Translate

Saturday, October 31, 2015

SMK Tamparuli juara Persembahan Sains Petrosains

PINTAR. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli dari Tuaran, Sabah muncul juara pertandingan Persembahan Sains Petrosains 2015 yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pasukan sekolah tersebut yang diwakili pelajar tingkatan empat iaitu Arrvierri Veshpa dan Ennqa Carrysna menewaskan 17 pasukan lain dari seluruh negara yang turut menyertai pertandingan anjuran Petrosains Sdn. Bhd. (Petrosains) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata, selaku juara, SMK Tamparuli membawa pulang piala, wang tunai RM7,000, peralatan pengajaran dan pembelajaran berjumlah RM13,000, plak, sijil penyertaan dan hadiah iringan yang disampaikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

18 barang kawalan diumum

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan senarai 18 barang termasuk ayam, daging kambing dan telur di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2015 yang berkuat kuasa selama 10 hari bermula dari 5 November hingga 14 November ini.
Menterinya, Datuk Hamzah Zainudin berkata, mengikut skim tersebut, harga runcit maksimum ayam hidup ditetapkan pada harga RM6.20 sekilogram manakala ayam standard serta ayam super masing-masing ialah RM7.50 dan RM8.30.
“Kawalan harga ini turut melibatkan empat jenis kam­bing, tiga gred telur ayam, tomato, bawang merah kecil India, ubi kentang China dan kacang dal Australia.
“Kementerian juga membuat keputusan memasukkan cili merah, kelapa biji, kepala parut dan bawang besar dalam skim kawalan harga tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap empat barang tersebut pada musim perayaan Deepavali,” katanya pada sidang akhbar di Menara Bank Rakyat, Jalan Travers di sini semalam.

Hamzah berkata, penguatkuasaan harga siling bagi skim kawalan harga itu meliputi 89 kawasan di Semenanjung, Labuan, Sarawak (32 kawasan) dan Sabah (27 kawasan).

“Peniaga diwajibkan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal dan kegagalan mematuhi peraturan di bawah skim ini, tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 boleh diambil,” katanya.

Friday, October 30, 2015

Skim Kawalan Harga Deepavali bermula 5 November ini


KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 barangan tersenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Deepavali berkuat kuasa selama 10 hari bermula 5 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, ia penambahan empat barangan berbanding tahun lepas.
"Cili merah, kelapa biji, kelapa parut dan bawang besar dimasukkan dalam skim kawalan harga.
"Kajian kementerian mendapat empat barangan itu turut mendapat permintaan tinggi pada musim perayaaan Deepavali," katanya pada sidang akhbar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.
Zainuddin berkata, barangan lain yang juga tersenarai dalam skim berkenaan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang dan tanpa tulang.
Tambah beliau, ia turut merangkumi daging paha kambing biri-biri import bertulang, tomato, bawang merah, ubi kentang dan kacang dal. - K! ONLINE

Ismail Sabri tidak setuju vape diharamkan


KUALA LUMPUR – Penggunaan vape tidak sepatutnya diharamkan di negara ini kerana negara maju seperti Britain turut menggalakkan penggunaannya, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).
Beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan vape berkata, rokok elektronik itu juga merupakan alternatif kepada penghisap rokok tegar untuk berhenti merokok.

“Saya difahamkan kan­dungan nikotin dalam vape hanya tiga peratus sedangkan rokok mengandungi 13 peratus bahan kimia tersebut.

“Jadi jika rokok lebih berbahaya daripada vape, kenapa tidak haramkan rokok?” katanya dalam entri menerusi Facebook beliau semalam.

Beliau mengulas ke­nyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan vape yang semakin berleluasa bagi mengelak risiko lebih buruk terhadap kesihatan penggunanya.

Bagi menangani gejala baharu itu, Kementerian Kesihatan dimaklumkan sedang meneliti aspek undang-undang penguatkuasaan untuk diguna pakai bagi menambah baik akta sedia ada supaya tindakan pengharaman itu boleh dilaksanakan.

