Translate

Thursday, November 21, 2024

‘Syukur, terima kasih sanggup maafkan isteri saya’

DUNGUN – Suami suspek yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Du ngun bersyukur dan lega permohonan maafnya diterima baik oleh kesemua keluarga mangsa. 

 Lelaki berusia 53 tahun itu berkata, dia berterima kasih dan terharu dengan jiwa besar keluarga mangsa walaupun ujian yang me nimpa sangat besar. 

 “Saya memahami buat masa ini mereka perlu diberi ruang untuk bertenang ekoran ujian yang berat ini. “Begitupun saya sanggup menunggu masa sesuai untuk bertemu semua keluarga mangsa bagi menyatakan penyesalan saya,” katanya kepada Kosmo!.

Suami suspek memberitahu, setakat ini dia sudah bertemu dengan mangsa terselamat, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dan bapanya, Mohamad Ridhuan Mohd. Shariff , 52. 

Dia berkata, hatinya lega dapat bertemu Muhammad Ammar Danish sebelum pelajar itu dibenarkan keluar hospital semalam. 

 “Alhamdulillah, saya lega mereka menyambut saya dengan baik dan memaafkan apa yang berlaku. “Saya benar-benar kesal dengan insiden tersebut. Ia bukanlah kehendak saya mahu isteri yang menderita sakit (meroyan),” luahnya. 

 Kosmo! kelmarin melaporkan kontraktor pendawaian elektrik itu memohon maaf bagi pihak isterinya berhubung kemalangan meragut tiga nyawa tersebut. 

Dakwanya, isterinya yang berusia 49 tahun mengalami kecelaruan mental sejak 10 tahun lalu telah curi-curi memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V terbabit sewaktu dia dan anak lelakinya sedang menunaikan solat maghrib. 

Sementara itu, keluarga ketiga-tiga mangsa yang terkorban iaitu Khairul Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, bersedia memaafkan pelaku dan enggan menaruh dendam. 

Begitupun mereka masih belum bersedia untuk bertemu suami suspek pada masa terdekat kerana masih tersedih. 

Sementara itu, perintah reman terhadap wanita yang memandu Honda CRV disambung lagi dua hari sehingga esok. 

 Permohonan reman tersebut dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret di sini semalam. 

 Suspek yang dikatakan mengalami kecelaruan mental disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, jurucakap Unit Komunikasi Korporat UiTM Dungun berkata, pihaknya bersedia menjadi pemudah cara atau orang tengah dalam mengatur pertemuan antara suami wanita yang merempuh empat pelajar universiti itu dengan keluarga mangsa terlibat.

Wednesday, November 20, 2024

Gurau senda jadi kenangan terakhir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui sering terbayang gurau senda tiga sahabatnya ketika mereka menghabiskan masa selama dua jam sebelum terbabit kemalangan Rabu lalu.

Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, berkata, dia bersama Khairul Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, ke pusat bandar pada hari berkenaan untuk membeli barangan keperluan. 

“Kami menghabiskan masa hampir dua jam bermula pukul 5 petang di (pusat) bandar. Sewaktu membeli barangan keperluan, kami bergurau-senda sebelum pulang ke kampus menjelang waktu maghrib. 

 “Sewaktu motosikal kami mahu membelok masuk ke pintu pagar kampus (UiTM Dungun) kami tiba-tiba dirempuh. Saya tidak sedar apa-apa selepas itu, orang kata saya terpelanting ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Dungun di sini semalam. 

Terdahulu beliau disantuni Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim. 

Pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, dia dibenarkan pulang semalam dan akan menjalani pemulihan di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur. 

Muhammad Ammar Danish berkata, tiada sebarang perubahan dilihat sewaktu bersiar-siar di pusat bandar dan kehilangan tiga sahabat baiknya dalam sekelip ujian amat berat buat dirinya.

 “Pada hari pertama dan kedua, saya memang sedih, namun atas nasihat keluarga dan pensyarah, saya menerima takdir. 

 “Saya berjanji belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian demi tiga sahabat yang telah ‘pergi’,” katanya. 

 Dalam pada itu, Maliaman berkata, proses pemulihan Muhammad Ammar Danish akan terus dipantau termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling oleh UiTM,” katanya. 

Dalam pada itu, bapa Muhammad Ammar Danish, Mohamad Ridhuan Mohd. Shariff , 52, menerima permohonan maaf dibuat suami wanita yang melanggar anaknya. 

 “Pandangan saya pelaku tidak mungkin akan sesuka hati melanggar orang jika dia normal.

 “Apapun yang penting ialah pemulihan fizikal dan emosi anak saya agar dapat meneruskan pengajian selepas ini,” katanya. 

 Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, tiga pelajar UiTM Dungun maut selepas dua buah motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah SUV yang dipandu seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental. 

 Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, cedera dan masih dirawat di Hospital Dungun.

Tuesday, November 19, 2024

Pemandu SUV didakwa membunuh

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 

DUNGUN – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun minggu lalu sehingga menyebabkan tiga daripada mereka meninggal dunia didakwa atas pertuduhan membunuh semalam. 

 Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Norizan Ismail, 49, yang juga seorang suri rumah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman. 

 Ibu tiga anak itu kelihatan keliru dan sekali-sekala bercakap seorang diri sewaktu berada di kandang tertuduh. 

 Wanita itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, di Jalan Pantai berhampiran UiTM Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu. 

Oleh itu, Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. 

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Terengganu, Azizan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin. 

Azizan memberitahu, mental Norizan berada dalam keadaan tidak stabil sepanjang enam hari direman.

 “Tertuduh tidak memberi kerjasama memuaskan sepanjang tempoh siasatan menyebabkan percakapan sukar direkodkan. 

Berdasarkan keadaan termasuk di mahkamah hari ini (semalam), saya mohon tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental,” katanya. 

Peguam Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin yang mewakili Norizan pula menyatakan kebimbangan sesuatu buruk akan berlaku sekiranya anak guamnya ditahan di lokap sepanjang tempoh prosiding. 

 Di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, di lokasi pada tarikh dan masa sama.

 Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Hukuman penjara boleh mencecah 20 tahun sekiranya perbuatan itu mendatangkan kecederaan. 

Kedua-dua mahkamah memerintahkan Norizan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru selama sebulan. 

 Turut kelihatan di mahkamah ialah suami tertuduh yang berusia 53 tahun dan beberapa ahli keluarganya yang menunggu ketibaan wanita itu pada pukul 8.30 pagi. 

Kontraktor pendawaian elektrik tersebut kemudian dilihat keluar dari kamar mahkamah. Lelaki itu dikatakan berada di luar mahkamah sepanjang prosiding berkemungkinan tidak sanggup melihat isterinya berada di kandang pesalah. 

 Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan tiga pelajar UiTM maut, manakala seorang parah selepas dua buah motosikal yang ditunggang mereka dirempuh SUV Honda CR-V dipandu seorang wanita dari arah belakang.

Monday, November 18, 2024

Pelajar tahfiz maut kena renjatan elektrik

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI 

BESUT – Pelajar tahfiz, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, yang maut terkena renjatan elektrik di sebuah madrasah tahfiz di Kampung Gong Penaga, Jabi di sini kelmarin, selesai menghafaz al-Quran akhir bulan lalu. 

Seorang pengurusan maahad tahfiz tersebut yang enggan dikenali berkata, remaja lelaki berasal dari Klang, Selangor itu telah belajar di pusat tersebut kira-kira tujuh tahun lalu. 

“Allahyarham (Muhammad Fahim Rasyidi) diberi cuti seminggu setelah majlis syahadah tahfiz (selesai menghafaz al-Quran). 

“Dia baru kembali untuk meneruskan pengajian beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Difahamkan Muhammad Fahim Rasyidi telah 23 kali khatam al-Quran termasuk terbaharu kira-kira dua bulan lalu. 

Menceritakan kejadian, dia berkata, mangsa telah terpegang mentol sewaktu mahu mengambil wuduk berhampiran ruangan surau maahad tersebut selain kawasan lantai ruangan itu digenangi air ekoran hujan lebat. 

“Mentol itu dipasang pada suis yang terletak berhampiran ruangan wuduk,” katanya. 

 Beliau memberitahu, jenazah Muhammad Fahim Rasyidi disembahyangkan di maahad tersebut sebelum dikebumikan di kampung halamannya, Klang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, remaja lelaki itu dikatakan terkena renjatan elektrik selepas memegang mentol dengan keadaan pada waktu itu hujan lebat.

 “Mangsa dikatakan memegang mentol itu sewaktu mahu membasuh tangan. 

 “Renjatan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum dia dikejarkan ke Hospital Besut dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan,” ujarnya. 

Abdul Rozak berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sunday, November 17, 2024

Air pasang besar seluruh negara 9 hari

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Kawasan pesisir pantai dan muara sungai seluruh negara akan dilanda air pasang besar selama sembilan hari bermula semalam ekoran fenomena Bulan Perigee atau dikenali sebagai Supermoon. 

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (Eseri), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Amirul Hazim Kamarulzaman berkata, sepanjang tempoh berkenaan air pasang besar akan lebih tinggi daripada kebiasaan ekoran fenomena Supermoon terbabit.

 Beliau berkata, fenomena air pasang besar sepanjang tempoh tersebut akan meningkatkan paras air laut sehingga 3.3 meter. 

“Jarak bulan dan bumi di Kuala Terengganu pada 7 malam hari ini (semalam) sejauh 35,6970 kilometer (km) iaitu paling dekat pada tahun ini.

 “Oleh kerana bulan merupakan objek angkasa yang mempengaruhi pasang surut air laut, fenomena Supermoon ini dijangka menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada kebiasaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

 Fenomena Supermoon menyebabkan bulan kelihatan sedikit besar dan lebih terang 14 peratus berbanding kelaziman. 

Amirul Hazim berkata, kenaikan paras air laut ekoran fenomena Supermoon berkenaan berisiko menjejaskan kawasan berhampiran pesisir pantai dan muara sungai seluruh negara termasuk Terengganu. 

 Tambah beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu juga telah mengeluarkan amaran air pasang besar setinggi 3.3 meter yang akan berlanjutan selama sembilan hari sehingga minggu depan ekoran fenomena Supermoon terbabit. 

 “Sehubungan itu, penduduk di pesisir pantai dan muara sungai dinasihatkan agar lebih berwaspada selain setiasa peka mendengar arahan pihak berkuasa.

 “Orang ramai juga dinasihatkan menghindari aktiviti air terutama di kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Saturday, November 16, 2024

Kadet Kor Suar ditauliah Pengawai Integriti Muda

 

KUALA TERENGGANU – Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Anti Rasuah (Kor Suar) yang berjaya menamatkan latihan akan ditauliah sebagai Pengawai Integriti Muda (YIO) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pentauliahan YIO yang diiktiraf Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah berkenaan akan memberi nilai tambah kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam berkenaan apabila menamatkan pengajian kelak.

