Translate

Sunday, December 20, 2020

Sembilan lelaki berjudi laga ayam diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Sembilan lelaki yang sedang ghairah menyabung ayam tergamam apabila dikepung dan diserbu sepasukan polis di Kampung Pak Madah di sini semalam.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 53 tahun diberkas dalam serbuan tersebut yang dilakukan pada pukul 7.30 pagi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat aduan daripada orang awam tentang aktiviti penjudian laga ayam di premis berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati sebahagian lelaki berkenaan sanggup datang dari daerah lain seperti Setiu, Dungun dan Kuala Terengganu dipercayai semata-mata untuk berjudi laga ayam.

“Kesemua sembilan suspek yang disiasat mengaku terlibat dalam aktiviti perjudian laga ayam terbabit,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, siasatan awal juga percaya aktiviti perjudian tersebut didalangi oleh seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga menetap di premis berkenaan.

Tambah beliau, serbuan juga berjaya merampas bahan bukti seperti lapan ekor ayam jantan, tujuh sangkar ayam, lapan unit sarung taji, segulung getah dan wang tunai berjumlah RM100. – K! ONLINE

Penyelidik UniSZA rakam imej meteor Gemini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kumpulan Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) berjaya merakam imej fenomena jaluran hujan meteor Gemini di Balai Cerap Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Merang di sini.

Penyelidik UniSZA, Prof. Roslan Omar berkata, aktiviti mencerap fenomena itu dilakukan dari pukul 9.30 malam semalam hingga 3.30 pagi, hari ini.

Beliau berkata, dua imej jaluran hujan meteor Gemini itu dapat dirakam dengan jelas oleh pelajar Sarjana, Najmudin Zulkeflee pada pukul 10.30 malam semalam dan 1.57 pagi tadi.

“Kita bernasib baik kerana inilah imej jaluran hujan meteor Gemini paling cantik dan jelas pernah dirakam di Balai Cerap UniSZA.

“Biasanya, ia sukar kelihatan di kawasan Pantai Timur atas faktor cuaca dan awal tebal pada musim tengkujuh ini ,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Roslan berkata, pencemaran cahaya, kegeloraan atmosfera dan kelembapan udara boleh menjejaskan hasil astrofotografi yang dicerap.

Jelas beliau, selain faktor cuaca baik, lokasi Balai Cerap UniSZA yang jauh daripada pencemaran cahaya dan berada di kawasan tinggi memainkan peranan terhadap kejayaan merakam imej
jaluran hujan meteor Gemini tersebut.

Roslan memberitahu, fenomena tersebut berlaku apabila kedudukan buruj Gemini berada di kedudukan lebih tinggi.

Jelasnya, meteor yang kelihatan pada setiap Disember itu merupakan satu-satunya fenomena astronomi boleh dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan sebarang alat bergantung kepada cahaya bulan. – K! ONLINE

Pengamal perubatan alternatif dituduh aniaya dua wanita

MARANG – Seorang pengamal perubatan alternatif yang menggelarkan dirinya sebagai Ustaz dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencabul dua wanita yang merupakan pesakitnya.

Tertuduh, Rulam Akbal Abd. Manan, 52, yang merupakan bapa kepada lapan anak membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dituduh mencabul seorang wanita berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 8.30 malam, 22 November lalu.

Rulam Akbal dituduh sekali lagi mencabul mangsa sama di sebuah rumah di Tepoh, Kuala Nerus pada pukul 2.30 petang, 24 November lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh dituduh mencabul seorang wanita lain berusia 25 tahun di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 2 petang, 9 September 2018.

Rulam Akbal dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Kosmo! 10 Disember lalu melaporkan siasatan awal mendapati modus operandi tertuduh ialah mendakwa mangsa terkena buatan orang sebelum melakukan cabul dengan menyentuh kedua-dua alat sulit mereka semasa rawatan dilakukan. – K! ONLINE

Pegawai imigresen dituduh rasuah

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan pengesahan cap pasport pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairil Kamaruddin, 29, yang kini merupakan peniaga setelah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam pada awal tahun ini mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Berdasarkan kesemua 17 pertuduhan, dia dituduh menerima wang rasuah berjumlah keseluruhan RM63,430 menerusi akaun banknya daripada dua lelaki.

Mohd. Khairil dituduh melakukan perbuatan itu di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru antara Mac 2018 danJanuari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Kosmo! semalam melaporkan tujuh pegawai Imigresen Johor dihadapkan ke lima mahkamah sesyen berasingan di seluruh negara atas pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan pengesahan cap pasport.

