang ke asrama sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara selepas cuti beraya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini semalam.

Kelmarin mangsa yang memandu kereta BMW ditemui dalam keadaan berkecai akibat digilis beberapa kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan selepas tercampak keluar apabila kereta yang dipandu terbabas dan terbakar kira-kira 1.30 pagi.

Tangisan bayi di bawah jambatan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH – Seorang bayi lelaki dijumpai dalam keadaan kesejukan dan dihurung serangga di bawah sebuah jambatan merentasi Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah, Sungkai dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi malang yang dipercayai berusia dua hari itu dijumpai oleh seorang remaja perempuan, Nurul Ain Zakaria, 16, yang terdengar suara tangisan kira-kira pukul 5.40 petang.

Beliau berkata, sebelum itu Nurul Ain sedang menunggu ibu dan adik lelakinya untuk pulang ke rumah di Menderang, Sungkai setelah berkelah di Sungai Tesong tidak jauh dari situ.

“Setelah dicari bunyi suara tangisan itu, remaja dan keluarganya menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat tanpa pakaian di bawah jambatan tersebut.

“ Mereka kemudian melaporkan penemuan bayi lelaki tersebut kepada pihak polis. Pemeriksaan turut menemui tompokan darah yang disyaki milik bayi atau ibunya di lokasi terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini semalam.

Abdullah berkata, bayi lelaki seberat 1.9 kilogram (kg) itu mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung dipercayai akibat gigitan semut.

Beliau berkata, bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai sebelum dirujuk ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bayi lelaki dipercayai berketurunan Melayu itu disahkan stabil dan kini telah ditempatkan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Polis telah menubuhkan pasukan untuk mengesan ibu dan waris bayi terbabit dengan bantuan beberapa hospital dan klinik berdekatan. Sampel darah bayi tersebut telah diambil untuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai mempunyai maklumat mengenai penemuan bayi tersebut dipinta menyalurkannya di balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Abdullah berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Thursday, September 16, 2010

4 mangsa rentung kereta rempuh lori

Pemilik spa kecantikan mati selepas kenderaan terlanggar lori berhenti

BEHRANG - Empat orang termasuk tiga beranak maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah lori membawa muatan pasir di Kilometer 394, Lebuh raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Ulu Bernam dekat sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 8.05 pagi itu, mangsa-mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri Azri Ismail, 27, dan Suzita Abu Bakar, 25, serta anak mereka, Mohd. Akmal, 1 tahun.

Turut terbunuh, Mohd. Haznizam Abd. Mutalib, 20, dari Kampung Ela, Air Hangat, Langkawi. Haznizam mengikut pasangan itu untuk ke ibu negara bekerja di pusat rawatan spa milik suami isteri itu.

Pasangan itu tinggal di Dataran Sunway, Damansara, Selangor. Sebelum kejadian mereka pulang menyambut Aidilfitri di Matang Bonggor, Air Itam, Jerlun, Kedah.

Ketua Trafik Hulu Selangor, Supritendan Mohd. Taib Songoh berkata, siasatan polis mendapati kereta Proton Persona dipandu Azri merempuh bahagian kiri belakang lori pasir yang berhenti di laluan kecemasan lebuh raya kerana mengalami kerosakan mekanikal.

"Kereta dipandu Azri gagal dikawal lalu merempuh belakang lori terbabit dan rempuhan kuat tersebut telah menyebabkan enjin kenderaan terbabit meletup lalu terbakar.

"Semua mangsa termask bayi pasangan itu yang dipangku Suzita gagal diselamatkan dan rentung dalam kereta yang terbakar tersebut," kata beliau kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bahru dekat sini semalam.

Mohd. Taib berkata, polis tidak menolak kemungkinan mengantuk sebagai punca kemalangan itu memandangkan keadaan trafik pada masa itu lenggang dan cuaca baik serta difahamkan mangsa memulakan pemanduan selepas Subuh.

Beliau berkata, jenazah keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.

Sementara itu bapa saudara Mohd. Haznizam, Mad Saad Ahmad, 56, berkatam Haznizam sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur kelmarin menaiki bas berasa tiga kawannya setelah berhari raya di Langkawi.

