Translate

Friday, November 17, 2023

Pas cadang SPR sedia bas untuk pengundi

 KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan perkhidmatan bas kepada pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini. 

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak berkata, pihaknya percaya mekanisme tersebut adalah yang terbaik bagi memastikan sebahagian besar pengundi luar dapat pulang mengundi.

 Beliau percaya perkhidmatan bas ekspres tidak mampu menampung permintaan anak Terengganu yang mahu pulang menunaikan tanggungjawab. 

“Takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki balik ke Terengganu?. Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pun tidak siap lagi. Kalau tak ada bantuan bas (daripada parti politik), bagaimana mereka yang tiada kenderaan hendak balik (mengundi)?. 

 “SPR kena fikirlah benda-benda macam ini dan sepatutnya sediakan (bas),” katanya di sini semalam.

 Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan, sebarang pemberian wang, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole sewaktu musim pilihan raya merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. 

Jelas beliau, pemberian parti politik itu dikhuatiri boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan seseorang calon. 

Alias berkata, pengundi luar yang berdaftar di Terengganu dianggarkan berjumlah kira-kira 60,000 orang dan kepulangan mereka sangat penting bagi menyuburkan proses demokrasi.

 “Kita sedang mencari alternatif lain untuk memastikan pengundi luar yang tidak mempunyai kenderaan, tetap dapat pulang mengundi pada PRN. Harap ada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin bantu membawa balik pengundi luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment