Muhd. Nur Rafizzi menerima Anugerah Peladang Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2013 peringkat negeri Perak ekoran kejayaan menjadi agropreneur pada usia 23 tahun.
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
MUHD. NUR RAFIZZI RAZAK hanyalah seorang anak muda berusia 23 tahun yang menamatkan zaman persekolahan berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, kegigihan pemuda dari Kuala Gula, Bagan Serai, Perak ini untuk menjadi manusia berguna ternyata mengubah perjalanan hidupnya dalam tempoh yang singkat.
Dia kini muncul sebagai usahawan ketam lembut disejuk beku yang dipanggil oleh penduduk setempat sebagai ketam pondan .
Lebih membanggakan, dia mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan setelah mengusahakan perniagaan ketam pondan sejak lima tahun lalu.
Tidak hairanlah dia juga sudah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peladang Jaya Perak pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri pada 28 September lalu.
Kejayaan yang dikecapi hari ini, katanya, bermula apabila dia dan bapanya, Razak Mat Desa, 46, mencari jalan untuk mengatasi lambakan ketam nipah bersaiz kecil yang tidak laku di pasaran ketika itu.
Menurutnya, pada masa itu, dia yang baru tamat persekolahan sering mengikut ayahnya berniaga. Ayahnya sudah berpuluh tahun menjadi peraih ketam nipah daripada nelayan di sekitar Kuala Gula.
"Ketika itu saya dapati kebanyakan ketam yang dinaikkan oleh nelayan tempatan kurang mendapat permintaan jika beratnya kurang daripada 120 gram. "Bagi mengatasi masalah tersebut, kami melakukan uji kaji menghasilkan ketam pondan daripada ketam kecil berkenaan," ujar usahawan bimbingan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Pemilik syarikat Fizzi Syukur Sdn. Bhd. itu memberitahu, ketam nipah pada waktu kecil memiliki jantina jantan tetapi bertukar menjadi ketam betina selepas ia membesar. Kerana itulah ia lebih dikenali sebagai ketam pondan.
Ia tidak mempunyai cengkerang termasuk pada kaki dan sepit.Muhd. Nur Rafizzi berkata, untuk menghasilkan ketam berkulit lembut, semua kaki dan sepit ketam itu dicabut bagi merangsang pembentukan kulit baharu.
Menurutnya, ketam itu kemudian dimasukkan ke dalam sangkar dan ia akan bersalin kulit baharu dalam tempoh dua hari hingga sebulan. Kemunculan kulit baharu itu merangkumi cengkerang, kaki dan sepit yang lembut.
Namun, Muhd. Nur Rafizzi menjelaskan, usaha itu bukan mudah kerana tanpa sebarang latihan formal, percubaan untuk menghasilkan ketam lembut berdepan dengan cabaran yang hampir menyebabkan dia mengalami kegagalan.
Ujarnya, dalam tiga tahun pertama menceburi industri ketam lembut tersebut, hampir 80 peratus ketam nipah yang dibiak menjadi ketam lembut telah mati di dalam sangkar.
Bagaimanapun, dengan bantuan Jabatan Perikanan Perak, kadar kematian ketam nipah dalam sangkar berjaya dikurangkan kepada 30 peratus ketika ini.
Kini, Muhd. Nur Rafizzi mempunyai 200 buah sangkar ternakan ketam lembut yang terletak di Sungai Kurau. Tujuh pekerja mengawasi sangkar ketam lembut itu yang terletak berhampiran Calet Kuala Gula.
"Jika dahulu hendak jual 500 kilogram sebulan pun susah, sekarang saya tidak menang tangan.
Berdasarkan bekalan ketam kecil daripada nelayan setempat, buat masa ini kami mampu memasarkan secara purata dua tan ketam sebulan sejak dua tahun lalu," jelasnya.
Menurutnya, permintaan terhadap ketam lembut sejuk beku amat menggalakkan terutama dari Lembah Klang, Pahang, Kelantan dan Johor.
Beliau menambah, syarikatnya tidak akan mampu berkembang sebagaimana sekarang tanpa bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sebagai usahawan bimbingan, Jabatan Perikanan membantu menyediakan peralatan seperti mesin pam, peti ais, peti sejuk beku dan tong penyimpanan bernilai RM88,000.
Katanya, untuk semua peralatan yang diterima dalam tempoh lima tahun itu, dia hanya diminta membayar kos minimum lebih kurang RM200 sahaja.
"Selain bantuan peralatan fizikal, asas keusahawanan saya juga diperkukuhkan menerusi pelbagai kursus anjuran kementerian yang dikendalikan secara percuma.
"Saya menimba banyak ilmu berkaitan perniagaan ketam pondan termasuk cara memproses, pembungkusan dan pemasaran daripada kursus berkenaan," ujarnya.
Menurut beliau, rangkaian jaringan perniagaannya terutama dalam kalangan pengusaha ketam lembut di seluruh negara juga diperluaskan hasil bantuan Jabatan Perikanan.