Translate

Friday, March 29, 2024

‘Kami reda, tapi luka ini masih berdarah’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bapa Siti Nur Surya mendedahkan walaupun pembunuh anaknya telah dikenakan hukuman penjara 30 tahun tetapi kejadian itu tetap meninggalkan kesan mendalam sehinggakan mengubah kece­riaan hidup keluarganya.

 Ahli perniagaan, Ismail Muda, 62, berkata, sejak peristiwa hitam itu, dia telah berpindah serta-merta kerana tidak boleh melihat rumah lokasi pembunuhan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu. 

Katanya, kesan lain terzahir kepada anak bongsunya, Norliyana Shuhada, 19, yang sehingga kini menjadi pendiam dan jarang tersenyum selepas menemui mayat kakaknya pada…

Thursday, March 28, 2024

Lepasan SPM mula cari duit poket

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD AZLI ADLAN dan MOHD SHARKAWI LONDING

PETALING JAYA – Biarpun pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tamat minggu lalu, namun ada segelintir remaja yang sudah membuat kerja sambilan sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

Seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan itu di seluruh negara yang tamat minggu lalu.

Di George Town. seorang lepasan SPM, Muhammad Aqil Razi, 18, berkata, dia bekerja sebagai pembantu gerai nasi campur selepas tamat peperiksaan bagi meringankan beban ke­dua-dua ibu bapanya yang turut menanggung tiga lagi adik yang masih bersekolah. 

“Alhamdulillah, tidak sukar…

 

Wednesday, March 27, 2024

Kekalkan identiti Pasar Besar Kedai Payang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

PENANTIAN hampir 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk memiliki kompleks perniagaan baharu bakal berakhir tidak lama lagi. 

Kompleks baharu bernilai RM70.03 juta itu dijangka mula beroperasi selepas Aidilfitri. Ia menggantikan premis lama yang uzur dan disahkan kurang selamat dalam satu pemeriksaan struktur pada tahun 2009. 

Sebelum ini, peniaga Pasar Besar Kedai Payang beroperasi di premis sementara bersebelahan yang dikenali sebagai Pasar Payang 2 berikutan pembangunan semula pusat sehenti produk makanan, kraf tangan, seni dan warisan Terengganu terbabit…

Tuesday, March 26, 2024

Kekasih Norway songlap duit nenek RM24,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara percaya kenalan lelaki mendakwa berasal dari Norway yang dikenali dari laman Facebook, seorang wanita warga emas kerugian RM24,000 apabila sindiket penipuan cinta atau ‘love scam’ pada Rabu lalu.

Sebelum itu, mangsa berusia 69 tahun tersebut berkenalan dengan lelaki tersebut yang mengaku kononnya jurutera petroleum menerusi media sosial berkenaan pada September tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek dikatakan mengadu kepada mangsa kononnya enjin kapalnya sedang mengalami kerosakan di tengah laut baru-baru ini.

Beliau berkata, suspek dikatakan memohon bantuan kewangan kepada mangsa untuk melunaskan baki bayaran enjin kapal baharu yang dikatakan berharga RM50,000.

“Percaya dengan dakwaan suspek, mangsa telah memindahkan deposit tunai sebanyak RM24,000 ke sebuah akaun bank atas nama seorang wanita tempatan di Pejabat Pos Laju Kuala Terengganu di sini pada 20 Mac (Rabu) lalu.

“Wanita tersebut sekali lagi mahu memindahkan deposit tunai juga berjumlah RM24,000 ke akaun bank sama pada esok harinya, namun sempat dihalang kakitangan pejabat pos itu,” katanya di sini hari ini.

Mazli berkata, kakitangan pejabat pos tersebut menasihati mangsa agar tidak berbuat demikian kerana mengesyaki wanita berkenaan telah diperangkap oleh sindiket penipuan. – KOSMO! ONLINE

NACCOL gesa edaran beras putih tempatan disegerakan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menggesa pengedaran 14 juta kampit beras putih tempatan ke pasar-pasar raya seluruh negara disegerakan seperti dijanjikan Seksyen Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Jumaat lalu.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, berdasarkan pemantauan pasukan Penggerak Madani, bekalan beras putih tempatan masih tiada di kebanyakan pasar raya di seluruh negara.

“Hanya sedikit pasar raya (di seluruh negara) mempunyai (bekalan) beras putih tempatan. Pemeriksaan mengejut saya di pasar-pasar raya di sekitar Kuala Terengganu hari ini juga dapati masih tiada beras putih tempatan.

