KUALA TERENGGANU – Negeri-negeri di kawasan Pantai Timur, utara dan sebahagian besar Sabah dan Sarawak dijangka menerima taburan hujan tinggi menjelang dua minggu terakhir bulan ini.
Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, perubahan cuaca tersebut adalah normal berikutan peralihan monsun Barat Daya ke Timur Laut.
“Sewaktu musim peralihan monsun, taburan hujan biasanya akan lebih tinggi terutama pada sebelah petang.
“Hujan lebat biasanya turun bersama ribut petir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jing Xiang memberitahu, impak peralihan monsun tersebut akan lebih dirasai pada bulan hadapan dengan hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia diramal bakal dilanda hujan lebat.
Tambah beliau, monsun Timur Laut pula dijangka tiba pada November dengan negeri-negeri Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan akan menerima amaran hujan peringkat merah.
“Negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sarawak diramal mendapat taburan hujan peringkat jingga, manakala Sabah peringkat kuning.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan perubahan cuaca dan merujuk ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment