Translate

Thursday, October 31, 2024

Penganggur diberkas selepas tujuh jam samun hotel

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang menyamun sebuah hotel di bandar raya ini tidak sempat berjoli wang samun berjumlah RM6,600 apabila diberkas polis tujuh jam kemudian di Marang hari ini.

Lelaki berusia 24 tahun yang melakukan jenayah itu dengan menggunakan sebilah parang dicekup pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek menyamun pekerja hotel pada pukul 4.20 pagi hari yang sama.

“Suspek dikatakan menyamun hotel sama kali yang kedua. Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada bulan lalu. Polis menjumpai wang tunai sebanyak RM5,180 dipercayai hasil samun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azli memberitahu, baki wang yang disamun disyaki didepositkan lelaki itu ke dalam akaun bank berdasarkan penemuan resit sewaktu serbuan dilakukan.

Polis turut merampas sebilah parang, sebuah motosikal dan topi keledar dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Chukai dilanda ribut, hujan air batu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Bandar Chukai di sini dan sekitar dilanda ribut serta hujan air batu yang menyebabkan banyak pokok tumbang dan memusnahkan insfrastruktur awam hari ini.

Kejadian ribut selama 15 minit tersebut bermula pada pukul 4.35 petang itu turut menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat dihempap runtuhan bumbung wakaf rehat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ribut dan kejadian hujan air batu terbabit menjejaskan kawasan seluas kira-kira 30 kilometer radius dari pusat bandar Chukai di sini.

“Seorang lelaki cedera akibat dihempap serpihan bumbung wakaf rehat yang runtuh dipukul ribut.

“Sewaktu kejadian, mangsa diiarakan sedang berlindung daripada ribut tersebut di Pantai Mak Nik di sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Pembantu tadbir awam berkelulusan ijazah, bergaji SPM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu skim pembantu tadbir penjawat awam yang mengalami keciciran gred dalam skim perkhidmatan baharu, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa Disember depan ditingkatkan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, hampir 300,000 pembantu tadbir awam seluruh negara bakal kekal dalam gred 1 dalam SSPA dan terus menikmati gaji setaraf kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan rata-rata mereka berpendidikan lebih tinggi sehingga Ijazah Sarjana.

“Pembantu tadbir yang bergred 19 dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) telah lama tertinggal sedangkan skim-skim (penjawatan) lain yang setara atau lebih rendah semakin meningkat.

“Cuepacs menuntut kerajaan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan skim penjawat awam kepada gred 5 atau setara 29 dalam SSM sebelum ini,” katanya pada sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan peringkat Terengganu di sini hari ini.

Adnan berkata, golongan pembantu tadbir merupakan tunjang dan barisan hadapan terhadap pentabdiran dan perkhidmatan di seluruh jabatan dan agensi kerajaan seluruh negara.

Jelas beliau, skop tugas pembantu tabdir juga kini telah jauh berubah dan jauh lebih meluas berbanding tangga gaji diterima.

“Sebahagian pembantu tabdir terutama di sekolah-sekolah hanya mempunyai satu penjawatan yang menyebabkan mereka terbeban melakukan semua tugas pengurusan dan pentadbiran.

“Gred pembantu tadbir tidak berubah sedangkan penjawat sedia ada berkelulusan diploma, ijazah degree (sarjana muda) dan master (sarjana) tetapi gaji dibayar (setaraf) SPM,” katanya.

Adnan berkata, Cuepacs telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berbincang dengan JPA berhubung kenaikan gred skim pembantu tadbir tersebut. – KOSMO! ONLINE

Pantai Timur terlalu jauh untuk terima tempias taufan Trami

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taufan Trami yang sedang melanda Filipina tidak mungkin boleh mencetuskan ribut di Dungun, Kemaman di Terengganu dan Kuantan, Lepar serta Pekan di Pahang seperti ditularkan dalam media sosial.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, negara diramal tidak akan menerima tempias secara langsung taufan Trami ekoran kedudukannya yang agak jauh.

“Berdasarkan laporan Agensi Meteorologi Jepun, taufan Trami agak jauh dengan kawasan kita. Taufan itu dijangka mendarat di Vietnam selepas melanda Filipina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan di media sosial kononnya kawasan dari Paka, Dungun hingga Pekan berisiko dilanda ribut bermula pukul 2 petang esok.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terutama penduduk setempat sehingga mendapat teguran Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Che Adam A. Rahman.

