Translate

Wednesday, August 31, 2016

TTB cungkil kemahiran berpidato pelajar IPT, IPG

PETAH. Seramai 48 peserta menyertai pertandingan Pidato Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pertandingan julung-julung kali anjuran Unit Transformasi Terengganu Baharu (TTB) itu melibatkan 20 IPT dan IPG dari seluruh negara.

Pengarah Unit TTB, Che Mansor Che Kerma berkata, pertandingan itu bertujuan membuka ruang kepada golongan pelajar IPT dan IPG melontarkan pandangan.

Johan pertandingan milik pelajar IPG Kampus Datuk Razali Ismail Kuala Terengganu, Anis Hazirah Zakaria, 20 yang menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Tuesday, August 30, 2016

T-Team masih belum mahu menyerah kalah

BIARPUN gagal membawa bekalan selesa bagi mengharungi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2016 di gelanggang lawan pada 17 September nanti, skuad T-Team optimis peluang mereka untuk mara ke separuh akhir masih terbuka.

Pengendali T-Team, Rachmat Darmawan berkata, sekiranya corak permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya pada malam kelmarin dikekalkan, tidak mustahil Felda United mampu dijinakkan di kubu kuat mereka di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

“Apa-apa boleh terjadi dan kita hanya perlu fokus kepada permainan. Pemain-pemain (T-Team) telah memberi persembahan terbaik pada malam ini (kelmarin).

“Namun, oleh kerana keputusan seri 1-1, kita perlu bekerja lebih keras pada suku akhir kedua nanti,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Gol awal T-Team pada minit kedua hasil jaringan pemain tengah, Muhammad Safawi Rasid tidak memberi kelebihan kepada kelab yang mendapat jolokan The Titans itu selepas penyerang sensasi Felda United, Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Begitupun Rachmat turut melahirkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan, Khirulazuan Kidam yang bukan sahaja membatalkan jaringan penyerang import T-Team, Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-70 tanpa alasan kukuh, malah terlepas pandang beberapa kesilapan yang jelas dilakukan oleh pemain-pemain Felda United.

Menurut beliau, antaranya, sebelum menjaringkan gol penyamaan, Forkey Doe dilihat mengawal bola dengan menggunakan tangannya sebelum melepaskan tendangan padu menewaskan penjaga gol T-Team, Muhammad Ilham Amirullah.

Selain itu, Rachmat berkata, perbuatan penjaga gol Felda United, Mohd. Farizal Harun yang menampan bola di luar kotak penalti turut dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh Khirulazuan.

“Bagaimanapun, kita hormati keputusan (pe­ngadil). Ia sebahagian daripada permainan dan tidak sama sekali akan membunuh semangat anak-anak buah saya untuk terus berjuang,” katanya.

17 koperasi OKU bergabung bentuk konsortium

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Sebanyak 17 koperasi yang keahliannya terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU) di negara ini akan digabungkan di bawah satu konsortium menjelang akhir tahun ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia merupakan inisiatif pihaknya untuk memperkukuhkan lagi koperasi-koperasi berkenaan demi kebajikan ahli.
"Kesemua koperasi OKU di negara ini berada dalam kategori mikro dengan perolehan tahunan masing-masing di bawah RM1 juta manakala keahlian keseluruhan sekitar 1,000 orang sahaja.
"Demi kelangsungan koperasi-koperasi terbabit, Angkasa mencadangkan agar kesemuanya bergabung di bawah satu konsortium sebagai platform untuk memperolehi perolehan yang lebih besar," katanya selepas mengadakan majlis dialog bersama ahli Koperasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Terengganu di Seberang Takir di sini hari ini. - K! ONLINE

Polis tumpas Geng Amir Kembar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Perbuatan terdesak dua beradik kembar cuba menyamun kedai emas untuk mencari duit membayar hutang ah long membawa padah apabila mereka diberkas polis di Teluk Kalong dekat sini Jumaat lalu.

Mereka berasal dari Cheras, Selangor yang dikenali sebagai Geng Amir Kembar dipercayai cuba merompak dua kedai emas di pusat komersial Sura Gate dan Kuala Dungun, Dungun masing-masing pada 20 Ogos dan Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, bagi kedua-dua percubaan menyamun terbabit, dua beradik lelaki yang mempunyai wajah seiras berusia 25 tahun itu menggunakan modus operandi sama iaitu menyamar sebagai wanita dan orang alim dengan bersenjatakan pistol tiruan.

“Begitupun, dua cubaan menya­mun kedai emas itu gagal selepas pemilik premis-premis terbabit melawan mempertahankan diri.

“Operasi khas dilancarkan selepas itu berjaya menemui beberapa suspek yang menaiki kereta Perodua Viva di hadapan Sekolah Kebangsaan Teluk Kuang di sini pada pukul 4 petang, 26 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Kemaman di sini semalam.

Wan Abd. Aziz berkata, ke­dua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis telah memecut laju keretanya, namun terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Gunawan, Teluk Kalong dekat sini selepas hampir enam kilometer dikejar kereta peronda polis.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kereta Perodua Viva terbabit menjumpai barangan dan peralatan seperti kuku kambing, tukul besi, tali, jubah, tudung, purdah, kopiah, pisau, topeng muka, rambut dan janggut palsu serta pistol tiruan.

“Turut dijumpai tiga nombor plat kereta palsu dan dua MyKad tiruan yang dipercayai dibeli suspek-suspek di Thailand.

“Mereka juga mengaku membeli sepucuk pistol tiruan dengan harga RM1,200 di negara jiran tersebut,” katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, siasatan awal mendapati dua beradik kembar tersebut baru pulang dari Australia pada 19 Ogos lalu sebelum pergi ke Pulau Pinang untuk menyewa kereta Perodua Viva terbabit bagi tujuan aktiviti jenayah itu.
Beliau berkata, mereka kemudiannya ke negara jiran untuk membeli pistol tiruan dan MyKad palsu sebelum ke Terengganu.

“Siasatan awal mendapati dua suspek tersebut baru sahaja berjinak-jinak untuk melakukan jenayah samun.

“Mereka mengaku terdesak untuk membayar hutang ah long yang jumlahnya masih dalam siasatan polis,” katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, polis percaya dua suspek berkenaan memilih Terengganu sebagai lokasi sasaran untuk menyamun kerana negeri itu mempunyai rangkaian kedai emas yang banyak tanpa kawalan keselamatan termasuk pengawal keselamatan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Monday, August 29, 2016

T-Team, Felda United terikat 1-1

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kelab T-Team gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas sekadar seri 1-1 dengan Felda United pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, sebentar tadi.
Begitu pun, tuan rumah mendahului seawal minit kedua hasil jaringan pemain tengah, Muhammad Safawi Rasid.
Muhammad Safawi yang baru mendapat panggilan menyertai latihan pasukan kebangsaan menerima hantaran rakan sepasukan, Mohd. Nor Hakim Hassan sebelum mudah menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Farizal Harun.
Usaha tanpa jemu jentera serangan Felda United berhasil apabila penyerang import, Francis Forkey Doe berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada perlawanan timbal balik di Stadium Tun Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang pada 17 September depan. - K! ONLINE

Terengganu optimis kekal di Liga Super

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BIARPUN sekadar mencatat keputusan seri ke atas Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam kelmarin, ia sudah memadai buat Terengganu.