“Saya dimaklumkan sudah empat bulan pembekal tidak hantar,” katanya selepas melakukan tinjauan beras di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, senario itu mengecewakan sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan 140,000 metrik tan beras putih tempatan berharga RM26 sekampit seberat 10 kilogram (kg) segera diedarkan ke pasaran pada 19 Mac lalu.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauannya hanya beras putih import yang berharga lebih mahal stabil di pasaran.

Walaupun begitu katanya, harga sekampit beras putih import sudah diturunkan antara RM2 dan RM3 sekampit, ia masih mahal berbanding beras putih tempatan cuma RM26 bagi 10 kg.

“Saya mohon pengedaran beras putih tempatan disegerakan sebab ramai pengguna mahu membeli menjelang Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Abu Hussin memberitahu pemantauan bekalan beras akan diteruskan oleh pasukan Penggerak Madani pada setiap dua hari sekali. – KOSMO! ONLINE

Umat Islam diseru hindari ajaran sesat

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan itu sepatutnya berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar berpandukan al-Quran dan hadis.

“Kita hendaklah mendukung kepada fatwa yang telah dikeluarkan MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) dan majlis agama Islam negeri-negeri.

“Ajaran sebenar ialah ajaran yang mengikut al-Quran dan hadis, ijmak serta qiyas. Kenapa pergi ke ajaran-ajaran tidak sahih, ini perlu dielakkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santuni Kasih Ramadan di Bandar Al Mutafi Billah Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin oleh pengikut-pengikut setianya di Kampung Batu 13, Hulu Dungun.

Kosmo! hari ini melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sebagai sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997. – KOSMO! ONLINE


‘Kami serik, naya kena tangkap pasal Ayah Pin’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Ahli keluarga Ayah Pin atau Ariffin Mohammed menafikan dakwaan mengatakan mereka terlibat dalam gerakan untuk cuba menghidupkan semula ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’ se­perti didakwa. 

Ahli keluarga terdekat Ayah Pin berkata, mereka terbuka untuk disiasat dan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

 “Kalau (pihak berkuasa) hendak tahu apa-apa, tanyalah (kepada mereka). Semua (dakwaan sebar semula ajaran Ayah Pin) itu fitnah, saya tidak tahu apa-apa. 

“Jangan mudah, orang buat laporan terus ambil tindakan. Kami dulu pernah kena (tangkap), naya,” katanya…

Monday, March 25, 2024

Ajaran Ayah Pin: Tiada bukti fizikal penyebaran ditemui, pemikiran sukar diukur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Pejabat Agama Islam Daerah Besut dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau pengikut-pengikut Ayah Pin walaupun tiada bukti fizikal penyebaran semula ajaran sesat itu ditemui setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, walaupun secara zahirnya tidak kelihatan tetapi doktrin ajaran sesat lebih menjurus kepada pemikiran dan akidah seseorang yang sukar untuk diukur.

“Tindakan telah diambil JHEAT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik mendapat maklumat (gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin) lebih kurang sebulan lalu.

“Kita ukur secara zahir, bukti fizikal tiada cuma apabila kita cakap benda-benda macam ini ada dalam pemikiran, diri. Itu kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di penempatan ahli keluarga Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut hari ini.

Terdahulu beliau dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan menyantuni bekas balu Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 64.

Penempatan tersebut yang dahulunya markas ‘Kerajaan Langit’ seluas kira-kira 2.3 hektar mempunyai 38 rumah milik ahli keluarga Ayah Pin.

Muhammad Khalil berkata, berdasar pemantauan, kerajaan negeri Terengganu setakat ini berpuas hati isu penyebaran semula ajaran Ayah Pin ini dalam keadaan terkawal.

Sehubungan itu, beliau memberitahu strategi lebih lunak dan harmoni akan diambil mendekati ahli keluarga Ayah Pin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada ajaran sesat terbabit.

“Kita akan rapatkan hubungan (dengan ahli keluarga Ayah Pin) dalam aspek menjaga kebajikan dan pendidikan mereka.

“Kelas-kelas untuk membetulkan kefahaman, memberi nasihat dan kaunseling (kepada golongan itu) juga akan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Mazli memberi jaminan terus memantau bagi memastikan tidak berlakunya sebarang gerakan baharu untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau Kerajaan Langit yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE.

Keluarga Ayah Pin asingkan diri sejak isu jadi panas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 124 ahli keluarga Ayah Pin atau nama sebenar­nya Ariffin Mohammed dipercayai bertindak mengasingkan diri di dalam penempatan mereka di Kampung Batu 13, Hulu Dungun di sini sejak tiga hari lalu. 

Keadaan itu ekoran pendedahan dakwaan gerakan menghidupkan semula ajaran sesat tersebut pada Jumaat lalu. 

Tinjauan mendapati pintu pagar penempatan kira-kira 40 keluarga Ayah Pin yang dahulunya merupakan markas ajaran Ayah Pin sentiasa ditutup bagi mengelak orang luar masuk. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu…

Tiada petunjuk ajaran Ayah Pin dihidupkan semula setakat ini

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Tiada sebarang petunjuk dikesan mengenai usaha untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, setakat ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pemantauan pihak di perkampungan asal Ayah Pin tersebut mendapati sebahagian 124 penduduk tersebut berkumpul seperti melakukan doa selamat, baru-baru ini.

“Secara kasar, kita masih belum mengesan apa-apa mencurigakan daripada penduduk kampung itu yang kebanyakannya merupakan keluarga dan saudara mara Ayah Pin.

“Begitupun, pemantauan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan diteruskan,” katanya di sini semalam.

Mazli menegaskan, pihkanya tidak akan berkompromi sekiranya benar terdapat gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin berkenaan.

Dalam perkembanhan sama, beliau mengesahkan seorang wanita telah memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan ajaran sesat itu cuba dihidupkan semula di Pahang.

“Sebarang maklumat dan bukti daripada orang ramai berhubung perkara ini dialu-alukan,” katanya. - KOSMO! ONLINE


Ajaran Ayah Pin menular hingga ke Pekan, Rompin

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI

BESUT – Ajaran Ayah Pin yang didakwa mahu dihidupkan semula pengikut-pengikut setianya dikatakan bukan sahaja kembali mengukuh di kawasan asalnya, Kampung Batu 13, Hulu Besut malah dipercayai mula menular ke kawasan-kawasan lain termasuk Pahang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati ajaran sesat tersebut telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

“Ajaran Ayah Pin yang mahu dihidupkan semula oleh pengikut-pengikut setianya ini dipercayai telah merebak ke pekan Jertih berhampiran malah Pekan dan Rompin, Pahang.

“Gerakan menghidupkan semula ‘Kerajaan Langit’ tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri Terengganu,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Riduan berkata, ajaran sesat itu cuba dihidupkan semula walaupun Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 April 2016.

Jelas beliau, pengikut-pengikutnya dikatakan masih percaya Ayah Pin yang telah meninggal dunia pada usia 74 tahun berkenaan kononnya masih wujud.

“Tindakan tegas akan diambil bagi mengekang ajaran sesat ini. Kerajaan negeri Terengganu tidak akan berkompromi. Usaha, membendung ajaran sesat Ayah Pin ini sama pernah dilakukan kerajaan negeri Selangor terhadap ajaran Qadiani,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah bekerjasama dengan polis untuk memantau penularan semula ajaran yang telah difatwakan sesat dan haram pada tahun 1997 itu.

“Ajaran ini berbahaya kerana pengikut Ayah Pin pernah mengistiharkan murtad semata-mata mahu mengelak dikenakan tindakan perundangan oleh Mahkamah Syariah Besut pada tahun 2005.

“Ia perlu dibendung segera kerana berdasarkan sejarah, ajaran ini mudah mempengaruhi ramai pihak dan mendapat dukungan pihak luar kononnya atas dasar hak asasi manusia,” katanya.

Tambahnya, pengumuman Pejabat Agama Islam Daerah Besut berhubung ancaman gerakan Ayah Pin ini di masjid-masjid daerah ini pada Jumaat lalu signal jelas kepada masyarakat agar lebih berhati-hati.

Kosmo! hari ini melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pendedahan itu dibuat Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat yang merupakan Imam Masjid Gong Pasir, Besut dalam akaun Facebooknya pada Jumaat lalu.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997. – KOSMO! ONLINE

‘Kerajaan Langit mudah tarik golongan profesional’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Be­rita mengenai kewujudan semula ajaran sesat Ayah Pin menggemparkan penduduk negeri ini yang rata-rata mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa untuk mengekang penyebaran kumpulan agama berkenaan. 

Menurut penduduk, ajaran Ayah Pin menerusi gerakan Kerajaan Langit perlu ditumpaskan lebih awal sebelum berkembang seperti yang pernah berlaku di Kampung Batu 13, Hulu Besut sebelum ini. 

