Translate

Friday, October 28, 2022

Gajah naik bukit cari makan, bukan petanda bencana

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Feno­mena kumpulan gajah berpindah ke kawasan tinggi yang kerap dilihat sejak akhir-akhir ini bukan petanda kepada kemungkinan berlakunya bencana seperti banjir besar.

Pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amirrudin Ahmad berkata, ia merupakan fenomena biasa bagi haiwan mamalia itu mendaki kawasan berbukit secara berkumpulan bagi mencari makanan.

“Gajah merupakan haiwan kawanan yang bergerak secara berkumpulan. Jarang haiwan ini bergerak bersendiri kecuali terpisah dari kumpulan sehingga tersesat.

“Walaupun berat badan mamalia ini boleh melebihi setan, gajah mempunyai keupayaan untuk mendaki tanah tinggi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan mengenai sekumpulan 14 ekor gajah yang dikesan sedang mendaki bukit di tepi Jalan ­Aring-Kenyir dekat sini pada 6 Oktober lalu.

Kejadian itu turut mengejutkan para pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Selain itu, satu rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah mendaki sebuah bukit di Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang.


Masyarakat Orang Asli daerah berkenaan mempercayai keja­dian gajah mendaki bukit itu memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.

Amirruddin berkata, kebia­saannya gajah akan mendaki kawasan tinggi seperti bukit bagi mencari sumber makanan.

Katanya, ia disebabkan kawasan sumber makanan mamalia itu di kawasan rendah mungkin sudah berkurangan atau laluan utama haiwan berkenaan sudah tidak dapat dimasuki.

“Bukit Lawit yang merupakan lokasi penemuan kumpulan gajah sehingga tular di media sosial baru-baru ini sememangnya kawasan habitat mamalia ber­kenaan.

“Penyelidik UMT juga pernah menjumpai laluan gajah pada ketinggian 500 meter di bukit berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Amirruddin menasihatkan khalayak agar tidak panik, apatah lagi mempercayai dakwaan palsu yang ko­nonnya mengaitkan aktiviti gajah mendaki tanah tinggi tersebut dengan bencana besar.

Thursday, October 27, 2022

SMK Kindurong muncul johan CIP-KPS anjuran KPDNHEP

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kindurong, Bintulu, Sarawak muncul johan pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) peringkat kebangsaan hari ini.

Pasukan sekolah itu dianggotai empat pelajar tingkatan lima iaitu Aniq Nazhan Mazlan, Mohd. Asraf Maslihi, Felicia anak Lim dan Evelyn Kiu Mee Eng yang kesemuanya berusia 17 tahun.

Guru pengiring, Cheong Kok Khim berkata, kejayaan tersebut membaiki pencapaian SMK Kindurong yang meraih tempat kelima pada pertandingan sama yang diadakan di Negeri Sembilan pada tahun 2019.

“Pertandingan CIP-KPS sudah dua tahun diadakan berikutan pandemik Covid-19. Kami cuma mempunyai masa tiga minggu untuk membuat persiapan setelah menjuarai peringkat negeri.

“Pelajar saya telah bertungkus-lumus untuk menguasai lima modul yang ditetapkan dalam pertandingan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu pasukan SMK Kindurong menerima hadian berupa wang tunai RM5,000, piala iringan, medal dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Kok Khim berkata, pertandingan CIP-KPS yang berkonsep interaktif menguji kecekapan pelajar dalam isu perlindungan pengguna, pengurusan kewangan, pemakanan sihat dan kelestarian alam sekitar.

Tambah beliau, oleh kerana skop modul terbabit terlalu luas, beliau membantu dengan menyalurkan maklumat dan bahan bacaan kepada pelajar-pelajarnya. – KOSMO! ONLINE

Skim Harga Maksimum Deepavali bermula hari ini

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali selama seminggu sehingga Rabu depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, SHMMP Deepavali melibatkan 14 barangan termasuk lapan item baharu yang sering digunakan pada perayaan tersebut.

