Translate

Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

Saturday, November 28, 2020

Waris Pak Lah Cecupak terima faedah Perkeso

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Waris anggota kumpulan komedi, Pak Lah Cecupak yang meninggal dunia Sabtu lalu menerima faedah pencen penakat RM950 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya turut menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada waris Pak Lah atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin, 53.

Beliau berkata, balu Pak Lah, Rohamiza Ali, 52, layak menerima faedah pencen penakat tersebut sepanjang hayatnya sementara anak bongsu arwah, Muhammad Daniel, 18, pula sehingga dia menamatkan pengajian.

“Sebaik mengetahui berita kematian arwah (Pak Lah Cecupak) pada Sabtu lalu, Perkeso Terengganu telah mengambil inisiatif melakukan semakan.

“Kami segera meluluskan pemberian faedah pengurusan mayat dan pencen penakat menerusi Skuad Prihatin Perkeso demi kebajikan waris,” katanya ketika menziarahi Rohamiza dan keluarganya di Wakaf Tengah di sini semalam.

Pak Lah Cecupak turut meninggalkan dua anak lain iaitu Nor Amalina, 25, dan Muhammad Shahrul Nizam, 23.

Farihah berkata, Perkeso Terengganu sedia membantu Muhammad Daniel mendapat latihan kemahiran bersesuaian untuk membantu menyara keluarga selepas ketiadaan bapanya. – K! ONLINE

Wednesday, October 21, 2020

Keluarga Maimon terus dibantu

KUALA NERUS -  Kesukaran hidup dihadapi Maimon Yunus, 61, yang kudung kaki kiri bersama 13 anak dan cucunya terus mendapat perhatian.

Keluarga Maimon menerima kunjungan Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Saabi Wahab berkata, pihaknya bersimpati dan mengambil tanggungjawab untuk membantu meringankan beban Maimon. 

"EPIC memang sentiasa prihatin untuk membantu rakyat negeri ini yang kesusahan.

"Ia sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program EPIC Cakna dan Prihatin yang dilancarkan sejak tahun tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah Maimon di Kampung Baru Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan, lampin pakai buang, wang tunai dan makanan segera kepada keluarga wanita tersebut.

Sementara itu, Maimon berkata, dia bersyukur dan terharu menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak sejak kisahnya disiarkan Kosmo! pada akhir bulan lalu.

"Alhamdulillah bantuan yang diterima setakat ini saya rasa mencukupi untuk keperluan kami anak-beranak hingga hujung tahun.

"Saya juga dapat kembali membuka gerai menjual satar dan otak-otak sejak dua minggu lalu menggunakan sumbangan orang ramai," katanya.

Wednesday, October 14, 2020

APM bantu Maimon

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kesukaran kehidupan Maimon Yunus, 61, yang kudung kaki kiri bersama 13 anak dan cucunya mendapat perhatian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, agensi itu yang bersimpati dengan nasib ibu tunggal tersebut telah tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan, kerusi roda dan tilam.

"Saya telah diamanahkan Ketua Pesuruhajaya APM, Datuk Roslan Wahab untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga (Maimon) ini.

"Pengurusan kanan APM di ibu pejabat (Putrajaya) telah tersentuh dengan berita tentang kesukaran hidup keluarga ini yang disiarkan Kosmo! baru-baru telah mengutip derma kilat untuk membantu," katanya ketika ditemui selepas menziarahi Maimon di Kampung Baru Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Che Adam berkata, selain menjadi agensi penyelamat dan pengurusan bencana, APM juga sering menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban golongan memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, Maimon bersyukur dan tersentuh dengan keprihatinan APM dan pihak lain yang banyak membantu mereka sekeluarga.

"Saya telah menerima sumbangan hampir RM2,000 setelah kisah keluarga tersiar. Sebahagiannya telah digunakan untuk membaiki kereta Proton Wira peninggalan arwah suami dan membuka semula gerai menjual satar dan otak-otak.

"Budi baik mereka tidak mampu saya balas dan dikenang sehingga ke akhir hayat,"katanya.

Kosmo! 22 September lalu melaporkan kehidupan Maimon sekeluarga menjadi sukar selepas suaminya, Mohd. Abdul Ghani Idris, 69, meninggal dunia kerana barah paru-paru pada Ogos tahun lalu.

Kaki kiri wanita warga emas itu pula terpaksa dipotong akibat komplikasi diabetes.

Mereka sekeluarga yang hilang tempat bergantung sering mengikat perut dan berjimat cermat demi kelangsungan hidup.