Seorang penduduk, Mohd. Azwan Omar, 42, berkata, ajaran Ayah Pin tidak boleh dibiarkan sehingga berakar umbi dalam masyarakat. 

“Kita harus ambil pengajaran kerana sewaktu…

Ajaran Ayah Pin muncul kembali di Terengganu

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan Kerajaan Langit didakwa kembali aktif dengan wujud gerakan daripada pihak-pihak tertentu untuk menghidupkan semula kumpulan agama sesat itu. 

Perkara itu didedahkan seorang imam masjid di Kampung Gong Pasir, Besut dikenali Tengku Azlan Raja Mamat menerusi satu perkongsian di Facebook miliknya yang menggunakan nama Imam Muda Kulan kelmarin. 

Berdasarkan perkongsian itu, Tengku Azlan mendakwa ajaran Ayah Pin yang telah diwartakan sesat pada tahun 1997 itu cuba dihidupkan semula. 

“Ajaran…

Sunday, March 24, 2024

15 kes berkaitan cuaca panas sejak awal tahun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas telah direkodkan di seluruh negara dalam 10 minggu pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 11 kes kelesuan haba manakala empat pula strok haba.

“Ia melibatkan pesakit dalam lingkungan 17 hingga 50 tahun meliputi 12 golongan dewasa dan tiga pula remaja.

“Buat masa ini, semua mangsa telah pulih kecuali seorang yang masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah namun keadaannya dilaporkan stabil,” katanya di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Hub Kesihatan Terengganu yang merupakan sebahagian Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Dzulkefly berkata, Perak dan Kedah masing-masing telah merekodkan tujuh kes berkaitan cuaca panas, manakala satu pula di Sabah.

Tambah beliau, kes berkaitan cuaca panas itu tidak melibatkan kematian dan ia tidak lagi dilaporkan di seluruh negara sejak kelmarin.

Kosmo! 18 Februari lalu melaporkan rakyat negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas yang lebih panjang sehingga Jun depan disebabkan feno­mena El Nino. – KOSMO! ONLINE

1,000 penguat kuasa KKM pantau bazar Ramadan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan 1,000 anggota penguat kuasanya untuk memeriksa tahap kebersihan dan kualiti makanan dijual di Bazar Ramadan seluruh negara yang dijangka mula beroperasi Selasa ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, operasi tersebut bertujuan agar semua peraturan pemakanan sihat dipatuhi semua pengendali makanan bazar Ramadan terlibat.

“Kita akan melancarkan Ops Bazar Ramadan serentak di seluruh negar bermula 1 Ramadan ini.

“Operasi tersebut turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Dzulkefly juga menasihatkan pengguna agar lebih prihatin dalam pemilihan juadah berbuka berpuasa yang akan dibeli di bazar Ramadan kelak.

Beliau berkata, mereka perlu mengamalkan kaedah perhati, pilih, lihat dan hidu serta hanya membeli juadah di gerai yang bersih.

“Kita juga menyediakan kod respons pantas (QR) di setiap bazar Ramadan bagi memudahkan pengunjung membuat aduan berkaitan kualiti makanan dan kebersihan di kawasan masing-masing.

“Mereka hanya perlu mengimbas kod QR disediakan untuk mengemukakan aduan dan tindakan pantas akan diambil KKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Kempunan komisyen RM30,700 diperdaya sindiket penipuan pekerjaan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Impian seorang lelaki untuk menerima komisyen keseluruhan RM30,700 setelah melakukan pekerjaan sambilan sebagai ejen pembelian dalam talian lebur apabila diperdaya sindiket penipuan pekerjaan palsu baru-baru ini.

Komisyen tersebut sepatutnya diterima mangsa berusia 24 tahun setelah melakukan tugasan diminta pengendali sebuah akaun Instagram sejak 26 Februari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki yang bekerja sendiri tersebut mendakwa tertarik dengan tawaran kerja sambilan berkenaan yang dilihatnya menerusi akaun media sosial itu pada 24 Februari lalu.

“Tugasannya mudah iaitu menjadi ejen pembelian barang atas talian dengan hanya perlu menekan pautan diberi.

“Setiap transaksi yang berjaya dilakukan dijanjikan komisyen 10 peratus,” katanya di sini hari ini.

Mazli berkata, pada mulanya, mangsa menerima komisyen dijanjikan setelah berjaya melakukan dua tugasan diarahkan pengendali akaun media sosial terbabit.