“Harga siling runcit bagi daging kambing biri-biri import bertulang pada harga RM37 sekilogram (kg), tomato (RM6/kg), cili merah (RM19/kg) dan kelapa parut (RM7.60/kg).

"“Bawang merah India pula ditetapkan pada harga maksimum RM7 sekilogram, bawang besar (RM4/kg) dan kacang dhal Australia (RM5/kg),” katanya selepas melancarkan SHMMP Deepavali di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Rosol berkata, harga siling kelapa parut bagi peringkat pemborong pula pada harga RM1.90 sebiji.

Tambah beliau, ayam super dan ayam standard pula masing-masing kekal ditetapkan tidak melebihi RM9.40 dan RM10.40 sekilogram.

“Telur ayam gred A, B dan C pula masing-masing berharga 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji.

“Harga maksimum ayam hidup di peringkat pemborong pula ditetapkan pada RM6.40 sekilogram,” katanya.

Rosol berkata, bekalan barangan keperluan tersebut dijamin masih mencukupi walaupun berlaku sedikit kekurangan melibatkan ayam dan telur ayam di beberapa tempat di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Hadi Awang kekal bertanding di Marang?

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Parlimen Marang memang diketahui antara kubu kuat Pas di negara ini berikutan pengaruh dominan Tan Sri Abdul Hadi Awang di kawasan berkenaan.

Presiden Pas tersebut telah bertapak di situ sejak tahun 1978 iaitu pada ketika Marang masih merupakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dinaik taraf sebagai Parlimen pada 1986.

Sepanjang 10 penggal itu, Abdul Hadi cuma tewas tiga kali iaitu pada tahun 1978, 1986 dan 2004.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau mudah mempertahankan kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 21,954 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Noor Endut dan Dr. Zawawi Sulung (Parti Keadilan Rakyat).

Penganalisis politik, Dr. Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghafar berkata, Parlimen Marang dijangka kekal di tangan Pas pada PRU15 sekiranya Abdul Hadi kembali bertanding buat kali ke-11.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, imej dan karakter Abdul Hadi sebagai ulama yang konsisten mengajar kuliah kepada khalayak amat disenangi majoriti pengundi di parlimen tersebut.

“Kelompok pengundi di Marang menunjukkan ciri-ciri budaya politik sama seperti di beberapa kawasan konservatif Melayu di Kelantan dan Kedah.

“Mereka mahu dipimpin tokoh yang berpegang teguh pada agama dengan niat mahu menumpang keberkatan sesuai dengan naratif baldatun toyyibatun wa robbun ghafur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Wan Rohila Ganti berkata, budaya politik demikian menyebabkan Abdul Hadi kekal dihormati oleh pengundi Marang di sebalik kritikan prestasi kurang memberangsangkan sebagai Duta Khas Timur Tengah, kelemahannya berbahas secara aktif dan substantif di Parlimen serta tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Bagaimanapun, beliau berkata, timbul persoalan sama ada Abdul Hadi akan tetap mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU15 kali ini berikutan masalah kesihatan berkaitan jantung yang membelenggu Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Biarpun sebarang pengumuman rasmi masih belum dibuat, beliau sebenarnya telah memberi isyarat untuk mengundur diri daripada politik secara perlahan-lahan sejak tahun 2018 lagi.

“Ia dibuktikan dengan penyerahan DUN Rhu Rendang yang disandangnya sekian lama kepada Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (kini Menteri Besar Terengganu) pada PRU14,” katanya.

Wan Rohila Ganti berkata, walaupun pengunduran Abdul Hadi pasti akan meningkatkan imej beliau, PRU15 dilihat bukanlah masa yang sesuai dan sukar dilakukan berikutan senario politik yang meruncing pada masa kini.

Begitupun, sekiranya Abdul Hadi tetap nekad berundur, beliau menjangkakan dua figura Pas berpotensi untuk ditampilkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Marang iaitu Ahmad Samsuri atau anak Presiden Pas itu iaitu Muhammad Khalil yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok.