Begitupun, Jing Xiang tidak menolak kemungkinan taufan tersebut boleh meningkatkan potensi hujan terutama di Pantai Timur.

Jelasnya, ia disebabkan fenomena taufan yang bertekanan rendah berpotensi menyedut kelembapan atmosfera.

“Hujan berpotensi berlaku sekiranya kelembapan-kelembapan ini melalui kawasan atmosfera (negara) kita.

“Apapun sebenarnya kejadian hujan pada waktu petang dan malam di Pantai Timur adalah normal memandangkan kita sedang berada pada tempoh peralihan monsun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dadah ‘suntik’ tenaga, hilang tekanan di laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Tujuh nelayan termasuk lima warga asing yang sedang khayal dadah diberkas dalam operasi bersepadu di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut di sini hari ini.

Operasi bersepadu selama empat jam bermula pukul 12.30 tengah malam itu melibatkan 37 anggota Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah Marim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, tumpuan diberikan kepada bot-bot nelayan yang berlabuh di jeti berkenaan.

“Seramai 23 nelayan diperiksa dengan tujuh daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil soal siasat awal rata-rata suspek mendakwa mengambil dadah sebagai penambah tenaga dan menghilangkan tekanan bekerja di tengah laut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, kesemua nelayan berusia 35 hingga 48 tahun itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Tambah beliau, dua suspek tempatan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut, manakala warga asing pula disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kita tidak tolak kemungkinan kewujudan sindiket menyasarkan golongan ini untuk membekalkan dadah. Oleh itu, usaha untuk mengekangnya akan lebih kerap dilaksanakan kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

APM fokus 5,648 lokasi berisiko banjir musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bersiap siaga menghadapi banjir musim tengkujuh dengan penugasan kira-kira 15,000 anggota di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, tumpuan penugasan akan diberikan terhadap 5,648 lokasi berisiko banjir di seluruh negara.

“Op Ramah tersebut turut melibatkan rondaan bermotosikal memantau lokasi rekreasi air berisiko.

“Kita kini sudah bersiap sedia menghadapi banjir dan sentiasa berpandukan maklumat terkini disalurkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis Apresiasi Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat/Bersekutu dan Penganugerahan Pingat, Reben Perkhidmatan dan Sijil APM peringkat Terengganu.

Dalam pada itu, Aminurrahim berkata, buat masa ini, APM mempunyai 700 kakitangan tetap manakala selebihnya petugas sukarela.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan 302 perjawatan baharu untuk APM.

“Sebahagian perjawatan itu telah diisi manakala masih terdapat 192 kekosongan pelbagai jawatan dalam APM di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, October 25, 2024

Komet melintas Bumi 9 Oktober

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Peminat astronomi tempatan berpeluang menyaksikan Komet C/2023 A3 atau lebih dikenali sebagai Tsuchinshan-Atlas yang boleh dilihat dengan mata kasar di ruang angkasa negara sehingga 9 Oktober ini. 

Kelmarin komet sama sempat dirakam di Merang di sini dan akan muncul lagi waktu terdekat. 

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, ko­met tersebut kini berada pada kedudukan terdekat dari matahari iaitu sejauh 113,438,582 kilometer (km) dan cahayanya mengambil…

Thursday, October 24, 2024

Bot tempatan, nelayan Myanmar ditahan APMM

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki menggaji enam nelayan asing warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kemaman dekat sini semalam.

Penahanan itu dilakukan pada kedudukan 44.45 kilometer dari timur laut muara Kuala Kemaman dekat sini pada pukul 2 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, bot nelayan tersebut ditahan oleh bot peronda APMM yang sedang mengadakan rondaan dalam Op Iman.

“Pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.

“Dua daripada enam nelayan terbabit juga didapati tidak memiliki permit kerja sementara,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Dua kali ditahan seludup diesel dalam tiga bulan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Bagaikan tidak serik, sekumpulan lelaki disyaki penyeludup yang pernah ditahan kerana menyeludup minyak diesel pada tiga bulan lalu sekali lagi diberkas penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Sungai Kuang di sini hari ini.

Tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an ditahan sewaktu sedang memindahkan minyak diesel itu ke dalam lori pada pukul 5 pagi.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah risikan dilakukan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, operasi tersebut berjaya merampas 28,000 liter minyak diesel, dua kapal tunda dan dua lori tangki bernilai keseluruhan RM1.7 juta.

“Sewaktu serbuan dilakukan, semua suspek sedang memindahkan kira-kira 10,000 liter minyak diesel ke dalam dua lori tangki berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati salah sebuah kapal tunda digunakan pernah ditahan dalam kegiatan menyeludup diesel di lokasi sama pada awal Julai lalu,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan memgambil bekalan diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda sebelum dipindahkan ke dalam lori di kawasan jeti tersebut.

Tambah beliau, bekalan diesel seludup itu kemudiannya dijual semula di pasaran gelap.

“Dua daripada tujuh suspek yang ditahan hari ini pernah ditangkap kerana disyaki melakukan aktiviti seludup diesel di kawasan jeti sama. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bot haram angkut pelancong Pulau Perhentian ditahan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Sebuah bot yang membawa lapan pelancong asing tanpa lesen operasi ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Besut di sini semalam.

Bot yang dikendalikan penduduk tempatan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 20.37 kilometer dari timur laut muara Kuala Besut pada pukul 11 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, sewaktu kejadian, bot itu dalam perjalanan menghantar pelancong asing ke Pulau Rawa dari Pulau Perhentian, Kuala Besut.

“Pemeriksaan mendapati bot pelancong itu beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

“Perbuatan membawa penumpang tanpa lesen operasi dan insurans merupakan satu kesalahan yang serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, pengendalian bot pelancong tanpa lesen dan insurans sah juga membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Tambah beliau, operator bot terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kita tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan. Saya menyeru pengusaha bot pelancong agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur siap tahun 2027

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal mempunyai pusat rehabilitasi ketiga khusus untuk wilayah timur yang bakal dibina di Lembah Bidong di sini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur itu yang mampu merawat sehingga 500 pesakit pada satu-satu masa tersebut akan dibina di tanah kurniaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Pusat rehabilitasi ini merupakan ketiga dimiliki Perkeso selepas Melaka dan Perak.

“Ia selaras dengan keperluan semasa yang menunjukkan sekurang-kurangnya 15 kes pemulihan pekerja dikendalikan pusat rehabilitasi Perkeso ketika ini diterima dari zon Pantai Timur,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pusat rehabilitasi tersebut di Lembah Bidong di sini hari ini.

Steven Sim berkata, pembinaan pusat rehabilitasi yang akan menelan belanja RM571.8 juta tersebut bakal dilengkapi dengan kemudahan 315 katil.

Tambah beliau, pusat rehabilitasi berkenaan bakal menawarkan rawatan terapi inovatif Thalassotherapy menggunakan elemen air laut yang pertama di negara ini.

“Rawatan hippotheraly yang menggunakan kuda sebagai instrumen pemulilhan fizikal, mental dan kgnitif pesakit juga akan ditawarkan.

“Selain itu, pusat rehabilitasi tersebut menyediakan teknik perubatan neuro-robotik dan cybernics bagi pemulihan golongan pekerja yang menghidap penyakit kronik serta kecederaan dan kecacatan akibat kemalangan terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Gaji minimum RM1,700 dipersetujui majikan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kerajaan yakin penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan berkuatkuasa seawal bulan Februari tahun depan tidak akan menjejaskan kebanyakan majikan termasuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 berbanding RM1,500 sebelum ini telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk kesediaan kewangan majikan.

“Kadar gaji minimum baharu ini diumumkan selepas kajian teknikal dilakukan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan.

“Saya dimaklumkan gaji minimum RM1,700 (sebulan) ini dipersetujui sebulat suara oleh semua wakil pekerja, majikan dan kerajaan yang menganggotai Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan tersebut,” katanya di Lembah Bidong di sini hari ini.

Steve Sim berkata, kenaikan gaji minimum tersebut dirasakan bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa dan dilaksanakan selepas tiga tahun kadar lama iaitu RM1,700 dilaksanakan.

Tambah beliau, majikan tempatan juga akan diberi masa mencukupi sehingga bulan Februari depan untuk melakukan persediaan bagi kenaikan kadar gaji minimum tersebut.

“Bagi PKS yang mempunyai pekerja kurang lima orang pula, kita beri masa lebih lama sehingga bulan Ogos tahun depan untuk membuat penyelarasan.

“Kita faham sebahagian PKS mempunyai kekangan tetapi kerajaan akan membantu menerusi pengumuman pelbagai insentif berjumlah keseluruhan RM40 bilion pada Belanjawan 2025, Jumaat lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dadah bernilai RM3.67 juta dirampas di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya menumpaskan 1,044 kes pengedaran dadah melibatkan pengedar dan pusher jalanan atau agen pengedaran di seluruh negeri ini dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan lebih RM3.67 juta.