Pada 16 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket menyalahgunakan cap keluar dan masuk di pintu utama negara menerusi Ops. Selat. – K! ONLINE



Kemaman kembali dilanda banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Hujan lebat berpanjangan menyebabkan sekurang-kurangnya dua perkampungan ini di daerah ini kembali ditenggelami banjir hari ini.

Kampung Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu di sini telah ditenggelami air bah sedalam lebih kurang semeter pada kira-kira pukul 5 petang.

Sebelum ini, sebahagian kawasan tersebut telah dilanda banjir yang membawa selut dan lumpur setinggi semeter pada akhir bulan lalu.

Banjir gelombang kedua yang yang hanya pulih sepenuhnya pada 2 Disember lalu menjejaskan lebih 1,200 penduduk di daerah berkenaan. – K! ONLINE

275 mangsa banjir di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang keempat semalam telah menjejaskan empat daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Setiu,
Dungun dan Besut.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata,
setakat ini 275 daripada 81 keluarga telah ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri tersebut.

“Kemaman paling teruk terjejas dengan 203 mangsa daripada 56 keluarga telah berpindah ke empat PPS.

“Kawasan yang terlibat banjir di Kemaman ialah Ladang Sungai Mas, Kampung Padang Kubu, Kampung Teladas dan Kampung Paya Berenjut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, seramai 31 mangsa daripada 15 keluarga pula telah ditempatkan di dua PPS di Setiu.

Tambah beliau, sebuah PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda beroperasi di Dungun dan menempatkan 23 mangsa daripada empat keluarga.

“Besut juga telah membuka sebuah PPS di Dewan Futsal Kampung Keruak yang menempatkan 18 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.

Che Adam berkata, beberapa kawasan di pendalaman Terengganu masih dilanda hujan lebat. – K! ONLINE

Saturday, December 19, 2020

Bekas CEO TTITC maut kemalangan

SETIU – Gara-gara gagal mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba membelok masuk di persimpangan, seorang penunggang motosikal berkuasa besar, Harley Davidson maut kemalangan di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Rhu Sepuluh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.35 pagi itu, Datuk Ajlan Mohamad, 61, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Latihan Perkayuan Terengganu (TTITC) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang baru bersara hujung tahun lalu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tok Jembal, Kuala Nerus setelah menemui rakannya tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah Proton Iswara.

“Kereta itu dikatakan hendak membelok masuk ke persimpangan Kampung Pandan Jaya, Penarek dekat sini,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Ajlan tercampak dari motosikal berkuasa besarnya sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

Menanti musim tengkujuh berakhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU telah mengalami tiga episod banjir setakat ini sejak ketibaan monsun Timur Laut atau dikenali sebagai monsun tengkujuh pada awal bulan lalu.

Banjir gelombang pertama hanya melibatkan 47 penduduk di perkampungan di Pelong, Setiu pada 18 November lalu dan telah surut sepenuhnya kurang 24 jam.

Selang lima hari ­kemudian, hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang besar telah mencetuskan bencana banjir paling buruk di negeri tersebut setakat ini.

Semua daerah di Terengganu kecuali Hulu Terengganu dilanda banjir melibatkan lebih 1,500 mangsa.

Pendalaman Kemaman paling teruk dengan rumah penduduk rata-ratanya telah ditenggelami lumpur setinggi hampir semeter.

Tidak sampai 11 jam selepas banjir gelombang dua surut sepenuhnya pada 2 Disember lalu, bumi negeri Pantai Timur sekali lagi dilanda banjir melibatkan hampir 2,800 penduduk.

Kali ini pusat bandar raya Kuala Terengganu hampir lumpuh dilanda banjir kilat yang dianggap terburuk sejak tahun 2016.

Bumi Terengganu kembali aman buat seketika setelah banjir gelombang ketiga diisytihar berakhir selepas pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang ditutup pada kelmarin.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meterologi Malaysia, negeri ini diramal bakal dilanda sehingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut yang dijangka hanya berakhir Mac depan.

“Walaupun, taburan hujan tahunan yang bakal turun di negeri ini sehingga akhir Disember diunjur hanya tinggal 28 peratus, pihak kami sentiasa siap siaga.

“Episod hujan lebat terdekat dijangka kembali melanda Terengganu pada minggu depan,” katanya.