Dalam pada itu, walaupun Parlimen Marang kelihatan ampuh buat Pas, ia tidak mustahil dibolosi BN yang dua kali melakukannya pada PRU7 dan PRU11.

Syaratnya, BN perlu menampilkan calon yang menetapi karakteristik dimahukan pengundi Marang bagi menyaingi Abdul Hadi.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, PH akan mempertaruhkan seorang tokoh agama daripada golongan profesional di Parlimen Marang pada PRU15 ini. -KOSMO! ONLINE

Pembahagian kerusi PN selesai 90 peratus

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRN15) dijangka dimuktamadkan esok.

Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembahagian kerusi tersebut termasuk di 27 kawasan kritikal di seluruh negara kini sudah 90 peratus selesai.

“Kita (PN) akan bertemu sekali lagi esok bagi merundingkan baki 10 peratus kerusi Parlimen yang masih belum dimuktamadkan.

“Secara dasarnya, hampir semua kerusi (Parlimen) sudah ditentukan wakil PN untuk ditandingi sama ada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan lain-lain,” katanya selepsd menyampaikan Surat Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Rhu Rendang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memberitahu, PN hampir pasti akan bertanding di semua 27 kerusi Parlimen yang dianggap kawasan kritikal pada PRU15 dijadual 19 November ini.

Naib Presiden Pas itu mendakwa, ia disebabkan Barisan Nasional (BN) seakan tidak berminat untuk berunding tentang pembahagian kesemua kerusi Parlimen terbabit.- KOSMO! ONLINE

Wednesday, October 26, 2022

Ismail Sabri jamin lulus Bajet 2023 jika BN dapat mandat

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi penentu sokongan mereka terhadap Bajet 2023 yang dibentangkan pada awal bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet tersebut terbukti bukan sahaja terbesar dalam sejarah, malah memberi manfaat menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat.

Begitupun jelas beliau, Bajet 2023 hanya boleh diluluskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menubuhkan kerajaan sekali gus membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“Kuasa untuk menggunakan bajet tersebut adalah di tangan tuan-tuan dan puan-puan untuk memilih pada (PRU15) 19 November ini.

“Tuan-tuan lah yang akan menentukan bajet itu akan dibentangkan semula dan diluluskan untuk kepentingan tuan-tuan atau tidak diluluskan atau dipinda atau dibawa bajet baharu yang tidak memberi faedah sangat kepada tuan-tuan,” katanya pada program Ramah Mesra bersama warga Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah (Ketengah) di Bandar Seri Bandi di sini hari ini.

Ismail Sabri memberi jaminan semua perancangan dalam bajet terbabit dan pembangunan yang sedang berjalan serta akan diteruskan sekiranya BN berjaya menawan Putrajaya pada PRU15 kelak.

“Kalau orang (parti) lain yang memegang tampuk pemerintahan (kerajaan), belum tentu projek pembangunan akan dijalankan.

“Dahulu kita pernah merasai orang lain (Pakatan Harapan) menerajui kerajaan, banyak projek-projek (pembangunan) dibatalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ismail Sabri jamin pembangunan luar bandar terus diperkasa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pembangunan luar bandar dijamin akan terus diperkasa sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menerajui negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau amat cakna dengan pembangunan luar bandar kerana bukan sahaja berasal dari kampung, malah pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata, pembangunan luar bandar sentiasa diberi perhatian, malah peruntukannya telah dipertingkatkan lagi pada pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini.

“Peruntukan Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) misalnya akan dinaikkan kepada RM56 juta pada tahun depan berbanding RM39 juta pada tahun ini.

“Segala pembangunan dan perancangan ini akan diteruskan dengan syarat kerajaan di bawah kepimpinan saya bersama parti berwarna biru (BN) menguasai Putrajaya,” katanya di Bandar Seri Bandi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Ramah Mesra bersama warga Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah (Ketengah).