Ismail Sabri memberitahu, beliau akan memberi pandangan agar penggunaan vape tidak dilarang di negara ini apabila cadangan kementerian terlibat dibawa ke Kabinet untuk diluluskan kelak.

Dalam pada itu, beliau juga bersedia untuk mendengar penjelasan Subramaniam di sebalik kewajaran cadangan mengharamkan rokok elektronik terbabit.

Sunday, October 25, 2015

1.6 juta penjawat awam dapat bantuan khas RM500


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberikan pemberian khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam manakala 700,000 pesara kerajaan pula bakal menerima RM250.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bayaran khas yang membabitkan hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

“Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

“Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan Mensejahtera Kehidupan Rakyat di Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, menurut beliau, semua kakitangan awam juga bakal menerima faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred masing-masing.

“Peruntukan bagi tujuan faedah pemindahan gaji itu melibatkan dana RM1.1 bilion,” kata beliau.

Saturday, October 24, 2015

Prihatin kepada golongan M40


KUALA LUMPUR – Kelompok isi rumah berpendapatan sederhana yang dikelaskan sebagai M40 turut diberi tumpuan oleh kerajaan dalam usaha menangani kenaikan kos sara hidup pada masa kini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi Bajet 2016, pelbagai insentif pelepasan cukai pendapatan turut disasarkan kepada kumpulan yang mempunyai julat pendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320 sebulan bagi meringankan beban mereka.

“Antaranya, anak yang me­nyara ibu bapa meskipun tidak tinggal bersama bakal mene­rima pelepasan cukai RM1,500 untuk ibu atau bapa.

“Namun syarat dengan pendapatan ibu bapa berkenaan tidak melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Selain itu, menurut beliau, had pelepasan cukai bagi setiap anak yang berumur di bawah 18 tahun serta anak yang berumur 18 tahun ke atas melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara ditingkatkan masing-masing kepada RM2,000 dan RM8,000.

Kata beliau, bagi individu yang mempunyai anak dalam kalangan orang kelainan upaya yang melanjutkan pelajaran, had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM8,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.

“Had pelepasan cukai pendapatan bagi individu yang mempunyai pasangan tidak mempunyai pendapatan dinaikkan sebanyak RM1,000 iaitu menjadi RM4,000,” katanya.

Sementara itu, Najib membe­ritahu, bagi membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kelayakan caruman wajib dinaikkan kepada pekerja yang mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.

Beliau berkata, insentif tersebut bakal memberi manfaat kepada 500,000 pekerja dan waris mereka akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir sekiranya pencarum meninggal dunia dalam tempoh bekerja.




Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 sebulan


KUALA LUMPUR – Gaji minimum yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 bakal dinaikkan kepada RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 1 Julai tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia sebelum ini ialah RM900 manakala RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kenaikan Gaji Minimum Negara tersebut berkuat kuasa mulai 1 Julai 2016 dan melibatkan semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

“Bagi sektor perkhidmatan awam pula, kerajaan bersetuju untuk menetapkan gaji permulaan terendah pada kadar RM1,200,” katanya pada pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan gaji permulaan bagi sektor awam tersebut bakal memberi manfaat kepada 60,000 kakitangan kerajaan.

Kerajaan menguatkuasakan dasar gaji minimum sejak 1 Januari 2014 dengan majikan perlu membayar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Lindungi negara pada zaman sukar


KUALA LUMPUR – Bajet 2016 menyediakan perlin­dungan komprehensif untuk rakyat dan negara bagi menghadapi keadaan ekonomi yang dijangka sukar pada tahun depan disebabkan kejatuhan harga minyak dunia, kelembapan ekonomi dunia dan penyusutan nilai ringgit.
Dalam pembentangan bajet selama dua jam bermula pada pukul 4 petang semalam di Dewan Rakyat di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal atau bankrap.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak RM418 bilion pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
“Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, RM215.2 bilion adalah untuk per­belanjaan mengurus dan RM52 bilion bagi perbelanjaan pemba­ngunan,” katanya ketika membentangkan bajet bertemakan Mensejahterakan Kehidupan Rakyat.