Che Adam berkata, tiga situasi yang berlaku sepanjang bencana banjir di negeri ini setakat ini memerlukan analisis mendalam.

Jelas beliau, ia adalah banjir lumpur di pendalaman Kema­man pada gelombang kedua, banjir kilat yang melumpuhkan pusat bandar raya Kuala Terengganu dan fenomena ‘banjir termenung’ yang masih berlaku di Kampung Padang Garam, ­Marang.

“Banjir lumpur bulan lalu agak luar biasa dan tidak dijangka. Ia melibatkan lebih 200 rumah te­rutama di Kampung Teladas dan Kampung Air Putih.

“Tiga kemungkinan menyebabkan bencana luar jangka itu iaitu berlakunya hakisan tanah di kawasan bukit berhampiran, aktiviti pembalakan atau kilang kuari lama,” ujarnya.

Che Adam berkata, banjir kilat berlaku di pusat bandar raya Kuala Terengganu, manakala Kampung Padang Garam masih lagi dibelenggu dengan feno­mena ‘banjir termenung’ walaupun sistem saliran telah dinaik taraf.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kesemua keluarga yang terjejas dengan kejadian banjir lumpur akan menerima bantuan RM1,000, manakala yang lain pula RM500 bagi setiap isi rumah.

“Pembayaran bantuan kepada mangsa banjir akan dilunaskan secara berperingkat sehingga bulan depan.

“Setiap isi rumah layak me­nerima sekali sahaja bantuan walaupun mereka berpindah masuk ke PPS berulang kali pada musim tengkujuh ini,” katanya.

APMM usir bot nelayan Vietnam menceroboh

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah lagi bot nelayan Vietnam yang dikesan penceroboh perairan negara telah diusir Maritim Malaysia (APMM) pada kelmarin.

Pesawat udara Bombardier CL415MP milikAPMM yang sedang melakukan rutin pengawasan udara mengesan bot nelayan asing itu pada kedudukan 94.6 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dekat sini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, penemuan bot nelayan Vietnam berkenaan kemudiannya telah dimaklumkan kepada Kapal Maritim (KM) Langkawi.

“KM Langkawi yang sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Kuala Terengganu segera memintas bot nelayan asing itu.

“Pemeriksaan yang menjumpai 15 kru warga Vietnam di dalamnya,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pukat milik nelayan berkenaan telah dirampas selain bekalan air dan makanan mereka dibuang ke tengah laut sebelum diusir keluar dari perairan negara.

Jelas beliau, tindakan membuang bekalan air dan makanan nelayan asing tersebut bertujuan bagi memastikan mereka tidak mempunyai pilihan kecuali ke negara asal.

Dalam pada itu, beliau memberitahu APMM telah mengusir 25 bot nelayan Vietnam dan 259 nelayan negara jiran tersebut sejak bulan September lalu.

“Keadaan laut bergelora ekoran musim tengkujuh buat alasan untuk APMM leka daripada mengawasi perairan negara daripada anasir asing,” katanya. – K! ONLINE

Banjir Terengganu pulih sepenuhnya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga di Terengganu sejak seminggu lalu pulih sepenuh selepas satu-satu pusat pemindahan sementara yang dibuka di Marang ditutup sepenuhnya semalam.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana negeri, Che Adam A. Rahman berkata, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang menamatkan operasinya pada pukul 2 petang.

“Semua sembilan penduduk daripada empat keluarga terakhir yang ditempatkan di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Sebelum ini, penempatan mereka di Kampung Padang Garam, Marang dilanda fenomena ‘banjir termenung’ buat kali kedua sepanjang musim tengkujuh ini sejak 2 Disember lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Che Adam berkata, banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu pada seminggu lalu telah menjejaskan lebih 2,000 penduduk dari semua daerah di negeri ini. – K! ONLINE

Reman kes cabul rawatan alternatif disambung

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tempoh reman seorang pengamal perubatan alternatif yang didakwa mencabul pesakitnya sejak dua tahun lalu dilanjutkan dua hari lagi sehingga lusa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, perintah tambahan tempoh reman itu dibenarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkmah Majistret Marang hari ini.

“Suspek yang berusia 52 tahun sedang disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Setakat ini, tiga wanita telah tampil membuat aduan dakwaan telah dicabul sewaktu melakukan rawatan perubatan alternatif daripada suspek,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! Online 6 Disember lalu melaporkan lelaki berkenaan telah ditahan di rumahnya di Kuala Berang, Hulu Terengganu setelah seorang jurujual wanita mendakwa dicabul suspek pukul 8.30 malam, 22 November lalu.