Pengendali bersama skuad Sang Penyu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor berkata, satu mata yang diperoleh menerusi perlawanan tersebut disifatkan amat berharga kerana membolehkan pasukan tersebut memanjat satu anak tangga di kedudukan ke-10 liga, sekali gus terselamat daripada zon penyingkiran.

“Kalau diikutkan memang kita mahu tiga mata (menang) tapi satu mata pun sudah bersyukur. Walaupun pilihan pemain yang boleh diturunkan agak terhad akibat masalah kecederaan, nampaknya semangat anak buah saya untuk meneruskan perjuangan sehingga akhir musim ini di lihat semakin memuncak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan yang berakhir dengan Terengganu dan Pahang terikat 1-1.

Percaturan Che Ku Marzuki memasukkan Issey Nakajima Farran sebagai pemain gantian pada minit ke-68 ternyata tidak sia-sia apabila penyerang kelahiran Kanada itu muncul menjadi penyelamat Terengganu apabila berjaya menyudahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Pahang terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan penyerang import, Pablo Andres Vranjican yang berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd. Shabinee Allawee pada minit ke-81.

Che Ku Marzuki berkata, walaupun hanya dua minggu membimbing Terengganu bersama Mustaffa Kamal Abd. Wahab, beliau berkeyakinan tinggi pasukannya itu mampu kekal dalam Liga Super pada musim depan.

Menurutnya, beliau menyasar untuk mengelak sebarang kekalahan menjelang baki tiga perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT), Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada masa sama, kita juga mengharapkan pe–saing-pesaing kita yang turut berada di kelompok bawahan liga seperti Pulau Pinang, Sarawak dan PDRM juga akan merosot prestasi mereka dalam tiga perlawanan terakhir ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Ku Marzuki yang pernah membim–bing T-Team sebelum ini berkata, secara keseluruhannya skuad Sang Penyu semakin menunjukkan persefahaman, namun sentuhan penyudah masih perlu diperbaiki.

Beliau berkata, barisan serangan Terengganu yang diperkuatkan Norshahrul Idhan Tahala, Issey Nakajima Farran dan Bogdan Milic terlalu bermain secara individu tanpa be–kerjasama sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

“Saya hanya ada tempoh 16 hari (waktu rehat) untuk memperbaiki masalah itu sebelum bertemu JDT. Saya yakin mampu mengatasinya,” katanya.

Sunday, August 28, 2016

Pasangan kembar samun kedai emas dicekup

MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Dua beradik kembar yang disyaki cuba menyamun dua buah kedai emas di Dungun pada 20 Ogos dan Khamis lalu berjaya ditahan pihak polis di Teluk Kalong dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 25 tahun itu berjaya ditahan selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbalik selepas terlibat dalam satu kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Teluk Kalong.
"Terdahulu, mereka dikejar oleh kereta peronda polis dari hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kuang, Chukai di sini.
"Barangan dan peralatan seperti tukul besi, kuku kambing, topeng muka, jubah, pistol tiruan, kopiah, rambut dan janggut palsu, purdah dan tudung yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti samun turut dijumpai dalam Perodua Viva terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini. - K! ONLINE

Lelaki parah motosikal rempuh kerbau

KEMAMAN – Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi merempuh seekor kerbau yang berkeliaran di Kilometer 120, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran pusat membeli-belah Mesra Mall, Kemasik dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam tersebut, Mohd. Amirul Syafiq Abd. Rahman, 21, mengalami kecederaan parah pada kepala manakala kerbau yang dilanggarnya pula mati di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Rantau Bukit, Kerteh dari pekan Chukai dekat sini.

“Sewaktu melalui jalan berkenaan, Mohd. Amirul yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC gagal mengelak sekumpulan kerbau yang tiba-tiba melintas jalan.
“Motosikal yang ditunggangi mangsa telah merempuh salah seekor kerbau terbabit menyebabkan dia tercampak beberapa meter,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said berkata, rempuhan itu menyebabkan kerbau yang seberat kira-kira 100 kilogram terbabit mati di tempat kejadian manakala motosikal Mohd. Amirul pula remuk teruk.

Menurut beliau, Mohd. Amirul telah dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi dan keadaannya kini dilaporkan agak kritikal.

Tambahnya, pihak polis sedang mengenal pasti pemilik kerbau berkenaan.

Saturday, August 27, 2016

Pemandu lori angkut rokok seludup dipenjara 3 bulan

KUALA TERENGGANU – Gara-gara  mengangkut rokok seludup pada awal tahun ini, seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas B. Nesa Gadh, 35, menukar pengakuan kepada bersalah ketika hari perbicaraan kes tersebut.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, R. S. Surikala, 33, yang juga isteri tertuduh pertama mengekalkan pengakuan tidak bersalah yang dibuat di mahkamah sama pada 27 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Syahri Adnan.

Mengikut pertuduhan, Nesa Gadh didakwa mengangkut 115 kotak yang mengandungi 50 karton rokok jenama Saat bernilai RM40,250 dengan sebuah lori jenis Isuzu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada pukul 8.30 malam, 19 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, dia dan isterinya, Surikala yang menaiki lori berkenaan dari Kuala Lumpur ditahan sepasukan penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu untuk pemeriksaan berhampiran Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2, Kuala Nerus.

Namun tertuduh enggan memberhentikan lorinya dan bertindak memecut laju sebelum dapat dipintas pasukan penguat kuasa KDRM negeri tersebut di pekarangan IPK Terengganu setelah hampir 40 minit dikejar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi memerintahkan perbicaraan kes melibatkan Surikala bersambung pada 18 September depan.

Sementara itu, Muhammad Syahri yang ditemui selepas prosiding memberitahu beliau akan mengemukakan representasi kepada Pejabat Negara untuk merayu agar kes Surikala digugurkan berikutan pengakuan bersalah suaminya yang juga tertuduh pertama.

Atlet Sukma Terengganu menang pingat mendapat habuan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KONTINJEN Terengganu menerima ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.54 juta daripada kerajaan negeri atas pencapaian cemerlang  menduduki tempat ketiga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, skuad berbasikal menerima habuan terbesar iaitu RM230,000 atas kejayaan merangkul 14 pingat emas dan masing-masing empat pingat perak dan gangsa daripada 20 acara yang dipertandingkan.

“Ia diikuti skuad sepak takraw dengan insentif sebanyak RM130,000, petanque (RM121,000), memanah (RM104,500) dan olahraga (RM102,00).

“Bagi kategori individu pula, atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir menerima insentif terbesar iaitu RM25,000 setelah merangkul lima pingat emas pada Sukma 2016,” kata Ahmad Razif selepas menyampaikan insentif tersebut di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Ahmad Razif berkata, atlet memanah, Nur Aqilah Yusof yang juga Olahragawati Sukma 2016 merupakan atlet kedua menerima insentif tertinggi dengan RM22,500 atas kejayaan merangkul empat pingat emas dan satu pingat gangsa serta memecahkan satu rekod kebangsaan dan dua rekod Sukma.

Menurut beliau, walaupun gagal mencapai sasaran menjadi juara keseluruhan, kerajaan negeri tetap berpuas hati dengan prestasi kontinjen yang berjaya mengutip 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

“Tambah membanggakan, pungutan pingat diperoleh oleh 21 daripada 24 acara yang dipertandingkan. Sukan yang sebelum ini asing bagi Terengganu seperti gimnastik, tenis, tinju dan golf juga turut menyumbangkan pingat,” katanya.

Ahmad Razif berkata, MSNT telah diarah untuk memulakan program Sukma 2018 bermula Oktober depan bagi mencapai sasaran menjadi juara keseluruhan pada temasya sukan dwitahunan tersebut yang akan diadakan di Perak nanti.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru atlet pelapis negeri terbabit agar mencontohi pencapaian empat ahli sukan kelahiran Terengganu iaitu Azizulhasni Awang (berbasikal), Fatehah Mustapa (berbasikal), Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah) yang mewakili negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Friday, August 26, 2016

Suami isteri tak serik edar ketum

SETIU – Sepasang suami isteri bagaikan tidak serik apabila ditahan buat kali ketiga dalam tempoh dua tahun kerana disyaki menjual air ketum secara haram dalam Ops Tapis di Kampung Jelapang, Sungai Tong di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, selain pasangan itu, pihaknya turut menahan dua rakan kongsinya yang berusia dalam lingkungan 40-an dalam serbuan pada pukul 1 pagi.

“Sewaktu serbuan, sebanyak 100 bungkusan air ketum dan enam guni berisi daun ketum telah dijumpai di dalam premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 51 tahun dan isterinya yang berumur 56 tahun telah dua kali ditahan sejak dua tahun lalu atas ke­salahan sama," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Elias berkata, keempat-empat suspek telah direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, polis menahan 20 penagih dadah termasuk lelaki warga Thailand berusia 20 hingga 40 tahun dalam operasi yang dilakukan selama empat hari sehingga semalam di sekitar daerah ini.

“Selain ketum, pelbagai jenis dadah seperti pil kuda dan Eramin 5 juga berjaya dirampas,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a)/12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Thursday, August 25, 2016

Terengganu puas hati ikat Pahang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Terengganu memperolehi satu mata berharga selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Pahang dalam perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini sebenar tadi.
Penyerang kelahiran Kanada, Issey Nakajima Farran muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 buat Terengganu selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88.
Sebelum itu, Pahang terlebih dahulu memperolehi gol pembukaan hasil jaringan penyerang import, Pablo Andres Vranjican pada minit ke-81.
Satu mata tersebut membolehkan Terengganu naik ke tangga ke-10 liga sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.
Sebaliknya Pahang semakin tertekan apabila terus terperosok di dasar liga yang hanya berbaki tiga perlawanan.
Terdahulu, separuh masa pertama perlawanan berlangsung hambar apabila tiada satu pun percubaan tepat ke arah pintu gol dapat dilakukan Sang Penyu mahu pun Tok Gajah.
Satu-satunya peluang terbaik Sang Penyu hadir pada minit ke-45, namun sepakan deras Bogdan Milic dari luar kotak penalti tersasar jauh melepasi palang gol. - K! ONLINE

Suami isteri edar ketum ditahan buat kali ketiga

SETIU - Bagaikan tidak serik, sepasang suami isteri ditahan buat kali ketiga dalam tempoh dua tahun kerana disyaki menjalankan penjualan air ketum secara haram di Kampung Jelapang, Sungai Tong di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Elias Abu Bakar berkata, turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah dua rakan kongsinya yang berusia dalam lingkungan 40-an.
"Sewaktu serbuan, sebanyak 100 bungkusan air ketum dan enam guni berisi daun ketum telah dijumpai di dalam premis berkenaan.
"Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 51 tahun dan isterinya yang berumur 56 tahun telah dua kali ditahan sejak dua tahun lalu atas kesalahan sama iaitu mengedar air ketum dan daun ketum untuk tujuan khayal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini hari ini. - K! ONLINE

Murid perempuan darjah dua dakwa dicabul di sekolah

KUALA TERENGGANU - Seorang murid perempuan tahun dua sebuah sekolah rendah di Dungun mendakwa cuba dicabul oleh individu tidak dikenali di dalam stor sekolahnya pada kelmarin.
Imej lelaki berusia 20-an yang disyaki pencabul kanak-kanak berusia lapan tahun itu dalam kejadian pada pukul 1.30 petang tersebut turut dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekolah terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, sewaktu kejadian, murid terbabit sedang menunggu waktu Kelas Fardu Ain yang bermula pada pukul 2.30 petang.
"Sewaktu mangsa sedang menaiki tangga ke kelas Fardu Ain, dia tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang meminta kanak-kanak itu supaya mengekorinya ke stor sekolah.
"Suspek mendakwa kononnya mahu membantu seorang murid lain telah terkurung di dalam stor berkenaan tetapi apabila hampir sampai di lokasi, suspek didakwa telah bertindak mendukung mangsa untuk dibawa masuk ke dalam stor tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Abdul Aziz berkata, perbuatan lelaki itu telah menyebabkan murid perempuan tersebut menjerit ketakutan yang kemudiannya mendorong suspek melepaskan mangsa dan melarikan diri dengan memanjat tembok sekolah. - K! ONLINE

Wednesday, August 24, 2016

Tumpahan merkuri termometer di Klinik Kesihatan Merchang

MARANG - Tumpahan merkuri dari insiden termometer pecah berlaku di Klinik Kesihatan Merchang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi itu, kakitangan dan pesakit bergegas keluar selepas satu termometer yang digunakan untuk mengukur suhu badan pecah di salah sebuah bilik rawatan di klinik kesihatan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Abdullah Zawawi Mohamed berkata, insiden berpunca selepas satu termometer yang diletakkan di meja pegawai perubatan tersentuh secara tidak sengaja oleh salah seorang pesakit sebelum jatuh ke lantai.
"Ia menyebabkan kira-kira 0.25 mililiter merkuri yang terdapat di dalam termometer yang pecah tersebut tumpah.
"Pegawai perubatan terlibat segera mengosongkan bilik rawatan terbabit sebelum menghubungi pihak bomba," katanya ketika ditemui selepas selesai mengetuai operasi pembersihan tumpahan merkuri di Klinik Kesihatan Merchang di sini. - K! ONLINE