Turut hadir pada pembenta­ngan Bajet 2016 itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anggota-anggota Kabinet lain. 

Perdana Menteri berkata, bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak RM225.7 bilion me­ningkat sebanyak RM3.2 bilion berban­ding pada tahun lalu.

“Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan kerajaan, defisit fiskal kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun depan yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan membentangkan pelbagai langkah bagi melindungi negara termasuk melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST), rangsangan pelaburan domestik, kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,050 dan menaikkan had gaji minimum negara daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan.  

Bajet 2016 turut meliputi cadangan pelaksanaan beberapa projek bernilai berbilion ringgit di negara ini yang bakal memberi dorongan kepada sektor perniagaan dalam tempoh jangka panjang untuk berhadapan persekitaran yang dijangka mencabar pada tahun depan.


Friday, October 23, 2015

Masa depan negara, kebajikan rakyat keutamaan kerajaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, Bajet 2016 yang akan dibentangkan hari ini bakal memberi keutamaan kepada aspek membela kesejahte­raan rakyat.
Najib berkata, kerajaan komited untuk terus membantu golongan yang mudah terjejas dengan pe­ningkatan kos sara hidup biarpun persekitaran ekonomi global semakin mencabar pada waktu ini.
 
“Pada tahun ini, kami memberi fokus kepada memperkasa kemampanan ekonomi kita, menguruskan impak kelemahan luaran dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Bajet 2016 akan menggambarkan pe­rancangan kerajaan untuk terus meningkatkan taraf hidup semua rakyat negara ini sekali gus menjadikan sasaran mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020 tercapai.

“Masa depan dan kebajikan semua rakyat adalah ke­utamaan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Najib berkata, walaupun kejatuhan harga minyak dan gas di pasaran dunia telah menyebabkan penurunan dalam hasil kerajaan, asas-asas ekonomi negara kekal kukuh.

“Selain mempelbagaikan sumber ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu, dua perkara yang dilakukan bagi meningkatkan daya tahan itu ialah memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi.

“Tadbir urus GST yang baik juga telah menyebabkan kutipan cukai baharu itu lebih tinggi daripada yang diunjurkan sebelum ini,” katanya.

Thursday, October 22, 2015

265 kakitangan HPRZII anjur hari keluarga di Tok Bali


RAPAT HUBUNGAN. Seramai 265 kakitangan termasuk ahli keluarga mereka memeriahkan Hari Keluarga Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) yang diadakan di Villa Danialla Beach Resort, Tok Bali, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Penyelaras program itu, Nor Azlina Ab. Ghani, hari keluarga itu bertujuan untuk menghargai sumbangan kakitangan yang telah bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan pelanggan hospital berkenaan.

"Pelbagai aktiviti termasuk permainan melibatkan penyertaan seisi keluarga termasuk anak-anak kakitangan terlibat telah diatur sepanjang program  itu," katanya.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan telah merasmikan program yang berlangsung selama dua hari itu.

Saturday, October 17, 2015

Guna pemantau antilanun kurangkan risiko dirompak

KUALA LUMPUR – Pengusaha kapal dagang di­saran menggunakan khidmat pemantau antilanun bagi mengurangkan risiko rompakan yang semakin menjadi-jadi di perairan Selat Melaka sejak akhir-akhir ini.
Pemantau antilanun tersebut boleh dilatih dalam kalangan kru kapal dagang terbabit.

Ketua Pusat Laporan Lanun Biro Maritim Antarabangsa (IMB), Noel Chong berkata, pemantau yang bertugas sepanjang masa boleh mengesan kehadiran perompak atau lanun lebih awal.