Seorang wanita dan adik perempuannya yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun pula tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan dicabul suspek setelah membaca berita penahanan suspek pada kelmarin.

Modus operandi suspek yang juga juga seorang peniaga ialah mendakwa mangsa-mangsa terkena penyakit buatan orang sebelum meminta izin menyentuh fizikal mangsa termasuk kedua-dua anggota sulit mereka kononnya untuk tujuan perubatan. – K! ONLINE

Dua lagi mangsa tampil dakwa dicabul

HULU TERENGGANU – Dua lagi wanita tampil membuat laporan kepada polis mendakwa mereka telah dicabul oleh seorang pengamal perubatan Islam yang sebelum ini telah ditahan atas dakwaan sama pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kedua-dua mangsa yang juga adik-beradik berusia 25 dan 22 tahun itu mendakwa dicabul suspek pada dua tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa pertama berusia 25 tahun membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut setelah terbaca berita berhubung dakwaan mencabul seorang jurujual wanita pada semalam.

“Berdasarkan keterangan wanita itu yang juga merupakan jurujual, modus operandi suspek sama iaitu mendakwa mangsa terkena buatan orang sebelum melakukan cabul dengan menyentuh kedua-dua alat sulitnya dan adiknya semasa rawatan dilakukan.

“Kedua-dua perbuatan terhadap dua beradik tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di Kuala Berang di sini pada pukul 2 petang, 9 September 2018,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, wanita berusia 25 tahun tersebut pernah bersama ibunya berjumpa dengan pengurusan pusat rawatan Islam tersebut yang terletak di Kuala Berang untuk memastikan suspek yang kini berusia 52 tahun benar-benar merupakan pengamal perubatan Islam.

Tambah beliau, kejadian cabul tersebut tidak diceritakan kepada sesiapa dan didiamkan sahaja sebaik suspek yang juga seorang peniaga disahkan sebagai salah seorang perawat di pusat perubatan terbabit.

“Mangsa hanya mempunyai kekuatan untuk membuat laporan kepada polis dan teringat peristiwa hitam itu selepas membaca berita penahanan suspek pada pukul 1 tengah hari, 7 Disember lalu,” katanya.

Kosmo! Online 6 Disember lalu melaporkan seorang pengamal perubatan Islam ditahan polis bagi membantu siasatan mencabul seorang jurujual wanita yang juga pesakitnya pukul 8.30 malam, 22 November lalu.

Dia disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – K! ONLINE

Penceroboh hutan simpan didenda RM8,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Gara-gara menceroboh hutan simpan kekal dan memiliki enam keping kayu Meranti Nemesu secara tidak tidak sah, seorang lelaki didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Mohd. Amir Hussin, 39, yang bekerja kampung membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mohd. Amir yang tidak diwakili peguam membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh Kompartmen 49, Hutan Simpan Gunung Tebu dekat sini.

Dia juga didakwa memiliki enam keping kayu sedia spesies Meranti Nemesu tidak dibayar cukai yang berada di dalam sebuah kereta Proton Saga.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd. Amir pada 11.45 pagi, 2 April lalu.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan lanjut oleh pengawai Jabatan Perhutanan Terengganu kemudiannya telah menjumpai tunggul pokok spesies sama iaitu Meranti Nemesu yang mempuyai kesan baru ditebang tidak jauh dari lokasi tertuduh ditahan.

Mohd. Amir telah gagal mengemukakan sebarang kelulusan dan kebenaran untuk memasuki hutan simpan dan miliki hasil hutan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 84(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afidatul Azwa Kamarulanuar. – K! ONLINE

Monday, December 14, 2020

Mahu kematian anak dapat pembelaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Belum pun sembuh luka kematian anak bongsu akibat kecuaian hospital tujuh tahun lalu, pasangan guru kembali meratap sedih apabila kehilangan anak sulung dalam kejadian dipercayai langgar lari baru-baru ini.

Fadilah Abd. Wahab, 50, berkata, anak lelakinya, Ahmad Faiq Shauqi, 19, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 1 Disember lalu selepas 32 hari bertarung nyawa.