Begitupun, beliau berkata, baki komisyen untuk enam tugasan berikutnya tidak dibayar dengan pelbagai alasan diberi suspek.

“Mangsa yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis. Siasatan awal percaya suspek disyaki memang sengaja menunaikan janji membayar komisyen untuk tugasan awal bagi mengaburi mangsa sebelum memperdayakannya.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pekerjaan palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ramai buka puasa di masjid, bukan semata-mata berjimat

 

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD AZLI ADLAN, TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF dan ABDUL RAZAK IDRIS

PETALING JAYA – Masjid-masjid di seluruh negara kini meriah dengan kehadiran jemaah tidak kira golongan berkeluarga atau bujang untuk berbuka puasa dan beribadah. 

Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati, selain dapat menjimatkan belanja untuk berbuka, orang ramai juga mengakui mereka lebih selesa dan mudah menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih di masjid. 

Pihak pengurusan masjid pula memberitahu, jumlah jemaah yang hadir untuk berbuka puasa di masjid bertambah sehingga 50 peratus tahun ini. 

Di George Town, seorang jurutera kilang, Ahmad Syafi

KSN dilantik Pro-Canselor UMT baharu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Mazlan Abd. Ghafar berkata, pelantikan Mohd. Zuki bagi tempoh tiga tahun sehingga 2027 itu telah mendapat perkenan Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah.

“Selain itu, Tan Sri Samsudin Osman kekal sebagai Pro Canselor UMT sejak tahun 2010.

“Pelantikan beliau diyakini mampu melonjakkan lagi UMT sebagai institusi pendidikan tinggi berfokus marin terunggul negara dan disegani global,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zuki merupakan anak jati Kuala Terengganu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Beliau yang dilantik Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019 pernah berpengalaman sebagai Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari tahun 2006 hingga 2011.

Mohd. Zuki juga pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam. – KOSMO! ONLINE.

Saturday, March 23, 2024

Petani tembikai Terengganu raih pendapatan RM1 juta bulan Ramadan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pengusaha ladang tembikai di Terengganu dijangka menjana pendapatan keseluruhan lebih RM1 juta berikutan permintaan tinggi buah tersebut pada bulan Ramadan ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, tiga ladang utama penanaman tembikai di negeri ini iaitu Serating di sini serta Rhu Tapai dan Nyatoh, Setiu dijangka mengeluarkan hasil hampir 800 metrik tan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Permintaan tembikai amat tinggi pada awal Ramadan ini dan dijangka ia akan berlarutan sehingga minggu ketiga bulan puasa ini.

“Harga jualan tembikai di ladang juga yang sebelum serendah 80 sen sekilogram (kg) kini telah melonjak sehingga RM1.90 bagi kuantiti sama pada minggu pertama Ramadan ini,” katanya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Serating di sini hari ini.

Muhamad Fadlee menjangkakan harga jualan tembikai di ladang negeri ini boleh mencecah sekurang-kurangnya RM2 sekilogram menjelang pertengahan Ramadan ini.

Beliau berkata, harga runcit tembikai di pasaran ketika ini antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram.

“Hasil tuaian tembikai diusahakan petani yang menjalin kerjasama dengan FAMA bukan sahaja untuk pasaran negeri ini malah akan dihantar ke Lembah Klang, Perak dan Johor.

“Permintaan terhadap tembikai di tiga kawasan itu amat tinggi sempena Ramadan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

MyKad generasi baharu atasi isu kad pengenalan palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Semua fungsi kad-kad pengenalan jenis lama akan dimansuhkan sebaik Mykad generasi baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan tersebut.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, cadangan tersebut telah dipersetujui secara dasar oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini.

“Kita (JPN) cadangkan kerajaan apabila memperkenalkan MyKad generasi baharu nanti, kad-kad (pengenalan) lama tidak lagi boleh digunakan.

“Tiada lagi kad pengenalan plastik, satu gambar dan dua gambar,” katanya ketika ditemui pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Pasir Raja di sini, hari ini.

Beliau menyampaikan MyKad gantian kepada lima penduduk perkampungan tersebut yang sebelum ini terjejas dalam banjir besar pada bulan Januari lalu.

Badrul Hisham berkata, pelaksanaan Mykad generasi baharu tersebut merupakan mekanisme bagi menangani isu kad pengenalan palsu yang masih berlaku terutamanya di Sabah.

Beliau berkata, keterangan lanjut berhubung pelaksanaan MyKad generasi baharu terbabit akan dimaklumkan kerajaan pada masa sesuai.