“Maklumat itu boleh disalurkan terus kepada pihak berkuasa maritim di perairan terbabit sekali gus membolehkan langkah pencegahan dan penyelamat dapat disegerakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas cubaan sekumpulan lanun merompak kapal tangki MT Almi Spirit membawa muatan 90,000 tan metrik minyak bernilai RM95 juta yang berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Tanjung Piai, Pontian dekat sini kelmarin.

Noel berkata, selain Tanjung Piai, Kepulauan Karimum dan Pulau Nipah, Indonesia yang turut terletak di hujung Selat Melaka dikenalpasti sebagai lokasi berisiko tinggi dengan aktiviti lanun.

Friday, October 16, 2015

Rusia tidak miliki BUK sejak 2011

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Kedutaan Rusia di Malaysia tidak berpuas hati dengan laporan akhir penyiasatan nahas pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang diumumkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada Selasa lalu.
Duta Rusia di Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, status laporan itu dianggap berat sebelah kerana permintaan pakar negaranya untuk mendapatkan akses menyiasat bahan bukti tidak pernah dilayan oleh pasukan penyiasat DSB.
“Laporan daripada pembuat peluru berpandu (BUK) itu juga tidak dipedulikan. Kami agak kecewa dengan keputusan laporan tersebut kerana banyak persoalan telah terbiar tanpa dijawab,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Kedutaan Rusia di Malaysia, Jalan Ampang di sini semalam.
Yermolov menegaskan, Rusia tidak lagi memiliki peluru berpandu BUK kerana kesemua simpanan senjata telah dilupuskan oleh angkatan tentera negaranya pada 2011.
Kata beliau, negaranya juga tidak pernah membekalkan peluru berpandu jenis itu kepada kumpulan pemberontak yang menguasai beberapa kawasan di bahagian timur Ukraine.
“Peluru berpandu BUK telah dibangunkan pada 1986 dengan jaminan 25 tahun dan turut dimiliki oleh negara-negara bekas Soviet Union.

“Kita tahu Tentera Ukraine memiliki sebanyak 520 peluru jenis itu sehingga hari ini,” dakwanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan DSB ketika membentangkan laporan akhir penyiasatan MH17 di Lapangan Terbang Tentera Gilze-Rijen, Belanda memberitahu, sistem peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia didapati telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat malang itu pada 17 Julai tahun lalu.

Peluru berpandu yang dilancarkan dari kawasan seluas 320 kilometer persegi di timur Ukraine tersebut telah mengenai bahagian kiri kokpit pesawat MH17.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur terhempas di wilayah yang dikawal pemberontak proRusia di Donetsk, timur Ukraine.

Semua 298 orang di dalam pesawat terbabit terbunuh termasuk 43 rakyat Malaysia.

Thursday, October 15, 2015

Bayar tiket LRT, bas guna kad Bank Rakyat


KUALA LUMPUR – Bank Rakyat akan bekerjasama dengan Kumpulan Prasarana untuk membangunkan sistem pembayaran tiket secara elektronik kepada pemegang kad debit dan kredit institusi kewangan tersebut.

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kemudahan itu meliputi semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas RapidKL.

“Kemudahan pembayaran secara elektronik memudahkan pemegang kad debit serta kad kredit Bank Rakyat selain mereka akan menikmati diskaun dua peratus bagi setiap penggunaan perkhidmatan awam tersebut,” katanya selepas merasmikan Program Penamaan Stesen LRT Bank Rakyat-Bangsar di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz.

Program penamaan stesen LRT itu dijalankan bagi tempoh lima tahun sehingga 2020 dengan melibatkan pelaburan lebih RM10 juta.

Selain menaik taraf kemudahan di stesen LRT Bank Rakyat-Bangsar seperti surau dan pusat perbankan elektronik, pelbagai program anjuran Bank Rakyat akan diadakan secara berkala di stesen LRT yang terletak kira-kira 500 meter dari Menara Berkembar Bank Rakyat di sini.