Dakwanya, kejadian itu berlaku apabila motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangi anaknya bertembung dengan kereta Perodua Myvi di persimpangan berhampiran Perpustakaan Desa Kampung Amir di sini pada pukul 8.30 malam, 30 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, dakwanya, Ahmad Faiq Shauqi yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan telah dibiarkan di tepi jalan sebelum dikejarkan ke hospital oleh penduduk kampung yang menemuinya le­bih sejam kemudian.

Menurut Fadilah, kematian Ahmad Faiq Shauqi telah memberi kesan trauma teruk kepadanya, suami, Muhamad Sardi Saad, 44, dan anak perempuannya, Batrisyia Umairah, 15.

Sehubungan itu, dia berharap kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya dan pihak yang bertanggungjawab mendapat balasan.

“Anak saya koma selama 32 hari di Unit Rawatan Rapi HSNZ sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.15 malam, 1 Disember lalu,” katanya.

Katanya, Ahmad Faiq Shauqi yang merupakan pelajar Institut al-Quran Terengganu, Kuala Terengganu telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

“Anak bongsu saya, Ulya Insyirah sebelum ini telah meninggal dunia akibat kecuaian Hospital Besut pada 2013 dan kematiannya baru mendapat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada dua tahun lalu.

“Kini kami diuji lagi dengan kehilangan anak sulung pula. Setiap hari sejak kematiannya, saya tersedar pukul 4 pagi untuk mengejutkannya seolah-olah dia masih ada sebelum menangis teresak-esak setelah menyedari dia telah pergi selamanya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu memberitahu, kes kemalangan itu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk rekod, Kosmo! pada 15 Mei 2018 melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan 11 defendan iaitu dua pengarah hospital dan sembilan doktor membayar ganti rugi RM896,792.13 kepada Fadilah dan Muhamad Sardi akibat kecuaian menyebabkan kematian Ulya Insyirah yang ketika itu berusia empat tahun.

Kemarau ekstrem diramal landa Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Semenanjung Malaysia khususnya Terengganu diramal akan menghadapi kemarau panjang yang dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan air bersih kepada jutaan pengguna dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Dr. Nasir Mohd. Noh berkata, berdasarkan kajian agensinya bersama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) baru-baru ini, kemarau disebabkan fenomena El Nino berkenaan diunjur akan berlaku antara tahun 2025 dan 2030.

Beliau berkata, dapatan tersebut diperolehi mengikut data dibangunkan Nahrim dan Mampu bagi meramal suhu, hujan dan kepanasan seluruh negara sehingga tahun 2100.

“Fenomena El Nino dan perubahan meteorologi iklim pada masa itu akan menyebabkan kemarau berpanjangan di Semenanjung Malaysia antara tahun 2025 hingga 2030.

“Terengganu diunjur menerima kemarau lebih ekstrem berbanding tempat-tempat lain dengan dijangka berpanjangan sehingga enam bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui bertukar dokumen Memorandum Persefahaman antara Nahrim dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berhubung projek penyelidikan berkaitan air dengan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Mohd. Nasir berkata, berdasarkan kajian terbabit, Terengganu diramal paling terjejas berbanding tempat-tempat lain seperti selatan Johor kerana fenomena El Nino akan memanjangkan tempoh kemarau di negeri itu. – K! ONLINE

‘Nak dapat RM20 sehari pun susah’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perkhidmatan bot penambang Seberang Takir yang dahulunya cukup popular dalam kalangan penduduk dan pelancong kini semakin malap dan hanya menunggu masa untuk hilang ditelan arus kemo­denan.

Keunikan warisan berusia lebih 60 tahun itu pernah menjadi nadi pengangkutan utama penduduk Seberang Takir di sini untuk ke pusat bandar semakin sukar dipertahankan.

Bagaimanapun, kekurangan pelanggan berikutan kewujudan empat jambatan termasuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang menghubungkan Kuala Nerus dan pusat bandar raya menyebabkan ramai pengusaha bot penambang mengalah.

Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Muhamad @ Mamat Ibrahim berkata, kelangsungan industri bot penambang Seberang Takir perlu terus dipertahankan walaupun kini hanya terdapat 15 pengusaha.

“Daripada jumlah itu, hanya tujuh pengusaha yang aktif pada satu-satu masa. Pengguna pula semakin berkurangan terutama ketika penularan Covid-19 dan musim tengkujuh.