3 gadis hilang berada di Teluk Intan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pasangan kembar, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin serta kawan mereka, Suhaili Abdul Razak yang menghilangkan diri sejak hari raya kedua lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Aziz Salleh berkata, ketiga-tiga gadis berusia 14 tahun itu dipercayai berada di Teluk Intan iaitu kira-kira 60 kilometer dari rumah mereka.

"Siasatan awal mendapati Nurulain, Nurulashiqin dan Suhaili telah bermalam di sebuah rumah kawan lelaki di Parit pada Sabtu lalu.

"Bagaimanapun, usaha polis untuk menjejaki ketiga-tiga gadis itu gagal apabila mereka telah bertolak di Teluk Intan dengan menaiki bas pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan tiga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Kampar termasuk pasangan kembar tidak pulang ke rumah selepas keluar ke pekan Kampar pada hari raya kedua lalu.

Ekoran itu, keluarga Suhaili dan Nurulain serta kembarnya, Nurulashiqin telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampar.

Dalam pada itu, Aziz memberitahu polis menolak kemungkinan Nurulain, Nurulashiqin dan Suhaili diculik namun punca mereka tidak pulang ke rumah masih belum diketahui.

Sementara itu, ibu pasangan kembar terbabit, Harlizah Samah, 42, memberitahu, Nurulain telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mereka dalam keadaan selamat kira-kira 10 malam kelmarin.

"Namun apabila kami cuba menghubungi telefon bimbitnya, panggilan kami tidak dijawab," katanya.

Harlizah berkata, biarpun lega kedua-dua anak kembarnya dan Suhaili selamat tapi dia berharap mereka pulang ke rumah dengan segera.

Peniaga pasar borong moden 'cabut lari'


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

GOPENG - Terminal Makanan Negara (Teman) di sini yang baru sebulan beroperasi didakwa bakal menjadi sebuah lagi projek 'gajah putih'.

Pembukaan pasar borong moden yang beroperasi dari 2 pagi hingga 6 pagi setiap hari itu dikatakan mendapat sambutan dingin hingga menyebabkan ramai peniaganya merungut.

Seorang peniaga di situ, Nizarman Mansor, 39, mendakwa keadaan itu memaksa seorang demi seorang peniaga di situ 'cabut lari' ekoran tidak sanggup menanggung kerugian.'

“Walaupun lebih 200 peniaga telah ditempatkan di Teman merangkumi bahagian sayur, ikan, daging dan ayam namun buat masa ini hanya 20 sahaja yang bertahan.

“Macam mana kalau nak berniaga kalau sekilogram pun susah nak jual dalam sehari sedangkan sewa bulanan RM1,000 perlu dibayar,” kata penjual sayur itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nizarman mendakwa ekoran senario tersebut beliau ter paksa menutup gerai sayurnya di Teman dan kembali berniaga di Pasar Gopeng sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, beliau dan kebanyakan peniaga lain tidak mempunyai pilihan walaupun telah mendapat surat amaran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FA MA).

Nizarman mendakwa sambutan dingin tersebut berpunca daripada kegagalan pihak berkenaan merealisasikan matlamat Teman sebagai pusat tumpuan peruncit mendapatkan bekalan.

Beliau mendakwa, kedegilan segelintir peniaga Pasar Borong Ipoh, Menglembu dekat sini berpindah ke Teman memburukkan lagi keadaan.

“Saya pun sudah tidak tahan memandangkan pelanggan tidak ramai dan jualan juga merosot.

"Saya harap masalah ini dapat diatasi seberapa segera demi kebaikan peniaga yang masih tinggal daripada terus mengalami kerugian," katanya.

Terminal Makanan Negara (Teman) Perak yang dibina dengan kos RM110 juta disasar menjadi pusat pengumpulan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging, ikan hiasan, bunga-bu ngaan dan lain-lain.

Pusat tersebut dikatakan mampu menstabilkan harga pasaran dan memastikan kelangsungan bekalan ikan dan sayur-sayuran khususnya untuk pasaran utara dan Lembah Klang.

100 peniaga pasar besar bimbang barang dicuri

IPOH - Kira-kira 100 peniaga ayam Pasar Besar Ipoh di sini berada dalam keadaan dilema kerana sering kehilangan peralatan dan barangan jualan akibat dicuri.