Kes HFMD meningkat 172.8 peratus di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Wabak tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di Terengganu semakin membimbangkan apabila mencatatkan 401 kes sejak Januari lalu iaitu 172.8 peratus peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Kes terbaru ialah Taska Permata Keluarga Batu Burok di sini dan Taska Permata Keluarga Chalok, Setiu diarahkan ditutup selama 10 hari selepas masing-masing mencatatkan 14 serta dua kes pada 20 Ogos lalu dan semalam.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammmad Omar berkata, wabak HFMD menunjukkan trend peningkatan mendadak di negeri itu sejak Mei lalu.
"Sejak itu sebanyak sembilan taska di Marang, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut telah diarahkan tutup sementara selepas bayi-bayi yang dipelihara di premis-premis terbabit dikesan menghidap penyakit HFMD.
"Hanya satu kes wabak itu tidak melibatkan taska apabila empat beradik dari satu keluarga di Setiu disahkan menghidap penyakit tersebut pada bulan Ogos lalu," katanya selepas melakukan pemeriksaan terhadap Taska Permata Keluarga Batu Burok di sini hari ini. - K! ONLINE

Parah rempuh kerbau

KEMAMAN - Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi merempuh seekor kerbau yang berkeliaran di Kilometer 120, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran pusat membeli-belah Mesra Mall, Kemasik dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.35 malam tersebut, Mohd. Amirul Syafiq Abd. Rahman, 21, mengalami kecederaan parah di kepala manakala kerbau yang dilanggarnya pula mati di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Rantau Bukit, Kerteh dari pekan Chukai dekat sini.
"Sewaktu melalui jalan berkenaan, Mohd. Amirul yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC gagal mengelak sekumpulan kerbau yang tiba-tiba melintas jalan.
"Motosikal yang ditunggangi mangsa telah merempuh salah seekor kerbau terbabit lalu menyebabkan dia terhumban dalam beberapa meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, August 23, 2016

Terengganu bakal terima empat klinik desa baharu

DUNGUN - Empat klinik desa yang sering ditenggelami bah setiap kali musim tengkujuh di negeri ini akan dibina semula di tapak baharu bermula tahun depan.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, jabatannya telah menerima peruntukan sebanyak RM20.5 juta bagi projek pembinaan semula kesemua klinik desa berkenaan baru-baru ini.
"Klinik-klinik desa terlibat ialah Kampung Pasir Raja di sini, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayur, Kemaman serta Kampung Pasir Akar, Besut.
"Kesemua klinik desa berkenaan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri memohon peruntukan untuk membinanya semula di lokasi baru yang bebas bah," katanya selepas meninjau lokasi premis sementara Klinik Desa Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Klinik desa sementara yang menelan kos RM280,000 itu bakal memberi perkhidmatan kepada tiga penduduk kampung berkenaan iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur dan Kampung Jongok Batu di sini yang dianggarkan berjumlah 1,500 orang sehingga klinik desa baharu siap sepenuhnya. - K! ONLINE

Pemandu bas ekspres terima padah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua pemandu bas ekspres masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM924,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengangkut rokok seludup dengan kenderaan pengangkutan awam tersebut pada 10 bulan lalu.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memutuskan demikian terhadap Mohammad Zurie Ismail, 45, dan Razak Arnan, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendali Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau juga memerintahkan agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohammad Zurie dan Razak yang diwakili peguam bela, Ahmad Nuri Ab. Rahman gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zurie dan Razak didakwa dengan niat bersama mengangkut 3,850 karton rokok seludup berjenama Saat bernilai RM26,950 dengan bas ekspres di Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Nerus pada pukul 3.20 pagi, 21 Oktober 2015.

Mengikut fakta kes, karton rokok seludup tersebut telah disorokkan di dalam ruangan kargo dan tempat tidur pemandu di belakang bas ekspres terkenaan.

Mohammad Zurie dan Razak didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 dan 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Rozianti turut memerintahkan agar kesemua rokok seludup tersebut dan bas ekspres berkenaan dilucut hak dan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tujuan pelupusan.

Kosmo! 24 Oktober 2015 melaporkan Pengarah KDRM negeri, Datuk Hamzah Sundang mendedahkan taktik penyeludupan rokok haram baharu dengan menggunakan bas ekspres berikutan penahanan kedua-dua pemandu bas ekspres berkenaan.

Menurut beliau, sewaktu ditahan, bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke Kota Bahru, Kelantan menggunakan LPT2.

Monday, August 22, 2016

Juru X-ray Hospital Besut maut kemalangan

SETIU - Seorang juru X-ray Hospital Besut maut selepas kereta Honda City yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kenari di KM 60 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Chalok di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.07 pagi tersebut, Mohd. Aswari Lah@Abdullah maut serta-merta di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan sebahagian anggota badan.
Dua lelaki yang menaiki Perodua Kenari iaitu Mat Hassan Md. Nor, 54, dan Mohd. Zawahod Abdul Ghani, 28, pula mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Aswari dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Besut dari Kuala Terengganu.
"Sewaktu melalui laluan tersebut yang berselekoh, kenderaan yang dipandu Mohd. Aswari tiba-tiba hilang kawalan hingga terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kenari terbabit.
"Rempuhan berkenaan menyebabkan bahagian hadapan kedua-dua kenderaan itu remuk teruk," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua pemandu bas ekspres seludup rokok dipenjara tiga bulan, denda RM924,000

KUALA TERENGGANU - Dua pemandu bas ekspres masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM924,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengangkut rokok seludup dengan kenderaan pengangkutan awam tersebut pada 10 bulan lalu.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi memutuskan demikian terhadap Mohammad Zurie Ismail, 45, dan Razak Arnan, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendali Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zurie dan Razak didakwa dengan niat bersama mengangkut 3,850 karton rokok seludup berjenama Saat bernilai RM26,950 dengan bas ekspres di Plaza Tol Gemuruh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Nerus pada pukul 3.20 pagi, 21 Oktober 2015.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 dan 20 kali nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Serah kerajaan dalam keadaan kuat

Oleh FIRDAUS HASSAN, MOHD. AZLI ADLAN, KASANABILAH KAMARUL ?ZAMAN dan YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan kerajaan dan parti kepada bakal penggantinya apabila bersara kelak dalam keadaan yang kuat serta terbaik.

Najib yang juga Presi­den UMNO berkata, beliau juga akan berpesan kepada penggantinya nanti agar membawa negara serta parti ke arah yang lebih cemerlang dari­pada apa yang dilakukannya.