“Setiap hari kami hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20 berbanding ratusan ringgit sebelum ini. Masa juga banyak dihabiskan dengan berborak-borak di jeti sambil menunggu pelanggan yang tidak kunjung tiba,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurutnya, perjalanan sehala dari Seberang Takir ke jeti Pasar Payang dan sebaliknya hanyalah RM2.

Muhammad berkata, bagi menarik lebih ramai penum­pang, beliau dan pengusaha bot penambang lain telah memper­kenalkan pakej menelusuri muara Sungai Terengganu termasuk melintasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai inisiatif menambah pendapatan.

Jelas beliau, pakej itu mengenakan caj RM70 bagi setiap trip dengan maksimum 12 pelanggan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri sebelum ini membataskan kehadiran pelancong yang merupakan pelanggan utama pakej berkenaan.

“Menambahkan lagi kesukaran apabila kami perlu bersaing dengan pengendali-pengendali lain seperti Teksi Air Payang dan Taman Tamadun Islam yang turut menawarkan perkhidmatan sama, tetapi jauh lebih mo­den dan selesa,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Harun Mahmud, 62, mengakui mereka akan cuba mempertahankan warisan bot penambang walaupun menyedari ia satu tanggungjawab yang membebankan.

“Dahulu kita boleh raih ratusan ringgit sehari, tetapi sekarang RM20 pun susah, tak padan dengan kos bahan api dan penyelenggaraan bot.

“Kehidupan pula makin tersempit. Sebelum ini, kerajaan pernah bantu dengan memberi bantuan bulanan RM200 tetapi sudah dimansuh sejak peralihan kerajaan pada tahun 2018,” katanya.

Wednesday, December 9, 2020

Selamatkan tanah perkuburan daripada hakisan pantai

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Alam Sekitar dan Air meluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM800,000 bagi mengatasi masalah hakisan di Pengkalan Maras di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan segera itu diluluskan bagi menyelamatkan tanah perkuburan Islam berhampiran daripada menjadi mangsa hakisan berkenaan.

“Kita mahu mengelakkan lebih banyak kemusnahan berlaku di Pengkalan Maras disebabkan hakisan yang kini sudah semakin hampir dengan tanah perkuburan Islam berhampiran.

“Perlu diakui ombak terlalu kuat hingga menyebabkan kesan hakisan semakin melebar pada musim tengkujuh ini,” katanya selepas memantau kesan hakisan di Pantai Pengkalan Maras di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Tuan Ibrahim berkata, beliau turun padang untuk melihat sendiri kemusnahan Pantai Pengkalan Maras akibat hakisan yang disuarakan Shaharizukirnain di Parlimen baru-baru ini.

Beliau memberitahu, projek pembinaaan benteng penahan ombak di Pangkalan Maras tersebut akan bermula pada minggu hadapan dan dijangkap siap sepenuhnya pada tempoh enam minggu.

“Ini merupakan penyelesaian sementara kerana hakisan pantai di kawasan ini terlalu kronik.

“Sebenarnya kita sudah mengadakan pelan kajian jangka panjang dan meluluskan peruntukan RM90 juta bagi mengatasi masalah hakisan di Pangkalan Maras,” katanya. – K! ONLINE

Pas yakin Muafakat Nasional tetap terajui Perak

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pas percaya kerajaan negeri Perak akan tetap diterajui Muafakat Nasional (MN) yang ditunjangi parti itu dan UMNO.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berpegang dengan jaminan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mahu mempertahankan Muafakat Nasional dalam pembentukan kerajaan baharu Perak.

Beliau berkata, Pas sentiasa membuka pintu rundingan dan akan mengadakan mesyuarat peringkat dalaman untuk membincangkan perkembangan politik di Perak pada masa terdekat.

“Kita akan duduk berbincang dengan rakan-rakan UMNO dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) untuk selesaikan masalah (politik) di Perak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hakisan pantai di Pengkalan Maras di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Pas percaya pergolakan politik di Perak boleh diselesaikan secara baik dan muafakat dan tidak akan merebak di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri lain yang turut diterajui Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan sama, krisis politik di Perak yang menyaksikan penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu sebagai Menteri Besar tidak akan menggugat keutuhan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Pas masih salah satu komponen penting dalam Muafakat Nasional dan kita sering mengadakan mesyuarat peringkat jawatankuasa bersama,” katanya.

Ahmad Faizal sebelum ini meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak setelah gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau pada Jumaat lalu.