“Penukaran MyKad generasi baharu ini dijangka dilakukan secara berperingkat berikutan implikasi kos yang tinggi sekiranya dilakukan sekali gus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kemusnahan infrastruktur akibat banjir tengkujuh sedang dibaiki

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kerajaan sedang membaiki kerosakan termasuk infrastruktur yang musnah akibat bencana banjir musim tengkujuh baru-baru ini melibatkan kerugian dianggarkan hampir RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja-kerja pembaikan itu sedang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan seperti di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pemulihan (kerosakan akibat banjir) sedang dilakukan dengan segera bergantung kepada agensi berkenaan.

“Pembaikan rumah dan bantuan kepada mangsa banjir pula telah diagihkan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) kepada jawatankuasa banjir negeri dan daerah,” katanya di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui pada majis Santuan Kasih Ramadan bersama warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan bantuan banjir musim tengkujuh pada tahun ini perlu diagihkan secara serata kepada semua mangsa yang layak.

Beliau tidak mahu berlaku lagi mangsa banjir yang layak keciciran kerana tidak disenaraikan oleh sesetengah jawatankuasa negeri dan daerah.

“Ada yang sepatutnya menerima tidak disenaraikan mungkin warna politiknya berbeza dan ini perlu dielakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pembantu tadbir MPK didakwa terima rasuah ansuran bulanan Honda Stream

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pembantu Tadbir Kanan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan menerima sogokan berjumlah RM65,148 daripada syarikat pembekalan selama lima tahun sejak 2017.

Tertuduh, Yusliza Othman@Yusof, 51, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Tertuduh didakwa menerima suapan berupa bayaran ansuran sewa beli kenderaan pelbagai guna jenis Honda Stream sebanyak RM1,068 sebulan daripada syarikat pembekalan terbabit.

Pemberian rasuah itu adalah sebagai dorongan untuk memudahkan syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja pembekalan dengan MPK.

Perbuatan itu didakwa didakwa dilakukan sejak tahun 2017 sehingga 2022.

Yusliza didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, March 12, 2024

Ayahanda Harimau Kumbang didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

DUNGUN – Seorang peniaga yang digelar Ayahanda Husin didakwa di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan menguruskan sebuah pertubuhan haram dikenali Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia Ayahanda Harimau Kumbang (AHK), tahun lalu. 

Tertuduh, Husin Hassan, 40, turut didakwa bersama seorang mekanik, Mohd. Syamim Abdul Rahim, 39, atas dakwaan mengambil bahagian dalam AHK yang merupakan pertubuhan tidak berdaftar. 

Turut didakwa adik dan anak Husin iaitu Mohamad, 39, dan Muhammad Airel Amirul, 21, serta seorang pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, atas dakwaan menjadi anggota AHK. 

 Kesemua tertuduh termasuk ketuanya, Husin membuat pengakuan tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman. 

Berdasarkan pertuduhan, Husin didakwa mengurus AHK yang merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Kampung Sura Jeti di sini pada pukul 1.40 pagi, 20 Januari 2023. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukukan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 Dia turut didakwa bersama Mohd. Syamim mengambil bahagian dalam AHK tanpa kebenaran bertulis Pendaftar mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000. 

Mohd. Syamim bersama Mohamad dan Muhammad Airel Amirul serta Hilmy didakwa menjadi anggota AHK mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi berasingan iaitu Kampung Che Lijah, Kampung Sura Hujung dan Kampung Alur Jambu di sini antara pukul 1.50 pagi hingga 3.15 pagi, 20 Januari 2023. 

Mahkamah membenarkan Husin dan Mohd. Syamim dibebaskan dengan wang jaminan keseluruhan RM9,000 dan seorang penjamin. 

Mohd. Syamim bersama Mohamad, Muhammad Airel Amirul dan Hilmy pula dibenarkan diikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

 Sebutan semula kes pada 18 Mac depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd. Ali. 

Peguam, Datuk Sukri Mohamed mewakili Husin, Mohamad dan Muhammad Airel Amirul, manakala Mohd. Syamim dan Hilmy diwakili peguam, Nohabibah Norulalzahar. 

Kosmo! 23 Januari 2023 melaporkan AHK yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau along dan menarik kenderaan secara haram berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun. 

Siasatan awal mendapati AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut keahlian termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun sejak tahun 2021.