 “Seramai 39 kadet Kor Suar menjadi perintis ditauliahkan YIO. Mereka telah terima modul pencegahan dan antirasuah selama empat semester.

 “Mereka adalah duta SPRM dan ikon anak muda yang berintegriti,” katanya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan YIO Kadet Kor Suar. 

 Dalam perkembangan sama, Azam memberitahu, modul Kor Suar juga akan diperkasakan dengan program latihan persenjataan mulai semester depan dengan latihan senjata api.

Friday, November 15, 2024

Skandal konsesi pasir, lebih banyak premis akan digeledah

KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan melakukan serbuan baharu bagi membantu siasatan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berhubung dakwaan penyelewengan konsesi perlombongan pasir. 

 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, sebanyak sembilan premis telah digeledah melibatkan pembekuan aset bernilai jutaan ringgit.

 “Saya tidak menolak kemungkinan (serbuan baharu) untuk mendapatkan bukti-bukti.

 “Kita geledah mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti,” katanya di sini semalam. 

Azam berkata, siasatan berhubung kes dakwaan penyelewengan konsesi pasir terbabit masih berjalan de ngan hampir 20 projek telah disiasat setakat ini. 

Tambah beliau, siasatan sama telah memanggil lebih 20 saksi bagi membantu siasatan. 

 Dalam perkembangan sama, Azam memberitahu, siasatan akan terus dilengkapkan sebelum ahli politik berpengaruh yang dikaitkan dengan penggeledahan ‘safe house’ disyaki menjadi lokasi penyimpanan wang berkait kes tersebut dipanggil mengikut keperluan. 

Kosmo! pada 17 Oktober lalu melaporkan, sejumlah wang tunai berjumlah RM600,000 ditemukan SPRM di sebuah premis dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli politik berpengaruh.

Thursday, November 14, 2024

Bot haram angkut pelancong ditahan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

BESUT – Sebuah bot membawa lapan pelancong asing yang beroperasi tanpa lesen ditahan anggota Ma ritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Besut di sini kelmarin. 

Bot dikendalikan penduduk tempatan itu ditahan pada kedudukan 20.37 kilometer dari timur laut muara Kuala Besut pada pukul 11 pagi. 

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sewaktu kejadian, bot itu dalam perjalanan menghantar pelancong asing terbabit ke Pulau Rawa dari Pulau Perhentian, Kuala Besut. 

 “Pemeriksaan mendapati bot pelancong itu beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

 “Perbuatan membawa penumpang tanpa lesen operasi dan insurans merupakan satu kesalahan serius,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd. Khairulanuar memberitahu, pengendalian bot pelancong tanpa lesen dan insurans boleh membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. 

 Tambah beliau, operator bot terbabit kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. 

 “Kita tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan. Saya menyeru pengusaha bot pelancong agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

 “Ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh memudaratkan orang ramai,” kata beliau.

Wednesday, November 13, 2024

‘Rawat sehingga 500 pesakit’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal mempunyai pusat rehabilitasi ketiga khusus untuk wilayah timur yang bakal dibina di Lembah Bidong, di sini. 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur itu yang mampu merawat sehingga 500 pesakit pada satu-satu masa tersebut akan dibina di tanah kurniaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

 “Pusat rehabilitasi ini merupakan ketiga dimiliki Perkeso selepas Melaka dan Perak. 

“Ia selaras dengan keperluan semasa yang menunjukkan sekurang-kurangnya 15 kes pemulihan pekerja dikendalikan pusat rehabilitasi Perkeso ketika ini diterima dari zon Pantai Timur,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pusat rehabilitasi tersebut di Lembah Bidong, di sini semalam. 

 Jelasnya, pembinaan pusat rehabilitasi yang akan menelan belanja RM571.8 juta itu bakal dilengkapi kemudahan 315 katil. 

 Katanya, pusat berkenaan bakal menawarkan rawatan terapi inovatif thalassotherapy menggunakan elemen air laut yang pertama di negara ini. 

 “Rawatan hippotherapy yang menggunakan kuda sebagai instrumen pemulihan fizikal, mental dan kognitif pesakit juga akan ditawarkan. 

 “Selain itu, pusat rehabilitasi ini menyediakan teknik perubatan neuro-robotik dan cybernics bagi pemulihan golongan pekerja yang menghidap penyakit kronik serta kecederaan dan kecacatan akibat kemalangan terbabit,” katanya. 

 Katanya, rawatan pemulihan pekerja yang mencarum Perkeso tersebut akan mendapat kerjasama pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus. 

 Katanya, projek Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur yang baru diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu dijangka siap sepenuhnya pada 2027. 

“Pusat rehabilitasi tersebut juga akan menawarkan latihan pemulihan vokasional seperti pembuatan tembaga, pembinaan bot dan kapal tradisional, batik dan ukiran kayu.

 “Ia bertujuan memastikan kesinambungan warisan Terengganu selain meningkatkan tahap kebolehpasaran pencarum terlibat setelah selesai program pemulihan,” tambahnya.

Tuesday, November 12, 2024

Gaji minimum RM1,700 dipersetujui majikan

SETIU – Kerajaan yakin penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan berkuat kuasa Februari tahun depan tidak akan menjejaskan kebanyakan majikan termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kenaikan gaji minimum itu telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesediaan kewangan majikan. 

 “Kadar gaji minimum baharu ini diumumkan selepas kajian teknikal dilakukan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan.

 “Saya dimaklumkan gaji minimum RM1,700 ini dipersetujui sebulat suara oleh semua wakil pekerja, majikan dan kerajaan yang menganggotai Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan tersebut,” katanya di Lembah Bidong di sini semalam. 

Steven Sim berkata, kenaikan gaji minimum tersebut dirasakan bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa. 

Tambah beliau, majikan tempatan juga akan diberi masa mencukupi sehingga Februari depan untuk melakukan persediaan bagi kenaikan kadar gaji minimum tersebut. 

 “Bagi PKS yang mempunyai pekerja kurang lima orang pula, kita beri masa lebih lama sehingga bulan Ogos tahun depan untuk membuat penyelarasan.

 “Kita faham sebahagian PKS mempunyai kekangan tetapi kerajaan akan membantu menerusi pengumuman pelbagai insentif berjumlah keseluruhan RM40 bilion pada Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu,” katanya.

Monday, November 11, 2024

Hindari aktiviti air ketika tengkujuh

 KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya penduduk setempat diingatkan menghindari aktiviti air sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi bagi mengelak insiden tidak diingini. 

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kes kematian akibat lemas ketika aktiviti air sama ada di pantai, sungai, lata dan parit sentiasa dilaporkan di negeri ini setiap kali musim tengkujuh. 

 “Ingatkan anak-anak kecil tidak bermain di parit dan sungai pada tengkujuh. 

 “Elak juga ke tempat perkelahan berisiko yang sering berlaku kepala air pada musim MTL. Setiap tahun ada kematian (akibat lemas),” katanya selepas menyerahkan barang kes narkotik bagi tujuan pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam. 

 Katanya, beliau juga telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di seluruh Terengganu memastikan kawasan riadah air yang berisiko dengan fenomena kepala air tersebut ditutup untuk kunjungan sepanjang musim tengkujuh. 

 Jelasnya, tujuh Ketua Polis Daerah terbabit perlu menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sekurang-kurangnya memasang papan tanda amaran di lokasi riadah air berkenaan. 

 “Notis itu sebagai peringatan buat orang ramai agar menghindari kawasan berisiko terbabit sepanjang tempoh MTL,” katanya.

 Ujarnya, seramai 1,236 pegawai dan anggota polis negeri itu sedia dikerah untuk menghadapi tengkujuh yang diramal melanda negara minggu depan. 

 “Penugasan operasi banjir akan dibantu dengan aset seperti 37 bot, 194 kereta, 106 kenderaan pacuan empat roda, 42 lori dan 31 van. 

 “Sebanyak 451 kawasan berisiko banjir telah dikenal pasti di seluruh negeri ini iaitu Kuala Terengganu (97), Hulu Terengganu (66), Setiu (58), Dungun (58), Kemaman (55), Kuala Nerus (48), Marang (35) dan Besut (34).

 “Sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) juga bersedia menampung 147,590 mangsa di Terengganu,” katanya.

Sunday, November 10, 2024

Dadah RM3.67 juta dirampas

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya menumpaskan 1,044 kes pengedaran dadah melibatkan pengedar dan pusher jalanan atau ejen pengedaran di seluruh negeri ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. 

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan lebih RM3.67 juta. 

 “Antara dadah berjaya dirampas ialah pil yaba (4,1959.44 gram), syabu (4,400.03 gram), heroin (4,144.46 gram) dan ganja (5,057.41 gram). 

 “Selain itu, pil Eramin 5 (815.1 gram), air ketum (2,974.1 liter), daun ketum (732.28 kilogram), ubat batuk (3,851.41 liter) dan pil psikotropik (539.2 gram) turut berjaya dirampas,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam. 

 Terdahulu beliau ditemui selepas menyerahkan barang kes narkotik yang dirampas IPK Terengganu bernilai keseluruhan RM2.3 juta bagi tujuan pelupusan. 

 Kesemua dadah yang dirampas dalam operasi sejak tahun 1991 itu telah menerima perintah dilupuskan oleh mahkamah. 

 Mohd. Khairi berkata, sebanyak 94.4 peratus daripada 1,044 kes pengedaran bekalan dadah itu telah dihadapkan ke mahkamah.

Saturday, November 9, 2024

Instep latih 11 jurutera Jepun

KUALA NERUS – Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) telah melatih 11 jurutera daripada Inpex Corporation (Inpex) yang merupakan syarikat penerokaan dan pengeluaran petroleum terbesar di Jepun. 

 Ketua Pegawai Eksekutif Instep, Mohamad Nasir berkata, 11 jurutera warga Jepun yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita itu telah menjalani latihan sambil bekerja selama sebulan berkaitan Pengetahuan Asas Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar. 

“Mereka merupakan kohort kesembilan yang dihantar oleh Inpex, sebelum ini, seramai 110 jurutera muda daripada syarikat berkenaan telah menjalani latihan sama sejak tahun 2019,” katanya pada majlis tamat kursus di Instep, Batu Rakit di sini semalam.

Friday, November 8, 2024

Mustahil ribut tempias taufan Trami landa Pantai Timur

 

KUALA TERENGGANU – Taufan Trami yang kini sedang melanda Filipina tidak mungkin boleh mencetuskan ribut di daerah Dungun, Kemaman serta Kuantan, Lepar dan Pekan, Pahang seperti ditularkan di media sosial. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, negara diramal tidak akan menerima tempias secara langsung taufan Trami ekoran kedudukannya yang agak jauh. 

“Berdasarkan laporan Agensi Meteorologi Jepun, taufan Trami agak jauh dengan kawasan kita. 

“Taufan itu juga dijangka mendarat ke Vietnam selepas melanda Filipina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Terdahulu tular dakwaan di media sosial kononnya kawasan dari Paka, Dungun hingga Pekan berisiko dilanda ribut bermula pukul 2 petang hari ini. 

Dakwaan itu menggempar dan mencetus kebimbangan ramai terutama penduduk setempat sehingga mendapat teguran Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman.

 Begitupun, Jing Xiang tidak menolak kemungkinan taufan terbabit boleh meningkatkan potensi hujan terutama di wilayah Pantai Timur. 

Jelas beliau, ia disebabkan fenomena taufan yang bertekanan rendah berpotensi menyedut kelembapan-kelembapan atmosfera kepadanya.

 “Hujan berpotensi berlaku sekiranya kelembapan-kelembapan ini melalui kawasan atmosfera (negara) kita. 

“Apapun sebenarnya, kejadian hujan pada waktu petang dan malam di Pantai Timur ketika adalah normal memandang kita sedang berada pada tempoh peralihan monsun,” katanya. 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramal hujan berterusan berlaku di barat Sabah semalam. Garis badai membawa laut bergelora juga dijangka terbentuk di utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sehingga Ahad ini.

Thursday, November 7, 2024

‘Kami bukanlah orang maha kaya’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, AIMUNI TUAN LAH dan ABDUL RAZAK IDRIS

PETALING JAYA – Kumpulan yang berpendapatan antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan atau golongan T15 menyatakan mereka bukanlah golongan yang hidup mewah kerana turut berdepan kos sara hidup tinggi. 

Rata-rata mereka menegaskan kehidupan mereka lebih terbeban apabila mempunyai keluarga besar selain tinggal di kawasan bandar-bandar besar berbanding pinggir bandar.

Di Kuala Terengganu, kontraktor, Zawawi Md. Salleh, 55, berkata, banyak faktor harus dilihat dan tidak boleh melabelkan golongan tertentu sebagai ‘maha kaya’ hanya berdasarkan pendapatan kasar ­bulanan. 

Menurutnya, penyasaran subsidi petrol dan kenaikan yuran pendidikan sememangnya amat membebankan. 

“Walaupun pendapatan terkumpul bulanan saya dan isteri mencecah RM13,000, namun ia tidak bermakna kehidupan kami terlalu selesa.

“Kami juga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan bukanlah ‘maha kaya’ seperti didakwa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Zawawi berkata, beberapa langkah yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 bakal menekan golongan tersebut.

 “Tidak adil sedangkan kami golongan paling banyak menyumbang hasil cukai negara. Memang patut dahulukan golongan B40, tetapi takkan lah kami tidak dapat satu manfaat pun daripada cukai dibayar,” ujarnya. 

Di Shah Alam, seorang kontraktor, Razif Nazri, 47, berkata, perlu ada pengelasan yang jelas dan saksama memandangkan taraf hidup berbeza terutama yang tinggal di kawasan bandar atau pinggir bandar. 

“Pada mata kasar gaji berjumlah RM12,000 ke atas bagi isi rumah dilihat tinggi. Namun, untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar dalam kenaikan kos dari segala aspek adalah suatu yang tidak dapat diterima,” ujarnya. 

Menurutnya, perbelanjaan petrol suami isteri yang bekerja secara relatifnya tidak sama sekiranya seorang bekerja di Kuala Lumpur dan bandar lain. 

“Begitu juga kos isi rumah jika pasangan suami isteri tersebut bekerja dan perlu mengaji pembantu rumah selain bil-bil termasuk elektrik,” jelasnya. 

Di Gua Musang, Chee Chan Keong, 51, berkata, langkah kerajaan yang mengurangkan bantuan kepada golongan berpendapatan lima angka dilihat kurang adil kepada mereka yang turut menghadapi beberapa cabaran tersendiri. 

Katanya, seperti juga rakyat lain, salah satu cabaran utama dia yang berpendapatan RM11,800 sebulan adalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

 “Golongan T15 tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan kos tambahan setiap bulan seperti bayaran perumahan, hutang kenderaan, yuran pendidikan anak-anak serta keperluan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu. 

“Kerajaan sepatutnya memberi keadilan kepada semua rakyat kerana golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat termasuk kuasa beli dan sumbangan besar kepada pembangunan negara,” ujarnya. 

Chan Keong berkata, dia berharap kerajaan dapat mengkaji semula penarafan T15 kepada golongan gaji yang lebih tinggi mencecah RM20, 000 sebulan. 

Sebalum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan menegaskan, penentuan 15 peratus golongan yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 akan merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. 

Beliau berkata, kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata kerana banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi dan tanggungan.

Wednesday, November 6, 2024

Ditipu mekanik kerana tiada ilmu selenggara kereta

 

KUALA TERENGGANU – Seorang eksekutif agensi pelancongan, Teh Suhaida Zulkifli, 24, mengakui pernah beberapa kali tertipu dengan mekanik bengkel membaiki kenderaan apabila perlu menukar skru camber de­ngan alasan tidak munasabah. 

Katanya, sebelum ini dia yang tidak berapa mahir dengan penyelenggaraan kereta akan mengikut saranan mekanik ter­babit. 

“Biasanya kalau saya menghantar kereta Perodua Myvi untuk melakukan penjajaran atau menukar tayar di sebuah bengkel membaiki kereta, selalu dikenakan caj tambahan.

 “Macam-macam caj dikenakan. Kebiasaannya mekanik itu mendakwa skru camber perlu ditukar. Saya ikut sahaja walaupun kena bayar tambahan RM60,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Teh Suhaida berkata, dia mula ragu dakwaan mekanik terbabit apabila diminta sekali lagi untuk menukar skru camber sewaktu menukar tayar keretanya pada awal tahun ini. 

Dia berasa pelik kerana skru camber tersebut baru ditukar di bengkel sama beberapa bulan sebelum itu.

Dia mengambil keputusan untuk tidak menukarnya. 

Sementara itu, di Temerloh, Pahang, seorang pengguna, Azwin Abu Bakar,38, berkata, dia berasa pelik apabila setiap kali menukar tayar atau melakukan penjajaran (alignment), mekanik sering mengatakan perlu menukar skru camber. 

Katanya, dia yang kurang arif dengan perkara itu hanya mengikut nasihat mekanik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan. 

“Saya tidak tahu sama ada dia (mekanik) menipu atau tidak tetapi apa boleh buat, saya tidak arif mengenai kereta dan saya hanya berharap tidak ditipu dan mekanik ikhlas dalam berniaga,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, harga yang tinggi dan berbeza-beza bagi penjajaran tayar dan juga pelarasan camber di Lembah Klang membuatkan pengguna berasa terbeban. 

Keadaan itu membuatkan pengguna mempersoalkan harga sebenar yang sepatutnya ditawarkan, seolah-olah sikap peniaga bengkel yang sengaja mengaut keuntungan tinggi. 

Seorang pengguna, Izat Zamri,38, berkata, dia pelik dengan harga yang ditawarkan di Lembah Klang yang baginya tidak masuk akal berbanding harga di tempat lain. 

Justeru katanya, dia yang bekerja di Cheras mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Temerloh setiap kali ingin menukar tayar atau melakukan penjajaran. 

“Saya akan memandu pulang ke Temerloh untuk membuat ‘alignment’ kerana di sini harganya hanya RM20, tetapi di Kuala Lumpur paling rendah RM40,” katanya.

Tuesday, November 5, 2024

Buntu suami terlantar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang jururawat kini menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat penyakit paru-paru berparut sejak lebih setahun lalu.

 Penjawat awam, Nurul Ain Mohd. Yacob, 35, berkata, suaminya, Helmie Dasukie Suhaimi, 37, terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak menderita penyakit progressive brotic lung disease pada September tahun lalu. 

 Katanya, ekoran itu suaminya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak boleh bergerak dengan sendiri. 

“Berdasarkan pakar perubatan, penyakit suami saya amat kronik dan hanya boleh diubati dengan pemindahan paru-paru penderma,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Losong Atap Zin di sini baru-baru ini. 

 Menurut Nurul Ain, keadaan kesihatan suaminya kurang memuaskan itu menyebabkan dia kerap pengsan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan. 

 Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya, Dhuha Aina, 7, banyak membantu menjaga bapanya walaupun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kategori mild autism. 

 “Kos perubatan suami merangkumi peralatan rawatan, susu khas dan makanan tambahan mencecah RM5,000 sebulan. 

 “Saya juga sedang bekerja keras mengumpul dana RM100,000 bagi membiayai pemindahan paru-paru penderma buat suaminya suatu hari nanti,” katanya. 

 Sehubungan itu, Nurul Ain yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan mengakui terpaksa mengikat perut berjimat cermat selain sewa rumah yang kini didiami mereka telah tertunggak lebih tiga bulan. 

 Walaupun mereka sering makan berlaukkan telur goreng dengan kicap, dia tetap bersyukur menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

 Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank CIMB milik Helmie Dasukie di 7610797196 atau menghubungi Nurul Ain di talian 011-1126 7086.

Monday, November 4, 2024

‘Jangan sisih kami, RM12,000 belum lagi maha kaya’

 

Oleh AIMUNI TUAN LAH, ABDUL RAZAK IDRIS dan MOHD AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Kumpulan yang berpendapatan antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan atau golongan T15 menyatakan mereka bukanlah golongan yang hidup mewah kerana turut berdepan kos sara hidup tinggi. 

Rata-rata mereka menegaskan kehidupan mereka lebih terbeban apabila mempunyai keluarga besar selain tinggal di kawasan bandar-bandar besar berbanding pinggir bandar.

Di Kuala Terengganu, kontraktor, Zawawi Md. Salleh, 55, berkata, banyak faktor harus dilihat dan tidak boleh melabelkan golongan tertentu sebagai ‘maha kaya’ hanya berdasarkan pendapatan kasar ­bulanan. 

Menurutnya, penyasaran subsidi petrol dan kenaikan yuran pendidikan sememangnya amat membebankan. 

“Walaupun pendapatan terkumpul bulanan saya dan isteri mencecah RM13,000, namun ia tidak bermakna kehidupan kami terlalu selesa.

“Kami juga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan bukanlah ‘maha kaya’ seperti didakwa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Zawawi berkata, beberapa langkah yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 bakal menekan golongan tersebut.

 “Tidak adil sedangkan kami golongan paling banyak menyumbang hasil cukai negara. Memang patut dahulukan golongan B40, tetapi takkan lah kami tidak dapat satu manfaat pun daripada cukai dibayar,” ujarnya. 