“Perkara ini merupakan kesinambungan perjuangan UMNO yang diperturunkan daripada kepimpinan terdahulu. Apakah perjuangan UMNO selesai selepas zaman saya?

“Tentu tidak, apabila bersara nanti, saya akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan terbaik kerana parti ini bukan milik sesiapa, parti adalah warisan harta pusaka kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Selepas majlis itu, Perdana Menteri meluangkan masa menziarahi bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad di rumahnya di Kampung Lemal di Pasir Mas.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit beramah mesra de­ngan Hussein, 81, yang menghidap penyakit angin ahmar dan menjejaskan sedikit pertuturannya.
Hussein menjawat jawatan Ke­tua Penerangan UMNO dari tahun 1982 hingga 1996.

Di Terengganu, Najib memberitahu rakyat negeri itu agar tidak perlu bimbang sebaliknya menyerahkan kepada beliau untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, pendekatan terbaik menerusi prinsip syura akan diputuskan dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada UMNO.

“Saya ada bincang dengan setiap ADUN (UMNO Terengganu). Saya hendak tahu apa (punca) sebenarnya dan dapat gambaran yang terbaik,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.

Sunday, August 21, 2016

Pemandu lori seludup rokok dipenjara tiga bulan

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menyeludup rokok pada awal tahun ini.
Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan hukuman tersebut selepas tertuduh, B. Nesa Gadh, 35, menukar pengakuan bersalah ketika hari perbicaraan kes itu.
Mengikut pertuduhan, Nesa Gadh mengangkut 115 kotak yang mengandungi 50 karton rokok jenama Saat bernilai RM40,250 dengan sebuah lori jenis Isuzu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini pada pukul 8.30 malam, 19 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Lari tinggalkan rokok bernilai lebih setengah juta ringgit dalam van

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya merampas 4,114 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup bernilai lebih setengah juta ringgit dalam dua serbuan di Setiu dan Marang baru-baru ini.

Timbalan Pengarah JKDM negeri, Radzi Muhamad berkata, pasukan penguat kuasa agensi itu turut berjaya merampas sebuah van yang digunakan untuk mengangkut sebahagian besar rokok yang dirampas tersebut dalam serbuan di Kilometer 44, Kampung Jambu Bongkok, Marang pada pukul 5.30 pagi, kelmarin.

“Pemandu van terbabit bertindak memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran selepas menyedari diekori oleh sepasukan penguatkuasa JKDM  Terengganu di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan di dalam van berkenaan kemudiannya menjumpai 4,020 karton rokok kretek pelbagai jenama dipercayai di­seludup bernilai RM566,652,56 termasuk cukai,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Radzi berkata, selain memasang cermin gelap, sindiket ber­kenaan juga berselindung di sebalik van syarikat yang kononnya beribu pejabat di Selangor untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati maklumat syarikat yang terdapat pada van berkenaan adalah palsu dan ia tidak pernah beroperasi di alamat terbabit.

Saturday, August 20, 2016

PM jamin selesaikan kemelut kepimpinan kerajaan negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu rakyat Terengganu agar tidak perlu bimbang sebaliknya menyerahkan kepada beliau untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pendekatan terbaik menerusi prinsip syura bakal diputuskan dalam masa terdekat selepas beliau selesai mengadakan pertemuan dengan semua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu dari UMNO.
"Saya ada bincang dari hati je hati dengan tiap-tiap ADUN (UMNO Terengganu). Saya hendak tahu apa (punca) sebenarnya dan dapat gambaran yang terbaik.
"Saya tak nak orang Terengganu serabut, serahkan soal kepimpinan ini kepada saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti (UMNO). Saya akan fikir yang terbaik," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi.
Najib menegaskan, beliau tidak pernah mempunyai niat lain selain memastikan kerajaan negeri Terengganu yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional berada dalam keadaan kukuh dan lebih kuat.
"Saya percaya Terengganu akan terus maju, banyak program yang kita hendak lakukan untuk Terengganu," katanya. - K! ONLINE

MSNT tak terima permohonan Azizulhasni

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan tidak pernah menerima sebarang permohonan bantuan basikal daripada jaguh sukan berbasikal negara, Azizulhasni Awang.

Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata, beliau bukan sahaja tidak pernah mendapat surat permohonan tersebut, malah perkara berkenaan hanya diketahuinya selepas status Facebook yang dimuat naik atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berhubung isu berkenaan menjadi viral di media sosial.

“Saya tidak pasti dan setakat ini saya tidak tengok lagi surat permohonan itu. Nantilah saya dapatkan maklumat mengenai perkara tersebut,” kata Ibni kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyampaian insentif kepada atlet negeri yang mencapai prestasi cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Majlis pemberian insentif berjumlah lebih RM1.5 juta itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Ibni berkata, kerajaan negeri menerusi MSNT telah menyampaikan insentif RM5,000 kepada Azizulhasni yang diterima ibunya, Selamiah Yong, 52,  baru-baru ini.

habis

Friday, August 19, 2016

Penyudah lemah punca T-Team gagal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KELEMAHAN jentera serangan menyaksikan T-Team sekadar berkongsi satu mata setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan de­ngan Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ketua jurulatih T-Team, Rachmat Darmawan berkata, kegagalan anak-anak buah­nya memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga peluang terhidang menyebabkan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizul Hakim menghela nafas lega biarpun pintu golnya hampir dibocori.

“Kita terlalu tergesa-gesa dan agak ragu-ragu setiap kali memperoleh peluang untuk menjaringkan gol, terutamanya pada separuh masa pertama.

“Corak permainan pada separuh masa kedua memperlihatkan peningkatan dan para pemain semakin berani untuk memberi tekanan kepada benteng pertahanan pasukan lawan, namun gol yang dicari-cari masih gagal diperoleh,” kata Rachmat ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun Rachmat memberitahu, beliau tetap berbangga dengan kekentalan barisan pertahanan T-Team yang kebal menyerap asakan lawan biarpun tanpa kehadiran Maiga Abdoulaye Youssouf.

Dia tidak dapat diturunkan akibat menjalani penggantungan.

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun Indonesia itu berkata, kekentalan pertahanan tersebut menyebabkan barisan serangan Perak yang turut dikenali sebagai The Bos Gaurus gagal menembusi kotak penalti T-Team biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.

“Saya juga melihat polisi penggiliran pemain telah memberi kesan positif kepada T-Team kerana secara keseluruhannya, kesebelasan utama yang diturunkan berada pada tahap kecergasan yang tinggi.

“Kita optimis mampu membaiki kedudukan dalam baki empat perlawanan Liga Super selain cuba mara sejauh mungkin dalam kempen Piala Malaysia,” katanya.

Keputusan seri itu meletakkan T-Team yang juga mendapat jolokan The Titans naik satu anak tangga ke tempat ke tujuh liga dengan 20 mata, manakala Perak pula di tangga keenam dengan pungutan 21 mata.

Rokok seludup lebih RM500,000 dirampas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya merampas sejumlah 4,114 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup bernilai lebih setengah juta dalam dua serbuan di Setiu dan Marang baru-baru ini.
Timbalan Pengarah KDRM negeri, Radzi Muhamad berkata, pasukan penguat kuasa agensinya turut berjaya merampas sebuah van yang digunakan untuk mengangkut sebahagian besar rokok yang dirampas tersebut dalam serbuan di Kilometer 44 Kampung Jambu Bongkok, Marang pada pukul 5.30 pagi semalam.
"Pemeriksaan dalam van berkenaan kemudiannya menjumpai 4,020 karton rokok kretek pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai RM566,652,56 termasuk cukai.
"Sebanyak 94 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM11,950.02 dipercayai diseludup turut berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Amar, Permaisuri, Setiu pada pukul 5 petang, kelmarin," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Radzi berkata, seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pemilik rumah kedai ditahan reman selama sembilan hari sehingga 25 Ogos ini untuk membantu siasatan. - K! ONLINE

Thursday, August 18, 2016

Ahmad Razif terkejut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman  (gambar) terkejut dengan dakwaan atlet berbasikal kebangsaan, Mohd. Azizulhasni Awang bahawa kerajaan negeri gagal memberi bantuan terbaik kepadanya serta pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa ketika membuat persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016.

Ahmad Razif berkata, beliau secara peribadi tidak pernah menerima kertas cadangan bagi penajaan pembe­lian sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kedua-dua atlet itu seperti didakwa.

“Setakat hari ini (semalam), saya tidak tahu menahu tentang hal (permohonan tajaan) ini dan kalau betullah tersalah pandang, saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf.

“Saya telah minta Majlis Sukan Negeri dan Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Rozi Mamat untuk membuat penyiasatan agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya sebagai mengulas dakwaan Azizulhasni yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook milik atlet itu sebaik memenangi pingat gangsa Olimpik 2016 dalam acara keirin.

Terdahulu, Ahmad Razif ditemui di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Kuala Nerus ketika menyampaikan sumbangan kepada 172 penduduk dari Seberang Takir yang bakal mengerjakan haji.
Ahmad Razif menegaskan, kerajaan negeri Terengganu amat komited dalam pemba­ngunan sukan dengan menyediakan peruntukan besar untuk segmen itu setiap tahun.

Menurut beliau, sukan berbasikal pula merupakan antara empat sukan teras yang diberi perhatian selain bola sepak, hoki dan kuda lasak.
“Memang dasar kerajaan negeri menyediakan insentif kepada mana-mana atlet Terengganu yang mencipta kejayaan.

“Sebagai contoh, pelumba pasukan berbasikal profesional Terengganu Cycling Team (Mumamad Adiq Husaine Othman) yang meraih Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) dalam Le Tour de Langkawi 2016 baru-baru ini telah menerima ganjaran satu lot tanah dan wang tunai RM10,000,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kejayaan Azizulhasni merangkul pingat gangsa dalam acara Keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil juga merupakan kebanggaan rakyat Terengganu.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang membuat persediaan untuk menyambut kepulangannya ke Terengganu sebagai seorang wira.

“Selain insentif yang akan diumumkan kelak, kejayaannya (Azizulhasni) juga akan dicatat di Muzium Negeri sebagai kha­zanah berharga Terengganu,” katanya.

Wednesday, August 17, 2016

T-Team kongsi mata dengan Perak

KUALA TERENGGANU - T-Team dan Perak berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik dalam corak permainan terbuka namun tetap buntu menghasilkan gol.
Peluang terbaik T-Team tiba pada minit ke-24 apabila tendangan percuma Md. Hasaan A. Ridzuan meluru tepat ke dakapan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.
Tendangan percuma Konate Makan dari luar kotak penalti pada enam minit kemudian juga berjaya diselamatkan Muhammad Hafizul.
Konate sekali lagi hampir merobek pintu gol Perak yang mendapat jolokan The Bos Gaurus pada minit ke-41 namun sepakan padunya kemas di dakap Muhammad Hafizul.
Perak pula mempunyai kesempatan terbaik pada minit ke-69 namun percubaan pemain gantian, Elias Fernandes de Oliveira tersasar sedikit di atas palang gol.
Terdahulu perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 15 minit ekoran masalah lampu limbah di stadium berkenaan. - K! ONLINE

Sultan Mizan seru ibu bapa didik anak solat berjemaah di masjid

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya ibu bapa mendidik anak-anak mereka agar sentiasa mendirikan solat lima waktu terutama Subuh secara berjemaah di masjid.

Baginda bertitah, solat lima waktu berjemaah di masjid merupakan antara syiar Islam yang terbesar kerana Nabi Muhammad tidak pernah meninggalkan solat sepanjang hayat baginda.

“Solat Subuh menjadi keutamaan bagi Muslim kerana tanpanya umat Islam akan kehilangan wibawa dan kemuliaan.

“Hakikatnya, solat Subuh bukan sahaja menjadi pengukur keimanan malah menjadi ujian dan cabaran terhadap komitmen seseorang hamba dalam mengabdikan diri kepada Allah,” titah baginda ketika merasmikan Kempen Solat Subuh Berjemaah peringkat negeri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini semalam.

Turut berangkat empat anakanda baginda iaitu Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan tiga kekanda dan adindanya, Tengku Nadhirah Zahra, Tengku Muhammad Muaz dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman turut menyertai kira-kira 2,000 jemaah bersolat Subuh yang diimamkan Mufti Terengganu, Datuk Zulkifly 

Sultan Mizan bertitah, kefarduan solat Subuh bukan sahaja mengajar umat Islam tentang kepentingan amalan bangun pagi tetapi juga mencari keberkatan dalam kehidupan setiap kali memulakan kitaran kehidupan sesudah bangun daripada tidur.

Tuesday, August 16, 2016

Kakitangan Peladang meninggal dunia disengat ratusan ekor tebuan tanah

KUALA TERENGGANU – Seorang ka­kitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai, Jertih meninggal dunia kelmarin selepas empat hari koma akibat disengat ratusan ekor tebuan tanah di Kampung Gong Medang, Jertih dekat Besut pada Isnin lalu.
Mohamad Ishak (gambar), 61 yang merupakan pemandu traktor pembajak me­ninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 2.20 petang kelmarin.

Isteri mangsa, Mariam Ahmad, 54, berkata, kejadian berlaku ketika suaminya melakukan kerja-kerja membajak di tanah milik PPK Gerai pada pukul 3 petang, Isnin lalu.

“Suami saya tidak perasan jentera pembajak yang sedang dinaikinya telah terlanggar sarang tebuan yang terdapat di kawasan sawah padi tersebut.