Kedutaan Rusia di Malaysia kecewa laporan akhir MH17


KUALA LUMPUR - Kedutaan Rusia di Malaysia tidak berpuas hati dan melahirkan rasa kecewa terhadap laporan akhir nahas pesawat MH17 oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) kelmarin.
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Valery N. Yermolov berkata, status laporan itu boleh diragui kerana permintaan agar pakar negaranya untuk mendapat akses untuk menyiasat bahan bukti tidak pernah dilayan pasukan penyiasat.
"Sedangkan Rusia dituduh memiliki peluru berpandu tersebut.
"Malah laporan oleh pembuat peluru berpandu BUK, Almaz-Antey juga tidak dipedulikan," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kedutaan Rusia di Malaysia di Jalan Ampang di sini hari ini.
Yermolov berkata, negaranya tidak lagi memiliki peluru berpandu BUK kerana semua simpanan senjata itu telah dimusnahkan angkatan tenteranya pada tahun 2011.
Sebaliknya, beliau mendakwa Ukraine masih memiliki simpanan 520 peluru berpandu itu sehingga kini.
Oleh itu, Yermolov berkata, Rusia mahu meneruskan siasatan dengan negara ini menerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarangsa bagi memperolehi siasatan telus demi keadilan mangsa yang terkorban. -K! ONLINE

Monday, October 5, 2015

Anak terpaksa bersekolah jauh



KUALA LANGAT – Lebih 30,000 penduduk Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini menuntut agar projek pembinaan sekolah di taman perumahan yang mula dibuka pada tahun 2003 itu disegerakan.
Ketiadaan kemudahan sekolah rendah mahupun menengah tersebut telah menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain menghantar anak mereka bersekolah di lokasi yang jauh.
Seorang penduduk, Mazni Ishak, 39, berkata, kemudahan sekolah di kawasan perumahan itu perlu sejajar dengan pertambahan penduduknya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan anak-anak kami bersekolah di Shah Alam, Subang Jaya, Puchong, Putrajaya dan Cyberjaya yang terletak sekurang-kurangnya 10 kilometer dari Bandar Saujana Putra.

“Kami harap kemudahan sekolah yang dijanjikan dapat dibina dengan segera,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Abdul Wahid Abdul Manaf, 38, berkata, beliau terpaksa membelanjakan hampir RM400 sebulan sebagai kos pengangkutan empat orang anaknya berusia antara tujuh hingga 14 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2, Seksyen 28, Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan USJ 20, Subang Jaya dekat sini.

“Banyak kos yang dapat dijimatkan sekiranya pembinaan sekolah di taman perumahan ini disegerakan. Saya juga lebih yakin dengan keselamatan anak-anak kerana mereka tidak perlu lagi melalui Lebuh Raya Elite yang sentiasa sibuk dengan kenderaan untuk ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu Kosmo! difahamkan, permohonan untuk membina sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di Bandar Saujana Putra telah diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kuala Langat pada 5 Ogos lalu.

Ia kini dalam proses tender untuk melantik jururunding dan kontraktor sebelum memulakan kerja-kerja tanah. 

Saturday, October 3, 2015

Pampasan TNB kepada peneroka setimpal

KUALA LUMPUR – Jumlah pampasan kepada peneroka Felda Wilayah Jengka, Kuala Krau, Pahang bagi setiap pokok kelapa sawit ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembinaan talian penghantaran elektrik adalah mengikut penilaian yang dibuat Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) terlibat iaitu Je–rantut, Temerloh dan Maran.
Pengurus Besar Kanan (Hal Eh­wal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin (gambar) berkata, PTD ber­kenaan memutuskan nilai pampasan ditentukan berdasarkan usia pokok kelapa sawit terlibat setelah proses bicara yang berpandukan Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta Pahang dilaksanakan sebelum itu.

