Translate

Wednesday, July 31, 2013

Anak yatim di Tapah beli-belah baju raya

SYUKUR. Seramai 50 anak yatim dari sekitar Tapah menerima sumbangan pakaian raya daripada Pusat Khidmat dan Aduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di pasar raya Mydin RTC, Gopeng, Perak baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, anak-anak yatim berkenaan diberi kebebasan untuk memilih pakaian raya mereka sendiri di pasar raya tersebut dengan peruntukan RM200 setiap seorang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Perak berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu juga masing-masing menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50.
"Sebelum ini kita hanya memberi sumbangan duit raya kepada anak yatim berkenaan tetapi mulai tahun ini kita buat sedikit perubahan dengan meminta mereka memilih sendiri pakaian yang bakal digayakan pada pagi raya," katanya.

Sunday, July 28, 2013

Wanita Indonesia dituduh curang kena bunuh

BATU GAJAH - Seorang pembantu kedai wanita warga Indonesia ditemui mati dibunuh dipercayai oleh suaminya sendiri dalam kejadian di rumah kedai di Jalan Pasar di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.21 malam itu, Than Dar, 25, mati selepas mangsa dipercayai ditikam dengan pisau pemotong kayu oleh suaminya yang merupakan seorang warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, anggota polis bergegas ke tempat kejadian yang terletak di tingkat satu premis rumah kedai tersebut dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang berlumuran darah manakala mulutnya pula berbuih.

“Pemeriksaan menjumpai sebilah pisau pemotong kayu di belakang badan wanita itu. Terdapat juga kesan tikaman di belakang badan mangsa,” katanya beliau di sini semalam.

Menurut beliau, suami mangsa didakwa membawa anak lelakinya yang berusia setahun setengah meninggalkan rumah itu selepas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, polis kemudian menahan suami mangsa dan tiga lagi lelaki yang tinggal di rumah kedai itu semalam di beberapa lokasi,

"Mangsa dipercayai dibunuh selepas dia dituduh berlaku curang oleh suaminya," kata beliau dengan memberitahu pasangan itu sudah berkahwin kira-kira dua tahun.

Saturday, July 27, 2013

Raja Nazrin rasmi Masjid Kubu Gajah

MENGIMARAH  MASJID . Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan  Masjid   Kampung   Kubu   Gajah , Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak baru-baru ini.

Pengerusi  Masjid   Kampung   Kubu   Gajah , Samsudin Man berkata,  masjid  yang dibina dengan kos RM1.5 juta itu mampu memuatkan 800 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata, selepas berbuka puasa, Raja Nazrin menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah di  masjid  tersebut.

"Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak berjumlah RM336,000 kepada asnaf fakir dan miskin sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar," katanya.

Wednesday, July 24, 2013

Econsave bantu keluarga miskin sambut raya

TAIPING - Kesyukuran terpancar pada wajah 30 keluarga kurang berkemampuan sekitar bandar ini apabila berpeluang berbelanja barangan keperluan secara percuma di pasar raya  Econsave   Kamunting  dekat sini semalam.

Pengurus Cawangan  Econsave   Kamunting , R. Jayanthi berkata, pihaknya bermurah hati memberi baucar RM200 kepada setiap keluarga tersebut bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Beliau berkata, program amal tahunan yang sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu itu merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat pasar raya  Econsave  cawangan berkenaan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Diharap dengan bantuan ini, sedikit sebanyak turut memberi kegembiraan kepada keluarga tidak bernasib baik itu bagi menjalani ibadah puasa dan meraikan hari raya.

"Kami bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak cawangan Taiping bagi menjayakan program amal ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Turut hadir Penolong Pegawai Baitulmal Taiping, Abdul Hadi Abu Saed dan Ketua Bahagian  Econsave   Kamunting , Mohamad Shahazudin Manaf.

Jayanthi berkata, beliau difahamkan keluarga yang menerima bantuan program amal tersebut terdiri daripada penerima bantuan zakat daripada asnaf fakir miskin dan mualaf.

Katanya, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk turut diedarkan kepada pelanggan pasar raya tersebut pada program sama.

Tuesday, July 23, 2013

Pelajar sekolah didera sebelum dibunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pelajar tingkatan dua, M. Nathaniel yang dibunuh sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar dekat  Kamunting ,  Taiping  kelmarin disyaki didera sebelum meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah  Taiping , Asisten Komisioner  Yusuf  Mohd. Diah berkata, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa yang berusia 14 tahun itu mati disebabkan pendarahan yang teruk.

"Banyak kesan kelar serta luka ditemui pada badan si mati.

"Berdasarkan kesan luka itu, kita percaya mangsa mungkin didera dengan senjata tajam oleh penjenayah sebelum mati," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut  Yusuf , pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan itu kerana keluarga Nathaniel menyifatkan remaja itu sebagai seorang anak yang baik, tidak terlibat dalam aktiviti jenayah selain tidak mempunyai musuh.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, polis memerlukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kejam itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Taiping  di talian 05-8080 222 bagi membantu siasatan.

Akhbar semalam melaporkan, Nathaniel yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam belukar berhampiran deretan bangunan komersial yang masih belum dihuni, kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Palma 2B di sini.

Mayat mangsa ditemui pada pukul 7.50 pagi oleh orang awam dengan kesan kelar di badan disyaki dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.

Monday, July 22, 2013

Remaja hilang mati dibunuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING – Penantian sebuah keluarga untuk melihat anak lelaki mereka yang hilang sejak Jumaat lalu pulang ke rumah bertukar tragedi apabila mangsa ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar di Taman Mewah, Kamunting dekat sini semalam.
Mayat M. Nathaniel, 14, ditemui di dalam belukar berhampiran deretan bangunan komersial yang masih belum berpenghuni iaitu kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Palma 2B.
Ketika ditemui pada pukul 7.50 pagi oleh orang awam, mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan kesan kelar di seluruh badan termasuk di leher.
Orang awam yang menemui mayat itu kemudian terus menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, mangsa tinggal di Taman Palma 2B, Kamunting kira-kira lima kilometer dari lokasi mayatnya ditemui.

Katanya, sebelum dibunuh, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini itu didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 8.30 malam Jumaat lalu.

"Mangsa yang pulang dari sekolah pada ketika itu dikatakan berjumpa dengan kawan-kawannya. Namun mangsa tidak memberitahu siapa dan di mana tempat dia pergi kepada ahli keluarganya.

"Kita percaua mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan belukar berkenaan. Kita masih menyiasat motif kejadian dan akan mendapatkan keterangan daripada rakan-rakannya untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati mayat Nathaniel mempunyai beberapa kesan kelar dipercayai menggunakan senjata tajam.

Menurut Yusuf, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping di sini untuk dibedah siasat.

Kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

Sunday, July 21, 2013

Meninggal dunia sebelum mencuri



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemuda ditemui mati selepas badannya tersepit pada celah besi tingkap dipercayai ketika cuba memasuki rumah jirannya di Taman Saz, Silibin dekat sini semalam.

Mayat Sherul Aizam Mohd. Damanhuri, 27, dijumpai oleh pemilik rumah tersebut yang baru tiba di rumahnya pada pukul 12.15 tengah malam. Semasa kejadian, rumah teres satu tingkat itu tiada penghuni.
Ketika ditemui, separuh badan si mati daripada kepala ke dada berada di dalam rumah mangsa manakala pinggang ke kaki masih berada di luar dengan hanya berseluar dalam.
Rumah yang cuba dimasuki si mati adalah selang tiga rumah daripada rumah keluarganya, namun pemuda itu tidak menetap di situ kerana menyewa bersama rakan-rakannya di Buntong, lima kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu selepas pemilik rumah berkenaan yang berusia 58 tahun menghubungi polis.
"Semasa polis tiba di lokasi kejadian, pemuda itu sudah tidak sedarkan diri.
"Anggota bomba perlu memotong besi tingkap belakang rumah berkenaan untuk mengeluarkan badan suspek yang tersepit sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HRPB di sini.

Menurut Chang Keong berkata, semasa ditemui, si mati yang bekerja membantu menguruskan perniagaan bapanya hanya berseluar dalam manakala baju, seluar dan kasutnya ditemui di dalam sinki bersebelahan tingkap rumah mangsa.

Siasatan awal percaya si mati cuba memecah masuk rumah tersebut melalui celah tingkap selepas menanggalkan cerminnya.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dalam kejadian itu. Laporan bedah siasat menunjukkan si mati meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit,” kata beliau.

Ekoran kejadian itu juga, bapa si mati, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuad, 50, membuat laporan di Balai Polis Jelapang kerana mendakwa anak sulung daripada lima beradik itu kemungkinan dibelasah sehingga menemui ajal.

Mengulas lanjut, Chang Keong memberitahu, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut termasuk permintaan keluarga si mati untuk melakukan bedah siasat kali kedua.

Sementara itu, suasana di rumah mayat HRPB sedikit kecoh apabila ahli keluarga Sherul Aizam tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh hospital itu.

Mohd. Damanhuri berkata, dia sekeluarga curiga apabila terdapat banyak kesan lebam terutama pada leher dan dada anaknya disyaki akibat dipukul dan ditendang.

"Saya akui kesalahan anak saya memasuki rumah orang, tetapi (tindakan) memukulnya sehingga mati tidak boleh dibiarkan.

"Saya minta bedah siasat kali kedua dijalankan supaya kami dapat keputusan (punca kematian) yang jelas," katanya sambil ditemani isterinya, Zaitun Hassan, 46.

Lelaki itu memberitahu, Sherul Aizam ada menghubunginya petang kelmarin untuk meminta bantuan kewangan namun tidak dipenuhinya kerana ketika itu dia berada di luar Ipoh.

Sehingga petang semalam, mayat Sherul Aizam tidak dituntut oleh ahli keluarganya.

Tuesday, July 16, 2013

Rumah Merah juara sukan SKBP

HEBAT. Rumah  Sukan  Merah muncul juara pada Kejohanan Olahraga Kali ke-28 Sekolah Kebangsaan Pengkalan Baru (SKBP),  Batu   Gajah , Perak baru-baru ini.

Dua pelajar, Wan Hakimi Wan Jaafar dan Nur Natasya Emiliyana Khairuddin masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati  sukan  pada temasya tersebut.

Pelbagai acara menarik telah diadakan pada kejohanan  sukan  kali ini termasuk sukaneka, tarik tali dan acara yang melibatkan ibu bapa.

Kejohanan  sukan  itu dirasmikan oleh Penghulu Mukim Sungai Raia, Kampung Kepayang, Jamaluddin Abdul Aziz.

Pelajar UTAR kaki pecah rumah rakan dicekup

KAMPAR – Masalah kecurian yang menjadi-jadi di Westlake iaitu kawasan penempatan pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sejak awal tahun ini, rupa-rupanya didalangi seorang pelajar tahun satu di universiti tersebut di Bandar Baru Kampar di sini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pelajar berusia 20 tahun dan belajar dalam jurusan perakaunan ditangkap oleh beberapa rakannya sewaktu suspek sedang menggeledah sebuah rumah pada pukul 5 pagi, Rabu lalu.
“Pemeriksaan di rumah sewa suspek menemui telefon bimbit, dompet, lesen memandu, komputer riba, alat pengecas mudah alih dan sebagainya,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini semalam.

Kong Soon memberitahu, siasatan awal percaya suspek yang berasal dari Pulau Pinang terlibat dalam sembilan kes  pecah   rumah  di kawasan Westlake yang didiami pelajar UTAR.

Kata beliau, suspek berkenaan dipercayai mula terlibat dalam kegiatan  pecah   rumah  sejak mula mendaftar diri sebagai pelajar di universiti berkenaan pada awal tahun ini.

"Suspek juga tinggal di Westlake dan kediaman itu turut dikawal beberapa pengawal keselamatan," kata beliau dengan memberitahu suspek menyasarkan  rumah  rakan-rakannya yang tidak berkunci.