“Dia tidak sempat menyelamatkan diri apabila ratusan ekor tebuan tanah menghurung dan menyengat seluruh badannya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mariam berkata, walaupun dalam keadaan lemah, Mohamad yang mempunyai 11 anak berusia dalam lingkungan 11 dan 38 tahun sempat menghubungi salah seorang anaknya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, semasa ditemui, seluruh badan suaminya termasuk muka telah bengkak akibat disengat oleh tebuan tanah terbabit.

“Dia kemudian telah dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan. Namun dia mula tidak sedarkan diri selepas itu dan terpaksa dirujuk ke HSNZ sebelum disahkan me­ninggal dunia pada petang semalam (kelmarin),” katanya.

Mariam memberitahu jenazah suaminya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lapan Kotak, Jertih selepas solat Isyak kelmarin.

Monday, August 15, 2016

INFO Pasar Ternakan Hidup Terengganu

Terletak di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir, Kuala Terengganu

Dibuka pada setiap Jumaat dan Sabtu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang

Konsep pasar menjual haiwan ternakan hidup secara terbuka pertama di Malaysia

Menjual haiwan ternakan hidup seperti lembu, kambing, ayam serama dan burung dari harga RM25 hingga RM14,000 seekor

Melibatkan 20 penternak dari sekitar Kuala Terengganu

Produk seperti susu kambing segar, makanan haiwan ternakan, aiskrim susu kambing, ayam goreng sejuk beku dan kambing bakar juga boleh didapati

Pasar Ternakan Hidup dibuka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pasar Ternakan Hidup yang pertama di negara ini diwujudkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir dekat sini bagi membolehkan penternak memasarkan haiwan peliharaan mereka.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Mohd. Termizi Ghazali (gambar kecil) berkata, pasar ternakan itu juga mampu mempromosikan haiwan ternakan mereka secara terus kepada pelanggan pada hari Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

“Orang ramai boleh mendapatkan haiwan ternakan lembu, kambing, ayam daging, serama dan selasih serta beberapa spesies burung secara terus dan hidup-hidup untuk pelbagai tujuan seperti ibadah korban dan aqiqah, bela serta kenduri,” katanya kepada pemberita pada hari pertama pembukaan Pasar Ternakan Hidup Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir dekat sini semalam.

Mohd. Termizi berkata, Pasar Ternakan Hidup berkenaan juga menjual produk seperti makanan haiwan, susu kambing segar, kambing bakar, aiskrim susu kambing dan ayam goreng sejuk beku yang boleh didapatkan secara terus daripada usahawan terbabit.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 20 penternak tempatan menyertai pasar berkenaan dan bilangannya dijangka meningkat dalam masa terdekat.

“Kesemua ternakan yang dipasarkan di Pasar Ternakan Hidup terbabit telah dipantau dari segi kualiti dan tahap kesihatannya oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

“Setiap haiwan ternakan dan produk hiliran yang terdapat di pasar ini boleh didapati antara harga RM2 hingga RM14,000 dan kita menyasar untuk mendapat perolehan mingguan sebanyak RM50,000,” katanya.

Mohd. Termizi berkata, sekiranya sambutan menggalakkan, pihaknya merancang untuk membuka dua lagi pasar yang mempunyai konsep sama di Kertih, Dungun dan Kuala Besut, Besut tidak lama lagi.

Wednesday, August 10, 2016

Ketua JPJKK Terengganu meninggal dunia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Terengganu, Asisten Komisioner Shahrin Ahmad meninggal dunia kerana komplikasi sesak nafas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd. Rahman berkata, Shahrin, 59, menghembuskan nafas terakhir di Wad Rawatan Rapi HSNZ pada pukul 9.10 malam.

“Allahyarham (Shahrin) telah dikejarkan ke hospital tersebut selepas mengalami sesak nafas di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada pukul 11 pagi, Khamis lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rosli berkata, Shahrin yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Beliau berkata, Shahrin yang memulakan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia pada tahun 1979 telah melaporkan diri ke IPK Terengganu sebagai Ketua JPJKK negeri pada 19 Oktober 2015.

“Sepanjang bertugas di IPK Terengganu, Allahyarham Shahrin terkenal dengan sikap ramah dan sangat disenangi rakan setugas.

“Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak, Selangor pada pukul 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Sepanjang kariernya, Shahrin juga pernah bertugas di Cawangan Khas IPK Kedah, Selangor, Perak dan Perlis serta Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya.

Tuesday, August 9, 2016

Lelaki aktif edar dadah 
di Besut ditahan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang aktif di daerah Besut ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Jaya, Kampung Raja dekat Besut pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, anggota polis turut merampas 474 pil kuda seberat 55.2 gram  bernilai RM3,535 yang disimpan di dalam beg pinggang milik suspek.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sepasukan polis yang melihat kelibat lelaki itu yang sedang menunggang motosikal Honda C70 dalam keadaan mencurigakan bertindak mengarahkannya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Suspek cuba melarikan diri selain bertindak membuang satu beg pinggang ke tanah.

“Begitupun, suspek berjaya juga ditahan dan pemeriksaan di dalam beg terbabit menemui dua peket plastik biru yang mengandungi 198 pil berwarna merah serta dua pil berwarna hijau dipercayai pil kuda.

“Turut ditemui dalam beg itu ialah tujuh tiub straw yang masing-masing mengandungi 10 biji pil berwarna merah dan empat tiub straw lain yang setiap satunya mengandungi empat biji pil berwarna hijau yang juga dipercayai pil kuda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Guru Bahasa Inggeris ditahan bantu siasatan kes cabul tiga murid perempuan

KUALA TERENGGGANU – Seorang guru Bahasa Ingge­ris sebuah sekolah rendah di Jertih dekat Besut ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul tiga murid perempuan tahun lima pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rawi berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di kawasan sekolah terbabit pada pukul 5 petang, Selasa lalu.

Beliau berkata, ketiga-tiga kanak-kanak perempuan yang masing-masing berusia sembilan tahun itu mendakwa telah dicabul guru lelaki terbabit di dalam makmal komputer sekolah berkenaan.

“Kesemua ibu bapa mangsa telah mengadakan perjumpa­an dengan guru besar sekolah terbabit kelmarin (Selasa lalu) selepas menerima aduan daripada anak-anak masing-masing.

“Mereka kemudiannya sepakat membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan guru lelaki itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, kese­mua murid itu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Monday, August 8, 2016

Exco nafi mahu boikot sidang DUN Terengganu hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang menafikan khabar angin kononnya enam daripada sembilan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan memboikot Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, kesemua Exco kerajaan negeri bersatu hati menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd. Rahman.

“Saya tidak tahu menahu tentang khabar angin (pemboikotan Sidang DUN) yang datang entah dari mana. Kami semua Exco (kerajaan negeri) amat sayangkan Terengganu.