Monday, March 11, 2024

Pasangan warga emas terlantar sakit

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Seorang wanita memerlukan wang kira-kira RM1,000 sebulan bagi kos perubatan dan membeli lampin pakai buang untuk ibu bapanya yang terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu.

 Roshani Mat Ali, 49, berkata, pada mulanya, ibunya, Minah Ibrahim, 77, diuji penyakit saraf kira-kira enam tahun lalu. 

 Ujian keluarga itu kemudian bertambah apabila bapanya, Mat Ali Salleh pula diserang strok dua tahun lalu. 

 “Saya merupakan suri rumah dan menetap berdekatan rumah ibu bapa. Jadi saya ambil tanggungjawab menjaga mereka. 

“Mereka memerlukan penjagaan khas dan perlu dibantu hampir dalam semua aktiviti seharian.” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Hulu, Tepoh di sini baru-baru ini. 

 Roshani memberitahu, ibu bapanya hanya memakan bubur dan memakai lampin pakai buang setiap hari. 

Kos perubatan termasuk membeli lampin pakai buang pasangan warga emas itu mencecah RM1,000 sebulan. 

“Alhamdulillah bapa saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Jumlah itu sebenarnya masih belum cukup untuk membiayai kos perubatan bulanan mereka,” katanya. 

 Roshani memberitahu, dia tidak dapat membantu dari sudut kewangan kerana suaminya, Zuraili Loh, 47, bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan pendapatan RM800 sebulan. 

 Wanita itu turut berharap supaya permohonan bantuan bulanan bagi ibunya akan diluluskan oleh JKM.

 Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1100141000237696 atas nama Mat Ali.

Sunday, March 10, 2024

UniSZA kumpul 3 tan barangan kitar semula

KUALA NERUS – Sebanyak 3,000 kilogram (kg) bahan penerbitan terpakai dan usang berjaya dikumpul warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memupuk budaya kitar semula. 

Pengarah UniSZA Kampus Besut, Prof Dr. Mohd. Nordin Abdul Rahman berkata, kertas, surat khabar lama, buku, majalah dan novel terbabit berjaya dikumpul dalam tempoh 10 hari bermula 18 Februari lalu.

 “Seramai 91 individu warga UniSZA terlibat menyumbang bahan penerbitan terpakai dan usang itu secara sukarela. 

“Projek pengumpulan bahan penerbitan terpakai dan usang untuk dikitar semula itu bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar dan kakitangan UniSZA. 

“Ia sejajar dengan agenda Pelan Strategik Universiti 2023- 2030,” katanya di kampus UniSZA Gong Badak, di sini semalam. 

Terdahulu, beliau menyerahkan bahan penerbitan terpakai dan usang tersebut untuk dikitar semula oleh syarikat, RD Papers Sdn. Bhd. 

Mohd. Nordin berkata, program tersebut diharap dapat menyuntik semangat warga UniSZA untuk membudayakan amalan kitar semula.

Saturday, March 9, 2024

Pengamal media Terengganu terima sijil penghargaan Bomba


 SEBAHAGIAN pengamal media yang menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru in

Friday, March 8, 2024

Ahli perniagaan wanita rugi RM202,400 diperdaya scammer

 KUALA TERENGGANU – Ekoran terlalu takut kononnya mahu didakwa atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram dan aktiviti dadah, seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM202,400 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan baru-baru ini. 

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berusia 47 tahun itu hanya menyedari tertipu apabila mendapati amaun wang simpanan dalam akaun banknya berkurangan pada Rabu lalu.

 Beliau berkata, sebelum itu, ahli perniagaan itu dihubungi suspek yang mengaku sebagai wakil syarikat kurier dan pengawai polis pada awal bulan lalu.

 “Suspek mendakwa mangsa sedang disiasat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah. 

 “Mangsa ditakut-takutkan agar memberi kerjasama mendedahkan maklumat akaun bank dan kata laluan perbankan internet sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan perundangan,” katanya di sini semalam. 

 Mazli berkata, wanita terbabit bukan sahaja menyerahkan maklumat perbankannya, malah menurut arahan melakukan transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank seperti diarahkan suspek.

 Tambahnya, anggota sindiket itu mendakwa siasatan jenayah kononnya melibatkan ahli perniagaan itu hanya akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

 “Mangsa hanya mengetahui tertipu apabila disedarkan ahli keluarganya tentang kes melibatkan sindiket penipuan pada Rabu lalu. 