“Antara dadah berjaya dirampas ialah pil yaba (4,1959.44 gram), syabu (4,400.03 gram), heroin (4,144.46 gram) dan ganja (5,057.41 gram).

“Selain itu, pil Eramin 5 (815.1 gram), air ketum (2,974.1 liter), daun ketum (732.28 kilogram), ubat batuk (3,851.41 liter) dan pil psikotropik (539.2 gram) turut berjaya dirampas,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyerahkan barang kes narkotik yang dirampas IPK Terengganu bernilai keseluruhan RM2.3 juta bagi tujuan pelupusan.

Kesemua dadah yang dirampas dalam operasi sejak tahun 1991 itu telah menerima perintah dilupuskan oleh mahkamah.

Mohd. Khairi berkata, sebanyak 94.4 peratus daripada 1,044 kes pengedaran bekalan dadah itu telah dihadapkan ke mahkamah.

Jelas beliau, kesemua kes tersebut dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) serta Seksyen 39A(1) akta sama.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairi berkata, sebanyak 2,330 kes permintaan dadah juga berjaya dikesan di negeri ini dalam tempoh sama. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, October 23, 2024

Nahas UiTM Dungun: Penjelasan PDRM berhubung pemandu SUV dituduh membunuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Elemen jenayah yang ditemui dalam siasatan awal kes kemalangan empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun minggu lalu membawa kepada pertuduhan membunuh ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, Jabatan Peguam Negara memutuskan demikian selepas mengambil kira situasi berlaku di lokasi kejadian termasuk perbuatan mengheret kesemua mangsa sejauh kira-kira 150 meter.

Beliau berkata, perbuatan itu mempunyai unsur bunuh dan kemungkinan suspek melakukannya secara sedar.

“Kebiasaannya kita akan menuduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tetapi dalam kes ini tidak begitu atas arahan Pejabat Peguam Negara.

“Sehubungan itu, saya berharap orang ramai tidak mengeluarkan komen-komen negatif terhadap pertuduhan (ke atas tertuduh),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen  (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, tertuduh, Norizan Ahmad, 49, dihadapkan atas tiga pertuduhan membunuh Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, di Mahkamah Majistret Dungun hari ini.

Ibu tiga anak itu menghadapi tuduhan cuba membunuh seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairi berkata, siasatan awal mendapati Norizan tidak memiliki lesen memandu.

Tambah beliau, wanita itu juga tidak pernah disahkan mengalami masalah mental seperti yang didakwa sebelum ini.

“Semua dakwaan sebelum ini hanya kata-kata orang yang tidak dapat dibuktikan lagi. Sebab itu, setakat ini dia (Norizan) dilayan seperti suspek biasa.

“Apapun mahkamah hari ini (semalam) memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru,” katanya.

Mohd. Khairi memberitahu, setakat ini seramai 11 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut dan siasatan mengenainya masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: Suri rumah didakwa bunuh tiga pelajar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada minggu lalu.

Tertuduh, Norizan Ismail, 49, kelihatan keliru sepanjang berada di kandang tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Ibu tiga anak itu hanya memberitahu faham telah dituduh membunuh orang apabila ditanya jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Norizan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru dalam tempoh sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Terengganu, Azizan Abdullah manakala tertuduh pula diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin.

Norizan seterusnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan cubaan membunuh seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan tiga pelajar UiTM maut manakala seorang cedera parah apabila dua motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan utiliti sukan (SUK) Honda CR-V dipandu Norizan. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: Ammar dibenarkan keluar wad

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu lalu, dibenarkan keluar hospital, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, penghantaran pulang pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan tersebut akan diuruskan pengurusan UiTM.

“Muhammad Ammar Danish dibenarkan pulang (dari wad Hospital Dungun) hari ini. Saya difahamkan pengurusan UiTM akan membantu dia pulang ke rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur menaiki ambulans,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Muhammad Ammar Danish di Hospital Dungun, di sini semalam.

Maliaman berkata, keadaan emosi Muhammad Ammar Danish yang cedera pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan juga semakin stabil.

Tambah beliau, proses pemulihan pemuda itu akan terus dipantau termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling oleh UiTM dan Kementerian Kesihatan.