Di Shah Alam, seorang kontraktor, Razif Nazri, 47, berkata, perlu ada pengelasan yang jelas dan saksama memandangkan taraf hidup berbeza terutama yang tinggal di kawasan bandar atau pinggir bandar. 

“Pada mata kasar gaji berjumlah RM12,000 ke atas bagi isi rumah dilihat tinggi. Namun, untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar dalam kenaikan kos dari segala aspek adalah suatu yang tidak dapat diterima,” ujarnya. 

Menurutnya, perbelanjaan petrol suami isteri yang bekerja secara relatifnya tidak sama sekiranya seorang bekerja di Kuala Lumpur dan bandar lain. 

“Begitu juga kos isi rumah jika pasangan suami isteri tersebut bekerja dan perlu mengaji pembantu rumah selain bil-bil termasuk elektrik,” jelasnya. 

Di Gua Musang, Chee Chan Keong, 51, berkata, langkah kerajaan yang mengurangkan bantuan kepada golongan berpendapatan lima angka dilihat kurang adil kepada mereka yang turut menghadapi beberapa cabaran tersendiri. 

Katanya, seperti juga rakyat lain, salah satu cabaran utama dia yang berpendapatan RM11,800 sebulan adalah kos sara hidup yang tinggi ketika ini terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

 “Golongan T15 tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan kos tambahan setiap bulan seperti bayaran perumahan, hutang kenderaan, yuran pendidikan anak-anak serta keperluan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu. 

“Kerajaan sepatutnya memberi keadilan kepada semua rakyat kerana golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat termasuk kuasa beli dan sumbangan besar kepada pembangunan negara,” ujarnya. 

Chan Keong berkata, dia berharap kerajaan dapat mengkaji semula penarafan T15 kepada golongan gaji yang lebih tinggi mencecah RM20, 000 sebulan. 

Sebalum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan menegaskan, penentuan 15 peratus golongan yang tidak layak menerima subsidi bahan api RON95 atau T15 akan merujuk kepada taburan yang lebih adil, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. 

Beliau berkata, kos sara hidup ini tidak boleh diukur berdasarkan pendapatan kasar semata-mata kerana banyak faktor lain yang mempengaruhinya, termasuklah saiz isi rumah, lokasi dan tanggungan.

Sunday, November 3, 2024

Mekanik tamak suka tipu harga skru camber

 

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang eksekutif agensi pelancongan, Teh Suhaida Zulkifli, 24, mengakui pernah beberapa kali tertipu dengan mekanik bengkel membaiki kenderaan apabila perlu menukar skru camber de­ngan alasan tidak munasabah. 

Katanya, sebelum ini dia yang tidak berapa mahir dengan penyelenggaraan kereta akan mengikut saranan mekanik ter­babit. 

“Biasanya kalau saya menghantar kereta Perodua Myvi untuk melakukan penjajaran atau menukar tayar di sebuah bengkel membaiki kereta, selalu dikenakan caj tambahan.

 “Macam-macam caj dikenakan. Kebiasaannya mekanik itu mendakwa skru camber perlu ditukar. Saya ikut sahaja walaupun kena bayar tambahan RM60,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Teh Suhaida berkata, dia mula ragu dakwaan mekanik terbabit apabila diminta sekali lagi untuk menukar skru camber sewaktu menukar tayar keretanya pada awal tahun ini. 

Dia berasa pelik kerana skru camber tersebut baru ditukar di bengkel sama beberapa bulan sebelum itu.

Dia mengambil keputusan untuk tidak menukarnya. 

Sementara itu, di Temerloh, Pahang, seorang pengguna, Azwin Abu Bakar,38, berkata, dia berasa pelik apabila setiap kali menukar tayar atau melakukan penjajaran (alignment), mekanik sering mengatakan perlu menukar skru camber. 

Katanya, dia yang kurang arif dengan perkara itu hanya mengikut nasihat mekanik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan. 

“Saya tidak tahu sama ada dia (mekanik) menipu atau tidak tetapi apa boleh buat, saya tidak arif mengenai kereta dan saya hanya berharap tidak ditipu dan mekanik ikhlas dalam berniaga,” katanya.

 Dalam perkembangan lain, harga yang tinggi dan berbeza-beza bagi penjajaran tayar dan juga pelarasan camber di Lembah Klang membuatkan pengguna berasa terbeban. 

Keadaan itu membuatkan pengguna mempersoalkan harga sebenar yang sepatutnya ditawarkan, seolah-olah sikap peniaga bengkel yang sengaja mengaut keuntungan tinggi. 

Seorang pengguna, Izat Zamri,38, berkata, dia pelik dengan harga yang ditawarkan di Lembah Klang yang baginya tidak masuk akal berbanding harga di tempat lain. 

Justeru katanya, dia yang bekerja di Cheras mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Temerloh setiap kali ingin menukar tayar atau melakukan penjajaran. 

“Saya akan memandu pulang ke Temerloh untuk membuat ‘alignment’ kerana di sini harganya hanya RM20, tetapi di Kuala Lumpur paling rendah RM40,” katanya.

Saturday, November 2, 2024

384 pelajar sekolah sertai Ihtifal Lughawi KPM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited membentuk generasi muda yang ber­adab, berakhlak, berintegriti serta progresif selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI.