 “Semakan ke akaun banknya mengesahkan dia tertipu apabila wang simpanan RM202,400 dipindahkan ke akaun-akaun bank lain sebanyak 35 transaksi tanpa pengetahuannya,” katanya.

 Sehubungan itu, Mazli menasihatkan orang ramai agar tidak melayan dan terperdaya dengan panggilan daripada nombor tidak dikenali. 

 Tambahnya, kesahilan panggilan terbabit harus disemak dengan pihak berkenaan atau polis bagi mendapatkan pengesahan.

Thursday, March 7, 2024

Santuni pesara polis Marang

 


Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Razman Setapa (dua dari kiri) menyantuni pesara polis yang uzur di Bukit Payong, Marang, Terengganu baru-baru ini

3 individu rugi RM20,040 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga individu termasuk seorang wanita bukan tidak menerima pinjaman yang dipohon malah kerugian keseluruhan RM20,040 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman tidak wujud sepanjang minggu ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kesemua mangsa tertarik untuk memohon pinjaman tersebut setelah tertarik dengan iklannya di laman Facebook.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang memohon pinjaman terbabit kemudiannya diminta membuat pelbagai bayaran namun tidak menerima pembiayaan dijanjikan.

“Mangsa pertama merupakan seorang kontraktor lelaki berusia 41 tahun yang membuat permohonan pinjaman sebanyak RM10,000.

“Dia sebaliknya mengalami kerugian sebanyak RM4,1000 akibat ditipu sindiket berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mazli berkata, mangsa kedua melibatkan seorang peniaga wanita berusia 37 tahun yang kerugian RM8,400 setelah membuat permohonan pembiayaan sebanyak RM60,000.

Tambah beliau, seorang operator pengeluaran pula kerugian RM7,540 apabila pinjaman RM60,000 yang dipohon tidak diterima.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam beberapa akaun bank disyaki milik keldai dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Wednesday, March 6, 2024

Ayahanda Husin Harimau Kumbang, 4 pengikut didakwa sertai pertubuhan haram

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang peniaga yang digelar Ayahanda Husin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menguruskan sebuah pertubuhan haram, Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) pada tahun lalu.

Tertuduh, Husin Hassan, 40, turut didakwa bersama seorang mekanik, Mohd. Syamim Abdul Rahim, 39, atas dakwaan mengambil bahagian dalam AHK yang merupakan pertubuhan tidak berdaftar.

Turut didakwa adik dan anak Husin iaitu Mohamad, 39, dan Muhammad Airel Amirul, 21, serta seorang pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, atas dakwaan menjadi anggota AHK.

Kesemua tertuduh termasuk ketuanya, Husin membuat pengakuan tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, Husin didakwa mengurus AHK yang merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Kampung Sura Jeti di sini pada pukul 1.40 pagi, 20 Januari 2023.

Dia turut didakwa bersama Mohd. Syamim mengambil bahagian dalam AHK tanpa kebenaran bertulis Pendaftar mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000.

Mohd. Syamim pula bersama Mohamad, Muhammad Airel Amirul dan Hilmy didakwa menjadi anggota AHK mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kosmo! 23 Januari 2023 melaporkan AHK yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dan menarik kenderaan secara haram berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun.

Siasatan awal mendapati AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut keahlian termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun sejak tahun 2021. – KOSMO! ONLINE

60 taman awam siap dibina tahun lalu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berjaya membangunkan 60 taman awam baharu di seluruh negara pada tahun lalu.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran mewujudkan 500 taman rekreasi Madani dalam tempoh lima tahun.

“Pembinaan lebih banyak taman awam di seluruh negara ini merupakan komitmen kerajaan untuk mempromosi gaya hidup sihat dan aktif dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti rekreasi di taman awam.

“Kemudahan awam tersebut akan dibina secara saksama antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Taman Awam Kuala Kerteh di sini hari ini.

Taman Awam Kuala Kerteh yang seluas kira-kira 8.98 hektar merupakan taman awam pertama di daerah ini.

Kor Ming berkata, pembinaan taman awam madani tersebut juga inisiatif kerajaan menambahkan lagi kawasan hijau bagi mengurangkan impak pemanasan global.

Tambah beliau, kesemua projek pembangunan taman awam terbabit dibina Jabatan Landskap Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam perkembangan sama, Kor Ming berkata, Taman Awam Kuala Kerteh yang siap pada 27 Oktober tahun lalu merupakan taman awam keempat yang terdapat di seluruh Terengganu selain Batu Burok dan Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan Teluk Gadong, Dungun. – KOSMO! ONLINE