“Saya lihat trauma dialami (Muhammad Ammar Danish) sudah beransur pulih, namun keadaan emosinya akan terus dipantau,” katanya.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan Muhammad Ammar Danish terselamat setelah dua motosikal dinaikinya dan tiga rakan sekuliah lain dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang dipandu wanita disyaki mengalami kecelaruan mental berhampiran UiTM Dungun, Rabu lalu.

Kemalangan pada pukul 7.20 malam itu mengorbankan Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25. – KOSMO! ONLINE

‘Dua jam terindah bersamamu sahabatku’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui sering terbayang gurau senda tiga sahabatnya ketika mereka menghabiskan masa selama dua jam sebelum terbabit kemalangan Rabu lalu.

Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, berkata, dia bersama Khairul Anwar Jamaludin, 20, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, ke pusat bandar pada hari berkenaan untuk membeli barangan keperluan. 

“Kami menghabiskan masa hampir dua jam bermula pukul 5 petang di (pusat) bandar. Sewaktu membeli barangan keperluan, kami bergurau-senda sebelum pulang ke kampus menjelang waktu maghrib. 

 “Sewaktu motosikal kami mahu membelok masuk ke pintu pagar kampus (UiTM Dungun) kami tiba-tiba dirempuh. Saya tidak sedar apa-apa selepas itu, orang kata saya terpelanting ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Dungun di sini semalam. 

Terdahulu beliau disantuni Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim. 

Pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, dia dibenarkan pulang semalam dan akan menjalani pemulihan di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur. 

Muhammad Ammar Danish berkata, tiada sebarang perubahan dilihat sewaktu bersiar-siar di pusat bandar dan kehilangan tiga sahabat baiknya dalam sekelip ujian amat berat buat dirinya.

 “Pada hari pertama dan kedua, saya memang sedih, namun atas nasihat keluarga dan pensyarah, saya menerima takdir. 

 “Saya berjanji belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian demi tiga sahabat yang telah ‘pergi’,” katanya. 

 Dalam pada itu, Maliaman berkata, proses pemulihan Muhammad Ammar Danish akan terus dipantau termasuk penyediaan perkhidmatan kaunseling oleh UiTM,” katanya. 

Dalam pada itu, bapa Muhammad Ammar Danish, Mohamad Ridhuan Mohd. Shariff , 52, menerima permohonan maaf dibuat suami wanita yang melanggar anaknya. 

 “Pandangan saya pelaku tidak mungkin akan sesuka hati melanggar orang jika dia normal.

 “Apapun yang penting ialah pemulihan fizikal dan emosi anak saya agar dapat meneruskan pengajian selepas ini,” katanya. 

 Dalam kejadian pukul 7.20 malam itu, tiga pelajar UiTM Dungun maut selepas dua buah motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah SUV yang dipandu seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental. 

 Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, cedera dan masih dirawat di Hospital Dungun.

Nahas UiTM Dungun: Pemandu SUV direman dua hari lagi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perintah reman seorang suri rumah yang dipercayai merempuh mati tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu disambung lagi selama dua hari sehingga Selasa ini.

Permohonan reman tersebut dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Suspek yang dikatakan mengalami kecelaruan mental itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita berusia 49 tahun yang berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.45 pagi.

Beberapa ahli keluarganya termasuk anak dan cucunya kelihat menunggu di luar mahkamah sambil melambaikan tangan sewaktu kenderaan membawa suspek kembali ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, di sini.

Kosmo! kelmarin melaporkan, ibu tiga anak tersebut ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes melanggar empat pelajar UiTM Dungun sehingga menyebabkan tiga kematian di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Dalam kemalangan pada pukul 7.20 malam Rabu lalu itu, suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V dikatakan merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar terbabit di hadapan pintu masuk kampus UiTM Dungun, di sini.

Tiga mangsa iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, maut manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera parah. – KOSMO! ONLINE

‘Saya lega anak selamat, tapi dia hilang 3 rakan serentak’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang kini dirawat di wad Hospital Dungun di sini masih trauma dan sering mengigau teringatkan tiga rakannya yang terkorban dalam nahas rempuhan kenderaan uti­liti sukan (SUV) Honda CR-V pada Rabu lalu. 

Bapanya, Mohamed Ridzuan Mohd. Sharif, 52, berkata, tidur anak keduanya daripada empat beradik tersebut sering terganggu dengan mimpi buruk tragedi berkenaan.

 “Semalam (kelmarin) setiap kali dia (Muhammad Ammar Danish) bangun tidur, dia akan dalam keadaan terkejutnya bertanya sahabat-sahabatnya (Khairil Anwar Jamaludin, 20;…

Tuesday, October 22, 2024

Nahas UiTM Dungun: Ammar Danish trauma dimaklumkan 3 sahabat maut

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V berhampiran kampus
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini malam tadi dilaporkan semakin stabil.

Pelajar tahun dua Sarjana Muda Perakaunan itu kini sedang menerima rawatan di wad Hospital Dungun di sini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, Muhammad Ammar Danish tidak jadi dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebaliknya hanya menerima beberapa jahitan pada bahagian pinggang.

“Keadaannya (Muhammad Ammar Danish) semakin stabil dan sedang dirawat di wad Hospital Dungun.

“Begitupun dia masih trauma dengan nahas yang menimpa semalam,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Sazili  memberitahu, pemuda berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu juga terkejut dan sangat bersedih apabila dimaklumkan tiga rakannya terkorban dalam nahas terbabit.

Kosmo! Online semalam tiga rakan Muhammad Danish iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, maut selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan Honda CR-V.

Sewaktu kemalangan pada pukul 7.20 malam itu, mereka dalam perjalanan pulang ke kampus setelah menikmati makan malam di sebuah gerai berhampiran.

Pemandu SUV berkenaan merupakan wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mengalami kecelaruan mental telah ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: ‘Khai ajak keluar makan, saya tolak sebab penat’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun tidak menyangka mangsa kemalangan yang dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV malam tadi adalah sahabat baiknya.

Lebih membuatkan Muhammad Hazarul Ashwaq Azhar, 20, pilu apabila salah seorang daripada mereka iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20, merupakan rakan sebiliknya.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati selepas empat sahabatnya itu gagal dihubungi sebelum bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

“Sebelum kejadian, Khai (Khairil Anwar) ajak saya keluar makan malam bersama-sama mereka, tetapi saya menolak kerana mahu berehat disebabkan kepenatan menjalani latihan kokurikulum.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, saya tergamam selepas melihat salah satu mayat yang bergelimpangan adalah Wak (Muhammad Akmal Md. Tukirin) yang saya anggap seperti abang kandung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Muhammad Hazarul Ashwaq berkata, hatinya luluh apabila mendapati mayat Khai pula berada di dalam parit.

“Saya kemudiannya diminta untuk mengecam satu lagi mayat yang dikenal pasti sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi yang juga sahabat saya.

“Mangsa yang cedera iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan juga adalah kawan saya,” kata pemuda itu. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: Suri rumah direman empat hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah dipercayai mengalami kecelaruan mental yang merempuh dua motosikal sehingga meragut nyawa tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun direman empat hari sehingga Ahad ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo! Online semalam melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan Honda SUV dipandu suspek.

Mangsa yang maut ialah Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi masing-masing berusia 20 tahun manakala Muhammad. Akmal Md. Tukirin pula berumur 25 tahun.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Amar Danish Muhammad Ridzuan, 20, pula cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: Lebih 1,000 sertai solat jenazah tiga pelajar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lebih 1,000 orang menunaikan solat jenazah tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV malam tadi.

Solat jenazah yang selesai sepenuhnya pada pukul 10.34 pagi itu dipimpin Imam Pusat Hidayah UiTM Dungun, Muhammad Adam Ali.

Terdahulu jenazah Khairil Anwar Jamaludin, 20; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Muhammad Akmal  Md. Tukirin, 25, dibawa dari Unit Forensik Hospital Dungun di sini sejurus bedah siasatan selesai.

Usai itu, jenazah ketiga-tiga pelajar UiTM itu kemudiannya dibawa pulang ke tempat asal masing-masing di Ampang dan Saujana Utama, Selangor serta Muar, Johor.

Kosmo! semalam melaporkan mereka maut apabila dua motosikal dinaiki tiba-tiba dirempuh kenderaan Honda CRV dari arah belakang di hadapan kampus UiTM Dungun.

Sewaktu kejadian, Khairil Anwar, Ku Adib Aizad dan Muhammad Akmal bersama seorang lagi rakan mereka yang cedera, Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, dalam perjalanan pulang ke kampus setelah makan malam. – KOSMO! ONLINE

Nahas UiTM Dungun: ‘Saya kini tiada lagi anak lelaki’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Duka lama seorang pegawai bank kehilangan anak sulung pada tujuh tahun lalu kembali berdarah apabila anak bongsunya juga maut akibat kemalangan jalan raya di hadapan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini malam tadi.