Dua beranak parah ditembak

KAMPAR – Tiga penjenayah bergelar Geng Hilux bertindak kejam apabila bukan sahaja melarikan pelbagai barangan berharga malah tergamak menembak dua beranak ketika mangsa cuba mempertahankan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux milik mereka dari dilarikan suspek kelmarin.
Kejadian di Taman Sejahtera di sini pada pukul 8.30 malam itu mencederakan seorang tauke kedai runcit, Zahari Din, 51, dan anak lelakinya, Zaharith Aiman Mahami, 13, apabila satu das tembakan yang dilepaskan menembusi perut Zahari sebelum mengenai paha kanan remaja tersebut.
Bagaimanapun, dosa tak terampun yang dilakukan penjenayah kejam tersebut berbalas apabila salah seorangnya ditangkap tiga jam kemudian selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu dihambat polis peronda yang dapat mengesan kelibatnya di Jalan Langkap-Kampar, Tapah, kira-kira 20 kilometer dari sini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, kejadian berlaku apabila tiga penjenayah bersenjatakan parang, pistol dan memakai topeng tersebut menyerbu masuk ke dalam rumah mangsa ketika Zahari, isteri dan anaknya sedang berehat di ruang tamu.
Katanya, suspek kemudian merampas dua buah telefon bimbit, kunci Toyota Hilux, kunci rumah, kad pengenalan, buku cek dan buku akaun Tabung Haji.
“Zahari kemudian nekad mengambil sebilah parang untuk mempertahankan diri sewaktu salah seorang penjenayah cuba menghidupkan 4WD tersebut yang diletakkan di halaman rumah.

"Melihatkan mereka diancam, salah seorang penjenayah bertindak melepaskan satu das tembakan yang menembusi perut mangsa sebelum mengenai pula paha kanan anaknya yang berada berdekatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah Teluk Intan dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna gelap tanpa melarikan 4WD milik mangsa.

Menurut Paramasivam, ketika dalam perjalanan, suspek sempat menyamun seorang tauke kilang besi di Jalan  Kampar , Langkap, Teluk Intan.

"Bagaimanapun, lelaki berusia 31 tahun tersebut tidak cedera meskipun lehernya diacukan parang. Suspek kemudian melarikan Toyota  Hilux  mangsa, wang RM6,000, dua buah telefon bimbit, seutas rantai, sebentuk cincin dan loket," katanya.

Ujar Paramasivam, polis yang melakukan sekatan jalan raya kemudian mengesan kelibat salah seorang suspek yang menaiki kereta Proton Perdana pada pukul 11.30 malam di Jalan Langkap- Kampar , Tapah kira-kira tujuh kilometer dari tempat pengusaha itu disamun, mencetuskan insiden kejar-mengejar.

"Ketika cuba melarikan diri, kereta dinaiki suspek berusia 33 tahun itu kemudian telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dinaiki tiga sekeluarga.

"Ekoran kemalangan itu, kedua-dua belah kaki suspek patah dan dia ditahan manakala tiga sekeluarga itu cedera ringan. Pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemui beberapa barangan yang dicuri di rumah Zahari," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian samun itu bermotifkan untuk melarikan 4WD berkenaan kerana polis mengesyaki suspek terlibat dengan 10 kes kehilangan kenderaan jenis itu di Perak sejak awal tahun ini.

"Kesemua kes itu melibatkan modus operandi yang sama iaitu memakai topeng, bersenjatakan parang dan pistol ketika menyamun," katanya.

Zahari dan anaknya kini stabil selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Polis sedang mengenal pasti dua lagi penjenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata api 1971 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tinjauan di rumah Zahari mendapati ia tidak berpenghuni namun kenderaan Toyota  Hilux  yang menjadi sasaran samun masih berada di halaman rumah tersebut.

Thursday, July 11, 2013

Permit import ayam dibuka

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Sudah lumrah, setiap kali menjelang Ramadan, harga runcit  ayam  di pasaran di seluruh negara mengalami kenaikan secara mendadak.

Kenaikan harga tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan pembeli kerana terasa teraniaya berikutan terpaksa membayar harga mahal bagi membeli  ayam .

Tinjauan  Kosmo! di beberapa pasar basah dan pasar raya di ibu negara semalam mendapati harga  ayam  naik antara RM1.20 hingga RM1.70 sekilogram berbanding harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80.

Harga  ayam  segar di Pasar Pudu, Kuala Lumpur naik RM1 daripada RM7.50 menjadi RM8.50 sekilogram ekoran pembekal menaikkan harga borong sehingga RM7.60 sekilogram.

Seorang peniaga, Zamri Ismail, 44, memberitahu, pembekal telah menaikkan harga  ayam  sejak beberapa minggu lalu dan semakin mahal menjelang Ramadan.

Apabila pembekal menaikkan harga, Zamri mendakwa dia juga terpaksa menjual lebih mahal.Katanya, walaupun harga naik, kadar untung bagi setiap kilogram tetap 50 sen.

Rakannya, Rahim Ahmad, 38, pula berkata, harga  ayam  yang dibekalkan kepadanya berbeza mengikut saiz  ayam  tersebut.

Katanya, bagi  ayam  saiz kecil, harga yang ditetapkan pembekal ialah RM7.60 sekilogram sementara untuk saiz sederhana dan besar pula RM7 hingga RM7.30 sekilogram.

"Apabila harga yang kami terima daripada pembekal sudah tinggi, maka kami terpaksa jual lebih mahal untuk mendapat sedikit untung," kata Rahim.Sementara itu, di  Ipoh ,  tinjauan  di Pasar Besar  Ipoh  mendapati  ayam  segar turut naik dan dijual pada harga RM8.50 sekilogram.

Seorang peniaga, Rahimah Mat Noor, 43, berkata, dia tiada pilihan selepas pembekal bertindak menaikkan harga  ayam  sejak lebih sebulan lalu.

"Sejak harga  ayam  naik, jualan  ayam  di gerai saya juga semakin berkurangan.

"Kebanyakan pelanggan terutama pengusaha restoran sudah beralih ke pasar raya besar untuk membeli  ayam ," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pelajar Jepun lawat SK Raja Chulan


INTEGRASI. Sebanyak 17 pelajar dari Sekolah Tinggi Ibraki, Osaka, Jepun mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Chulan, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Guru pengiring mereka, Kanae Maruhashi berkata, program lawatan sambil belajar itu merupakan inisiatif Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.
Beliau berkata, objektif kunjungan ke sekolah tersebut adalah untuk mempelajari modul pengajaran dan pembelajaran program pendidikan khas.
Pada majlis sama, pelajar Jepun yang berusia 16 tahun dan 17 tahun itu turut membuat persembahan soran iaitu tarian kebudayaan dari negara matahari terbit tersebut.


Wednesday, July 10, 2013

PDRM laksana kursus juruterbang


IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melaksanakan kursus lesen juruterbang komersial untuk juruterbang helikopter Pasukan Gerakan Udaranya pada masa hadapan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, seramai tujuh juruterbang helikopter telah berjaya menamatkan kursus penerbangan yang julung-julung kali dikendalikan oleh PDRM baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini kursus lesen juruterbang komersial bagi kelayakan mengendali helikopter dalam kalangan pegawai PDRM dilakukan di Australia.
"Kita sudah ada kemampuan dan lebih menjimatkan. Sebelum ini kita hantar anggota kita jalani kursus itu di luar negara yang menelan kos yang tinggi.
"Walaupun kebenaran yang diberikan Jabatan Penerbangan Awam untuk PDRM mengendalikan kursus penerbangan pada kali ini dibuat secara one-off (sekali sahaja) tetapi kita akan mohon untuk terus melatih juruterbang helikopter kita pada masa hadapan," katanya.

SPR mahu ganjilkan kerusi DUN


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) bercadang untuk menjadikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri pada jumlah ganjil menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal bermula hujung tahun ini.
Pengerusi  SPR ,  Tan   Sri  Abdul  Aziz  Mohd. Yusof berkata, ia bertujuan bagi mengelakkan polemik 'kerajaan tergantung' iaitu kesukaran menubuhkan kerajaan sekiranya berlaku senario parti-parti politik bertanding memenangi jumlah kerusi yang sama banyak di Parlimen mahupun DUN.

"Inilah satu satu perkara yang akan diperbetul  SPR  dalam persempadanan semula. Bagi negeri-negeri dan Parlimen yang mempunyai bilangan kerusi genap, kita akan lihat di mana yang sesuai dan jadikan kerusi ganjil.

"Walaupun ia bukan asas utama tetapi pengenapan jumlah kerusi Parlimen dan DUN di kesemua negeri merupakan salah satu daripada pertimbangan yang akan diambil," katanya selepas menghadiri majlis penghargaan petugas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) peringkat negeri  Perak  di sini malam kelmarin.

Abdul  Aziz  berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya akan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Fasal 2, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Selain Parlimen yang mempunyai 222 kerusi dan DUN Terengganu (32), tujuh negeri lain turut mempunyai kerusi DUN pada jumlah genap iaitu Kedah (36), Pulau Pinang (40), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Melaka (28), Pahang (42) dan Sabah (60).