Seorang peniaga, Maimunah Mohd. Nor, 50, berkata, hampir setiap hari ada sahaja peralatan perniagaan seperti bakul, mangga besi, meja, rantai besi dan peti sejuk serta duit syiling dicuri.

“Pendek kata apa yang berharga akan dikebas termasuk reban ayam dan pelapik meja sekali pun. Ayam hidup dan ayam sembelih jangan ceritalah, pandang leka.

“Biasanya kecurian berlaku antara pukul 4 petang hingga 4 pagi semasa perniagaan kami belum beroperasi. Kami kerugian ratusan ringgit hampir setiap bulan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga, Noorlaila Azalli, 48, mendakwa gejala kecurian itu berleluasa kerana konsep pasar ayam itu yang terbuka tanpa berpagar.

Beliau berkata, ia memudahkan peralatan dan ayam jualan mereka dicuri terutamanya pada waktu malam dan awal pagi oleh golongan tidak bertanggungjawab terutamanya penagih dadah.

“Masalah ini telah diadukan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkali-kali tetapi isu kecurian tak pernah reda sejak 10 tahun lalu.

“Kami peniaga tiada pilihan terpaksa meninggalkan per alatan perniagaan di sini kerana perlu mencari rezeki setiap hari. Nak diubahsuai agar lebih selamat tak boleh kerana premis ini milik MBI,” katanya.

Wong Wan Soo, 68, pula mencadangkan agar MBI me masang pagar di sekeliling pasar ayam tersebut dan me ngupah pengawal keselamatan mengawal premis tersebut terutamanya pada waktu malam.

“Dulu memang ada pengawal keselamatan dan ketika itu isu kecurian tak begitu ketara. Namun sejak kira-kira 10 tahun lalu, MBI menghentikan perkhidmatan kawalan ke selamatan.

“Saya juga harap polis kerap melakukan pemantauan di sekitar pasar ini kerana kelibat penagih dadah memang ramai di sini,” katanya.

Tugas di hotel eratkan dua rakan

IPOH - Keakraban dua sahabat berlainan kaum menjadi salah satu tarikan kepada kehadiran pengunjung di Hotel Heritage di sini.

Steven Leong Sun Kit, 24, dan Nur Khadijah Saidi Ramlan, 23, berkawan rapat sejak mula berkhidmat di hotel tersebut hampir dua tahun lalu.

Steven yang berkhidmat sebagai Pengurus Kaunter Khid mat Pelanggan berkata, kemesraan mereka selaku rakan sekerja telah diterjemah dalam tugas seharian.

“Kami ada bidang tugas dan keistimewaan masing-masing. Saya di kaunter Khidmat Pelanggan sementara Nur Kha dijah di Makanan dan Minuman.

“Biasanya setiap pelancong luar negara yang menginap di hotel ini, saya akan syorkan mereka mencuba makanan tempatan terdiri daripada masakan Melayu, Cina dan India yang disediakan Nur Khadijah dan rakan-rakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Nur Khadijah berkata, masakan tempatan yang menjadi ‘air tangan’ bahagian Makanan dan Minuman hotel ber kenaan menjadi sebutan dan antara daya menarik tetamu asing kembali menginap ke hotel tersebut.

Saturday, September 4, 2010

Geng pecah rumah tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH – Polis percaya telah melumpuhkan sekumpulan penjenayah pecah rumah yang menjual peralatan elektrik curi pada harga murah kononnya ia terlepas cukai kastam di sekitar Bidor dekat sini sejak tiga bulan lalu apabila memberkas enam lagi lelaki.

Suspek-suspek berusia di antara 20 dan 30 tahun itu ditahan secara berperingkat selama dua minggu di sekitar Bidor hasil kecekapan polis menjalankan siasatan berdasarkan keterangan salah seorang suspek yang ditahan pada pukul 9.30 pagi 17 Ogos lalu di sebuah pasar raya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, selepas diperiksa, polis menemui cincin, rantai leher dan gelang tangan yang dipercayai dicuri pada suspek.

Friday, September 3, 2010

JPJ menyamar pantau orang ramai balik raya


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan menyamar sebagai orang awam untuk merakam gambar kesalahan pengguna jalan raya sempena perayaan Aidilfitri dari 4 September hingga 25 September ini.