Dalam undian 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau hanya mendapati 10 undi termasuk tiga daripada Pas manakala 48 menentang dan satu undi rosak atau berkecuali. -K! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu tinggal 295

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 295 mangsa daripada 73 keluarga masih di tempatkan di lima pusat pemindahan banjir di seluruh negeri ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Banjir Terengganu, Che Adam berkata, hanya Besut, Setiu dan Marang masih terjejas banjir manakala tiga daerah lain telah surut sepenuhnya sehingga malam tadi.

“Besut masih mempunyai 199 mangsa daripada 53 keluarga yang berada di dua PPS.

“Seramai 61 mangsa daripada 11 keluarga pula masih ditempatian di dua PPS di Setiu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, SMK Merchang yang merupakan satu-satunya PPS yang masih dibuka di Marang pula menempatkan 35 mangsa daripada sembilan keluarga.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tidak lama lagi berikutan cuaca cerah hari ini. – K! ONLINE

Gempar lelaki mati depan bank

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pelanggan di sebuah bank gempar selepas peminta derma tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia secara mengejut di hadapan premis tersebut di Dataran Austin di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, lelaki berusia 50-an berkenaan meninggal dunia dalam keadaan terduduk di lokasi kejadian.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmud berkata, sewaktu kejadian, seorang pelanggan wanita mahu menghulurkan derma kepada lelaki itu sebelum dia tiba-tiba rebah.

“Dia rebah dalam keadaan terduduk sebelum pihak berkuasa dihubungi bagi memaklumkan kejadian itu.

“Pegawai kesihatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mayat lelaki tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian. – K! ONLINE

1,621 mangsa banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 1,621 mangsa banjir daripada 416 keluarga masih ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu pada hari ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, cuaca baik sejak pagi semalam telah membolehkan sebahagian penduduk yang terjejas banjir pulang ke rumah masing-masing secara beransur-ansur mulai tengah hari semalam.

Beliau berkata, banjir di Hulu Terengganu telah pulih sepenuhnya dengan semua 19 penduduk terlibat telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai malam tadi.

“Begitupun, tujuh daerah lain masih dilanda dengan banjir gelombang ketiga ini. Marang paling terjejas dengan 527 mangsa daripada 138 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS.

“Seramai 359 mangsa daripada 99 keluarga pula ditempatkan di 11 PPS di Besut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, sebanyak 11 PPS yang menempatkan 268 mangsa daripada 57 keluarga juga masih dibuka di Setiu.

Tambah beliau, Dungun pula masih membuka lapan PPS yang menempatkan 166 mangsa daripada 41 keluarga.

“Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pula masing-masing masih mempunyai 134 dan 124 mangsa yang masih berlindung di sembilan PPS di kedua-dua daerah berkenaan.

“Seramai 43 mangsa daripada 13 keluarga pula masih berada di dua PPS di Kemaman,” katanya. -K! ONLINE

Tuesday, December 8, 2020

2,802 mangsa banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGGANU – Banjir di Terengganu semakin buruk dengan 2,802 mangsa daripada 781 keluarga terjejas di kesemua daerah di negeri ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana negeri, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak 76 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di lapan daerah berkenaan setakat ini.

“Marang paling terjejas dengan 778 mangsa daripada 204 keluarga telah berpindah ke sembilan PPS.

“Banjir di Setiu pula melibatkan 566 keluarga daripada 152 keluarga telah ditempatkan di 23 PPS,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, seramai 531 mangsa daripada 174 keluarga pula berada di 19 PPS di Besut.

Tambah beliau, sebanyak lima PPS masih dibuka di Kuala Terenganu yang menempatkan 289 mangsa daripada 80 keluarga.

“Dungun pula telah membuka 10 PPS yang menempatkan 262 mangsa daripada 70 keluarga.

“Seramai 211 mangsa daripada 53 keluarga pula ditempatkan di enam PPS di Kuala Nerus,” katanya.

Che Adam berkata, sebanyak tiga PPS pula telah dibuka di Kemaman dengan 149 mangsa daripada 45 keluarga.

Ujar beliau, Hulu Terengganu mempunyai 16 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS.

“Walaupun hujan sudah berhenti di kebanyakan tempat di negeri ini sejak pagi ini, amaran cuaca buruk masih dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia,” katanya. – K! ONLINE

Setia bersama 32 ekor kucing

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua beradik sanggup bermalam di dalam rumah yang dinaiki air demi menjaga keselamatan 32 ekor kucing peliharaan mereka.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, Azila Omar, 45, dan adiknya, Azmi, 38, bergegas pulang sebaik mengetahui rumah mereka di Bukit Kecil di sini dilanda banjir.