Dalam perkembangan lain, Abdul  Aziz  memberitahu  SPR  akan menguat kuasa peraturan warna pas yang berlainan kepada setiap ejen calon mengikut bidang tugas mereka pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Beliau berkata, sebelum ini semua ejen calon sama ada yang bertugas di bilik mengundi, proses pengiraan undi dan barung  SPR  memakai pas yang sama sehingga menimbulkan kekeliruan dan sukar untuk dikawal.

Tuesday, July 9, 2013

Rasionalisasi subsidi Bajet 2014

Mekanisme pengagihan dilihat semula supaya sampai ke golongan sasaran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Rangka baharu struktur  rasionalisasi   subsidi  negara antara dicadang untuk dimasukkan dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada 25 Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah berkata, kementeriannya mahu melihat semula mekanisme pengagihan  subsidi  bagi memastikan ia benar-benar sampai ke golongan sasaran.

" Subsidi  kita sebenarnya besar dan diguna pakai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira peringkat mana pendapatannya.

"Macam minyak (petrol) umpamanya, orang paling kaya dan orang paling susah di Malaysia ini dikenakan harga yang sama," katanya selepas merasmikan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan III, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Ahmad  Husni  berkata, golongan berpendapatan tinggi sebenarnya tidak memerlukan peruntukan  subsidi  berkenaan.

Oleh itu, beliau memberitahu, modul Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menjadi asas kepada kajian struktur baharu  rasionalisasi   subsidi  tersebut.

"BR1M akan jadi asas untuk kita melihat semula  rasionalisasi   subsidi .

Kita sedang melihat macam mana hendak memindahkan  rasionalisasi  ( subsidi ) kepada kumpulan sasaran," katanya.

Pada 2013, kerajaan perlu menanggung lebih kurang RM22.29 bilion bagi menampung perbelanjaan  subsidi  melibatkan produk petrol, diesel, gula, beras, tepung gandum, minyak masak dan gas cecair memasak (LPG).

Hadkan tempoh pinjaman elak rakyat terbeban hutang

IPOH - Peraturan baharu  Bank   Negara  untuk mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi dan perumahan masing-masing kepada 10 tahun dan 35 tahun bertujuan memastikan pendapatan boleh guna rakyat mencukupi untuk membiayai sara hidup.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, kajian  Bank   Negara  mendapati, pendapatan boleh guna yang dibawa pulang ke rumah oleh individu yang mempunyai pinjaman peribadi jangka panjang sangat sedikit.

"Kesan daripada mudahnya mendapat pinjaman peribadi dalam jangka masa yang panjang itu menjadi kebimbangan kita.

"Kita juga berharap peraturan ini dapat mengelakkan pinjaman peribadi untuk tujuan tidak produktif seperti belanja kenduri- kendara dan membeli barangan tidak perlu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan III, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Ahmad  Husni  berkata, ia juga untuk mengelakkan individu yang mempunyai pendapatan boleh guna sedikit itu terjebak kepada masalah pinjaman dengan ah long.

Menurut beliau, ia kerana peminjam yang mempunyai daya mampu rendah berikutan bebanan pinjaman jangka panjang itu, berkemungkinan terdesak mencari jalan keluar dengan meminjam dengan institusi haram seperti ah long.

"Jadi, kita mahu rakyat Malaysia mempunyai pendapatan boleh digunakan yang tinggi untuk menjaga keluarga mereka.

"Pada masa sama, kualiti sektor perbankan dapat ditingkatkan. Kita percaya peningkatan kualiti perbelanjaan rakyat dan perbankan tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan  negara ," katanya.

Ahmad  Husni  berkata, sektor perbankan tidak akan terjejas dengan peraturan tersebut kerana kecairan dana pinjaman itu boleh disalurkan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), pelabur dan sektor korporat.

Gabenor  Bank   Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada Jumaat lalu telah mengumumkan peraturan baharu mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi sehingga 10 tahun manakala pinjaman perumahan pula tidak melebihi tempoh 35 tahun.

Sunday, July 7, 2013

MRSM Parit dilengkapi fasiliti pembelajaran moden

PENDIDIKAN. Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di Parit, Perak baru-baru ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, MRSM Parit yang mula beroperasi pada 21 Mei 2012 itu merupakan MRSM ketujuh di Perak dan ke-51 di negara ini.
Beliau berkata, MRSM seluas 22.28 hektar tersebut juga dilengkapi dengan pelbagai fasiliti pembelajaran moden dan mempunyai 796 pelajar.
"MRSM Parit juga merupakan salah satu daripada 13 MRSM di negara ini yang melaksanakan program dwi-sijil iaitu gabungan kokurikulum kebangsaan dan sijil peperiksaan antarabangsa, Cambridge International General Certificate of Secondary Education kepada pelajarnya," katanya.

