Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI
KEMAMAN – Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini mencapai matlamatnya dengan kehadiran lebih 30,000 golongan tersebut dari seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tersebut bakal dijadikan sebagai acara tahunan.
“GNN merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi menghargai sumbangan besar mereka kepada negara.
“Golongan nelayan sering dianggap sebagai wira tidak didendang sedangkan mereka bergadai nyawa di lautan untuk membekalkan sumber protein utama kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan program GNN 2017 di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.
Pada majlis sama, sebanyak 700 bot nelayan dari Terengganu dan Pahang melakukan perarakan memasuki kuala Sungai Kerteh bagi menunjukkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan dalam membela nasib mereka secara berterusan.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersetuju akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta setahun bagi penganjuran GNN pada masa hadapan.
Sementara itu, seorang nelayan, Ghazali Mohamed, 58, berkata, penganjuran GNN yang merupakan himpunan nelayan dari seluruh negara itu merupakan usaha baik kerajaan bagi menghargai sumbangan mereka selama ini.
“Hampir 30 tahun saya turun ke laut demi mencari rezeki dan buat pertama kali saya berasa bangga bergelar seorang nelayan selepas julung-julung kali diraikan dalam himpunan besar ini,” katanya yang berasal dari Kampung Geting, Tumpat, Kelantan.
Dalam pada itu, Rahmat Leman, 51, berkata, himpunan nelayan tersebut membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk mengenali golongan nelayan dari negeri lain selain bertukar-tukar pengalaman.
“Pelbagai aktiviti dan pengisian yang kami terima selama tiga hari berkampung di Pantai Kuala Kerteh. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana menganjurkan himpunan besar seperti ini dan diharap ia dapat diteruskan setiap tahun.
“Dalam masa sama, saya meminta jasa baik pihak berkuasa untuk memantau ancaman nelayan asing mahupun tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan melebihi kawasan perairan yang dibenarkan.
Seharusnya hasil tangkapan nelayan pantai tidak diganggu oleh bot-bot nelayan laut dalam,” katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.