“Kami mengetahui perkara itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari pasar raya.

“Kami terlalu risaukan nasib 32 ekor kucing yang berada di dalam rumah. Alhamdulillah semua selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Kediaman dua beradik itu merupakan antara 30 rumah di Bukit Kecil yang dilanda banjir kilat buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun ekoran hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang.


Bercerita lanjut, Azila berkata, sebaik tiba di rumahnya, sebahagian kucing peliharaannya berada di dalam air sebelum diselamatkan dan diletakkan di tempat lebih tinggi iaitu atas katil, sofa dan meja makan.

Disebabkan sibuk membantu kucing, dua beradik itu tidak sempat menyelamatkan perabot dan perkakas elektrik di dalam rumah.

“Hampir 95 peratus perabot dan perkakas elektrik rosak ditenggelami air,” katanya yang menanggung kerugian RM10,000.


“Tidak mengapa barang-barang itu boleh diganti jika ada rezeki lebih nanti, yang penting nyawa kucing-kucing kesayangan kami,” katanya.

Disebabkan bimbang akan ke­selamatan haiwan peliharaannya, Azila dan adiknya memutuskan untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kalau kami berpindah ke PPS, tak mungkin semua kucing dibawa sekali kerana bilangannya banyak.

“Kami lebih rela tinggal bersama kucing-kucing ini, saya yakin air akan surut tidak lama lagi,” katanya.-K! ONLINE

Hujan lebat luar biasa punca Kuala Terengganu banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hujan luar biasa dan fenomena air pasang besar menjadi punca kejadian banjir kilat yang menenggelamkan sebahagian besar bandar raya ini pada awal pagi tadi.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, taburan hujan yang direkodkan di bandar raya tersebut mulai pukul 4.30 petang semalam ialah 190 milimeter (mm).

Beliau berkata, ia merupakan taburan hujan harian kedua tertinggi yang direkodkan di bandar raya ini sepanjang tahun 2020.

“Sebagai perbandingan, Kuala Terengganu hanya menerima purata taburan hujan bulanan antara 200 hingga 250 mm pada bulan-bulan lain di luar monsun Timur Laut.

“Ia diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar yang telah melambatkan lagi pengaliran air hujan ke laut,” katanya di sini hari ini.

Shahidan berkata, taburan hujan lebat luar biasa dan fenomena air pasang besar tersebut tidak mampu ditampung sistem saliran di bandar raya ini biar pun ia baru dinaik taraf baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan banjir kilat berkenaan disebabkan kelemahan sistem pembangunan dan pembangunan tidak terkawal di bandar raya ini. – K! ONLINE

Terengganu kembali dilanda banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai 11 jam selepas gelombang kedua berakhir, Terengganu sekali lagi dilanda banjir malam tadi.

Banjir disebabkan hujan lebat berterusan sejak pukul 12 tengah hari dan fenomena air pasang berkenaan telah menjejaskan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman.

Pusat bandar raya ini terutama di Jalan Masjid Abidin, Jalan Syed Husein, Jalan Kampung Daik, Jalan Kamaruddin dan Bukit Kecil di sini antara terjejas teruk dengan sebahagian premis perniagaan dimasuki air banjir.

Selain itu, banjir tersebut juga melanda perkampungan di pulau peranginan, Pulau Redang, Kuala Nerus.

Ketua Sekteriat Pengurusan Banjir Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat ini, sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah berkenaan yang menempatkan keseluruhan 439 mangsa.

Beliau berkata, Marang paling teruk terjejas dengan 156 mangsa daripada 42 keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila.

“Sebanyak tiga PPS dibuka di Kuala Terengganu iaitu SK Chendering, SK Ladang dan SK Pasir Panjang melibatkan 114 mangsa daripada 36 keluarga.

“Seramai 96 mangsa banjir daripada 22 keluarga pula terjejas di Kuala Nerus dan mereka kini ditempatkan di tiga PPS iaitu Masjid Pulau Redang, SK Tok Jembal dan SK Kompleks Seberang Takir,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Che Adam berkata, Kemaman pula mempunyai 73 mangsa daripada 24 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu SK Kemasik dan SK Pengkalan Ranggon. – K! ONLINE