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memuji komitmen Ketengah dan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said atas kejayaan memajukan kawasan wilayah itu seluas 650,000 hektar di pedalaman daerah ini, Dungun dan Hulu Terengganu.

Beliau berkata, program pembangunan ekonomi dan sosial dilaksanakan Ketengah terbabit telah memberi manfaat kepada 168,000 penduduk. – KOSMO! ONLINE

PRU15: Ahmad Zahid nafi kosongkan kerusi Parlimen Bagan Datuk

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis spekulasi konon beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, setakat ini beliau tidak pernah berniat untuk berbuat demikian.

“Apa yang penting kita mengetengahkan mana-mana calon yang boleh membawa kemenangan kepada BN ke Putrajaya.

“Ini termasuk azam untuk mengemukakan sekurang-kurangnya 70 peratus calon muka baharu di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya selepas merasmikan pada program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Jenagor, Kuala Berang di sini hari ini.

Beliau mengulas spekulasi kononnya bakal mengosongkan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang telah disandangnya sejak enam penggal lalu.

Keputusan berkenaan konon dilakukan pemimpin berusia 69 tahun berkenaan sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU15 yang pada 19 November ini.

Ahmad Zahid menganggap spekulasi tersebut sebagai asam garam dalam politik dan beliau tidak pernah gentar untuk menghadapinya.

Sebaliknya, beliau percaya semangat jentera parti BN terus bersemangat bekerja keras bagi meraih kemenangan besar pada PRU15.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memberitahu, senarai penuh calon BN akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga lima sebelum hari penamaan calon pada 5 November depan. – KOSMO! ONLINE

BN Terengganu sasar 4 kerusi Parlimen

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) melaungkan keyakinan mampu menawan sekurang-kurangnya empat dari lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan di kerusi Parlimen itu kelak menjadi pemangkin kepada momentum untuk merampas kembali kerajaan Terengganu yang terlepas kepada lawan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Datuk Ahmad Said memberi jaminan empat kerusi (Parlimen) tetapi saya yakin lebih daripada itu.

“Ia tidak mustahil kerana Terengganu merupakan ‘swing state’ (senario politik negeri sering berubah). Ini masanya kita rampas (kerusi Parlimen dan DUN),” katanya sewaktu merasmikan program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Jenagor, Kuala Berang di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kemenangan tersebut hanya boleh dicapai dengan solidariti dalam kalangan pemimpin dan ahli BN.

Sehubungan itu, tegas beliau, kepimpinan BN negeri perlu bersatu hati dan mengelakkan budaya cah keting atau sabotaj sesama sendiri.

“PRU15 ialah wadah terbaik untuk menolak ‘katak-katak’ (ahli politik yang melompat parti) yang merosakkan sistem demoraksi di negara ini,” katanya.

Pada PRU14, BN telah kehilangan Parlimen Setiu dan Kemaman kepada Pas sekaligus hanya memenangi kerusi Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengisytiharkan keluar UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2018. – KOSMO! ONLINE

Juruteknik berhenti kerja demi jaga ibu bapa, kakak





Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sewaktu rakan seusianya memburu cita-cita dan membina kerjaya, seorang pemuda terpaksa me­ngorbankan masa mudanya untuk menjaga ibu, bapa dan kakak yang terlantar sakit.

Syed Muhammad Husaini Tuan Ahmad Amarullah, 26, berkata, dia nekad berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung sejak tahun lalu.

Dia yang masih bujang berkata, semuanya bermula selepas kakak sulungnya, Sharifah Norhidayah, 39, yang sebelum ini bertanggungjawab menjaga ibu bapa tiba-tiba diserang strok.

“Serangan strok mengejut itu menyebabkan kakak terlantar dan sukar menguruskan diri.

“Ayah yang berusia 70 tahun menghidap ketumbuhan di dalam kepala, manakala ibu yang berumur 61 tahun pula menghadapi masalah usus dan saraf,” ­katanya ketika ditemui di Kampung Paya Dadeh, Kuala Berang di sini baru-baru ini.

Syed Muhammad Husaini berkata, masalah kesihatan yang dihadapi kedua-dua orang tua­nya sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan mereka juga perlu dibantu untuk menguruskan diri.

“Kami sekeluarga kini tergantung kepada pencen ayah sebagai pesara kerajaan sebanyak RM800 sebulan,” katanya.

Tambahnya, mereka turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM900 selain kiriman wang kakak dan abangnya yang menetap di Kuala Lumpur dan Kemaman.

“Ini ujian kami sekeluarga. Saya janji akan menjaga ibu, ayah dan kakak sebaiknya,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Syed Muhammad Husaini bernombor 163037270681 (Maybank) atau menghubunginya di talian 0139347496.



























































Dua bot nelayan Vietnam curi sotong ditahan APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menangkap sotong secara haram di perairan negara semalam.

Kedua-dua bot yang sedang bertambat antara satu sama lain itu ditahan pada kedudukan kira-kira 44.5 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 4.30 petang.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Ariffin Ghazali berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot nelayan asing itu menemukan banyak sotong termasuk yang sedang dijemur untuk dijadikan sotong kering.

“Seramai 12 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 63 tahun yang merupakan kru dua bot tersebut juga berjaya ditahan.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya di sini hari ini.

Ariffin berkata, tekong kedua-dua bot Vietnam itu juga gagal membuktikan mereka memiliki permit kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap hasil laut di perairan negara.

Tambah beliau, APMM bertindak menyita dua bot, peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1 juta.

“Kesemua aset yang dirampas tersebut telah ditunda ke Jeti Maritim Terengganu di sini. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, October 25, 2022

Deepavali kembali ceria, rumah meriah dengan tetamu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perayaan Deepavali yang pertama kali disambut dalam suasana peralihan fasa endemik hari ini amat bererti buat keluarga M. Ramachandran, 73.

Kediaman mereka di Flat Sri Kolam di sini kembali meriah dengan kunjungan ramai kenalan pelbagai kaum setelah dua tahun sepi berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ramachandran berkata, dia sekeluarga kembali mengadakan rumah terbuka setelah dua tahun terpaksa membataskan tetamu ekoran Deepavali pada masa itu disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dua tahun sebelum ini memang terasa sepi sangat sebab ramai kenalan Melayu dan Cina kami tidak boleh datang beraya. Apatah lagi komuniti India tidak ramai di Terengganu.

“Syukur tahun ini, rumah kami kembali meriah. Sahabat handai tidak putus-putus mengunjungi kami untuk sama-sama merayakan Deepavali sejak pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Sri Kolam di sini hari ini.

Ramachandran berkata, dia dan isteri M. Pusparani, 62, menyediakan pelbagai hidangan istimewa kaum India seperti nasi beriani, kari kambing, ayam goreng berempah, idli dan manisan untuk dijamu kepada tetamu.

Tambahnya, dia turut menempah lima kilogram daging kambing tempatan untuk dimasak kari dengan gilingan rempah istimewa buatan sendiri.

“Seronok lihat tetamu pelbagai kaum berselera dan sama-sama bergembira pada hari istimewa ini.

“Sebelum ini, kami lapan beranak termasuk anak sulung, Muhammad Syafiq Suresh, 41, yang telah memeluk Islam sejak 20 tahun lalu sama-sama ke Pulau Pinang untuk membeli pakaian baru sempena Deepavali beberapa bulan lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Monday, October 24, 2022

Pas guna simbol bulan di 3 negeri

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

MARANG – Pas memutuskan untuk menggunakan simbol rasmi parti itu iaitu bulan bagi tiga negeri dikuasai iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan simbol bulan berkenaan kerana parti tersebut percaya memiliki kekuatan akar umbi di tiga negeri berkenaan. 