80 pelajar sekolah berkhemah di UPSI


MOTIVASI. Seramai 80 pelajar tingkatan lima sekitar daerah Batang Padang, Tapah menyertai perkhemahan anjuran Pasukan Latihan Pegawai Simpanan ( Palapes ), Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) di Pusat Kokurikulum  UPSI , Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Timbalan Komandan  Palapes   UPSI , Leftenan  Palapes  Mohammad Ali Roshidi Ahmad berkata, perkhemahan selama tiga hari dua malam itu bertujuan memupuk peningkatan sahsiah diri dan disiplin dalam kalangan peserta terbabit.

Beliau berkata, antara aktiviti yang telah disusun sepanjang program tersebut ialah ikhtiar hidup, berjalan malam, kembara hutan, ceramah kerjaya dan kerohanian.

"Perkhemahan yang bertema 'Saya Anak Cemerlang' itu juga menerapkan sikap penghargaan kendiri positif dan daya tahan serta daya saing yang tinggi terhadap pelajar berkenaan," katanya.

Saturday, July 6, 2013

Kerajaan Perak tubuh Majlis Masyarakat Penyayang


IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menubuhkan Majlis  Masyarakat Penyayang yang akan memberi tumpuan kepada  kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri  tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir  berkata, penubuhan majlis khas tersebut bertujuan untuk  memudahkan lagi kerajaan negeri berhubung dan memberi  bantuan yang lebih signifikan kepada golongan tersebut.

“Majlis Masyarakat Penyayang akan diletakkan di bawah  Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan  Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri yang dipenge rusikan Datuk Rusnah Kassim.

“Menerusi majlis khas tersebut, golongan OKU yang  menetap di negeri ini akan dibantu khususnya daripada  aspek peningkatan kemahiran dan kerjaya,” katanya selepas  mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di Bangunan  Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Zambry berkata, kerajaan negeri Perak berhasrat mem beri jaminan dan peluang yang lebih adil kepada golongan  OKU di negeri tersebut menceburi kerjaya berdasarkan  kelulusan dan kemahiran mereka.

Beliau memberitahu Majlis Masyarakat Penyayang ter sebut juga bertanggungjawab untuk merangka perancangan  teliti dari semasa ke semasa melibatkan pembangunan  golongan OKU tempatan.

“Kita juga berharap dapat menerima saranan dan idea  baru berhubung program-program peningkatan taraf hidup  dan kebajikan golongan OKU menerusi majlis khas tersebut,”  katanya.

Pengunjung Lost World of Tambun ditawar diskaun menarik

IPOH - Taman tema air terkenal di negeri ini, Lost World of Tambun ( LWOT ) menawarkan pelbagai penjimatan kepada pengunjung melalui penawaran  kad   keistimewaan  Kolam Air Panas dan Spa  LWOT  yang dilancarkan di pasaran semalam.

Pengurus Besar  LWOT , Calvin Ho berkata,  kad  tersebut dibahagikan kepada dua pakej menarik iaitu untuk individu dan keluarga yang mempunyai empat orang ahli."Pakej individu ditawarkan pada harga RM388, manakala keluarga sebanyak RM988 yang membolehkan pemegang  kad  menikmati potongan harga tiket dan kemudahan kolam air panas serta spa pada kadar yang menarik pada waktu operasi dalam tempoh setahun.

"Sebagai contoh, berbanding harga tiket berharga RM18 seorang, pemegang  kad   keistimewaan  tersebut mendapat penjimatan untuk bersantai di Kolam Air Panas dan Spa  LWOT  dengan caj semurah RM1.06 sehari," katanya dalam satu pertemuan di sini semalam.

Tambah Ho,  kad   keistimewaan  itu juga membolehkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan spa dan urutan di taman tema itu dengan potongan harga sebanyak 15 peratus.