Tuesday, October 13, 2020

Ibu tabah jaga anak Cerebral Palsy

MARANG - Seorang ibu tabah menjaga anak sulungnya yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori Cerebral Palsy sejak lahir. 

Khatijah Embong, 42, yang merupakan suri rumah berkata, Muhammad Arman Rahimi Rosli, 19, hanya terlantar di katil dengan semua keperluannya termasuk diberi minum susu khas dengan tiub setiap tiga jam.

"Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak sulung saya yang mesra dipanggil Ayob. Apatah lagi dia sering diserang sawan semasa kecil.

"Kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan suami (Rosli Ngah, 47) sebanyak RM1,050 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerong Seberang di sini semalam.

Terdahulu dia dikunjungi wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada Sahabat Infaq, Bukan Kerana Nama, Persatuan Kebajikan Asnaf Al-Fateh dan Anak Permata Syurga.

Khatijah berkata, keperluan Ayob seperti susu khas, lampin pakai dan tiub makanan mencecah RM1,600 sebulan.

Sehubungan itu, mereka sekeluarga terpaksa  berjimat cermat dengan mendahulukan keperluan Ayob dan empat lagi anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun.

Sementara itu, Pengasas Sahabat Asnaf, Wan Nurhidayah Wan Pauzi berkata, kunjungan mereka bukan sekadar untuk menghulurkan bantuan barangan keperluan tetapi bagi menyuntik sokongan moral.

Bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Khatijah yang bernombor 11114-29-00013493-1 atau menghubungi di talian 0139417817.


Tuesday, September 22, 2020

Ibu tunggal kudung kaki kiri rayu bantuan

KUALA NERUS - Ibu tunggal yang kudung kaki kiri terpaksa mencatu makanan setiap hari untuk berjimat cermat bagi membolehkan semua ahli keluarganya dapat makan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Maimon Yunus, 61, bersama tiga orang anak termasuk dua ibu tunggal yang tidak bekerja dan 10 cucu tinggal bersamanya kini hidup ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Selalunya, telur ayam dan budu menjadi hidangan harian kami untuk mengalas perut," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Kampung Batu Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Kehidupan ibu malang itu berubah sekelip mata sejak kematian suaminya, Mohd. Abdul Ghani Idris akibat barah paru-paru pada Ogos tahun lalu.

Lebih memeritkan keadaan, Maimon terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri sehingga ke paras lutut kerana komplikasi diabetes di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ketika arwah suaminya sedang bertarung nyawa di hospital yang sama.

"Sejak hari itu, kami hilang punca pendapatan yang mana sebelum ini, kami berniaga menjual sata dan otak-otak di Batu Enam di sini," jelasnya.

Maimon berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan bulanan anak bongsu, Mohd. Azmir, 18, sebanyak RM800 sebulan sebagai tukang sapu selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Tambah dia, tahap kesihatannya kini semakin merosot sehingga memaksa dia memakai lampin pakai buang bagi menguruskan diri.

Dia berharap agar dua anak perempuannya, Azizah, 42, dan Azlina, 41, dapat kembali berniaga bagi membantu menambah pendapatan bulanan keluarga.

Orang ramai boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Maimon iaitu 1110229000172136 atau menghubunginya di talian 0139818105.

'Susah nak cari orang tolong kami berdua'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Pasangan suami isteri yang kedua-duanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lumpuh merayu bantuan kerusi roda elektrik bagi memudahkan mereka berdikari menguruskan kehidupan seharian.

Che Abdul Halim Mohamad, 42, berkata, dia dan isterinya, Safinah Hasanuddin, 42, yang dikahwininya sejak dua tahun lalu bergantung kepada kerusi roda manual sumbangan Hospital Setiu.

Dia berkata, walau pun bersyukur menerima bantuan kerusi roda manual tersebut namun dia dan isterinya yang belum dikurniakan cahaya mata masih mendambakan kerusi roda elektrik memandangkan mereka kedua-duanya lumpuh.

"Kadang-kala kederat kami untuk menggerakkan sendiri kerusi roda manual masing-masing sudah berkurangan atas faktor usia apatah lagi saya kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Sukar juga mencari orang untuk membantu menolak kerusi roda kami.

"Kalau ada satu pun kerusi roda elektrik sudah memadai untuk dikongsi kami bersama-sama bagi menguruskan kehidupan seharian dan mencari rezeki," katanya ketika ditemui di Kampung Buluh Hilir di sini semalam.

Che Abdul Halim berkata, dia dan isteri menampung kehidupan dengan menjual makanan ringan dengan purata  pendapatan RM10 sehari selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Berikutan itu katanya, dia tidak mampu membeli sendiri kerusi roda yang dianggarkan berharga RM3,500 sebuah.