Pengarah JPJ Perak, Jaafar Mohamed (gambar) berkata, skuad pemantau itu akan melakukan rondaan di 15 laluan maut yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Anggota penguat kuasa kami menaiki kereta persendirian dengan berpakaian biasa dan masing-masing akan membawa kamera digital bagi merakam kesalahan pengguna di jalan raya.

“Enam kesalahan menjadi keutamaan pemantauan ialah melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jaafar berkata, teknik penyamaran tersebut merupakan salah satu daripada enam strategi JPJ Perak untuk mengurangkan kemalangan maut sepanjang Ops Sikap 22.

Beliau berkata, pendekatan lain yang diambil ialah rondaan di laluan maut; pemeriksaan bas ekspres di depot dan terminal; kesalahan lebih muatan; larangan penggunaan kenderaan berat dan operasi bilik kawalan.

"Pada musim Aidilfitri tahun lepas, seramai 30 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya di seluruh Perak.

"Sehubungan itu,JPJ Perak menyasar untuk memastikan korban jalan raya pada musim perayaan kali ini tidak akan lebih 30 orang, jika tidak kami dianggap gagal," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jaafar memberitahu, semua laluan maut yang dikenal pasti di Perak merupakan jalan Persekutuan dan jalan bandaran iaitu Jalan Ipoh-Lumut; Jalan Ipoh-Teluk Intan; Jalan Ipoh-Kuala Kangsar; Jalan Ipoh-Butterworth dan Jalan Taiping-Pantai Remis.

Turut terlibat ialah Jalan Teluk Intan-Sitiawan; Jalan Teluk Intan-Bidor; Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam; Jalan Sitiawan-Ipoh, Jalan Sri Manjung-Lekir, Jalan Lumut-Sitiawan; Jalan Ipoh-Gerik; Jalan Ipoh-Tanjung Malim dan Jalan Gerik-Jeli.

Pelesit rempit buat kecoh pada malam merdeka

IPOH - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 malam semalam digunakan oleh pelesit rempit di sini untuk berlumba dan menunggang motosikal dengan cara berbahaya.

Akibatnya, seramai 33 pelesit rempit dicekup polis dalam satu operasi khas pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Trafik Perak, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, kesemua mereka termasuk dua wanita ditahan semasa berlumba haram di Jalan Sultan Idris dan Jalan Tun Razak di sini.

"Operasi yang bermula 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu membabitkan 48 anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Semua remaja berusia dari 17 hingga 26 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sebanyak 33 motosikal yang ditunggang pelesit rempit terbabit termasuk lapan yang ditinggalkan pemiliknya telah disita dalam operasi terbabit.

Di Kuala Terengganu, tindakan empat remaja menyambut kemerdekaan negara dengan cara melakukan aksi 'willy' (mengangkat tayar hadapan motosikal) mengundang padah.

Selain cedera akibat terbabas, empat remaja terbabit juga bakal berdepan hukuman di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dengan cara berbahaya.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Supritendan Che Khazahari Amat, kesemua remaja itu ditahan dalam operasi Ambang Merdeka/Samseng Jalanan sekitar bandar itu semalam.

"Dalam kes pertama, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun dan pemboncengnya telah ditahan kerana melakukan aksi berbahaya," katanya.

Menurutnya, remaja berkenaan ditangkap selepas mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dari polis di Jalan Kemajuan kira-kira pukul 3.50 pagi.

Jelasnya, kes kedua melibatkan dua remaja dari Kampung Pasir Panjang dekat sini yang menunggang secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat di Pengadang Baru dekat sini kira-kira pukul 3.40 pagi.

Petronas jamu pelajar antarabangsa UTP

JAMU. Petronas Dagangan Berhad (Petronas) menjamu lebih 1,000 hadirin termasuk pelajar antarabangsa berbuka puasa di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar baru-baru ini.

Turut diraikan pada majlis tersebut adalah seramai 60 penduduk terdiri daripada golongan kurang bernasib baik dari kawasan sekitar kampus.

Golongan kurang bernasib baik tersebut menerima sumbangan seperti duit raya, al-Quran dan persiapan menyambut Syawal yang disampaikan Naib Presiden Perbendaharaan Petronas, Nuraini Ismail dan Rektor UTP, Datuk Zainal Kasim.