Tambah memilukan Jamaludin Husin, 53, dia kini kehilangan kedua-dua anak lelakinya termasuk Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang merupakan salah seorang mangsa rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV pada pukul 7.20 malam.

Dia yang menetap di Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, tujuh tahun lalu, anak lelaki sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada usia 22 tahun.

“Sewaktu saya menerima panggilan berhubung kemalangan menimpa Khai (Khairil Anwar) pada kira-kira pukul 9 malam tadi (kelmarin) , darah saya berderau. Dua-dua anak lelaki saya ‘pergi’ akibat nahas jalan raya.

“Kebetulan kedua-dua berita kemalangan saya terima pada waktu dan bulan hampir sama. Abang (Muhammad Khairul Izzudin) pada 3 Oktober, adik (Khairul Anuar) pula 9 Oktober,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Cerita Jamaluddin, sewaktu terlibat dalam kemalangan, anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin sepatutnya dijadualkan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di sebuah institusi pengajian tiggi (IPT) di Lembah Klang.

Tambahnya, Khairul Anwar seakan-akan mahu memenuhi hasrat arwah abangnya yang tidak kesampaian apabila turut melanjutkan pelajaran dalam jurusan sama.

“Malangnya dia yang kini dalam semester tiga pengajian turut meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Kosmo! Online semalam melaporkan Khairul Anwar bersama dua lagi rakan sekampusnya, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Muhammad. Akmal  Md. Tukirin, 25, maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun.

Seorang lagi rakan mangsa, Muhammad Ammar Danish Muhammad. Ridzuan, 20, pula cedera parah pada bahagian pinggang dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tiga pelajar UiTM Dungun pulang makan malam maut dirempuh kenderaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan di Teluk Gadong di sini malam ini.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kampus universiti awam tersebut pada pukul 8 malam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi masing-masing berusia 20 tahun manakala Muhammad. Akmal MdTukirin pula berumur 25 tahun.

Seorang lagi mangsa yang cedera parah pula dikenali sebagai Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20.

Difahamkan sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini manakala Muhammad Ammar Danish pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama.

Setakat ini, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan namun difahamkan pemandu kenderaan terlibat yang merupakan wanita berusia 40-an sudah ditahan. – KOSMO! ONLINE

Monday, October 21, 2024

Musim tengkujuh tidak jejas pembinaan ECRL

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang rancak dibina tidak akan terjejas dengan risiko banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan semua infrastruktur ECRL termasuk landasan sepanjang 665 kilometer telah mengambil kira musibah banjir yang sering melanda Pantai Timur.

“Saya yakin semua perancangan telah dibuat dengan rapi dan tahu cuaca di Pantai Timur ini. Kerja (pembinaan boleh dibuat mengikut jadual.

“Semua landasan ECRL dibina lebih tinggi dari kawasan dilanda banjir,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Rail Sdn. Bhd. (MRL) dan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di sini hari ini.

Perjanjian MoU berhubung pembinaan jajaran sambungan ECRL ke dermaga Pelabuhan Kemaman itu ditandatangani antara Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan CEO EPIC, Muktar Suhaili.

Dalam perkembangan sama, Anthony Loke memberitahu projek ECRL yang disasar siap sepenuhnya pada tahun 2027 sudah mencapai kemajuan keseluruhan 72.93 peratus.

Beliau berkata, kemajuan kerja pembinaan ECRL di Terengganu telah mencapai 87.4 peratus iaitu tertinggi antara empat negeri yang terlibat dalam projek berimpak tinggi terbabit.

“Berdasarkan kemajuan tersebut, kita yakin jajaran Kota Bahru, Kelantan ke Gombak, Selangor akan dapat mula beroperasi mengikut jadual pada 1 Januari 2027,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, selain dermaga Pelabuhan Kemaman, jajaran sambungan juga akan dibina di Pelabuhan Kuantan, Pahang dan Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.

Beliau berkata, pembinaan jajaran sambungan ke dermaga pelabuhan-pelabuhan utama itu akan menjadi pemangkin penggunaan rel yang lebih efisien, kos elektif dan mesra alam bagi pengangkutan kargo di negara ini. – KOSMO! ONLINE