Begitupun, beliau menjelaskan Pas terbuka dengan penggunaan simbol Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri lain turut bakal ditandingi pada PRU15. 

“Terengganu, Kelantan dan Kedah memang kita kuat, pakai simbol bulan. Negeri-negeri lain kita serah PN hendak pakai simbol apa. 

“Orang Terengganu, Kelantan dan Kedah sudah tahu (Pas), negeri lain tidak apa, kita maafkan,” katanya di Pantai Kelulut di sini semalam.

 Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha sempena Karnival Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera peringkat Dewan Udangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. 

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu pernah mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sudah bersepakat untuk menggunakan simbol PN pada PRU15. 

Sewaktu membuat pengumuman itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri memaklumkan Abdul Hadi turut bersetuju dengan ketetapan tersebut. 

Abdul Hadi berkata, perbincangan berhubung simbol yang akan digunakan parti itu di negeri-negeri lain pada PRU15 ini bakal dibincangkan dengan kepimpinan PN tidak lama lagi. 

Beliau berkata, walaupun penggunaan simbol mungkin berlainan mengikut negeri, Pas tetap akan berusaha untuk meraih sokongan para pengundi di seluruh negara untuk menyokong gagasan PN.

Sunday, October 23, 2022

Insiden gaduh cemari perlawanan bola sepak

HULU TERENGGANU – Aksi suku akhir kejohanan bola sepak bagi merebut Piala Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu antara Matang FC menentang Binjai Manis (Bima) FC bertukar kecoh apabila dua kumpulan penyokong bergaduh di Padang Astaka Kuala Berang di sini kelmarin. 

Pergaduhan antara dua penyokong bola sepak itu berlaku sejurus berakhirnya perlawanan yang menyaksikan Matang FC berjaya menewaskan Bima 1-0. 

Pergaduhan berpunca daripada provokasi penyokong kedua-dua pasukan di tepi padang dan berlarutan hingga ke kedai makan berhampiran. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kekecohan itu telah menyebabkan kerosakan melibatkan pagar padang dan cermin dinding kedai makan berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati, pergaduhan tersebut melibatkan antara 15 hingga 30 penyokong kedua-dua pasukan.

 “Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian untuk meleraikan pergaduhan berkenaan pada pukul 6.55 petang (kelmarin),” katanya di sini semalam. 

Mohd. Adli berkata, pihak penganjur dan pengurusan kedua-dua pasukan terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu. 

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah melahirkan rasa kesal dengan insiden pergaduhan melibatkan dua penyokong pasukan bola sepak amatur berkenaan. 

“Bola sepak sepatutnya menyatukan. Kita bersama-sama boleh bersatu memberi sokongan padu terhadap pasukan negeri, Terengganu FC. 

“Kenapa mahu berbalah dalam perlawanan melibatkan rakan sekampung yang sudah saling mengenali antara satu lain?," katanya.

Saturday, October 22, 2022

Semua aktiviti litar permotoran digantung


Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TUAN NURHIDAYAH TUAN AB. GHANI

SETIU – Kerajaan negeri Terengganu mengantung semua aktiviti berkaitan sukan permotoran di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus serta-merta berikutan kemalangan maut melibatkan seorang peserta perlumbaan drag di trek berkenaan kelmarin. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penangguhan itu bagi membolehkan siasatan lanjut seterusnya penambahbaikan dilakukan dan meningkatkan aspek keselamatan di trek terbabit.

Jelasnya, kajian penuh dilakukan bagi memastikan insiden kemalangan meragut nyawa pelumba trek terkenal, Apeh Jamal berkenaan tidak berulang.

 “Kita akan memanggil penganjur kejohanan Battle of The Kings (BOTK), iaitu MUSC Motorsports untuk memberi penjelasan (berhubung kemalangan maut). 

“Laporan penuh kemalangan akan diteliti sebelum kajian menyeluruh terutama melibatkan aspek keselamatan dan keadaan litar dilakukan,” katanya ketika ditemui Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini semalam. 