“TNB selaku agensi pembayar telah membuat pembayaran pampasan pokok-pokok kelapa sawit yang perlu ditebang berkenaan berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri itu. Ia melibatkan 200 orang pemilik dan 100 lot tanah seluas 43.74 hektar,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas bantahan aman sekumpulan peneroka dari Felda Jengka 11, 14, 18, 19 dan 20 yang tidak berpuas hati dengan pampasan bakal diterima mereka berikutan penebangan pokok kelapa sawit bagi memberi laluan kepada projek pembinaan talian penghantaran elek­trik dari Pencawang Masuk Utama Kampung Awah ke Pencawang Ma­suk Utama Jengka.

Thursday, October 1, 2015

Provokasi punca ketegangan kaum


KUALA LUMPUR – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili kaum Cina, Gerakan dan MCA menyalahkan provokasi melampau peserta Perhimpunan Bersih 4.0 menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu sebagai punca ketegangan keharmonian antara kaum sejak akhir-akhir ini.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, tindakan melampau peserta Bersih 4.0 yang menyentuh sentimen kaum dan agama seperti me­ngadakan upacara pengebumian olok-olok mengikut tradisi Cina terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyapu gambar isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan memijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membangkitkan kemarahan majoriti orang Melayu sekali gus mencetuskan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.

“Perbuatan terhadap Perdana Menteri dan isteri dianggap biadab dan telah menyinggung dan memprovokasi emosi orang Melayu. Datuk Seri Abdul Hadi pula merupakan individu dihormati kerana merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

“Mengapa sebelum ini, Perhimpunan Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 tidak mencetuskan tindak balas serupa? Ini disebabkan sentimen agama dan kaum telah dimainkan secara berleluasa dalam Bersih 4.0 dan ia didalangi oleh DAP,” dakwa beliau pada sidang akhbar di Wisma Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Cheras di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Biro Agama dan Harmoni MCA, Datuk Ti Lian Ker pula mendakwa, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindak balas yang keterlaluan ditunjukkan segelintir peserta Himpunan Rak­yat Bersatu hingga mengeruhkan lagi hubungan kaum di negara ini.

“Saya desak DAP agar ‘bertaubat’ dan sedar diri tentang baha­yanya memainkan provokasi politik berbau perkauman yang melampau seperti ini,” katanya.

Kawalan modal tidak relevan dilaksana ketika ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Kawalan modal atau menambat mata wang ringgit tidak relevan dilaksanakan pada masa ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan langkah-langkah pembaharuan ekonomi yang sedang dilakukan kerajaan.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, inisiatif kerajaan sejak beberapa tahun lalu seperti memperkenalkan gaji minimum, rasionalisasi subsidi dan meliberalkan sektor awam telah mula menunjukkan kesan positif sekali gus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi negara.

“Berbeza ketika kita memperkenalkan tambatan ringgit pada tahun 1998, semua indikator ekonomi negara ini seperti kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran dan imbangan perdagangan masih positif dan berada pada tahap baik.

“Langkah memperkenalkan semula kawalan modal bukan sahaja tidak berkesan mengikut situasi semasa, malah dikhuatiri boleh merosakkan semua usaha pembaharuan yang telah mengukuhkan asas ekonomi negara selama ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Zakariah berkata, sebagai perbandingan, sewaktu kawalan modal dilaksanakan kira-kira 17 tahun lalu, persekitaran ekonomi negara berada dalam keadaan lembab termasuk KDNK dan imbangan perdagangan adalah negatif.

Oleh itu, beliau berpendapat cadangan untuk melaksanakan kembali tambatan ringgit adalah langkah ke belakang dan dibimbangi akan memberi lebih keburukan kepada mata wang tersebut.

“Kemerosotan nilai ringgit yang agak mendadak pada ketika ini lebih kepada faktor keyakinan dan sentimen.
“Dua faktor itu yang patut diberi tumpuan bagi menstabilkan semula nilai ringgit, bukannya melaksanakan kawalan modal yang dilihat sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Pada tahun 1998, kerajaan memutuskan menambat ringgit RM3.80 berban­ding dolar AS selama tujuh tahun.