Translate

Showing posts with label Kerusi Tumpuan. Show all posts
Showing posts with label Kerusi Tumpuan. Show all posts

Tuesday, May 8, 2018

Tiga calon heavyweight bertembung

HULU TERENGGANU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang yang terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu menyaksikan pertembungan tiga calon heavyweight pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Penyandangnya, Da­tuk Tengku Putera Tengku Awang daripada Barisan Nasional (BN) akan dicabar calon Pas, Dr. Mamad Puteh yang juga bekas Ahli Dewan Unda­ngan Negeri kawasan itu pada 1999 sehingga 2004.
Beliau juga akan ditentang oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Nor Othman yang merupakan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu pada 2008 sehingga 2013.

Kedua-dua parti pembangkang tersebut sudah pasti mengidamkan DUN Kuala Berang kerana Tengku Putera memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis iaitu 449 undi pada PRU-13.
Begitu pun bagi Tengku Putera, beliau yakin seramai 17,848 pengundi DUN Kuala Berang bijak menilai dan membuat pilihan terbaik pada hari pengundian 9 Mei ini bersandarkan rekod perkhidmatannya.

“Sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat, saya telah bekerja keras dengan melaksanakan pelbagai program dan pembangunan demi keselesaan serta kemajuan OKB (Orang Kuala Berang).

“Antaranya ialah pembinaan enam masjid dan tiga surau, Madrasah Al-Ulum Addiniyah Kampung Buloh, Kompleks DUN Plaza Rahmat OKB, Sekolah Menengah Vokasional dan Sekolah Sains Hulu Terengganu serta rumah mampu milik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tengku Putera berkata, masalah banjir yang sering melanda sebahagian kawasan di Kuala Berang turut diambil perhatian menerusi projek meluruskan Sungai Kejir, pembinaan jambatan baharu Sungai Kuala Kejir dan kolam tebatan banjir di Paya Besar.

Katanya, pelbagai peranca­ngan juga telah diatur jika beliau terus diberi mandat pada PRU-14 seperti membuka Taman Industri Antarabangsa Terengganu yang menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dan membina 1,000 rumah mampu milik.

Monday, May 7, 2018

Wan Nawawi sandaran terbaik BN

KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) mempu­nyai kesempatan terbaik untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kali terakhir BN mempunyai wakil di kawasan Parlimen itu ialah pada PRU-11 dan PRU-12 sebelum penyandangnya, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain badminton pada 28 November 2008.

BN kali ini menampilkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dalam misi untuk kembali memenangi hati pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai seramai 103,611 orang.

Wan Nawawi yang baru bersara awal kurang dua minggu lalu bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding sebagai calon BN di kerusi Parlimen Kuala Terengganu merupakan individu yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penduduk.

Beliau bukan sahaja anak jati Kampung Kubang Ikan di sini malah rekod serta pengalamannya sepanjang 37 tahun berkhidmat dalam sektor awam disegani masyarakat setempat.

Wan Nawawi juga cemerlang dalam kepimpinan persatuan sukan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Negara atas sumbangannya dalam sukan bola padang pada Majlis Anugerah Sukan Negara baru-baru ini.

“Pemilihan saya sebagai calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu merupakan isyarat Tuhan agar saya terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sekiranya saya dipilih pengundi pada PRU-14 ini, saya berazam untuk menggunakan pengalaman dan kepakaran saya sewaktu berkhidmat dalam sektor awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Parlimen ini,” kata Wan Nawawi yang memiliki kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Oklahoma City, Amerika Syarikat di sini semalam.
Wan Nawawi mengakui terpaksa be­kerja keras sepanjang tempoh berkempen kerana laluannya tidak begitu mudah kerana penyandang kerusi itu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pas telah memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU-13 dengan majoriti besar iaitu 10,785 undi.
Pada pilihan raya umum kali ini, Pas mempertaruhkan Pengarah Jabatan Penerangan Pas, Ahmad Azad Mohamed @ Hashim sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu,Pas mengandaikan sebahagian besar undi yang diberikan kepada Raja Kamarul Bahrin dapat dikembalikan kepada parti itu selepas Raja Kamarul Bahrin menyertai Parti Ama­nah Negara tiga tahun lalu.

BN mahu rampas semula Marang

MARANG – Calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Marang, Mohamad Nor Endot berazam untuk menjadi giant killer kedua bagi menumbangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mohamad Nor berkata, Parlimen Marang bukanlah kubu kebal buat Abdul Hadi yang sudah tujuh penggal bertanding di kawasan tersebut kerana bekas Menteri Besar Terengganu itu pernah tewas dua kali pada tahun 1986 dan 2004.

Menurut beliau, BN pernah berjaya menawan kerusi Parlimen itu pada kedua-dua pilihan raya umum berkenaan menerusi Datuk Abdul Rahman Bakar sehingga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu digelar giant killer oleh masyarakat tempatan.

“Sudah lama Parlimen Marang dikuasai Pas. Saya mengharap­kan pengundi dapat memberi perubahan dan memberi ruang kepada BN pada PRU kali ini.
“Saya percaya 56 peratus pe­ngundi muda di kawasan Parlimen Marang juga mahu melihat transformasi baharu berlaku di kawasan mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Nor yang merupakan anak didik Abdul Rahman berkata, BN telah membuktikan rekod perkhidmatannya di Marang menerusi pembinaan Kawasan Industri Kecil dan Sederhana Bukit Kor dan Institut Latihan Perindustrian Marang, Bukit Parit di sini ketika dua penggal BN diberi kepercayaan berkenaan.

Mohamad Nor yang sebelum ini diamanahkan sebagai Penyelaras Dewan Undangan Ne­geri Bukit Payung berkata, pembangunan fizikal dan kerohanian di Parlimen tersebut akan lebih rancak dan diperkasa sekiranya beliau terpi­lih menjadi ahli Parlimen.

“Saya beruntung kerana mempunyai jentera pilihan raya yang kuat dan sentiasa bergerak sebagai satu pasukan untuk me­nyaingi pembangkang.

“Rekod perkhidmatan kerajaan negeri Terengganu yang cemerlang pada penggal lalu yang tidak pernah meminggirkan kawasan dikuasai pembangkang seperti Marang juga diyakini bakal menjadi faktor pengundi tempatan kembali kepada BN kali ini,” ujarnya.
Selain Mohamad Nor dan Abdul Hadi, calon Parti Keadilan Rakyat, Dr. Zarawi Sulong yang merupakan aktivis Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia juga menghangatkan pertembungan tiga penjuru di Parlimen Marang pada PRU-14.