Konsep Karamah Insaniah telah dipraktikkan KPM di bawah kepimpinan Menterinya, Fadhlina Sidek bagi memacu murid dan pelajar yang kukuh jati diri, bersahsiah dan memiliki kompetensi.

Ia mendukung prinsip Rukun Negara khususnya Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan bagi melahirkan warga negara yang kukuh asas agama, berempati dan penyayang.

Sehubungan itu, program Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS) telah dianjurkan bagi mencapai misi tersebut terutama dalam kalangan murid dan pelajar beragama Islam.

Pengarah Bahagian Pendidi­kan Islam, KPM, Omar Sal­leh berkata, ILSS merupakan pertandi­ngan pengucapan awam, bicara berirama dan kuiz berkaitan pengetahuan Islam dalam bahasa Melayu dan Arab.

Beliau berkata, program kurikulum tersebut bertujuan mengukuh pemahaman syiar Islam dan pe­nguasaan bahasa Arab dalam kala­ngan murid sekolah.

“ILSS platform terbaik untuk me­ngembangkan bakat dan potensi murid terutama yang melibatkan pe­ngucapan awam dalam bahasa Arab.

“Ia mampu menyumbang kepada kemenjadian murid secara holistik selaras visi dan misi KPM dalam melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara,” katanya ketika merasmikan penutup ILSS KPM peringkat kebangsaan di Kuala Nerus, kelmarin.

Program ILSS KPM peringkat kebangsaan diadakan selama empat hari bermula 24 Oktober yang disertai oleh 384 murid sekolah rendah dan menengah mewakili 16 kontinjen seluruh negara.

Omar berkata, sebanyak enam acara merangkumi 10 kategori dipertandingkan iaitu Daie Cilik dan Kalam Arabiy bagi kategori lelaki dan perempuan, serta kalam jamaie terbuka untuk peserta sekolah rendah.


Tambah beliau, peserta sekolah menengah pula bertanding dalam acara mimbar daie kategori lelaki dan perempuan, serta Kalimatussobah menengah rendah (tingkatan satu hingga tiga) dan atas (tingkatan empat dan lima).

“Acara kuiz pula terbuka dan ia menguji penguasaan pelajar dalam bahasa Arab merangkumi sukatan pelajaran dari tingkatan satu hingga lima,” katanya.

Omar menjelaskan, Daie Cilik dan Mimbar Daie merupakan pertandingan pengucapan awam individu berformat tazkirah santai dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, Kalam Arabiy dan Kalimatussobah pula adalah pengucapan awam individu dalam bahasa Arab, manakala Ka­lam Jamaie ialah bicara berirama dalam bahasa Arab.


Dalam program berkenaan, kontinjen Selangor dan Perak membuktikan keunggulan ma­sing-masing setelah muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

Nur Syafiqah Amani Mohd. Raza, 16, yang mewakili Kuala Lumpur pula muncul johan acara Mimbar Daie kategori perempuan, sekali gus mengulangi kejayaan merangkul tempat pertama Daie Cilik dalam pertandingan sama pada empat tahun lalu.


Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amiruddin Baki, yang me­nyampaikan tazkirah bertajuk Puasa itu sempat menzahirkan rasa gembira selepas pengorbanannya berjam-jam berlatih sele­pas waktu sekolah berbalas.

Dalam pada itu, Muhammad Irfan Azhar, 12, mewakili Selangor yang menyampaikan tazkirah bertajuk Cintai Negara dalam bahasa Arab diumum johan acara Kalam Arabiy kategori murid lelaki.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, Klang itu berkata, dia berlatih pe­ngucapan awam dalam bahasa Arab selama enam bulan dengan bimbingan Ustazah Norazlisa Che Ahmad dan Nur Nhazzla Abdul Wahab.


“Harapnya kemenangan ini da­pat menjadi ‘tiket’ kepada saya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang di tingkatan satu nanti,” katanya.


Friday, November 1, 2024

‘Mahu baik tapi siapa sudi derma paru-paru?’


 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang jururawat kini menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat penyakit paru-paru berparut sejak lebih setahun lalu.

Penjawat awam, Nurul Ain Mohd. Yacob, 35, berkata, suaminya, Helmie Dasukie Suhaimi, 37, terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sejak menderita penyakit progressive fibrotic lung disease pada September tahun lalu.

Katanya, ekoran itu suaminya hanya mampu terlantar di atas katil kerana tidak boleh bergerak dengan sendiri.

“Berdasarkan pakar perubatan, penyakit suami saya amat kronik dan hanya boleh diubati dengan pemindahan paru-paru penderma,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Losong Atap Zin di sini baru-baru ini.

Menurut Nurul Ain, keadaan kesihatan suaminya kurang memuaskan itu menyebabkan dia kerap pengsan dan perlu dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya, Dhuha Aina, 7, banyak membantu menjaga bapanya walaupun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) kategori mild autism.

“Kos perubatan suami me­rangkumi peralatan rawatan, susu khas dan makanan tambahan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya juga sedang be­kerja keras mengumpul dana RM100,000 bagi membiayai pemindahan paru-paru penderma buat suaminya suatu hari nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Nurul Ain yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan mengakui terpaksa mengikat perut berjimat cermat selain sewa rumah yang kini didiami mereka telah tertunggak lebih tiga bulan.

Walaupun mereka sering makan berlaukkan telur goreng de­ngan kicap, dia tetap ber­syukur menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank CIMB milik Helmie Dasukie di 7610797196 atau menghubungi Nurul Ain di talian 011-1126 7086.