"Antara  keistimewaan  lain yang turut ditawarkan ialah kadar istimewa sehingga 65 peratus bagi penginapan di Hotel Lost World, Ipoh; Hotel Sunway, Georgetown; Hotel Sunway, Seberang Jaya dan Hotel Sunway Resort dan Spa, Petaling Jaya.

"Pemegang  kad   keistimewaan  itu juga mendapat penjimatan 10 peratus hingga 20 peratus ketika menjamu selera di restoran dan kafe yang terdapat di taman tema dan hotel milik Kumpulan Sunway," jelasnya.

Menurut beliau, pemegang  kad  juga boleh membeli tiket kemasukan ke taman tema air  LWOT  serta Sunway Lagoon masing-masing dengan kadar 20 peratus dan 30 peratus lebih murah tetapi ia tertakluk empat tiket bagi setiap kunjungan.

Friday, July 5, 2013

Kena penjara 15 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Perbuatan dua wanita yang menyebabkan kematian seorang pengusaha barangan lusuh tiga tahun lalu berbalas apabila kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan M. Sri Saraswathi, 31, dan S. Piriyatarschini, 21, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian B. Thangaraja, 38.
Kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa mencederakan mangsa yang berasal dari Menglembu di dalam bilik sebuah hotel bajet di Pekan Baru di sini antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang 10 Mei 2010.
Mayat Thangaraja ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan beberapa kesan luka di badan oleh seorang pekerja hotel pada keesokan harinya selepas curiga mangsa masih tidak mendaftar keluar.
Sri Saraswathi dan Piriyatarschini dari Tanjung Karang, Selangor dan Tanjung Rambutan dekat sini dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Polis, penduduk jayakan program gotong-royong


DEKATI MASYARAKAT. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Batu   Gajah  mengadakan program komuniti polis di  Kampung  Tersusun  Sri   Rahmat ,  Batu   Gajah , Perak baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah  Batu   Gajah , Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, program tersebut diadakan untuk merapatkan lagi hubungan antara penduduk  kampung  dengan pasukan polis tempatan.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan, mengadakan gotong-royong untuk menceriakan suasana  kampung  tersebut termasuk Surau An-Naim di  Batu   Gajah .

"Program itu juga memberi ruang kepada penduduk untuk berkomunikasi secara terus dengan mengemukakan aduan atau cadangan kepada pegawai polis," katanya.

Thursday, July 4, 2013

PDRM tubuh jabatan baharu cegah jenayah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.ny

SUNGAI SIPUT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan  jabatan  baharu iaitu  Jabatan   Pencegahan   dan   Pembanterasan   Jenayah  (JPPJ) yang mula beroperasi semalam.Penubuhan  jabatan  itu merupakan respons PDRM kepada keperluan membentuk sistem  pencegahan   dan   pembanterasan   jenayah  meliputi darat, laut  dan  udara
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, JPPJ bakal merangka strategi  pencegahan   dan   pembanterasan   jenayah  melibatkan penggunaan kereta peronda, bit, patrol, unit berkuda, Unit Ronda Bermotosikal, pasukan Polis Marin  dan  Unit Udara PDRM.

"Misi lain  jabatan  ini ialah menghapuskan peluang-peluang melakukan  jenayah  serta meredakan persepsi masyarakat yang bimbang terhadap isu keselamatan," ujarnya.

Khalid menyatakan demikian selepas majlis perasmian Kompleks Ibu pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini semalam.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan melakukan majlis pelancaran tersebut.

Khalid memberitahu,  jabatan  baharu itu akan diketuai Datuk Ayub Yaakob yang sebelum ini Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara.

Katanya, Ayub akan memimpin JPPJ untuk memenuhi satu lagi misi penting iaitu mendidik  dan  membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama mencegah  jenayah .

"JPPJ juga perlu memainkan peranan lebih efisien kepada komuniti, institusi pendidikan, institusi perniagaan, agensi kerajaan  dan  badan bukan kerajaan.

"Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan semula keyakinan  dan  kepercayaan orang ramai kepada perkhidmatan polis, sekali gus merapatkan jurang antara masyarakat  dan  PDRM," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, antara inisiatif yang dirangka di bawah JPPJ adalah mendekati pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan dengan kaedah menjadikan para pelajar IPTA sebagai anak angkat kepada semua pengarah sembilan  jabatan  utama PDRM di Bukit Aman.

"Pendekatan ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang benci  jenayah ," katanya.