Terdahulu beliau menghadiri majlis penyampaian hadiah Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan yang disempurna Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Wan Sukairi berkata, antara elemen prosedur keselamatan yang akan dikaji adalah bilangan penghadang di tepi trek dan keadaan permukaan trek serta kawasan persekitaran litar permotoran tersebut. 

Dalam pada itu, beliau mengesahkan penganjuran BOTK anjuran MUSC Motorsports memiliki permit kelulusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kerajaan negeri selain semua prosedur operasi standard (SOP) dengan aspek keselamatan telah diambil kira. 

“Begitupun, saya amat sedih dan bersimpati dengan keluarga mangsa. Ini insiden pertama dan diharap yang terakhir melibatkan kematian peserta aktiviti permotoran di litar tersebut,” jelasnya. 

Kosmo! kelmarin melaporkan, pelumba drag, Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan BTOK. 

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, kereta Mitsubishi Lancer Evolution dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas melepasi trek sebelum merempuh sebatang pokok. 

Apeh Jamal meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia 18, 11, 9, dan setahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya semalam.

Friday, October 21, 2022

Kerajaan campuran cetus ketidakstabilan dalam negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi merupakan peluang terbaik rakyat untuk kembali memilih sebuah kerajaan yang stabil. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, hanya kerajaan stabil yang memiliki majoriti selesa di Parlimen mampu mengembalikan semula negara ke landasan sebenar. 

Beliau berkata, kerajaan campuran yang dibentuk pada pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terbukti menyukarkan pentadbiran sehingga mengganggu hala tuju dan ekonomi negara. 

“Bukan sahaja di Malaysia, landskap politik global membuktikan, kerajaan campuran yang pernah dibentuk di beberapa negara seperti Jepun dan Israel tidak pernah stabil. 

“Setiap parti politik yang membentuk kerajaan campuran terbabit sukar bersatu dan memiliki agenda dan dasar berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) di sini kelmarin. 

Ahmad berkata, kerajaan campuran yang tidak stabil amat menyukarkan usaha untuk meyakinkan pelabur asing untuk datang ke negara ini, sekali gus memberi kesan tidak baik kepada pembangunan dan ekonomi Malaysia. 

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu meminta rakyat agar bijak dan mengambil iktibar daripada situasi politik negara yang berlaku sepanjang pasca PRU14.

 “Rakyat sudah mencuba dengan menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mereka telah pun merasai akibatnya.

 “Inilah masanya untuk memperbetulkan semula keadaan dengan mengembalikan mandat kepada rakyat. Ia bagi membentuk kerajaan lebih stabil demi kemajuan berterusan dapat dicapai," katanya.

Thursday, October 20, 2022

Aktiviti Litar Permotoran Terengganu digantung serta-merta

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kerajaan negeri Terengganu mengantung semua aktiviti berkaitan sukan permotoran di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus serta-merta berikutan kemalangan maut melibatkan seorang peserta perlumbaan drag di trek itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penangguhan tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut seteruskan penambahbaikan dilakukan bagi meningkatkan aspek keselamatan di trek terbabit.

Beliau berkata, kajian penuh akan dilakukan bagi memastikan insiden kemalangan meragut nyawa pelumba trek terkenal, Apeh Jamal berkenaan tidak berulang lagi pada masa depan.

“Kita akan memanggil penganjur kejohanan Battle of The Kings (BOTK) berkenaan iaitu MUSC Motorsports untuk memberi penjelasan.

“Laporan penuh kemalangan akan diteliti sebelum kajian menyeluruh terutama melibatkan aspek keselamatan dan keadaan litar dilakukan,” katanya ketika ditemui Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini hari ini.

Wan Sukairi mengesahkan penganjuran BOTK anjuran MUSC Motorsports memiliki permit kelulusan yang telah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan kerajaan negeri Terengganu.

Kosmo! semalam melaporkan, pelumba drag, Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan BTOK berkenaan. – KOSMO! ONLINE