“Kami tetap akan bersama Menteri Besar (Ahmad Razif) dan tidak mungkin melakukan perkara di luar jangka," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan Pidato Transformasi Terengganu Baharu Institusi Pengajian Tinggi dan Institut Pendidikan Guru di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Beliau mengulas khabar angin kononnya enam Exco kerajaan ne­geri berura-ura tidak akan menghadiri sidang DUN Terengganu sebagai protes bagi memaksa Ahmad Razif meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal secara lantang menentang kepimpinan Ahmad Razif menjelang persidangan DUN terbabit.

Selain A. Latiff, lapan Exco kerajaan negeri lain ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Datuk Mohd. Jidin Shafee, Datuk Rozi Mamat, Rosli Othman, Nawi Mohamad, Roslee Daud, Ghazali Taib dan Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

A. Latiff berkata, beliau percaya Sidang DUN negeri dipengerusikan oleh Yang diPertua DUN, Datuk Seri Zuber Embong akan berjalan dengan lancar di sebalik pelbagai provokasi yang telah dilancarkan.

Dalam perkembangan sama, beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pencetus gerakan ‘Gelombang Ku­ning’ yang cuba mengheret rakyat dan institusi diraja Terengganu dalam kemelut kepimpinan kerajaan negeri yang sedang berlaku ini.

“Saya harap rakyat negeri ini tidak dilibatkan dalam permasalahan dalaman parti. Ia sebenarnya cuma perkara kecil yang telah diperbesarkan pihak berkepenti­ngan,” katanya.

Bekas pemain T-Team dipenjara sehari, denda RM7,000

KUALA TERENGGANU – Bekas pemain bola sepak T-Team, Muhammad Shafiquddin Ibrahim, 25, dihukum penjara sehari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara T-Team, Terengganu, Pahang dan Selangor pada tahun 2014.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan demikian selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Mohamad Haldar juga memerintahkan hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya Muhammad Shafiquddin gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang kini merupakan seorang buruh membayar denda itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Shafiquddin bersama tiga tertuduh lain yang juga bekas pemain T-Team didakwa memberi keterangan palsu sewaktu prosiding di Mahkamah Sesyen 3 di sini pada 6 Mei 2014.

Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu itu ketika menjadi saksi perbicaraan kes mengatur perlawanan melibatkan bekas jurulatih pasukannya, Sufian Ngah dan K. Rajendran yang merupakan ahli perniagaan.

Dalam perbicaraan itu, Muhammad Shafiquddin didakwa menafikan perjumpaan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Pal Pandey yang telah memintanya agar T-Team kalah dengan Selangor dengan keputusan 2-4 apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin.

Keterangan itu bercanggah dengan kenyataan yang telah diberikan tertuduh kepada Penolong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syahriman Yahya.

KPDNKK beri Anugerah Kedai Harga Patut kepada pasar raya besar Giant

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam memberikan pasar raya besar Giant dengan Anugerah Kedai Harga Patut.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Giant merupakan  rangkaian pasar raya besar pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan tersebut sejak anugerah itu diper­kenalkan pada tahun 2010.

“Kategori pasar raya besar baru diperkenalkan mulai tahun ini dan kita mengiktiraf kesemua cawangan Giant di seluruh negara sebagai pasar raya besar yang menjual barangan dengan harga patut.

“Ia juga sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada sektor peruncitan pasar raya besar yang turut sama membantu menawarkan harga berpatutan sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan plak dan sijil Anugerah Kedai Harga Patut kepada Pengarah Operasi Peruncitan dan Rangkaian Bekalan GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Joe Dybell di Giant Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Hamzah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memberi anugerah sama kepada rangkaian pasar raya besar lain di negara ini sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Terengganu mohon royalti minyak

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan royalti lima peratus daripada hasil petroleum telaga minyak Bertam yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebuah jawatankuasa dipengerusikan beliau yang turut dianggotai oleh wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan telah ditubuhkan berhubung tuntutan tersebut.

"Saya difahamkan hasil daripada telaga minyak Bertam berkenaan masih belum diagih-agihkan kepada mana-mana negeri.

"Tidak timbul soal kononnya saya mencagar (menggadai) telaga minyak itu kerana ia hak mutlak kerajaan Persekutuan, bukan milik kerajaan negeri kerana terletak lebih tiga batu nautika dari perairan Terengganu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di Pusat Dagangan Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa isu pemilikan telaga minyak Bertam terbabit merupakan salah satu sebab beliau menentang kepimpinan Ahmad Razif.

Ahmad Razif memberitahu, permohonan tersebut yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih dalam proses rundingan.

Sunday, August 7, 2016

Pengedar dadah diberkas

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang aktif di daerah Besut ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Jaya, Kampung Raja dekat Besut pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, anggota polis turut merampas 474 pil kuda seberat kira-kira 55.2 gram bernilai RM3,535 yang disimpan di dalam sebuah beg pinggang berwarna biru milik suspek.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sepasukan polis yang melihat kelibat lelaki itu yang sedang menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam keadaan mencurigakan bertindak mengarahkannya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
"Suspek cuba melarikan diri dan oleh kerana terlalu panik, dia telah bertindak membuang sebuah beg pinggang yang di simpan dari poket seluarnya ke tanah.
"Begitupun, suspek berjaya juga ditahan dan pemeriksaan di dalam beg terbabit menjumpai kesemua pil berkenaan yang dipercayai pil kuda," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Bekas pemain T-Team dipenjara sehari, denda RM7,000 beri keterangan palsu

KUALA TERENGGANU - Bekas pemain bola sepak pasukan T-Team, Muhammad Shafiquddin Ibrahim, 25, dihukum penjara sehari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara T-Team, Terengganu, Pahang dan Selangor pada dua tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan demikian selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamamd Shafiquddin bersama tiga tertuduh lain, Mohd. Hafiz Mohd. Noor, 26; Mohd. Nazmeer Hisham Mohammad, 25 dan Mohd. Hanifzam Muda, 26, yang juga bekas pemain T-Team didakwa memberi keterangan palsu sewaktu prosiding di Mahkamah Sesyen 3 di sini antara pukul 11.30 pagi hingga 3 petang, 6 Mei 2014.
Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu itu ketika menjadi saksi perbicaraan kes menngatur perlawanan melibatkan bekas jurulatih pasukannya, Sufian Ngah dan K. Rajendran yang merupakan ahli perniagaan.
Muhammad Shafiquddin didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
Kosmo! 22 April lalu melaporkan empat bask pemain bola sepak pasukan T-Team termasuk Muhammad Shafiquddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara T-Team, Terengganu, Pahang dan Selangor pada tahun 2014. - K! ONLINE

Ketua JPJKK Terenggganu meninggal dunia