Che Abdul Halim tidak mampu berjalan sendiri sejak 13 tahun lalu akibat kecederaan saraf tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ada tahun 1997 manaka Safinah pula lumpuh akibat penyakit saraf sejak kecil.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Che Abdul Halim di talian 0197892612 atau menghulur bantuan menerusi akaun bank CIMB miliknya yang bernombor 7049958889.

Tuesday, September 15, 2020

Pesakit angin ahmar mohon bantuan tambahan JKM

 

BESUT - Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib Mohd. Lukman Mahmood, 51, yang bukan sahaja kehilangan pekerjaan malah kini dilantar akibat angin ahmar sejak empat bulan lalu.

Sebelum ini, kontrak pekerjaan dia sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,200 ditamatkan oleh majikannya kira-kira sebulan selepas terkena serangan jantung pada Januari 2018. 

Isterinya, Wan Rabiah Wan Muda, 55, berkata,  sejak itu, mereka suami isteri hilang punca pendapatan sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan RM250 sebulan baru-baru ini.

"Suami saya tidak dapat bekerja atas faktor kesihatan akibat serangan jantung dan dia semakin uzur apabila mendapat angin ahmar pada empat bulan lalu.

"Dia memerlukan penjagaan rapi dan kami bergantung hidup dengan bantuan bulanan JKM dan sumbangan anak-anak yang turut berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila dekat sini.

Keluarga malang ini menerima kunjungan daripada Penyelaras Yayasan Kebajikan Nasional (YKN) Terengganu, Norma Mamat yang menghulurkan bantuan barangan keperluan semalam.

YKN akan membantu Wan Rabiah membuat permohonan tambahan kepada JKM pada masa terdekat.

Jelas Norma, terdapat elaun bulanan yang boleh dipohon Wan Rabiah untuk menjaga suaminya.

Selain itu, Wan Rabiah buntu untuk membiayai kos perubatan suaminya yang dianggarkan RM500 sebulan.

Tambahnya, Mohd. Lukman perlu menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Besut di sini pada setiap dua minggu selain perlu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi pemeriksaan jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Mohd. Lukman boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasionalnya 1111029000403280 atau menghubungi Wan Rabiah di talian 0139137630.

Friday, September 11, 2020

Tinggalkan kekasih demi adik tersayang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Demi kasih sayang terhadap adik yang lumpuh, seorang lelaki sanggup membujang dengan melupakan niat untuk berumah tangga.

Muhammad Rafii Kasim, 50, turut nekad berhenti kerja sebagai pemandu lori untuk menjaga adik lelakinya, Mohamad Nainuddin, 43, yang terlantar sejak 11 tahun lalu.

Dia berkata, Mohamad Nainuddin lumpuh separuh badan ketika sedang bekerja membaiki tangki air di Balai Polis Jerangau, Dungun pada akhir tahun 2009 yang menyebabkannya mengalami kecederaan parah pada tulang belakang dan paha.

"Bahagian punggungnya  juga cedera parah hingga menyebabkan perutnya terpaksa ditebuk bagi memudahkan proses perkumuhan dan dia perlu penjagaan rapi kerana hampir kesemua rutin hariannya perlu dibantu.

"Pada masa itu, saya membatalkan hasrat untuk berkahwin dengan meninggalkan kekasih dan berhenti kerja demi mengambil tanggungjawab menjaganya sepenuh masa sejak 11 tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka di sini semalam.

Muhammad Rafii berkata, tanpa sebarang pendapatan tetap, dia dan adiknya, Mohamad Nainuddin bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM550 sebulan.

Selain itu, dia memberitahu adiknya juga menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan purata RM600 sebulan.

"Walaupun begitu, ia masih belum mencukupi untuk membiayai kos perubatan bulanan adik saya yang semakin meningkat.

"Antaranya beg stoma bagi proses perkumuhan, kapas dan cecair pembasmi kuman yang terpaksa digunakan secara berjimat mengikut sumber kewangan diperolehi. Kami juga terpaksa menyewa ambulans dengan kos RM100 setiap kali adik perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital pada dua bulan sekali," katanya.

Muhammad Rafii juga memberitahu, tilam udara yang disumbangkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk keselesaan Mohamad Nainuddin pada 10 tahun lalu juga rosak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau merayu sumbangan bagi meringankan beban mereka dua beradik terutama kos pembelian beg stoma yang menelan belanja kira-kira RM13.40 sekeping.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Muhammad Rafii iaitu 1100741000051443 atau menghubunginya di talian 0179129959.